Pages

Showing posts with label advokasi isu. Show all posts
Showing posts with label advokasi isu. Show all posts

Sunday, 10 June 2018

TANGGUNGJAWAB MELAPORKAN BANTERAS JENAYAH DAN PENDERAAN TERHADAP KANAK-KANAK- Faridah Mohd Tap

Ihsan Imej: Pinterest.com




Beberapa kejadian menyayat hati melibatkan kematian dan kecederaan serius kanak-kanak akibat penderaan dan penderaan secara seksual yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini menuntut masyarakat amnya lebih prihatian terhadap tanggungjawab melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa agar jenayah ini dapat dibanteras.




Statistik Polis Diraja Malaysia menyatakan sebanyak 22, 234 kes penderaan seksual kanak-kanak telah direkodkan sepanjang tahun 2010 hingga Mei 2017 bukan jumlah yang boleh diambil ringan.




Daripada statistik tersebut, kes rogol 13, 272 mencatat angka tertinggi,diikuti 6,014 kes cabul, sumbang mahram, 1,796 dan perbuatan luar tabii, 1,152 kes. Lebih mengejutkan, 90 peratus pelaku jenayah dikenali oleh kanak-kanak yang menjadi mangsa.




Bertambah pilu, banyak kes penderaan seksual berulang apabila tiada pelaporan dibuat khususnya di kawasan-kawasan pedalaman. Ia juga dipengaruhi oleh faktor seperti mangsa kanak-kanak yang terlalu muda dan kanak-kanak yang mempunyai kelainan upaya. 




Justeru, apa yang masyakarat perlu tahu tentang kewajipan melaporkan agar jenayah penderaan seksual terhadap kanak-kanak ini dapat dibanteras dengan berkesan?



Tanggugjawab Melaporkan diberikan penekanan khusus dalam beberapa seksyen dibawah Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,   iaitu:


    a)  Seksyen 27, 28 dan 29 Akta Kanak-kanak 2001 menyatakan: Pegawai perubatan atau pengamal perubatan, anggota keluarga dan pengasuh wajib untuk melaporkan sekiranya kanak-kanak didapati teraniaya, terabai, tercedera dari segi fizikal, emosi dan seks.

    b) Seksyen 19 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, kewajipan melaporkan kepada ‘mana-mana orang.’ Hukuman: DENDA tidak melebihi RM 5,000.


    c)  Seksyen 19 telah meluaskan pemakaian kepada ‘guru, peguam, pekerja sosial, NGO, dan masyarakat secara keseluruhan.’

    d) Bahagian 4- Seksyen 16 (2): Orang yang punya hubungan amanah dengan kanak-kanak; ibu bapa, penjaga, saudara-mara, guru, pensyarah, warden, pengasuh, pemilik taska, jurulatih, orang yang menyediakan perkhidmatan kesihatan seperti jururawat dan lain-lain.




Oleh kerana, kanak-kanak banyak menghabiskan masa di sekolah, maka guru lebih berkewajipan untuk melaporkan sebarang perubahan tingkahlaku murid-muridnya kepada pihak bertanggungjawab. Ini menjadi salah satu tugas besar guru selain mendidik agar kanak-kanak di bawah jagaannya dapat diselamatkan daripada berterusan menjadi mangsa penderaan amnya, dan penderaan seksual khususnya.



Ironinya,  banyak kes yang tidak dilaporkan hanya terdedah apabila mangsa kanak-kanak tadi mungkin telah menemui ajal atau mengalami kemurungan yang serius.



Terdapat banyak faktor masyarakat am tidak melaporkan kes-kes sebegini antaranya risau dengan kesan negatif akibat laporan yang dibuat, ancaman dari pelaku jenayah, dilema kerana tinggal bersama atau bergantung hidup dengan pelaku jenayah seperti suami atau ayah, selain tidak berpengetahuan tentang undang-undang berkaitan penderaan seksual tersebut.



Ihsan imej: Pinterest.com
Demikian itu, masyarakat harus lebih prihatin dan peka tentang kewajipan melaporkan agar pelaku jenayah dapat dihukum, tidak berlaku pengulangan jenayah, tidak mendatangkan kecederaan serius kepada kanak-kanak dan kanak-kanak malang tersebut dapat diselamatkan dengan melalui proses pemulihan yang sepatutnya.



