Pages

Sunday 31 March 2013

PELAJAR PAMER KREATIVITI DALAM SIMULASI PROGRAM KESELAMATAN

Simulasi Program Keselamatan Di Tadika adalah tugasan bagi pelajar Diploma Pendidikan Pra Sekolah Semester 6 yang mengambil subjek Keselamatan Kanak-kanak & Perlindungannya (DPP3243).

Simulasi ini telah diadakan pada 18 hingga 21  Mac 2013 yang lalu di dalam kelas &  di sekitar Uniti Village berdasarkan keperluan program keselamatan yang dijalankan. Program ini diadakan bagi mencungkil kreativiti bakal-bakal guru prasekolah dalam mengurus program keselamatan di tadika melalui Pengajaran & pembelajaran yang menggembirakan dan bermakna utk kanak-kanak. 

Antara program yang dijalankan ialah program keselamatan 'Latihan Kebakaran Di Tadika','Mari Belajar Melintas', 'Jom Naik Bas Sekolah', 'Main Air Si Cilik', 'Katakan Tidak Pada Penculik..Lari!!!' serta 'Tips Penjagaan Diri...Lindungilah saya'.

Aktiviti sebegini adalah juga sebagai usaha ke arah pencapaian gagasan fakulti 'helping boys nurturing girls' yang menekankan aspek keseronokan untuk kanak-kanak lelaki dalam pembelajaran.

Berikut adalah paparan gambar-gambar sebahagian aktiviti pelajar tersebut:-










Disediakan oleh, 

Nur Akmar binti Mohd Arif,
Pensyarah DPS, FPPM, Kolej UNITI.

Thursday 28 March 2013

PELUANG CERAH MENANTI GRADUAN (DPS) KOLEJ UNITI

Pelajar Diploma Pendidikan Pra Sekolah Sem Akhir memberi tumpuan ketika sesi taklimat.


Kolej Uniti 28 Mac - Seramai 328 pelajar Diploma Pendidikan Pra Sekolah, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia telah menghadiri sesi perkongsian bagi bakal graduan melanjutkan pengajian ijazah  dalam bidang pendidikan awal kanak kanak di bawah Fakulti Early Childhood education Studies (ECES) , UNITAR International University.

Perkongsian ini telah disampaikan oleh dekan Fakulti ECES iaitu Prof. Dr. Bustam Kamri dan telah mendapat perhatian yang cukup menggalakkan daripada pelajar.

"Para graduan DPS kolej UNITI yang diterima masuk ke UNITAR akan mendapat pemindahan jam kredit sebanyak 21 jam dan ini membolehkan pelajar tamat dalam masa dua tahun setengah berbanding tiga tahun tanpa pemindahan kredit," jelas dekan FPPM kolej UNITI, Encik Zakri Mohd Zain.

Banyak kelebihan akan diperoleh graduan ijazah dalam bidang pendidikan awal kanak kanak ini. Antaranya ialah berpeluang membina kerjaya di industri yang telah menjalankan kerjasama dengan UNITAR. 



UNITAR yang dimiliki sepenuhnya oleh khazanah Nasional Berhad mempunyai rangkaian industri yang berkonsepkan 'theme park' seperti seperti  Kidzania, Legoland dan industri pemakanan seperti Popeyes, Burger King  dan perhotelan.

Justeru, para graduan DPS  diseru untuk tidak melepaskan peluang terbaik ini. Tambahan lagi, graduan seharusnya lebih berani mengambil tindakan  pantas bagi menjamin peluang kerjaya yang lebih baik di masa akan datang.



Disediakan oleh,

Encik Zakri bin Mohd Zain,
Dekan FPPM, Kolej UNITI.

Wednesday 27 March 2013

SIMULASI KESELAMATAN OLEH PELAJAR DPS SEM 6


Berikut adalah antara momen-momen para pelajar Diploma Pendidikan Pra-Sekolah Semester 6 ketika melaksanakan tugasan berbentuk simulasi keselamatan kanak-kanak.

Simulasi ini dibahagikan kepada beberapa aktiviti iaitu keselamatan ketika berlaku kebakaran, ketika berkelah dan bermain, ketika di jalan raya dan ketika di taman permainan. 


