Pages

Thursday 28 December 2017

Kenapa Bermain Penting Buat Kanak-kanak? I Kolej UNITI Port Dickson

Pendekatan belajar sambil bermain di tadika atau taska semakin diterima oleh masyarakat di Malaysia. Pendekatan ini dilihat sangat berkesan dalam membantu kanak-kanak dalam pembelajaran dan perkembangan mereka berbanding pembelajaran secara formal. 

Ihsan imej: Google Pics


Terdapat banyak kajian yang telah dijalankan oleh tokoh-tokoh terkenal terdahulu mengenai aktiviti bermain ini, antaranya ialah Vygotsky. Beliau menyatakan bahawa bermain membantu perkembangan bahasa  dan pemikiran kanak-kanak.

Selain itu kaedah bermain juga dapat memberi kebebasan kepada kanak-kanak untuk meluahkan tekanan dalam menghadapi dunia sebenar.

Bermain terdiri daripada beberapa jenis antaranya:

1) solitary play (bermain sendirian),
2) parallel play (bermain bersama-sama),
3) associative play (main gabungan) dan
4) cooperative play (bermain berkumpulan).

Bagi seseorang kanak-kanak, bermain adalah satu pekerjaan bagi mereka.

Secara kasarnya, kebanyakan orang melihat belajar sambil bermain ini hanya main semata-mata dan tidak mendatangkan faedah, akan tetapi, melalui pendekatan ini sebenarnya dapat meningkatkan perkembangan menyeluruh kanak-kanak dari pelbagai aspek.

Sebagai contoh subjek Matematik mengira nombor, kebiasaannya belajar menggunakan latihan buku dan papan tulis boleh ditukarkan dalam bentuk permainan seperti permainan “Bowling Nombor”, dimana kanak-kanak boleh belajar bermain bowling sambil belajar mengira nombor mengikut jumlah pin yang jatuh.

Pendekatan tersebut merupakan pendekatan secara “child-centered” dan banyak aktiviti “hands-on”, dimana kanak-kanak melakukan sendiri dan guru hanya membimbing dalam aktiviti.

Apabila kanak-kanak sendiri yang melakukan dan menerokai sesuatu, pembelajaran tersebut lebih bermakna.

Jadi sebagai guru, perlulah bijak merancang dan menyediakan bahan bantu mengajar yang bersesuaian dengan tema atau tajuk yang ingin diajar dan peringkat umur kanak-kanak supaya pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar dan objektif pembelajaran tercapai.

Selain itu, ibubapa juga telah semakin sedar tentang pendekatan bermain ini dapat membantu anak-anak mereka dan banyak hasil kerja tangan dan aktiviti yang dibuat sendiri seperti busyboard, busybook, kinetic sand dan sebagainya untuk anak-anak mereka main.

Melalui aktiviti tersebut, perkembangan motor halus, motor kasar, daya tumpuan dan kemahiran menyelesaikan masalah dapat ditingkatkan.

Tambahan lagi, dengan bermain, kanak-kanak dapat berimaginasi, berkreativiti, berdikari, meningkatkan tatabahasa dan pertuturan antara guru dan rakan sebaya, mendengar arahan, bekerjasama dalam aktiviti berkumpulan.

Kesimpulannya, bermain adalah fitrah kanak-kanak. Apabila pengajaran dan pembelajaran yang ingin disampaikan selari dengan fitrah mereka, maka pembelajaran itu lebih bermakna, seronok dan menjadi lebih mudah.

Disediakan Oleh:

PUAN NUR SHAFIQA BINTI MOHTAR
PENSYARAH,
JABATAN PENDIDIKAN,
FAKULTI PENDIDIKAN DAN PEMBANGUNAN MANUSIA,
KOLEJ UNITI PORT DICKSON

TAHUKAH ANDA? Penduduk Lelaki lebih ramai daripada penduduk wanita di Malaysia.

Tahukah kalian bahawa jumlah penduduk lelaki masih lagi mendahului penduduk wanita di Malaysia? Menurut statistik bancian penduduk Malaysia 2010, 51.5 peratus adalah penduduk lelaki berbanding 48.5 peratus penduduk wanita. Penduduk lelaki dijangka berterusan mendahului penduduk perempuan hingga tahun 2040 dengan sedikit penurunan peratus kepada 50.8.

Persoalannya, sejauhmana para lelaki ini dibina potensi diri mereka seperti yang dimaksudkan didalam Al-Qur’an dimana Allah berfirman maksudnya, “kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu, maka wanita yang soleh ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, kerana Allah telah memelihara mereka. (Surah An-Nisa’: ayat 34).

Justeru, kita perlu memandang serius kepada gejala keciciran lelaki dalam pendidikan dengan mengenal pasti dan membina potensi secara tepat dan efektif bersesuaian dengan fitrah sebenar mereka sebagai ‘pemimpin’. Ini ternyata benar apabila merujuk kepada kalamullah tentang perbezaan cara pendidikan kanak-kanak lelaki dan perempuan yang bermaksud “maka tatkala isteri ‘Imran melahirkan anaknya, dia pun berkata, “ya Tuhanku, sesungguhnya aku melahirkan seorang anak perempuan; dan Allah lebih mengetahui apa yang dilahirkannya itu; dan anak lelaki tidaklah seperti anak perempuan…” (Surah Al-‘Imran: ayat 36).

Menurut Michael Gurian bersama Kathy Stevens (2011) dalam buku berjudul ‘Boys and girls learn differently: a guide for teachers and parents’, kanak-kanak lelaki perlu dibantu menjadi lelaki sebenar apabila dewasa dengan membantu mereka mencari anugerah semulajadi dan memanfaatkan anugerah berharga tersebut kepada masyarakat. Ia merupakan usaha murni bagi membantu memperkasa potensi ‘heroic’ lelaki seawal mereka kanak-kanak untuk tujuan yang lebih besar iaitu menjadi pemimpin kepada masyarakat dalam semua lapangan.

Pendedahan Tujuan

Untuk itu, kanak-kanak lelaki perlu diberikan pendedahan tentang tujuan mereka dicipta sebagai lelaki yang digariskan dalam Al-Qur’an iaitu sebagai pemimpin. Kesan daripada kehilangan tujuan dalam diri mereka akan menyebabkan tahap kematangan yang lambat, keciciran dalam pelajaran, tidak dapat membina perasaan yang jelas tentang kepentingan peranan mereka dalam pendidikan dan sosial, serta terlibat dalam keganasan.

