Pages

Sunday 27 November 2016

KESENGSARAAN ROHINGYA YANG DILUPAKAN- Faridah Mohd Tap

Penulis bersama teman-teman advokasi Solidariti Rakyat Rohingya.


Rohingya merupakan etnik yang paling dilupakan di rantau Asia ini. Namun, pembersihan etnik ke atas rakyat Rohingya yang dijalankan secara berkala selang beberapa tahun mendapat liputan hangat dan mendapat pelbagai kecamanan antarabangsa apabila buat sekian kalinya Junta kerajaan Myanmar melaksanakan misi pembersihan etnik ini. Malaysia juga tidak ketinggalan mendesak junta menghentikan misinya dan memberikan pengiktirafan kewarganegaan dan kemanusiaan kepada Rohingya.

Namun begitu, Kerajaan Junta seolah-olah tidak terkesan dengan tohmahan masyarakat dunia yang menentang kekejaman yang dilakukan mereka ke atas etnik Muslim Rohingya ini. Isu Rohingya ini reda seketika sampailah berlakunya satu tragedi yang menarik perhatian dunia sekali lagi. Rohingya dikejami lagi dalam misi pembersihan etnik berkala  oleh Junta Tentera Myanmar.

Empat tahun lepas, konflik yang berlaku di antara etnik muslim Rohingya dan Buddha di Arakan telah menarik perhatian dunia pada pertengahan 2012 apabila dikatakan seorang gadis Rakhine telah dirogol secara sadis oleh etnik Rohingya dan menyebabkan rusuhan berdarah terus berlaku hingga ke saat ini. Ia bermula dengan pembunuhan 10 orang Muslim di Taunggote,  daerah Tongu pada 3 Jun 2012 yang lalu dalam sebuah bas ketika sedang pulang dari majlis tabligh untuk kembali ke Rangoon oleh sekumpulan pengganas dan kumpulan rasis etnik Rakhine. Rentetan dari kes rogol tersebut, puak pengganas Rakhine Buddha telah menyerang semua penduduk Islam di Akyap, ibu negeri Arakan yang digambarkan sebagai terburuk sepanjang beberapa dekad yang lalu.

LATAR BELAKANG PENINDASAN ETNIK MUSLIM ROHINGYA

Menurut Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2009, terdapat 25 peratus daripada populasi Arakan adalah etnik Rohingya. Arakan ini terletak di sebelah Barat Myanmar yang bersempadan dengan Bangladesh. Mereka adalah keturunan daripada para pedagang Arab, Turki, Parsi dan lain-lain yang telah berkahwin dengan penduduk setempat seperti Mughals, Pathan dan Bengali. Kini umat Islam Rohingya merupakan 1/3 daripada jumlah penduduk wilayah Arakan dan selebihnya adalah Buddha Arakanese.

Nasib Etnik Muslim Rohingya mula terumbang-ambing apabila mereka telah disisihkan daripada Arakan sejak pada tahun 1940-an lagi. Keadaan semakin buruk apabila Myanmar dipimpin oleh junta tentera pada tahun 1962. Kepimpinan Junta tidak mengiktiraf etnik Rohingya yang merupakan penduduk asal negeri Arakan tetapi dikatakan sebagai pendatang kerana perbezaan fizikal yang mirip kepada Bangladesh dan Arab.

Etnik ini kemudian terus ditindas apabila dasar fobia Islam (Islamphobia) disalurkan melalui penggubalan Undang-undang Kerakyatan Burma (Burma Citizenship Law) yang disahkan pada 1982. Undang-undang yang bersifat rasis agama dan penuh diskriminasi bukan sahaja menafikan kerakyatan, malah mereka seolah-olah melukut di tepi gantang di tanah air mereka sendiri sehingga menyebabkan ramai etnik Rohingya menjadi pelarian di beberapa negara jiran dan Asia Barat.
Di era 1990-an sahaja, terdapat 86, 900 daripada 94,000 pelarian di Malaysia adalah warga Myanmar di mana 25 peratus daripadanya adalah etnik Rohingya  dan selebihnya adalah etnik Chins dan lain-lain.(Arzura Idris, 2012)


 Antara bentuk pembersihan etnik Roghinya ini adalah:-

Penafian kerakyatan, sijil kelahiran dan sijil perkahwinan mereka.
Perampasan tanah-tanah milik mereka bagi meneruskan projek pembinaan saluran paip gas dan minyak yang merentasi Wilayah Arakan.
Menjadi mangsa perhambaan moden sebagi buruh paksa tanpa dibayar gaji di tapak pembinaan jalan raya, kereta api dan bangunan berek tentera.
Sekatan makanan sehingga menyebabkan mereka hidup dalam keadaan kebuluran.
Penyembelihan beramai-ramai sepertimana pada tahun 1942 dengan kematian lebih daripada 100, 000 akibat dibunuh.
Menghalau serta merta seramai lebih 300, 000 di kalangan mereka ke Bangladesh pada tahun 1978. Malangnya Kerajaan Bangladesh enggan untuk menyediakan makanan dan keperluan lain menyebabkan ramai yang mati akibat kebuluran dan penyakit.
Pada tahun 1991, seramai 268,000 dari etnik ini melarikan diri kerana Myanmar tidak lagi selamat untuk didiami akibat pembersihan entik berkala oleh tentera Myanmar.

