Pages

Showing posts with label Tinta Dekan. Show all posts
Showing posts with label Tinta Dekan. Show all posts

Sunday, 14 October 2018

Ikuti EMPAT (4) tip ini untuk bentuk keyakinan diri anak anda- Pn. Hidayah Tokiman.

Ihsan imej: istockphoto.com
Ibu bapa mana yang tidak risau bila memikirkan anak yang kurang atau tiada langsung keyakinan diri.

Semua permintaan ibu bapa ditolak bulat-bulat dengan jawapan “tak nak lah”, “tak reti”, “adik takut lah” walaupun ditemani oleh ibu bapa.

Mengapa ini terjadi ?

Di bahagian manakah kurangnya perhatian diberikan ?

Situasi lazim yang biasa saya perhatikan adalah ketika membuat pembayaran di kaunter pasar raya misalnya; ibu bapa menyerahkan duit dan meminta anak kecil yang membayar dan menjalankan akad urus niaga sambil diperhatikan oleh ibu bapa.

Urus niaga itu berjaya dilakukan tetapi mengapa anak saya tidak mampu melakukan sedemikian ?

Bagaimanakah cara untuk saya mendedahkan anak dengan situasi di atas ? 

Berikut adalah EMPAT (4) tip bagi membentuk keyakinan diri anak.

Pertama, permulaan latihan membentuk keyakinan diri anak adalah di rumah. Ibu bapa boleh memberi tugasan ringkas kepada anak. Misalnya anak berumur empat tahun dan mahukan susu. Minta anak sediakan botol atau cawan kegemarannya terlebih dahulu.  Disini ibu bapa sebenarnya memberikan anak tanggungjawab dalam masa yang sama anak akan bebas membuat pilihan.

Kedua, semakin hari tugasan menyediakan botol susu telah menjadi rutin, ibu bapa boleh tambahkan kepada tugasan mencabar misalnya padanan botol dengan susu, “ini botol adik, ni susu adik”, “ini botol kakak, ini susu kakak”. Perlu diingat tugasan tidak boleh keterlaluan.

Ketiga, beri kepercayaan kepada anak. Usah bimbang anak buat salah, segera tegurlah mereka. Itu tandanya mereka sedang belajar. Apabila anak berjaya menyelesaikan cabaran, hargai mereka.

Keempat, penghargaan yang diberikan boleh melalui pujian dengan ucapan “pandailah kakak tolong mama”, “bagus anak mama”, tepukan juga boleh usapan dengan penuh kasih sayang. Demikian, tidak mustahil apabila ia telah menjadi rutin, tanpa paksaan anak akan menawarkan diri dan seronok membuat tugasan tersebut.

Tuntasnya, keyakinan diri anak telah terbentuk seawal di dalam rumah lagi. Maka mudahlah bagi ibu bapa meneruskan konsep yang sama apabila berada di luar rumah dan apabila anak bergaul dengan rakan sebaya yang lain.

Ironinya, tanpa kita sedari kadangkala ibu bapalah sebenarnya punca kepada kekurangan tahap keyakinan diri anak kerana  sikap ibu bapa yang “tidak percayakan anak”.

 Maka bermula hari ini, ubahlah persepsi anak saya “tak pandai”, “tak boleh” kepada “cuba dulu”, “mesti boleh” dan gunakan seluruh potensi dan bakat terpendam dalam diri anak.

Maka keyakinan diri anak akan terserlah.

Cubalah !



Disediakan oleh:

Puan Hidayah Binti Tokiman,
Dekan,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson, NSDK.

Monday, 13 August 2018

“Aduhh! pening kepala mama tengok adik kakak ni asyik bergaduh je. Sekejap berbaik, tidak sampai setengah jam dengar lagi jeritan dan tangisan” keluh seorang ibu. Ikuti EMPAT (4) tips ini untuk lerai pergaduhan anak-anak.- Puan Hidayah Tokiman



“Aduhh! pening kepala mama tengok adik kakak ni asyik bergaduh je. Sekejap berbaik,  tidak sampai setengah jam dengar lagi jeritan dan tangisan” keluh seorang ibu.