Keterlibatan lelaki dalam aktiviti-aktiviti keganasan adalah manifestasi sifat kelakian mereka yang sukakan kepada aktiviti lasak, agresif,‘thrill’ dan mendominasi tetapi ia tersasar jauh daripada yang sepatutnya iaitu menjaga keluarga dan survival masyarakat daripada ancaman bahaya. Ini terjadi apabila mereka hilang tujuan kenapa mereka dijadikan sebagai lelaki di dunia ini.

Oleh itu, bagaimana mahu membangunkan kanak-kanak lelaki yang ada tujuan?  Menurut Gurian (2011), ibubapa dan guru perlu memandu biologi kanak-kanak lelaki untuk mengetahui dan memahami tujuan kejadian mereka, membantu mereka membina empati, dan mengurus kekuasaan secara sihat atau istilah lainnya ‘aggression nurturance’. Sebagai contoh, kanak-kanak lelaki sering terlibat dengan pergelutan fizikal untuk menunjukkan kekuasaan dan kekuatan fizikal.

Kanak-kanak lelaki perlu dididik supaya menguruskan kekuasaan tersebut secara sihat seperti mengadakan pertandingan yang boleh menguji sifat ‘heroic’ mereka sebagai lelaki. Bagi yang kalah dalam pertandingan, ia juga sebenarnya boleh membantu kanak-kanak lelaki untuk membina kekentalan jiwa, kekuatan fizikal, mental dan emosi yang akan menjadi asas kepada masa depan yang berjaya, kecemerlangan prestasi, tujuan dan keterlibatan dalam kehidupan bermasyarakat.   

Kesimpulannya, kajian menunjukkan kanak-kanak lelaki banyak belajar melalui bermain. Pembelajaran melalui aktiviti bermain akan menjadi pengalaman kepada mereka dalam membangunkan sifat-sifat kepimpinan, menjadikan mereka lebih empati dan mempunyai tujuan dalam hidup. Oleh itu, ibu bapa dan institusi pendidikan khususnya perlu celik tentang keperluan kanak-kanak dan pelajar lelaki supaya potensi ‘heroic’ dalam diri mereka dapat dibangunkan untuk manfaat agama, masyarakat dan negara dan isu keciciran pelajar lelaki dalam pelajaran dapat diatasi.

Disediakan oleh,

PUAN FARIDAH BINTI MOHD TAP
Ketua Jabatan Pengajian Umum,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Kolej UNITI, Port Dickson.


Monday 11 December 2017

GURUKU- GUS MUS (SASTERAWAN TERKENAL NUSANTARA)



GURUKU

***

Oleh: KH A Mustofa Bisri 


Ketika aku kecil dan menjadi muridnya

Dialah di mataku orang terbesar dan terpintar

Ketika aku besar dan menjadi pintar

Kulihat dia begitu kecil dan lugu

Aku menghargainya dulu

Karena tak tahu harga guru

Ataukah kini aku tak tahu

Menghargai guru?


Pensyarah Kolej UNITI Port Dickson Ambil Peduli Banteras Jenayah Seksual Kanak-kanak- Faridah Mohd Tap

Peserta bergambar bersama panel (tengah) di akhir kursus.
30 November-  Sekitar 50 orang pensyarah dari Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia (FPPM) dan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan (FTK) telah mengikuti kursus Pengurusan Emosi dan Literasi Undang-undang Kekeluargaan dan Kanak-kanak anjuran kerjasama kedua-dua fakulti tersebut sebagai wahana pencerdasan dalam pengukuhan institusi kekeluargaan dan masyarakat mendepani cabaran semasa yang semakin rencam.

Tiga orang panel telah diundang khas bagi menjayakan kursus terdiri daripada Ustazah Zawiah binti Hassan, penceramah bebas yang tidak asing lagi di Malaysia, Puan Norazla binti Abdul Wahab, Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Saudara Khairul Anuar bin Abdul Manap, mewakili Pertubuhan Pemerkasaan Keluarga (FAME) selaku setiausaha. Ketiga-tiga panel memberi penekanan kepada pengurusan emosi dan pencerdasaan undang-undang melibatkan keluarga dan kanak-kanak.

Ustazah Zawiah Hassan yang juga merangkap mantan Ketua Pendaftar JAWI menyentuh tentang peri pentingnya pengurusan emosi dengan berkongsi realiti kes-kes keretakan rumahtangga akibat desakan emosi yang tidak stabil berdasarkan pengalaman beliau sepanjang 29 tahun berkhidmat.

Ustazah Zawiah Hassan berkongsi tips membahagiakan keluarga
Beliau turut berkongsi bagaimana membina motivasi dalaman untuk menjadi seorang pekerja yang baik dengan menekankan konsep syukur dan kerjaya sebagai ibadah.  "Apabila keluarga bahagia secara tidak langsung terjelma dalam kerjaya yang berjaya. Itulah kehidupan yang barakah." Rumus beliau pada sesi pertama kursus tersebut.

Berikutnya, para pensyarah juga telah diberikan pendedahan terkini berkaitan Akta Kanak-kanak 2001 dan Jenayah Seksual serta langkah pencegahannya oleh gandingan ahli akademik dan aktivis kanak-kanak, Puan Norazla dan Saudara Khairul Anuar.

Gandingan Puan Norazla dan Sdr Khairul Anuar 
Beberapa terma baru juga didedahkan kepada peserta kursus seperti 'Kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-udang' bagi merujuk kepada kanak-kanak bawah umur yang terlibat dalam perlakuan jenayah serta peri penting masyarakat melaporkan kes-kes kepada kepada pihak berkuasan agar jenayah terhadap kanak-kanak dapat dibanteras oleh Puan Norazla.

Peserta juga didedahkan dengan kewujudan Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-kanak yang telah beroperasi sepenuhnya di Putrajaya pada 1 Julai 2017 yang lalu.

Manakala, Saudara Khairul Anuar mewakili Badan Bukan Kerajaan berkongsi beberapa kes jenayah seksual dan pengabaian kanak-kanak. Beliau memberi penekanan agar ibubapa dan pendidik kanak-kanak sentiasa cakna dengan persekitaran dan individu di sekeliling mereka. Beliau turut menegaskan bahawa kanak-kanak perlu dinasihat agar sentiasa berhati-hati dengan semua orang bukan lagi kepada orang asing kerana banyak kes rogol yang berlaku melibatkan pelaku yang dikenali mangsa kanak-kanak tersebut.


"Penganjuran kursus ini sebenarnya merupakan usaha fakulti bagi mendedahkan kepada peserta tentang pengurusan emosi yang baik agar dapat mencipta persekitaran keluarga dan kerjaya yang bahagia dan berjaya. 

Selain itu, sesuai dengan gagasan FPPM yang menawarkan program-program diploma pendidikan pra sekolah dan asuhan awal kanak-kanak, pendidikan Islam sekolah rendah dan psikologi kaunseling, maka slot literasi undang-undang berkaitan kanak-kanak dan jenayah terhadap mereka juga diberikan. Seterusnya, perkongsian daripada kursus ini mereka turunkan pula kepada pelajar-pelajar dan anak-anak taska dan tadika agar jenayah seksual kanak-kanak dapat dibanteras dengan keterlibatan semua pihak. Ia juga bertepatan dengan komitmen kerajaan dalam menangani isu kanak-kanak ini." Jelas penganjur.



Disediakan oleh,


Puan Faridah Mohd Tap
Setiausaha,
Kursus Pengurusan Emosi dan Literasi Undang-undang Kekeluargaan,
Kolej UNITI Port Dickson.


Galeri Foto:



















Product Info: Diploma Pendidikan Islam Sekolah Rendah (DPISR) Kolej UNITI Port Dickson







Kenyataan Media: Amali Dalam Pendidikan Islam Bantu Murid Hayati Ajaran Islam


Rentetan daripada tindakan Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan untuk mewajibkan murid-murid mendirikan solat secara berjemaah telah mengundang polemik apabila segelintir pertubuhan dan individu tidak senang mengenainya.

Justeru, Kementerian Pendidikan Malaysia dengan segera memuatnaik sebuah kenyataan media di laman web rasminya berjudul, 'Amali Dalam Pendidikan Islam Bantu Murid Hayati Ajaran Islam' bagi menjawab segala kekeliruan yang timbul.

Bagaimana pula reaksi Admin Blog Fakulti FPPM Kolej UNITI Port Dickson ini?

Sejujurnya, admin mengucapkan syabas kepada kepantasan tindakan KPM menjawab isu ini. Pada hemat admin, tindakan sekolah mewajibkan pelajar menunaikan solat jemaah sebelum pulang ke rumah merupakan satu pendekatan pendidikan yang berhikmah.

Pelajar bukan sahaja menunaikan solat, malah pelajar juga akan belajar pelbagai nilai-nilai yang ada didalam solat itu seperti ukhuwwah, hidup beragama sebagai paksi kehidupan seharian, ketepatan waktu dan semua sifat mahmudah yang lain.

Sewaktu Admin bersekolah rendah (Johor), menjadi kelaziman apabila azan berkumandang, para murid sekolah agama kerajaan dan ustaz/ah akan bersiap sedia pergi ke masjid (sebelah sekolah) untuk menunaikan solat berjemaah.  Begitu juga, pelajar sekolah menengah yang turut sama terletak berhadapan masjid. Pelajar diiringi guru dalam keadaan berbaris memasuki perkarangan masjid untuk mendirikan solat. Kemudian, apabila sekolah telah ada surau sendiri yang besar, pelajar akan menunaikan solat apabila tiba waktunya secara berjemaah.


Tindakan mewajibkan solat berjemaah merupakan penawar kerana masyarakat dunia dalam New Age Movement atau juga IR 4.0 kini beransur-ansur kembali kepada nilai-nilai murni dan keagamaan. Dalam keadaan dunia semakin tenat dengan pelbagai isu kemanusiaan dan alam yang menggusarkan banyak pihak, solat merupakan salah satu kunci penyelesaian kepada semua masalah yang timbul.



Nota:


Kolej UNITI Port Dickson, kami turut menawarkan Program Diploma Pendidikan Islam Sekolah Rendah (DPISR) sebagai peneraju kepada pendidikan Islam sekolah rendah pertama di Malaysia.

Berminat?

Hubungi Admin di ruangan komen @ WA di talian 013-611 5468.


Anak-Anak Taska Cahaya Tasneem Sertai Program Latihan Kebakaran Kolej UNITI Port Dickson


21 November 2017 – Satu program Latihan Kebakaran anjuran Hal Ehwal Pelajar Kolej UNITI telah diadakan bertempat di Dewan Za’ba, UNITI Village. Program yang melibatkan penyertaan semua staf dan pelajar Kolej UNITI ini turut disertai oleh guru dan anak-anak Taska Cahaya Tasneem Kolej UNITI Port Dickson.


Program ini diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada warga Kolej UNITI Port Dickson tentang tindakan yang perlu diambil ketika berlaku kebakaran, mulai dari saat penggera kebakaran berbunyi serta kedah memadamkan api dengan bimbingan pihak Jabatan Bomba Dan Penyelamat.


Menariknya, anak-anak TCT turut hadir bersama dalam program latihan ini, malah sangat seronok dapat berkumpul dan mendengar taklimat daripada pihak Jabatan Bomba Dan Penyelamat. Anak-anak kecil ini juga boleh dan bersedia mengikut arahan guru untuk keluar melalui pintu kecemasan dengan bimbingan guru apabila penggera kebakaran dibunyikan.


Aktiviti demonstrasi memadam api juga menarik perhatian kanak-kanak yang terlibat. Selain dapat melihat demonstrasi cara memadamkan api oleh pihak Jabatan Bomba, si cilik ini juga berpeluang melihat guru mereka mensimulasikan kaedah memadam api. Pastinya tepukan gemuruh dan sorakan kecil anak-anak TCT memecah keheningan meraikan kejayaan guru mereka dapat memadam api kebakaran.


Selain itu, anak-anak TCT diberi peluang juga untuk menaiki lori bomba dan bergambar kenangan bersama. Sekembalinya dari program ini, keterujaan anak-anak kecil ini sangat terserlah apabila mereka petah berbicara tentang keseronokan menyertai program Latihan Kebakaran ini. Pastinya pengalaman selama satu jam bersama pihak Jabatan Bomba Dan Penyelamat dalam latihan kebakaran ini meninggalkan satu pengalaman pembelajaran yang menggembirakan dan bermakna pada anak-anak TCT.


Galeri Foto:












                                     

Disediakan Oleh,

Nur Akmar Binti Mohd Arif
Pensyarah,
Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson

LIMA SEBAB MENGAPA PERLU MEMILIH PLAYSCHOOLS- Nurshaqila bt. Toha

Ihsan imej: google
Program Playschools telah bermula sejak tahun 1966 iaitu tiga tahun sebelum program legenda, Sesame street ditayangkan kepada kanak-kanak  di seluruh dunia. Jadi playschools bukanlah perkara yang bukan asing, kerana dewasa ini program playschools hebat diperkatakan oleh ibu bapa terutamanya pasangan ibu bapa muda yang mengalami keterbatasan waktu dan perhatian bersama anak-anak mereka.


Menerusi pembacaan atau pendedahan melalui program keibubapaan, Program playschool  mula meningkatkan kesedaran ibu bapa tentang pentingnya pendekatan bermain ini didedahkan kepada anak-anak sejurus mereka mula belajar, sekitar usia enam bulan ke atas dan kesannya terhadap perkembangan anak-anak.


Walau bagaimanapun, tidak dinafikan terdapat tentangan dari generasi-generasi tua tentang isu terlalu awal untuk anak-anak dihantarkan ke sekolah atau pun ianya satu pembaziran menghantar anak-anak ke sekolah dengan bayaran cuma untuk kanak-kanak ini menghabiskan masa untuk bermain. Tidak kurang juga yang memandang serong sesetengah ibu bapa yang menghantar anak mereka ke playschools sebagai golongan yang “gedik” kerana menginginkan prestasi anak mereka jauh lebih hebat dari anak orang lain.  Bagi merungkai spekulasi yang semakin tular dalam masyarakat kita tentang keperluan playschools,  mari kita rumuskan keperluan sebenar kanak-kanak dan sebab sebenar untuk ibu bapa memilih playschools. 


1. Kanak-kanak belajar melalui bermain

Bermain dan kanak-kanak adalah fitrah yang tidak dapat dipisahkan. Kebanyakan ibu bapa lebih senang melihat anak-anak mereka menghabiskan masa dengan belajar tanpa mereka sedari dengan bermain sebenarnya kanak-kanak ini mendapat manfaat yang lebih dari pelbagai sudut perkembangan. Menurut Jean Piaget dalam kajiannya menegaskan bahawa main adalah ciri-ciri yang membantu kanak-kanak meningkatkan perkembangan mereka dan juga memperoleh pengalaman yang dikenali sebagai asimilasi dan akomodasi. Kebanyakan aktiviti yang dijalankan di bawah program playschool menggalakkan kanak-kanak untuk bermain secara pelbagai, termasuklah aktiviti seperti menyelesaikan masalah dan reka cipta. Menerusi bahan permainan pembelajaran Artera, kanak-kanak dapat meluaskan lagi imaginasi mereka dalam membina, mereka cipta dan bermain dengan baik menerusi kompenen-kompenen menarik yang disediakan.


2. Menggalakkan pendidikan interaktif sambil bermain.


Playschools, seperti yang digambarkan, ianya menggalakkan sepenuhnya pendekatan bermain. Tiada jadual yang ketat, pembelajaran yang berat serta memberi kebebasan untuk kanak-kanak belajar tentang persekitaran melalui interaksi yang aktif di kalangan rakan-rakan dan guru. Menerusi pendidikan ini, kanak-kanak dapat mempelajari perbezaan tentang warna-warna, bentuk serta objek-objek yang berada di persekitaran mereka.


3. Mengukuhkan kemahiran motor halus dan motor kasar. 

Motor halus merupakan gerakan-gerakan kecil yang menggunakan anggota badan manakala motor kasar merupakan gerakan-gerakan besar seperti berjalan, berlari dan sebagainya. Melalui bermain, kanak-kanak dapat memaksimumkan pencapaian mereka dalam perkembangan fizikal. Gerakan-gerakan halus dan kasar ini merupakan titik tolak untuk kanak-kanak ini mengukuhkan kemahiran mereka untuk mencapai satu perkembangan yang lain.


4. Mengukuhkan perhatian dan tumpuan kanak-kanak.


Berdasarkan nisbah guru yang lebih besar berbanding sekolah-sekolah awam, guru mempunyai lebih ruang untuk menumpukan lebih perhatian kepada kanak-kanak. Guru dan kanak-kanak dapat menjalinkan satu perhubungan yang lebih rapat dan bermakna. Hubungan yang terjalin dapat membantu kanak-kanak lebih peka tentang sosio emosi antara rakan-rakan dan guru. Ini dapat membantu kanak-kanak lebih fokus dalam memainkan peranan sebagai rakan dan murid serta menerima arahan untuk tugasan-tugasan kecil sewaktu sesi bermain.


5. Membina keyakinan dan kemahiran komunikasi 


Melalui aktiviti bermain juga, kanak-kanak akan melalui fasa berkomunikasi dengan rakan-rakan di sekitarnya. Aktiviti ini selalunya berlaku dalam proses tawar menawar barangan permainan, alatan tulis dan sebagainya. Semakin banyak patah kata yang dituturkan, semakin meningkat lah kemahiran berkomunikasi kanak-kanak. Selain dari sesi perbualan, kemahiran komunikasi juga dapat dilihat dari cara kanak-kanak bermain secara berkumpulan. Aktiviti-aktiviti menggunakan bahan seperti Artera banyak dapat membantu kanak-kanak untuk mengukuhkan kemahiran bermain secara kumpulan.


Berikut adalah serba sedikit perkongsian tentang program playschools yang ditawarkan kepada kanak-kanak di bawah usia 4 tahun. Sebagai ibu bapa, anda haruslah bijak dalam menentukan hala tuju buat anak-anak anda, tetapi harus juga di ingatkan, berilah peluang untuk anak-anak anda untuk menikmati usianya.



Disediakan Oleh,

Nurshaqila bt. Toha,
Pensyarah,
Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson.

Sunday 10 December 2017

Ucapan Khas Timbalan Dekan bersempena Hari Kanak-kanak Sedunia- Puan Hidayah Tokiman

Konvensyen Hak Kanak-Kanak mengesahkan keperluan bagi perlindungan undang-undang dan perlindungan yang lain kepada kanak-kanak sebelum dan selepas lahir, kepentingan hormat kepada nilai kebudayaan komuniti kanak-kanak dalam menjamin hak kanak-kanak. Di Malaysia konvensyen ini telah diterima pakai pada 17 Februari 1995 yang telah ditandatangi oleh Perdana Menteri pada 28 Disember 1994 yang merupakan sebuah perjanjian antarabangsa yang bertunjangkan kepada kepentingan dan hak asasi kanak-kanak.
ihsan imej: google


Rentetan itu sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia buat kali pertama oleh UNICEF (United Nations Children’s Fund) pada tahun 1954 dan pada tahun 1959 Hari Kanak-Kanak Sedunia telah diistiharkan dan disambut pada tiap-tiap tahun pada mana-mana hari Sabtu dalam bulan Oktober di Malaysia. Sambutan ini sebagai satu penghormatan dan pengiktirafan kepada golongan kanak-kanak yang diharap dapat memberi kesedaran kepada masyarakat secara keseluruhannya akan peranan dan tanggungjawab dalam memelihara hak serta masa depan kanak-kanak.



Sementara Hari Kanak-Kanak Universal pula disambut pada 20 November pada setiap tahun bagi memperbaharui komitmen terhadap Pengistiharan Hak Kanak-Kanak dan Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak seterusnya memberi ruang kepada perbincangan masyarakat antarabangsa akan kepentingan kefahaman generasi kanak-kanak.



Terkini, menerusi perutusan khas sempena Hari Kanak-Kanak Universal menyentuh isu kanak-kanak menerusi Pertubuhan-pertubuhan Negara Islam (OIC), kanak-kanak perlu mendapat pendidikan berkualiti dan persekitaran yang baik, menanamkan nilai tolerasi sesama manusia bagi memenuhi keperluan kesihatan mental dan fizikal mereka. Tambahan membincangkan isu kanak-kanak di dunia Islam sejajar dengan matlamat dan visi keseluruh serta menyeru negara yang mengiktiraf hak universal kanak-kanak agar menyertainya demi kepentingan dan kesejahteraan kanak-kanak.



Terdahulu Persidangan Menteri-Menteri Islam pada 2013 telah menerima pakai pelan tindakan untuk menangani isu berkaitan hak pendidikan dan penjagaan kesihatan kanak-kanak, perlindungan terhadap penderaan, keganasan, buruh paksa dan pemerdagangan kanak-kanak. Selain itu persidangan turut menyentuh berkaitan hak kanak-kanak dalam pembangunan fizikal, intelektual psikologi termasuk penjagaan perubatan serta psikologi khasnya bagi kanak-kanak yang tinggal di zon perang dan konflik.



Demikian, jelaslah bahawa hak dan kepentingan kanak-kanak sangat mempengaruhi sesuatu keputusan. Dengan adanya Hari Kanak-Kanak Sedunia dapat memberi semangat dan inspirasi di seluruh dunia bagi kanak-kanak menyuarakan perkara-perkara penting tanpa menidakkan hak-hak mereka kerana generasi inilah yang akan menerajui negara bila tiba masanya nanti. Justeru, pelihara dan sokonglah dalam setiap perkembangan mereka kerana kanak-kanak adalah jaminan masa depan negara.


Disediakan oleh:

Puan Hidayah Binti Tokiman,
Timbalan Dekan, 
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia
Kolej UNITI Port Dickson.


Monday 30 October 2017

Remaja Cenderung Pilih Artis Sebagai Kerjaya- Faridah Mohd Tap

Satu kajian telah dilakukan oleh Adecco Malaysia mendapati kanak-kanak Malaysia berumur tujuh hingga 14 tahun cenderung memilih menjadi artis daripada kerjaya doktor apabila dewasa kelak. Keputusan yang diperoleh ini sungguh mengejutkan masyarakat terutama ibu bapa dan guru-guru. Mengapa perkara ini bertukar secara drastik daripada tahun sebelum ini?

Lihat sahaja jaringan dunia tanpa sempadan yang semakin canggih sekarang ini. Kanak-kanak usia seawal dua tahun sudah tahu menggunakan gajet untuk bermain game, malah lebih bijak daripada orang dewasa apabila mengendalikan teknologi yang kecil molek ini. Selain daripada pendedahan menerusi dunia maya, mereka juga cepat terpengaruh dengan apa yang dilihat di kaca televisyen. Sekarang ini, lebih banyak program realiti yang melibatkan kanak-kanak. Masalah ini menjadi semakin parah apabila ada di antara mereka sanggup mengabaikan nasihat ibu bapa semata-mata ingin mengejar dunia glamor yang tidak tahu kemana penghujungnya.

Banyak faktor yang mendorong kepada perubahan mendadak ini. Antaranya, kecenderungan golongan muda yang bersekolah telah hilang minat kepada subjek-subjek berat seperti sains dan matematik. Ini pernah dilaporkan oleh akhbar Berita Harian dimana Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun 2012 yang ketika itu diterajui oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin terpaksa menghantar semula 13 ribu graduan mengajar Sains dan Matematik bagi mengikuti latihan semula untuk subjek lain seperti sejarah dan pendidikan jasmani akibat lambakan graduan.

Mereka memiliki persepsi negatif terhadap dua subjek penting ini yang membebankan untuk difahami dan mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan. Golongan muda lebih gemar sesuatu yang menyeronokkan dan relaks untuk dipelajari. Ia bersesuaian dengan fitrah mereka yang suka meniru dan bergembira dalam dunia penuh fantasi.

Dalam laporan lain, hanya 29 peratus pelajar mengikuti aliran sains di sekolah. Keadaan ini akan menyebabkan sasaran 100 ribu graduan sains ke institusi pengajian tinggi (IPT) tidak dapat dicapai. Menurut Prof Dr Halimaton Hamdan, ahli Majlis Penyelidikan Sains Kebangsaan mengatakan hanya 35 ribu  pelajar pelajar kini berdaftar dalam aliran sains setahun. Keadaan ini jika tidak ditangani bersungguh-sungguh, akan menyebabkan kerugian besar kepada Negara terutama dalam usaha mencapai status Negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.


Ingin tahu perbincangan lanjutan?

Dapatkan senaskah 'Bangkitlah Remaja Islam'( RM16 SM/RM18 SS) di pasaran MPH atau terus ke Booktique Telaga Biru hari ini juga. 

Inti pati ekonomi Bajet 2018- Berita Harian

KUALA LUMPUR: Berikut ialah inti pati Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bertemakan 'Memakmur Ekonomi Yang Inklusif, Mengimbang Keunggulan Duniawi Dan Ukhrawi, Demi Mensejahtera Kehidupan Rakyat, Menuju Aspirasi TN50, di Dewan Rakyat, hari ini.

Jumlah peruntukan bajet sebanyak RM280.25 bilion, meningkat daripada RM260.8 bilion pada 2017, dengan RM234.25 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM46 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Di bawah peruntukan pembangunan, sektor ekonomi menerima agihan tertinggi sebanyak RM26.34 bilion, sektor sosial (RM11.72 bilion), keselamatan (RM5.22 bilion) dan sektor pentadbiran am (RM2.72 bilion).

Defisit fiskal dijangka terus mengecil kepada 2.8 peratus pada 2018 daripada 3 peratus pada 2017.

Kutipan hasil Kerajaan Persekutuan pada 2018 dijangka meningkat kepada RM239.86 bilion pada 2018 atau daripada RM219.7 bilion pada 2017.

Jumlah pelaburan dijangka meningkat sebanyak 6.7 peratus atau menyumbang 25.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2018.

Pelaburan swasta dijangka dijangka meningkat kepada RM260 bilion pada 2018 daripada RM230 bilion pada 2017.

*Hasil Kerajaan Persekutuan 2018 dijangka mencecah RM239.86 bilion.

*Peruntukan sebanyak RM200 juta kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), menjadikan jumlah pembiayaan keseluruhan AIM mencecah RM2.7 bilion yang memanfaatkan hampir 400,000 peminjam.

*Peruntukan RM6.5 bilion kepada kelompok pesawah, petani, peladang, nelayan, pekebun kecil, penternak dan penoreh getah, termasuk RM2.3 bilion bagi bantuan dan insentif seperti baja dan input pengeluaran kepada pesawah, pekebun kecil, getah dan nelayan.

*Tahun 2020 diisytiharkan sebagai Tahun Melawat Malaysia di mana Malaysia akan menjadi tuan rumah antaranya kepada APEC, WCIT dan CHOGM.

*RM2 bilion diperuntukkan kepada Tabung Pelancongan PKS sebagai pinjaman kepada pengusaha pelancongan dengan memberi insentif subsidi kadar faedah dua peratus.

*Menambah RM1 bilion kepada Tabung Pembangunan Infrastruktur Pelancongan sebagai pinjaman mudah.

*Peruntukan RM30 juta disediakan kepada Malaysian Healthcare Travel Council untuk melaksanakan beberapa perkara termasuk mempromosi Malaysia sebagai Hab Rawatan Kesuburan, termasuk IVF dan Kardiologi Asia dan memperkenalkan program Flagship Medical Tourism Hospital.

*Pembinaan projek East Coast Rail Link (ECRL) yang menghubungkan Pelabuhan Klang ke Pengkalan Kubor, Kelantan bermula Januari 2018.

*Mempercepatkan pembinaan MRT3 atau Circle Line, dijangka siap pada 2025, lebih awal berbanding 2027.

*Pulau Pangkor, Perak diisytiharkan Pulau Bebas Cukai, tetapi tidak termasuk barang-barang seperti minuman keras, rokok dan kenderaan bermotor.

*Membangunkan Special Border Economic Zone di Bukit Kayu Hitam untuk merancakkan ekonomi di bahagian Utara.

*Peruntukan RM1 bilion diperuntukkan kepada Tabung Pengangkutan Awam bagi modal kerja dan pembelian aset seperti bas dan teksi.

*RM45 juta peruntukan untuk mewujudkan satu sistem kawalan biometrik bagi memantau pemanduan perkhidmatan bas ekspres.

*Menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

*Pembinaan baharu lapangan terbang Mukah dan pembesaran Lapangan Terbang Kota Bharu dan Sandakan.

*Skim Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) diperkenalkan dengan memberi Dana Tabungan Permulaan sebanyak RM200 melalui unit Amanah Saham PNB kepada anak Malaysia yang lahir mulai 1 Jan 2018 sehingga 2022.

*Sebanyak RM250 juta diperuntukkan untuk pendidikan generasi TN50, termasuk menubuhkan pusat Sains, Teknologi dan Kejuruteraan dan Matematik (STEM), mempertingkatkan modul Computer Science termasuk program Coding dan menaik taraf 2,000 kelas menjadi Bilik Darjah Pintar Pembelajaran Abad ke-21.

*Peruntukan RM2.2 bilion bagi pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Kesihatan.

*Membina 14 kompleks sukan baharu di seluruh negara dengan kos RM112 juta.

*Peruntukan RM61.6 bilion disediakan untuk sektor pendidikan termasuk RM654 juta bagi membina empat pra sekolah, sembilan pusat PERMATA termasuk dua pusat baharu untuk kanak-kanak autisme, 48 sekolah rendah, menengah dan kolej vokasional serta sebuah pusat matrikulasi.

*Pelanjutan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN sehingga 31 Disember 2018.

*Peruntukan RM4.9 bilion untuk melaksanakan Pelan Induk TVET Malaysia.

*Peruntukan RM6.5 bilion untuk penyediaan infrastruktur asas terutama di luar bandar.

*Peruntukan RM1 bilion melalui SKMM bagi membangunkan infrastruktur komunikasi serta kemudahan jalur lebar di Sabah dan Sarawak.

*Peruntukan RM300 juta untuk program NBOS termasuk pembinaan UTC baharu, Blue Ocean Entrepreneur Township dan Mobile CTC.

*Mengembalikan wang ses yang telah dibayar peneroka getah yang membuat tanaman semula kelapa sawit, dari 2010 hingga 2016.

*Peruntukan RM14 bilion untuk Angkatan Tentera Malaysia, hampir RM9 bilion untuk Polis Diraja Malaysia dan lebih RM900 juta kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

*Peruntukan RM3 bilion untuk pembelian dan penyelenggaraan aset pertahanan.

*Peruntukan RM720 juta bagi pembinaan 11,000 ibu pejabat dan enam balai polis serta pembelian kelengkapan senjata api dan kenderaan operasi.

*Pembinaan 10,000 unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia-PDRM (PPA1M-PDRM)

*Peruntukan RM250 juta kepada ESSCOM bagi mempertingkatkan kawalan keselamatan di kawasan sempadan Sabah dan Sarawak.

*Peruntukan RM2.5 bilion, iaitu yang tertinggi pernah diberikan untuk biasiswa pengajian tinggi dan latihan di bawah MARA.

*PNB membuat pengagihan khas sejumlah RM1.5 bilion unit tambahan Amanah Saham 1Malaysia untuk masyarakat India, terhad kepada 30,000 unit setiap pelabur.

*Bantuan sebanyak RM3,000 kepada ibu bapa masyarakat Orang Asli sebagai perbelanjaan persediaan anak-anak mereka memasuki institusi pengajian tinggi.

*Kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan dua mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai antara RM20,000 hingga RM70,000.

*Peruntukan RM3.9 bilion subsidi barangan dan pengangkutan termasuk gas memasak, tepung, minyak masak, subsidi elektrik dan tol.

*50 Kedai Rakyat 1Malaysia akan distruktur semula sebagai Kedai Rakyat 1Malaysia 2.0 dan diperluaskan kepada 3,000 KR1M 2.0 dalam tempoh tiga tahun.

*Mulai 1 Januari 2018, kutipan tol di Batu Tiga Shah Alam dan Sungai Rasau, Selangor, tol di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan tol di Eastern Dispersal Link, Johor dimansuhkan.

*Kerajaan akan mengkaji semula kos pengambilan pembantu rumah asing supaya dapat dikurangkan pada masa hadapan, memberi pilihan kepada majikan mengambil pembantu rumah asing secara langsung daripada sembilan negara sumber, tanpa melalui ejen.

*Peruntukan RM2.2 bilion untuk merancakkan usaha pemilikan rumah untuk rakyat termasuk membina Projek Perumahan Rakyat, Rumah Mesra Rakyat dan program PR1MA yang berharga RM250,000 ke bawah.

*Peruntukan RM27 bilion untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.

*Peruntukan geran sepadan RM245 juta di bawah Dana Strategik Pelaburan Domestik bagi menaik taraf kemudahan Smart Manufacturing.

* Peruntukan RM5 bilion di bawah Skim Pembiayaan Teknologi Hijau bagi menggalakkan pelaburan industri teknologi hijau.

*Melaksanakan Program Non-Revenue Water untuk mengurangkan kadar purata kehilangan air dengan kos RM1.4 bilion.

*Peruntukan RM1.7 bilion kepada warga emas, OKU dan kanak-kanak.

*Untuk penjawat awam, kenaikan pangkat time-based kali kedua untuk kumpulan pelaksana bagi tempoh 13 tahun selepas kenaikan kali pertama.

*Penjawat awam wanita yang mengandung lima bulan ke atas dibenarkan pulang awal sejam, manakala suami yang bekerja kerajaan juga dibenarkan berbuat demikian dengan syarat suami dan isteri bekerja di lokasi berdekatan.

*Bayaran khas one-off RM1,500 kepada 9,800 ketua kampung dan Tok Batin dengan RM1,000 dibayar pada Januari 2018 dan selebihnya sebelum Aidilfitri.

*Lebih 65,000 imam, bilal, guru KAFA, guru takmir dan tok siak mendapat bayaran khas RM1,500 dengan RM1,000 dibayar pada Januari 2018 dan selebihnya menjelang Hari Raya Aidilfitri.

*Bayaran khas RM1,500 kepada semua penjawat awam iaitu RM1,000 pada awal Januari 2018 dan RM500 menjelang Aidilfitri.

*Pesara kerajaan menerima bayaran khas RM750 iaitu RM500 dibayar pada Januari 2018 dan RM250 lagi menjelang Aidilfitri. - BERNAMA

Friday 27 October 2017

Otak anak terabai lebih kecil, tidak berkembang- SINAR HARIAN

Perbezaan diantara otak kanak-kanak yang dijaga rapi oleh ibu bapa (kiri) berbanding otak kanak-kanak yang diabaikan.

Perbezaan diantara otak kanak-kanak yang dijaga rapi oleh ibu bapa (kiri) berbanding otak kanak-kanak yang diabaikan. - Foto sumber Telegraph.
Kedua-dua imbasan otak ini dimiliki oleh dua kanak-kanak berusia sama iaitu tiga tahun, tetapi mengapa saiznya berbeza antara satu sama lain?

Imej otak di sebelah kiri lebih besar manakala imej otak sebelah lebih kecil, selain bahagian-bahagian otak yang gelap dan tidak jelas.

Kepada ahli neurologi yang menyelidik perbezaan tersebut, penemuan sedemikian dianggap menakjubkan dan pada masa yang sama, menakutkan.

Apa perkara yang mungkin mendorong perubahan radikal terhadap pertumbuhan otak kanak-kanak? Kebanyakannya mungkin mengatakan ianya berkaitan dengan penyakit atau kemalangan.

Salah. Jawapannya ada kaitan dengan hubungan antara ibu bapa dan anak mereka sendiri.

Cara layanan berbeza

Kedua-dua otak terlibat diberikan layanan yang berbeza dimana salah seorangnya dilayan dengan baik oleh ibunya dan pemiliknya pula merupakan seorang kanak-kanak yang responsif.

Sebaliknya, otak mereka yang diabaikan dan didera menghadapi kekangan dari segi tumbesaran.

Ahli neurologi, profesor Allan Schore dari UCLA menegaskan perkembangan sel otak berkait rapat dengan kesan interaksi diantara penjaga (ibu bapa).

Tidak perlu dijelaskan lagi bahawa interaksi yang positif akan menggalakkan perkembangan otak yang lebih responsif dan sihat.

Kekangan pertumbuhan otak yang disebabkan oleh pengabaian dan pelbagai jenis penderaan bergantung kepada beberapa perkara.

Lebih teruk penderaan dan pengabaian tersebut, maka lebih teruklah kerosakan pada otak.

80 peratus sel otak dibentuk dua tahun pertama selepas dilahirkan. Jika pertumbuhan tersebut diganggu, maka kerosakannya akan menjadi kekal.

Impak kepada masyarakat

Penemuan ini melibatkan kesan yang mendalam kepada para ibu bapa dan anak-anak.

Unsur-unsur seperti tidak cukup pendidikan, kemiskinan, ketagihan dadah dan jenayah yang wujud dalam keluarga juga proses perkembangan otak.

Apabila anak-anak yang diabaikan menjadi ibu bapa, kitaran pengabaian tersebut berpotensi bersambung dan mereka juga akan mengabaikan anak mereka.

Anak-anak yang dijaga oleh ibu bapa yang pernah diabaikan berpotensi gagal dalam pelajaran, terjebak dalam masalah dadah, susah mencari pekerjaan malah lebih cenderung melakukan keganasan.

Seorang ahli parlimen dari Britain, Graham Allen berpendapat pencegahan dari usia muda mampu mengekang masalah ini.

Ibu bapa perlu mengambil berat

"Tidak syak lagi pencegahan pada peringkat awal mampu memberi perbezaan besar kepada kita," kata Allen.

Katanya, selain keluarga, masyarakat perlu memainkan peranan dalam masalah ini.

Di Britain sendiri, jumlah kehamilan melibatkan golongan remaja adalah paling tinggi di Eropah.

Untuk itu, beliau memperkenalkan beberapa program yang menekankan kesan pengabaian kanak-kanak.

Laporan dari Allen juga menitik beratkan kesan pengabaian anak-anak terhadap masyarakat.

Seorang lagi ahli parlimen, Andrea Leadsom menggesa program pencegahan awal diteruskan.

"Saya sendiri terlibat dan lihat kesan program ini. Masalahnya sekarang program ini terlalu kecil. Di Oxford misalnya, 300 bayi dilahirkan setiap tahun. Kita perlukan sokongan berterusan kerajaan dalam program pencegahan awal ini supaya kita dapat mengelak kesan teruk terhadap masyarakat kelak," kata Andrea.


Sumber: WARTAWAN SINAR HARIAN, 26 Oktober 2017

Teach Like Finland: 33 Strategi Sederhana untuk Kelas Yang Menyenangkan- Timothy D. Walker

Beberapa minggu lalu, penulis berkesempatan membeli sebuah buku yang dijual oleh kedai buku Raudhatul Miftah (RAMI) di sebuah Seminar Politik Islam di IDCC Shah Alam.

Buku yang sudah tentu menarik dalam bidang pendidikan ialah 'Teach Like Finland' ditulis oleh seorang guru Amerika yang berhjrah ke Finland dan bertugas sebagai pendidik di sana. 

Beliau pada mulanya mengalami kejutan dengan perbezaaan stail pengajaran dan pembelajaran di Amerika dengan Negara Finland, akhirnya pendekatan Finland. Tetapi kenapa Finland?

Kerana Finland merupakan sebuah negara kecil yang pencapaian murid dan pelajarnya luar biasa diperingkat global melalui satu laporan PISA. Justeru itu, Finland dinobatkan sebagai negara yang mempunyai pendidikan terbaik di dunia.

Timothy D.Walker mendedahkan teknik P&P Finland yang boleh diadaptasi oleh kita melalui 33 Strategi Sederhana untuk Kelas Yang Menyenangkan tanpa bebanan dan tekanan.  
FOKUS: KESEJAHTERAAN MURID

Strategi 1- Jadual Istirehat Otak.


Secara umumnya, pelajar diberikan ruang waktu dalam satu jam untuk istirehat otak bagi membolehkan otak kembali fokus kepada subjek. Sbg contoh, 10 minit dalam 1 jam kelas diperuntukkan dengan memberikan pelajar melakukan aktiviti bebas seperti permainan matematik, perbualan santai dengan guru, senaman ringan atau apa-apa aktiviti yang bersesuaian. Tujuannya ialah untuk membedayakan kemahiran fokus dan penyerapan kefahaman terhadap subjek.

Strategi 2- Belajar Sambil Bergerak

Murid-murid diberikan ruang untuk aktiviti fizikal selain menjadi hiburan selain kelas. Ia membantu untuk menjaga diri mereka tetap aktif sepanjang hari. Apa sahaja aktiviti fizikal seperti olahraga yang akhirnya membuatkan mereka bersemangat dan sihat. Di Finland, sebagai contoh mereka menawarkan 'pembangkit semangat'  iaitu istirehat pendek agar murid/pelajar/siswa tidak terus duduk selama pelajaran, para pelajar boleh menyiapkan tugas dengan berdiri sehingga pelajar boleh bergerak-gerak dan belajar pada masa yang sama.

Mahukan strategi berikutnya??

Tungguuuu...entri bulan hadapan.

MOTIVASI


Penglibatan Ibu Bapa Taska Cahaya Tasneem Dalam Program Lawatan Santai- Nur Akmar Mohd Arif

Satu Program Lawatan Santai anjuran para pelajar Semester 6 Diploma Pendidikan Prasekolah telah diadakan dengan jayanya dengan kerjasama Taska Cahaya Tasneem Kolej UNITI pada 14 Oktober 2017 lalu. 

Program Lawatan Santai ke Muzium Tentera Darat Dan Pusat Ikan Hiasan Port Dickson ini telah melibatkan penglibatan ibu bapa dan anak-anak Taska Cahaya Tasneem Kolej UNITI serta dimeriahkan lagi dengan penyertaan team UNITI Early Child Care yang bernaung di bawah Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia (FPPM) Kolej UNITI.

Program yang dianjurkan oleh 22 orang pelajar Semester 6 ini adalah berkaitan dengan tugasan mereka bagi Subjek Penglibatan Ibu Bapa di bawah bimbingan Puan Lina Kiam. Program yang bermula pada jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 1.30 ptg ini telah memberi pengalaman pembelajaran yang menggembirakan dan menyeronokkan kepada anak-anak Taska Cahaya Tasneem. Program ini juga secara tidak langsung mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan antara ibu bapa, anak-anak TCT, para guru, team UNITI Early Child Care serta para pelajar DPS ini sendiri.

Komitmen dan kesungguhan para pelajar DPS 6 dalam memastikan program penglibatan ibu bapa ini dapat berjalan dengan lancar harus diberi pujian. Sokongan ibu bapa Taska Cahaya Tasneem & Team UNITI Early Child Care terhadap program ini juga amat luar biasa dan pastinya memberi kegembiraan kepada semua pihak”, ujar Puan Lina Kiam selaku penasihat bagi Program Lawatan Santai ini.

Program seperti ini yang menggalakkan penglibatan dan penyertaan ibu bapa dalam aktiviti taska selain menggalakkan pergaulan sihat anak-anak dengan rakan sebaya perlu diteruskan di masa akan datang bagi merangsang perkembangan menyeluruh si cilik ini.


Galeri foto:







Disediakan Oleh,

Nur Akmar Binti Mohd Arif
Pensyarah,
Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson.


WHY STUDENTS NEED TO READ MORE- Akmal Hafiiz

Many students focus too much on speaking English. They become obsessed with speaking and often ignore reading. Advanced students know all of the basic vocabulary and can hold a very nice conversation, but without reading, it’s very easy for them to just plateau and not improve. Reading pushes them to use new words and express new ideas. My students always ask how they can become more fluent. My answer is always the same: read more. This is why:

1) YOU NEED TO KNOW WORDS BEFORE YOU CAN SPEAK THEM

Reading in a foreign language is the best way to learn new words. In spoken language people use the same vocabulary again and again. You have no time to think, so you automatically use the simplest, most common expressions (I like James Bond films, I like you, I like penguins). People are often more adventurous with their vocabulary when they write  (I’m really keen on James Bond films, I adore you, I’ve got a penchant for penguins).

2) YOUR GRAMMAR IMPROVES

People have more time to think and plan before they write than before they speak. Students who read more, tend to produce better writing themselves. They are more confident in using complicated grammar structures and longer sentences and they are also more familiar with punctuation.
3) READING MAKES YOU SPEAK BETTER

Students who read regularly answer questions better; they can construct logical and convincing arguments and defend their point of view. They can tell anecdotes skillfully, recount stories in an interesting and effective way and generally hold conversations better.

4) READING GIVES YOU MORE TO SAY

It is very difficult to have a conversation or write an essay if you know nothing about a topic. Reading gives you knowledge. Often the best class discussions are when students bring their own examples to the debate that they have read about.


Written by,

Akmal Hafiiz Abd Rani
Lecturer,
Faculty Education And Human Development,
Kolej UNITI Port Dickson