Malah, tindakan melaporkan ini jika dibuat secara bersama  dapat mencegah jenayah seksual ini dengan berkesan. Kita tidak mahu ramai lagi kanak-kanak menjadi mangsa dan tidak mendapat keadilan sewajarkan akibat ketidakpedulian kita terhadap tanggungjawab melaporkan ini.



Disusun oleh,

Puan Faridah Mohd Tap

Sumber asal:

Puan Norazla Abdul Wahab,
Pensyarah di Jabatan Undang-undang,
Fakulti Syariah dan Undang-undang,
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).
(Beliau juga merupakan Ahli Jawatankuasa Majlis Hal Ehwal Wanita Islam ABIM dan aktivis siri literasi undang-undang dan advokasi hak kanak-kanak.)






Monday, 11 December 2017

Pensyarah Kolej UNITI Port Dickson Ambil Peduli Banteras Jenayah Seksual Kanak-kanak- Faridah Mohd Tap

Peserta bergambar bersama panel (tengah) di akhir kursus.
30 November-  Sekitar 50 orang pensyarah dari Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia (FPPM) dan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan (FTK) telah mengikuti kursus Pengurusan Emosi dan Literasi Undang-undang Kekeluargaan dan Kanak-kanak anjuran kerjasama kedua-dua fakulti tersebut sebagai wahana pencerdasan dalam pengukuhan institusi kekeluargaan dan masyarakat mendepani cabaran semasa yang semakin rencam.

Tiga orang panel telah diundang khas bagi menjayakan kursus terdiri daripada Ustazah Zawiah binti Hassan, penceramah bebas yang tidak asing lagi di Malaysia, Puan Norazla binti Abdul Wahab, Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Saudara Khairul Anuar bin Abdul Manap, mewakili Pertubuhan Pemerkasaan Keluarga (FAME) selaku setiausaha. Ketiga-tiga panel memberi penekanan kepada pengurusan emosi dan pencerdasaan undang-undang melibatkan keluarga dan kanak-kanak.

Ustazah Zawiah Hassan yang juga merangkap mantan Ketua Pendaftar JAWI menyentuh tentang peri pentingnya pengurusan emosi dengan berkongsi realiti kes-kes keretakan rumahtangga akibat desakan emosi yang tidak stabil berdasarkan pengalaman beliau sepanjang 29 tahun berkhidmat.

Ustazah Zawiah Hassan berkongsi tips membahagiakan keluarga
Beliau turut berkongsi bagaimana membina motivasi dalaman untuk menjadi seorang pekerja yang baik dengan menekankan konsep syukur dan kerjaya sebagai ibadah.  "Apabila keluarga bahagia secara tidak langsung terjelma dalam kerjaya yang berjaya. Itulah kehidupan yang barakah." Rumus beliau pada sesi pertama kursus tersebut.

Berikutnya, para pensyarah juga telah diberikan pendedahan terkini berkaitan Akta Kanak-kanak 2001 dan Jenayah Seksual serta langkah pencegahannya oleh gandingan ahli akademik dan aktivis kanak-kanak, Puan Norazla dan Saudara Khairul Anuar.

Gandingan Puan Norazla dan Sdr Khairul Anuar 
Beberapa terma baru juga didedahkan kepada peserta kursus seperti 'Kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-udang' bagi merujuk kepada kanak-kanak bawah umur yang terlibat dalam perlakuan jenayah serta peri penting masyarakat melaporkan kes-kes kepada kepada pihak berkuasan agar jenayah terhadap kanak-kanak dapat dibanteras oleh Puan Norazla.

Peserta juga didedahkan dengan kewujudan Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-kanak yang telah beroperasi sepenuhnya di Putrajaya pada 1 Julai 2017 yang lalu.

Manakala, Saudara Khairul Anuar mewakili Badan Bukan Kerajaan berkongsi beberapa kes jenayah seksual dan pengabaian kanak-kanak. Beliau memberi penekanan agar ibubapa dan pendidik kanak-kanak sentiasa cakna dengan persekitaran dan individu di sekeliling mereka. Beliau turut menegaskan bahawa kanak-kanak perlu dinasihat agar sentiasa berhati-hati dengan semua orang bukan lagi kepada orang asing kerana banyak kes rogol yang berlaku melibatkan pelaku yang dikenali mangsa kanak-kanak tersebut.


