Pages

Thursday 28 December 2017

Kenapa Bermain Penting Buat Kanak-kanak? I Kolej UNITI Port Dickson

Pendekatan belajar sambil bermain di tadika atau taska semakin diterima oleh masyarakat di Malaysia. Pendekatan ini dilihat sangat berkesan dalam membantu kanak-kanak dalam pembelajaran dan perkembangan mereka berbanding pembelajaran secara formal. 

Ihsan imej: Google Pics


Terdapat banyak kajian yang telah dijalankan oleh tokoh-tokoh terkenal terdahulu mengenai aktiviti bermain ini, antaranya ialah Vygotsky. Beliau menyatakan bahawa bermain membantu perkembangan bahasa  dan pemikiran kanak-kanak.

Selain itu kaedah bermain juga dapat memberi kebebasan kepada kanak-kanak untuk meluahkan tekanan dalam menghadapi dunia sebenar.

Bermain terdiri daripada beberapa jenis antaranya:

1) solitary play (bermain sendirian),
2) parallel play (bermain bersama-sama),
3) associative play (main gabungan) dan
4) cooperative play (bermain berkumpulan).

Bagi seseorang kanak-kanak, bermain adalah satu pekerjaan bagi mereka.

Secara kasarnya, kebanyakan orang melihat belajar sambil bermain ini hanya main semata-mata dan tidak mendatangkan faedah, akan tetapi, melalui pendekatan ini sebenarnya dapat meningkatkan perkembangan menyeluruh kanak-kanak dari pelbagai aspek.

Sebagai contoh subjek Matematik mengira nombor, kebiasaannya belajar menggunakan latihan buku dan papan tulis boleh ditukarkan dalam bentuk permainan seperti permainan “Bowling Nombor”, dimana kanak-kanak boleh belajar bermain bowling sambil belajar mengira nombor mengikut jumlah pin yang jatuh.

Pendekatan tersebut merupakan pendekatan secara “child-centered” dan banyak aktiviti “hands-on”, dimana kanak-kanak melakukan sendiri dan guru hanya membimbing dalam aktiviti.

Apabila kanak-kanak sendiri yang melakukan dan menerokai sesuatu, pembelajaran tersebut lebih bermakna.

Jadi sebagai guru, perlulah bijak merancang dan menyediakan bahan bantu mengajar yang bersesuaian dengan tema atau tajuk yang ingin diajar dan peringkat umur kanak-kanak supaya pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar dan objektif pembelajaran tercapai.

Selain itu, ibubapa juga telah semakin sedar tentang pendekatan bermain ini dapat membantu anak-anak mereka dan banyak hasil kerja tangan dan aktiviti yang dibuat sendiri seperti busyboard, busybook, kinetic sand dan sebagainya untuk anak-anak mereka main.

Melalui aktiviti tersebut, perkembangan motor halus, motor kasar, daya tumpuan dan kemahiran menyelesaikan masalah dapat ditingkatkan.

Tambahan lagi, dengan bermain, kanak-kanak dapat berimaginasi, berkreativiti, berdikari, meningkatkan tatabahasa dan pertuturan antara guru dan rakan sebaya, mendengar arahan, bekerjasama dalam aktiviti berkumpulan.

Kesimpulannya, bermain adalah fitrah kanak-kanak. Apabila pengajaran dan pembelajaran yang ingin disampaikan selari dengan fitrah mereka, maka pembelajaran itu lebih bermakna, seronok dan menjadi lebih mudah.

Disediakan Oleh:

PUAN NUR SHAFIQA BINTI MOHTAR
PENSYARAH,
JABATAN PENDIDIKAN,
FAKULTI PENDIDIKAN DAN PEMBANGUNAN MANUSIA,
KOLEJ UNITI PORT DICKSON

TAHUKAH ANDA? Penduduk Lelaki lebih ramai daripada penduduk wanita di Malaysia.

Tahukah kalian bahawa jumlah penduduk lelaki masih lagi mendahului penduduk wanita di Malaysia? Menurut statistik bancian penduduk Malaysia 2010, 51.5 peratus adalah penduduk lelaki berbanding 48.5 peratus penduduk wanita. Penduduk lelaki dijangka berterusan mendahului penduduk perempuan hingga tahun 2040 dengan sedikit penurunan peratus kepada 50.8.