Sehingga tahun 2012, kerja-kerja pembersihan etnik Rohingya di Myanmar telah mencatatkan kehancuran jiwa dan prasarana yang besar. Sejumlah 43 kampung penduduk telah diserang dengan 5,915 rumah dibakar, 555 orang mati dibakar, 300 orang cedera parah, 34 masjid dibakar, 4 universiti dan 24 sekolah rosak, 300 penduduk telah ditangkap, 90 ribu orang menjadi pelarian, 500 ribu menderita kelaparan kerana tidak boleh meneruskan aktiviti pertanian, dan 20 ribu orang mendiami pinggiran sungai dan hutan untuk menyelamatkan diri. Fakta terkini belum diperolehi oleh penulis.

KEMPEN ‘CITIZENSHIP FOR ROHINGYA’, ‘INGAT BOLA INGAT ROHINGYA’

Ekoran dari pembersihan etnik yang tidak berperikemanusiaan ke atas etnik Rohingya berdekad lamanya, Abim komited membela nasib etnik Muslim Rohingya dengan melancarkan kempen ‘Citizenship For Rohingya’ dan kempen ‘Ingat Bola Ingat Rohingya’ bagi menyebarkan kezaliman junta ke atas rakyat Rohingya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Menurut Exco penerangannya, Saudara Adli Zakuan Zairakithnaini, advokasi massa isu Rohingya ini agak turun-naik dan bermusim.

"Kita mesti faham isu Rohingya, dan buat penerangan, bengkel di kampus-kampus. Rohingya ini adalah etnik tersendiri, dan orang asal di negeri Arakan. Mereka asalnya adalah rakyat Burma." Ujar beliau dalam sebuah forum ‘Rohingya: The Way Forward’ pada 24 November lalu juga menampilkan wakil aktivis Rohingya, Encik Halimi dan Mr. Sawmee di Dewan Pembangunan Belia, Sekretariat Abim Pusat, Gombak.

Penulis bersama pelajar DPS dalam kempen 'Citizenship for Rohingya pada tahun 2012 lalu.
Justeru itu, Abim mendesak agar Kerajaan Myanmar bertindak lebih adil dengan mengiktiraf kerakyatan etnik Rohingya dengan jaminan hak asasi yang terpelihara selaras dengan Artikel 15 Deklarasi Hak Asasi Kemanusiaan PBB. Pelbagai NGO di Malaysia juga mendesak agar penerima hadiah nobel Aung San Suu Kyi memainkan peranan yang aktif dan agresif dalam keamanan sejagat negaranya. Penerima nobel itu sehingga kini bagaimanapun lebih berdiam diri dan bersifat memilih apabila menyentuh isu Rohingya.





Disediakan oleh,


FARIDAH BINTI MOHD TAP
Pensyarah Jabatan Pengajian Umum,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI, Port Dickson, Negeri Sembilan.

MEMBANGUN EMPAT KEKUATAN MASA MUDA- Faridah Mohd Tap

Generasi muda merupakan aset berharga kepada sesebuah masyarakat dalam membangun ketamadunan bangsanya. Kepentingan generasi muda dapat dilihat menerusi Surah Ar-Rum, ayat 54 yang bermaksud,

“54. Allah-lah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) setelah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) setelah kuat itu lemah (kembali) dan beruban. Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki. Dan Dia Yang Maha Mengetahui lagi Mahakuasa.”

Kalamullah di atas menunjukkan bahawasanya Allah S.W.T dengan kebijaksanaanNya memperlihatkan kepada kita mengenai kekuatan (masa muda) yang diiringi oleh dua kelemahan iaitu; kelemahan ketika kecil dan ketika sudah tua tidak berdaya. Jika bukan kekuatan dari Allah S.W.T, tentu manusia tidak akan sampai pada usia kuatnya dan memiliki kemampuan. Ironinya, jika bertambah kekuatan manusia itu (mencapai usia muda), maka manusia cenderung untuk bersikap sombong dan melampaui batas serta berbuat sesuka hati.

Sehubungan dengan itu, generasi muda harus membangunkan empat kekuatan yang ada padanya untuk dimanfaatkan ke arah pembinaan sesebuah tamadun bangsa yang berjaya; kekuatan idealisme dan realisme, kekuatan intelektualisme, kekuatan spiritualisme, dan kekuatan aktivisme. Generasi muda muslim perlu menjadi manusia terbaik sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w  yang bermaksud, “…..Dan sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi manusia.” (Hadith riwayat Thabrani dan Daruquthni).

Kekuatan idealisme dan realisme

Dengan segala cabaran yang semakin mencengkam generasi muda muslim khususnya cabaran globalisasi yang mengancam ideologi pemikiran, perkara terpenting yang perlu disiapkan adalah membangun keperibadian Muslim dengan idealisme yang berteraskan dengan pandangan hidup ‘Islam sebagai cara hidup yang syumul’.  Pandangan hidup berpaksikan kalimah tawhid ‘La Ila ha Illallah’ ini akan menjadi penggerak kepada segala bentuk aliran kecenderungan, keinginan dan tindakan seseorang pemuda pemudi Islam mengemudi seluruh aspek kehidupannya.

Kita dapat menyaksikan betapa parahnya generasi muda kini akibat serangan idea pemikiran-pemikiran yang lahir dari pemikiran sekularime-pemisahan agama daripada kehidupan manusia- yang menjadi anutan tanpa sedar kebanyakan anak muda kini. Kebejatan masalah sosial dan budaya hedonism merupakan antara kesan fahaman sekular ke atas generasi muda akibat gagal untuk memahami ajaran Islam dengan fahaman yang benar.

Menurut Prof. Dato’ Sidek Baba dalam makalahnya yang bertajuk, ‘Membina Idealisme, Memahami Realiti’, idealism itu dituntut dalam Islam dimana dalam konteks yang luas, idea-idea yang lahir adalah pedoman dari wahyu Allah dalam Al-Furqan. Menurut beliau lagi, idealism itu perlu berpijak di bumi nyata dan disebabkan itu perlu menjadi realis. Ini kerana gandingan kedua-dua ini mencetuskan kebijaksanaan akal dalam menanggapi realiti semasa.

Kekuatan Intelektualisme

Malaysia dihuni hampir 40 peratus generasi muda amat mendambakan generasi muda yang berilmu dan mempunyai keupayaan intelektual yang tinggi untuk meneruskan pembinaan sebuah tamadun bangsa yang gemilang. Sejarah mencatatkan sesebuah tamadun menempuh kegemilanganya apabila masyarakatnya berlumba-lumba membangunkan ilmu sebagai budaya hidup. Kegemilangan tamadun Islam sendiri diabadikan sebagai saksi bahawa ia bermula dengan revolusi keilmuan yang tercetus dari ayat mukjizat Iqra’ bi ‘smi rabbika ‘Iladhi khalaq…, transformasi kemanusiaan dan revolusi kebudayaan yang merubah penggembala unta menjadi ilmuwan cendekia, manusia badawi-jahili menjadi Muslim hadari-madani. (Siddiq Fadzil [2008], Budaya Ilmu Wahana Pemerkasaan Bangsa).

Kekuatan intelektual dan ilmu di kalangan generasi muda dapat membantu mereka untuk menepis segala anasir yang memesongkan peribadi dan jati diri mereka. Generasi muda berbudaya ilmu adalah generasi yang diharapkan mengangkat tinggi nilai ilmu dan menghormati para ilmuwan. Antara langkah untuk membina kekuatan intelektual dan ilmu adalah dengan membaca bahan-bahan ilmiah, mengupas, mengkaji, berbincang dan seterusnya menulis untuk perkembangan ilmu tersebut kepada massa.

Kekuatan Spiritualisme

Kebejatan masalah sosial di kalangan golongan muda sering dikaitkan oleh kelemahan iman seseorang itu. Adalah sangat rugi jika anak muda yang menjadi aset bernilai sesebuah bangsa menghabiskan masanya dengan melakukan perbuatan tidak senonoh. Generasi muda perlu dipersiapkan dengan kekuatan kerohanian sepertimana nukilan hikmah pujangga bangsa,

Bergantung kepada Yang Satu,
Berpegang kepada Yang Esa,
Tuah hidup sempurna hidup,
Hidup berakal, mati beriman,
Malang hidup celak hidup,
Hidup tak tahu halal-haram.

Prof. Dato’ Dr. Siddiq Fadzil mentafsirkan bait ‘Hidup berakal, mati beriman,’ tersebut sebagai rumusan panduan kualiti hidup seseorang Melayu-Muslim yang didasari oleh dua asas penting iaitu kekuatan ilmu dan ketertinggian komitmen keagamaan. Generasi muda harus kembali kepada akar umbi ajaran agama Islam (aqidah, ibadah, syariah dan akhlak) sebagai acuan jati diri dan juga sebagai matlamat akhir kehidupan iaitu husnul khatimah (pengakhiran hidup yang baik) supaya masa muda tidak sesekali disia-siakan.


Kekuatan Aktivisme

Pendekatan aktivisme dapat memanfaatkan tenaga dan masa muda untuk menangani pelbagai isu sosial, alam sekitar, ekonomi dan politik. Generasi muda sinonim dengan sifat ‘darah muda’ dan semangat yang perlu disalurkan kepada aktiviti-aktiviti bermanfaat. Keterlibatan generasi muda kepada program-program sangat diperlukan untuk menjayakan agenda pembinaan negara bangsa.

Dikhabarkan ada peristiwa menarik menjelang perang Yarmuk. Komandan sayap kiri pasukan Romawi, Darnajar mengirim mata-mata ke barisan umat Islam. Setelah tinggal selama satu malam, mata-mata itu melaporkan kepada komandannya, “saya telah bertemu satu kaum yang bangun malam untuk solat, siang hari mereka berpuasa, mengajak kepada kebaikan dan melarang kemungkaran, seperti rahib di malam hari dan singa di siang hari.  Tidak ada yang mencuri di antara mereka kecuali tangannya dipotong, jika ada yang berzina, mereka merejamnya kerana lebih mementingkan kebenaran.”

Maka Darnajar mengatakan, “jika benar yang kamu katakan, perut bumi lebih baik – bagi orang yang memerangi mereka – dibanding permukaannya.”

Perang Yarmouk itu telah dimenangi oleh umat Islam di atas berkat keimanan dan kesabaran mereka dalam menerima gempuran tentera Rowami yang sekali ganda dari tentera umat Islam yang hanya 36 ribu.

Peristiwa di atas dapat kita rumuskan betapa pentingnya keterlibatan dalam menyebarkan Islam sebagai rahmatan lil ‘alamin di awal dakwah Rasulullah s.a.w. Jika tiada kesungguhan aktivisme dakwah dari Rasulullah s.a.w dan para sahabat, para tabiin, dan pendakwah lainnya, sudah tentu kita tidak akan dapat merasai nikmat Islam di negara ini.

Akhirnya, generasi muda yang ideal ialah menjadi ‘manusia yang berguna’ seperti sabda nabawi yang dinyatakan di awal makalah ini. Prof. Dato’ Dr. Siddiq Fadzil menyatakan menjadi manusia berguna ialah menjadi “orang budiman”, iaitu orang yang berakal budi, berbudi pekerti, berbudi bahasa dan banyak berbudi kepada orang lain. Justeru, generasi muda yang terkumpul segala kekuatan kepadanya perlu menjadi seumpama pohon serba guna,

Bagaikan kayu besar di tengah padang,
Rimbun daunnya tempat berteduh,
Kuat dahannya tempat bergantung,
Kukuh batangnya tempat bersandar,
Besar akarnya tempat bersila.


Hidup Biar Berjasa. Wallahu’alam.


Disediakan oleh,

Faridah Mohd Tap,
Pensyarah Jabatan Pengajian Umum,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Prot Dickson.

Hari Sukan Tabika KEMAS Bistari Kolej UNITI Port Dickson Menjalin Ukhuwwah-Nur Akmar Binti Mohd Arif

Pasir Panjang, 12 November 2016- Tabika KEMAS Bistari Kolej UNITI Port Dickson telah menganjurkan Hari Sukan bertempat di UNITI Village dengan kerjasama Kelab Teachers, Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia (FPPM), Kolej UNITI Port Dickson buat kali yang ke-4  dengan melibatkan kerjasama 12 orang Ahli Jawatan Kuasa Tabika diketuai oleh Pengerusi Tabika KEMAS Bistari Kolej UNITI, En Syazwan Bin Sha’ari.

Displaying IMG_20161112_085925.jpg

Hari Sukan telah dirasmikan oleh Puan Marnisah Binti Fazil Rahman, Penyelias KEMAS Dun Linggi. Sebanyak sembilan permainan yang telah dipertandingkan juga melibatkan penyertaan ibu bapa dan kanak-kanak Tabika KEMAS Bistari Kolej UNITI Port Dickson.

Antara permainan yang diadakan ialah ‘Cari gula dalam tepung!’, ‘Tiup belon kasi pecah!, ‘Bola pingpong & sudu’, ‘Isi air dalam botol’ dan ’Kerusi berirama’ manakala terdapat dua permainan yang melibatkan perlawanan antara ibu bapa iaitu ‘Bowling kelapa’ dan ‘Kupas bawang putih kasi bersih!’. Selain itu, terdapat juga permainan yang melibatkan kerjasama antara ibu bapa dan anak seperti ‘Makan tembikai kasi habis!’ dan ‘Kids Fashion Show!’.

                                                             Displaying IMG-20161112-WA0034.jpg

Syazwan Bin Sha’ari melahirkan rasa syukur dan gembira terhadap penglibatan ibu bapa dalam Hari Sukan Tabika ke-4 ini yang sangat menggalakkan.

”Penglibatan ibu bapa dalam program anjuran Tabika ini adalah sangat penting sebagai tanda sokongan ibu bapa terhadap apa sahaja aktiviti atau program yang dijalankan oleh pihak Tabika. Kanak-kanak juga akan rasa dihargai apabila ibu bapa hadir memberi sokongan terhadap aktiviti yang disertai oleh mereka. Secara tidak langsung juga, program ini dapat mengeratkan ukhuwah antara ibu bapa, kanak-kanak, para guru dan pensyarah serta AJK Tabika ini sendiri.” Jelasnya.

Dekan Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia Kolej UNITI Port Dickson, Siti Zaleha Binti Ahmad berharap agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang. Beliau turut melahirkan rasa bangga terhadap kerjasama yang ditunjukkan oleh Kelab Teachers yang bernaung di bawah FPPM dan AJK Tabika yang terdiri daripada ibu bapa dan pensyarah FPPM dalam memastikan program ini berjalan dengan lancar.

“Penglibatan Kelab Teachers secara tidak langsung memberi pengalaman yang bermakna untuk mereka dalam mengendalikan program yang melibatkan penglibatan ibu bapa. Saya gembira melihat reaksi kanak-kanak yang ceria sepanjang berlangsungnya program ini kerana dapat bersama-sama dengan guru dan ibu bapa dalam program ini. Tahniah juga kepada semua pensyarah yang terlibat dalam menjayakan Hari Sukan ini.” Ujar Siti Zaleha lagi.

Penganjur berharap Hari Sukan ini dapan diteruskan pada masa hadapan demi kepentingan kanak-kanak ini juga.  Secara tidak langsung, program ini telah berjaya mengeratkan ukhuwah sesama warga Tabika Kemas Bistari Kolej UNITI Port Dickson dan Kolej UNITI Port Dickson.

                                Displaying IMG-20161112-WA0107.jpg

Disediakan oleh,


Cik Nur Akmar Binti Mohd Arif
Pensyarah,
Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson


KENALI CIRI-CIRI KANAK-KANAK AUTISME- Syazwani Binti Abd Jalani

Filem 'redha' mengisahkan perjuangan membesarkan seorang kanak-kanak pengidap autisme. 
Autisme merupakan salah satu kategori bagi Orang Kurang Upaya (OKU) di bawah kategori bermasalah dalam pembelajaran. Kanak-kanak atau individu yang menghadapi masalah ini cenderung menumpukan perhatian dalam dunianya sendiri. Seorang ahli psikologi iaitu Leo Kenner (1943), menghuraikan autisme sebagai satu sindrom kumpulan tingkah laku yang unik. Menurut beliau lagi, autisme ini sebagai masalah dalam gangguan afektif, perspektif, persepsi, linguistik, kognitif dan komunikasi. Menurut Hallahan dan Kauffman (1997), autisme merupakan satu kecelaruan yang bercirikan pengasingan diri, tingkah laku mencederakan diri, masalah kognitif, masalah bahasa dan boleh dilihat sebelum berumur 30 bulan (Jamila K. A. Mohamed 2005).


Kanak-kanak yang menghadapi masalah autisme sering menimbulkan kekeliruan kepada penjaganya, kerana kanak-kanak ini kelihatan normal (tidak mempunyai kecacatan fizikal) tetapi dalam masa yang sama memaparkan tingkah laku dan pola perkembangan yang berbeza. Salah fahaman terhadap keadaan ini membawa kepada kelewatan perkembangan yang serius dalam semua bidang perkembangan terutama dalam bidang kemahiran sosial dan komunikasi (Jamila K. A. Mohamed 2005).


Antara punca-punca yang menyebabkan berlakunya masalah ini adalah masalah keturunan atau genetik dan keadaan perubatan ibu semasa bersalin (contoh seperti jangkitan rubella). Pengaruh ubat-ubatan (seperti ubat untuk mencegah rasa mual), kerosakan otak, saiz serebelum yang kecil turut menjadi punca berlakunya masalah autisme (Jamila K. A. Mohamed 2005).


Ciri-ciri bagi kanak-kanak atau individu yang mengalami masalah autisme adalah seperti sukar diajak bercakap dan meniru perbualan atau perkataan lain (ekolalia). Selain itu, mereka suka menarik tangan individu lain apabila ingin meminta sesuatu. Individu dengan masalah autisme ini juga suka bersendirian, bermain secara bersendirian dan tidak wujud kontak mata dan sentiasa mengelak daripada memandang muka orang lain.


       Ciri-ciri lain bagi autisme adalah tidak suka dipegang atau dipeluk (kadangkala termasuk pelukan daripada ibu bapa dan keluarga mereka sendiri) dan kurang sensitif pada rasa sakit atau takut (adakala mereka mencederakan diri sendiri). Tingkah laku bagi individu yang menghadapi masalah ini sama ada hiperaktif atau hipoaktif. Individu ini juga suka melakukan pergerakan atau perbuatan yang sama berulang-ulang kali seperti menggoyangkan dan menepuk tangan. Mereka sering marah, ketawa dan menangis tanpa sebab. Selain itu, jika kemahuan mereka tidak dituruti atau dilarang daripada melakukan sesuatu yang diingininya, mereka akan mengamuk tanpa dapat dikawal (Jamila K. A. Mohamed 2005).


Jika kanak-kanak menunjukkan simptom-simptom atau ciri seperti yang dinyatakan maka segeralah untuk membawa mereka berjumpa dengan pakar bagi tujuan pemeriksaan dan rawatan. Rawatan awal amat perlu untuk mengelakkan masalah yang dihadapi bertambah serius dan seterusnya langkah intervensi dapat diambil bagi membantu dalam memperkembangkan kemahiran dan keupayaan mereka.


       Kanak-kanak autisme boleh berjaya dalam kehidupan mereka. Hal ini kerana terdapat tokoh-tokoh terkemuka yang berjaya seperti Albert Einstein (saintis), Temple Grandin (pakar haiwan), Satoshi Tajiri (pelopor kartun pokemon) turut menghadapi masalah autisme. Galakan dan dorongan daripada keluarga, guru dan rakan-rakan amat diperlukan oleh kanak-kanak atau individu yang menghadapi masalah ini supaya berjaya dalam kehidupan mereka (Sekolah Pulau Aman 2013).


Disediakan oleh,


Syazwani Binti Abd Jalani,
Pensyarah,
Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson


PENGAJARAN BERASASKAN PROJEK-Syarfa’ Husna Binti Mohamad Semsudin

Pengajaran berasaskan projek adalah salah satu pendekatan mengajar yang menarik untuk dilakukan bersama kanak-kanak. Ia juga lebih dikenali dengan PROJECT APPROACH dalam bahasa Inggeris.


Kaedah PROJEK ialah penyiasatan secara mendalam berkaitan dengan topik dunia sebenar agar dapat menarik perhatian murid mengenai topik yang ingin diajar. Melalui pendekatan ini, murid-murid dapat mengaitkan pengalaman luar sekolah dengan aktiviti. Ia juga dapat membantu murid-murid bersedia untuk menjalankan kajian dalam bidang sains dan sains sosial. Hal ini kerana kebanyakan projek tersebut adalah berbentuk sains.

Namun demikian, sekiranya dalam pengajaran kepada kanak-kanak 4 hingga 6 tahun, pelbagai bentuk projek boleh dipelbagaikan. Pendekatan ini mestilah mempunyai langkah-langkah atau urutan dalam melaksanakannya. Pendekatan ini juga perlu diakhiri dengan penilaian kanak-kanak terhadap apa yang telah mereka lakukan.

Dalam melaksanakan pendekatan ini, beberapa langkah sebelum perlu dilakukan iaitu :-

1.      Guru perlulah perkenalkan projek yang ingin dilaksanakan.
2.      Guru perlulah menggalakkan kanak-kanak memberi idea dan  
         cadangan mereka.

Langkah semasa projek dilakukan ialah :-

Galakkan sumbangsaran idea dan membina kesepakatan antara kanak-kanak
Melaksanakan projek
Setiap kanak-kanak memainkan peranan dalam melaksanakan projek dan pembahagian tugas      perlu dilaksanakan
Terdapat skop dan urutan pelaksanaan projek
Menyediakan graf tempoh masa
Menjalankan proses inkuiri, penyelidikan dan pengumpulan data.
Mempersembahkan projek
Penambahan berterusan dan penilaian berterusan
Pengintegrasian teknologi amat digalakkan

Langkah yang perlu diambil selepas projek dilaksanakan :-

Menghargai pencapaian dalam melaksanakan projek
Membuat penilaian terhadap beberapa aspek iaitu kekuatan, kelemahan, kemahiran-kemahiran yang telah dipelajari, pemarkahan oleh guru, penilaian kendiri pelajar dan analisis skor markah yang diperolehi.
Maklum balas daripada rakan-rakan terhadap projek yang dilaksanakan
Menilai kualiti projek
Mencatatkan bukti-bukti kejayaan menyempurnakan projek.


Antara aktiviti yang boleh dilaksanakan dalam pendekatan ini :-

Menanam pokok seperti pokok cili, pokok bendi dan lain-lain.
Memasak sandwich
Menghias cup cake
Membuat bingkai (frame) gambar
Eksperimen sains (meneroka alam)



Disediakan oleh,

Syarfa’ Husna Binti Mohamad Semsudin
Pensyarah,
Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia,
Kolej Uniti Port Dickson

TEKNIK BERCERITA YANG MENARIK- Noor Badriah Zolkffree

Teknik bercerita adalah teknik yang sangat menarik dan mudah digunakan oleh para pendidik dengan tujuan untuk menarik minat kanak-kanak dalam sesi pembelajaran yang dijalankan. Pelbagai matapelajaran boleh diajar menggunakan teknik bercerita. Dengan menggunakan teknik bercerita kita boleh mengasah perkembangan kemahiran mendengar dan dapat menambah perbendaharaan kata kanak-kanak.

Antara teknik-teknik bercerita yang sesuai dengan kanak-kanak ialah :

1. Bercerita menggunakan buku 


  • Buku mempunyai gambar yang berwarna dan menarik.
  • Mempunyai suku kata.
  • Muka surat mengikut kesesuaian umur kanak-kanak (jika umur kanak-kanak kecik maka kurang muka surat dan jika kanak-kanak besar maka muka surat boleh lebih banyak).


2. Menggunakan alat bantu mengajar (ABM)

  • Boneka.
  • Puppet.
  • Permainan.
  • Bahan maujud.


3. Pementasan teater atau drama ringkas


  • Menghidupkan suasana yang seakan-akan dengan realiti (mencipta suasana mengikut jalan cerita yang diperlukan).
  • Memberi watak-watak kepada kanak-kanak.


4. Bercerita secara individu tanpa menggunakan ABM

  • Bercerita hanya melalui suara, mimik muka, ekspresi gerak mata dan juga pergerakan anggota badan.
  • Pencerita harus memastikan kanak-kanak bersedia untuk mendengar cerita.


5. Nyanyian


  • Menyelitkan sedikit nyanyian sepanjang bercerita agar kanak-kanak tidak bosan dan sesi bercerita akan jadi lebih menarik.
  • Membuat pergerakan menari yang ringkas dan mudah.
  • Menyanyikan lagu yang ringkas dan sesuai dengan umur kanak-kanak.
  • Menyanyi dan tarian yang mudah agar kanak-kanak boleh ikut.



Terdapat banyak pilihan teknik penceritaan untuk menyampaikan sesebuah mesej yang boleh digunapakai oleh pendidik. Ia bukan sekadar untuk mencipta momen yang menarik bersama kanak-kanak tetapi ia merupakan sebuah pembelajaran yang efektif untuk membentuk keperibadian seseorang kanak-kanak. Ia juga boleh dimanfaatkan oleh para ibu bapa supaya jalinan kekeluargaan lebih akrab. Sekurang-kurangnya masa yang singkat bersama anak-anak khususnya ibubapa yang sibuk menjadikan ia sebagai masa yang berkualiti dan memberi bekas di minda anak-anak untuk diingat sepanjang mereka membesar. 


Disediakan oleh,

Noor Badriah Binti Zolkffree
Pensyarah Jabatan Pendidikan
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia
Kolej Uniti Port Dickson

PERKEMBANGAN KANAK-KANAK- SYARAH ATIQAH SUDARMA



Sebagai ibu bapa, memang seronok apabila dapat melihat anak-anak membesar dengan sihat dan bijak. Daripada mereka lahir sehinggalah umur mereka empat tahun, pelbagai kerenah dan telatah yang dapat diperhatikan. Ada sesetengah tingkah laku yang mencuit hati dan adakalanya membuatkan kita berasa bangga menjadi ibu bapa mereka. Sebolehnya sebagai ibu bapa kita mahu berada disisi mereka, dapat melihat sendiri perkembangan mereka serta menjadi orang pertama apabila mereka melakukan sesuatu perkara pada pertama kali seperti ketawa, menggangkat kepala, berdiri sendiri memanggil ibu atau ayah dan sebagainya.


Kebiasaan perkembangan awal kanak-kanak dapat diukur daripada pertumbuhan dan perkembangan fizikalnya. Bayi yang baru lahir akan diukur dengan berat dan tinggi untuk dicatatkan dalam carta supaya boleh dijadikan rujukan. Carta yang sama ini digunakan untuk mengetahui sama ada seseorang bayi itu membesar secara normal ataupun tidak.

Menurut Crow dan Crow, perkembangan merupakan perubahan secara kualitatif serta cenderung ke arah lebih baik dari segi pemikiran, rohani, moral dan sosial. Manakala menurut Karl, E. Garisson, perkembangan adalah penghasilan daripada tindakan yang paling berkaitan di antara perkembangan jasmani dan proses pembelajaran.

Perkembangan kanak-kanak ini merangkumi lima asas utama iaitu perkembangan kognitif , fizikal, bahasa, sosial emosi dan estetika serta daya kreatif:

a) PERKEMBANGAN KOGNITIF 

Pada peringkat ini kanak-kanak berupaya mengumpul maklumat dan menyelesaikan masalah. Perkembangan kognitif kanak-kanak berbeza mengikut tahap usia. Interaksi dan komunikasi antara orang dewasa dengan kanak-kanak adalah perlu dan digalakkan. Kanak-kanak memahami dan akan belajar meniru sebutan berbahasa dengan betul setelah melakukan pengumpulan maklumat.

b) PERKEMBANGAN FIZIKAL

Kanak-kanak mengalami perubahan dari segi bentuk dan saiz, kebolehan mengawal pergerakan motor halus dan motor kasar serta koordinasi anggota badan. Motor kasar berkaitan dengan otot-otot kasar seperti merangkak, memanjat, berjalan dan berlari manakala motor halus berkaitan dengan hal yang menggunakan saraf seperti melakar dan melukis

c) PERKEMBANGAN BAHASA

Kanak-kanak akan mengalami perubahan daripada tahap mengeluarkan bunyi-bunyi kepada penerimaan, kefahaman dan mengeluarkan kata-kata sebagai tindak balas kepada rangsangan. Dia akan belajar menyebut apa sahaja yang didengarkannya sama ada melalui percakapan ibu bapa, bahan bacaan yang dibacakan, menonton television dan mendengar radio.

d) PERKEMBANGAN SOSIO EMOSI

Kanak-kanak akan mula belajar bergaul, berinteraksi dan meluahkan perasaan. Mereka semakin membesar dan pastinya perkembangan emosi berbeza seperti gembira dan marah. Asuh kanak-kanak dengan mendengar segala luahan perasaan mereka dan membimbing mereka ke arah emosi yang positif. Jangan biarkan mereka menangis secara berterusan tanpa mengambil berat emosinya. Tenangkan mereka supaya tidak berterusan menangis. Minta mereka meluahkan masalah dan berikan dorongan serta pujian sekiranya mereka boleh menguasai emosinya.

e) PERKEMBANGN ESTETIKA DAN KREATIVITI

Lihat kemampuan kanak-kanak dalam mengembangkan daya kreativiti mereka. Kemahiran ini diperolehi menerusi aktiviti dan projek berkaitan seni visual yang mengutamakan proses, berbanding dengan pengakhiran hasilnya. Proses ini mengaktifkan pemikiran kritikal kanak-kanak dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Selain itu, aktiviti pendidikan seni ini menggalakkan kanak-kanak melakukan eksplorasi dan eksperimen dalam kehidupan seharian


Akhirnya, pengetahuan berkaitan perkembangan kanak-kanak banyak memberi manfaat kepada guru dan ibu bapa itu sendiri dalam membuat keputusan mengenai pembelajaran dan persepsi yang perlu ditegaskan. Oleh itu, kita perlu mengenali semua aspek agar dapat mengetahui kesannya ke atas perkembangan kanak-kanak.


Disediakan oleh,


Syarah Atiqah Binti Sudarma
Pensyarah Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia,
Kolej Uniti Port Dickson

Masalah Uri Di Bawah atau Placenta Previa Semasa Mengandung- Lina Kiam

“Tahniah, puan mengandung!”

 Ungkapan ini merupakan ungkapan keramat bagi setiap pasangan suami isteri lebih-lebih lagi yang telah lama menunggu saat-saat tersebut. Anak merupakan anugerah terindah bagi setiap pasangan suami isteri. Kehadiran anak menyerikan lagi kehidupan berumah tangga. Walaubagaimanapun, ada beberapa keadaan yang berlaku semasa kehamilan menimbulkan rasa tidak selesa dan kerisauan dikalangan bakal ibu. Diantaranya ialah masalah uri di bawah atau istilah perubatannya Placenta Previa.



Uri atau placenta adalah organ yang terdapat di dalam rahim wanita hamil dan bertanggungjawab membawa oksigen dan nutrisi daripada ibu kepada bayinya. Kedudukan uri yang normal berada di tengah atau bahagian atas rahim. Ini bermakna ia jauh daripada kawasan bayi sepatutnya keluar dari rahim. Masalah uri di bawah adalah sesuatu yang normal pada awal kehamilan tetapi apabila kandungan berusia melebihi 28 minggu, kebanyakan uri sudah tertarik ke atas oleh rahim yang semakin membesar. Jika uri ini masih kekal di bawah, keadaan ini dipanggil Placenta Previa (PP).

Tahap keseriusan Placenta Previa dibahagikan kepada empat jenis iaitu jenis pertama, uri berada di kedudukan bawah tanpa menutup pintu rahim. Jenis kedua, uri berada di bahagian rahim dan di pintu rahim. Jenis ketiga, uri menutupi sebahagian pintu rahim dan jenis keempat, uri menutupi keseluruhan pintu rahim. Sekiranya wanita mengalami PP jenis keempat, terdapat risiko tinggi kelahiran pramatang dan pendarahan. Pendarahan boleh menjadi terlalu banyak dan membahayakan nyawa ibu dan bayi yang dikandung.

Punca berlakunya PP tidak diketahui. Namun terdapat beberapa keadaan yang meningkatkan risiko PP iaitu wanita yang mempunyai sejarah kelahiran secara pembedahan sebelum ini, wanita yang melahirkan anak secara kerap dan bilangan yang ramai, wanita muda di bawah umur 20 tahun, merokok semasa hamil dan kandungan kembar. Wanita yang mengalami PP kebiasaannya mengalami kedudukan bayi tidak normal (mungkin melintang, songsang atau oblik).

Rawatan untuk masalah PP hanyalah rehat yang secukupnya dan di bawah pemantauan doktor terutama PP jenis tiga dan empat di hospital. Hal ini kerana PP jenis tiga dan empat mempunyai risiko yang tinggi mengalami pendarahan. Seterusnya kaedah bersalin yang paling selamat bagi wanita PP adalah pembedahan dan boleh dilakukan seawal kandungan 37 minggu. Sekiranya berlaku pendarahan dalam tempoh sebelum 37 minggu, kebiasaannya doktor akan melakukan pembedahan bagi menyelamatkan nyawa ibu terlebih dahulu.

Kesimpulannya, permasalahan yang berlaku sepanjang proses kehamilan insan yang bergelar ibu berbeza-beza. Permasalahan ini merupakan pengalaman yang paling indah dan tidak dapat dilupakan sampai bila-bila. Permasalahan ini juga memberikan ilmu pengetahuan yang baru bagi bakal-bakal ibu. Placenta Previa merupakan permasalahan yang berlaku di kalangan bakal ibu dan permasalahan ini boleh menjadi permasalahan serius sekiranya bakal ibu tidak mengambil berat tentang permasalahan tersebut.



Disediakan oleh,

Lina Binti Kiam,
Pensyarah Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia
Kolej UNITI Port Dickson.