Pages

Showing posts with label Bacaan Umum. Show all posts
Showing posts with label Bacaan Umum. Show all posts

Monday, 1 October 2018

TUJUH Tip Keselamatan Semasa Aktiviti Main Air @ Berenang- Nur Akmar Mohd Arif

 Aktiviti main air atau berenang merupakan antara aktiviti yang menjadi kesukaan kanak-kanak di Tadika dan Taska.

Aktiviti ini dapat memberi kegembiraan dan keseronokan kepada kanak-kanak kerana air bersifat terapuitik yang menjadi terapi menghilangkan tekanan serta kebosanan dalam kalangan kanak-kanak.

Walaubagaimanapun, kemalangan atau kecelakaan boleh berlaku di tempat main air jika aspek-aspek keselamatan tidak dititikberatkan sepanjang aktviti main air dijalankan.

Maka, setiap guru di Taska mahupun Tadika perlu membuat persediaan senarai semak keselamatan semasa aktiviti main air dijalankan bagi memastikan kanak-kanak seronok beraktiviti dalam persekitaran fizikal dan emosi yang selamat.

Jom ikuti TUJUH (7) tip keselamatan semasa aktiviti bermain air dijalankan di Taska/Tadika!

1. Air yang bersih dan selamat

Guru perlu memastikan air yang digunakan untuk aktiviti main air adalah bersih, tidak keruh dan dijauhi daripada najis binatang. Pastikan air sentiasa bertutup jika tidak digunakan bagi mengelak kehadiran jejentik yang boleh menjejaskan kesihatan kanak-kanak.

2. Peralatan main air yang selamat

Peralatan main air yang digunakan perlulah bersih, tahan lama, tidak berkarat, tidak tajam dan tidak mudah rosak seperti pelampung, google, gayung dan apa sahaja yang boleh digunakan, disesuaikan dan dimanfaatkan dalam aktiviti main air. Ini penting bagi memastikan kanak-kanak dapat meneroka segala bahan dan peralatan main air yang selamat dalam persekitaran yang selamat dan meyakinkan.

3. Kedalaman air yang cetek

Kedalaman air yang digunakan untuk aktiviti main air perlulah cetek dan bersesuaian dengan tahap umur kanak-kanak. Ingat! Membiarkan kanak-kanak mandi di kolam renang yang mempunyai kedalaman air yang tidak bersesuaian boleh mengundang risiko lemas. Air walaupun pada kadar 2.5sm boleh menyebabkan risiko lemas.

4. Suhu air yang bersesuaian

Guru bertanggungjawab memastikan air yang digunakan untuk aktiviti main air tidak teralu panas kerana dikhuatiri boleh melecur atau terlalu sejuk juga boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami hipotermia.

5. Pakaian yang sesuai

Guru perlu memastikan anak-anak memakai pakaian mandi yang sesuai, selesa dan selamat semasa aktiviti main air. Elakkan kanak-kanak memakai pakaian yang boleh menyekat pergerakan kanak-kanak semasa aktiviti main air bagi mengelak risiko kemalangan.


6. Pemantauan guru


Pastikan ruang aktiviti bermain air adalah dalam ruang lingkup yang boleh dipantau dan dalam kawalan guru. Guru bertanggungjawab untuk memantau aktiviti kanak-kanak sepanjang bermain air. Elakkan membiarkan kanak-kanak bersendirian atau membiarkan mereka bermain sesama rakan sebaya tanpa pemantauan guru.

7. Penerapan disiplin dan nilai murni 

Anak-anak perlu didedahkan tentang keselamatan melalui disipin dengan bantuan guru. Jelaskan pada kanak-kanak peraturan dan prosedur semasa bermain air dengan menggunakan arahan yang mudah difahami seperti mengingatkan mereka supaya beratur sebelum masuk ke kolam renang, tidak menolak kawan dan membaling pelampung bagi mengelak kemalangan yang tidak diingini. Terapkan nilai murni seperti kesabaran, tunggu giliran dan bekerjasama semasa aktiviti main air dijalankan.


Kesimpulannya, tip- tip keselamatan semasa bermain air perlu diambil berat oleh guru bagi memastikan kanak-kanak dapat meneroka aktiviti bermain air dalam persekitaran fizikal dan emosi yang selamat dan meyakinkan!


Disediakan Oleh,

Nur Akmar Binti Mohd Arif
Pensyarah,
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson.

Monday, 13 August 2018

“Aduhh! pening kepala mama tengok adik kakak ni asyik bergaduh je. Sekejap berbaik, tidak sampai setengah jam dengar lagi jeritan dan tangisan” keluh seorang ibu. Ikuti EMPAT (4) tips ini untuk lerai pergaduhan anak-anak.- Puan Hidayah Tokiman



“Aduhh! pening kepala mama tengok adik kakak ni asyik bergaduh je. Sekejap berbaik,  tidak sampai setengah jam dengar lagi jeritan dan tangisan” keluh seorang ibu.

Ihsan imej: http://www.wajibbaca.com
Saya yakin, semua ibu diluar sana pernah mengalami situasi sebegini.

Tahukah ibu-ibu sekalian?

Tingkah laku seperti menangis, merajuk, marah, sedih dan juga gembira pada dasarnya adalah baik kerana mereka mula menunjukkan respons terhadap emosi.


Walaubagaimanapun, dalam keadaan yang keterlaluan tindakan menangis hingga membawa kepada pergaduhan dan sedih yang berpanjangan boleh membawa kepada kegagalan pengawalan emosi. Sekiranya berlebihan ianya boleh membawa kepada tekanan terhadap perkembangan emosi kanak-kanak.


Justeru, terdapat empat tip bagi mengurangkan perebutan mainan antara anak-anak :

1.     Beri perhatian :

Perhatian yang bagaimana? Hakikat dunia hari ini, separuh atau lebih lagi masa anak- anak banyak dihabiskan ketika di sekolah dan bersama pengasuh. Oleh itu, ibubapa harus bijak mencari masa dan menggunakan masa berkualiti dengan membuat aktiviti bersama anak-anak. Perhatian dan ucapan-ucapan penghargaan  terhadap perlakuan anak yang menyenangkan akan membangkitkan ‘mood’ anak supaya mereka merasa tenang dan baik.

Contoh ayat, “macam nilah anak mama, pandai kakak main dengan adik. Kongsi barang sama-sama ya”.


2.     Wujudkan situasi main bersama-sama dengan harmoni dan kasih sayang :

Ibubapa harus bijak mengawal suasana. Cari peluang dan wujudkan situasi persekitaran yang positif. Banyakan luahan emosi melalui sentuhan dan pelukan, Sentuhan emosi si anak boleh juga dibuat.

Misalnya,  “pandailah adik kongsi mainan dengan kakak. Macam nilah anak solehah mama. Mama sayanglah adik kakak”.


3.     Bertindak adil dan tegas :

Ibubapa harus bersikap adil dalam setiap perkara. Adil bermaksud tidak hanya berpihak pada anak tertentu sahaja sebaliknya bertindak untuk lebih telus dan tidak bersikap pilih kasih.

