Pages

Monday 31 October 2016

BUSY BOARD BANTU PERKEMBANGAN MOTOR HALUS- NUR LAILA BINTI AHMAD

Zaman moden ini, biasa kita tengok situasi dimana satu keluarga berkumpul  senyap sunyi sebab sibuk dengan gadget di tangan masing-masing. Lagi membimbangkan bila kanak-kanak semuda satu tahun diberi gajet untuk mendiamkan mereka.

Dengan gajet, anak-anak akan bermain seorang diri. Kajian oleh Dr Gary Small mengatakan anak-anak yang menghabiskan terlalu banyak masa dengan teknologi, akan mengurangkan interaksi dan mengganggu ketrampilan komunikasi.


          Zaman sekarang, anak-anak hanya dapat bermain pasir, buih, rumput dan play-doh hanya di i-pad sahaja. Ini akan membantutkan perkembangan diri mereka. Biarkan anak menyentuh dengan mengunakan tangan sendiri. Ia dapat meransang kemahiran motor dan kemahiran deria. Mereka sepatutnya keluar rumah, berjalan di taman dan bersosial dengan kanak-kanak lain. Kanak-kanak kecil harus mampu melontar bola, melompat, berlari dan bernyanyi.


          Banyak lagi kesan buruk pengunaan gajet berlebihan pada anak-anak antaranya penurunan perkembangan otak, obesiti, temperamental, terdedah kepada radiasi yang boleh menghancurkan sel otak kanak-kanak kecil, merosakkan penglihatan mata dan paling ketara sekali apabila mereka kurang berminat untuk bermain di alam terbuka.


          Bimbang bukan? Bagaimana nak mencegah anak dari dunia ketagihan gajet yang melampau ni? Antara pilihannya adalah Busy board. Apa itu busy board? Ia adalah satu papan yang diletakkan aksesori dan peralatan dengan fungsi yang berbeza yang dapat membuatkan kanak-kanak sibuk dan terhibur.


          Pengunaan busy board ini telah digunakan secara meluas di Negara luar seperti dan Rusia dan diakui keberkesanannya dalam meningkatkan kemahiran motor halus kanak-kanak sama ada kanak-kanak normal, hiperaktif atau lembam.


          Ia juga dapat melatih anak-anak berfikir untuk menyelesaikan masalah, sebagai contoh macam mana nak membuka mangga mengunakan kunci, bagaimana membunyikan loceng basikal, menyalakan lampu dan macam-macam lagi.


          Busy board sesuai untuk bayi seawal usia 6 bulan dan keatas atau bila anak anda sudah belajar untuk duduk dan bila mereka sudah menunjukka minat pada barang-barang rumah seperti alat kawalan jauh, pintu, suis dan lain-lain. Menariknya ia sesuai untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan.


Lazimnya, kanak-kanak mampu bermain dengan papan berkenaan sekurang-kurangnya 30 minit dan tempoh berkenaan cukup untuk mereka melatih kemahiran motor setiap hari, selain memberi masa dan ruang untuk ibu terutama suri rumah melakukan kerja rumah tanpa diganggu atau ketika memandu.



Selain itu, penggunaan busyboard sangat membantu untuk mengelakkan kanak-kanak terlalu tertumpu kepada penggunaan gajet untuk . Anda boleh dapatkan busy board ini dari instagram busytodd_busyboard atau Facebook busy todd busy board.




Disediakan oleh,

NUR LAILA BINTI AHMAD,
PENSYARAH JABATAN PENDIDIKAN,
FAKULTI PENDIDIKAN DAN PEMBANGUNAN MANUSIA,
KOLEJ UNITI PORT DICKSON


JAUNDICE : RAWATAN TRADISIONAL VS MODEN- Mohd Noor Shafrin bin Mohd Jaya

Secara umumnya, jaundice bukanlah sejenis penyakit. Jaundice berasal dari perkatan Perancis "jaune" yang bermakna kuning. Sel darah merah manusia yang terurai (kerana mati) menghasilkan partikel yang dipanggil bilirubin. Bilirubin ini tidak larut air dan akan dihantar ke hati untuk diubah menjadi larut air. Oleh itu, jika ia tidak larut dan dibuang melalui sistem perkumuhan maka akan menyebabkan anggota badan terutama di bahagian muka, badan bayi juga akan timbul warna kuning dan jika tidak dirawat boleh menyebabkan sawan serta ada juga menyebabkan kematian.