Persoalannya, sejauhmana para lelaki ini dibina potensi diri mereka seperti yang dimaksudkan didalam Al-Qur’an dimana Allah berfirman maksudnya, “kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu, maka wanita yang soleh ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, kerana Allah telah memelihara mereka. (Surah An-Nisa’: ayat 34).

Justeru, kita perlu memandang serius kepada gejala keciciran lelaki dalam pendidikan dengan mengenal pasti dan membina potensi secara tepat dan efektif bersesuaian dengan fitrah sebenar mereka sebagai ‘pemimpin’. Ini ternyata benar apabila merujuk kepada kalamullah tentang perbezaan cara pendidikan kanak-kanak lelaki dan perempuan yang bermaksud “maka tatkala isteri ‘Imran melahirkan anaknya, dia pun berkata, “ya Tuhanku, sesungguhnya aku melahirkan seorang anak perempuan; dan Allah lebih mengetahui apa yang dilahirkannya itu; dan anak lelaki tidaklah seperti anak perempuan…” (Surah Al-‘Imran: ayat 36).

Menurut Michael Gurian bersama Kathy Stevens (2011) dalam buku berjudul ‘Boys and girls learn differently: a guide for teachers and parents’, kanak-kanak lelaki perlu dibantu menjadi lelaki sebenar apabila dewasa dengan membantu mereka mencari anugerah semulajadi dan memanfaatkan anugerah berharga tersebut kepada masyarakat. Ia merupakan usaha murni bagi membantu memperkasa potensi ‘heroic’ lelaki seawal mereka kanak-kanak untuk tujuan yang lebih besar iaitu menjadi pemimpin kepada masyarakat dalam semua lapangan.

Pendedahan Tujuan

Untuk itu, kanak-kanak lelaki perlu diberikan pendedahan tentang tujuan mereka dicipta sebagai lelaki yang digariskan dalam Al-Qur’an iaitu sebagai pemimpin. Kesan daripada kehilangan tujuan dalam diri mereka akan menyebabkan tahap kematangan yang lambat, keciciran dalam pelajaran, tidak dapat membina perasaan yang jelas tentang kepentingan peranan mereka dalam pendidikan dan sosial, serta terlibat dalam keganasan.

Keterlibatan lelaki dalam aktiviti-aktiviti keganasan adalah manifestasi sifat kelakian mereka yang sukakan kepada aktiviti lasak, agresif,‘thrill’ dan mendominasi tetapi ia tersasar jauh daripada yang sepatutnya iaitu menjaga keluarga dan survival masyarakat daripada ancaman bahaya. Ini terjadi apabila mereka hilang tujuan kenapa mereka dijadikan sebagai lelaki di dunia ini.

Oleh itu, bagaimana mahu membangunkan kanak-kanak lelaki yang ada tujuan?  Menurut Gurian (2011), ibubapa dan guru perlu memandu biologi kanak-kanak lelaki untuk mengetahui dan memahami tujuan kejadian mereka, membantu mereka membina empati, dan mengurus kekuasaan secara sihat atau istilah lainnya ‘aggression nurturance’. Sebagai contoh, kanak-kanak lelaki sering terlibat dengan pergelutan fizikal untuk menunjukkan kekuasaan dan kekuatan fizikal.

Kanak-kanak lelaki perlu dididik supaya menguruskan kekuasaan tersebut secara sihat seperti mengadakan pertandingan yang boleh menguji sifat ‘heroic’ mereka sebagai lelaki. Bagi yang kalah dalam pertandingan, ia juga sebenarnya boleh membantu kanak-kanak lelaki untuk membina kekentalan jiwa, kekuatan fizikal, mental dan emosi yang akan menjadi asas kepada masa depan yang berjaya, kecemerlangan prestasi, tujuan dan keterlibatan dalam kehidupan bermasyarakat.   