Ihsan imej: http://www.wajibbaca.com
Saya yakin, semua ibu diluar sana pernah mengalami situasi sebegini.

Tahukah ibu-ibu sekalian?

Tingkah laku seperti menangis, merajuk, marah, sedih dan juga gembira pada dasarnya adalah baik kerana mereka mula menunjukkan respons terhadap emosi.


Walaubagaimanapun, dalam keadaan yang keterlaluan tindakan menangis hingga membawa kepada pergaduhan dan sedih yang berpanjangan boleh membawa kepada kegagalan pengawalan emosi. Sekiranya berlebihan ianya boleh membawa kepada tekanan terhadap perkembangan emosi kanak-kanak.


Justeru, terdapat empat tip bagi mengurangkan perebutan mainan antara anak-anak :

1.     Beri perhatian :

Perhatian yang bagaimana? Hakikat dunia hari ini, separuh atau lebih lagi masa anak- anak banyak dihabiskan ketika di sekolah dan bersama pengasuh. Oleh itu, ibubapa harus bijak mencari masa dan menggunakan masa berkualiti dengan membuat aktiviti bersama anak-anak. Perhatian dan ucapan-ucapan penghargaan  terhadap perlakuan anak yang menyenangkan akan membangkitkan ‘mood’ anak supaya mereka merasa tenang dan baik.

Contoh ayat, “macam nilah anak mama, pandai kakak main dengan adik. Kongsi barang sama-sama ya”.


2.     Wujudkan situasi main bersama-sama dengan harmoni dan kasih sayang :

Ibubapa harus bijak mengawal suasana. Cari peluang dan wujudkan situasi persekitaran yang positif. Banyakan luahan emosi melalui sentuhan dan pelukan, Sentuhan emosi si anak boleh juga dibuat.

Misalnya,  “pandailah adik kongsi mainan dengan kakak. Macam nilah anak solehah mama. Mama sayanglah adik kakak”.


3.     Bertindak adil dan tegas :

Ibubapa harus bersikap adil dalam setiap perkara. Adil bermaksud tidak hanya berpihak pada anak tertentu sahaja sebaliknya bertindak untuk lebih telus dan tidak bersikap pilih kasih.

Contoh situasi, si anak sedang berebut mainan dan menangis, ibu bapa tidak perlu memihak kepada mana-mana anak atau meminta salah seorang untuk mengalah. Sebaliknya dalam keadaan anak sukar dikawal, cukup berikan amaran seperti mengatakan, “kalau nak berebut atau bergaduh lagi,  mama ambil mainan itu”. Jika tiada perubahan; si anak masih berebut, ibu bapa boleh bertindak mengambil dan simpan. Biarkan mereka menangis hingga anak tenang, kemudian terangkan kepada anak akibat tingkah laku berebut dan bergaduh tidak baik dan hanya merugikan diri sendiri.


4.     Terangkan akibat dan rasional :

Ibubapa harus bijak dalam mengawal emosi anak dan bukannya anak yang berjaya mengarah ibu bapa. Tegas terhadap perkara-perkara yang perlu dan bukannya dalam semua perkara. Dalam kes anak suka berebut, ibu bapa perlu bertindak tegas untuk meleraikan situasi tersebut seperti terus mengambil mainan dalam tip 3.


Pada masa yang sama, sekiranya ibu yang bertindak mengambil mainan, si ayah pula boleh mengambil peranan membawa anak kepada situasi tenang melalui pujukan. Segera pujuk, ajak anak duduk bersama, bertanya kenapa bertingkah laku begitu. Terangkan juga sebab dan akibat perbuatannya. Si ayah perlu bertindak rasional dan berusaha untuk mewujudkan situasi yang harmoni.


Disinilah kerjasama ibubapa sangat penting dalam membantu perkembangan emosi anak yang lebih positif dan terkawal. Jangan biarkan anak menangis terlalu lama. Perlu wujudkan ketegasan dan perlu ada pihak yang menenangkan suasana.