                               Image result for jaundice baby

Susu ibu merupakan ubat mujarab yang terbaik dalam merawat penyakit bayi terutamanya penyakit jaundice ini. Penyusuan secara kerap mampu mengurangkan masalah kuning jika diberi secara konsistan dan kerap dari awal kelahiran bayi. Namun, bagaimana pula bagi ibu yang mengalami masalah kekurangan susu badan? Kadang-kala si ibu telah bersiap sedia bagi memastikan bayi yang bakal dilahirkan terhindar dari pelbagai penyakit antaranya dengan kerap mengambil makanan sunnah seperti kurma,kismis, madu, susu kambing asli dan pelbagai produk makanan tambahan yang lain. Namun, dalam beberapa hari kelahiran didapati bayi masih juga tidak terlepas daripada masalah ini.

            Kaedah rawatan yang kerap digunakan oleh kebanyakan masyarakat tidak kira budaya atau bangsa iaitu melalui rawatan tradisional. Anatara kaedah tersebut adalah seperti berikut:

1.  Sengkuang cina (air buah sengkuang yang telah di blander diberi minum bagi memastikan bayi kerap membuang najis)
2.   Uncang herba cina (buat mandian)
3.   Serbuk mutiara (dicampur dengan air suam dan disuapkan ke mulut bayi menggunakan jari)
4.     Titisan susu kambing asli di mulut bayi(5-7 kali sehari)
5.     Hisapan madu (letakkan sedikit di jari ibu atau ayah dan biarkan bayi menghisapnya)
6.     Beri air perahan buah anggur hitam (7 biji sehari)
7.     Urutan lembut di bahagian kening bayi sambil zikir dan selawat sebanyak 7x sehari (bagi mengelakkan bayi terkena sawan)

Bagi cara moden, si ibu pelulah mengikuti nasihat doktor dimana perlu membawa bayi ke hospital dengan mengambil ujian darah dan menggunakan kaedah phototherapy jika didapati tahap kuning semakin meningkat sehingga mencecah ke tahap 200 dan ke atas. Phototherapy adalah kaedah yang paling berkesan abad ini untuk mengurangkan kekuningan bayi. Ia adalah sumber cahaya biru dengan jarak gelombang (wavelength) kira-kira 450 nm. Dengan kaedah ini, bilirubin merbahaya ditukarkan kepada bilirubin larut air untuk dinyahkan daripada badan.


Kesimpulannya, terpulang kepada anda kaedah mana yang ingin dikuti. Buatlah pilihan yang terbaik untuk anak anugerah terindah kita, yang paling penting adalah usaha, doa dan tawakal dalam setiap perkara yang dilakukan terutama yang melibatkan keselamatan dan kesihatan keluarga yang disayangi.


Disediakan oleh,

MOHD NOOR SHAFRIN BIN MOHD JAYA,
PENSYARAH JABATAN PENDIDIKAN
FAKULTI PENDIDIKAN DAN PEMBANGUNAN MANUSIA,
KOLEJ UNITI PORT DICKSON

SELAMATKAH ANAK ANDA DI DALAM KENDERAAN?- Rohafizah Binti Mohammad Nasir

SELAMATKAH ANAK ANDA DI DALAM KENDERAAN?
Image result for kerusi keselamatan bayi

Saban hari kita sering mendengar dan membaca mengenai tragedi kemalangan kanak-kanak di dalam kereta. Ini terjadi sama ada disebabkan oleh terbunuh atau cedera akibat kurang pengawasan ibu bapa atau langkah-langkah keselamatan yang longgar. Ini kerana, kanak-kanak yang berada di dalam kereta sangat terdedah kepada kecederaan apabila berlaku kemalangan sekiranya keselamatan mereka tidak dititikberatkan.

Statistik yang diperolehi daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), pada tahun 2013 sahaja seramai 59 orang bayi berusia kurang setahun meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami ketika kemalangan jalan raya. Siapakah yang harus kita persalahkan? Adakah ibu bapa mengambil tidakan yang sewajarnya bagi memastikan keselamatan anak terjamin sepanjang keberadaannya di dalam kereta?

Menurut Fiedler (2004), kemalangan boleh berlaku di mana-mana. Bahaya tidak dapat dielakkan kerana bahaya terdapat di setiap tempat, setiap keputusan yang dilakukan dan pada setiap tindakan yang diambil. Jadi, ibu bapa perlu lebih peka dan bertanggungjawab dalam menyediakan persekitaran yang selamat di dalam kereta bagi mengelak kemalangan menimpa anak kecil mereka kerana hakikatnya ’malang tidak berbau’.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), Professor Dr. Wong Shaw Voon berkata, kerusi keselamatan kanak-kanak dapat meningkatkan peluang mereka untuk terus hidup dalam kemalangan yang serius. Ini merupakan langkah pencegahan bagi mengelak risiko kecederaan yang lebih serius kepada si kecil.

Di Malaysia, penggunaan kerusi kanak-kanak masih belum diwajibkan dan dikuatkuasakan sepenuhnya. Namun begitu, kerusi keselamatan kanak-kanak adalah cara yang terbaik bagi melindungi mereka serta mampu mengurangkan risiko cedera parah sekiranya berlaku kemalangan. Pembuatan keputusan yang bijak di kalangan ibu bapa dalam aspek keselamatan adalah penting bagi memastikan anak mereka sentiasa berada dalam keadaan yang selamat walau di mana mereka berada termasuklah di dalam kereta.

Kesimpulannya, ibu bapa masa kini perlu lebih prihatin dan peka dengan keadaan sekeliling. Penggunan kerusi keselamatan dalam kereta adalah penting bagi memenuhi keperluan anak sepanjang berada dalam kereta. Oleh itu, ibu bapa perlu memastikan penggunaan kerusi keselamatan digunakan dengan cara yang betul dan mengikuti segala garis panduan yang ditetapkan dalam usaha memastikan keselamatan kanak-kanak terjamin sepanjang dalam jagaan ibu bapa.

TIP PENGGUNAAN KERUSI KESELAMATAN YANG SESUAI

UMUR/ BERAT BAYI
JENIS TEMPAT DUDUK KESELAMATAN KERETA & DIMANA HENDAK MEMASANGNYA
Bayi baru lahir hingga umur hampir 1 tahun, berat sehingga 9kg, tidak berupaya menyokong kepalanya dengan betul

Kerusi Keselamatan Bayi

1. Kerusi menghadap ke belakang
2. Dipasang ditempat duduk belakang dengan tali pinggang kaledar.


9 bulan  hingga hampir 4 tahun, berat diantara 9 hingga 18kg





Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak

1. Kerusi menghadap ke hadapan
2. Dipasang di tempat duduk belakang dengan tali pinggang kaledar

4 hingga 11 tahun, berat antara 15kg hingga 36kg
Image result for kerusi pengalas
Kerusi Pengalas
1. Tempat duduk menghadap ke hadapan

2. Direka khas untuk kanak-kanak supaya tali pinggang orang dewasa dapat digunakan merentasi dada dan pinggul mereka dengan selamat

3. Dipasang di kerusi belakang dengan tali pinggang kaledar

Image result for penting


·        JANGAN memasang kerusi keselamatan kereta di tempat duduk penumpang depan

·        JANGAN mengubah suai kerusi keselamatan atau tali pinggang kaledar




Disediakan oleh,

Rohafizah Binti Mohammad Nasir
Pensyarah Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson

JANGAN ABAI IMUNISASI KANAK-KANAK- Fatimah Binti Kamaruddin



Apakah imunisasi?

Imunisasi merujuk tindakan merangsang sistem daya lawan jangkitan (imun) untuk menghasilkan antibodi melalui pemberian vaksin. Ianya juga merupakan satu kaedah pembentukan daya lawan (imuniti) jangkitan penyakit cegahan vaksin secara aktif. Vaksin mengandungi antigen yang diperolehi dari sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan. Antigen dalam vaksin berfungsi untuk merangsang sistem daya lawan jangkitan (sistem imuniti) tubuh membentuk imuniti terhadap jangkitan penyakit khusus.