Kesimpulannya, kajian menunjukkan kanak-kanak lelaki banyak belajar melalui bermain. Pembelajaran melalui aktiviti bermain akan menjadi pengalaman kepada mereka dalam membangunkan sifat-sifat kepimpinan, menjadikan mereka lebih empati dan mempunyai tujuan dalam hidup. Oleh itu, ibu bapa dan institusi pendidikan khususnya perlu celik tentang keperluan kanak-kanak dan pelajar lelaki supaya potensi ‘heroic’ dalam diri mereka dapat dibangunkan untuk manfaat agama, masyarakat dan negara dan isu keciciran pelajar lelaki dalam pelajaran dapat diatasi.

Disediakan oleh,

PUAN FARIDAH BINTI MOHD TAP
Ketua Jabatan Pengajian Umum,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Kolej UNITI, Port Dickson.


Monday 11 December 2017

GURUKU- GUS MUS (SASTERAWAN TERKENAL NUSANTARA)



GURUKU

***

Oleh: KH A Mustofa Bisri 


Ketika aku kecil dan menjadi muridnya

Dialah di mataku orang terbesar dan terpintar

Ketika aku besar dan menjadi pintar

Kulihat dia begitu kecil dan lugu

Aku menghargainya dulu

Karena tak tahu harga guru

Ataukah kini aku tak tahu

Menghargai guru?


Pensyarah Kolej UNITI Port Dickson Ambil Peduli Banteras Jenayah Seksual Kanak-kanak- Faridah Mohd Tap

Peserta bergambar bersama panel (tengah) di akhir kursus.
30 November-  Sekitar 50 orang pensyarah dari Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia (FPPM) dan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan (FTK) telah mengikuti kursus Pengurusan Emosi dan Literasi Undang-undang Kekeluargaan dan Kanak-kanak anjuran kerjasama kedua-dua fakulti tersebut sebagai wahana pencerdasan dalam pengukuhan institusi kekeluargaan dan masyarakat mendepani cabaran semasa yang semakin rencam.

Tiga orang panel telah diundang khas bagi menjayakan kursus terdiri daripada Ustazah Zawiah binti Hassan, penceramah bebas yang tidak asing lagi di Malaysia, Puan Norazla binti Abdul Wahab, Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Saudara Khairul Anuar bin Abdul Manap, mewakili Pertubuhan Pemerkasaan Keluarga (FAME) selaku setiausaha. Ketiga-tiga panel memberi penekanan kepada pengurusan emosi dan pencerdasaan undang-undang melibatkan keluarga dan kanak-kanak.

Ustazah Zawiah Hassan yang juga merangkap mantan Ketua Pendaftar JAWI menyentuh tentang peri pentingnya pengurusan emosi dengan berkongsi realiti kes-kes keretakan rumahtangga akibat desakan emosi yang tidak stabil berdasarkan pengalaman beliau sepanjang 29 tahun berkhidmat.

Ustazah Zawiah Hassan berkongsi tips membahagiakan keluarga
Beliau turut berkongsi bagaimana membina motivasi dalaman untuk menjadi seorang pekerja yang baik dengan menekankan konsep syukur dan kerjaya sebagai ibadah.  "Apabila keluarga bahagia secara tidak langsung terjelma dalam kerjaya yang berjaya. Itulah kehidupan yang barakah." Rumus beliau pada sesi pertama kursus tersebut.

Berikutnya, para pensyarah juga telah diberikan pendedahan terkini berkaitan Akta Kanak-kanak 2001 dan Jenayah Seksual serta langkah pencegahannya oleh gandingan ahli akademik dan aktivis kanak-kanak, Puan Norazla dan Saudara Khairul Anuar.

Gandingan Puan Norazla dan Sdr Khairul Anuar 
Beberapa terma baru juga didedahkan kepada peserta kursus seperti 'Kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-udang' bagi merujuk kepada kanak-kanak bawah umur yang terlibat dalam perlakuan jenayah serta peri penting masyarakat melaporkan kes-kes kepada kepada pihak berkuasan agar jenayah terhadap kanak-kanak dapat dibanteras oleh Puan Norazla.

Peserta juga didedahkan dengan kewujudan Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-kanak yang telah beroperasi sepenuhnya di Putrajaya pada 1 Julai 2017 yang lalu.

