Pages

Tuesday, 24 September 2013

FITRAH LELAKI DALAM AL-QUR’AN ADALAH SEBAGAI PEMIMPIN

Tahukah kalian bahawa jumlah penduduk lelaki masih lagi mendahului penduduk wanita di Malaysia? Menurut statistik bancian penduduk Malaysia 2010, 51.5 peratus adalah penduduk lelaki berbanding 48.5 peratus penduduk wanita. Penduduk lelaki dijangka berterusan mendahului penduduk perempuan hingga tahun 2040 dengan sedikit penurunan peratus kepada 50.8.


Persoalannya, sejauhmana para lelaki ini dibina potensi diri mereka seperti yang dimaksudkan didalam Al-Qur’an dimana Allah berfirman maksudnya, “kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu, maka wanita yang soleh ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, kerana Allah telah memelihara mereka. (Surah An-Nisa’: ayat 34).

Fitrah lelaki adalah melindungi wanita.


Justeru, kita perlu memandang serius kepada gejala keciciran lelaki dalam pendidikan dengan mengenal pasti dan membina potensi secara tepat dan efektif bersesuaian dengan fitrah sebenar mereka sebagai ‘pemimpin’. Ini ternyata benar apabila merujuk kepada kalamullah tentang perbezaan cara pendidikan kanak-kanak lelaki dan perempuan yang bermaksud “maka tatkala isteri ‘Imran melahirkan anaknya, dia pun berkata, “ya Tuhanku, sesungguhnya aku melahirkan seorang anak perempuan; dan Allah lebih mengetahui apa yang dilahirkannya itu; dan anak lelaki tidaklah seperti anak perempuan…” (Surah Al-‘Imran: ayat 36).


Menurut Michael Gurian bersama Kathy Stevens (2011) dalam buku berjudul ‘Boys and girls learn differently: a guide for teachers and parents’, kanak-kanak lelaki perlu dibantu menjadi lelaki sebenar apabila dewasa dengan membantu mereka mencari anugerah semulajadi dan memanfaatkan anugerah berharga tersebut kepada masyarakat. Ia merupakan usaha murni bagi membantu memperkasa potensi ‘heroic’ lelaki seawal mereka kanak-kanak untuk tujuan yang lebih besar iaitu menjadi pemimpin kepada masyarakat dalam semua lapangan.



Pendedahan Tujuan


Untuk itu, kanak-kanak lelaki perlu diberikan pendedahan tentang tujuan mereka dicipta sebagai lelaki yang digariskan dalam Al-Qur’an iaitu sebagai pemimpin. Kesan daripada kehilangan tujuan dalam diri mereka akan menyebabkan tahap kematangan yang lambat, keciciran dalam pelajaran, tidak dapat membina perasaan yang jelas tentang kepentingan peranan mereka dalam pendidikan dan sosial, serta terlibat dalam keganasan.


Keterlibatan lelaki dalam aktiviti-aktiviti keganasan adalah manifestasi sifat kelakian mereka yang sukakan kepada aktiviti lasak, agresif,‘thrill’ dan mendominasi tetapi ia tersasar jauh daripada yang sepatutnya iaitu menjaga keluarga dan survival masyarakat daripada ancaman bahaya. Ini terjadi apabila mereka hilang tujuan kenapa mereka dijadikan sebagai lelaki di dunia ini.


Oleh itu, bagaimana mahu membangunkan kanak-kanak lelaki yang ada tujuan?  Menurut Gurian (2011), ibubapa dan guru perlu memandu biologi kanak-kanak lelaki untuk mengetahui dan memahami tujuan kejadian mereka, membantu mereka membina empati, dan mengurus kekuasaan secara sihat atau istilah lainnya ‘aggression nurturance’. Sebagai contoh, kanak-kanak lelaki sering terlibat dengan pergelutan fizikal untuk menunjukkan kekuasaan dan kekuatan fizikal.


Kanak-kanak lelaki perlu dididik supaya menguruskan kekuasaan tersebut secara sihat seperti mengadakan pertandingan yang boleh menguji sifat ‘heroic’ mereka sebagai lelaki. Bagi yang kalah dalam pertandingan, ia juga sebenarnya boleh membantu kanak-kanak lelaki untuk membina kekentalan jiwa, kekuatan fizikal, mental dan emosi yang akan menjadi asas kepada masa depan yang berjaya, kecemerlangan prestasi, tujuan dan keterlibatan dalam kehidupan bermasyarakat.   

Kanak-kanak lelaki belajar sambil bermain.


Kesimpulannya, kajian menunjukkan kanak-kanak lelaki banyak belajar melalui bermain. Pembelajaran melalui aktiviti bermain akan menjadi pengalaman kepada mereka dalam membangunkan sifat-sifat kepimpinan, menjadikan mereka lebih empati dan mempunyai tujuan dalam hidup. Oleh itu, ibu bapa dan institusi pendidikan khususnya perlu celik tentang keperluan kanak-kanak dan pelajar lelaki supaya potensi ‘heroic’ dalam diri mereka dapat dibangunkan untuk manfaat agama, masyarakat dan negara dan isu keciciran pelajar lelaki dalam pelajaran dapat diatasi.



Disediakan oleh,

PUAN FARIDAH BINTI MOHD TAP
Ketua Jabatan Pengajian Umum,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Kolej UNITI, Port Dickson.


Wednesday, 11 September 2013

Perbezaan Kanak-kanak Lelaki dan Perempuan: Fizikal, Sosio-Emosi dan Kognitif

Do you know boys and girls have huge differences in many aspects? Lets explore  some of them as below:-

Tuesday, 10 September 2013

DILEMA ANTARA KOMITMEN KERJAYA DAN KEPERLUAN ANAK-ANAK

Adik 1: “Kakak...mana ayah saya? Bila ayah nak ambil kiteorang?” Tanya si abang kepada pengasuhnya.
Kakak: “Sabar dik, ayah kamu kerja. Malam nanti ayah kamu ambil kamu ya,” pujuk si pengasuh.
Adik 2: “Asyik-asyik kerja...kerja...kerja..kerja..” rungut adik perempuannya pula.
Aku melihat kedua beradik yang masing-masing berumur 3 dan 4 tahun itu. Mereka menarik muncung membuat mimik muka masam kerana ayah yang ditunggu tidak juga sampai walaupun sudah lewat petang. Kasihan sebenarnya melihat mereka berdua di saat itu. Mana tidaknya hujung minggu sepatutnya mereka bersama-sama ibubapa, tetapi sebaliknya dihantar ke nurseri dari pagi sampai ke malam lantaran komitmen kerjaya yang menghambat kedua ibubapa adik-adik tersebut.
Tapi, apakan daya. Kekadang ibubapa tiada pilihan kerana sudah fikrah kerjaya yang mereka ceburi terpaksa mengorbankan waktu bersama anak-anaknya. Disinilah dilema berlaku. Antara komitmen kerja untuk menampung kehidupan diri dan anak-anak di bandar besar dan keperluan kasih-sayang dan perhatian dambaan anak-anak.
Pusat Asuhan Kanak-kanak.
Situasi diatas sudah cukup menggambarkan kepada kita dilemma ibubapa bekerjaya dan keperluan anak-anak kepada perhatian dan kasih-sayang. Disebabkan dewasa ini, ramai ibu memilih untuk keluar bekerja bagi meningkatkan taraf ekonomi keluarga dan membantu meringankan beban suami bagi keperluan dan keselesaan bersama, maka sebagai alternatif bagi mengisi kelompongan penjagaan dan asuhan anak-anak mereka ,pusat asuhan dibangunkan dengan banyaknya ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.
Pihak pusat asuhan mengambil alih peranan untuk mengasuh dan mendidik anak-anak yang dihantar oleh ibu bapa seawal jam 7 pagi hingga lewat malam. Di sesetengah tempat, ada taska mengamalkan system syif terutama di kawasan perindustrian. Ada anak-anak dihantar ke nurseri dari malam hingga ke pagi kerana ibubapa yang bekerja pada syif malam.
Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) menawarkan khidmat menjaga dan memberikan pendidikan awal kepada kanak-kanak yang berumur di bawah 5 tahun-iaitu sebelum mereka melangkah ke alam pra-sekolah (tadika) bagi ibubapa yang bekerjaya. TASKA menjadi alternatif kepada ibubapa yang tidak mahu menggaji pengasuh di rumah kerana mahukan anak-anak mereka diasuh secara professional yang disediakan oleh pusat asuhan. Menyedari betapa pentingnya pendidikan awal kanak-kanak di bawah 5 tahun, Datin Seri Rosmah Mansor, isteri kepada YAB Perdana Menteri giat mengerakkan program PERMATA agar kanak-kanak ini membangun sepenuhnya dan mencapai potensi yang maksimum.
Menurut sebuah laporan, sebanyak 13 peratus ibubapa menghantar anak mereka ke pusat asuhan/ nurseri. Dalam sebuah laporan yang lain, berdasarkan tinjauan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara 2006, hanya 10.6 peratus sahaja yang menggunakan khidmat pusat asuhan dimana hanya 5.9 peratus sahaja dikalangan mereka yang tinggal di luar Bandar.
Walaupun begitu, tugas mengasuh dan mendidik anak-anak tetap hingga akhirnya menjadi tugas utama ibubapa. Pengasuh hanya merupakan pihak kedua yang mengambil alih peranan tersebut untuk seketika. Tidak dinafikan ada setengah ibubapa menyerahkan semua tanggungjwab menjaga dan mendidik anak-anak mereka keatas bahu pengasuh semata-mata. Ada anak-anak dihantar ke pusat jagaan dalam keadaan kusut masai, comot dan berbau mengharapkan pengasuh melakukan semua kerja menguruskan anak-anak mereka. Anak-anak dihantar dari awal pagi dan dijemput semula sehingga lewat malam tatkala anak-anaknya sudah terlena. Waktu ibubapa tersebut bersama anak-anak mereka amat terhad dan ini boleh merenggang hubungan kasih ibubapa dan anak-anak seterusnya memberi impak negatif kepada pembangunan sebuah keluarga yang harmoni dikemudian hari.
Anak-anak memerlukan perhatian dan belaian secukupnya untuk membesar dengan sihat dalam segala aspek termasuklah jasmani, rohani dan psikologi. 5 tahun pertama usia anak-anak merupakan waktu-waktu kritikal yang membentuk pertumbuhan dan pembesaran yang optimum. Menurut para pakar pembangunan kanak-kanak, kesan ketiadaan dan kekurangan belaian dan kasih sayang secukupnya akan hanya dapat dilihat apabila kanak-kanak itu mencecah umur dewasa. Kanak-kanak ini membesar dan berkelakuan kasar dan liar, suka memberontak, dan kurang keyakinan diri serta ada juga yang sering sakit-sakit.
Justeru, bagi memelihara generasi kita yang mendatang agar terjamin kualitinya sebagai pewaris bangsa merdeka dan bersahsiah tinggi, disarankan agar ilmu keibubapaan dan pusat asuhan diperkasakan di Negara ini. Kita tidak mahu anak-anak ini disia-siakan hanya kerana tuntutan kerjaya dan kecelaruan ekonomi yang tidak pernah akan berakhir. Kita juga tidak mahu kilauan permata-permata Negara ini malap lalu menghilangkan ketinggian nilainya. Apalah gunanya harta melimpah-ruah jika harta yang paling berharga ini (anak-anak) disia-siakan dan dibiarkan terabai. Jangan pernah dilupa hak anak-anak untuk dikasihi sepenuhnya. Asuhan dan didikan yang sempurna bakal melahirkan anak-anak yang soleh dimana ibubapa akan tetap mendapat manfaat dari doa anak-anak mereka yang soleh walaupun jasad mereka sudah ditelan bumi. Wallahu’alam.

(Nota: Ini adalah cebisan kenangan ketika penulis berkhidmat sebagai cikgu disebuah Taska dan tadika di Johor Bahru.)


Disediakan oleh, 

Puan Faridah Mohd Tap,
KJ Pengajian Umum, Kolej UNITI, Port Dickson.

TAHNIAH KEPADA PARA GRADUAN DIPLOMA PENDIDIKAN PRA SEKOLAH 'BATCH 2013' Kolej UNITI Port Dickson






Belajar sambil mencabar,


Pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang,



Bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin,


Berpengetahuan (mencabar) dan terpelajar.

(Prof. Ungku Aziz, 1973)







Kolej UNITI, Port Dickson 10 Sept- Pihak Fakulti mengucapkan setinggi tahniah kepada semua para graduan Diploma Pendidikan Pra Sekolah kerana telah berjaya menamatkan pengajian peringkat diploma dengan jayanya.

Walaupun begitu, langkah kalian dalam medan ilmu tidak terhenti setakat selesainya Istiadat Konvokesyen semalam. 

Hakikatnya, medan sebenar kalian adalah bagaimana memanfaatkan segala ilmu dan kemahiran yang diperolehi sepanjang tiga tahun di Kolej UNITI dalam diri, kepada masyarakat, bangsa, negara dan agama di masa mendatang. 

Berpijaklah di dunia nyata bahawasanya tiada kejayaan datang bergolek. Tamatnya pengajian Diploma adalah permulaan kepada episod baru kehidupan kalian untuk berikutnya. 

Justeru, pihak Fakulti mendoakan semua para graduan DPS bagi sesi 2013 meneruskan langkah dengan sukses. Antara yang kalian boleh fikirkan ialah:-

a) sambung belajar peringkat Ijazah Sarjana Muda di IPTA/ IPTS
b) memulakan pencarian karier sebagai guru tadika...
c) boleh juga terlibat dalam bidang keusahawanan kerana fakulti mempunyai kerjasama dengan Bondamama..
d) ..............................????? ................................. (Sila lengkapkan dan hubungi pihak Alumni Fakulti untuk kemaskini 'status' anda yang terkini. ).


Akhirnya, 

“Apa tanda si anak jantan?
Matinya di tengah gelanggang
Tidurnya di puncak gelombang
Makannya di tebing panjang
Langkahnya menghentam bumi
Lenggangnya mengipas semak
Tangisnya terbang ke langit
Esaknya di telan bumi
Yang tak kenal (kan) air mata
Yang tak kenal (kan) tunduk kulai…”





SELAMAT MAJU JAYA SEMUA!!!