Imunisasi dipelukan bagi melindungi diri, keluarga dan masyarakat daripada dijangkiti pelbagai penyakit cegahan vaksin yang serius yang boleh mengakibatkan kecacatan dan kematian. Selain itu, imunisasi bertujuan melindungi mereka yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan dan tidak sesuai menerima imunisasi seperti kanak-kanak yang menghidap kanser. Ini juga dapat mengelak berlakunya kejadian wabak penyakit cegahan vaksin.

Siapakah yang perlu mendapatkan imunisasi?

Imunisasi adalah hak kanak-kanak seperti yang termaktub dalam Konvensyen Hak Kanak-kanak. Ibu bapa yang tidak memenuhi keperluan anak ini boleh dikatakan telah mencabul hak asasi anak. Anak berhak mendapatkan imunisasi supaya dapat merangsang tumbesaran dalam persekitaran yang selamat. Pemberian imunisasi ini adalah penting dalam memastikan kelangsungan dan kesejahteraan hidup anak.

Semua bayi, kanak-kanak dan murid sekolah dan perlu mengikut Jadual Imunisasi Kementerian Kesihatan Malaysia. Imunisasi orang dewasa juga disarankan bagi golongan seperti pengendali makanan, anggota kesihatan, jemaah haji dan umrah serta pengembara. Kebanyakan ibu bapa berpendapat daya lawan jangkitan yang diperoleh secara semulajadi lebih baik dari imunisasi. Adakah perkara ini benar?

Daya lawan jangkitan yang diperolehi secara semulajadi tidak mencukupi bagi sesetengah penyakit dan amat berbahaya seperti Polio dan Measles. Jangkitan semulajadi ini memberi risiko kepada kanak-kanak untuk mendapatkan kompilasi termasuk kecacatan kekal dan kematian. Vaksin memberi perlindungan setaraf dengan imuniti yang terhasil daripada jangkitan semulajadi, tanpa perlu melalui risiko kompilasi jangkitan.


 Fatwa mengenai imunisasi.

Adakah imunisasi ini selamat?. Sebelum vaksin dipasarkan secara komersial, ia diuji dengan rapi pada ribuan orang menerusi kajian klinikal berskala besar. Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan bahawa imunisasi adalah satu-satunya cara pencegahan yang dapat dilakukan bagi mengelakkan penyakit cegahan vaksin. Maka program tersebut adalah harus, kerana sesuatu kerosakan akan cepat berkembang dan bahayanya adalah lebih besar. Oleh hal yang demikian, penggunaan vaksin dalam imunisasi itu adalah harus dari segi syarak dan bagi kemaslahatan umum.

Kesan sampingan imunisasi

Kesan sampingan lazimnya termasuk kesan merah pada kawasan suntikan dan demam. Namun, kebanyakan kesan ini adalah ringan dan sembuh dengan segera. Kesan sampingan serius jarang berlaku seperti loya dan sawan.Sekiranya terdapat kesan sampingan yang serius bawa anak ke klinik atau hospital dengan kadar yang segera.

Kesimpulannya, pengetahuan mengenai imunisasi adalah penting dalam kalangan ibu bapa. ibu bapa perlu memastikan anak-anak mendapatkan imunisasi bagi memastikan anak-anak dapat membesar dalam keadaan yang sihat dan selamat. Imunisasi adalah hak anak yang perlu dipenuhi demi kelangsungan dan kesejahteraan hidup. 


Disediakan oleh,

Fatimah Binti Kamaruddin,
Pensyarah Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson

G6PD- Nurulhuda Binti Musa

Apakah itu G6PD?

Glucose-6-phosphate dehydrogenase atau dikenali sebagai G6PD ialah sejenis enzim di dalam sel darah merah. Ia berfungsi untuk melindungi sel darah merah daripada pecah (hemolisis) dengan lebih awal apabila terdedah kepada ubat-ubatan tertentu, makanan dan jangkitan. Kekurangan enzim G6PD merupakan penyakit bawaan genetik tetapi ia bukan penyakit berjangkit.

Apakah yang dimaksudkan dengan kekurangan enzim G6PD?