Manakala, Saudara Khairul Anuar mewakili Badan Bukan Kerajaan berkongsi beberapa kes jenayah seksual dan pengabaian kanak-kanak. Beliau memberi penekanan agar ibubapa dan pendidik kanak-kanak sentiasa cakna dengan persekitaran dan individu di sekeliling mereka. Beliau turut menegaskan bahawa kanak-kanak perlu dinasihat agar sentiasa berhati-hati dengan semua orang bukan lagi kepada orang asing kerana banyak kes rogol yang berlaku melibatkan pelaku yang dikenali mangsa kanak-kanak tersebut.


"Penganjuran kursus ini sebenarnya merupakan usaha fakulti bagi mendedahkan kepada peserta tentang pengurusan emosi yang baik agar dapat mencipta persekitaran keluarga dan kerjaya yang bahagia dan berjaya. 

Selain itu, sesuai dengan gagasan FPPM yang menawarkan program-program diploma pendidikan pra sekolah dan asuhan awal kanak-kanak, pendidikan Islam sekolah rendah dan psikologi kaunseling, maka slot literasi undang-undang berkaitan kanak-kanak dan jenayah terhadap mereka juga diberikan. Seterusnya, perkongsian daripada kursus ini mereka turunkan pula kepada pelajar-pelajar dan anak-anak taska dan tadika agar jenayah seksual kanak-kanak dapat dibanteras dengan keterlibatan semua pihak. Ia juga bertepatan dengan komitmen kerajaan dalam menangani isu kanak-kanak ini." Jelas penganjur.



Disediakan oleh,


Puan Faridah Mohd Tap
Setiausaha,
Kursus Pengurusan Emosi dan Literasi Undang-undang Kekeluargaan,
Kolej UNITI Port Dickson.


Galeri Foto:



















Product Info: Diploma Pendidikan Islam Sekolah Rendah (DPISR) Kolej UNITI Port Dickson







Kenyataan Media: Amali Dalam Pendidikan Islam Bantu Murid Hayati Ajaran Islam


Rentetan daripada tindakan Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan untuk mewajibkan murid-murid mendirikan solat secara berjemaah telah mengundang polemik apabila segelintir pertubuhan dan individu tidak senang mengenainya.

Justeru, Kementerian Pendidikan Malaysia dengan segera memuatnaik sebuah kenyataan media di laman web rasminya berjudul, 'Amali Dalam Pendidikan Islam Bantu Murid Hayati Ajaran Islam' bagi menjawab segala kekeliruan yang timbul.

Bagaimana pula reaksi Admin Blog Fakulti FPPM Kolej UNITI Port Dickson ini?

Sejujurnya, admin mengucapkan syabas kepada kepantasan tindakan KPM menjawab isu ini. Pada hemat admin, tindakan sekolah mewajibkan pelajar menunaikan solat jemaah sebelum pulang ke rumah merupakan satu pendekatan pendidikan yang berhikmah.

Pelajar bukan sahaja menunaikan solat, malah pelajar juga akan belajar pelbagai nilai-nilai yang ada didalam solat itu seperti ukhuwwah, hidup beragama sebagai paksi kehidupan seharian, ketepatan waktu dan semua sifat mahmudah yang lain.

Sewaktu Admin bersekolah rendah (Johor), menjadi kelaziman apabila azan berkumandang, para murid sekolah agama kerajaan dan ustaz/ah akan bersiap sedia pergi ke masjid (sebelah sekolah) untuk menunaikan solat berjemaah.  Begitu juga, pelajar sekolah menengah yang turut sama terletak berhadapan masjid. Pelajar diiringi guru dalam keadaan berbaris memasuki perkarangan masjid untuk mendirikan solat. Kemudian, apabila sekolah telah ada surau sendiri yang besar, pelajar akan menunaikan solat apabila tiba waktunya secara berjemaah.


Tindakan mewajibkan solat berjemaah merupakan penawar kerana masyarakat dunia dalam New Age Movement atau juga IR 4.0 kini beransur-ansur kembali kepada nilai-nilai murni dan keagamaan. Dalam keadaan dunia semakin tenat dengan pelbagai isu kemanusiaan dan alam yang menggusarkan banyak pihak, solat merupakan salah satu kunci penyelesaian kepada semua masalah yang timbul.



Nota:


Kolej UNITI Port Dickson, kami turut menawarkan Program Diploma Pendidikan Islam Sekolah Rendah (DPISR) sebagai peneraju kepada pendidikan Islam sekolah rendah pertama di Malaysia.

Berminat?

Hubungi Admin di ruangan komen @ WA di talian 013-611 5468.


Anak-Anak Taska Cahaya Tasneem Sertai Program Latihan Kebakaran Kolej UNITI Port Dickson


21 November 2017 – Satu program Latihan Kebakaran anjuran Hal Ehwal Pelajar Kolej UNITI telah diadakan bertempat di Dewan Za’ba, UNITI Village. Program yang melibatkan penyertaan semua staf dan pelajar Kolej UNITI ini turut disertai oleh guru dan anak-anak Taska Cahaya Tasneem Kolej UNITI Port Dickson.


Program ini diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada warga Kolej UNITI Port Dickson tentang tindakan yang perlu diambil ketika berlaku kebakaran, mulai dari saat penggera kebakaran berbunyi serta kedah memadamkan api dengan bimbingan pihak Jabatan Bomba Dan Penyelamat.


Menariknya, anak-anak TCT turut hadir bersama dalam program latihan ini, malah sangat seronok dapat berkumpul dan mendengar taklimat daripada pihak Jabatan Bomba Dan Penyelamat. Anak-anak kecil ini juga boleh dan bersedia mengikut arahan guru untuk keluar melalui pintu kecemasan dengan bimbingan guru apabila penggera kebakaran dibunyikan.


Aktiviti demonstrasi memadam api juga menarik perhatian kanak-kanak yang terlibat. Selain dapat melihat demonstrasi cara memadamkan api oleh pihak Jabatan Bomba, si cilik ini juga berpeluang melihat guru mereka mensimulasikan kaedah memadam api. Pastinya tepukan gemuruh dan sorakan kecil anak-anak TCT memecah keheningan meraikan kejayaan guru mereka dapat memadam api kebakaran.


Selain itu, anak-anak TCT diberi peluang juga untuk menaiki lori bomba dan bergambar kenangan bersama. Sekembalinya dari program ini, keterujaan anak-anak kecil ini sangat terserlah apabila mereka petah berbicara tentang keseronokan menyertai program Latihan Kebakaran ini. Pastinya pengalaman selama satu jam bersama pihak Jabatan Bomba Dan Penyelamat dalam latihan kebakaran ini meninggalkan satu pengalaman pembelajaran yang menggembirakan dan bermakna pada anak-anak TCT.


Galeri Foto:












                                     

Disediakan Oleh,

Nur Akmar Binti Mohd Arif
Pensyarah,
Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson

LIMA SEBAB MENGAPA PERLU MEMILIH PLAYSCHOOLS- Nurshaqila bt. Toha

Ihsan imej: google
Program Playschools telah bermula sejak tahun 1966 iaitu tiga tahun sebelum program legenda, Sesame street ditayangkan kepada kanak-kanak  di seluruh dunia. Jadi playschools bukanlah perkara yang bukan asing, kerana dewasa ini program playschools hebat diperkatakan oleh ibu bapa terutamanya pasangan ibu bapa muda yang mengalami keterbatasan waktu dan perhatian bersama anak-anak mereka.


Menerusi pembacaan atau pendedahan melalui program keibubapaan, Program playschool  mula meningkatkan kesedaran ibu bapa tentang pentingnya pendekatan bermain ini didedahkan kepada anak-anak sejurus mereka mula belajar, sekitar usia enam bulan ke atas dan kesannya terhadap perkembangan anak-anak.