Contoh situasi, si anak sedang berebut mainan dan menangis, ibu bapa tidak perlu memihak kepada mana-mana anak atau meminta salah seorang untuk mengalah. Sebaliknya dalam keadaan anak sukar dikawal, cukup berikan amaran seperti mengatakan, “kalau nak berebut atau bergaduh lagi,  mama ambil mainan itu”. Jika tiada perubahan; si anak masih berebut, ibu bapa boleh bertindak mengambil dan simpan. Biarkan mereka menangis hingga anak tenang, kemudian terangkan kepada anak akibat tingkah laku berebut dan bergaduh tidak baik dan hanya merugikan diri sendiri.


4.     Terangkan akibat dan rasional :

Ibubapa harus bijak dalam mengawal emosi anak dan bukannya anak yang berjaya mengarah ibu bapa. Tegas terhadap perkara-perkara yang perlu dan bukannya dalam semua perkara. Dalam kes anak suka berebut, ibu bapa perlu bertindak tegas untuk meleraikan situasi tersebut seperti terus mengambil mainan dalam tip 3.


Pada masa yang sama, sekiranya ibu yang bertindak mengambil mainan, si ayah pula boleh mengambil peranan membawa anak kepada situasi tenang melalui pujukan. Segera pujuk, ajak anak duduk bersama, bertanya kenapa bertingkah laku begitu. Terangkan juga sebab dan akibat perbuatannya. Si ayah perlu bertindak rasional dan berusaha untuk mewujudkan situasi yang harmoni.


Disinilah kerjasama ibubapa sangat penting dalam membantu perkembangan emosi anak yang lebih positif dan terkawal. Jangan biarkan anak menangis terlalu lama. Perlu wujudkan ketegasan dan perlu ada pihak yang menenangkan suasana.


Akhirnya, semoga tip ini dapat membantu ibubapa yang berhadapan dengan karenah anak yang kerap bergaduh kerana berebutkan mainan. Ibubapa perlu lebih banyak bersabar dan berusaha untuk mengawal kemarahan anak dan bukannya terus bertindak memarahi anak secara terus-menerus. Kawal emosi ibubapa dahulu dan anak-anak akan menerima aura positif daripada ibu bapa secara tidak langsung.


Selamat mencuba.


Disediakan oleh:

Hidayah Binti Tokiman,
Dekan, 
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson, NSDK.

LIMA Tip mencegah Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD)- Puan Hidayah Tokiman


Baru-baru ini seluruh media digemparkan dengan isu penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) kembali menular. Berita kematian seorang kanak-kanak akibat virus ini amat mengembarkan masyarakat. Risaunya bukan kepalang apabila anak mula menunjukkan tanda-tanda walaupun sekadar demam biasa. 


Walaubagaimana pun, ketika ini di mana-mana premis tadika dan taska berdaftar telah menguatkuasakan sekiranya ada anak yang menunjukkan simptom tidak sihat dikehendaki untuk tidak menghadirkan diri dan tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk mendapatkan rawatan di klinik. 


Di sinilah peranan ibu bapa untuk mula memantau tahap kesihatan anak-anak. Ibu bapa disarankan mengambil cuti untuk menjaga sendiri anak yang telah menunjukkan simptom awal HFMD. Pastinya semua bersetuju dengan item ‘mencegah lebih baik dari mengubati’.


Demikian, secara ringkas terdapat lima tips bagi membantu para ibu bapa untuk mencegah penyakit HFMD ini :


1.     Elakkan membawa anak-anak ke tempat awam :


Kurangkan aktiviti luar dan ke tempat awam yang penuh sesak misalnya ke kolam renang, pasar malam dan pusat membeli belah. Tempat-tempat seperti ini mendedahkan anak-anak untuk mendapat virus HFMD dengan mudah.


2.     Amalan langkah kebersihan :


Latih anak untuk lazimkan dengan amalan mencuci tangan dan kaki dengan sabun dan air bersih selepas melakukan sesuatu aktiviti. Ingatkan juga untuk tutup mulut dan hidung semasa batuk dan bersih. Seterusnya ibu bapa perlu memantau semua alat permainan anak-anak dalam keadaan bersih dan selamat, sentiasa menjaga kebersihan rumah dan memastikan sistem pengudaraan rumah dalam keadaan baik dan selesa. Jika perlu, ingatkan anak-anak dan ibu bapa perlu mengawal untuk anak-anak tidak berkongsi barang dengan kanak-kanak lain.


3.     Jaga pemakanan anak-anak :


Pastinya ibu bapa ingin melihat tumbesaran anak-anak yang sihat dan kuat. Demikian, ibu bapa perlu mengambil langkah awal dengan menyediakan pemakanan seimbang untuk anak-anak. Galakkan anak-anak minum air masak dan juga menyediakan rutin minum jus buah-buahan dan lebih elok jika jus disediakan sendiri dari sumber buah segar. Seterusnya bagi ibu bapa yang berkemampuan adalah digalakkan untuk menyediakan supplemen vitamin seperti vitamin C yang boleh dibeli di farmasi juga sumber buah-buahan segar sebagai menu wajib dalam setiap hidangan harian.


4.     Dapatkan tidur dan rehat yang secukupnya :


Tidur bagi kanak-kanak adalah sangat penting. Pastikan anak-anak mendapat tidur dan rehat yang secukupnya bagi membantu dalam proses penyembuhan dan juga dapat membantu dalam proses membina daya ketahanan badan anak-anak untuk melawan jangkitan kuman.


5.  Bawa anak ke klinik atau hospital terdekat jika mereka mempunyai tanda atau simptom jangkitan :


Sekiranya anak ada menunjukkan simptom seperti demam, hilang selera makan, ulser di mulut, tanda ruam atau seperti melepuh segeralah bawa anak berjumpa dengan doktor di klinik berdekatan untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut.


Diharap perkongsian tip ini dapat membantu para ibu bapa untuk bersama kita dalam mencegah penyakit HFMD ini. Cegah sebelum terlambat.



Disediakan oleh:


Hidayah Binti Tokiman,
Dekan, 
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI, Port Dickson, NSDK.

Thursday, 15 March 2018

Anda Boleh Belajar Diploma Dengan 3 Kepujian SPM- Cikgu Badrul Hisham Ithnin

Keputusan SPM 2017 telah diuar-uarkan secara rasmi pada15 Mac. Keputusan dinanti penuh debaran. Kini semua pelajar SPM 2017 dan ibu bapa hanya pasrah dan tawakal untuk suatu keputusan yang baik.


Negara kita akan digempitakan sekali lagi oleh keputusan peperiksaan awam terbesar ini. Namun apa yang bakal terjadi tidaklah lebih penting daripada natijah keputusan yang diterima pelajar iaitu samada lepasan SPM 2017 ini mengambil keputusan untuk menyambung pengajian ke peringkat matrikulasi, diploma atau meneruskan cabaran akademik di Tingkatan 6 atau jalan lebih mudah iaitu bekerja.
Bagi yang ingin meneruskan cabaran akademik, tulisan ringkas ini menawarkan kepada lepasan SPM untuk pertimbangkan peluang ke institut pendidikan tinggi swasta , atau lebih dikenali sebagai IPTS. IPTA barangkali adalah pilihan lebih baik kerana infrastruktur, keutuhan sistem pendidikannya serta didokong oleh dana kerajaaan. Namun ini tidak lagi benar seratus peratus. 
Enam sebab di bawah adalah IPTS wajar menjadi pilihan alternatif kepada pelajar lepasan SPM 2017.
Sebab pertama, peluang di IPTA terhad. Misalnya UiTM sahaja tidak cukup untuk menampung jumlah pelajar layak yang ramai. Program matrikulasi di bawah kendalian kerajaan juga masih tidak boleh menawarkan tempat yang mencukupi kepada calon-calon yang layak. Peluang ke Politeknik juga mempunyai limitasi yang sama.
Kedua, hal ini juga dikekangi oleh jurusan yang ditawarkan insititusi di atas tadi tidak semuanya sesuai dengan minat dan kebolehan pelajar. Bahkan ada program yang tiada ditawarkan di institusi tersebut. IPTS yang kompetitif selalunya selangkah ke hadapan bagi memenuhi keperluan industri atau kehendak pasaran.
Sebagai contoh Program Diploma Pendidikan dan Asuhan Awal Kanak-kanak, Diploma Pendidikan Islam Sekolah Rendah dan Diploma Psikologi Kaunseling Kolej UNITI ditawarkan bagi memenuhi kehendak pasaran yang mewajibkan guru tadika dan pengasuh di taska memiliki diploma. Begitu juga kewujudan sekolah rendah Islam swasta yang memerlukan tenaga mahir dalam pendidikan sekolah rendah selain Malaysia kekurangan kaunselor dan pakar psikologi.  
Ketiga, program diploma IPTS tidak lagi dilabel mahal seperti peringkat awal IPTS beroperasi dahulu. Ini kerana pelajar yang layak boleh dibiayai oleh PTPTN. Terdapat juga kemudahan atau bantuan kewangan dari pusat zakat negeri, pengeluaran KWSP ibu bapa, tabung-tabung pendidikan negeri seperti TAPEM (Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka) dan seumpamanya.
Keempat, pengambilan pelajar di IPTS tidak terikat dengan tarikh-tarikh tertentu. Ia sentiasa terbuka seperti yang diamalkan oleh Kolej UNITI Port Dickson.  Ia tidak seperti IPTA yang pengambilannya telah ditetapkan. Pengambilannya lebih kerap bagi memberi peluang pelajar tidak tercicir peluang sambung belajar bidang kesukaannya. 
Kelima, pembelajaran menjadi lebih baik kerana wujud hubungan erat dengan pensyarah. Ini kerana IPTS lazimnya lebih kecil dari segi saiz dan kapasiti untuk mengambil ribuan pelajar. Justeru lebih banyak ruang dan kesempatan pelajar untuk bersemuka dengan pensyarah mereka selepas atau sebelum kuliah.
Keenam, dari segi kualiti pendidikan ia tidak boleh diremehkan oleh mana-mana pihak kerana rata-rata kebanyakan program diploma IPTS telah mendapat akreditasi penuh MQA. Akreditasi adalah satu bentuk pengiktirafan bahawa suatu program akademik yang ditawarkan telah memenuhi keperluan dan standard yang ditetapkan oleh pihak berkuasa seperti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Sejajar dengan status ini program akademik tersebut juga diiktiraf IPTA untuk menawarkan program ijazah pula. Pada masa sama juga Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut mengiktiraf program tersebut di mana graduan IPTS tersebut layak memohon jawatan di sektor awam, sama seperti graduan daripada IPTA.
Kolej UNITI Port Dickson sentiasa memastikan program yang ditawarkan mendapat akreditasi dari pihak MQA. Malah, Kolej UNITI Port Dickson telah mendapat 6 Stars MyQuest (kategori kolej) menjadikannya antara 10 IPTS terbaik di Malaysia. 
Dengan kelebihan-kelebihan ini maka pelajar sebenarnya mempunyai laluan alternatif untuk pengajian ke peringkat diploma. Sikap bergantung sepenuhnya kepada IPTA tidak lagi lagi boleh dipertahankan terutamanya kepada pelajar yang keputusan SPM mereka tidak cemerlang atau sekadar cukup-cukup makan. Asalkan cukup 3 kepujian (kredit), lulus Bahasa Melayu dan Sejarah anda layak memohon.
Besar tapak tangan, nyiru kami tadahkan. Dipersilakan memohon ke Kolej UNITI Port Dickson dalam program pilihan anda. 
Fakulti kami menawarkan:
1) Diploma Pendidikan dan Asuhan Awal Kanak-Kanak (DPAKK)
2) Diploma Pendidikan Islam Sekolah Rendah (DPSIR)
3) Diploma Psikologi Kauseling (DPK)
Anda berminat tahu lebih lanjut? 
Boleh hubungi Puan Faridah (011-1650 5162) atau melalui WA. 

Disediakan oleh,
  • Cikgu Badrul Hisham Ithnin
  • Pensyarah FPPM. 


Sunday, 11 March 2018

Kolej Uniti Kolej Keusahawanan Menjelang Tahun 2020



KENYATAAN MEDIA

PROGRAM PRA PELANCARAN PROGRAM KEUSAHAWANAN KOLEJ UNITI PORT DICKSON

6 MAC 2018/SELASA


Port Dickson, 6 Mac- Dato’Jamal Mohd Amin selaku Presiden Kolej UNITI menegaskan bahawa Kolej UNITI ke arah Kolej Keusahawanan menjelang tahun 2020. Ia selaras dengan pelan strategik yang telah dirangka pada tahun 2013 dan beberapa perancangan awal telah dibuat sebagai persediaan ke arah wawasan tersebut.

Selain penerapan sifat dan semangat keusahawanan melalui subjek dalam struktur kurikulum, Kolej juga  komited menjadi kolej keusahawanan dengan menyediakan ruang dan peluang kepada siswa/i kolej ini melibatkan diri dalam enam (6) Program Sijil Keusahawanan yang kami tawarkan iaitu:

a)     Fertigasi Cili- iaitu satu sistem pertanian baru menggunakan kaedah fertigasi yang menjimatkan kos dan melibatkan modal putaran yang minima.
b)     UNITI Brick- kemahiran pembinaan menggunakan batu-bata dengan teknologi dari Jerman sebagai jurubina masa hadapan.
c)     Artera dan Artera Tods- sejenis permainan yang menggunakan kemahiran logic, asas matematik dan sains bagi melahirkan jurutera dan arkitek cilik.
d)     Artera Busy Book- program permainan untuk tadika yang menekankan aspek kreativiti dan motor halus.
e)     Ladang Kolej UNITI- menjadi ruang untuk tanaman seperti jambu, ubi kayu, jagung, buah naga, tebu dan pelbagai lagi dan
f)       Koperasi Kolej UNITI- memberi kemahiran asas perniagaan, jual-beli dan tatacara perkhidmatan.

“Kita mensasarkan 50 peratus siswa/I kolej UNITI akhirnya memilih bidang keusahawanan sebagai alternatif kerjaya selepas tamat belajar.” Jelasnya dalam ucapan Majlis Pra Pelancaran tadi.

Menurut Encik Muhammad Fadhilat bin Mohd Supi, Pengarah Unit Keusahawanan dan Pusat Kerjaya Kolej UNITI, program sijil keusahawanan juga merupakan satu inisiatif pihak Kolej UNITI untuk membantu pelajar mendapatkan wang saku, dan paling utama ialah memberikan mereka kemahiran dan semangat keusahawanan untuk terus berdaya saing dalam kehidupan yang serba mencabar ini.

Majlis telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Haji Abdul Rahman Mohd Redza. Yang Berhormat mengingatkan agar mahasiswa/I yang dikurniakan keupayaan intelek dapat memainkan peranan kepimpinan dalam mengubah diri, keluarga dan masyarakat dengan melibatkan diri dalam apa-apa juga program yang memberikan manfaat termasuklah menceburi bidang keusahawanan.

Majlis ini juga mengambil kesempatan untuk menghebahkan bahawa Kolej UNITI Port Dickson merupakan Institusi Pengajian Tinggi Swasta pertama yang menjalinkan kerjasama dengan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) dalam membantu menghasil graduan yang menjadi usahawan dengan suntikan dana dalam program microcredit untuk mengembangkan perniagaan yang menjurus kepada minat graduan.


Dikeluarkan oleh,

Puan Faridah Mohd Tap
Ketua Ajk Protokol Dan Perhubungan Awam
Program Pra Pelancaran Program Keusahawan Kolej Uniti Port Dickson.
(faridah@uniti.edu.my)

Monday, 30 January 2017

AIR TANGAN ISTERI/ IBU MENGUKUH UKHUWWAH KEKELUARGAAN- Faridah Mohd Tap

Air tangan ibu adalah yang paling dirindui sampai bila-bila. Sejak kecil, penulis dibesarkan dengan masakan ibu dan jarang sekali makan di luar. Seingat penulis, tidak pernah sepanjang zaman persekolahan dan tinggal bersama kerana makanan kami sekeluarga telah disediakan oleh emak sedangkan emak keluar bekerja seawal jam 6 pagi dan pulang menjelang asar. Walaupun makanan yang dihidangkan hanyalah sekadar nasi berlaukkan telur mata dan kicap. Kelazatannya terasa hingga kini. Sesekali emak tidak sihat dan kepenatan, namun makanan untuk anak-anaknya tidak pernah putus. Menjelang perayaan pula, emaklah yang paling sibuk menyediakan pelbagai juadah. Hingga kini, setiap kali balik ke kampung halaman, penulis ternanti-nanti masakannya. Setiap kali itu juga, emak akan membekalkan dengan makanan kegemaran untukku sekeluarga apabila kami berangkat pulang.


Dari perhatian penulis, masakan hasil dari air tangan emak menjadikan hubungan kekeluargaan kami rapat walaupun secara fizikalnya anak-anak telah duduk berjauhan. Untuk melukakan hati emak jauh sekali, malah berusaha menggembirakannya dengan kejayaan untuk dikongsi bersama. Tautan hati yang terjalin adalah berkat dari air tangan emak yang ikhlas menyediakan juadah untuk keluarga. Penulis berasa kagum dengan kesungguhan para isteri/ibu terdahulu khususnya dalam menyediakan makanan kerana ia sangat memberi kesan kepada keteguhan ikatan perkahwinan suami isteri dan pembentukan peribadi anak-anak.


Dewasa ini, para isteri/ibu terpaksa keluar bekerja bagi meringankan bebanan ekonomi rumahtangga yang semakin mencengkam kehidupan. Namun, dari sisi negatifnya, kebanyakan isteri/ibu bekerjaya kehilangan masa untuk menyediakan juadah untuk keluarga melainkan cuti hujung minggu. Bagi yang berkemampuan, mereka mengambil pembantu rumah untuk urus segala termasuk menyediakan juadah untuk keluarga.  Sebaliknya, ada juga yang membungkus makanan atau memberi wang kepada anak-anak untuk membeli makanan di mana-mana kedai makan sendirian.


Hakikatnya, air tangan seorang isteri/ ibu sangat besar maknanya kepada seorang insan bergelar suami dan anak-anak. Ia bukan sekadar makanan untuk mengenyangkan perut yang kelaparan tetapi lebih daripada itu. Air tangan yang dimaksudkan ialah tentang kesungguhan, kecintaan, keceriaan dan ketulusan hati seorang isteri/ ibu kepada suami dan anak-anak. Sentuhan dari hati diiringi dengan ucapan basmallah, doa-doa ringkas yang baik dan zikir itulah yang menjadikan makanan yang dimasak oleh isteri/ ibu terasa sangat enak dan dirindui tidak terbandingkan dengan hotel mewah sekalipun.


Acapkali, isteri/ ibu bekerjaya terasa penat seharian di tempat kerja dan apabila pulang terpaksa pula bertungkus lumus di dapur. Maka membeli sahaja makanan menjadi alternatif  selain menjimatkan masa. Sedangkan puteri Rasulullah s.a.w Fatimah Az-Zahra pun mengeluh dan menangis kepenatan menggiling tepung dan kerja rumah lainnya inikan pula kita manusia biasa. Maka Rasulullah s.a.w memujuk dengan menyampai pesanan  kepada puterinya itu agar terus bersabar. Pesanan dan nasihat Rasulullah s.a.w sebenarnya menjadi inspirasi dan motivasi untuk kita supaya lelah yang dirasa dalam mengurus hal ehwal rumahtangga merupakan salah satu jalan menuju ke syurga.


Rasulullah s.a.w memujuk puterinya dengan berpesan,

Wahai Fatimah!, seorang perempuan manapun yang menggilingkan tepung untuk suami dan anak-anaknya, maka Allah S.W.T akan menuliskan suatu kebaikan dan menaikkan darjatnya dari setiap biji gandum yang digilingnya.


Wahai Fatimah!, seorang perempuan yang menggilingkan gandum hingga ia berkeringat, maka Allah S.W.T akan menjauhkan dirinya dari neraka tujuh buah parit.


Wahai Fatimah!, seorang perempuan yang meminyakkan rambut anaknya kemudian menyisir rambut mereka dan mencuci pakaian, nescaya Allah S.W.T akan mencatatkan pahala baginya seperti orang yang memberi makan kepada seribu orang yang lapar dan memberi pakaian kepada seribu orang yang telanjang.


Wahai Fatimah!, seorang perempuan yang yang menghalangi hajat jiran tetangganya, maka Allah SWT akan menghalangi meminum air telaga Kautsar pada hari kiamat.


Wahai Fatimah!, ketahuilah yang paling utama adalah bahawa redha suami adalah redha Allah S.W.T dan kemarahan suami merupakan kemarahan Allah S.W.T.

Wahai Fatimah!, seorang perempuan yang sedang hamil akan dicatatkan kebaikan-kebaikan dan dihapuskan kejahatan darinya serta para malaikat akan beristigfar untuknya.

Wahai Fatimah!, seorang perempuan yang hendak melahirkan anaknya, Allah S.W.T akan mencatatnya sebagai pahala seperti orang yang berjihad di jalan Allah SWT.


Wahai Fatimah!, seorang perempuan yang telah melahirkan anaknya, maka dia terbebas dari dosa-dosa seperti keadaan pada hari dilahirkan oleh ibunya. Dan jika meninggal ia tidak menanggung dosa sedikit pun hingga kuburnya menjadi taman syurga bagi dirinya.

Wahai Fatimah!, seorang perempuan yang melayani suaminya sehari semalam dengan baik, lemah lembut dan ikhlas maka Allah S.W.T akan mengampuni dosa-dosanya dan kelak akan mengenakan pakaian berwarna hijau di syurga dan memberikan kebaikan setiap helai bulu dan rambut yang ada di tubuhnya.


Wahai Fatimah!, seorang perempuan yang tersenyum manis dan lembut dihadapan suaminya akan dipandang Allah S.W.T dengan pandangan penuh rahmat.

Wahai Fatimah!, seorang perempuan yang menyiapkan tempat istirahat bagi suaminya dan menata hias rumah dengan baik hati dan sabar, maka malaikat akan menyeru, ”Teruslah beramal, Allah S.W.T. akan mengampuni dosa-dosamu yang telah lalu dan akan datang.”


Wahai Fatimah! seorang perempuan yang meminyakkan rambut dan janggut suaminya, memotong kumisnya, serta mengguntingkan kukunya, maka Allah S.W.T akan memberinya minuman dari sungai-sungai syurga dan Allah S.W.T memudahkan saat sakaratul mautnya kemudian menjumpai kuburnya bagaikan taman-taman syurga. Selain itu, Allah S.W.T akan menyelamatkan dirinya dari api neraka dan selamatlah ia dari titian shirat.


Pesan-pesan Rasulullah s.a.w mengandungi daya penggerak yang menggetarkan nurani wanita untuk terus tersenyum melakukan tugas-tugas lazim sebagai isteri dan ibu walaupun dalam kepenatan. Antara tugas lazim seorang isteri/ ibu ialah memasak. Justeru, jangan sesekali mengabaikannya kerana air tangan yang mengalir dalam masakan yang disediakan mengandungi hikmah dan manfaat tertentu antaranya mengukuh jalinan cinta suami isteri, mengekalkan kebahagiaan keluarga, mengakrabkan hubungan ibu dan anak-anak dan membentuk peribadi anak-anak agar mudah mendengar kata dan taat.


Semoga dengan usaha-usaha para isteri/ ibu seperti memasak untuk membahagiakan suami dan anak-anak menjadi bakti untuk meraih syurgaNya. Bersyukurlah para isteri/ ibu jika masih berpeluang memasak untuk suami dan anak-anak kerana itulah momen yang akan dirindui sampai bila-bila sedangkan ramai yang mungkin tidak mampu untuk berbuat demikian dengan pelbagai sebab. Ingatlah, antara hikmah terbesar air tangan seorang isteri/ ibu ialah dapat mengukuh ikatan kekeluargaan untuk dikenangi oleh suami dan anak-anak agar sentiasa dekat di hati. Insha Allah dengan izin Allah.



Sunday, 27 November 2016

KESENGSARAAN ROHINGYA YANG DILUPAKAN- Faridah Mohd Tap

Penulis bersama teman-teman advokasi Solidariti Rakyat Rohingya.


Rohingya merupakan etnik yang paling dilupakan di rantau Asia ini. Namun, pembersihan etnik ke atas rakyat Rohingya yang dijalankan secara berkala selang beberapa tahun mendapat liputan hangat dan mendapat pelbagai kecamanan antarabangsa apabila buat sekian kalinya Junta kerajaan Myanmar melaksanakan misi pembersihan etnik ini. Malaysia juga tidak ketinggalan mendesak junta menghentikan misinya dan memberikan pengiktirafan kewarganegaan dan kemanusiaan kepada Rohingya.

Namun begitu, Kerajaan Junta seolah-olah tidak terkesan dengan tohmahan masyarakat dunia yang menentang kekejaman yang dilakukan mereka ke atas etnik Muslim Rohingya ini. Isu Rohingya ini reda seketika sampailah berlakunya satu tragedi yang menarik perhatian dunia sekali lagi. Rohingya dikejami lagi dalam misi pembersihan etnik berkala  oleh Junta Tentera Myanmar.

Empat tahun lepas, konflik yang berlaku di antara etnik muslim Rohingya dan Buddha di Arakan telah menarik perhatian dunia pada pertengahan 2012 apabila dikatakan seorang gadis Rakhine telah dirogol secara sadis oleh etnik Rohingya dan menyebabkan rusuhan berdarah terus berlaku hingga ke saat ini. Ia bermula dengan pembunuhan 10 orang Muslim di Taunggote,  daerah Tongu pada 3 Jun 2012 yang lalu dalam sebuah bas ketika sedang pulang dari majlis tabligh untuk kembali ke Rangoon oleh sekumpulan pengganas dan kumpulan rasis etnik Rakhine. Rentetan dari kes rogol tersebut, puak pengganas Rakhine Buddha telah menyerang semua penduduk Islam di Akyap, ibu negeri Arakan yang digambarkan sebagai terburuk sepanjang beberapa dekad yang lalu.

LATAR BELAKANG PENINDASAN ETNIK MUSLIM ROHINGYA

Menurut Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2009, terdapat 25 peratus daripada populasi Arakan adalah etnik Rohingya. Arakan ini terletak di sebelah Barat Myanmar yang bersempadan dengan Bangladesh. Mereka adalah keturunan daripada para pedagang Arab, Turki, Parsi dan lain-lain yang telah berkahwin dengan penduduk setempat seperti Mughals, Pathan dan Bengali. Kini umat Islam Rohingya merupakan 1/3 daripada jumlah penduduk wilayah Arakan dan selebihnya adalah Buddha Arakanese.

Nasib Etnik Muslim Rohingya mula terumbang-ambing apabila mereka telah disisihkan daripada Arakan sejak pada tahun 1940-an lagi. Keadaan semakin buruk apabila Myanmar dipimpin oleh junta tentera pada tahun 1962. Kepimpinan Junta tidak mengiktiraf etnik Rohingya yang merupakan penduduk asal negeri Arakan tetapi dikatakan sebagai pendatang kerana perbezaan fizikal yang mirip kepada Bangladesh dan Arab.

Etnik ini kemudian terus ditindas apabila dasar fobia Islam (Islamphobia) disalurkan melalui penggubalan Undang-undang Kerakyatan Burma (Burma Citizenship Law) yang disahkan pada 1982. Undang-undang yang bersifat rasis agama dan penuh diskriminasi bukan sahaja menafikan kerakyatan, malah mereka seolah-olah melukut di tepi gantang di tanah air mereka sendiri sehingga menyebabkan ramai etnik Rohingya menjadi pelarian di beberapa negara jiran dan Asia Barat.
Di era 1990-an sahaja, terdapat 86, 900 daripada 94,000 pelarian di Malaysia adalah warga Myanmar di mana 25 peratus daripadanya adalah etnik Rohingya  dan selebihnya adalah etnik Chins dan lain-lain.(Arzura Idris, 2012)


 Antara bentuk pembersihan etnik Roghinya ini adalah:-

Penafian kerakyatan, sijil kelahiran dan sijil perkahwinan mereka.
Perampasan tanah-tanah milik mereka bagi meneruskan projek pembinaan saluran paip gas dan minyak yang merentasi Wilayah Arakan.
Menjadi mangsa perhambaan moden sebagi buruh paksa tanpa dibayar gaji di tapak pembinaan jalan raya, kereta api dan bangunan berek tentera.
Sekatan makanan sehingga menyebabkan mereka hidup dalam keadaan kebuluran.
Penyembelihan beramai-ramai sepertimana pada tahun 1942 dengan kematian lebih daripada 100, 000 akibat dibunuh.
Menghalau serta merta seramai lebih 300, 000 di kalangan mereka ke Bangladesh pada tahun 1978. Malangnya Kerajaan Bangladesh enggan untuk menyediakan makanan dan keperluan lain menyebabkan ramai yang mati akibat kebuluran dan penyakit.
Pada tahun 1991, seramai 268,000 dari etnik ini melarikan diri kerana Myanmar tidak lagi selamat untuk didiami akibat pembersihan entik berkala oleh tentera Myanmar.

Sehingga tahun 2012, kerja-kerja pembersihan etnik Rohingya di Myanmar telah mencatatkan kehancuran jiwa dan prasarana yang besar. Sejumlah 43 kampung penduduk telah diserang dengan 5,915 rumah dibakar, 555 orang mati dibakar, 300 orang cedera parah, 34 masjid dibakar, 4 universiti dan 24 sekolah rosak, 300 penduduk telah ditangkap, 90 ribu orang menjadi pelarian, 500 ribu menderita kelaparan kerana tidak boleh meneruskan aktiviti pertanian, dan 20 ribu orang mendiami pinggiran sungai dan hutan untuk menyelamatkan diri. Fakta terkini belum diperolehi oleh penulis.

KEMPEN ‘CITIZENSHIP FOR ROHINGYA’, ‘INGAT BOLA INGAT ROHINGYA’

Ekoran dari pembersihan etnik yang tidak berperikemanusiaan ke atas etnik Rohingya berdekad lamanya, Abim komited membela nasib etnik Muslim Rohingya dengan melancarkan kempen ‘Citizenship For Rohingya’ dan kempen ‘Ingat Bola Ingat Rohingya’ bagi menyebarkan kezaliman junta ke atas rakyat Rohingya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Menurut Exco penerangannya, Saudara Adli Zakuan Zairakithnaini, advokasi massa isu Rohingya ini agak turun-naik dan bermusim.

"Kita mesti faham isu Rohingya, dan buat penerangan, bengkel di kampus-kampus. Rohingya ini adalah etnik tersendiri, dan orang asal di negeri Arakan. Mereka asalnya adalah rakyat Burma." Ujar beliau dalam sebuah forum ‘Rohingya: The Way Forward’ pada 24 November lalu juga menampilkan wakil aktivis Rohingya, Encik Halimi dan Mr. Sawmee di Dewan Pembangunan Belia, Sekretariat Abim Pusat, Gombak.

Penulis bersama pelajar DPS dalam kempen 'Citizenship for Rohingya pada tahun 2012 lalu.
Justeru itu, Abim mendesak agar Kerajaan Myanmar bertindak lebih adil dengan mengiktiraf kerakyatan etnik Rohingya dengan jaminan hak asasi yang terpelihara selaras dengan Artikel 15 Deklarasi Hak Asasi Kemanusiaan PBB. Pelbagai NGO di Malaysia juga mendesak agar penerima hadiah nobel Aung San Suu Kyi memainkan peranan yang aktif dan agresif dalam keamanan sejagat negaranya. Penerima nobel itu sehingga kini bagaimanapun lebih berdiam diri dan bersifat memilih apabila menyentuh isu Rohingya.





Disediakan oleh,


FARIDAH BINTI MOHD TAP
Pensyarah Jabatan Pengajian Umum,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI, Port Dickson, Negeri Sembilan.

MEMBANGUN EMPAT KEKUATAN MASA MUDA- Faridah Mohd Tap

Generasi muda merupakan aset berharga kepada sesebuah masyarakat dalam membangun ketamadunan bangsanya. Kepentingan generasi muda dapat dilihat menerusi Surah Ar-Rum, ayat 54 yang bermaksud,

“54. Allah-lah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) setelah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) setelah kuat itu lemah (kembali) dan beruban. Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki. Dan Dia Yang Maha Mengetahui lagi Mahakuasa.”

Kalamullah di atas menunjukkan bahawasanya Allah S.W.T dengan kebijaksanaanNya memperlihatkan kepada kita mengenai kekuatan (masa muda) yang diiringi oleh dua kelemahan iaitu; kelemahan ketika kecil dan ketika sudah tua tidak berdaya. Jika bukan kekuatan dari Allah S.W.T, tentu manusia tidak akan sampai pada usia kuatnya dan memiliki kemampuan. Ironinya, jika bertambah kekuatan manusia itu (mencapai usia muda), maka manusia cenderung untuk bersikap sombong dan melampaui batas serta berbuat sesuka hati.

Sehubungan dengan itu, generasi muda harus membangunkan empat kekuatan yang ada padanya untuk dimanfaatkan ke arah pembinaan sesebuah tamadun bangsa yang berjaya; kekuatan idealisme dan realisme, kekuatan intelektualisme, kekuatan spiritualisme, dan kekuatan aktivisme. Generasi muda muslim perlu menjadi manusia terbaik sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w  yang bermaksud, “…..Dan sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi manusia.” (Hadith riwayat Thabrani dan Daruquthni).

Kekuatan idealisme dan realisme

Dengan segala cabaran yang semakin mencengkam generasi muda muslim khususnya cabaran globalisasi yang mengancam ideologi pemikiran, perkara terpenting yang perlu disiapkan adalah membangun keperibadian Muslim dengan idealisme yang berteraskan dengan pandangan hidup ‘Islam sebagai cara hidup yang syumul’.  Pandangan hidup berpaksikan kalimah tawhid ‘La Ila ha Illallah’ ini akan menjadi penggerak kepada segala bentuk aliran kecenderungan, keinginan dan tindakan seseorang pemuda pemudi Islam mengemudi seluruh aspek kehidupannya.

Kita dapat menyaksikan betapa parahnya generasi muda kini akibat serangan idea pemikiran-pemikiran yang lahir dari pemikiran sekularime-pemisahan agama daripada kehidupan manusia- yang menjadi anutan tanpa sedar kebanyakan anak muda kini. Kebejatan masalah sosial dan budaya hedonism merupakan antara kesan fahaman sekular ke atas generasi muda akibat gagal untuk memahami ajaran Islam dengan fahaman yang benar.

Menurut Prof. Dato’ Sidek Baba dalam makalahnya yang bertajuk, ‘Membina Idealisme, Memahami Realiti’, idealism itu dituntut dalam Islam dimana dalam konteks yang luas, idea-idea yang lahir adalah pedoman dari wahyu Allah dalam Al-Furqan. Menurut beliau lagi, idealism itu perlu berpijak di bumi nyata dan disebabkan itu perlu menjadi realis. Ini kerana gandingan kedua-dua ini mencetuskan kebijaksanaan akal dalam menanggapi realiti semasa.

Kekuatan Intelektualisme

Malaysia dihuni hampir 40 peratus generasi muda amat mendambakan generasi muda yang berilmu dan mempunyai keupayaan intelektual yang tinggi untuk meneruskan pembinaan sebuah tamadun bangsa yang gemilang. Sejarah mencatatkan sesebuah tamadun menempuh kegemilanganya apabila masyarakatnya berlumba-lumba membangunkan ilmu sebagai budaya hidup. Kegemilangan tamadun Islam sendiri diabadikan sebagai saksi bahawa ia bermula dengan revolusi keilmuan yang tercetus dari ayat mukjizat Iqra’ bi ‘smi rabbika ‘Iladhi khalaq…, transformasi kemanusiaan dan revolusi kebudayaan yang merubah penggembala unta menjadi ilmuwan cendekia, manusia badawi-jahili menjadi Muslim hadari-madani. (Siddiq Fadzil [2008], Budaya Ilmu Wahana Pemerkasaan Bangsa).

Kekuatan intelektual dan ilmu di kalangan generasi muda dapat membantu mereka untuk menepis segala anasir yang memesongkan peribadi dan jati diri mereka. Generasi muda berbudaya ilmu adalah generasi yang diharapkan mengangkat tinggi nilai ilmu dan menghormati para ilmuwan. Antara langkah untuk membina kekuatan intelektual dan ilmu adalah dengan membaca bahan-bahan ilmiah, mengupas, mengkaji, berbincang dan seterusnya menulis untuk perkembangan ilmu tersebut kepada massa.

Kekuatan Spiritualisme

Kebejatan masalah sosial di kalangan golongan muda sering dikaitkan oleh kelemahan iman seseorang itu. Adalah sangat rugi jika anak muda yang menjadi aset bernilai sesebuah bangsa menghabiskan masanya dengan melakukan perbuatan tidak senonoh. Generasi muda perlu dipersiapkan dengan kekuatan kerohanian sepertimana nukilan hikmah pujangga bangsa,

Bergantung kepada Yang Satu,
Berpegang kepada Yang Esa,
Tuah hidup sempurna hidup,
Hidup berakal, mati beriman,
Malang hidup celak hidup,
Hidup tak tahu halal-haram.

Prof. Dato’ Dr. Siddiq Fadzil mentafsirkan bait ‘Hidup berakal, mati beriman,’ tersebut sebagai rumusan panduan kualiti hidup seseorang Melayu-Muslim yang didasari oleh dua asas penting iaitu kekuatan ilmu dan ketertinggian komitmen keagamaan. Generasi muda harus kembali kepada akar umbi ajaran agama Islam (aqidah, ibadah, syariah dan akhlak) sebagai acuan jati diri dan juga sebagai matlamat akhir kehidupan iaitu husnul khatimah (pengakhiran hidup yang baik) supaya masa muda tidak sesekali disia-siakan.


Kekuatan Aktivisme

Pendekatan aktivisme dapat memanfaatkan tenaga dan masa muda untuk menangani pelbagai isu sosial, alam sekitar, ekonomi dan politik. Generasi muda sinonim dengan sifat ‘darah muda’ dan semangat yang perlu disalurkan kepada aktiviti-aktiviti bermanfaat. Keterlibatan generasi muda kepada program-program sangat diperlukan untuk menjayakan agenda pembinaan negara bangsa.

Dikhabarkan ada peristiwa menarik menjelang perang Yarmuk. Komandan sayap kiri pasukan Romawi, Darnajar mengirim mata-mata ke barisan umat Islam. Setelah tinggal selama satu malam, mata-mata itu melaporkan kepada komandannya, “saya telah bertemu satu kaum yang bangun malam untuk solat, siang hari mereka berpuasa, mengajak kepada kebaikan dan melarang kemungkaran, seperti rahib di malam hari dan singa di siang hari.  Tidak ada yang mencuri di antara mereka kecuali tangannya dipotong, jika ada yang berzina, mereka merejamnya kerana lebih mementingkan kebenaran.”

Maka Darnajar mengatakan, “jika benar yang kamu katakan, perut bumi lebih baik – bagi orang yang memerangi mereka – dibanding permukaannya.”

Perang Yarmouk itu telah dimenangi oleh umat Islam di atas berkat keimanan dan kesabaran mereka dalam menerima gempuran tentera Rowami yang sekali ganda dari tentera umat Islam yang hanya 36 ribu.

Peristiwa di atas dapat kita rumuskan betapa pentingnya keterlibatan dalam menyebarkan Islam sebagai rahmatan lil ‘alamin di awal dakwah Rasulullah s.a.w. Jika tiada kesungguhan aktivisme dakwah dari Rasulullah s.a.w dan para sahabat, para tabiin, dan pendakwah lainnya, sudah tentu kita tidak akan dapat merasai nikmat Islam di negara ini.

Akhirnya, generasi muda yang ideal ialah menjadi ‘manusia yang berguna’ seperti sabda nabawi yang dinyatakan di awal makalah ini. Prof. Dato’ Dr. Siddiq Fadzil menyatakan menjadi manusia berguna ialah menjadi “orang budiman”, iaitu orang yang berakal budi, berbudi pekerti, berbudi bahasa dan banyak berbudi kepada orang lain. Justeru, generasi muda yang terkumpul segala kekuatan kepadanya perlu menjadi seumpama pohon serba guna,

Bagaikan kayu besar di tengah padang,
Rimbun daunnya tempat berteduh,
Kuat dahannya tempat bergantung,
Kukuh batangnya tempat bersandar,
Besar akarnya tempat bersila.


Hidup Biar Berjasa. Wallahu’alam.


Disediakan oleh,

Faridah Mohd Tap,
Pensyarah Jabatan Pengajian Umum,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Prot Dickson.

Tuesday, 4 October 2016

AWAS ANCAMAN FIDOFILIA!- Faridah Mohd Tap

Dalam sebuah laporan berita di Utusan Malaysia bertarikh 17 Mei 2015 berjudul ‘Awas si fidofilia! pakar psikiatri, Jabatan Perubatan Psikologi, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari menyatakan fidofilia merupakan seseorang individu yang kecenderungan seksnya terarah kepada kanak-kanak ataupun remaja di bawah umur 16 tahun.


