Pages

Showing posts with label Tabika KEMAS Bistari Kolej UNITI. Show all posts
Showing posts with label Tabika KEMAS Bistari Kolej UNITI. Show all posts

Sunday, 23 July 2017

Sambutan Hari Raya Tadika Bijak Ilmu, Taska Cahaya Tasneem dan Tabika KEMAS Bistari Kolej UNITI- Nur Akmar Mohd Arif

Majlis Sambutan Hari Raya merupakan antara aktiviti tahunan telah diadakan di Tadika Bijak Ilmu dan Taska Cahaya Tasneem dan Tabika KEMAS Kolej UNITI seliaan Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia (FPPM), Kolej UNITI Port Dickson pada 7 Julai (bersamaan 13 Syawal 1438H) dan 14 Julai  (bersamaan 20 Syawal 1438 H) lalu. 


Majlis yang diadakan bersempena kedatangan bulan Syawal bukan sahaja untuk menggembirakan kanak-kanak tetapi ia juga merupakan program tahunan yang menggalakkan penyertaan dan penglibatan ibu bapa dalam aktiviti anjuran Tadika dan Taska.


Majlis telah mendapat sambutan yang sangat baik daripada ibu bapa serta ahli jawatankuasa Tadika dan Taska. Sokongan ibu bapa terhadap aktiviti anjuran Tadika dan Taska ini secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan antara ibu bapa, para guru serta AJK Tadika dan Taska itu sendiri. 


Peluang berkumpul dalam aktiviti ini juga dapat memberi ruang kepada ibu bapa untuk mengetahui perkembangan anak-anak mereka serta keadaan semasa tempat anak-anak ini membesar dan menimba ilmu dalam persekitaran yang meyakinkan.


Program yang diadakan seperti ini juga memberikan keseronokan dan keterujaan kepada kanak-kanak kerana dapat meraikan hari bahagia bersama guru dan rakan-rakan sambil dapat mengumpul duit raya bersama-sama, ditambah lagi dengan kehadiran ibu bapa yang turut memeriahkan majlis yang dianjurkan. 


Program seperti ini secara tidak langsung juga dapat menambah nilai keberkesanan program-program anjuran Tadika dan Taska dalam usaha untuk membangunkan serta meningkatkan prestasi Tadika dan Taska ini sendiri.



Tuntasnya, program tahunan yang menggalakkan penglibatan ibu bapa seperti ini wajar diadakan di setiap Tadika dan Taska sebagai tanda sokongan ibu bapa terhadap aktiviti yang dianjurkan oleh pihak Tadika dan Taska selain dapat mengeratkan lagi ukhuwah yang terjalin antara ibu bapa serta warga Tadika dan Taska.


Galeri foto:
















Tuesday, 4 October 2016

Lima Ciri-Ciri Pusat Penjagaan Anak-anak Berkualiti- Hidayah Binti Tokiman

Dewasa ini di dada akhbar sering memaparkan pelbagai isu berkaitan tentang pusat penjagaan. Kebimbangan para ibu bapa memuncak apabila terdapatnya pusat penjagaan yang mengambil sambil lewa malahan tidak mementingkan kualiti penjagaan sehingga membawa kemalangan, kecederaan malahan kematian. Perkara ini lebih menyentuh emosi apabila pihak pusat penjagaan seakan tidak mahu bertanggungjawab dan 'lepas tangan' apabila sesuatu perkara buruk terjadi kepada anak-anak di pusat jagaannya. 


Terdapat lima ciri-ciri pusat penjagaan yang boleh dijadikan sebagai garis panduan para ibu bapa dalam memilih pusat penjagaan yang berkualiti:


1. Penjagaan kebersihan perkakas atau perlatan yang digunakan seperti tidak mencampurkan dan perlu diasingkan misalnya penggunaan botol susu, bekas makanan, pakaian juga alatan permainan dibasuh dan dibersihkan mengikut keperluan. Ini dapat menghindarkan kanak-kanak dari jangkitan penyakit.

2. Faktor keselamatan termasuklah keselamatan premis di dalam dan luar bangunan. Keselamatan juga merujuk kepada memenuhi keperluan asas kanak-kanak. Selain itu, keselamatan perlu dengan menyediakan persekitaran fizikal yang membantu dalam proses perkembangan kanak-kanak, ruang yang ceria dan menyeronokkan selain mempunyai sistem pengudaraan dan pencahayaan yang baik.

Kanak-kanak di pusat jagaan Taska Cahaya Tasneem Kolej UNITI
3. Mempunyai jadual dan mampu menyediakan aktiviti yang melibatkan rutin harian. Pusat penjagaan yang berkualiti akan menyediakan aktiviti yang mampu mendidik kanak-kanak untuk berdikari sesuai mengikut umur mereka. Ini sebagai persediaan mereka di masa akan datang.


4. Adanya penglibatan aktif ibu bapa dan ini bergantung kepada ibu bapa. Sekiranya hasil dari pemerhatian mendapati anak-anak berkembang dengan sepenuhnya, maka ibu bapa telah berhasil mendapat pusat penjagaan yang berkualiti. Perkembangan anak yang positif juga banyak dibantu oleh kehadiran kakitangan pusat penjagaan yang berkelayakan dan berpengalaman dalam mengendalikan kanak-kanak. Ini akan meningkatkan lagi kepercayaan ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke pusat penjagaan tersebut.