Akhirnya, semoga tip ini dapat membantu ibubapa yang berhadapan dengan karenah anak yang kerap bergaduh kerana berebutkan mainan. Ibubapa perlu lebih banyak bersabar dan berusaha untuk mengawal kemarahan anak dan bukannya terus bertindak memarahi anak secara terus-menerus. Kawal emosi ibubapa dahulu dan anak-anak akan menerima aura positif daripada ibu bapa secara tidak langsung.


Selamat mencuba.


Disediakan oleh:

Hidayah Binti Tokiman,
Dekan, 
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson, NSDK.

LIMA Tip mencegah Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD)- Puan Hidayah Tokiman


Baru-baru ini seluruh media digemparkan dengan isu penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) kembali menular. Berita kematian seorang kanak-kanak akibat virus ini amat mengembarkan masyarakat. Risaunya bukan kepalang apabila anak mula menunjukkan tanda-tanda walaupun sekadar demam biasa. 


Walaubagaimana pun, ketika ini di mana-mana premis tadika dan taska berdaftar telah menguatkuasakan sekiranya ada anak yang menunjukkan simptom tidak sihat dikehendaki untuk tidak menghadirkan diri dan tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk mendapatkan rawatan di klinik. 


Di sinilah peranan ibu bapa untuk mula memantau tahap kesihatan anak-anak. Ibu bapa disarankan mengambil cuti untuk menjaga sendiri anak yang telah menunjukkan simptom awal HFMD. Pastinya semua bersetuju dengan item ‘mencegah lebih baik dari mengubati’.


Demikian, secara ringkas terdapat lima tips bagi membantu para ibu bapa untuk mencegah penyakit HFMD ini :


1.     Elakkan membawa anak-anak ke tempat awam :


Kurangkan aktiviti luar dan ke tempat awam yang penuh sesak misalnya ke kolam renang, pasar malam dan pusat membeli belah. Tempat-tempat seperti ini mendedahkan anak-anak untuk mendapat virus HFMD dengan mudah.


2.     Amalan langkah kebersihan :


Latih anak untuk lazimkan dengan amalan mencuci tangan dan kaki dengan sabun dan air bersih selepas melakukan sesuatu aktiviti. Ingatkan juga untuk tutup mulut dan hidung semasa batuk dan bersih. Seterusnya ibu bapa perlu memantau semua alat permainan anak-anak dalam keadaan bersih dan selamat, sentiasa menjaga kebersihan rumah dan memastikan sistem pengudaraan rumah dalam keadaan baik dan selesa. Jika perlu, ingatkan anak-anak dan ibu bapa perlu mengawal untuk anak-anak tidak berkongsi barang dengan kanak-kanak lain.


3.     Jaga pemakanan anak-anak :


Pastinya ibu bapa ingin melihat tumbesaran anak-anak yang sihat dan kuat. Demikian, ibu bapa perlu mengambil langkah awal dengan menyediakan pemakanan seimbang untuk anak-anak. Galakkan anak-anak minum air masak dan juga menyediakan rutin minum jus buah-buahan dan lebih elok jika jus disediakan sendiri dari sumber buah segar. Seterusnya bagi ibu bapa yang berkemampuan adalah digalakkan untuk menyediakan supplemen vitamin seperti vitamin C yang boleh dibeli di farmasi juga sumber buah-buahan segar sebagai menu wajib dalam setiap hidangan harian.


4.     Dapatkan tidur dan rehat yang secukupnya :


Tidur bagi kanak-kanak adalah sangat penting. Pastikan anak-anak mendapat tidur dan rehat yang secukupnya bagi membantu dalam proses penyembuhan dan juga dapat membantu dalam proses membina daya ketahanan badan anak-anak untuk melawan jangkitan kuman.


5.  Bawa anak ke klinik atau hospital terdekat jika mereka mempunyai tanda atau simptom jangkitan :


Sekiranya anak ada menunjukkan simptom seperti demam, hilang selera makan, ulser di mulut, tanda ruam atau seperti melepuh segeralah bawa anak berjumpa dengan doktor di klinik berdekatan untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut.


