Pages

Showing posts with label Diploma Pendidikan Islam Sekolah Rendah (DPISR). Show all posts
Showing posts with label Diploma Pendidikan Islam Sekolah Rendah (DPISR). Show all posts

Tuesday, 16 October 2018

PELAJAR DPISR KOLEJ UNITI PORT DICKSON JALANI BENGKEL PRAKTIKUM- Ustazah Nursara Ya'acob.

Penghujung 2018 merupakan semester terakhir bagi pelajar Diploma Pendidikan Islam Sekolah Rendah (DPISR) kemasukan pertama.  Insha Allah pada awal tahun 2019 akan mula berpraktikum selama empat bulan.
Pelajar- pelajar DPISR ini disiap siagakan agar cukup bersedia menempuh alam perguruan melalui latihan praktikum. Maka, satu bengkel praktikum telah dijalankan di Dewan Za’aba Kolej UNITI, Port Dickson khusus untuk pelajar DPISR, semester 5.

Bengkel praktikum mendedahkan hal- hal yang berkaitan dengan latihan praktikum daripada pencarian tempat sehingga kepada penyediaan laporan daripada penyelaras praktikum Fakulti, iaitu Cik Syazawani Abd Jailani.

Pelbagai reaksi dapat dilihat daripada riak wajah para pelajar bila mendengar amanat dan tanggungjawab yang perlu digalas ketika berpraktikum nanti. Ada yang cemas, ada yang mengeluh, ada yang senyum, tetapi Insha Allah semua akan berjalan dengan lancar.

Selaku orang yang diamanahkan untuk menjaga pelajar DPISR ini, saya sempat menyampaikan beberapa nasihat dan peringatan agar anak- anak didik FPPM ini terus bersedia dan bersemangat  dalam menghadapi pelbagai cabaran dan ujian nanti.

“Ikhlaslah dalam menyampaikan ilmu, tabahlah dalam mendidik dan sabarlah dalam menjalankan dakwah. Semoga Allah S.W.T sentiasa melindungi dan merahmati kalian. Semoga segala ilmu yang bakal dicurahkan memberi manfaat yang besar kepada anak-anak didik kalian dan menjadi bekalan di akhirat kelak. amin.” Pesanku selaku Ketua Program DPSIR Kolej UNITI, Port Dickson.

Disediakan oleh,

Ustazah Nursara Ya’acob,

Ketua Program,
Diploma Pendidikan Islam Sekolah Rendah,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI, Port Dickson.

Tuesday, 15 May 2018

PERJUANGAN PENDIDIKAN MALALA YOUSAFZAI BUAT GENERASI MUDA- Faridah Mohd Tap

Pengenalan

Lembah Swat merupakan sebuah wilayah di Pakistan yang memiliki segala keindahan alam. Ironinya, keindahan itu mula hilang apabila wilayah itu diambil alih oleh puak militan Taliban. Perlaksaan undang-undang dan peraturan yang ketat oleh pengganas Taliban merenggut rasa damai penduduk wilayah itu. Kehidupan yang aman mula dihimpit rasa ketakutan apabila ia menjadi medan pertempuran antara puak Taliban dengan pihak ketenteraan Pakistan. Jika dahulunya, kanak-kanak bebas dan riang ria ke sekolah, tetapi kehadiran Taliban merampas segala-galanya. Pergi ke sekolah untuk kanak-kanak perempuan khususnya diisytihar sebagai satu jenayah! 



Berdasarkan pembacaan penulis, sekitar 400 buah sekolah telah ditutup sepanjang pentadbiran Taliban di Lembah Swat. Pergi ke sekolah adalah suatu rutin yang hampir menjadi mustahil di sana. Dalam keadaan yang getir itu, bangkit seorang kanak-kanak perempuan menentang kepada tindakan pengharaman kanak-kanak perempuan ke sekolah. Beliau menulis catatan harian kepada BBC tentang keperitan yang dialaminya dan penduduk yang kampung apabila pertempuran berlangsung.



Beliau menggunakan nama pena sebagai ‘Gul Makai’ dan meluahkan kekecewaan kerana impiannya untuk menamatkan pelajaran dalam jurusan MBA mungkin tidak kesampaian. Justeru, beliau berikrar akan berjuang dalam apa jua cara untuk pastikan hak pendidikan kanak-kanak perempuan dan lainnya dibela.   Ketika memulakan advokasi itu, beliau hanya seorang kanak-kanak yang masih berumur 12 tahun. 



Sehubungan dengan itu, makalah ini akan menelusuri latar belakang perjuangan Malala Yousafzai sebagai pemudi hebat yang bangkit selepas ‘mati’ sementara memperjuangkan hak pendidikan bagi kanak-kanak seantero dunia yang tercetus daripada pengharaman sekolah bagi kanak-kanak perempuan di wilayahnya.Penulisan ini juga akan mengupas cabaran-cabaran yang dihadapinya serta nilai pengajaran yang boleh dijadikan inspirasi dan pedoman bagi anak muda di negara ini. Penulis berkeyakinan, untuk menyelamatkan masa depan kanak-kanak yang memperoleh hak pendidikan yang baik, perjuangan Malala perlu disambut. Kerana ia bukan tugas individu semata-mata, tetapi dunia mahukan lebih ramai sosok belia bersemangat seperti ikon yang diketengahkan dalam makalah ini.  



Kelahiran Malala Yousafzai -tokoh pemudi yang mengubah dunia. 