Simulasi ini adalah sebagai memenuhi keperluan subjek keselamatan dan sebagai persediaan kepada bakal guru tadika yang akan berpraktikal tidak lama lagi. 

Pelajar sedang membuat simulasi keselamatan ketika kebakaran.



Pelajar sedang membuat simulasi keselamatan ketika sukaneka



Pelajar sedang bersiap sedia untuk membuat simulasi keselamatan ketika berkelah dan bermain air



                            


Simulasi keselamatan menaiki kenderaan awam


Simulasi untuk keselamatan jalan raya



                            



Simulasi keselamatan di kawasan permainan


 Disediakan oleh


Cik Nurul Hidayah Sahrom,
Pensyarah Program Keselamatan Kanak-kanak.

SOLAT DAN TAZKIRAH AGAMA: BINA JATI DIRI REMAJA




Penulis sedikit terkilan dengan fenomena segelintir pelajar hari ini terutama apabila menyentuh tentang budi pekerti ketika berurusan. Pernah suatu ketika di dalam kelas, pelajar mengeluarkan kata-kata dengan nada kasar apabila perbuatannya yang kerap datang lewat ke kelas ditegur.“Sukahati sayalah nak datang lewat, bapak saya yang bayar,” sedikit keras suara pelajar lelaki terbabit apabila ditegur mengenai kekerapan kelewatannya ke kelas.


 Pernah juga perkataan mencarut dan kesat seperti sial terkeluar dari pelajar perempuan yang manis bertudung dan berbaju kurung memarahi temannya kerana mengusiknya di dalam kelas walaupun di hadapan gurunya. Menceburi bidang pendidikan ini, penulis terasa sungguh berat amanah yang digalas untuk mendidik remaja yang serba-serbi penuh ‘kejutan’ ini.


Penulis juga yakin, rakan-rakan seangkatan di luar sana pernah berhadapan dengan situasi yang hampir sama. Mungkin bukan dengan pelajar di dalam bilik kuliah, tetapi remaja yang sedang meningkat umur ke alam dewasa di mana-manapun.   Budi pekerti di kalangan remaja hari ini semakin terhakis kerana merasakan diri sudah ‘dewasa’ untuk menentukan perjalanan hidup sendiri.


Pantun orang lama-lama, ‘buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan, kami budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan’ sudah tidak lagi relevan kepada segelintir mereka. Ibu bapa juga semakin hilang kawalan ke atas mereka lantaran sikap negatif segelintir pelajar yang kononnya ‘tahu serba-serbi’ berkaitan hidup. Pantang di tegur kesilapannya, cepat sahaja dia melenting! Justeru, bagaimana mahu menghadapi golongan remaja bersikap negatif seperti ini?


Menurut sebuah jurnal pendidikan Islam dan Bahasa Arab berjudul ‘ Pendekatan Islam dalam Menangani Masalah Disiplin Tegar Dalam Kalangan Pelajar Sekolah: Suatu Kajian Kes’ oleh Khalim Zainal dan Wan Zulkifli Wan Hassan (2009) menyatakan bahawa pemantapan pelajar melalui pendekatan Islam iaitu solat dan tazkirah agama mampu mengubah tingkahlaku pelajar bermasalah disiplin. Daripada kajian kes yang dibuat, terdapat perubahan ketara kepada para pelajar yang terlibat dengan masalah disiplin. Program yang dibuat untuk pelajar tegar disiplin adalah seperti berikut,


Waktu (Isnin-Jumaat)
Pengisian

7:30- 10:30 pagi

-        Membaca Al-Qur’an
-        Menunaikan solat Dhuha
-        Tazkirah

1:30- 2:00 petang
Lapor diri kepada guru disiplin di bilik guru untuk berbincang dengan guru disiplin.