"Penganjuran kursus ini sebenarnya merupakan usaha fakulti bagi mendedahkan kepada peserta tentang pengurusan emosi yang baik agar dapat mencipta persekitaran keluarga dan kerjaya yang bahagia dan berjaya. 

Selain itu, sesuai dengan gagasan FPPM yang menawarkan program-program diploma pendidikan pra sekolah dan asuhan awal kanak-kanak, pendidikan Islam sekolah rendah dan psikologi kaunseling, maka slot literasi undang-undang berkaitan kanak-kanak dan jenayah terhadap mereka juga diberikan. Seterusnya, perkongsian daripada kursus ini mereka turunkan pula kepada pelajar-pelajar dan anak-anak taska dan tadika agar jenayah seksual kanak-kanak dapat dibanteras dengan keterlibatan semua pihak. Ia juga bertepatan dengan komitmen kerajaan dalam menangani isu kanak-kanak ini." Jelas penganjur.



Disediakan oleh,


Puan Faridah Mohd Tap
Setiausaha,
Kursus Pengurusan Emosi dan Literasi Undang-undang Kekeluargaan,
Kolej UNITI Port Dickson.


Galeri Foto:



















Monday, 5 June 2017

TIPS: Awasi Anak Daripada Menjadi Mangsa Perlakuan Seksual!- Nur Akmar Mohd Arif

Sumber: imej google
Jenayah seksual yang semakin berleluasa menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan juga pendidik. Isu pidofilia yang menular sejak kebelakangan ini juga menarik perhatian semua pihak termasuk ibu bapa dan pendidik untuk sentiasa peka dan lebih berwaspada terhadap keselamatan anak pada setiap masa walau di mana mereka berada.
Anak-anak perlu diberi pendedahan mengenai tips keselamatan diri bagi tujuan perlindungan daripada jenayah seksual oleh individu durjana. Dalam hal ini, ibu bapa perlulah memainkan peranan yang penting dalam memastikan anak-anak mereka sentiasa berada dalam keadaan yang selamat dalam persekitaran yang meyakinkan.

Berikut penulis kongsikan beberapa tips yang perlu diambil berat bagi mencegah anak-anak daripada menjadi mangsa perlakuan seksual.


1.     Pentingnya komunikasi & hapuskan kerahsiaan

Komunikasi antara ibu bapa dan anak adalah penting dalam memastikan tiada kerahsiaan yang boleh merumitkan keadaan. Galakkan anak-anak untuk berkomunikasi dan ibu bapa perlu lebih peka pada perasaan mereka. Ibu bapa perlu memberikan perhatian yang serius terhadap percakapan mereka. Beri perhatian terhadap tanda-tanda yang mungkin membawa kepada penderaan seksual. Sikap ambil berat ibu bapa terhadap anak akan menghapuskan jurang dan kerahsiaan di antara ibu bapa dengan anak-anak.

2.     Mengecam tingkahlaku yang  boleh  menjurus kepada penderaan seksual

    Ibu bapa perlulah mengajar dan jelaskan kepada setiap anak tentang penderaan seksual supaya mereka boleh mengecam tingkah laku yang mendorong kepada penderaan seksual seperti meraba, mengusap dan mencium. Ajar mereka tentang 5 bahagian tubuh badan yang sangat istimewa dan tidak boleh disentuh iaitu dada, pinggul, peha, bibir dan alat sulit kerana tubuh badan kita adalah hak kita yang perlu dilindungi daripada disentuh orang lain. Setiap anak juga perlu diajar untuk mengenali setiap bahagian tubuh mereka dan tidak menggunakan “perkataan perantaraan” bagi menyatakan bahagian-bahagian sulit pada tubuh mereka.

3.     Berani mengatakan “Tidak”

Ibu bapa perlu mengajar kepada anak bagaimana mengatakan “Tidak” kepada apa   sahaja permintaan yang mencurigakan, memberanikan diri meminta bantuan dan mengawal diri daripada disentuh oleh orang lain. Kita perlu memberi sokongan terhadap hak anak untuk mengatakan “tidak” terhadap sesuatu tindakan. Contohnya mengatakan tidak pada pemberian orang yang tidak dikenali dan menolak secara baik ajakan orang yang mencurigakan bagi mengelak perkara yang tidak diingini daripada berlaku.