5. Menyediakan kemudahan atau perkhidmatan lain yang mampu ditawarkan seperti perkhidmatan penjagaan lebih masa, penjagaan di Sabtu Ahad, pakej bayaran yang jelas, pelbagai kemudahan lain seperti kamera litar tertutup, kelas membaca Al-Quran juga program-program pendidikan luar. Ini akan meningkatkan lagi potensi kanak-kanak di tahap maksimum.


Demikian, jelaslah bahawa pemilihan pusat penjagaan yang berkualiti bagi merangsang perkembangan pendidikan awal kanak-kanak adalah sangat penting. Walaubagaimanapun, ianya terpulang kepada ibu bapa. Tawaran diberikan, ibu bapa berhak memilih yang terbaik untuk anak mereka.



Disediakan oleh, 


Hidayah Binti Tokiman,
Pensyarah Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia,
Kolej Uniti Port Dickson

Lawatan Sambil Belajar Kanak-kanak Tabika KEMAS Bistari Kolej UNITI ke Port Dickson- Nur Akmar Mohd Arif

Lawatan Sambil Belajar merupakan aktiviti luar kelas yang dapat memberi pengalaman pembelajaran yang menggembirakan dan bermakna untuk kanak-kanak di tadika dimana mereka diberi peluang untuk meneroka dunia luar bersama guru dan rakan-rakan sebaya. Ini akan memberi pengalaman manis dan bermakna untuk mereka selain meningkatkan daya pembelajaran sambil bermain dalam meneroka dunia persekitaran luar.


Seramai 11 orang kanak-kanak di Tabika KEMAS Bistari Kolej UNITI Port Dickson telah mengikuti lawatan sambil belajar Ke Port Dickson pada 10 Ogos 2016 yang lepas. Lawatan ke Port Dickson ini telah mendapat kebenaran dan persetujuan daripada ibu bapa dan barisan Ahli Jawatankuasa Tabika KEMAS Bistari Kolej UNITI. Lawatan Sambil Belajar yang kebiasaannya diadakan dua kali dalam setahun ini telah diiringi oleh dua orang guru Tabika KEMAS Bistari Kolej UNITI.


Tempat-Tempat Lawatan


Tempat-tempat lawatan yang dipilih adalah bersesuaian dengan kanak-kanak untuk menggalakkan pembelajaran mereka selain selamat dan bersih untuk dilawati bagi mewujudkan kesan pembelajaran yang menggembirakan dan bermakna untuk kanak-kanak ini. Antara tempat-tempat yang telah dilawati pada 10 Ogos tersebut adalah Pusat Ikan Hiasan Telok Kemang, Balai Bomba Telok Kemang, Muzium Tentera, Port Dickson Dream World (Pameran Dinasour), KFC dan lain-lain lagi. Untuk langkah keselamatan sepanjang lawatan luar ini diadakan, kanak-kanak ini berpakaian lengkap baju sukan Tabika KEMAS Bistari Kolej UNITI, memakai kad nama dan berkasut bagi memudahkan pergerakan selain untuk memudahkan kawalan dan pemantauan para guru. 


Kepentingan Lawatan Sambil Belajar 


Lawatan Sambil Belajar ini diadakan bertujuan memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menambah pengetahuan sedia ada mereka tentang dunia luar. Pembelajaran di dalam kelas dibawa ke konteks luar kelas untuk mengayakan pembelajaran selain meningkatkan perasaan ingin tahu kanak-kanak. Pengetahuan sedia ada kanak-kanak akan diintegrasikan dengan pengetahuan baru yang akan dipelajari di luar konteks kelas. Tempat-tempat yang dilawati oleh mereka juga merangkumi pembelajaran bertema yang dipelajari dalam kelas seperti haiwan, keselamatan, pekerjaan, pakaian uniform dan lain-lain lagi. Pembelajaran bertema dapat memberi pengalaman yang bermakna dan menyeronokkan untuk kanak-kanak ini.




Selain itu, pembelajaran luar kelas ini dapat menarik minta kanak-kanak untuk belajar dan meneroka selain merangsang perkembangan mereka dari semua aspek jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial. Selain itu, lawatan luar ini dapat meningkatkan keyakinan diri mereka selain dapat mendidik mereka untuk berdikari dan berdisipilin sepanjang berada di luar tadika. Kanak-kanak ini juga didedahkan tentang peraturan dan keselamatan diri sepanjang mengikuti lawatan ini. Lawatan ini juga secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan sesama guru dan kanak-kanak di Tabika ini.


Kesimpulannya, Lawatan Sambil Belajar adalah penting bagi meningkatkan perasaan ingin tahu dan merangsang perkembangan kanak-kanak seiring dengan pertambahan usia mereka. Pemantauan guru sepanjang lawatan sambil belajar ini adalah penting bagi memastikan keselamatan kanak-kanak terjamin sepanjang berada di luar tadika selain memberi peluang kepada kanak-kanak untuk meneroka dunia luar dalam persekitaran yang selamat dan meyakinkan.


Disediakan oleh,

Nur Akmar Binti Mohd Arif
Pensyarah,
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson