Pages

Monday 20 June 2016

ULASAN BUKU: AWAS! ANCAMAN ORIENTALIS TERHADAP KITA- Faridah Mohd Tap


 

AWAS! ANCAMAN ORIENTALIS TERHADAP KITA oleh Mohd Fikri Che Hussain. Shah Alam: Karya Bestari, Grup Buku Karangkraf, 2011. Halaman 367. ISBN: 978-967-86-0382-9.


Penulis memulakan penulisan buku ini dengan menjelaskan tujuan beliau menulis karya ini yang merupakan kesinambungan daripada buku pertama dalam kajian orientalis beliau bertajuk Biografi Tokoh Orientalis Menurut Kitab al-A’lam al Zarikli. Individu yang menguatkan penulisan beliau kali ini ialah Dr. Ahmad Zahid Salleh seorang ahli akademik IPTA di pantai timur dengan alasan ketiadaan bahan bacaan berkaitan topik orientalisme ini di pasaran terbuka. Pengulas bersetuju kerana agak sukar untuk mendapatkan bahan ini  dalam bahasa Melayu di pasaran terbuka. Pengulas telah didedahkan dengan karya Edward D. Said berjudul Orientalism ketika di bangku universiti lagi mungkin didorong oleh bidang pengajian pengulas iaitu sains politik.



Penulis berharap karya ini dapat membantu umat Islam untuk mempertahankan akidah umat Islam dengan respons lebih ilmiah daripada penyelewengan intelektual barat terhadap ajaran Islam sebenar. Umat Islam hari ini telah diserang dengan pelbagai ‘isme’ (ideologi) yang meragukan dan menyesatkan. Para orientalis hingga kini telah menyerang agama Islam dengan menimbulkan pelbagai syak wasangka terutama dalam aspek ketuhanan, kenabian serta dakwah islamiyyah. Malahan, sirah nabawi dan sejarah Islam juga dipesongkan dengan banyak sekali dan ironinya telah tersebar dikalangan umat Islam sendiri.  Penulis membuktikan segala pemesongan yang dibuat oleh para orientalis dengan mendatangkan fakta-fakta kukuh untuk menjelaskan riwayat dengan lebih adil dari kaca mata Islam yang sebenar.



Buku ini terdiri daripada 12 bab yang menyentuh pelbagai aspek orientalisme . Penulis menulis karya ini atas dorongan murni iaitu ingin menangani lambakan karya-karya berunsurkan kajian ketimuran atau orientalisme yang meracuni pemikiran umat Islam khususnya dan pengkaji Islam lainnya. Bagi pembaca yang tiada maklumat tentang agenda orientalisme mungkin tidak berminat dengan bacaan ‘agak berat’ ini tetapi pengulas yakin, bacaan ini mampu membuka mata kita tentang banyak pemesongan yang menggugat akidah umat Islam. Disebabkan itu, judul yang diberikan diolah dengan nada tegas  iaitu ‘AWAS! Ancaman Orientalisme  Terhadap Kita: Jangan Biarkan Dunia Islam Ditakluki.’



Bab satu karya ini memulakan perbincangan dengan mengenalkan pembaca tentang konsep orientalisme daripada pelbagai sumber dan perspektif. Walaupun kata akar bagi istilah orientalism –orient iaitu kajian hal-hal ketimuran, didapati kajian yang dilakukan oleh barat tentang timur lebih menjurus kepada hal ehwal Islam. Antara pengkaji barat yang terawal mengkaji ketimuran ini ialah A.J Arberry (1638), Anthony Wood (1691), Samuel Clarke (1675-1729), Lord Byron (1788-1729) dan Maxim Rodinson (1799).