4.     Batasan aktiviti berlainan jantina

Seiring dengan peningkatan usia anak, ibu bapa perlu menetapkan batasan dari sudut pergaulan anak bagi mengelak berlakunya perlakuan seksual dalam kalangan anak. Gangguan seksual yang paling lazim dalam sesebuah keluarga ialah di antara anak-anak kecil dengan anak-anak kecil dan anak- anak remaja
berlainan jantina. Jadi, anak-anak berlainan jantina perlu dielakkan daripada mandi atau tidur bersama-sama tanpa pengawasan kerana ia memungkinkan terjadinya hubungan seksual. 


5.     Tingkahlaku melindungi diri yang jelas

Sebagai role model, ibu bapa perlu menyedari dan memahami batasan tingkahlaku mereka sendiri. (role model). Ibu bapa perlu sentiasa peka dan  menunjukkan  tingkah laku melindungi diri yang boleh meyakinkan anak-anak. Contohnya dari segi pemakaian yang bersesuaian di rumah dan batasan pergaulan dengan orang sekeliling. Ingatkan setiap anak bahawa orang yang “ baik” boleh berniat jahat terhadap  mereka sendiri dan galakkan anak untuk memberitahu mengenai orang yang  mereka tidak selesa dampingi.


6.     Awasi pengaruh media massa

Ibu bapa perlu memantau aktiviti anak di rumah. Jadi, awasilah bahan yang ditonton oleh anak-anak dan luangkan masa untuk menonton bersama-sama mereka. Membiarkan anak-anak menonton video tanpa pengawasan ibu bapa atau orang yang lebih dewasa boleh memungkinkan mereka menyalahgunakan kemudahan tersebut untuk menonton bahan-bahan lucah. Buku bacaan anak di rumah juga perlu dipantau bagi mengelak mereka dipengaruhi oleh sumber bacaan yang tidak bermanfaat dan tidak bermoral.


7.     Perhubungan telefon

Kesibukan dengan kerjaya tidak sepatutnya menjadi penghalang komunikasi ibu bapa dan anak. Batasan masa dan kewangan keluarga kadangkala menjurus kepada tindakan meninggalkan anak-anak bersendirian di rumah tanpa pengawasan orang yang lebih dewasa. Jika keadaan ini tidak dapat dielakkan, ibubapa bolehlah memastikan keselamatan anak-anak di rumah
melalui telefon bagi memastikan keselamatan anak terjamin sepanjang ketiadaan mereka.


Kesimpulannya, peranan dan sokongan ibu bapa hari ini amat penting bagi memastikan anak-anak sentiasa bertingkah laku selamat dalam persekitaran yang sihat dan meyakinkan.

Wednesday, 28 December 2016

PENDERAAN FIZIKAL KANAK-KANAK-Nurul Hidayah Bte Sahrom

Ibu mana yang tidak hancur luluh perasaannya apabila melihat anak kecilnya seawal lima tahun patah tulang belakang, rusuk, paha selain dipenuhi kesan parut pada anggota badan akibat penderaan? Sebagai seorang insan yang dikurniakan hati dan perasaan kita sememangnya akan kecewa dan marah apabila hal ini berlaku kepada mereka yang kita sayangi. Apatah lagi jika ianya bakal menyebabkan kecacatan kekal akibat kecederaan patah 13 tulang di seluruh badan. Namun, inilah nasib adik Nur Zuliana Zaara Zulkifli, lima tahun yang telah didera oleh ibu tirinya pada Jun 2015. Ini adalah antara kes penderaan fizikal yang dilaporkan oleh media massa. Bagaimana pula nasib kanak-kanak yang didera namun tiada siapa yang mendengar rintihan mereka? Siapa yang membela nasib mereka?


Penderaan fizikal kanak-kanak boleh didefinisikan sebagai kecederaan tidak sengaja atau dipukul/dera. Keadaan ini berlaku apabila kanak-kanak mendapat kecederaan fizikal dari perlakuan (atau pengabaian) ibu bapa, penjaga atau mereka yang diberi tanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak (Dr. Irene Cheah, 2012). Penderaan bukan sahaja terjadi akibat kekerasan yang dilakukan dengan anggota badan pendera, malah ianya boleh dilakukan dengan pengunaan agen-agen penderaan. Agen-agen penderaan ini biasanya digunakan untuk menyakitkan dan mencederakan mangsa. Antara agen-agen penderaan yang biasa digunakan untuk tujuan ini adalah seterika panas, air panas, tali pinggang, getah paip, rotan, penyangkut baju dan puntung rokok.