Apabila paras enzim G6PD rendah, sel darah merah tidak mampu menahan keadaan stress seperti jangkitan teruk atau apabila bahan kimia atau ubat-ubatan tertentu diambil, sekaligus menyebabkan sel darah merah pecah. Hemolisis berlaku dengan cepat dan membawa kepada hemolitik anemia. Ibu bapa tidak perlu risau kerana pada dasarnya penyakit ini tidak merbahaya. Komplikasi hanya akan terjadi jika mereka terdedah kepada bahan-bahan yang boleh menghasilkan proses homolisis di dalam darah.

Bagi bayi yang baru dilahirkan, doktor akan mengambil sedikit darah dari tali pusat dan dihantar untuk pemeriksaan. Sekiranya didapati bayi kekurangan G6PD maka pemantauan diperlukan kerana bayi berisiko untuk mendapat penyakit kuning yang teruk. Bayi dan ibu yang menyusui bayi tersebut juga perlu terhindar daripada bahan-bahan yang boleh menyebabkan kemusnahan darah merah. Seandainya termakan bahan-bahan tersebut maka sel darah merah bayi akan musnah dengan cepat.

Bahan-bahan yang patut dielakkan

                                               Image result for G6PD

Terdapat pelbagai jenis makanan yang perlu dielakkan oleh ibu yang boleh menyebabkan kemusnahan darah merah. Antaranya adalah kacang parang, makanan yang mengandungi pewarna tiruan methylene dan toluidine blue, makanan yang mengandungi sulfida kacang soya dan semua produk kacang. Makanan ini bahaya untuk bayi dalam kandungan si ibu.

Segala bahan beracun termasuk ubat-ubatan yang boleh membahayakan ibu dan anak dalam kandungan juga perlu dijauhi seperti ubat untuk merawat Malaria, ubat penahan sakit seperti Acetylsalicylic Acid (Aspirin), Phenacetin (Acetophenetidin) dan Aminopyrine (Amidopyrine). Selain itu, ubat antibiotik seperti Chloramphenicol, Furazolidine, Nitrofurantoin, Nitrofurazone dan Para-Aminosalicy Acid juga boleh mengancam keselamatan bayi. Ubat nyamuk dan ubat gegat juga perlu dijauhkan kerana ia boleh menjadi racun yang akan memudaratkan ibu dan bayi dalam kandungan.

Kesimpulannya, ibu bapa perlu peka dengan keadaan persekitaran yang boleh memudaratkan kesihatan ibu dan bayi. Pengetahuan mengenai G6PD dalam kalangan ibu bapa adalah penting bagi memastikan ibu bapa sentiasa bersedia dan peka dengan setiap tindakan yang dipilih demi kesejahteraan anak.




Disediakan oleh,

Nurulhuda Binti Musa
Pensyarah Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson

REMAJA PERLU KEMAHIRAN URUS GAJET ELAK KES JENAYAH


Tuesday 4 October 2016

Selamatkah Anak-anak Kita?- Nurakmar Mohd Ariff



Dapatkan bacaan ini dalam Majalah I, Karangkraf Volum 166 (keluaran September 2016) di kedai-kedai buku berhampiran anda,

AWAS ANCAMAN FIDOFILIA!- Faridah Mohd Tap

Dalam sebuah laporan berita di Utusan Malaysia bertarikh 17 Mei 2015 berjudul ‘Awas si fidofilia! pakar psikiatri, Jabatan Perubatan Psikologi, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari menyatakan fidofilia merupakan seseorang individu yang kecenderungan seksnya terarah kepada kanak-kanak ataupun remaja di bawah umur 16 tahun.


Tambahnya lagi, “fidofilia bukan semestinya melakukan seks terhadap kanak-kanak tetapi ia menjurus ke arah itu. Dia mungkin berminat sahaja, maksudnya tiada berlaku sebarang sentuhan atau meneruskan keinginan dan kemahuannya. Dipendekkan, seorang dewasa yang mudah terangsang dengan memikirkan dan membayangkan atau dengan melihat gambar kanak-kanak sahaja.”


“Ada sebahagian lagi bertindak balas dengan kencenderungan itu. Contohnya dia mungkin menghampiri kanak-kanak, berbual mesra dan dengan cara itu dia dapat merasakan seolah-olah keinginan seksnya itu dapat dipuaskan daripada bersembang sahaja.


“Kategori akhir pula yang melibatkan kelakukan seksual iaitu hingga ke tahap merogol kanak-kanak,” terang Dr. Muhammad Muhsin dalam laporan berita yang ditulis oleh wartawan, Raja Intan Dianna Raja Azham. Proses yang mudah untuk memiliki dan menonton gambar kanak-kanak yang dieksploitasi menerusi Internet dilihat Dr. Muhammad Muhsin antara punca golongan fidofilia bertambah.


Dalam laporan statistik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 26 peratus kes penderaan kanak-kanak secara seksual telah dilaporkan. Ia telah dibentangkan oleh Fadhlina Sidek, Naib Presiden ABIM pusat sebagai pemula siri advokasi #standupforourchildren anjuran ABIM Pusat pada 3 September lalu dalam kempen kesedaran mengenai ‘Jenayah Seksual dan Mental Terhadap Kanak-kanak’. 


Peratusan itu semakin menakutkan kerana Malaysia dikejutkan dengan pelbagai berita berkaitan jenayah seksual melibatkan kanak-kanak termasuklah rogol, cabul, sodomi, sumbang mahram hinggalah melibatkan kematian kanak-kanak.

Oleh itu, ibu bapa dan pengasuh perlu mendidik anak-anak sejak kecil untuk menjaga tubuh badan mereka daripada dieksplotasi oleh si fidofilia. LIMA anggota yang perlu dijaga rapi daripada sebarang sentuhan berahi ialah:

a) Mulut
b) Leher
c) Dada
d) Punggung/ Kemaluan
e) Peha


Ibu bapa/ Pengasuh perlu menerangkan kepada anak-anak supaya anggota badan mereka khususnya lima yang dinyatakan di atas adalah anggota privasi yang tidak boleh disentuh sewenang-wenangnya untuk berseronok termasuklah ahli keluarga. Anak-anak perlu dididik sentuhan yang salah yang menjurus kepada keseronokan seksual pemangsa. 


Cara paling mudah ialah, ibubapa/ pengasuh meminta kebenaran untuk menyentuh dan membersihkan punggung anak ketika mereka membuang air kecil mahupun air besar. Ini sebagai didikan bahawa tubuh anak-anak adalah privasi mereka. Tips mudah yang lain ialah kita tidak sewenangnya berkongsi gambar anak-anak kepada umum kerana menyantuni hak privasi mereka. Perkongsian gambar-gambar comel dan gelagat anak-anak di internet dilaporkan juga sebagai punca golongan fidofilia semakin bertambah. 


Akhirnya, ibubapa/ pengasuh perlu lebih prihatin sebarang perubahan kelakuan anak-anak. Kerana ancaman fidofilia ada di mana-mana! Semoga anak-anak kita selamat dari ancaman manusia durjana.



Disusun oleh,

FARIDAH MOHD TAP
Pensyarah Jabatan Pengajian Umum,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson.

Lima Ciri-Ciri Pusat Penjagaan Anak-anak Berkualiti- Hidayah Binti Tokiman

Dewasa ini di dada akhbar sering memaparkan pelbagai isu berkaitan tentang pusat penjagaan. Kebimbangan para ibu bapa memuncak apabila terdapatnya pusat penjagaan yang mengambil sambil lewa malahan tidak mementingkan kualiti penjagaan sehingga membawa kemalangan, kecederaan malahan kematian. Perkara ini lebih menyentuh emosi apabila pihak pusat penjagaan seakan tidak mahu bertanggungjawab dan 'lepas tangan' apabila sesuatu perkara buruk terjadi kepada anak-anak di pusat jagaannya. 


Terdapat lima ciri-ciri pusat penjagaan yang boleh dijadikan sebagai garis panduan para ibu bapa dalam memilih pusat penjagaan yang berkualiti:


1. Penjagaan kebersihan perkakas atau perlatan yang digunakan seperti tidak mencampurkan dan perlu diasingkan misalnya penggunaan botol susu, bekas makanan, pakaian juga alatan permainan dibasuh dan dibersihkan mengikut keperluan. Ini dapat menghindarkan kanak-kanak dari jangkitan penyakit.