Malala dilahirkan pada tanggal 12 Julai 1997 merupakan anak perempuan kepada pasangan suami isteri Ziauddin  Yousafzai dan Toor Pekai. Lahir dalam negara yang begitu mengagungkan budaya patriarki- mengutamakan anak lelaki dalam semua aspek- menjadi cabaran kepada ibubapanya. Figura hebat bapanya yang merupakan seorang guru dan pengasas sekolah bernama ‘Kushal’ dilihat melawan arus budaya masyarakatnya. Malala diberikan peluang untuk belajar dan menimba ilmu dan dibesarkan dalam budaya ilmu seperti terdedah kepada buku-buku. Seringkali juga ayahnya membacakan sajak dan bercerita tentang tokoh-tokoh besar negaranya. 



Nama Malala diberikan bersempena dengan seorang srikandi Afghanistan iaitu Malalai yang bangkit meniup api perjuangan tentera Afghanistan ketika menentang British. Walaupun begitu, maksud namanya beerti kedukaan lantaran itu datuknya tidak menggemari namanya itu. ‘Malala akan bebas seperti unggas’ itulah janji ayahnya kepada Malala. Ibunya, Toor Pekai pula sentiasa mendorong Malala agar nasib anak perempuannya itu tidak berakhir sepertinya. Ibunya tidak bersekolah dan hanya mengetahui hal-ehwal rumahtangganya sahaja.Justeru, ibunya menjadi seorang yang pendiam kerana tidak berkeyakinan untuk berkomunikasi.Ibunya menjadi gambaran kepada ramai wanita di sana. Itulah yang cuba diubah oleh bapanya agar kanak-kanak perempuan juga mempunyai hak yang sama dalam kependidikan. Kombinasi genetik ibubapanya menjadikan Malala memiliki semangat bapa dan kesabaran ibunya. 



Malala membesar dalam keadaan politik negaranya tidak stabil. Peralihan kuasa, kemiskinan, bencana alam dan paling kritikal ialah ancaman keganasan. Lembah SWAT yang dikenali juga sebagai “Switzerland Asia’ digambarkan sebagai syurga dunia dengan pohon-pohon yang segar menghijau, gunung-ganang yang memukau, air tasik yang sejernih kristal menjadikan sesiapa yang melihatnya pasti terpana. Militan Taliban mula memasuki Lembah Swat pada tahun 2004. Mereka melobi sokongan penduduk dengan mengatakan mereka akan menjadi mahkamah keadilan kedua yang akan menggantikan mahkamah rasmi sedia ada. Sistem kehakiman di Pakistan tidak mampu membawa keadilan kepada rakyat kerana banyak kes yang tertunggak dan tidak diselesaikan walaupun mangsa yang teraniaya telah mati. 



Militan Taliban mengatakan  perjuangan mereka bersendikan perjuangan agama, demi Allah S.W.T dan Rasulullah s.a.w dan berjaya mendapat peluang dan sokongan penduduk. Namun, pada tahun 2007, militant Taliban bertukar wajah. Mereka mula melancarkan keganasan sebenarnya.. Lebih 400 buah sekolah diletupkan. Setiap malam, dua ke tiga orang akan menjadi mangsa pembunuhan. Wanita dilarang sama sekali pergi ke pasar apatah lagi ke sekolah. Percampuran jantina di sekolah, dianggap melakukan maksiat. Untuk itu, kanak-kanak perempuan harus dipinggirkan daripada sistem pendidikan. 



Dalam keadaan sedemikian, kanak-kanak perempuan di Lembah Swat mula kecewa dan memutuskan untuk menggunakan segala ruang media yang ada agar mereka juga mendapatkan hak pendidikan. Tidak terkecuali yang paling lantang,ialah Malala Yousafzai seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun menulis jurnal harian di British  Broad Casting (BBC) sebanyak 7 episod (bermula 3 Januari hingga 15 Januari 2004) sebagai Gul Makai menceritakan apa yang berlaku di tempatnya. Tujuannya hanya untuk melihat keamanan untuk penduduk Lembah Swat dan paling utama ialah beliau dan kanak-kanak perempuan lain ditempatnya mendapatkan hak pendidikan.



Kelantangan Malala dalam memperjuangkan pendidikan anak-anak perempuan menjadikan dia target utama militant Taliban selama bertahun-tahun. Namun, Malala tidak sedikitpun menyangka bahawa dia akan mejadi sasaran bunuh. 9 Oktober 2012 ketika beliau 14 tahun,  menjadi detik hitam buat Malala apabila diserang oleh dua lelaki bersenjata Taliban dan ditembak dari jarak dekat oleh salah seorang daripadanya ketika beliau di dalam bas pulang dari sekolah bersama teman-temannya. 



‘Siapa Malala?’


Itulah perkataan terakhir yang didengar Malalla sebelum ditembak di dahi, dan seterusnya terbenam dilehernya. Kecederaan beliau amat kritikal dan dikejarkan ke Saido Sharif di Swat. Beliau koma selama 10 hari dan dihantar pula ke Peshawar dan Rawalpindi untuk rawatan kecemasan. Beliau kemudiannya diterbangkan ke Hospital Queen Elizabeth, United Kingdom untuk dirawat rapi dan pada hari ke-11, Malala akhirnya sedar dari koma. 



Berpantang ajal sebelum maut. Malala Yousafzai bangkit dari keadaan yang amat kritikal dan sembuh sepenuhnya selepas beberapa bulan. Beliau mendapatkan kehidupan baru di United Kingdom dan menyambung semula persekolahannya yang terhenti disana. Namun, jauh disudut hatinya, Lembah Swat terlalu dirindui. Beliau tekad untuk terus memperjuangkan pendidikan untuk kanak-kanak perempuan namun kali ini advokasi dan aktivisme beliau berskala global. 


Kini, beliau baru sahaja mendaftar (Oktober 2017) sebagai pelajar jurusan falsafah, politik dan ekonomi di Universiti Oxford yang terkemuka. Beliau membahagikan masa antara belajar dan tugas-tugas sosial dan advokasi berkaitan pendidikan kanak-kanak di seluruh dunia. Ketahuilah, bahawa beliau tidak bergerak secara bersendirian kerana perjuangan beliau telah mula disambut oleh banyak pihak seluruh dunia.