Walau bagaimanapun, tidak dinafikan terdapat tentangan dari generasi-generasi tua tentang isu terlalu awal untuk anak-anak dihantarkan ke sekolah atau pun ianya satu pembaziran menghantar anak-anak ke sekolah dengan bayaran cuma untuk kanak-kanak ini menghabiskan masa untuk bermain. Tidak kurang juga yang memandang serong sesetengah ibu bapa yang menghantar anak mereka ke playschools sebagai golongan yang “gedik” kerana menginginkan prestasi anak mereka jauh lebih hebat dari anak orang lain.  Bagi merungkai spekulasi yang semakin tular dalam masyarakat kita tentang keperluan playschools,  mari kita rumuskan keperluan sebenar kanak-kanak dan sebab sebenar untuk ibu bapa memilih playschools. 


1. Kanak-kanak belajar melalui bermain

Bermain dan kanak-kanak adalah fitrah yang tidak dapat dipisahkan. Kebanyakan ibu bapa lebih senang melihat anak-anak mereka menghabiskan masa dengan belajar tanpa mereka sedari dengan bermain sebenarnya kanak-kanak ini mendapat manfaat yang lebih dari pelbagai sudut perkembangan. Menurut Jean Piaget dalam kajiannya menegaskan bahawa main adalah ciri-ciri yang membantu kanak-kanak meningkatkan perkembangan mereka dan juga memperoleh pengalaman yang dikenali sebagai asimilasi dan akomodasi. Kebanyakan aktiviti yang dijalankan di bawah program playschool menggalakkan kanak-kanak untuk bermain secara pelbagai, termasuklah aktiviti seperti menyelesaikan masalah dan reka cipta. Menerusi bahan permainan pembelajaran Artera, kanak-kanak dapat meluaskan lagi imaginasi mereka dalam membina, mereka cipta dan bermain dengan baik menerusi kompenen-kompenen menarik yang disediakan.


2. Menggalakkan pendidikan interaktif sambil bermain.


Playschools, seperti yang digambarkan, ianya menggalakkan sepenuhnya pendekatan bermain. Tiada jadual yang ketat, pembelajaran yang berat serta memberi kebebasan untuk kanak-kanak belajar tentang persekitaran melalui interaksi yang aktif di kalangan rakan-rakan dan guru. Menerusi pendidikan ini, kanak-kanak dapat mempelajari perbezaan tentang warna-warna, bentuk serta objek-objek yang berada di persekitaran mereka.


3. Mengukuhkan kemahiran motor halus dan motor kasar. 

Motor halus merupakan gerakan-gerakan kecil yang menggunakan anggota badan manakala motor kasar merupakan gerakan-gerakan besar seperti berjalan, berlari dan sebagainya. Melalui bermain, kanak-kanak dapat memaksimumkan pencapaian mereka dalam perkembangan fizikal. Gerakan-gerakan halus dan kasar ini merupakan titik tolak untuk kanak-kanak ini mengukuhkan kemahiran mereka untuk mencapai satu perkembangan yang lain.


4. Mengukuhkan perhatian dan tumpuan kanak-kanak.


Berdasarkan nisbah guru yang lebih besar berbanding sekolah-sekolah awam, guru mempunyai lebih ruang untuk menumpukan lebih perhatian kepada kanak-kanak. Guru dan kanak-kanak dapat menjalinkan satu perhubungan yang lebih rapat dan bermakna. Hubungan yang terjalin dapat membantu kanak-kanak lebih peka tentang sosio emosi antara rakan-rakan dan guru. Ini dapat membantu kanak-kanak lebih fokus dalam memainkan peranan sebagai rakan dan murid serta menerima arahan untuk tugasan-tugasan kecil sewaktu sesi bermain.


5. Membina keyakinan dan kemahiran komunikasi 


Melalui aktiviti bermain juga, kanak-kanak akan melalui fasa berkomunikasi dengan rakan-rakan di sekitarnya. Aktiviti ini selalunya berlaku dalam proses tawar menawar barangan permainan, alatan tulis dan sebagainya. Semakin banyak patah kata yang dituturkan, semakin meningkat lah kemahiran berkomunikasi kanak-kanak. Selain dari sesi perbualan, kemahiran komunikasi juga dapat dilihat dari cara kanak-kanak bermain secara berkumpulan. Aktiviti-aktiviti menggunakan bahan seperti Artera banyak dapat membantu kanak-kanak untuk mengukuhkan kemahiran bermain secara kumpulan.