Diharap perkongsian tip ini dapat membantu para ibu bapa untuk bersama kita dalam mencegah penyakit HFMD ini. Cegah sebelum terlambat.



Disediakan oleh:


Hidayah Binti Tokiman,
Dekan, 
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI, Port Dickson, NSDK.

Sunday, 8 April 2018

APABILA SI KECIL BEREMOSI..JANGAN CEPAT MELATAH, IA NORMAL. IKUTI LANGKAH INI UNTUK PERKEMBANGAN EMOSI POSITIF ANAK-ANAK- Puan Hidayah Tokiman

Emosinya dia…

“Mama tadi kan kakak belajar, cikgu cakap dalam keluarga ada lima orang. Ada ayah, ada mama, ada kakak, ada abang, ada adik. Tapi kenapa kakak tak ada abang? Kakak sedih laa tak ada abang.”

Anak ini sedang beremosi nampaknya. . 

Dah diduga soalan ini akan ditanya. Getus dihati. 

Apa nak jawab ni? 

Tenang-tenang sahaja kerana ia proses normal perkembangan kanak-kanak. 

Sebagai ibu, saya berterus-terang dan jelaskan padanya bahawa dia adalah anak pertama, maka tiada abang dalam keluarga kecil kami. 

Bagaimana kita boleh membimbing anak-anak kecil berhadapan konflik emosi?

Ihsan imej: Pinterest.com
Menurut Rohani Abdullah (2001), emosi merupakan tindak balas sebagai rangsangan kepada perasaan emosi. Sementara ahli fisiologi dan psikologi berpendapat bahawa emosi melibatkan gerak hati, perasaan, pernyataan emosi dan tindak balas fisiologi. Kematangan emosi akan mempengaruhi perkembangan menyeluruh yang lain. 

Manakala, Teori Psikososial Erickson menyatakan perkembangan berlaku mengikut tahap dan mempunyai konflik tertentu yang perlu diatasi supaya tidak menjejaskan perkembangan kanak-kanak.

Disini saya kongsikan perkara yang dapat membantu dalam memberikan kesan yang positif kepada perkembangan emosi kanak-kanak :


1. Memberitahu bahawa kita sayang padanya. Kata-kata sayang kita perlu selari dengan perbuatan juga.

2. Memuji usaha anak walaupun hasilnya tidak memuaskan misalnya “pandainya kakak tolong mama lipatkan baju adik, terima kasih kakak”.


3. Beri pilihan dan beri anak buat keputusan sendiri dalam masa yang sama tetap masih memerlukan bimbingan dari ibu bapa.

4. Minta bantuan anak untuk membantu membuat kerja rumah yang mudah dan lakukan bersama-sama misalnya mengemas barang mainan.


5. Memberikan kepercayaan dan bimbing anak dalam membuat sesuatu perkara.

6. Berikan anak ruang dan peluang untuk mereka bercerita, galakkan komunikasi dua hala antara ibu bapa dan anak menerusi soal jawab dan lazimkan bertanya mengenai aktiviti mereka di sekolah atau di rumah pengasuh. Dengan bercerita, mendengar dan memberi respon kepada mereka,  anak-anak akan berasa dihargai.


Demikian adalah sangat penting bagi semua guru, ibu bapa dan pihak yang berinteraksi secara bersemuka dengan kanak-kanak supaya dapat berperanan dalam menggalakkan perkembangan emosi kanak-kanak secara berkesan. Walaupun dimata dewasa kita perkara di atas dianggap remeh namun pada kanak-kanak ia memberi impak yang besar kepada emosi mereka. 




Disediakan oleh:


Pn. Hidayah Binti Tokiman,
Dekan, 
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson. 

Sunday, 11 March 2018

Empat (4) tip bagi membantu ibubapa merancang dan membuat keputusan untuk bercuti bersama anak- Hidayah Tokiman


Cuti sekolah dah bermula. 