Perjuangan Malala perlu disambut oleh generasi muda Malaysia.


Peristiwa berdarah ditembak Taliban itu menjadikan beliau memenangi Hadiah Nobel Keamanan 2014 oleh Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu. Uniknya, ketika itu beliau berusia 16 tahun dan seterusnya penerima anugerah paling muda dalam sejarah PBB. Dalam ucapannya, beliau mendedikasikan penganugerahan itu kepada seluruh kanak-kanak yang mahukan pendidikan, keamanan dan perubahan. Tanggal 12 Julai setiap tahun seterusnya dideklarasikan sebagai ‘Hari Malala’ seluruh dunia dan disambut secara oleh lebih 50 buah negara termasuklah Pakistan dengan pelbagai program yang memperjuangkan pembangunan pendidikan untuk kanak-kanak. 



Malala dalam ucapan kemenangan itu juga menegaskan, 


“Saya di sini adalah untuk mempertahankan hak kanak-kanak, untuk menjadi jurubicara mereka…Ini bukannya masa untuk sekadar bersimpati kepada mereka, saya ulang, ini bukan masanya untuk mengasihani mereka. Ini adalah waktunya untuk kita mengambil tindakan justeru ia akan menjadi yang terakhir, yang terakhir, yang terakhir menyaksikan kanak-kanak dipinggirkan dalam mendapatkan pendidikan.”

‘Pendidikan ialah suatu rahmat kehidupan, dan salah satu keperluan paling asasi buat manusia.’

‘Kami terlalu dahagakan pendidikan, masa depan kami lebih baik dengan pendidikan di dalam kelas itu..’

‘Apabila pendidikan menjadi satu jenayah, anak-anak perempuan dilarang ke sekolah, dan apabila dunia saya tiba-tiba berubah, maka keutamaan saya juga berubah.

Saya ada dua pilihan; iaitu pertama seorang yang mendiamkan diri dan menunggu waktu untuk dibunuh atau, pilihan kedua ialah bercakap dan dibunuh.

Saya pilih yang kedua, saya akan bercakap mempertahankan pendidikan untuk kanak-kanak perempuan.’


Dalam sesebuah wawancara The Daily Show with Jon Stewart-Extended Interview with Malala Yousafzai, pengacara progam bual bicara yang membicarakan buku terbaru , ‘I am Malala’ bertanyakan tentang motivasi yang mendorong kecintaan Malala terhadap pendidikan. Beliau mengatakan secara bersahaja, 

“Kita manusia, ia sebahagian daripada fitrah semulajadi manusia. Kita hanya akan belajar tentang bernilainya sesuatu itu apabila ia dirampas daripada kita. Di Pakistan apabila kami dilarang ke sekolah, baru kami sedar bahawa pendidikan adalah sesuatu yang sangat penting. Pendidikan merupakan kuasa kepada seorang perempuan; dan pengganas takut kepada pendidikan sebab itu mereka tidak mahu perempuan ke sekolah, pendidikan akan menjadikan perempuan lebih berkuasa.”



Malala juga menegaskan bahawa dia tidak bergerak seorang diri. Dia adalah suara seluruh anak-anak gadis yang tertinggal dalam kepesatan dunia dan kepantasan waktu. Dia ialah suara anak gadis yang mahukan kehidupan yang lebih baik; tidak dipaksa berkahwin ketika masih kanak-kanak, tidak dihalang ke sekolah untuk mencapai impian dan cita-cita, atau tidak dipaksa bekerja kerana hambatan kemiskinan. Hak asasi setiap kanak-kanak ialah hak untuk mendapatkan pendidikan.  



Perjuangan beliau tidak akan berhenti selagi masih ada kanak-kanak yang dilarang ke sekolah. Untuk itu, beliau dan ayahnya menubuhkan Yayasan Malala untuk membantu mencapai impiannya itu. Melalui Yayasan itu, Malala menggerakkan aktivisme dan program advokasi beliau dengan lebih terancang. Pada ulangtahun kelahiran ke-17, iaitu 12 Julai 2014 beliau telah ke Nigeria mendesak agar kanak-kanak sekolah perempuan yang diculik oleh ekstrimis Boko Haram dipulangkan ke pangkuan keluarga dengan selamat. Pada ulangtahun kelahiran ke-18 pula, bersamaan 12 Julai 2015, beliau membuka sekolah menengah untuk kanak-kanak perempuan yang menjadi pelarian di Lembah Bekaa, Lubnan. Pada 12 Julai 2016, Malala menyambut hari kelahirannya yang ke-19 di gadis pelarian yang berlindung di Dadaab dan Kakuma, Kenya serta perlindungan Mahama di Rwanda. 



Perjuangan dan advokasi beliau semakin bersifat global apabila sebuah dokumentari berjudul ‘He Named Me Malala’ memenangi Anugerah Akademi dipengarah oleh Davis Guggenheim, telah memasuki panggung teater dan membawakan kisah perjuangan beliau kepada 175 negara dengan 11 bahasa yang berlainan. Beliau juga mengadakan kempen #BooksNotBullets dan #YesAllGirls agar dunia bersama-sama dalam memperjuangkan pendidikan untuk anak-anak perempuan. 



Sebelum Malala Yousafzai memasuki universiti, beliau telah mengadakan pengembaraan program advokasi beliau iaitu ‘ Girl Power Trip’ bermula April hingga September 2017 ke Amerika Utara, Timur Tengah, Afrika dan Amerika Latin untuk bertemu secara bersemuka semua gadis dan mendengar rintihan mereka yang menghalang anak-anak perempuan ke sekolah. Dalam lawatan itu, beliau juga telah mengaturkan belasan pertemuan dengan pemimpin tertinggi dan perdana menteri untuk mendesak mereka menyokong usaha memastikan hak persekolahan kanak-kanak perempuan diberikan salah-satu keutamaan dalam negara mereka. Lawatan ke pelbagai negara dan negeri itu adalah untuk menyelami faktor utama peminggiran kanak-kanak perempuan dalam persekolahan agar program yang akan direncana lebih fokus kepada masalah yang dihadapi. 




Walaupun Malala telah mendaftar diri di Universiti Oxford, keprihatinan dan komitmen beliau tetap diteruskan. Perjuangannya untuk mendapatkan keadilan pendidikan kepada 130 juta kanak-kanak perempuan seluruhh dunia telah disambut oleh pelbagai pihak dan telah mempunyai rangkaian antarabangsa melalui wakil-wakilnya di setiap negara. Advokasi beliau juga lebih pelbagai seperti melalui medium pembikinan filem, buku dan komik. Justeru itu, Malala Yousafzai selayaknya menjadi ikon contoh yang hidup untuk anak muda negara ini untuk dijadikan inspirasi. Beliau merupakan pemudi yang berani, berstrategi, dedikasi, komitd dan berwawasan jauh yang merupakan satu set sifat kepimpinan yang perlu ada pada setiap anak muda untuk keluarkan segala potensi diri sebagai agen pengubah dunia yang lebih baik. 


Kesimpulan

Di akhir ucapan Malala di Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu, beliau menggesa semua pihak termasuk semua individu untuk menyumbang bakti, usaha, tenaga, masa dan material kerana ia merupakan tanggungjawab bersama untuk melihat keamanan dunia melalui pendidikan. Beliau mendesak agar semua anak muda yang mahukan kehidupan yang baik memainkan peranan dengan menjadi generasi pertama dan akhir yang menghentikan segala bentuk penindasan akibat kemiskinan, peperangan, keganasan yang membawa kepada keciciran kanak-kanak dalam pendidikan. 



Malala Yosafzai meyakini hanya pendidikan yang boleh menyelesaikan semua masalah yang ada. Peperangan dan senjata tidak akan memberikan apa-apa makna melainkan kesengsaraan kepada generasi manusia kemudiannya. Perjuangan ini mestilah melalui keamanan, dan untuk mencipta dunia yang lebih bermakna buat kanak-kanak ialah melalui dialog dan pendidikan. 


“One child, one teacher, one book and one pen can change the world. Education is the only solution. Education first.” 


Perjuangan Malala ini perlu disahut oleh anak muda Malaysia. Keterlibatan golongan remaja belia dalam perlakuan devian, aktiviti keganasan dan gejala sosial hanya merugikan masa depan negara. Perlu diingatkan bahawa waktu muda adalah waktu untuk bersusah-payah mengenal pasti dan membina segala potensi diri untuk kebaikan keluarga, masyarakat, agama, negara dan dunia. Benarlah kata pepatah, ‘pemudi tiang negara, pemuda harapan bangsa. Jika rosak pemuda negara, tunggulah kerosakan yang lebih dasyat lagi kepada masyarakat, agama dan negara. 



Jadi anak muda, jadilah yang berjasa! Pilih perjuangan anda, laksanakan hingga dunia turut terasa. Ayuh anak muda, hidup biar berjasa sepertimana Malala memberikan kita makna apa itu pemudi dan pemuda harapan dunia. 


Akhir sekali, FPPM ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan SELAMAT HARI BELIA MALAYSIA dan SELAMAT HARI GURU kepada semua.



Thursday, 19 April 2018

“HAMPIR GAGAL LATIHAN AMALI, KINI SYAFIQAH BERGELAR SEORANG GURU DI PUSAT PERKEMBANGAN AWAL KANAK-KANAK KOLEJ UNITI.”



Syafiqah bersama kanak-kanak di Taska Cahaya Tasneem, Kolej UNITI
Ini kisah alumni kami bernama Nur Syafiqah binti Nordin dari Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia, Kolej UNITI Port Dickson. Syafiqah merupakan seorang pelajar yang sangat ceria dari Raub, Pahang. Beliau merupakan pelajar tahun akhir yang sedang menjalani Latihan Praktikum di salah sebuah tadika di Negeri Sembilan.


Sepanjang menjalani Latihan Praktikum, prestasi yang ditunjukkan amatlah cemerlang sehingga guru pembimbingnya memuji hasil kerjanya. Syafiqah juga disayangi oleh anak didiknya dan warga tadika tersebut. Namun begitu, di pertengahan sesi Latihan Praktikum, prestasi Syafiqah jatuh merundum sehingga menimbulkan kemarahan guru pembimbingnya.


Guru pembimbing Syafiqah menghubungi  pensyarahnya, Puan Julida (bukan nama sebenar) untuk memberitahu prestasi Syafiqah yang jatuh merudum tiba-tiba. Syafiqah tidak menyiapkan rancangan mengajar, tidak membuat alat bantu mengajar dan tidak fokus ketika mengajar.


Puan Julida lantas menghubungi Syafiqah.

 “Apa hal ni? Cikgu awak dah bising dengan saya…panas telinga saya!”. Marah Puan Julida tidak terbendung lagi.


 Syafiqah hanya mendiamkan diri sahaja.

“Kenapa awak diam?” Tanya Puan Julida lagi.

“Betul ke awak tak siap rancangan mengajar?..Besar markah RM tu..awak tau kan..ABM pun tak buat..pemalas! Kalau perangai awak macam ni, saya gagalkan awak praktikum!” Puan Julida tidak bertahan lagi kerana Syafiqah hanya menyepi.


Tiba-tiba….

Di hujung talian, terdengar tangisan Syafiqah.

“Madam…ayah saya baru sahaja meninggal dunia. Saya bukan tak nak bagitau tetapi saya tak nak menyusahkan sesiapa. Mungkin kerana banyak sangat berfikir, saya hilang fokus. Lagipun, tinggal ibu saya sahaja di kampung. Saya nak tangguh praktikum…Boleh ke madam?” Terang Syafiqah.


Puan Julida terkejut mendengar penjelasan Syafiqah. Terdapat rasa sesal kerana memarahinya, tetapi setidaknya Puan Julida mula memahami punca penurunan prestasi Syafiqah. Puan Julida menyuntik semangat kepada Syafiqah untuk meneruskan Latihan Praktikum yang tinggal berbaki beberapa minggu lagi sebelum pulang menjaga ibunya.


Akhirnya berkat usaha gigih Syafiqah berserta sokongan rakan-rakan dan pensyarah, Syafiqah berjaya menamatkan Latihan Praktikum dengan jayanya. Beliau mendapat pujian daripada guru pembimbingnya kerana kreativiti dan kesungguhannya mengajar anak didiknya di tadika tersebut. Alat bantu mengajar yang dihasilkan juga mendapat pujian daripada guru dan pensyarahnya,


Suatu hari…Puan Julida terjumpa Syafiqah di pejabat pentadbiran Kolej UNITI. Rupa-rupanya Syafiqah datang untuk melapor diri sebagai guru di Pusat Perkembangan Awal Kanak-Kanak Kolej UNITI. Puan Julida telah mendapat berita bahawa Syafiqah telah lulus dan berjaya dalam sesi temuduga yang dijalankan oleh pihak Kolej UNITI. Dulu dia sebagai pelajar, dan kini menyumbang bakti sebagai guru di Taska Cahaya Tasneem Kolej UNITI pula...!


 “Alhamdulillah..berjaya juga pelajar ini…Dulu dia buat amali je bersama anak-anak di taska ini tapi sekarang…dia jadi guru di sini..Alhamdulillah” Bisik hati kecil Puan Julida.


Moga kisah Syafiqah ini menjadi inspirasi buat para pelajar Kolej UNITI. Kami warga Kolej UNITI mendoakan agar Syafiqah terus meraih kecemerlangan dalam kerjaya yang diceburinya.


Inginkan kerjaya pendidikan awal kanak-kanak seperi Syafiqah??? Jangan abaikan cita-cita anda.


Jom sertai Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Kolej UNITI Port Dickson.



Sunday, 8 April 2018

APABILA SI KECIL BEREMOSI..JANGAN CEPAT MELATAH, IA NORMAL. IKUTI LANGKAH INI UNTUK PERKEMBANGAN EMOSI POSITIF ANAK-ANAK- Puan Hidayah Tokiman

Emosinya dia…

“Mama tadi kan kakak belajar, cikgu cakap dalam keluarga ada lima orang. Ada ayah, ada mama, ada kakak, ada abang, ada adik. Tapi kenapa kakak tak ada abang? Kakak sedih laa tak ada abang.”

Anak ini sedang beremosi nampaknya. . 

Dah diduga soalan ini akan ditanya. Getus dihati. 

Apa nak jawab ni? 

Tenang-tenang sahaja kerana ia proses normal perkembangan kanak-kanak. 

Sebagai ibu, saya berterus-terang dan jelaskan padanya bahawa dia adalah anak pertama, maka tiada abang dalam keluarga kecil kami. 

Bagaimana kita boleh membimbing anak-anak kecil berhadapan konflik emosi?

Ihsan imej: Pinterest.com
Menurut Rohani Abdullah (2001), emosi merupakan tindak balas sebagai rangsangan kepada perasaan emosi. Sementara ahli fisiologi dan psikologi berpendapat bahawa emosi melibatkan gerak hati, perasaan, pernyataan emosi dan tindak balas fisiologi. Kematangan emosi akan mempengaruhi perkembangan menyeluruh yang lain. 

Manakala, Teori Psikososial Erickson menyatakan perkembangan berlaku mengikut tahap dan mempunyai konflik tertentu yang perlu diatasi supaya tidak menjejaskan perkembangan kanak-kanak.

Disini saya kongsikan perkara yang dapat membantu dalam memberikan kesan yang positif kepada perkembangan emosi kanak-kanak :


1. Memberitahu bahawa kita sayang padanya. Kata-kata sayang kita perlu selari dengan perbuatan juga.

2. Memuji usaha anak walaupun hasilnya tidak memuaskan misalnya “pandainya kakak tolong mama lipatkan baju adik, terima kasih kakak”.


3. Beri pilihan dan beri anak buat keputusan sendiri dalam masa yang sama tetap masih memerlukan bimbingan dari ibu bapa.

4. Minta bantuan anak untuk membantu membuat kerja rumah yang mudah dan lakukan bersama-sama misalnya mengemas barang mainan.


5. Memberikan kepercayaan dan bimbing anak dalam membuat sesuatu perkara.

6. Berikan anak ruang dan peluang untuk mereka bercerita, galakkan komunikasi dua hala antara ibu bapa dan anak menerusi soal jawab dan lazimkan bertanya mengenai aktiviti mereka di sekolah atau di rumah pengasuh. Dengan bercerita, mendengar dan memberi respon kepada mereka,  anak-anak akan berasa dihargai.


Demikian adalah sangat penting bagi semua guru, ibu bapa dan pihak yang berinteraksi secara bersemuka dengan kanak-kanak supaya dapat berperanan dalam menggalakkan perkembangan emosi kanak-kanak secara berkesan. Walaupun dimata dewasa kita perkara di atas dianggap remeh namun pada kanak-kanak ia memberi impak yang besar kepada emosi mereka. 




Disediakan oleh:


Pn. Hidayah Binti Tokiman,
Dekan, 
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson. 