Bab dua pula membincangkan tentang sejarah kemunculan orientalisme. Dr. Sasi Salim Al-Haj, seorang sarjana Islam telah menulis buku sebanyak dua jilid tentang berjudul ‘Kemunculan Orientalisme’ pada tahun 1990-an. Antara yang menarik perhatian pembaca ialah tentang bagaimana kajian orientalisme ini digunakan dalam dasar imperialism untuk menguasai dunia timur. Para orientalis adalah ‘tulang belakang’ kejayaan proses penjajahan barat di dunia timur. Para orientalis diberi jawatan-jawatan penting misalnya ketua turus angkatan tentera, pegawai tentera dan tentera angkatan pertahanan. Kini, mereka diposisikan di bahagian pentadbiran luar negara untuk merancang taktik bagi menguasai politik semasa di timur dan peranan mereka cukup besar dalam serangan di Afghanistan dan membenarkan kewujudan Israel secara haram pada tahun 1948. Orientalisme Yahudi pula menyebarkan tentang kuil purba Yahudi iaitu Haikal Sulaiman di bawah tapak Masjid Al-Aqsa yang jelas merupakan penipuan dan penyelewengan hingga kini (hlm.40).



Penulis membincangkan matlamat orientalisme ini dalam bab tiga buku ini. Pelbagai tujuan diketengahkan sebagai matlamat para orientalis iaitu tujuan keagamaan, keilmuwan, ekonomi perdagangan, politik penjajahan, kebudayaan, pengembangan kesusasteraan, tujuan berkonsepkan Arab Islam yang dipengaruhi elemen orientalisme dan tujuan berkonsepkan aliran pemikiran. Sebagai contoh, para orientalis Yahudi dan Kristian melakukan pelbagai kajian menyeluruh tentang segenap aspek agama Islam; bahasa, undang-undang, Al-Qur’an dan Sunnah, pendidikan dan lain-lain lalu memesongkan segala fakta secara licik kerana Islam dirasakan sebagai saingan kepada Yahudi dan Kristian hingga kini.



Seterusnya, dalam bab empat dan lima, penulis mendedahkan metode yang digunakan para orientalis untuk meng’halal’kan agenda mereka dan kaedah asas orientalisme. Metode-metode yang digunakan para orientalis ialah dakwaan bahawa Islam adalah serpihan dan agama Yahudi dan Kristian, mewujudkan keraguan terhadap kesahihan hadis nabi, mengkaji perkara-perkara yang dhaif dan syaz di dalam periwayatan, mengutamakan kajian suku Arab minoriti, pertentangan yang wujud, sejarah zaman jahiliyyah dan apa sahaja sebelum kedatangan Islam misalnya Kerajaan Himyar, Ghassan, Palmjra dan Tademmur yang telah pupus, fokus kepada pertelagahan umat Islam yang mendokong fahama politik rosak serta mengumpul kisah golongan munafik sebagai pihak pembangkang yang berani. Selain itu, para orientalis juga lebih suka menggunakan metode menurut hawa nafsu daripada fakta ilmiah, menggunakan huraian yang tiada kaitan misalnya dakwaan perlantikan Saidina Abu Bakar As-Siddiq untuk jawatan khalifah melalui penipuan, mewujudkan keraguan pada aspek sejarah dan Sunnah, menimbulkan penyelewengan dan pemalsuan dan menggunakan sumber yang ditolak dan tidak boleh dipercayaai seperti merujuk karya Al-Asfahani berjudul Al-Aghani.



Perkembangan orientalisme dibincangan dalam bab enam buku ini . Menurut penulis, permulaan perkembangan gerakan orientalisme ini tidak dapat dikenalpasti, tetapi majoriti mengatakan perkembangan kajian orientalisme agak mendadak ketika tercetusnya konflik antara Kristian dan Islam di Andalusia pada kurun ke-13. Ia disokong oleh Dr. Mustafa Al-Siba’ii, Muhammad ‘Ali Jarisyah dan Muhammad Syarifzaibaq (Hlm. 98). Perkembagan seterusnya selari dengan kebangkitan Eropah apabila tercetusnya Revolusi Industri. Fakulti Pengajian Bahasa Arab dan Timur tumbuh dengan pesat dan sebuah Kolej Pengajian Orientalis dibangunkan dan aktif menganjurkan seminar berkaitan ketimuran setiap tahun. Mereka meluaskan pengaruh orietalisme ini dengan menggunakan pelajar muslim yang menuntut di universiti dan kajian akademik di negara mereka untuk mengelirukan umat Islam sendiri. Mereka juga menerbitkan lambakan bahan-bahan kajian tentang Islam dari perspektif berat sebelah Orientalis, mengadakan seminar, konvensyen dan perhimpunan, membuat ulasan politik dan laporan media massa.