“Mama ayah dapat cuti, jom kita pergi bercuti”

"Hoooraaaa....hooreyyyyyy!!!!" melompat kegembiraan anak-anak.

Wah! gembiranya anak-anak bila ibu ayah dapat luangkan masa bersama.  Lagi-lagi pergi bercuti ke luar dari kawasan tempat tinggal dan ada melibatkan aktiviti-aktiviti di luar rutin harian. Sudah pasti, anak-anak kita berasa teruja. 

Walaubagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang ibu bapa perlu pertimbangkan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk bercuti. Berikut empat (4) tip bagi membantu ibubapa merancang dan membuat keputusan untuk bercuti bersama anak :


1.     Destinasi percutian :

Pastikan destinasi percutian adalah pilihan yang telah menimbang suaikan segala aktiviti mahupun program yang bersesuaian dengan anak. Sekiranya ibubapa ada anak berusia dibawah enam bulan adalah sangat tidak sesuai sekiranya merancang percutian yang melibatkan aktiviti lasak di hutan misalnya aktiviti mendaki atau berkayak. Demikian, pilihlah destinasi yang sesuai dan mesra dengan umur anak-anak. Jangan pula kerana kesukaran menguruskan anak, percutian menjadi sesuatu yang menyebabkan ibu bapa tertekan lalu mendatangkan masalah pula.


2.     Jarak lokasi percutian :

Ibubapa perlu menentukan jarak lokasi kediaman dengan menitikberatkan sekiranya lokasi yang terlalu jauh misalnya sehingga memerlukan sembilan hingga 10 jam perjalanan dalam kenderaan boleh menyebabkan anak bosan dan telah penat kerana melalui perjalanan yang jauh. Demikian, ibubapa perlu memberitahu terlebih dahulu kepada anak lokasi serta mood perjalanan supaya anak telah bersedia mental dan fizikal supaya anak faham dan tidak membuat ‘perangai’ sepanjang perjalanan. 

Sekiranya perlu, rancanglah perjalanan dengan menaiki kapal terbang agar cepat tiba ke destinasi. Selain itu ibu bapa sebenarnya telah berjaya mengelakkan dari menempuh kesesakan lalu lintas yang tidak diketahui dalam perjalanan.


3.     Barang keperluan :

Percutian yang mengambil masa seminggu hingga berminggu-minggu lebih memerlukan persiapan yang rapi terutama bagi ibu bapa yang mempunyai anak kecil. Barang keperluan termasuklah segala perkara misalnya baju yang mencukupi, keperluan ‘stroller, ‘carry bag’, keperluan ubatan mahu pun keperluan lain yang diperlukan dan sukar didapati di tempat percutian atau jika ada harganya akan lebih mahal.


4.     Kemudahan yang disediakan :

Jika berpeluang, ibu bapa boleh menyemak dan mendapatkan maklumat kemudahan yang telah disediakan di tempat percutiannya melalui semakan online. Demikian, ibu bapa tidak perlu membawa barang-barang yang telah disediakan di tempat penginapan misalnya cerek elektrik, air pemanas, katil bayi dan lain-lain lagi bagi memudahkan dan menjadikan percutian semakin selesa dan menyeronokkan.


Sehubungan dengan itu, ibu bapa yang merancang untuk bercuti tanpa tekanan, ketahuilah bahawa bukan hanya nilai duit dan kemewahan sahaja yang anak-anak perlukan sebaliknya kasih sayang dan masa dari ibu bapa yang amat berharga bagi anak-anak. Maka carilah masa dan luangkanlah masa bersama anak-anak kerana masa yang berlalu tidak mampu kita ulang. Kita akan rindukan anak-anak kecil nanti. Selamat bercuti !


Disediakan oleh:

Hidayah Binti Tokiman,
Dekan, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia
Kolej UNITI Port Dickson.

Thursday, 15 February 2018

Tinta Dekan: "Adik minta maaf …'- Puan Hidayah Tokiman



“Langgar dan buat tak tahu je, hiss geram betul,” rungut ibu didalam hati.

Pernah ke ibu bapa mengalami situasi begini? Mahu diam atau ditegur?

Perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Seorang kanak-kanak harus dibiasakan dan diajarkan untuk mengucapkan kata maaf setiap kali melakukan kesalahan sehingga ianya mampu menjadi kelaziman tanpa perlu disuruh-suruh.

“Alaaaa, biarkan je. Kecil lagi. Dah besar nanti tahulah tu.” Suara lain pula memujuk rasa.

Ibu-ibu pernah mengalami situasi ini?

Ingat!

Jika tingkah laku tidak dididik dari kecil maka akan terbawa hingga dewasa yang akan mempengaruhi perkembangan sosialnya tanpa kita sedari.

Selain itu, ia juga mempengaruhi emosinya hingga ke tahap merasakan diri mereka tidak bersalah dalam semua perkara.

Bahayakan?

Berikut tiga panduan asas mendidik anak kecil dengan ucapan maaf :


1.     Bahasa badan :

Lazimnya bila kita sedar yang kita telah melakukan kesalahan; ekspresi muka, kontrak mata dan postur badan boleh berubah. Demikian itu, gunakan bahasa badan ketika meminta maaf. Lazimi anak untuk meminta maaf sambil bersalaman sambil mengucapkan “adik minta maaf mama”.

Sebagai ibu, terimalah kemaafan itu dan tegaskan “janji, jangan buat lagi” sambil ibu atau bapa memeluk mahupun mencium anak. Di situlah terdidiknya perkembangan emosi kanak-kanak.
 
 
2.     Ibu bapa model anak :

Ibu bapa jangan malu atau berasa tidak perlu meminta maaf pada anak. Sebaliknya bersikap matang dan tidak ada salahnya jika benar ibu bapa yang salah maka mengaku dan ucapkanlah maaf kepada anak “mama minta maaf adik, mama lupa lah nak belikan barang yang adik kirim tu, nanti hujung minggu kita pergi beli yee”.
 
Jika ibu bapa bersikap begini tidak mustahil dalam persekitaran lazim anak-anak akan lebih mudah meminta dan menerima maaf tanpa perlu sebarang desakan.
 
 
3.     Berikan pujian dan terangkan :

 
Berikan pujian setelah anak meminta maaf juga terangkan mengapa tidak boleh bertingkah laku sebegitu.
 
Secara ringkas terangkan kepada anak-anak dalam bahasa yang mudah kesan kepada tingkah laku yang tidak baik “adik nakal-nakal tak ada orang nak kawan adik tau”.
 
Ingatkan juga supaya tidak mengulangi tingkah laku yang sama.


Justeru, latihlah anak untuk meminta maaf dari seawal usia mereka demi perkembangan masa depan anak yang positif. Ditegaskan juga ibu bapa adalah model terbaik bagi anak-anak, maka tunjukkanlah tingkah laku yang sebaiknya. Maaf tanpa perlu dipaksa-paksa.


Disediakan oleh:

Hidayah Binti Tokiman,
Dekan,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson.

Thursday, 25 January 2018

MENGAPA PELAJAR SERING TERTEKAN?- Hidayah Tokiman

Ihsan Imej: Pinterest.com
“Satu reaksi yang tidak spesifik oleh diri seseorang disebabkan oleh sesuatu bebanan yang menimpanya.” 

Ia adalah definisi tekanan. 

Tekanan yang berpanjangan dan gagal mengurusnya akan bertukar menjadi satu keadaan melampau hingga individu mampu bertindak di luar kawalan. 

Mengapakah pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi selalu dilanda tekanan? 

Terdapat tiga punca yang mendorong situasi penggalak kepada tekanan antaranya adalah :

1. Konflik ibu bapa – anak :

Ibu bapa yang mengawal anak dengan arahan dan peraturan tanpa rasional hingga menyebabkan anak trauma misalnya meletakkan harapan dan kejayaan yang tidak mampu diukur terhadap pencapaian anak-anak. 

Selain itu konflik ibu bapa misalnya penceraian yang menyebabkan anak-anak tidak mendapat perhatian dan menyebabkan kurangnya kasih sayang sehingga anak-anak terabai dan mengalami tekanan perasaan.


2. Gangguan persekitaran :

Gagal beradaptasi dengan perubahan; pelajar tidak mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran misalnya bertukar ke sekolah baru. Seterusnya pencapaian akademik dan kokurikulum yang tidak seimbang. 

Situasi yang berlaku, pelajar hanya aktif aktiviti di luar kelas dan tidak minat dengan akademik. Keadaan ini harus ditangani segera kerana ia akan menjadi tekanan kepada pelajar.


3. Masalah diri :

Pelajar cenderung berfikiran negatif, tidak yakin dengan kemampuan diri, pasif dan merasa diri teruk dan lemah. Tekanan ini akan muncul secara senyap yang lama-kelamaan akan mengunadang kepada masalah lain.

Demikian, kita sebagai pihak dewasa diharap dapat membantu meringankan tekanan yang dihadapi oleh para pelajar dan kanak-kanak. Sentiasalah berfikiran rasional di dalam membuat keputusan. 

Belajarlah untuk bijak mengawal emosi bersesuaian dengan situasi dan keadaan. Segeralah berjumpa dengan guru kaunseling atau pihak professional seperti kaunselor di IPT bagi mendapatkan bantuan. 

Akhirnya, latihlah diri untuk mengurus masa dengan bijak dan hanya dengan pemikiran yang positif sahaja mampu mengurangkan tekanan yang dihadapi.



Disediakan oleh:


Puan Hidayah Binti Tokiman,
Dekan, 
Fakulti Pendidikan dan Pengajian Umum,
Kolej UNITI Port Dickson.

Tuesday, 23 January 2018

Tinta Dekan- “Cikgu huru-hara, ibu bapa tidak tenang".

Ihsan imej: Pinterest.com
Tiga minggu berlalu, guru kelas agak tenang.

Ibu bapa boleh meneruskan kerja rumah manakala yang bekerja mampu bekerja dengan tenang. Hanya sesekali menjeling telefon untuk melihat whatapps group tadika/ taska sekolah anak.


Begitulah debaran cerita di awal tahun 2018 bagi kebanyakan emak-emak.

Tahun ini saya tidak terkecuali melalui fasa anak mula bersekolah tadika pada usia 5 tahun. Hari pertama persekolahan pelbagai ragam anak dapat saya perhatikan. Ada yang gembira, ada yang menangis, ada yang merajuk, ada yang meragam dan selebihnya bersemangat dan berkeyakinan melangkah masuk ke dalam kelas.


Indahnya kehidupan di zaman kanak-kanak. Di sekolah mereka mula dilatih tentang rutin harian, mula belajar tentang konsep peraturan, disiplin, konsep hormat-menghormati, bertolak- ansur dan pengurusan diri. Ibu bapa turut sama teruja apabila anak mula memasuki dunia persekolahan. Begitulah juga saya.


Disini anak mula melalui perkembangan sosial dari ruang yang lebih luas. Kanak-kanak mula berinteraksi dengan orang lain mengikut cara yang boleh diterima oleh sesuatu masyarakat.


Apabila anak-anak mula bersosial, mereka akan mula belajar tentang penyesuaian sosial seperti proses peniruan, identifikasi kemahiran bermain, perkembangan sosial persahabatan dan perhubungan rakan sebaya.


Kerana itu kita melihat pelbagai ragam anak terutamanya yang buat kali pertama menjejaki alam persekolahan, mereka diibaratkan dicampak keluar dari zon kehidupan sosialisasi selesa mereka.


Disinilah peranan orang dewasa terutamanya ibu bapa dan guru dalam membantu perkembangan sosial anak-anak secara sihat.


Tiga persediaan saya pada hari pertama persekolahan adalah pertama berikan anak masa, kedua berikan kepercayaan dan ketiga selepas berjaya berikan anak penghargaan.