Tuesday, 27 March 2018

Keberakatan Ilmu bermula daripada sosok seorang guru- Cik Syazwani Jailani



Ilmu sangat penting dalam hidup kita. Anda setuju?


Menuntut ilmu juga adalah satu tuntutan dan kewajipan  yang sangat penting dalam Islam. Tujuan atau niat dalam mencari ilmu dalam perspektif agama Islam bukanlah untuk mendapat sanjungan semata-mata namun adalah untuk mendapat keberkatan dan keredhaan Allah SWT.

Keberkatan ilmu melebihi segala-galanya. Oleh ada pepatah mengatakan, ilmu tanpa amal ibarat  pohon tanpa berbuah. Keberkatan ilmu akan lebih terserlah apabila ia diamalkan dalam diri dan disebarkan sepertimana air sungai yang mengalir berbanding lopak air yang hanya bertakung, airnya keruh dan juga kotor. 

Jadi, bagaimana kita boleh mencapai barakah dalam ilmu?

Berikut, admin kongsikan 12 perkara yang mengundang keberkatan ilmu:

1. Baca doa sebelum belajar
2. Betulkan niat belajar
3. Menghormati guru
4. Kasih dan sayang pada guru
5. Suka membantu guru
6. Tidak mengejek guru
7. Tidak mengajuk cakap guru
8. Berwajah semangat dihadapan guru
9. Mendoakan guru
10. Malu kepada guru
11. Ikut nasihat guru
12. Berikan guru hadiah

Dapat dilihat daripada 12 perkara yang mengundang keberkatan ilmu menekankan kepada aspek memuliakan seseorang guru itu. 

Dalam tradisi pendidikan Islam, hubungan antara pendidik dan penuntut ilmu adalah satu hubungan yang suci dan luhur. Peranan seorang guru itu memang tidak boleh dipisahkan dari aspek mendidik dan mengajar. Guru yang alim akan membawa kita ke arah keberkatan ilmu. Kerana dari guru kita mengenal Tuhan- Allah Azza Wajalla. 

Dalam sebuah syair Arab ada disebutkan, "Jikalau tidak kerana guruku, nescaya aku tidak mengenal Tuhanku."


Oleh sebab itu, bila menuntut ilmu, pemilihan guru sangat penting, agar segala ilmu yang kita dalami tidak terpesong daripada kebenaran, khususnya berkaitan ilmu agama.


Susunan oleh, 

Cik Syazwani Jailani, 
Pensyarah,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, 
Kolej UNITI Port Dickson. 


Sumber asal daripada :

Alaf Leadership Training Sdn Bhd

Mohd Nasir Mohd Tap, Ilmuwan, Pendidikan dan Keperibadian dalam Fikrah Editor Wartasari, Bil 6. Januari 2013. 

Thursday, 15 March 2018

Anda Boleh Belajar Diploma Dengan 3 Kepujian SPM- Cikgu Badrul Hisham Ithnin

Keputusan SPM 2017 telah diuar-uarkan secara rasmi pada15 Mac. Keputusan dinanti penuh debaran. Kini semua pelajar SPM 2017 dan ibu bapa hanya pasrah dan tawakal untuk suatu keputusan yang baik.


Negara kita akan digempitakan sekali lagi oleh keputusan peperiksaan awam terbesar ini. Namun apa yang bakal terjadi tidaklah lebih penting daripada natijah keputusan yang diterima pelajar iaitu samada lepasan SPM 2017 ini mengambil keputusan untuk menyambung pengajian ke peringkat matrikulasi, diploma atau meneruskan cabaran akademik di Tingkatan 6 atau jalan lebih mudah iaitu bekerja.
Bagi yang ingin meneruskan cabaran akademik, tulisan ringkas ini menawarkan kepada lepasan SPM untuk pertimbangkan peluang ke institut pendidikan tinggi swasta , atau lebih dikenali sebagai IPTS. IPTA barangkali adalah pilihan lebih baik kerana infrastruktur, keutuhan sistem pendidikannya serta didokong oleh dana kerajaaan. Namun ini tidak lagi benar seratus peratus. 
Enam sebab di bawah adalah IPTS wajar menjadi pilihan alternatif kepada pelajar lepasan SPM 2017.
Sebab pertama, peluang di IPTA terhad. Misalnya UiTM sahaja tidak cukup untuk menampung jumlah pelajar layak yang ramai. Program matrikulasi di bawah kendalian kerajaan juga masih tidak boleh menawarkan tempat yang mencukupi kepada calon-calon yang layak. Peluang ke Politeknik juga mempunyai limitasi yang sama.
Kedua, hal ini juga dikekangi oleh jurusan yang ditawarkan insititusi di atas tadi tidak semuanya sesuai dengan minat dan kebolehan pelajar. Bahkan ada program yang tiada ditawarkan di institusi tersebut. IPTS yang kompetitif selalunya selangkah ke hadapan bagi memenuhi keperluan industri atau kehendak pasaran.
Sebagai contoh Program Diploma Pendidikan dan Asuhan Awal Kanak-kanak, Diploma Pendidikan Islam Sekolah Rendah dan Diploma Psikologi Kaunseling Kolej UNITI ditawarkan bagi memenuhi kehendak pasaran yang mewajibkan guru tadika dan pengasuh di taska memiliki diploma. Begitu juga kewujudan sekolah rendah Islam swasta yang memerlukan tenaga mahir dalam pendidikan sekolah rendah selain Malaysia kekurangan kaunselor dan pakar psikologi.  
Ketiga, program diploma IPTS tidak lagi dilabel mahal seperti peringkat awal IPTS beroperasi dahulu. Ini kerana pelajar yang layak boleh dibiayai oleh PTPTN. Terdapat juga kemudahan atau bantuan kewangan dari pusat zakat negeri, pengeluaran KWSP ibu bapa, tabung-tabung pendidikan negeri seperti TAPEM (Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka) dan seumpamanya.
Keempat, pengambilan pelajar di IPTS tidak terikat dengan tarikh-tarikh tertentu. Ia sentiasa terbuka seperti yang diamalkan oleh Kolej UNITI Port Dickson.  Ia tidak seperti IPTA yang pengambilannya telah ditetapkan. Pengambilannya lebih kerap bagi memberi peluang pelajar tidak tercicir peluang sambung belajar bidang kesukaannya. 
Kelima, pembelajaran menjadi lebih baik kerana wujud hubungan erat dengan pensyarah. Ini kerana IPTS lazimnya lebih kecil dari segi saiz dan kapasiti untuk mengambil ribuan pelajar. Justeru lebih banyak ruang dan kesempatan pelajar untuk bersemuka dengan pensyarah mereka selepas atau sebelum kuliah.
Keenam, dari segi kualiti pendidikan ia tidak boleh diremehkan oleh mana-mana pihak kerana rata-rata kebanyakan program diploma IPTS telah mendapat akreditasi penuh MQA. Akreditasi adalah satu bentuk pengiktirafan bahawa suatu program akademik yang ditawarkan telah memenuhi keperluan dan standard yang ditetapkan oleh pihak berkuasa seperti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Sejajar dengan status ini program akademik tersebut juga diiktiraf IPTA untuk menawarkan program ijazah pula. Pada masa sama juga Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut mengiktiraf program tersebut di mana graduan IPTS tersebut layak memohon jawatan di sektor awam, sama seperti graduan daripada IPTA.
Kolej UNITI Port Dickson sentiasa memastikan program yang ditawarkan mendapat akreditasi dari pihak MQA. Malah, Kolej UNITI Port Dickson telah mendapat 6 Stars MyQuest (kategori kolej) menjadikannya antara 10 IPTS terbaik di Malaysia. 
Dengan kelebihan-kelebihan ini maka pelajar sebenarnya mempunyai laluan alternatif untuk pengajian ke peringkat diploma. Sikap bergantung sepenuhnya kepada IPTA tidak lagi lagi boleh dipertahankan terutamanya kepada pelajar yang keputusan SPM mereka tidak cemerlang atau sekadar cukup-cukup makan. Asalkan cukup 3 kepujian (kredit), lulus Bahasa Melayu dan Sejarah anda layak memohon.
Besar tapak tangan, nyiru kami tadahkan. Dipersilakan memohon ke Kolej UNITI Port Dickson dalam program pilihan anda. 
Fakulti kami menawarkan:
1) Diploma Pendidikan dan Asuhan Awal Kanak-Kanak (DPAKK)
2) Diploma Pendidikan Islam Sekolah Rendah (DPSIR)
3) Diploma Psikologi Kauseling (DPK)
Anda berminat tahu lebih lanjut? 
Boleh hubungi Puan Faridah (011-1650 5162) atau melalui WA. 

Disediakan oleh,
  • Cikgu Badrul Hisham Ithnin
  • Pensyarah FPPM. 


Sunday, 11 March 2018

Empat (4) tip bagi membantu ibubapa merancang dan membuat keputusan untuk bercuti bersama anak- Hidayah Tokiman


Cuti sekolah dah bermula. 

“Mama ayah dapat cuti, jom kita pergi bercuti”

"Hoooraaaa....hooreyyyyyy!!!!" melompat kegembiraan anak-anak.

Wah! gembiranya anak-anak bila ibu ayah dapat luangkan masa bersama.  Lagi-lagi pergi bercuti ke luar dari kawasan tempat tinggal dan ada melibatkan aktiviti-aktiviti di luar rutin harian. Sudah pasti, anak-anak kita berasa teruja. 

Walaubagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang ibu bapa perlu pertimbangkan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk bercuti. Berikut empat (4) tip bagi membantu ibubapa merancang dan membuat keputusan untuk bercuti bersama anak :


1.     Destinasi percutian :

Pastikan destinasi percutian adalah pilihan yang telah menimbang suaikan segala aktiviti mahupun program yang bersesuaian dengan anak. Sekiranya ibubapa ada anak berusia dibawah enam bulan adalah sangat tidak sesuai sekiranya merancang percutian yang melibatkan aktiviti lasak di hutan misalnya aktiviti mendaki atau berkayak. Demikian, pilihlah destinasi yang sesuai dan mesra dengan umur anak-anak. Jangan pula kerana kesukaran menguruskan anak, percutian menjadi sesuatu yang menyebabkan ibu bapa tertekan lalu mendatangkan masalah pula.


2.     Jarak lokasi percutian :

Ibubapa perlu menentukan jarak lokasi kediaman dengan menitikberatkan sekiranya lokasi yang terlalu jauh misalnya sehingga memerlukan sembilan hingga 10 jam perjalanan dalam kenderaan boleh menyebabkan anak bosan dan telah penat kerana melalui perjalanan yang jauh. Demikian, ibubapa perlu memberitahu terlebih dahulu kepada anak lokasi serta mood perjalanan supaya anak telah bersedia mental dan fizikal supaya anak faham dan tidak membuat ‘perangai’ sepanjang perjalanan. 

Sekiranya perlu, rancanglah perjalanan dengan menaiki kapal terbang agar cepat tiba ke destinasi. Selain itu ibu bapa sebenarnya telah berjaya mengelakkan dari menempuh kesesakan lalu lintas yang tidak diketahui dalam perjalanan.


3.     Barang keperluan :

Percutian yang mengambil masa seminggu hingga berminggu-minggu lebih memerlukan persiapan yang rapi terutama bagi ibu bapa yang mempunyai anak kecil. Barang keperluan termasuklah segala perkara misalnya baju yang mencukupi, keperluan ‘stroller, ‘carry bag’, keperluan ubatan mahu pun keperluan lain yang diperlukan dan sukar didapati di tempat percutian atau jika ada harganya akan lebih mahal.


4.     Kemudahan yang disediakan :

Jika berpeluang, ibu bapa boleh menyemak dan mendapatkan maklumat kemudahan yang telah disediakan di tempat percutiannya melalui semakan online. Demikian, ibu bapa tidak perlu membawa barang-barang yang telah disediakan di tempat penginapan misalnya cerek elektrik, air pemanas, katil bayi dan lain-lain lagi bagi memudahkan dan menjadikan percutian semakin selesa dan menyeronokkan.


Sehubungan dengan itu, ibu bapa yang merancang untuk bercuti tanpa tekanan, ketahuilah bahawa bukan hanya nilai duit dan kemewahan sahaja yang anak-anak perlukan sebaliknya kasih sayang dan masa dari ibu bapa yang amat berharga bagi anak-anak. Maka carilah masa dan luangkanlah masa bersama anak-anak kerana masa yang berlalu tidak mampu kita ulang. Kita akan rindukan anak-anak kecil nanti. Selamat bercuti !


Disediakan oleh:

Hidayah Binti Tokiman,
Dekan, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia
Kolej UNITI Port Dickson.

Monday, 12 February 2018

Slot Bersama Ustazah Sara- "Mak saya yang suruh……."


Seperti biasa, saya sering bertanyakan soalan kepada pelajar baru yang mendaftar program Diploma Pendidikan Islam Sekolah Rendah (DPSIR) Kolej UNITI Port Dickson.

"Masuk belajar atas kehendak sendiri atau terpaksa kerana pilihan orang lain?" Tanyaku kepada pelajar.

Mengapa saya bertanyakan soalan demikian?

Supaya saya dapat fikirkan  cara untuk bangkitkan semangat belajar mereka.


***

Menuntut ilmu adalah jihad
Ini kisah Syahidah.

Salah seorang pelajar Diploma Pendidikan Islam Sekolah Rendah, Kolej UNITI Port Dickson.

Sekarang sudah di semester dua. Alhamdulillah. Syahidah pernah memaklumkan saya bahawa dia sangat meminati aktiviti lasak walaupun jika lihat pada penampilan,dia seorang yang sopan santun dan lemah lembut.


Pada mulanya kehadiran ke Kolej UNITI Port Dickson bukan atas kehendak sendiri.  

"Mak saya yang suruh ambil bidang pendidikan agama ni...." jawabnya. 


Namun, Alhamdulillah sehingga sekarang beliau masih terus berusaha menggali ilmu dan menunjukkan prestasi yang baik.


Semoga Syahidah terus bersemangat berusaha tanpa putus asa.

Jadilah seumpama Ainul Mardhiah sangat tegas sepanjang hidupnya tapi penuh dengan kelembutan dan kasih sayang.




Ustazah Nursara Yaacob merupakan Ketua Program bagi Diploma Pendidikan Islam Sekolah Rendah Kolej UNITI Port Dickson. 

Wednesday, 7 February 2018

Semua Orang Ada 24 Jam, Yang Membezakan Bagaimana Menguruskan Masa itu dengan Baik. Jom Ikuti Tips Ini untuk Bantu Pengurusan Waktu Anda sebagai Pelajar- Lina Kiam

Ihsan imej: Pinterest.com
MASA.
Masa Itu Emas. 
Pepatah Arab,yang berbunyi “Masa itu ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya, maka ia   akan memotong kita!” 
Begitulah sifat masa, yang pantas berlalu, tajam potongannya, halus gerakannya dan seni kawalannya, ibarat sebilah pedang yang tajam, di tangan seorang pendekar yang hebat. 
Setiap orang mempunyai 24 jam sehari. Tidak terlebih atau terkurang walau sesaat. Namun begitu, masih ramai yang kecundang dalam mengurus masa sendiri. 
Golongan pelajar terutamanya.
Untuk itu,  saya  kongsikan kaedah pengurusan masa pelajar yang efektif dan yang lebih penting, praktikal. 
Secara umum, apabila kita perhatikan pelajar yang cemerlang, kebiasaannya mereka bijak mengurus masa dan aktiviti harian mereka.
B.Eugene Griessman, pengarang buku Time Tactics of Very Successful People mencadangkan beberapa taktik penting bagi mengurus masa. Antaranya;
  • Tentukan keutamaan.
-        Keutamaan pelajar adalah semua hal yang berkaitan dengan pelajaran.

-       Pelajar wajib mengetahui subjek yang diambil, setiap tugasan dan tarikh-tarikh penting seperti penghantaran tugasan, kuiz dan peperiksaan akhir.
  • Rancang masa hadapan dan tulis rancangan itu.
-        Apa yang perlu pelajar lakukan atau siapkan untuk hari esok, minggu depan dan bulan depan.
  • Kuasai jalan pintas. Sebagai contoh, kuasai kemahiran membaca dengan laju, menulis dengan cepat dan sebagainya.
  • Berikan tumpuan.
-        Fokus ketika pensyarah memberi penerangan di dalam kelas.

-        Sekiranya ‘Tidak Tahu’, ‘Tanya’. Buang ego.
  • Belajar berkata `maaf, tidak boleh' kepada jemputan atau pekerjaan yang tidak penting.
-  Bagi pelajar, hati-hati dengan godaan daripada kawan-kawan yang ajak melepak.

-        Godaan yang kedua : TELEFON (media sosial).
  • Jangan menangguhkan kerja.
-        Bertangguh itu PENCURI MASA.

Ramai orang yang boleh memiliki jam tangan yang tinggi harganya,
Tetapi tidak ramai yang boleh menepati MASA yang berharga. (Tun Dr Mahathir Mohamad)