Pages

Showing posts with label Travelog. Show all posts
Showing posts with label Travelog. Show all posts

Thursday, 11 January 2018

Travelog Aku Seorang Mahasiswa Kolej UNITI Port Dickson (Bhgn 2): Mengapa Diploma Pendidikan Prasekolah?- Syaza Haziqah (DPS)


Antara hasil sepanjang aku belajar DPS di Kolej UNITI Port Dickson.

****

Entri yang lepas, aku berhadapan konflik apabila gagal mengawal perasaan ‘kecewa’ kerana belajar di Kolej UNITI Port Dickson. 

Tapi, aku silap.


Belajar di Kolej UNITI Port Dickson adalah sebahagian takdirku.  Siapa pula aku untuk tidak redha dengan aturan Tuhan Yang Maha Mulia yang tahu segala terbaik untukku?


Kali ini, aku ingin menceritakan mengapa aku memilih bidang pendidikan prasekolah untuk pengajian diploma selama tiga tahun ini.


Begini permulaan ceritaku.


Aku seringkali ditanya orang, “Kenapa guru?” “Kenapa mesti cikgu tadika?”

Sudahlah gaji tak seberapa.  Kerjanya pula penat melayan kanak-kanak.

Apalah sangat cikgu tadika ni dan bla blaa blaaa.

Begitulah seterusnya.

Jujurnya, ‘mama’ku yang tercinta yang menasihatkan agar aku mendaftar diri dalam bidang pendidikan pra sekolah.

Sebagai anak yang baik (ehem), aku percaya apa yang ‘mama’ lakukan adalah yang terbaik. ‘Mama’ lebih mengenali aku berbanding diriku sendiri. Aku ikut sahaja.

Tapi, (nanti dulu…)

Bukan sepenuhnya keputusan ‘mama’ku.

Yes!!!! Sejak kecil aku sudah berangan ingin bergelar seorang guru.

Jap, meh aku nak ‘throwback’ sikit kenapa aku cakap aku bercita-cita menjadi cikgu.


“Waktu kecil aku suka main cikgu-cikgu dengan sedara mara. Aku suka pergi kedai RM1.99 beli pen ‘marker’ banyak-banyak (sambil mendepakan tangan). Konon-konon macam cikgu la ni. Cita-cita nak jadi cikgu matematik di sekolah menengah.Guru sekolah rendah aku yang bernama Cikgu Izzah menjadi inspirasiku. Dialah idola matematik aku.”


Jadi, mungkin dari situ, “mama” merasakan bidang pendidikan pra sekolah yang ditawarkan oleh Kolej UNITI Port Dickson adalah yang cocok untukku. ‘Mama’ memintaku terima tawaran Kolej UNITI Port Dickson melalui ‘SMS’.


Kenapa tak mohon UPU dulu? Mesti korang nak tanya soalan ni kan… Jangan tipulah, semua yang masuk kolej mesti ditanya soalan ini.


Begini, bukan aku tak mohon UPU. Aku dah mohon. Cuma bila check online katanya permohonan ditolak kerana maklumat tidak lengkap.

Macam kena panah halilintar aku rasa. Sedih buka kepalang kot. Hmmm….(Apa nak buat, tak ada rezeki)

Semua permohonan UPU dulu adalah berkaitan dengan bidang akaun. Kahkah… Nampak tak lari dari cikgu dan akauntan? Dua dunia yang berbeza.

Sebelum itu, ‘mama’ tak percaya aku boleh teruskan dalam bidang akaun.

Banyak kali mama tanya,

 “Betul ke jaja (nama panggilan aku dekat rumah) nak ambil bidang akaun ni? 
“Jaja boleh bawa ke?”
“Jangan pandang gaji bila kerja, tapi jaja yakin jaja boleh bawa?”Bertalu mamaku tanya.

Jujur cakaplah, aku sendiri tak yakin yang aku boleh bawa bidang akaun ni. Mungkin sebab aku pandang gaji sebagai akauntan ni tinggi. Sebab tu aku nak terjun ke bidang ni.

