Pages

Wednesday 22 May 2013

MENGHARMONIKAN PENDIDIKAN AL-HIKMAH KE DALAM FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

"Pelajar dimomokkan dengan kecemerlangan akademik dengan kerjaya yang bagus-bagus dengan gaji beribu-raban. Yang ketinggalan pula, dimomokkan sebagai tiada masa hadapan dan hidup melarat. Justeru, kepincangan ini telah melahirkan generasi yang taksub material serta miskin rohani yang memakan diri." (Faridah Mohd Tap)



                      
Sebagai pendidik, sudah tentu kita mahukan yang terbaik untuk pelajar-pelajar kita. Bukan sahaja terbaik dalam bidang akademik, tetapi turut juga cemerlang akhlak diri.

Mengajar kanak-kanak menuntut kesabaran yang diselangi senyum kebahagiaan. Mengajar dan mendidik remaja yang baru menginjak ke alam dewasa pula menuntut kesabaran tidak berbelah bahagi yang diselangi duka dan air mata. Namun itulah tugas dan cabaran sebagai insan bergelar pendidik kepada generasi muda yang semakin terhakis adab.

Setiap cabaran perlu ditempuh dengan semangat dan ketabahan. Remaja hari ini pula penuh dengan karenah yang perlu dihadapi dengan hikmah. Ibarat batu dan air. Batu yang keras sekalipun boleh berubah bentuk dengan titisan-titisan air yang menitis tenang ke atas permukaan batu.

Begitulah remaja. Sekeras manapun hati mereka, setinggi manapun ego diri, akhirnya tetap tunduk dengan pendekatan pendidikan yang penuh hikmah. Seperti yang berlaku kepada Saidina Umar Al-Khattab sebelum keIslamannya.

Walaupun terkenal dengan ketegasan, kebengisan, serta kebenciannya kepada Islam, namun akhirnya lunak jua kepada keteguhan dan keberanian adiknya, Fatimah demi menyatakan kebenaran dengan hikmah kalamullah. Sungguh besar hikmah pendidikan Qur’ani sehingga sebengis manusia yang digeruni para syaitan boleh lunak dengan Kalam Allah.


PENDIDIKAN AL-HIKMAH


Mungkin ada segelintir kita pertama kali dengar pendidikan al-hikmah ini. Secara umum, pendidikan al-hikmah merupakan lontaran idea penjenamaan pendidikan alternatif keislaman oleh Yang Berbahagia, Dato’ Dr. Siddiq Fadzil iaitu mantan presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang ke-empat. Berbicara tentang al-hikmah, teringat penulis kepada sebuah hadith, dimana Rasulullah telah bersabda mafhumnya, “hikmah adalah barang yang hilang dari orang mukmin, maka dimana sahaja ia didapati, dia adalah orang yang berhak terhadapnya.” (Riwayat At- Tirmidzi)

Dan lagi, bila disebut tentang hikmah, tidak boleh tidak kita pasti mengaitkannya dengan seorang sosok individu yang Allah telah muliakan dengan hikmah kebijaksanaan iaitu Luqmanul Hakim. Kebijaksanaan Luqman diabadikan dalam Al-Kitab (surah Luqman). 

Terdapat beberapa mesej sarat dengan makna dan nilai didikan sepertimana yang dipesan Luqman kepada anaknya seperti tercatat dalam surah Luqman, ayat 12 hingga 19, mafhumnya;

12)  Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmah kepada Luqman,    iaitu:  "Bersyukurlah kepada Allah.  Dan barangsiapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri; dan  barangsiapa  yang  tidak  bersyukur,   maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji."


13)        Dan  (ingatlah)  ketika Luqman  berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi   pelajaran   kepadanya: "Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan     Allah,     sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar".


14)         Dan  Kami  perintahkan  kepada  manusia   (berbuat baik)  kepada dua orang   ibu-bapanya; ibunya telah  mengandungnya dalam    keadaan  lemah  yang  bertambah-tambah,   dan menyusukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah  kepada-Ku  dan kepada  dua orang ibu-bapamu, hanya kepada-Kulah kembalimu.