Berikut adalah serba sedikit perkongsian tentang program playschools yang ditawarkan kepada kanak-kanak di bawah usia 4 tahun. Sebagai ibu bapa, anda haruslah bijak dalam menentukan hala tuju buat anak-anak anda, tetapi harus juga di ingatkan, berilah peluang untuk anak-anak anda untuk menikmati usianya.



Disediakan Oleh,

Nurshaqila bt. Toha,
Pensyarah,
Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson.

Sunday 10 December 2017

Ucapan Khas Timbalan Dekan bersempena Hari Kanak-kanak Sedunia- Puan Hidayah Tokiman

Konvensyen Hak Kanak-Kanak mengesahkan keperluan bagi perlindungan undang-undang dan perlindungan yang lain kepada kanak-kanak sebelum dan selepas lahir, kepentingan hormat kepada nilai kebudayaan komuniti kanak-kanak dalam menjamin hak kanak-kanak. Di Malaysia konvensyen ini telah diterima pakai pada 17 Februari 1995 yang telah ditandatangi oleh Perdana Menteri pada 28 Disember 1994 yang merupakan sebuah perjanjian antarabangsa yang bertunjangkan kepada kepentingan dan hak asasi kanak-kanak.
ihsan imej: google


Rentetan itu sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia buat kali pertama oleh UNICEF (United Nations Children’s Fund) pada tahun 1954 dan pada tahun 1959 Hari Kanak-Kanak Sedunia telah diistiharkan dan disambut pada tiap-tiap tahun pada mana-mana hari Sabtu dalam bulan Oktober di Malaysia. Sambutan ini sebagai satu penghormatan dan pengiktirafan kepada golongan kanak-kanak yang diharap dapat memberi kesedaran kepada masyarakat secara keseluruhannya akan peranan dan tanggungjawab dalam memelihara hak serta masa depan kanak-kanak.



Sementara Hari Kanak-Kanak Universal pula disambut pada 20 November pada setiap tahun bagi memperbaharui komitmen terhadap Pengistiharan Hak Kanak-Kanak dan Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak seterusnya memberi ruang kepada perbincangan masyarakat antarabangsa akan kepentingan kefahaman generasi kanak-kanak.



Terkini, menerusi perutusan khas sempena Hari Kanak-Kanak Universal menyentuh isu kanak-kanak menerusi Pertubuhan-pertubuhan Negara Islam (OIC), kanak-kanak perlu mendapat pendidikan berkualiti dan persekitaran yang baik, menanamkan nilai tolerasi sesama manusia bagi memenuhi keperluan kesihatan mental dan fizikal mereka. Tambahan membincangkan isu kanak-kanak di dunia Islam sejajar dengan matlamat dan visi keseluruh serta menyeru negara yang mengiktiraf hak universal kanak-kanak agar menyertainya demi kepentingan dan kesejahteraan kanak-kanak.



Terdahulu Persidangan Menteri-Menteri Islam pada 2013 telah menerima pakai pelan tindakan untuk menangani isu berkaitan hak pendidikan dan penjagaan kesihatan kanak-kanak, perlindungan terhadap penderaan, keganasan, buruh paksa dan pemerdagangan kanak-kanak. Selain itu persidangan turut menyentuh berkaitan hak kanak-kanak dalam pembangunan fizikal, intelektual psikologi termasuk penjagaan perubatan serta psikologi khasnya bagi kanak-kanak yang tinggal di zon perang dan konflik.



Demikian, jelaslah bahawa hak dan kepentingan kanak-kanak sangat mempengaruhi sesuatu keputusan. Dengan adanya Hari Kanak-Kanak Sedunia dapat memberi semangat dan inspirasi di seluruh dunia bagi kanak-kanak menyuarakan perkara-perkara penting tanpa menidakkan hak-hak mereka kerana generasi inilah yang akan menerajui negara bila tiba masanya nanti. Justeru, pelihara dan sokonglah dalam setiap perkembangan mereka kerana kanak-kanak adalah jaminan masa depan negara.


Disediakan oleh:

Puan Hidayah Binti Tokiman,
Timbalan Dekan, 
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia
Kolej UNITI Port Dickson.