Maka tidak hairanlah pemandangan lazim saban tahun apabila kelas bermula ada ibu bapa yang masih mengintai di balik tingkap, menunggu di pintu pagar sekolah dan ramainya ibu bapa duduk di kantin sekolah.

Jujurnya, saya mencabar diri saya untuk mengelak dari terlibat sama dalam situasi ini.
Pengalaman tahun ini saya “berjaya” melepaskan anak saya ketika hari pertama persekolahnnya dengan memberikannya masa untuk dia selesa duduk di dalam kelas, berikan dia kepercayaan dan yakin bahawa dia mampu beradaptasi pada suasana kelas baru dan tamat sesi persekolahan hari pertama berikan anak penghargaan walaupun hanya dengan sekotak air kegemarannya dan pujilah dia.


Harus difahami perkembangan kanak-kanak berlaku secara semulajadi. Walaubagaimanapun dengan bantuan daripada orang dewasa, perkembangan anak-anak akan mampu lebih baik dan dapat mencapai potensi yang dijangkakan.

Tidak hanya menyentuh aspek sosial sahaja, malahan perkembangan fizikal, bahasa, kognitif, rohani juga emosi masih memerlukan pantauan dari orang dewasa. Bagaimanapun, harus diingat jangan sesekali samakan setiap dari anak kita dengan orang lain mahupun membeza-bezakan anak dengan abang dan kakaknya kerana setiap anak adalah unik. Maka bersyukur dan bergembiralah memiliki anak seperti mereka. Hargai anak anda!



Disediakan oleh:

Hidayah Binti Tokiman,
Dekan,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson.

Monday, 15 January 2018

Tinta Dekan: 'Basmi Jenayah Seksual Kanak-Kanak Tanggungjawab Bersama"- Puan Hidayah Tokiman





Ini FAKTA yang menakutkan!!!!


22 234 kes penderaan seksual kanak-kanak telah direkodkan sepanjang tahun 2010 hingga Mei 2017? (Statistik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM)).




Pecahan statistik  merekodkan jenayah rogol adalah yang tertinggi iaitu 13 272 kes, diikuti oleh cabul 6014 kes, sumbang mahram 1796 dan perbuatan luar tabii 1152 kes.


Apa itu penderaan seksual ke atas kanak-kanak?



Menurut Akta Kanak-Kanak 2001; penderaan seksual “terjadi apabila seorang kanak-kanak teraniaya dari segi seks jika dia mengambil bahagian sama ada sebagai peserta atau pemerhati, dalam apa-apa aktiviti yang berunsur seks bagi apa-apa maksud/ eksploitasi seks bagi apa-apa maksud/ eksploitasi seks oleh mana-mana orang bagi memuaskan nafsu seks orang itu / orang lain”


Penderaan seksual memberi kesan besar kepada perkembangan kanak-kanak samada jantina lelaki dan perempuan.  Ia mempengaruhi perubahan besar dan traumatik dalam kehidupan mangsa penderaan ini. Antara kesan penderaan adalah:


1.     Rasa rendah diri dan tidak yakin yang kronik.
2.     Perasaan bersalah dan rasa diri tidak berharga.
3.     Menjadi seorang yang perahsia / mengalami kemurungan.
4.     Pertuturan tidak sepadan dengan umur.
5.     Kecenderungan kepada berlakunya gangguan personality.
6.     Cenderung menjadi ganas/ liar/ agresif.
7.     Berkecenderungan untuk menjadi seorang pelacur.


Demikian itu, menjadi tanggungjawab setiap individu, komuniti, masyarakat dan agensi berkaitan bersama menjaga kepentingan perkembangan kanak-kanak tanpa mendedahkan mereka kepada sebarang risiko mahupun bahaya.




Konsep “kepentingan perkembangan kanak-kanak” menjadi tanggungjawab setiap individu demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup kanak-kanak dalam mendapat hak mereka.



Disediakan oleh:


Puan Hidayah Binti Tokiman,
Dekan,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,

Kolej UNITI Port Dickson.