Orientalisme melalui fasa gawat apabila ia gagal muncul sebagai satu jurusan ilmu yang jelas disamping perkembangan ilmu sains kemasyarakatan di Barat. Kebangkitan Islam dan proses islamisasi juga mempengaruhi kegawatan ini. Antara tokoh yang giat berinteraksi dengan orientalis secara positif ialah Dr. Ismail Raji Faruqi dan isterinya, Lamiya, Al-Afghani, Muhammad Abduh, dan Ikhwanul Muslimin (Bab 8). ‘Ali Harb dan Dr. Akram Dhiya ‘Al-Umai antara tokoh Islam yang mengatakan gerakan orientalisme semakin lemah dan tidak mendapat sambutan di Barat. Selepas penganjuran Seminar Antarabangsa Orientalisme pada tahun 1973 di Paris, mereka (yakni para orientalis sendiri) telah bersetuju untuk menghapuskan istilah’orientalisme’. Penulis juga membincangakan secara terperinci faktor-faktor kemerosotan gerakan orientaslime ini dalam Bab Lapan.



Bab Sembilan penulis memperkenalkan pembaca dengan pusat-pusat pengajian orientalisme dan para tokohnya di Eropah; Itali, Belanda, Sepanyol, Jerman, Russia, Amerika Syarikat, England dan Perancis. Manakala, pandangan orientalisme terhadap ajaran Islam dibentangkan dalam bab 10 buku ini. Aspek-aspek seperti Al-Qur’an, Sunnah, Fiqh, Sejarah Islam, Sirah Nabawiyyah  tidak terlepas dari kelicikan agenda orientalisme. Mereka memesongkan hingga Islam dipaparkan sebagai agama negatif bercanggah dengan ajaran Islam yang diakui kebenarannya.  Orientalisme berjaya memberi pengaruh pada dunia Islam khususnya dalam aspek akidah, sosio-kemasyarakatan, politik dan ekonomi Islam, kebudayaan dan pemikiran dan dibincangkan oleh penulis dalam bab 11.



Bab akhir buku ini penulis mengetengahkan kata lawan orientalisme iaitu ‘oksidentalisme’- merupakan suatu kajian mengenai dunia Barat. Penulis menggesa pengkaji muslim kontemporari untuk mengkaji dan menyelidik ketamadunan barat yang diungguli oleh Eropah dan Amerika Syarikat sebagai membangunkan revolusi keilmuwan di kalangan umat Islam. Beliau mengambil contoh bagaimana Eropah bangkit dari zaman gelapnya apabila mereka mula mengkaji kekuatan dunia timur ketika itu dengan penuh komited dan bersungguh. Beliau juga menegaskan supaya kajian oksidentalisme ini perlu rasional dan adil untuk memahami dunia barat. Malahan, kesan positif kajian oksidentaslime ini amat dipengaruhi oleh keperibadian oksidentalis itu sendiri. Menurut penulis, oksidentalis yang baik tidak akan terpengaruh dengan kemajuan peradaban dan ketamadunan Barat. Ironinya, penulis tidak memberikan perincian tentang oksidentalisme ini memandangkan tidak ramai pelajar serta pengkaji di negara ini menumpukan penyelidikan mereka di bidang orientalisme apatah lagi oksidentalisme. Pengulas bersetuju kerana bidang kajian orientalisme dan oksidentalisme sangat luas dan memakan masa yang begitu panjang untuk mendapatkan kajian yang terperinci, adil dan saksama.



Pengulas:


Puan Faridah Mohd Tap,
Pensyarah Jabatan Pengajian Umum,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI, Port Dickson.


FPPM Anjur Bengkel Penulisan Rencana dan Laporan Berita bersama Majalah I- Faridah Mohd Tap

Sebahagian peserta kursus sedang mendengar pengisian dari wartawan Majalah I
Allah Ta’ala berfirman dalam surah Al-‘Alaq, tentang kepentingan menulis yang bermaksud, “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), (1) Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; (2) Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; (3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; (4) Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (5)”


Didorong oleh maksud Kalam Allah Ta’ala di atas, Unit Media dan Unit Latihan Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Kolej UNITI, Port Dickson telah menganjurkan sebuah bengkel penulisan melibatkan 35 orang pensyarah di bawah fakulti tersebut sebagai medium latihan penulisan dan perkongsian ilmu kepada masyarakat awam.