2. Faktor keselamatan termasuklah keselamatan premis di dalam dan luar bangunan. Keselamatan juga merujuk kepada memenuhi keperluan asas kanak-kanak. Selain itu, keselamatan perlu dengan menyediakan persekitaran fizikal yang membantu dalam proses perkembangan kanak-kanak, ruang yang ceria dan menyeronokkan selain mempunyai sistem pengudaraan dan pencahayaan yang baik.

Kanak-kanak di pusat jagaan Taska Cahaya Tasneem Kolej UNITI
3. Mempunyai jadual dan mampu menyediakan aktiviti yang melibatkan rutin harian. Pusat penjagaan yang berkualiti akan menyediakan aktiviti yang mampu mendidik kanak-kanak untuk berdikari sesuai mengikut umur mereka. Ini sebagai persediaan mereka di masa akan datang.


4. Adanya penglibatan aktif ibu bapa dan ini bergantung kepada ibu bapa. Sekiranya hasil dari pemerhatian mendapati anak-anak berkembang dengan sepenuhnya, maka ibu bapa telah berhasil mendapat pusat penjagaan yang berkualiti. Perkembangan anak yang positif juga banyak dibantu oleh kehadiran kakitangan pusat penjagaan yang berkelayakan dan berpengalaman dalam mengendalikan kanak-kanak. Ini akan meningkatkan lagi kepercayaan ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke pusat penjagaan tersebut.


5. Menyediakan kemudahan atau perkhidmatan lain yang mampu ditawarkan seperti perkhidmatan penjagaan lebih masa, penjagaan di Sabtu Ahad, pakej bayaran yang jelas, pelbagai kemudahan lain seperti kamera litar tertutup, kelas membaca Al-Quran juga program-program pendidikan luar. Ini akan meningkatkan lagi potensi kanak-kanak di tahap maksimum.


Demikian, jelaslah bahawa pemilihan pusat penjagaan yang berkualiti bagi merangsang perkembangan pendidikan awal kanak-kanak adalah sangat penting. Walaubagaimanapun, ianya terpulang kepada ibu bapa. Tawaran diberikan, ibu bapa berhak memilih yang terbaik untuk anak mereka.



Disediakan oleh, 


Hidayah Binti Tokiman,
Pensyarah Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia,
Kolej Uniti Port Dickson

3 tips for your first interview in English- Akmal Hafiiz Abdul Rani

The thought of your first interview in English is daunting.  You might be worried about it even though you feel confident about speaking the language in other, less formal situations.  Don’t worry. Here are some ways to prepare for interviews in English.  With a little work and common sense you will exceed your own expectations and impress your interviewer.


1. Prepare set vocabulary

It’s a good idea to develop a strong vocabulary in relation to industry in which you work before the actual interview. This shows genuine interest in what you do as well as a desire to progress. For example, for somebody working in the education industry some good words and terms to incorporate into the interview are:

Research
Educational jargon 
Teaching acronyms
Academic standard
Assessment
Bilingual
Brainstorming
Constructivism
Heterogeneous groups
Methodology 
Phonemic
Taxonomy


2. Use suitable tenses.

When the interviewer asks you about your current position, answer in the present tense:
I am working at…
My current position involves…
I have been working there for 4 years…

When the interviewer asks you about your past positions answer in the past tense:
I worked at …
My former role involved…
I had been working there for 4 years…


3. Keep answers short and to the point.

There is a saying in English: Keep it short and simple (KISS) and nowhere is this more the case than in the interview situation. It is likely that questions during the interview will be direct and precise and your answers should be the same. Don’t over complicate things. Talking too much is called rambling in English and this should be avoided in interviews.


You only have 10-15 minutes to impress so make the most of the short time you have.


Written by,

Akmal Hafiiz Abdul Rani,
Lecturer,
Kolej UNITI Port Dickson

Bual Bicara Interaktif: Menyorot Kemerdekaan Bangsa Siri II di Kolej UNITI Port Dickson


Lawatan Sambil Belajar Kanak-kanak Tabika KEMAS Bistari Kolej UNITI ke Port Dickson- Nur Akmar Mohd Arif

Lawatan Sambil Belajar merupakan aktiviti luar kelas yang dapat memberi pengalaman pembelajaran yang menggembirakan dan bermakna untuk kanak-kanak di tadika dimana mereka diberi peluang untuk meneroka dunia luar bersama guru dan rakan-rakan sebaya. Ini akan memberi pengalaman manis dan bermakna untuk mereka selain meningkatkan daya pembelajaran sambil bermain dalam meneroka dunia persekitaran luar.


Seramai 11 orang kanak-kanak di Tabika KEMAS Bistari Kolej UNITI Port Dickson telah mengikuti lawatan sambil belajar Ke Port Dickson pada 10 Ogos 2016 yang lepas. Lawatan ke Port Dickson ini telah mendapat kebenaran dan persetujuan daripada ibu bapa dan barisan Ahli Jawatankuasa Tabika KEMAS Bistari Kolej UNITI. Lawatan Sambil Belajar yang kebiasaannya diadakan dua kali dalam setahun ini telah diiringi oleh dua orang guru Tabika KEMAS Bistari Kolej UNITI.


Tempat-Tempat Lawatan


Tempat-tempat lawatan yang dipilih adalah bersesuaian dengan kanak-kanak untuk menggalakkan pembelajaran mereka selain selamat dan bersih untuk dilawati bagi mewujudkan kesan pembelajaran yang menggembirakan dan bermakna untuk kanak-kanak ini. Antara tempat-tempat yang telah dilawati pada 10 Ogos tersebut adalah Pusat Ikan Hiasan Telok Kemang, Balai Bomba Telok Kemang, Muzium Tentera, Port Dickson Dream World (Pameran Dinasour), KFC dan lain-lain lagi. Untuk langkah keselamatan sepanjang lawatan luar ini diadakan, kanak-kanak ini berpakaian lengkap baju sukan Tabika KEMAS Bistari Kolej UNITI, memakai kad nama dan berkasut bagi memudahkan pergerakan selain untuk memudahkan kawalan dan pemantauan para guru. 


Kepentingan Lawatan Sambil Belajar 


Lawatan Sambil Belajar ini diadakan bertujuan memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menambah pengetahuan sedia ada mereka tentang dunia luar. Pembelajaran di dalam kelas dibawa ke konteks luar kelas untuk mengayakan pembelajaran selain meningkatkan perasaan ingin tahu kanak-kanak. Pengetahuan sedia ada kanak-kanak akan diintegrasikan dengan pengetahuan baru yang akan dipelajari di luar konteks kelas. Tempat-tempat yang dilawati oleh mereka juga merangkumi pembelajaran bertema yang dipelajari dalam kelas seperti haiwan, keselamatan, pekerjaan, pakaian uniform dan lain-lain lagi. Pembelajaran bertema dapat memberi pengalaman yang bermakna dan menyeronokkan untuk kanak-kanak ini.




Selain itu, pembelajaran luar kelas ini dapat menarik minta kanak-kanak untuk belajar dan meneroka selain merangsang perkembangan mereka dari semua aspek jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial. Selain itu, lawatan luar ini dapat meningkatkan keyakinan diri mereka selain dapat mendidik mereka untuk berdikari dan berdisipilin sepanjang berada di luar tadika. Kanak-kanak ini juga didedahkan tentang peraturan dan keselamatan diri sepanjang mengikuti lawatan ini. Lawatan ini juga secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan sesama guru dan kanak-kanak di Tabika ini.


Kesimpulannya, Lawatan Sambil Belajar adalah penting bagi meningkatkan perasaan ingin tahu dan merangsang perkembangan kanak-kanak seiring dengan pertambahan usia mereka. Pemantauan guru sepanjang lawatan sambil belajar ini adalah penting bagi memastikan keselamatan kanak-kanak terjamin sepanjang berada di luar tadika selain memberi peluang kepada kanak-kanak untuk meneroka dunia luar dalam persekitaran yang selamat dan meyakinkan.


Disediakan oleh,

Nur Akmar Binti Mohd Arif
Pensyarah,
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson