Pages

Thursday 19 May 2016

PERTANDINGAN IMLA’ 2016- Unit Bahasa Arab, Jabatan Bahasa, FPPM

Unit Bahasa Arab, Jabatan Bahasa FPPM mempunyai matlamat untuk menjadikan Kolej UNITI Port Dickson sebagai salah satu platform yang terbaik untuk mahasiswa mempelajari dan mendalami Bahasa Arab serta mengaplikasikannya di dalam kehidupan seharian juga mendedahkan pemahaman dan penggunaan ilmu Bahasa Arab.


           Untuk mencapai misi tersebut, Unit Bahasa Arab telah mengadakan satu Pertandingan Mengeja Bahasa Arab (Imlak) untuk para mahasiswa dan mahasiswi Kolej UNITI Port Dickson melibatkan program Diploma Pendidikan Pra Sekolah, FPPM pada bulan Mac lepas. 


           Program  yang bertemakan “Mencintai Bahasa Al-Quran” ini merupakan medan bagi para mahasiswa dan mahasiswi Kolej UNITI Port Dickson meluangkan masa untuk mengaplikasikan Bahasa Al-Qur’an ini dalam bicara harian.


          Objektif lain yang ingin dicapai ialah untuk melahirkan jiwa pendakwah dan sukarelawan yang boleh berbahasa arab di kalangan umat Islam terutama golongan mahasiswa.

          Siti Noratikah Nadia Binti Asmuni, pelajar DPS (Grup D) semester empat telah menewaskan 34 peserta lain yang turut bertanding dan dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama dalam pertandingan Imla' tahun 2016 kali ini. 



           Penganjur berharap program Imla' 2016 ini mencetuskan satu gelombang pendidikan bahasa yang bersifat universal yang mampu memberikan suntikan yang bersifat motivasi, islamik dan garapan akademik kepada para pelajar Kolej UNITI Port Dickson di masa hadapan.


PELAJAR FPPM ANJUR PROGRAM ‘SEMARAK KASIH’ DI RUMAH KEBAJIKAN ASNAF MURNI- Syazwani Abd Jalani

Satu program khidmat sosial telah berjaya dilaksanakan oleh para pelajar bagi Diploma Pendidikan Prasekolah Semester 4 Kumpulan C, daripada Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Kolej UNITI. 


Program khidmat sosial yang dinamakan sebagai ‘Semarak Kasih’ ini telah dilaksanakan pada 19 Mac 2016 iaitu bersamaan dengan hari Sabtu. Tempat penganjuran program ini adalah di Rumah Kebajikan Asnaf Murni, Nusari Bayu 3, Sendayan, Negeri Sembilan. Program yang bertemakan ‘1 Hati 1 Ukhwah’ ini telah bermula seawal jam 8.00 pagi dan tamat pada jam 4.00 petang. Program yang berlansung ini melibatkan seramai 31 orang peserta dan seorang pensyarah pengiring.


Antara objektif bagi program ini adalah untuk menyemai dan menerapkan sikap saling tolong-menolong atau bantu-membantu dalam kalangan para siswazah khususnya dan masyarakat secara amnya. Selain itu, melalui program ini sumbangan dalam bentuk tenaga dan usaha, kewangan, makanan dan peralatan dapat disalurkan kepada rumah kebajikan yang dipilih. 

Tujuan lain program ini diadakan adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara peserta iaitu sebagai pelajar dengan kelompok masyarakat yang berada di sekeliling mereka dan menjadikan program ini sebagai medium amal bakti untuk bekalan diakhirat kelak. Program ini juga diadakan sebagai memenuhi kehendak dan syarat tugasan subjek MPU 1012 Khidmat Sosial.


 Antara aktiviti yang dijalankan semasa program ini adalah gotong royong membersihkan Asrama Perempuan di Rumah Kebajikan Asnaf Murni . Selain itu, sumbangan dalam bentuk makanan, peralatan penjagaan diri, alatan tulis dan wang ringgit turut disampaikan kepada penghuni Rumah Kebajikan Asnaf Murni.


Impak atau kesan daripada pelaksanaan program ini adalah para pelajar memperoleh pengetahuan serta pengalaman bagaimana untuk mengadakan seterusnya mengendalikan  sesuatu program dari mula sehinga ke akhirnya. Selain itu, elemen kerjasama dan kesepakatan dalam diri para peserta dapat dipupuk dan disemai sepanjang tempoh melaksanakan program ini. 


Kemahiran soft skill juga dapat diasah dan diterapkan kepada para peserta. Selain itu, dapat membuka mata masyarakat sekeliling bahawa golongan remaja atau belia khususnya mahasiswa bahawa mereka mahu, bersungguh dan komited untuk menyumbang khidmat dan bakti kepada masyarakat dan bukan hanya leka mencari kebebasan dan keseronokan semata-mata.


Melalui program ini juga, elemen kasih sayang dan menghargai sesama manusia dapat dipupuk terutama terhadap penghuni Rumah Kebajikan Asnaf Murni yang rata-ratanya masih kecil. Selain itu, dapat menerapkan elemen bersyukur dalam diri peserta akan nikmat yang mereka telah miliki berbanding kesukaran dan kesusahan yang dialami penghuni di Rumah Kebajikan Asnaf Murni.


DITULIS OLEH,


CIK SYAZWANI ABD JALANI
PENSYARAH JABATAN PENDIDIKAN
FAKULTI PENDIDIKAN DAN PEMBANGUNAN MANUSIA

MENCAMBAH ILMU DI MASJID : TRADISI DAN REALITI SEMASA- Badrul Hisham Ithnin

Secara umumnya, fungsi masjid di negara kita, samada di kampung, taman dan kota adalah sebagai tempat menunaikan solat secara berjamaah dan tempat rasmi bacaan yasin dan tahlil pada setiap malam Jumaat. Ini adalah bentuk ibadat dan sebahagiannya menjadi adat turun temurun masyarakat kita di masjid.

Sumber: Ihsan google imej

Di sepanjang kewujudannya, dari sudut kerohanian, masjid menjadi tempat sujud kepada semua ahli kariah sebagai tanda menjadi hamba yang patuh dan taat kepada Allah. Ini dinyatakan oleh Nabi sendiri dalam sebuah hadith riwayat Muslim “Saat-saat seseorang hamba paling dekat dengan Rabbnya adalah ketika dia sujud”.

Di masjid ini jugalah jugalah kuliah-kuliah agama disampaikan. Dahulu hanya ada kuliah maghrib dan kuliah suboh sahaja. Kini kuliah agama diadakan atas berbagai landasan dan tema.

Selain kuliah dhuha, dan ceramah khusus bersempena dengan hari kebesaran Islam seperti Mawlid ar Rasul dan Maal Hijrah, jadual aktiviti masjid – dengan sokongan dana kariah – dipenuhkan dengan ceramah tokoh atau forum khas untuk mencelik dan mencerahkan minda ahli kariah mengenai isu-isu semasa yang menimpa umat.

Sebahagian daripada perubahan cara hidup dan kefahaman tentang Islam sebagai ad deen dalam kalangan masyarakat Islam tentunya berpunca daripada program-program masjid ini. Acara-acara ini telah berjaya mendekatkan lagi masyarakat dengan agamanya.

Tulisan ringkas ini walaubagaimanapun ingin melihat sisi-sisi lain yang boleh digerakkan untuk mengoptimumkan fungsi masjid sebagai pusat percambahan ilmu dalam erti kata yang lebih luas dalam masyarakat.

Pandangan ini didorong oleh kenyataan bahawa ruang masjid hanya digunakan untuk kegiatan rutin ceramah atau kuliah yang berligar kepada ilmu dan isu sekitar aqidah, feqah dan ruhiyyah yang semuanya berwajah agama. Kita mungkin tidak sedar atau perasan bahawa ilmu Islam yang luas telah tersekat dalam bingkai dan set minda orang masjid.

Ada pendapat yang kelihatan ‘kasar’ bunyinya mendakwa masjid juga menjadi sekular kerana menyempit dan membataskan makna agama yang asalnya luas, inklusif dan holistik.

Oleh itu agama dalam pengertian dan konteks ad deen wajar disampaikan dengan maknanya yang holistik dan mendalam agar keindahan dan keluasan makna Islam itu sampai kepada masyarakat.

Justeru tulisan ini mencadangkan agar ruang ceramah atau kuliah diberikan juga kepada para ilmuan atau profesional dalam bidang bukan agama yang mempunyai fikrah dan jiwa Islam.

Golongan ini tentunya pakar dan mempunyai banyak pengetahuan dan pengalaman di lapangan yang boleh memberikan sudut pandang baharu atau kritis dan segar terhadap realiti dalam masyarakat mengikut bidang dan profesionalisme masing-masing.

Kesempatan antara waktu maghrib-isyak atau waktu lain yang lebih sesuai boleh dikongsi dengan pengisian yang bukan tema agama tetapi penting yang diperlukan masyarakat oleh mereka yang telah dinyatakan tadi. Fikrah dan jiwa Islam mereka tentunya akan membawa roh agama dalam perkongsian yang mereka berikan.

Pendekatan ini akan mewarnakan dan meluaskan lagi tema dan horizon pemikiran masyarakat setempat. Ini kerana golongan ini dapat membawa isu semasa di luar masjid dan mengupasnya lebih-lebih lagi dengan pendekatan yang lebih kritis dan segar.

Memang telah ada peluang ini diberikan kepada ilmuan bukan dari disiplin agama tetapi kadarnya masih secara relatifnya agak kecil dan bersifat setempat. Mungkin di Bandar Baru Bangi yang berhampiran dengan UKM, atau bandar Johor Bahru yang ada kampus UTM dapat melakukannya.

Hal ini demikian kerana masyarakat di bandar ini juga menjadi kediaman para ilmuan dan profesional berjiwa Islam. Justeru, pentas ceramah atau ruang utama kuliah di masjid boleh dikongsi sama oleh golongan tadi dengan lebih mudah dan perancangan yang lebih tersusun.

Guru-guru juga boleh meluaskan khalayak pelajarnya dari bilik darjah ke ruang utama masjid bersama para jamaah masjid. Mereka adalah golongan yang ahli dalam bidang akademik masing-masing yang berupaya memahamkan masyarakat isu-isu pendidikan nasional termasuk membawa realiti yang terjadi di sekolah ke pengetahuan ibu bapa yang menjadi ahli kariah masjid.

Pendekatan kreatif guru-guru berjiwa Islam ini barangkali mampu ‘reaching out’ ke khalayak yang lebih luas terutamanya golongan muda termasuk pelajar-pelajar sekolahnya sendiri.

Kesempatan ini boleh membawa isu pendidikan di sekolah langsung ke pengetahuan masyarakat melalui wasilah masjid tanpa perlu menunggu mesyuarat rasmi PIBG sekolah. Melalui kerjasama ini hubungan terjalin antara sekolah dan pihak masjid dan memudahkan penyebaran maklumat berkaitan pendidikan.

Inisiatif ‘menaik taraf’ fungsi masjid ini bukanlah suatu bidaah atau pun sebagai satu percubaan untuk merampas atau mengubah fungsi tradisi masjid. Ia sebenarnya adalah usaha untuk mengembalikan masjid kepada fungsinya yang sebenar terutamanya dalam persekitaran moden hari ini yang penuh fitnah dan kecelaruan fikrah dalam kalangan umat.

Menurut Profesor Yusuf al Qaradhawiy dalam bukunya bertajuk ‘Masjid Parlimen Umat’ masjid mempunyai peranan yang jauh lebih besar daripada tempat menunaikan solat dan program kuliah ilmu. Masjid sebenarnya adalah parlimen umat.

Ulama tersohor ini menegaskan selain fungsi yang disenaraikan di atas, berdasarkan seerah Nabi masjid adalah tempat pertemuan dan mesyuarah antara nabi dan sahabatnya untuk mengatur rencanakan kehidupan sosial, politik dan ekonomi umat. Bahkan dalam mengatur strategi perang melawan musuh Islam pun masjid digunakan dan ia berubah menjadi pusat operasi perang.

Oleh itu, sewajarlah masjid menjadi milik umat bukan sahaja untuk beriktikaf, bersolat, bertaubat, memahami tauhid, feqah dan syariat, muamalat dan jinayat, serta tasawuf.

Namun ia juga boleh menjadi pusat percambahan ilmu Islam yang luas makna dan cakupannya. Ilmu Islam juga meliputi sains dan teknologi, matematik, biologi, fizik, kimia, sejarah, psikologi, geografi, perubatan, teknologi maklumat, pengurusan, perakauanan, pemasaran dan tentunya banyak lagi.

Majlis ilmu ini juga adalah majlis zikir dan fikir umat yang berkesan asalkan pemikiran masyarakat dipertajam dan diperhalusi melalui pendekatan penceramah yang menyajikan perbahasan ilmu secara kritis dan membina.

Fitnah dan berteraburnya mesej-mesej yang ‘tidak patuh syariah’ dalam media sosial yang kini ibarat wabak yang mudah berjangkit dan mempengaruhi pemikiran masyarakat boleh juga ditangani sebahagiannya melalui majlis ilmu ini.

Agenda dan risalah Nabi melalui masjid sebagai pusat perkembangan ilmu Islam yang holistik tidak akan dapat direalisasikan jika pihak berkuasa masjid terus selesa dengan kegiatan rutin mingguan, bulanan dan tahunan dalam bentuk dan format tradisinya.


Latar belakang penulis

BADRUL HISHAM BIN ITHNIN, Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Umum, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Kolej UNITI PD.  

KERAMAT GELARAN MAHASISWA- Faridah Mohd Tap

Sumber: google imej

Penulis telah diundang  sebagai panel di Forum Mahasiswa: Dari Masyarakat kepada Masyarakat untuk acara Perkampungan Menara Gading’16 anjuran Persatuan Pelajar Islam Negeri Sembilan yang akan berlangsung pada bulan lepas. Turut hadir sebagai panel adalah saudara Jufitri Johar yang merupakan Tokoh Kebangsaan dan Tokoh Belia ASEAN tahun 2014 untuk bersama bakal- bakal lepasan pelajar SPM, STPM, dan STAM di peringkat Negeri Sembilan bagi memahami tanggungjawab sebagai mahasiswa. Perkongsian yang diberikan adalah sekitar peranan mahasiswa sebagai anggota masyarakat membawa mesej Rahmatan Lil ‘Alamin.


Mahasiswa merupakan golongan penting dan penentu masa depan citra masyarakat dan negara yang berjaya. Pelbagai cabaran dan kesukaran yang ditempuhi sepanjang pengajian menjadi asas kematangan seseorang individu sebelum melangkah ke dunia realiti pekerjaan dan menjadi pelapis kepimpinan masyarakat dan negara.  Penulis merasakan gelaran sebagai mahasiswa universiti merupakan suatu keramat kerana sejarah gerakan mahasiswa yang menggugat telah banyak melakar sejarah tersendiri dalam negara ini.

Sebagai mahasiswa, pelajar harus mengambil ruang masa untuk menelaah buku berjudul “ Mahasiswa Menggugat” (1973) yang merupakan karya penting mengenai gerakan mahasiswa oleh Profesor Muhammad Abu Bakar. Tidak dilupakan buku “Kalau Saya Mahasiswa” karangan Datuk Saifuddin Abdullah ketika beliau menjawat jawatan Timbalan Menteri di Kementerian Pengajian Tinggi. Dua buku ini akan memberikan definisi mahasiswa kepada bakal-bakal siswa atau mereka yang sudahpun bergelar mahasiswa IPT.

Istilah ‘jurubicara masyakarat’ agak sinonim dengan gelaran mahasiswa khususnya antara tahun 1960 hingga 1974. Peranan mahasiswa yang bertindak dalam bentuk gerakan aktif diukur  dengan penganjuran dan partisipasi golongan mahasiswa dalam seminar dan diskusi yang membincangkan soal-soal politik, ekonomi dan sosial; mengeluarkan resolusi-resolusi bercorak politik dibentang dan dikeluarkan untuk tatapan umum dan kerajaan; penerbitan akhbar, majalah dan risalah atau kenyataan akhbar di mana mahasiswa menyuarakan cita-cita politik mereka; demonstrasi di mana mahasiswa menyampaikan pandangan dan ideal perjuangan mereka juga; sesetengah mahasiswa mengambil bahagian dengan memegang jawatan dalam parti-parti politik, seperti Parti Rakyat ketika zaman kegemilangan gerakan mahasiswa ini.

Kemudian, suara mahasiswa kelam seketika sebelum kembali ke persada dan mempengaruhi beberapa dasar-dasar penting negara melalui advokasi secara berterusan. Antaranya sumbangan mahasiswa dalam mencadangkan penubuhan Dasar Belia Negara (1985), penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar Universiti Malaya, melontar idea penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), cadangan awal penubuhan UIAM dan Bank Islam, Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dalam pentadbiran, pindaan AUKU 2009 dan penentangan kepada Dasar PPSMI yang menyalahi Perkara 152.

Manakala istilah ‘Mahasiswa Lesu’ adalah kata sinikal yang penulis dengar sejak penulis di alam mahasiswa universiti lagi. Perkataan ini mungkin ada benarnya apabila kebanyakan mahasiswa cenderung menghabiskan masa hanya ke bilik kuliah, kafeteria dan katil (sindrom 3’K) berbanding menambah kemahiran insaniah melalui keterlibatan dalam persatuan, program-program kesukarelawan apatah lagi untuk hadir ke majlis-majlis ilmu untuk diskusi ilmiah secara tekun. Mahasiswa yang aktif sangat kecil jumlahnya dan ia merupakan perkara biasa dalam sesuatu organisasi sekalipun. Zaman kegemilangan gerakan mahasiswa yang kuat satu ketika dahulu tenggelam akibat tekanan AUKU sehingga lahir generasi siswa yang seakan-akan ‘hilang punca’.

Justeru, pesanan penulis kepada golongan mahasiswa, kembalilah cakna dan peduli kepada masyarakat. Ambillah sedikit ruang dalam merancang perubahan diri untuk merancang perubahan masyarakat kita juga yang semakin hari semakin tenat dek kerana sikap individualistik yang semakin menebal dalam masyarakat hari ini. Peranan anda sebagai mahasiswa selepas tamat pengajian adalah menyalurkan idealisme, wawasan, ilmu, pengalaman, aktivisme, motivasi dan tenaga yang telah sedia miliki kepada pembangunan negara dan masyarakat yang sejahtera.


                   

Sehubungan dengan itu, gunakanlah seoptimum mungkin masa sepanjang bergelar mahasiswa untuk mencari butir-butir permata pengalaman untuk mempersiapkan diri untuk kembali berbudi dan membangunkan masyarakat dan negara yang terbilang. Selamat menempuh alam mahasiswa dengan jayanya.

Disediakan oleh,
Puan Faridah binti Mohd Tap
Pensyarah Jabatan Pengajian Umum,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,

Kolej UNITI, Port Dickson.