Sdr. Mohd Irsyadi mengelolakan bengkel penulisan
Bengkel penulisan tersebut telah dikelolakan oleh wartawan Majalah I, Saudara Mohd Irsyadi Abu Bakar yang berpengalaman selama hampir lima tahun dalam industri penerbitan di bawah jenama Kumpulan Media Karangkraf. Beliau memulakan slot dengan berkongsi peri-pentingnya menulis kepada sesebuah tamadun bangsa.


Menulis ialah jihad


Menurut Mohd Irsyadi, menulis merupakan salah satu cabang dalam jihad ilmu.  Beliau menegaskan para akademia perlu menulis untuk perkembangan ilmu kepada masyarakat awam yang ketandusan bahan bacaan ilmiah untuk pembinaan ketamadunan bangsa yang agung. Beliau juga mengatakan, media cetak akan terus relevan walaupun masyarakat kini bergantung kepada media elektronik.


Selain itu, jika kita menekuni sejarah penulisan Al-Qur’an dan Hadith pula, maka kita akan dapati besarnya kepentingan penulisan dalam kehidupan seseorang. Atas kesedaran kepada kepentingan menulis itu, maka kita dapat menyaksikan para ulama muktabar dan para ilmuwan bukan sahaja menggali ilmu dengan membaca dan mengajarkannya kepada masyarakat, tetapi turut sama serius medokumenkan khazanah ilmu dalam bentuk penulisan untuk diabadikan selepas pemergian mereka untuk rujukan dan manfaat masyarakat kemudian.


“Penganjuran bengkel penulisan yang julung kali dianjurkan ini oleh FPPM adalah sejajar dengan fungsi Kolej UNITI Port Dickson sebagai sebuah institusi pendidikan, kami berhasrat ingin membangunkan potensi para pensyarah untuk berkongsi ilmu dalam bidang masing-masing untuk manfaat umum melalui penulisan di media samaada blog, mahupun media cetak dan elektronik selepas mengikuti bengkel ini.” Jelas Nur Akmar Mohd Arif, Pengarah Program.



Akhirnya, bengkel penulisan tersebut diharapkan dapat memberikan manfaat kepada semua.  Ia juga dapat meningkatkan imej positif kepada Kolej UNITI Port Dickson sebagai sebuah institusi pendidikan swasta yang berwibawa dalam perkembangan ilmu khususnya dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, pendidikan Islam dan pengajian umum.


Oleh:

Puan Faridah Mohd Tap,
Unit Media,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson, N. Sembilan.

BELAJAR SAMBIL BERMAIN DI TASKA CAHAYA TASNEEM KOLEJ UNITI, PORT DICKSON- Nur Akmar Mohd Arif

TASKA merujuk kepada Taman Asuhan Kanak-kanak yang diperuntukkan sebagai premis untuk penjagaan kanak-kanak di bawah umur 4 tahun. Akta TASKA 1984 (Akta 308) di bawah Seksyen 2 mendefinisikan TASKA sebagai ‘Mana-mana premis di mana empat orang atau lebih kanak-kanak di bawah umur empat tahun dari lebih daripada satu isi rumah diterima masuk untuk dijaga dengan upah’.


TASKA Cahaya Tasneem Kolej UNITI (TCT KU) telah ditubuhkan pada tahun 2016 dimana telah beroperasi secara rasmi pada 1 April 2016. TASKA ini dikendalikan di bawah pengurusan Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia, Kolej UNITI Port Dickson, di bawah pimpinan Dekan Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia (FPPM), Puan Siti Zaleha Binti Ahmad. FPPM dipertanggungjawabkan untuk menerajui pengurusan TASKA Cahaya Tasneem Kolej UNITI (TCT KU), dari semua aspek, sebelum penubuhan sehinggalah tertubuhnya TASKA pada hari ini dengan sokongan padu daripada pihak pengurusan atasan Kolej UNITI Port Dickson. Penubuhan TASKA ini telah dirasmikan oleh Ketua Pegawai Operasi Kolej UNITI Port Dickson, En Hamdan Bin Ikram dalam satu ‘Majlis Perasmian dan Doa selamat TASKA Cahaya Tasneem Kolej UNITI’ yang telah diadakan pada 31 Mac 2016 bagi meraikan penubuhan TASKA ini selain mendoakan kesejahteraan serta kelangsungan TASKA ini.



OBJEKTIF PENUBUHAN TASKA


TASKA Cahaya Tasneem Kolej UNITI (TCT KU)  ini telah ditubuhkan untuk menyediakan satu pusat penjagaan, pengasuhan dan pembelajaran yang berkualiti khusus untuk anak-anak staf Kolej UNITI Port Dickson yang berumur di bawah 4 tahun. Penubuhan TASKA ini juga adalah atas inisiatif pihak pengurusan atasan Kolej UNITI Port Dickson untuk memberi perkhidmatan kebajikan dalam penjagaan anak-anak staf Kolej UNITI Port Dickson pada kadar yang rendah. Selain itu, penubuhan TASKA ini juga adalah bertujuan untuk menyahut seruan kerajaan dalam mewujudkan TASKA di Tempat Kerja yang berkualiti. Kewujudan TASKA ini secara tidak langsung memberi kelebihan kepada staf Kolej UNITI Port Dickson yang mempunyai anak, seiring dengan keyakinan mereka kepada pihak Kolej UNITI Port Dickson untuk memberi perkhidmatan kebajikan yang berkualiti dalam penjagaan anak-anak staf. Ini bertujuan untuk memenuhi keperluan si kecil yang semakin membesar dalam meransang perkembangan yang sempurna dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial.  


Sehingga 1 Julai 2016, seramai 3 orang anak staf Kolej UNITI yang telah didaftarkan di TASKA Cahaya Tasneem Kolej UNITI (TCT KU).  Pada peringkat awal penubuhan TASKA ini, Ahli Jawatankuasa TASKA Cahaya Tasneem Kolej UNITI yang terdiri daripada para pensyarah Diploma Pendidikan Prasekolah (DPS) dari FPPM telah dipertanggungjawabkan untuk menjalankan pengasuhan serta sesi pengajaran dan pembelajaran kepada anak-anak di TASKA ini. Tanggungjawab ini telah dilaksanakan dengan cemerlang dalam memastikan anak-anak staf yang dihantar ke TASKA ini berasa selesa, seronok dan selamat sepanjang berada di TASKA ini. Para pensyarah DPS yang terlibat juga telah memiliki Sijil Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak (kini disebut sebagai Kursus PERMATA) yang diiktiraf oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM) dalam menjalankan tanggungjawab pengasuhan ini.


Pada 12 April 2016, Cik Siti Junainah Binti Bahari telah dilantik sebagai guru di TASKA Cahaya Tasneem Kolej UNIT I(TCT KU). Beliau merupakan bekas pelajar Kolej UNITI yang mengambil jurusan dalam bidang Diploma Pendidikan Prasekolah. Kewujudan TASKA ini juga adalah relevan dengan produk Diploma Pendidikan Prasekolah (DPS) dan Diploma Pendidikan Dan Asuhan Awal Kanak-Kanak (DPAKK) yang ditawarkan di bawah Fakulti FPPM. TASKA ini juga akan berfungsi sebagai makmal kajian perkembangan kanak-kanak, khusus untuk pelajar DPS dan DPAKK dalam memahami perkembangan dan keperluan dan kanak-kanak di bawah umur 4 tahun. Selain itu, kajian ‘Helping Boys And Nurturing Girls’ juga dapat diperkukuhkan dengan kewujudan TASKA ini dimana aktiviti yang dijalankan adalah berdasarkan fitrah anak lelaki sebagai pemimpin dan anak perempuan yang sentiasa ingin dibelai.


KONSEP BELAJAR SAMBIL BERMAIN


Konsep belajar sambil bermain diterapkan dalam pembelajaran di sini seiring dengan minat kanak-kanak dan memenuhi naluri mereka yang sentiasa ingin meneroka dan bermain. Memetik kata pepatah daripada Imam Al Ghazali, ‘If you don’t allow them to play. You will kill their soul’. Hakikatnya, fitrah anak kecil itu memang dilahirkan dengan naluri ingin bermain. Jadi, minat kanak-kanak untuk bermain itu perlu dimanipulasikan dalam pengajaran dan pembelajaran yang menggembirakan dan bermakna baik di rumah mahupun di TASKA.Ini secara tidak langsung dapat menarik minat dan mencungkil bakat dalam diri kanak-kanak comel ini. Antara aktiviti yang dijalankan adalah Aktiviti sahsiah, sosioemosi dan kerohanian, Aktiviti Awal Matematik Dan Pemikiran Logik, Aktiviti Perkembangan Deria Dan Pemahaman Dunia Persekitaran, Aktiviti Bahasa, Komunikasi Dan Awal Literasi, Aktiviti Estetika Dan Kreativiti,  Aktiviti Fizikal, ‘Nature Walk’, Membaca dan Main Luar. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan ini dapat meransang perkembangan kanak-kanak seiring dengan perkembangan umur mereka. Kemahiran motor halus dan motor kasar kanak juga diasah melalui aktiviti-aktiviti yang menggembirakan dan bermakna di dalam dan di luar TASKA, sesuai dengan keupayaan dan kebolehan kanak-kanak ini serta minat kanak-kanak ini yang sentiasa ingin meneroka dan bermain.



INTEGRASI STEM DAN KURIKULUM PERMATA


Sesi pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak di TASKA Cahaya Tasneem Kolej UNITI (TCT KU) adalah berdasarkan kurikulum PERMATA. Kaedah STEM (Science, Technology, Engineering & Mathematics) akan diaplikasikan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran yang diintegrasikan dalam Kurikulum PERMATA Negara. Melalui pendidikan STEM, kanak-kanak akan diberi galakan oleh pendidik untuk bertanya soalan, berkomunikasi dengan pendidik dan rakan-rakan secara aktif. Mereka juga digalakkan untuk bekerja dalam satu pasukan selain bersama menghargai alam semulajadi dan mencintai alam sekitar melalui aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan di TASKA ini seperti ‘Nature Walk’ dan aktiviti berkebun.


Model Pembelajaran Inkuiri Berasaskan Projek (PIP) paling sesuai dilaksanakan untuk kanak-kanak yang berumur di bawah empat tahun ini, mengikut sukatan pelajaran dan tahap kebolehan kanak –kanak ini. Ini bagi meningkatkan perasaan ingin tahu, seiring dengan minat kanak-kanak yang ingin meneroka dan mencuba perkara baru dalam kehidupan mereka. Terdapat empat fasa dalam ‘Pembelajaran Inkuiri Berasaskan Projek’ ini iaitu dimulai dengan Fasa 1: Inkuiri, Fasa 2: Penerokaan, Fasa 3: Reka cipta dan Fasa 4: Refleksi. Model PIP ini paling sesuai dan bersesuaian dengan perkembangan kanak-kanak untuk belajar STEM. Pengajaran dan pembelajaran yang menggembirakan dan bermakna ini dapat meningkatkan minat kanak-kanak dalam melakukan penerokaan, bereksperimen dan seterusnya memberi pengalaman pembelajaran yang bermakna di TASKA Cahaya Tasneem Kolej UNITI (TCT KU).



Dekan FPPM, Puan Siti Zaleha Binti Ahmad selaku Penasihat TASKA Cahaya Tasneem Kolej UNITI (TCT KU) telah hadir ke Persidangan Antarabangsa PERMATA 2016 bertema 'Children Beyond Tomorrow', selama tiga hari pada 31 Mei 2016 sehingga 2 Jun 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Persidangan ini dihadiri bagi meningkatkan pemahaman terhadap pembangunan pertumbuhan optimum kanak-kanak serta Integrasi Pedagogi STEM dan PERMATA Negara dalam Kurikulum Pendidikan Awal Kanak-kanak. Pengalaman yang diperoleh dalam Persidangan yang dianjurkan oleh Program PERMATA ini akan dimanfaatkan dalam memastikan kelangsungan dan kesejahteraan TASKA Cahaya Tasneem Kolej UNITI (TCT KU) serta memenuhi keperluan dan fitrah semulajadi  kanak-kanak seiring dengan objektif penubuhan TASKA ini seperti yang diusulkan oleh pihak pengurusan atasan Kolej UNITI Port Dickson.



Disediakan oleh,

Cik Nur Akmar Mohd Arif,
Pensyarah Jabatan Pendidikan, 
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI, Port Dickson.


Galeri Foto: