Pages

Monday 9 February 2015

HARI VALENTINE: PEMERKASAAN WATAK BANGSA MELAYU ISLAMIK.

Bulan Februari begitu sinonim sebagai bulan sambutan kasih-sayang antara pasangan kekasih. Tanggal 14 Februari setiap tahun telah diangkat sebagai tarikh manifestasi kasih-sayang itu.


Namunpun begitu, bagi umat Islam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Malaysia Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 telah membincangkan hukum umat Islam menyambut Hari Valentine sebagai haram.

 Pendapat ini disandarkan atas alasan ajaran Islam amat mengutamakan kasih-sayang dan tiada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya.Tambahan lagi, perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur ajaran Kristian selain sambutannya tidak lepas dari maksiat yang mengukuhkan lagi pengharaman sambutannya.

Walaupun pengharaman sambutan Hari Valentine telah diuar-uarkan, umat Islam khususnya muda-mudi tidak segan melanggarnya atas nama membuktikan cinta. Atas alasan itulah, Jabatan Agama dan gerakan-gerakan Islam juga selalu merancang ‘ops maksiat’ setiap kali menjelang 14 Februari dengan bantuan sukarelawan sosial Islam. Hasil serbuan juga menyaksikan jumlah tangkapan yang dibuat kerana percubaan zina di kalangan anak muda Melayu Islam selalu tinggi.

Apa punca anak muda Melayu Islam jadi begini walaupun pendidikan Islam diajarkan lebih 10 tahun semenjak di bangku sekolah rendah?

Menurut Ahmad Mohamad Said dalam bukunya Lintasan Sejarah Bangsa: Jati Diri dan Psikik Melayu (2009), terdapat kolerasi ataupun kaitan antara kelemahan dan kegagalan pelajar dalam subjek Pendidikan Islam dengan permasalahan sosial yang membelenggu golongan muda hari ini.

Menurut beliau lagi, jati diri bangsa Melayu yang Islamik telah terhakis dengan teruknya atas pelbagai faktor seperti sistem feudal Melayu dan penjajahan telah melahirkan psikik golongan Melayu yang lemah dan rapuh. Keadaan semakin meruncing dengan pengaruh persekitaran yang negatif iaitu ‘anti-agama’ dan ‘anti-ketuhanan’ dasawarsa ini menyebabkan keadaan golongan Melayu semakin bertambah teruk.  

Pemerkasaan Watak Bangsa Melayu Islamik.

Ironisnya, sindrom ‘islamphobia’ membelenggu kebanyakkan anak Melayu yang seakan ketakutan dilabel sebagai islamik apatah lagi dipanggil ustaz/ah khususnya golongan muda. Keadaan akan menjadi lebih kritikal apabila bermula 2013 yang lalu, subjek Pendidikan Islam dan Moral untuk pelajar IPTS tidak lagi dijadikan sebagai subjek wajib KPT-MQA.

Implikasinya, pelajar yang terdiri daripada anak muda akan semakin menjauh daripada agama dan moral. Ini menjadi suatu cabaran yang besar dalam usaha pemerkasaan pembentukan watak bangsa Melayu yang Islamik melalui institusi pendidikan formal.

Ramai juga yang tersalah anggar bahawa dengan suburnya fenomena berhijab di Malaysia ini bermakna subur jugalah kefahaman Islam yang benar. Tetapi sebenarnya jika diteliti fenomena hijab lebih didorong atas nama fesyen bukan lahir atas kefahaman agama Islam dan tasawwurnya yang tuntas.


Ini boleh dijelaskan dengan insiden K-Pop dan gadis bertudung baru-baru ini yang menjadi viral di laman sosial dan pelbagai lagi video dan foto yang tidak cocok  seterusnya mencemarkan imej perempuan bertudung.


Maka usaha untuk membina watak bangsa Melayu yang Islamik perlu diperkasakan dalam semua aspek sosio-politik dan ekonomi samaada secara formal mahupun tidak formal. Ia juga perlu dilakukan dengan istiqomah dan berterusan bukan hanya ‘hangat-hangat tahi ayam’. Harapannya, apa jua fenomena yang tidak selari dengan syariat Islam boleh ditepis bukan diserap oleh golongan anak muda Melayu termasuklah sambutan Hari Valentine.



‘Sejahterakan Malaysia dengan dakwah’.

FARIDAH MOHD TAP
Pensyarah Jabatan Pengajian Umum,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI, Port Dickson, Negeri Sembilan.