Tapi Allah Maha Hebat dan Maha Mengetahui segalanya, bukan takdir aku untuk menceburi bidang akaun ini.

Jadi mama suruh aku ambil Kos Diploma Pendidikan Prasekolah di Kolej UNITI Port Dickson. 

 “Mama tak mahulah jadi cikgu tadika, Aja mana pernah ada jiwa kesitu. Aja nak cikgu sekolah menengah”, aku  merungut dengan mama.

Mama pun memujukku, dengan sabar.

 “ Jaja, kalau Jaja jadi cikgu tadika. Jaja masih boleh jadi cikgu sekolah menengah. Tengok kawan mama, dulu dia ambil kos prasekolah tapi sekarang jadi cikgu pendidikan khas untuk sekolah menengah. Jaja jangan pandang gaji, tapi Jaja kena yakin. Mama yakin Jaja boleh jadi cikgu. Sambung belajar lepas habis diploma. Sambung belajar macam mama ayah buat dulu.” 


Aku akui, aku malu untuk duduk dalam ‘course’ ni ketika itu, tetapi kata-kata mama buat aku kuat.


Aku terima tawaran sambul belajar diploma di Kolej UNITI Port Dickson.


Alhamdulillah, aku kini di semester 4 pada 23.1.2018 ini (tak lama je lagi). Aku masih bertahan dalam jalan ini. Bila aku fikirkan semula, kata-kata ‘mama’ itulah sebenarnya buat aku kuat. Buat aku bertahan.

Ramai je yang perlekehkan bidang ini, tapi aku pekakkan telinga butakan mata. Peduli dengan kata-kata itu.

Jadi langkah dengan yakin, in shaa Allah kerana seorang perlekehkan kita, masih ramai yang menyokong kita dibelakang..(Ewah…gitu Jaja.)

Tiba-tiba aku teringat satu situasi.

Aku ikut ayah ke sekolah tempatnya mengajar. Aku ikut dia masuk ke kelas. Lalu air mataku mengalir serta merta.

Aku tertunduk dan istighfar.

Aku berkata dalam hati, “ Ya Allah, kau berkatilah hidup ayah aku ini Ya Allah.”

Sungguh bukan senang untuk didik anak istimewa tetapi dia la Engkau pilih ya Allah. Ayahku hebat dan tabah.

Ketika itu, anak muridnya seoarang autism menunjukkan hasil mewarnanya. Ayahku memuji hasil anak itu dengan penuh gembira. Memang ayahku memang pendidik yang tabah.

Melihat ayah buat aku semakin semangat meneruskan pengajian dalam pendidikan pra sekolah di Kolej UNITI Port Dickson ini. Ini yang aku pilih. Bukan lagi ‘mama’. Tapi ini adalah pilihanku sendiri.

Ini barang-barang wajib ada untuk aku hasilkan tugasan kursus yang menarik.

Aku berkeyakinan suatu hari nanti, aku bakal ajar anak yang akan menjadi pemuda dan pemudi harapan bangsa, agama dan negara.

Mengapa aku perlu malu?

Mengapa aku perlu takut dan tunduk dengan kata-kata yang menjatuhkan aku?

Segala langkah yang aku ambil ada hikmah dari-Nya.

Jadi, jangan kita takut dengan mereka yang menjatuhkan, ingat itu juga adalah ujian kasih sayang dari Allah.

Dia mahu lihat samaada kita akan terus melangkah dan yakin akan takdir dari-Nya, atau menoleh dan mengalah begitu saja. Jadilah pendidik kerana-Nya. Maka segala langkah kita kearah itu akan dibantu oleh-Nya . in shaa Allah!

Doakan aku kawan-kawan.

Aku tanam azam didalam hatiku, aku mahu jadi pendidik yang berjaya!

Aku mahu jadi pendidik seperti mama dan ayahku!

Aku mahu buktikan pada semua bahawa bidang ini, bukanlah bidang biasa-biasa tetapi luar biasa.

Bidang ini bukanlah perkara yang terburuk yang aku pilih. Doakan aku moga aku dapat buka cawangan tadika sendiri satu hari nanti! Tadika untuk kanak-kanak normal dan istimewa. In shaa Allah!

Aku sebahagian daripada Diploma Pendidikan Pra Sekolah 

Bersambung….

(Korang pun 'share'lah story kenapa pilih bidang pengajian korang skrg...sporting ahh sikit. Boleh bina semangat ingin berjaya bersama-sama...)

Wednesday, 3 January 2018

SIRI TRAVELOG: "AKU SEORANG MAHASISWA KOLEJ UNITI PORT DICKSON" (Bahagian1)- Syaza Haziqah

Rasa marah dan kecewa itu hanya sementara...



29.03.2016.

Tarikh aku mendaftar diri di Kolej UNITI Port Dickson.

Tarikh keramat ini aku digelar sebagai Mahasiswa di sebuah IPTS.

Seperti kebanyakkan kawan-kawan sebayaku, kami begitu teruja memasuki IPT kerana ia menjadi lambang kemegahan bagi semua pelajar lepasan SPM.

Selepas keputusan SPM diumumkan, aku mula berangan-angan sambung belajar dalam bidang yang aku suka di tempat yang megah.

Aku membayangkan tempat belajarku pasti selesa, cantik, gah dan hebat.

Tetapi angan-anganku mati. Aku seolah-olah terperanjat dengan apa yang kulihat.

Kolej UNITI Port Dickson bukanlah satu kolej yang se gah yang dibayangkan tetapi sekadar biasa-biasa sahaja.


Aku bersedih.

“Mengapa aku dicampakkan disini?” Tangisku setiap hari.

Aku sering menanyakan soalan itu pada diri seolah-olah mempersoalkan takdir dari-Nya.

Allahu.

Dua minggu awal menjejaki Kolej Uniti Port Dickson, air mata tidak henti mengalir.
Tiap-tiap malam mata ini mengeluarkan tangisan.

Tangis kerana rindu akan keluarga, rindu mama dan ayah. Almaklumlah aku tidak pernah berjauhan dari mama ayah.

“Sampai bila aku akan menangisi nasib diri?” Monologku didalam hati.

Maka, suatu hari aku memaksa diri untuk turun ke surau mencari niat dan cita-cita yang telah aku tanam sebelum memasuki Kolej UNITI Port Dickson.

Sebelum memasuki Kolej UNITI Port Dickson, ayah telah membawa aku melihat Kolej UNITI Port Dickson ini terlebih dahulu.

Kolej ini berdekatan dengan rumah nenek.

Reaksi pertama kali tengok kolej ini adalah sedih sebab tidak gah langsung kolej ini.

Sudahlah berada di hujung kampung dan agak jauh dari pekan mahupun bandar.

Dalam hati, aku memberontak tidak suka.

Balik rumah termenung mengenang nasib diri.

Beberapa hari kemudian, hati tergerak nak buat sedikit pembacaan tentang Kolej UNITI Port Dickson ini melalui google.

Terbit rasa bahagia sedikit sebab kolej ini kolej yang agak Islamik.

Jadi aku berdoa setiap hari kepada Allah agar dipertemukan dengan seorang insan yang akan mengajar diriku makna Islam dan Al-Quran.

Alhamdulillah, Allah Maha Mendengar akan doa hamba-Nya.

Disini, aku belajar akan powernya kuasa doa itu. Allah dengar akan doa aku sebagai hambaNya yang lemah.

Pada hari pertama aku masuk ke Kolej UNITI Port Dickson, rakan serumah telah mengajakku ke surau untuk menunaikan solat maghrib disana.

Aku ikutkan sahaja.

Seusai solat maghrib, aku melaksanakan solat hajat.

Habis sahaja solat hajat, aku menangis kerana rindu akan mama dan terkenangkan dosa-dosa yang lalu. Lalu, Allah gerakkan hati untuk pandang kekanan. 


Terus diri ini terlihat  seorang hamba Allah yang memakai telekung berwarna merah.

Tanpa segan silu, aku  menarik dia,

“ Boleh saya pinjam akak sekejap?”, aku memulakan bicara walaupun tanpa mengenali dia.

Akak tersebut kehairanan melihat aku kerana menangis teresak-esak.

Tanpa berselindung, aku menceritakan kepada akak tersebut siapa diriku dan mengapa aku menangis.

Punyalah hebat kuasa Allah, aku bercerita segalanya kepada akak itu seolah-olah kami sudah mengenali untuk tempoh yang lama.

Dialah orang pertama di Kolej UNITI Port Dickson yang aku percaya dan tahu dilema aku.

Aku menyatakan betapa aku merindui ibubapaku.

 “Akak lagi jauh dik, akak duduk Sabah”. Katanya ringkas sambil tersenyum.

Tergamam aku dibuatnya, macam manalah dia boleh setabah dan sekuat ini.

Aku  tidak mengenali diri dia, siapa dia, nama dan kursus yang diambil, tetapi hati ini kuat mengatakan bahawa “ aku sudah ketemu dengan orang yang aku cari. Terima kasih Allah”.

Hari demi hari aku berjumpa dengannya di surau perempuan Uniti Village. Kami membina ukhhuwwah.

Banyak ilmu yang aku peroleh dari dia. Dia ambil kursus Diploma Pengajian Islam di Kolej UNITI Port Dickson ini.

Sekali lagi, aku kagum akan kuasa doa kerana dipertemukan dengan orang yang benar.

“Akak, saya sedihlah kenapa Kolej UNITI Port Dickson ni tak macam kolej lain?
“Belajar dalam kabin dan biasa-biasa je. Tak kelihatan macam kolej atau universiti pun.” Aku mengeluh kepadanya.

Akak itu tersenyum lalu dia menjawab,

Syaza, kita kena bersyukur kerana punya tempat untuk belajar. Tak kisahlah tempat itu hebat atau tidak, kita tetap kena bersyukur. Kita datang sini dengan niat nak belajar kan? Jadi kenapa kita perlu merungut hanya kerana kolej ini tidak seperti univerisiti lain.”
Dia menjawab sambil senyum dan berkata lagi.


 “Cuba syaza bayangkan, anak-anak sekolah pondok yang belajar Al-Quran atap mereka bocor. Tidur pun dalam keadaan yang tidak selesa seperti kita yang punya katil. Kita harus bersyukur dengan nikmat yang Allah beri. Jangan pandang mereka yang diatas kita, maka susah untuk kita mengucap syukur kepada-Nya. Tetapi pandanglah mereka yang dibawah kita, sesungguhnya kita akan rasa kitalah manusia yang paling beruntung”. Mendengar jawapan akak ini buat aku termenung jauh.


Hari pertama Allah dah tunjukkan dekat diri ini bahawa Dia menyayangiku. Dia menggerakkan hati ini untuk menjejak kaki ke surau.

Mencari makna disebalik niat yang sering disebut oleh mama, ayah dan sanak-saudaraku apabila diri ini sudah masuk ke kolej dan bergelar mahasiswa.

Aku bersyukur ke hadrat Illahi kerana menjawab segala pertanyaan dan keinginan diri yang hina ini.

‘Adakah aku sedia bergelar Mahasiswa?’ persoalan ini hanya diri kita boleh jawab sekiranya niat yang kita bawa ke Kolej itu adalah benar dan kerana-Nya.

Ingatlah, walau dimana kita belajar kita harus perbaiki niat kita dan ikhlas hati untuk menuntut ilmu. Tidak kisahlah dimana sekali pun kita belajar, agama jangan sesekali dilupakan. Biarlah seimbang dunia dan akhirat.

Lalu bermulalah pengembaraanku sebagai mahasiswa Kolej UNITI Port Dickson dengan semangat dan azam baru.




Bersambung….