Tambahnya lagi, “fidofilia bukan semestinya melakukan seks terhadap kanak-kanak tetapi ia menjurus ke arah itu. Dia mungkin berminat sahaja, maksudnya tiada berlaku sebarang sentuhan atau meneruskan keinginan dan kemahuannya. Dipendekkan, seorang dewasa yang mudah terangsang dengan memikirkan dan membayangkan atau dengan melihat gambar kanak-kanak sahaja.”


“Ada sebahagian lagi bertindak balas dengan kencenderungan itu. Contohnya dia mungkin menghampiri kanak-kanak, berbual mesra dan dengan cara itu dia dapat merasakan seolah-olah keinginan seksnya itu dapat dipuaskan daripada bersembang sahaja.


“Kategori akhir pula yang melibatkan kelakukan seksual iaitu hingga ke tahap merogol kanak-kanak,” terang Dr. Muhammad Muhsin dalam laporan berita yang ditulis oleh wartawan, Raja Intan Dianna Raja Azham. Proses yang mudah untuk memiliki dan menonton gambar kanak-kanak yang dieksploitasi menerusi Internet dilihat Dr. Muhammad Muhsin antara punca golongan fidofilia bertambah.


Dalam laporan statistik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 26 peratus kes penderaan kanak-kanak secara seksual telah dilaporkan. Ia telah dibentangkan oleh Fadhlina Sidek, Naib Presiden ABIM pusat sebagai pemula siri advokasi #standupforourchildren anjuran ABIM Pusat pada 3 September lalu dalam kempen kesedaran mengenai ‘Jenayah Seksual dan Mental Terhadap Kanak-kanak’. 


Peratusan itu semakin menakutkan kerana Malaysia dikejutkan dengan pelbagai berita berkaitan jenayah seksual melibatkan kanak-kanak termasuklah rogol, cabul, sodomi, sumbang mahram hinggalah melibatkan kematian kanak-kanak.

Oleh itu, ibu bapa dan pengasuh perlu mendidik anak-anak sejak kecil untuk menjaga tubuh badan mereka daripada dieksplotasi oleh si fidofilia. LIMA anggota yang perlu dijaga rapi daripada sebarang sentuhan berahi ialah:

a) Mulut
b) Leher
c) Dada
d) Punggung/ Kemaluan
e) Peha


Ibu bapa/ Pengasuh perlu menerangkan kepada anak-anak supaya anggota badan mereka khususnya lima yang dinyatakan di atas adalah anggota privasi yang tidak boleh disentuh sewenang-wenangnya untuk berseronok termasuklah ahli keluarga. Anak-anak perlu dididik sentuhan yang salah yang menjurus kepada keseronokan seksual pemangsa. 


Cara paling mudah ialah, ibubapa/ pengasuh meminta kebenaran untuk menyentuh dan membersihkan punggung anak ketika mereka membuang air kecil mahupun air besar. Ini sebagai didikan bahawa tubuh anak-anak adalah privasi mereka. Tips mudah yang lain ialah kita tidak sewenangnya berkongsi gambar anak-anak kepada umum kerana menyantuni hak privasi mereka. Perkongsian gambar-gambar comel dan gelagat anak-anak di internet dilaporkan juga sebagai punca golongan fidofilia semakin bertambah. 


Akhirnya, ibubapa/ pengasuh perlu lebih prihatin sebarang perubahan kelakuan anak-anak. Kerana ancaman fidofilia ada di mana-mana! Semoga anak-anak kita selamat dari ancaman manusia durjana.



Disusun oleh,

FARIDAH MOHD TAP
Pensyarah Jabatan Pengajian Umum,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson.

Lima Ciri-Ciri Pusat Penjagaan Anak-anak Berkualiti- Hidayah Binti Tokiman

Dewasa ini di dada akhbar sering memaparkan pelbagai isu berkaitan tentang pusat penjagaan. Kebimbangan para ibu bapa memuncak apabila terdapatnya pusat penjagaan yang mengambil sambil lewa malahan tidak mementingkan kualiti penjagaan sehingga membawa kemalangan, kecederaan malahan kematian. Perkara ini lebih menyentuh emosi apabila pihak pusat penjagaan seakan tidak mahu bertanggungjawab dan 'lepas tangan' apabila sesuatu perkara buruk terjadi kepada anak-anak di pusat jagaannya. 


Terdapat lima ciri-ciri pusat penjagaan yang boleh dijadikan sebagai garis panduan para ibu bapa dalam memilih pusat penjagaan yang berkualiti:


1. Penjagaan kebersihan perkakas atau perlatan yang digunakan seperti tidak mencampurkan dan perlu diasingkan misalnya penggunaan botol susu, bekas makanan, pakaian juga alatan permainan dibasuh dan dibersihkan mengikut keperluan. Ini dapat menghindarkan kanak-kanak dari jangkitan penyakit.

2. Faktor keselamatan termasuklah keselamatan premis di dalam dan luar bangunan. Keselamatan juga merujuk kepada memenuhi keperluan asas kanak-kanak. Selain itu, keselamatan perlu dengan menyediakan persekitaran fizikal yang membantu dalam proses perkembangan kanak-kanak, ruang yang ceria dan menyeronokkan selain mempunyai sistem pengudaraan dan pencahayaan yang baik.

Kanak-kanak di pusat jagaan Taska Cahaya Tasneem Kolej UNITI
3. Mempunyai jadual dan mampu menyediakan aktiviti yang melibatkan rutin harian. Pusat penjagaan yang berkualiti akan menyediakan aktiviti yang mampu mendidik kanak-kanak untuk berdikari sesuai mengikut umur mereka. Ini sebagai persediaan mereka di masa akan datang.


4. Adanya penglibatan aktif ibu bapa dan ini bergantung kepada ibu bapa. Sekiranya hasil dari pemerhatian mendapati anak-anak berkembang dengan sepenuhnya, maka ibu bapa telah berhasil mendapat pusat penjagaan yang berkualiti. Perkembangan anak yang positif juga banyak dibantu oleh kehadiran kakitangan pusat penjagaan yang berkelayakan dan berpengalaman dalam mengendalikan kanak-kanak. Ini akan meningkatkan lagi kepercayaan ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke pusat penjagaan tersebut.


5. Menyediakan kemudahan atau perkhidmatan lain yang mampu ditawarkan seperti perkhidmatan penjagaan lebih masa, penjagaan di Sabtu Ahad, pakej bayaran yang jelas, pelbagai kemudahan lain seperti kamera litar tertutup, kelas membaca Al-Quran juga program-program pendidikan luar. Ini akan meningkatkan lagi potensi kanak-kanak di tahap maksimum.


Demikian, jelaslah bahawa pemilihan pusat penjagaan yang berkualiti bagi merangsang perkembangan pendidikan awal kanak-kanak adalah sangat penting. Walaubagaimanapun, ianya terpulang kepada ibu bapa. Tawaran diberikan, ibu bapa berhak memilih yang terbaik untuk anak mereka.



Disediakan oleh, 


Hidayah Binti Tokiman,
Pensyarah Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia,
Kolej Uniti Port Dickson