 15)        Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu  yang   tidak ada pengetahuanmu tentang itu,  maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada-Kulah kembalimu, maka Kuberitakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.


 16)        (Luqman berkata):    "Hai anakku,  sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu, atau di langit, atau   di dalam  bumi,    nescaya  Allah  akan mendatangkannya (membalasnya). Sesungguhnya  Allah   Maha  Halus   lagi Maha Mengetahui.

 17)        Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah  (manusia)  mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).


18)        Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia ((kerana sombong)   dan   janganlah  kamu  berjalan  di muka  bumi  dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.


19)        Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu, sesungguhnya  seburuk-buruk suara adalah suara keldai.


Dari mafhum Kalamullah di atas, dapat kita simpulkan pendidikan al-hikmah adalah yang berteraskan kepada faham ketawhidan yang tuntas. Seorang pendidik haruslah menyemai nilai-nilai murni insaniah sepertimana yang digarap dalam surah di atas iaitu bersyukur, tidak berbuat syirik, berbuat baik kepada ibu bapa, mendirikan solat, amar makruf dan nahi munkar, bersabar, rendah hati, besederhana dan berlemah-lembut dalam bicara ke dalam diri setiap pelajar.


Ironisnya, dilema pendidikan tinggi hari ini adalah terlalu mengejar nilai material sehingga nilai spiritual terus-terusan dibiar kering-kontang. Maka, tidak hairanlah jika kedengaran jenayah-jenayah kolar putih seperti rasuah yang melibatkan golongan cerdik pandai. Yang ketinggalan dalam pelajaran pula terjerat dalam kebejatan sosial. Yang bijak pandai memanipulasi kecerdikan untuk melakukan perkara mungkar dalam diam, yang lemah akal pula tidak segan silu menyatakan kejahilan dalam terang.


CEMERLANG INTELEK TAPI MISKIN ROHANI


Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin melahirkan insan yang cemerlang jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) masih jauh dari realiti. Kejayaan pelajar hari ini diukur dengan pencapaian cemerlang dalam akademik semata-mata.


Pelajar dimomokkan dengan kecemerlangan akademik dengan kerjaya yang bagus-bagus dengan gaji beribu-raban. Yang ketinggalan pula, dimomokkan sebagai tiada masa hadapan dan hidup melarat. Justeru, kepincangan ini telah melahirkan generasi yang taksub material serta miskin rohani yang memakan diri.


Natijah akhirnya, institusi pendidikan akan gagal kerana hanya melahirkan manusia robot yang tiada belas ihsan kepada insan lain. Sifat insaniah semakin terhakis. Semakin tinggi ilmu semakin meninggi diri, semakin hilang hormat kepada yang lebih tua, semakin hilang kasih kepada yang muda, semakin tinggi suara tatkala berhujah, semakin mendabik dada, yang kaya dipuja, yang miskin dikeji, yang salah dibenarkan dan yang benar disalahkan. Itulah signifikans pesanan Abuya Luqmanul Hakim kepada anaknya untuk menjaga aspek kerohanian kerana ia sering dipinggirkan.

Disebabkan itu, pendidikan al-hikmah dengan mengambil intipati pesanan si bijaksana-Luqmanul Hakim-perlu dihidup suburkan dalam misi mencerahkan semula kewibawaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan supaya sistem pendidikan ini mampu melahirkan generasi baru yang cemerlang akal dan budi yang merupakan teras keberlangsungan tamadun insaniah.

Kesimpulannya, generasi baru ini yang akan membawa kembali sinar tawhid dan sifat-sifat insaniah di tengah-tengah ancaman sekularisasi yang darinya telah lahir pelbagai –isme (pemikiran) yang membelakangkan fitrah manusiawi lalu hilang pedoman. Wallahu’alam.


Oleh,

FARIDAH BINTI MOHD TAP
Jabatan Pengajian Umum,
Kolej UNITI, Port Dickson,
Negeri Sembilan.
Boleh dihubungi melalui emel, fa_mimosa@yahoo.com / faridah@uniti.edu.my