Tindakan mencubit, menggigit, memukul, menyepak, menampar, menumbuk, memijak, menghantukkan kepala ke dinding merupakan antara contoh tindakan penderaan fizikal yang sudah tentu tidak wajar apatah lagi menggunakan agen-agen penderaan sebagai peralatan sokongan kepada penderaan. Mengapa penderaan ini terus berlaku? Adakah disebabkan pendera sudah hilang sifat belas kasihan kepada anak-anak kecil ini? Statistik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menunjukkan peningkatan kes penderaan kanak-kanak dari 2010 iaitu sebanyak 3,257 kes, 3,428 kes (2011), 3,831 kes (2012), dan 4,119 kes pada 2013, manakala dari Januari hingga April 2014 sahaja terdapat sebanyak 1,430 kes (Mastura Mohd Zain, 2015). Mengapa angka ini terus meningkat?


Menurut penulis, antara punca yang menyebabkan penderaan fizikal ini berlaku adalah disebabkan tekanan kehidupan dan kejahilan.  Tekanan kehidupan yang dimaksudkan oleh penulis adalah tekanan di tempat kerja, bebanan kerja, masalah kewangan dan  masalah rumah tangga. Manakala kejahilan ini boleh dilihat daripada ketidakprihatinan si pendera terhadap isu berkaitan kanak-kanak. Atas faktor-faktor ini si pendera yang jahil akan melepaskan tekanan dan kemarahan kepada insan yang tidak mampu melawan mereka iaitu anak kecil.


Adakalanya si pendera menganggap tindakan memukul adalah salah satu cara mendisplinkan kanak-kanak. Sebenarnya tindakan sedemikian langsung tidak berkesan untuk mendisplinkan kanak-kanak bahkan ianya membekaskan ketakutan mangsa kepada orang dewasa. Selain kesan fizikal lebam, luka, terpulas, terkoyak kulit, patah tulang dan pendarahan, penderaan fizikal juga boleh memberikan kesan secara  langsung terhadap personaliti kanak-kanak. Kanak-kanak yang didera biasanya cenderung menyimpan dendam dan mampu bertindak agresif terhadap rakan sebaya. Hal ini kerana mereka meniru aksi si pendera dan mahu melepaskan kemarahan akibat penderaan yang dialami.


Masyarakat harus sedar bahawa penderaan fizikal adalah sesuatu yang serius. Kerajaan Malaysia dalam Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) memperuntukkan bahawa sekiranya mana-mana orang yang mempunyai tugas pemeliharaan seorang kanak-kanak yang menyebabkan kecederaan fizikal telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 31 Akta 611 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM 20,000.00 atau penjara tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.


        Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh kerajaan demi membela nasib kanak-kanak negara ini. Cawangan perlindungan kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM) giat menyelaras dan memantau kes-kes berkaitan dengan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak kepada situasi merbahaya mengikut Akta Kanak-kanak 2001 (Jabatan Kebajikan Masyarakat, 2016).  


       Justeru masyarakat perlu lebih prihatin menyalurkan maklumat tentang sebarang bentuk penganiayaan kanak-kanak kepada pihak berkuasa. Segala usaha murni kerajaan ini harus disokong oleh semua pihak secara holistik. Media massa mampu memberi impak besar dalam menyampaikan mesej anti penderaan kepada masyarakat. Media massa perlu kerap menyampaikan mesej pendidikan penderaan kepada penonton supaya Malaysia dapat mengurangkan statistik penderaan kanak-kanak seterusnya melahirkan peneraju negara yang berjiwa besar dan penyayang.


Bibliografi

California Department Of Education. (2016, Januari 19). Child Abuse Prevention. Diperoleh pada September 2016, 2016, dari California Department Of Education: http://www.cde.ca.gov/ls/ss/ap/childabusereportingguide.asp


Dr. Irene Cheah. (2012, April 27). Penderaan Fizikal. Diperoleh pada September 26, 2016, dari MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia: http://www.myhealth.gov.my/penderaan-fizikal/


Jabatan Kebajikan Masyarakat. (2016, Januari 01). Fungsi Bahagian. Diperoleh pada September 26, 2016, dari Portal Rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat: http://www.jkm.gov.my/jkm/index.php?r=portal/left&id=WEFTZ2F0bHRmVGQxQWlCVmIrUzFkZz09


Mastura Mohd Zain. (2015, Julai 06). Rencana. Diperoleh pada September 26, 2016, dari Untusan Online: http://www.utusan.com.my/rencana/kekang-kes-penderaan-kanak-kanak-1.110952


Utusan . (2016, April 15). Jenayah. Diperoleh pada September 26, 2016, dari Utusan Online: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/penderaan-kanak-kanak-serius-1.260222




Disediakan Oleh,


Cik Nurul Hidayah Bte Sahrom,
Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia,
Kolej Uniti Port Dickson

Sunday, 27 November 2016

KESENGSARAAN ROHINGYA YANG DILUPAKAN- Faridah Mohd Tap

Penulis bersama teman-teman advokasi Solidariti Rakyat Rohingya.


Rohingya merupakan etnik yang paling dilupakan di rantau Asia ini. Namun, pembersihan etnik ke atas rakyat Rohingya yang dijalankan secara berkala selang beberapa tahun mendapat liputan hangat dan mendapat pelbagai kecamanan antarabangsa apabila buat sekian kalinya Junta kerajaan Myanmar melaksanakan misi pembersihan etnik ini. Malaysia juga tidak ketinggalan mendesak junta menghentikan misinya dan memberikan pengiktirafan kewarganegaan dan kemanusiaan kepada Rohingya.

Namun begitu, Kerajaan Junta seolah-olah tidak terkesan dengan tohmahan masyarakat dunia yang menentang kekejaman yang dilakukan mereka ke atas etnik Muslim Rohingya ini. Isu Rohingya ini reda seketika sampailah berlakunya satu tragedi yang menarik perhatian dunia sekali lagi. Rohingya dikejami lagi dalam misi pembersihan etnik berkala  oleh Junta Tentera Myanmar.

Empat tahun lepas, konflik yang berlaku di antara etnik muslim Rohingya dan Buddha di Arakan telah menarik perhatian dunia pada pertengahan 2012 apabila dikatakan seorang gadis Rakhine telah dirogol secara sadis oleh etnik Rohingya dan menyebabkan rusuhan berdarah terus berlaku hingga ke saat ini. Ia bermula dengan pembunuhan 10 orang Muslim di Taunggote,  daerah Tongu pada 3 Jun 2012 yang lalu dalam sebuah bas ketika sedang pulang dari majlis tabligh untuk kembali ke Rangoon oleh sekumpulan pengganas dan kumpulan rasis etnik Rakhine. Rentetan dari kes rogol tersebut, puak pengganas Rakhine Buddha telah menyerang semua penduduk Islam di Akyap, ibu negeri Arakan yang digambarkan sebagai terburuk sepanjang beberapa dekad yang lalu.

LATAR BELAKANG PENINDASAN ETNIK MUSLIM ROHINGYA

Menurut Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2009, terdapat 25 peratus daripada populasi Arakan adalah etnik Rohingya. Arakan ini terletak di sebelah Barat Myanmar yang bersempadan dengan Bangladesh. Mereka adalah keturunan daripada para pedagang Arab, Turki, Parsi dan lain-lain yang telah berkahwin dengan penduduk setempat seperti Mughals, Pathan dan Bengali. Kini umat Islam Rohingya merupakan 1/3 daripada jumlah penduduk wilayah Arakan dan selebihnya adalah Buddha Arakanese.

Nasib Etnik Muslim Rohingya mula terumbang-ambing apabila mereka telah disisihkan daripada Arakan sejak pada tahun 1940-an lagi. Keadaan semakin buruk apabila Myanmar dipimpin oleh junta tentera pada tahun 1962. Kepimpinan Junta tidak mengiktiraf etnik Rohingya yang merupakan penduduk asal negeri Arakan tetapi dikatakan sebagai pendatang kerana perbezaan fizikal yang mirip kepada Bangladesh dan Arab.

Etnik ini kemudian terus ditindas apabila dasar fobia Islam (Islamphobia) disalurkan melalui penggubalan Undang-undang Kerakyatan Burma (Burma Citizenship Law) yang disahkan pada 1982. Undang-undang yang bersifat rasis agama dan penuh diskriminasi bukan sahaja menafikan kerakyatan, malah mereka seolah-olah melukut di tepi gantang di tanah air mereka sendiri sehingga menyebabkan ramai etnik Rohingya menjadi pelarian di beberapa negara jiran dan Asia Barat.
Di era 1990-an sahaja, terdapat 86, 900 daripada 94,000 pelarian di Malaysia adalah warga Myanmar di mana 25 peratus daripadanya adalah etnik Rohingya  dan selebihnya adalah etnik Chins dan lain-lain.(Arzura Idris, 2012)


 Antara bentuk pembersihan etnik Roghinya ini adalah:-

Penafian kerakyatan, sijil kelahiran dan sijil perkahwinan mereka.
Perampasan tanah-tanah milik mereka bagi meneruskan projek pembinaan saluran paip gas dan minyak yang merentasi Wilayah Arakan.
Menjadi mangsa perhambaan moden sebagi buruh paksa tanpa dibayar gaji di tapak pembinaan jalan raya, kereta api dan bangunan berek tentera.
Sekatan makanan sehingga menyebabkan mereka hidup dalam keadaan kebuluran.
Penyembelihan beramai-ramai sepertimana pada tahun 1942 dengan kematian lebih daripada 100, 000 akibat dibunuh.
Menghalau serta merta seramai lebih 300, 000 di kalangan mereka ke Bangladesh pada tahun 1978. Malangnya Kerajaan Bangladesh enggan untuk menyediakan makanan dan keperluan lain menyebabkan ramai yang mati akibat kebuluran dan penyakit.
Pada tahun 1991, seramai 268,000 dari etnik ini melarikan diri kerana Myanmar tidak lagi selamat untuk didiami akibat pembersihan entik berkala oleh tentera Myanmar.

Sehingga tahun 2012, kerja-kerja pembersihan etnik Rohingya di Myanmar telah mencatatkan kehancuran jiwa dan prasarana yang besar. Sejumlah 43 kampung penduduk telah diserang dengan 5,915 rumah dibakar, 555 orang mati dibakar, 300 orang cedera parah, 34 masjid dibakar, 4 universiti dan 24 sekolah rosak, 300 penduduk telah ditangkap, 90 ribu orang menjadi pelarian, 500 ribu menderita kelaparan kerana tidak boleh meneruskan aktiviti pertanian, dan 20 ribu orang mendiami pinggiran sungai dan hutan untuk menyelamatkan diri. Fakta terkini belum diperolehi oleh penulis.

KEMPEN ‘CITIZENSHIP FOR ROHINGYA’, ‘INGAT BOLA INGAT ROHINGYA’

Ekoran dari pembersihan etnik yang tidak berperikemanusiaan ke atas etnik Rohingya berdekad lamanya, Abim komited membela nasib etnik Muslim Rohingya dengan melancarkan kempen ‘Citizenship For Rohingya’ dan kempen ‘Ingat Bola Ingat Rohingya’ bagi menyebarkan kezaliman junta ke atas rakyat Rohingya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Menurut Exco penerangannya, Saudara Adli Zakuan Zairakithnaini, advokasi massa isu Rohingya ini agak turun-naik dan bermusim.

"Kita mesti faham isu Rohingya, dan buat penerangan, bengkel di kampus-kampus. Rohingya ini adalah etnik tersendiri, dan orang asal di negeri Arakan. Mereka asalnya adalah rakyat Burma." Ujar beliau dalam sebuah forum ‘Rohingya: The Way Forward’ pada 24 November lalu juga menampilkan wakil aktivis Rohingya, Encik Halimi dan Mr. Sawmee di Dewan Pembangunan Belia, Sekretariat Abim Pusat, Gombak.

Penulis bersama pelajar DPS dalam kempen 'Citizenship for Rohingya pada tahun 2012 lalu.
Justeru itu, Abim mendesak agar Kerajaan Myanmar bertindak lebih adil dengan mengiktiraf kerakyatan etnik Rohingya dengan jaminan hak asasi yang terpelihara selaras dengan Artikel 15 Deklarasi Hak Asasi Kemanusiaan PBB. Pelbagai NGO di Malaysia juga mendesak agar penerima hadiah nobel Aung San Suu Kyi memainkan peranan yang aktif dan agresif dalam keamanan sejagat negaranya. Penerima nobel itu sehingga kini bagaimanapun lebih berdiam diri dan bersifat memilih apabila menyentuh isu Rohingya.





Disediakan oleh,


FARIDAH BINTI MOHD TAP
Pensyarah Jabatan Pengajian Umum,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI, Port Dickson, Negeri Sembilan.