(Sumber: Khalim Zainal dan Wan Zulkifli Wan Hassan. (2009). Pendekatan Islam dalam Menangani Masalah Disiplin Tegar Dalam Kalangan Pelajar Sekolah: Suatu Kajian Kes. Dimuat turun di http://journalarticle.ukm.my/766/1/6_0.pdf)



Penulis bersetuju dengan pendekatan yang dibuat sebagai usaha pemantapan iman dan jati diri pelajar terbabit. Ini bertepatan dengan pendekatan Rasulullah S.A.W iaitu menyempurnakan akhlak manusia sepertimana maksud hadith sahih, ‘ sesungguhnya aku di utuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia.’


Pendekatan solat dan tazkirah agama yang berterusan kepada para pelajar yang bermasalah disiplin seperti biadap kepada guru adalah sebagai usaha mengembalikan mereka kepada fitrah kejadian manusia yang asal kejadiannya adalah baik. Personaliti muslim yang positif akan terbentuk daripada latihan-latihan melalui ibadat wajib dan sunat terutama solat yang khusyuk. Ini selari dengan firman Allah S.W.T yang bermaksud, ‘sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar.’ Ia seterusnya dimantapkan lagi dengan tazkirah-tazkirah agama sebagai peringatan kepada asal kejadian di dunia sebagai khalifah Allah.  


            Hasil kajian kes yang dibuat oleh dua orang pensyarah UKM tersebut juga menunjukkan terdapat peningkatan dalam prestasi akademik pelajar terbabit melalui program pemulihan tersebut. Dapatan ini menyokong falsafah dan intisari hukuman Islam sebagai suatu proses pendidikan bukannya menghukum.


               Kesimpulannya, kita tidak boleh putus asa dalam mendepani pelajar yang lemah budi pekerti ini. Jika mereka tidak dididik dari sekarang, mereka akan terus hanyut dan lemas dalam dunia sendiri. Pendekatan-pendekatan bersifat Islami seperti menghidupkan semula ruh solat dalam jiwa pelajar dan memberi tazkirah-tazkirah agama ringkas sebelum memulakan kuliah sebenarnya berkesan supaya hati sentiasa bersih dan beringat. Salam merdeka kepada semua remaja yang dikasihi. Wallahu’alam.



Oleh,

FARIDAH BINTI MOHD TAP
Pensyarah Pengajian Umum,
Kolej UNITI, Port Dickson.

Monday 25 March 2013

PELAJAR LELAKI BERMAIN SAMBIL BELAJAR @ HELPING BOYS NURTURING GIRLS



Baru-baru ini penulis telah memberi tugasan kepada pelajar-pelajar yang mengambil subjek kenegaraan untuk melakukan 'role-playing' dalam memahami sejarah pendudukan Jepun dan penentangan orang Melayu ke atas penubuhan Malayan Union.

Kelas yang didominasi oleh pelajar lelaki memberi idea kepada penulis untuk menarik minat mereka terhadap subjek pembacaan sejarah yang sudah tentu 'agak membosankan' jika tidak kena gaya dan teknik pengajaran dan pembelajarannya.

Penulis juga percaya bahawa pelajar-pelajar lelaki ini akan lebih bersungguh-sungguh dalam pembelajaran jika P&P itu sesuai dengan kelakian mereka iaitu bermain sambil belajar. Tugasan bersifat 'role-playing' ini adalah sebagai inisiatif memperkasakan kecemerlangan pelajar lelaki dalam pendidikan supaya seiring dengan pelajar perempuan.

Ini juga bertepatan dengan agenda fakulti yang menjadi peneroka pendidikan berteraskan gender dengan jenamanya 'Helping Boys Nurturing Girls' di Malaysia. Daripada pemerhatian penulis, boleh dirumuskan pelajar lelaki dengan sifatnya yang agresif lebih gemar bermain daripada belajar.

Maka disebabkan itulah, penulis cuba mencipta suasana bermain tetapi pada masa yang sama mereka belajar dan dapat memahami intipati-intipati penting dalam pelajaran.

Akhirnya, lihatlah aksi-aksi pelajar ini,





Si atuk sedang menceritakan pengalamannya ketika pendudukan Jepun di Tanah Melayu kepada cucu0cucunya.

Sir Harold Mac Michael mendesak Sultan Melayu untuk menandatangi dokumen  penerimaan pemerintahan Malayan Union.

Orang Melayu berdemonstrasi menentang penubuhan Malayan Union di bawah pimpinan Dato' Onn Jaafar.

Leftenan Adnan dan anggota tenteranya berjuang mempertahankan negara daripada serangan tentera Jepun.

Bergambar selepas 'role-playing'.

Tuesday 19 March 2013

BERSATU ATAS NAMA PERIKEMANUSIAAN!




Agama pada satu sisi negatif telah digambarkan sebagai pencetus konflik sehingga menyebabkan perang yang berpanjangan. Paling malang adalah agama Islam bilamana hampir keseluruhan pertumpahan darah di dunia ini melibatkan perasaan prejudis kepada umat Islam. Islam disalahkan dan dijenamakan oleh pihak Barat sebagai agama pengganas dan teroris. Apa jua bentuk keganasan yang berlaku, dunia barat khususnya terus menunding jari menyalahkan agama Islam. Maka dengan serta-merta melaungkan ‘war on terror’ (perang menentang keganasan) tetapi lebih menjurus kepada ‘war on Islam’ (perang ke atas Islam).

Samuel P. Huntington dalam ‘magnum opus’nya The Clash of Civilizations menyatakan salah satu pencetus konflik dan perang di dunia selepas era perang dingin adalah perbezaan budaya dan agama.  Malangnya, beliau cenderung melihat Islam sebagai ‘bloody border’ (wilayah berdarah) dengan menyatakan hampir kesemua konflik antara tamadun melibatkan agama Islam. Tesis beliau ini kemudiannya dikritik oleh beberapa ahli akademik antaranya Amartya Sen yang mengatakan kepelbagaian budaya dan agama adalah salah satu ciri utama hampir kesemua tamadun termasuklah Tamadun Barat.

Begitu juga kenyataan Peter Hain, seorang Menteri di Eropah pada tahun 2002 yang menuduh umat Islam di England sebagai golongan pemisah (disinonimkan sebagai ekstrimis agama) dikritik semula oleh editor majalah The Guardian sebagai suatu tuduhan yang tidak objektif dan berat sebelah. Editor tersebut menyanggah kenyataan Hain dalam kolumnya bertajuk, ‘Peter Hain Mishits: Separatism is Not Just an Islam Issue’ dengan menyatakan,
There are fundamentalists in all religions, who rightly make liberals uncomfortable. Similarly, the Muslim community is not the only immigrant groups who have turned in on themselves. To suggest this is confined to Muslims is damaging and wrong. We do need a grown-up debate about integration - and the causes, such as white discrimination, for the growth of separatism.”  (Isnin, 13 Mei 2002 17.18 BST di http://www.guardian.co.uk/world/2002/may/13/eu.immigrationandpublicservices.)

PERSAMAAN DALAM KEPELBAGAIAN
Tidak dinafikan banyak konflik berdarah di dunia ini dicetuskan oleh puak pelampau dan fanatik agama. Sebagai contoh, pembunuhan tokoh politik Indra Ghandi oleh pelampau Sikh, Rajiv Ghandi oleh pelampau ‘Tamil Tigers’ di Sri Lanka, Yitzak Rabin oleh Ultra-Orthodoks Yahudi, pembersihan etnik Bosnia oleh pelampau orthodoks Kristian Yugoslavia, rusuhan berdarah Hindu-Muslim di Gujerat India oleh pelampau Hindu dan Islam. (Badrul Hisham Ithnin, Pengajian Malaysia , 2011).Sedang berlangsung tanpa berkesudahan krisis kemanusiaan berbaur etnik dan agama di Myanmar melibatkan etnik Muslim Rohingya, Selatan Thailand, Melayu Moro di Filipina dan pembunuhan rakyat besar-besar polis pemerintah ke atas kumpulan protes di Bangladesh akibat tidak puas hati kepada hukuman mati ke atas beberapa pemimpin tertinggi Jamaat-i- Islami.

Menyaksikan senario hari ini, terus penulis teringat kepada perbualan antara malaikat dan Allah S.W.T yang dikisahkan di dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 30.  Sedari awal penciptaan manusia lagi, para Malaikat berasa khuatir mengenai pertumpahan darah yang dicetuskan oleh golongan manusia. Allah Ta’ala berfirman, Dan tatkala Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Aku hendak menciptakan khalifah pada bumi", mereka berkata: "Adakah Engkau mahu jadikan padanya makhluk yang akan berbuat bencana padanya dan akan menumpahkan darah? Padahal kami berbakti dengan memuji Engkau dan memuliakan Engkau". Dia berfirman: "Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui". (Ayat 30 : Surah al-Baqarah ).

Begitulah penciptaan manusia jika hilang sifat peri insaniahnya, maka huru-hara bumi ini dengan pelbagai bencana dan pertumpahan darah. Namunpun begitu, tujuan utama penciptaan manusia sebenarnya adalah untuk berperanan sebagai khalifah di dunia. Taklifan sebagai khalifah itu sendiri merupakan suatu anugerah kepada manusia. Bagi yang memahami tujuan itu, sudah tentu dunia ini akan sunyi dari sebarang persengketaan pemusnah generasi manusia. Kerana itulah, Allah Ta’ala berfirman maksudnya, …"Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui."

Manakala, tujuan utama Allah Ta’ala menciptakan kepelbagaian rupa dan bangsa di kalangan manusia adalah berdasarkan nas Al-Qur’an yang bermaksud,
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (Al-Hujurat: ayat 13).

Daripada maksud Kalamullah di atas, kita dapat menemukan jawapan dan solusi kepada segala persengketaan manusia di dunia iaitu saling menghormati setelah masing-masing berta’aruf dan berkenal-kenalan. Iya, bukan mudah untuk mencipta perasaan saling menghormati. Disebabkan itulah semulia-mulia manusia adalah yang paling bertaqwa. Hormat-menghormati adalah terbit dari rasa taqwa yang tinggi dalam diri. Iya, bukan senang mahu meletak tepi ego diri, merasa diri dan bangsa sendiri sebagai terpuji. Oleh itu, kembalilah mengingati bahawa asal kejadian manusia adalah dari tanah, maka kepada tanah jualah tempat kita akan kembali. Jika agama tidak dapat menyatukan, apakah salah kita bersatu dan hidup aman harmoni atas nama perikemanusiaan? Itulah solusi kepada kemelut yang membelenggu kehidupan manusia hari ini.



Oleh,
FARIDAH BINTI MOHD TAP
Ketua Jabatan Pengajian Umum,
Kolej UNITI Port Dickson,
Negeri Sembilan.

PELUANG UNTUK BAKAL GRADUAN DPS...



MAKLUMAN KEPADA SEMUA PELAJAR KHUSUSNYA PELAJAR DPS..!!

18 HINGGA 20 MAC AKAN BERLANGSUNGNYA HARI KERJAYA DI DEWAN ZA'ABA.. DAN BERIKUT ADALAH SENARAI SYARIKAT YANG AKAN HADIR:-

1.. Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sembilan.

2.. Etiqa Takaful Berhad
3.. Southern Waste Management (SWM) Sdn Bhd
4.. iEPU Holding Sdn Bhd
5.. Great Eastern Takaful Sdn Bhd
6.. Golden Arches Restaurant Sdn Bhd (Mc Donald)
7.. Takaful Ikhlas
8.. Agro Bank
9.. SME Bank
10.. UNITI Resources
11.. Bondamama
12.. Avail Beauty

13.. Prudential

* Tulisan berwarna merah adalah khusus untuk bakal graduan DPS..



BAGI PELAJAR YANG BERMINAT UNTUK MEMOHON KERJA, JANGAN LUPA UNTUK BAWA RESUME ANDA (BESERTA SIJIL2 JIKA ADA) KE BOOTH2 YANG TELAH ADA... DAN PELAJAR BOLEH JUGA MENCARI MAKLUMAT SYARIKAT BAGI MEMUDAHKAN PROSES TEMUDUGA (SEKIRANYA ADA)..

Jumpa Anda Di Sana.. Dan SEMOGA BERJAYA..!!

Thursday 14 March 2013

JOM SERTAI PROGRAM BIJAK BICARA!!!1


FAKTA PENTING!!!

"SERDANG, 18 MAC – Kelemahan komunikasi termasuk penguasaan Bahasa Inggeris adalah antara punca graduan universiti sukar memperolehi pekerjaan selepas bergraduat kelak.

Pengarah Pusat Kokurikulum Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohammad Shatar Sabran dalam ceramahnya berkata statistik yang dilakukan oleh Jobstreet.com menunjukkan 55.8% graduan mempunyai kelemahan berkomunikasi dan penguasaan Bahasa Inggeris diikuti sikap dan personaliti yang lemah iaitu 37.4% dan meminta gaji yang tidak bersesuaian 33%.

KAMI ADA PENYELESAIAN UNTUK ANDA.

FTK dan Kelab Keusahawanan serta Pendidikan Kanak-Kanak (KSPK-KU) dengan kerjasama FPPI, FPPM dan BHEMKU akan menganjurkan satu seminar BIJAK BERBICARA yang akan diadakan seperti ketetapan berikut:

> Tarikh: 22 MAC 2013 (Jumaat)

> Masa : 9.00 - 11.30 (sesi I)
                  2.30 - 5.00 (sesi II)

>  Tempat : Dewan zaaba      

> Penceramah : En. Badrul Sani (Murabbi rancangan Adik-Adikku), pengarah urusan Speak Out Training,

> Bayaran : RM15 (Untuk pembelian buku Langkah Bijak Komunikator Hebat - Pelajar boleh menggunakan baucer buku)

> Terhad kepada 600 tempat sahaja. Terbuka untuk semua Warga Kolej UNITI.

JUGA TERBUKA KEPADA SEMUA PENSYARAH KOLEJ UNITI.

Pensyarah yang berminat boleh hubungi Cik Mona (FPPM), Pn. Habsah (FTK) atau Pn. Lily (FPPI).


PELUANG HANYA DATANG SEKALI! Jom beramai-ramai mendaftar! Siapa cepat dia dpt!



(Habsah Abdul Shaer)

Wednesday 13 March 2013

BENGKEL MELAKAR KEJAYAAN UNTUK PARA PELAJAR BERJAYA

Para peserta Bengkel Melakar Kejayaan baru-baru ini.


Kolej UNTI, 11 Mac 2013 – Unit Pembangunan pelajar dengan kerjasama Koordinator pelajar Diploma Pendidikan Prasekolah Semester satu telah menganjurkan sebuah Bengkel Melakar Kejayaan bertujuan untuk membantu pelajar-pelajar meningkatkan prestasi mereka dalam akademik.


Program ini dilaksanakan susulan daripada prestasi pelajar yang kurang memberangsangkan dalam keputusan ujian satu  yang diadakan pada penghujung Februari yang lalu.


Hasil dari mesyuarat bersama dekan, fakulti telah memutuskan untuk melaksanakan beberapa program pembetulan bagi mencegah pelajar-pelajar daripada gagal dalam subjek yang mereka telah daftarkan pada semester ini.
Terdapat tiga objektif utama program tersebut iaitu mengeratkan hubungan silaturahim antara para pelajar, merancang keputusan peperiksaan dan membina serta melakarkan impian mereka.


Di peringkat awal bengkel tersebut, para pelajar berasa malu untuk berkongsikan impian hidup mereka. Walau bagaimanapun, setelah menggunakan teknik psikologi dengan memuji, para pelajar mula berani dan bersemangat untuk berkongsi impian mereka di masa hadapan. Paling menarik, salah seorang pelajar yang paling ‘bermasalah’ telah berkongsi impiannya yang hebat.


Para pelajar juga didedahkan dengan teknik merancang keputusan peperiksaan secara berkesan. Daripada tinjauan kasar, hanya sekitar 30% pelajar yang merancang dan mensasarkan keputusan mereka. Justeru, program sebegini dianjurkan bertujuan untuk membolehkan pelajar merancang keputusan mereka supaya peratusan pencapaian lemah dan gagal boleh dikurangkan atau sifar.



Kesimpulannya, program ini diharapkan dapat membantu pelajar-pelajar menggapai impian mereka bukan sahaja sebagai hadiah kepada diri sendiri, tetapi juga sebagai hadiah berharga untuk ibubapa mereka.

Thursday 7 March 2013

PELAJAR KOLEJ UNITI PORT DICKSON CIPTA PRODUK PERMAINAN KREATIF DI KARNIVAL UNITI & KARANGKRAF

Monalisa Haron Chong (kiri) bersama pelajar dengan produk kreatif mereka.


Kolej UNITI, Port Dickson 2 Mac 2013- Pelajar Diploma Pendidikan Pra- Sekolah (DPS) di bawah Fakulti Pendidikan Pra- Sekolah tidak melepaskan peluang pamer kreativiti dalam 30 buah rekacipta dan produk kreatif alat bantu mengajar untuk kanak-kanak  bersempena Karnival Uniti dan Karangkraf berjaya menarik perhatian pengunjung awam.


Rekacipta produk permainan  tersebut  adalah bagi memenuhi keperluan tugasan untuk salah satu subjek bagi pelajar semester 5 bagi pelajar DPS. Para pelajar diberi pendedahan dan pendidikan dalam menghasilkan produk permainan yang memberi fokus dan membantu kanak-kanak lelaki dalam pendidikan. Ini selaras dengan konsep ‘Helping Boys, Nurturing Girls; Boys create learning in their games and girls create games for their learning” yang didokong oleh fakulti ini.


“Kanak-kanak lelaki mewujudkan pembelajaran dalam permainan mereka dan kanak-kanak perempuan mencipta permainan untuk pembelajaran mereka. Konsep ini membantu para pelajar untuk menghargai dan menghormati perbezaan kanak-kanak lelaki serta mengetahui kaedah yang tepat untuk membantu kanak-kanak lelaki belajar secara aktif dan menyeronokan,” terang Monalisa, penasihat aktiviti permainan kreatif ini.


Permainan yang direka oleh para pelajar yang mengambil kursus DPP 3103 bukan hanya membantu pembelajaran kanak-kanak lelaki tetapi mengikut fitrah dan keperluan kanak-kanak lelaki yang selama ini seringkali terlepas pandang. “Permainan yang direka khas ini membantu kanak-kanak lelaki belajar melalui bermain secara aktif dan berkesan,” tambah Monalisa lagi.


Paling dijadikan keutamaan adalah permainan yang direka berpandukan kisah haiwan dalam Al-Quran dan kisah- kisah haiwan teladan. Ini bukan sahaja membantu kanak-kanak lelaki belajar dengan gembira malah dapat memupuk peribadi mulia serta mencintai para rasul, khususnya baginda Rasullulah SAW.


Aktiviti sebegini sebenarnya adalah ruang dan peluang kepada para pelajar bagi mengembangkan bakat mereka secara holistik dan kreatif iaitu yang merangkumi aspek potensi berdasarkan perkembangan moral dan kerohanian, kognitif, sosioemosi , bahasa dan fizikal.


Para pelajar yang terlibat dengan tugasan ini berupaya mengaplikasikan daya kreativiti dalam menerbitkan idea dan menghasilkan sesuatu inovasi hanya dengan menggunakan bahan-bahan terbuang dan terpakai . Dengan menggunakan bahan kos rendah atau tanpa kos, permainan yang tercipta boleh digunakan oleh guru prasekolah untuk dijadikan bahan pengajaran dan pembelajaran supaya lebih menarik dan berkesan.


Akhirnya, salah satu kemahiran yang diperlukan oleh para pelajar bagi menjamin kebolehanpasaran mereka selepas bergraduat adalah mempunyai kemahiran insaniah yang tinggi. Kebolehan ini termasuk pemikiran kreatif dan kritis serta keusahawanan.

Justeru itu, kelebihan yang dapat dicapai oleh para pelajar ini adalah mereka mampu mencipta sesuatu inovasi yang mampu membantu kanak-kanak lelaki untuk bergerak aktif dan seronok untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran terutama bagi mata pelajaran pendidikan Islam dan Moral yang merupakan keunikan DPS, FPPM Kolej UNITI Port Dickson berbanding di tempat lain. Semoga akiviti sebegini mampu mengembangkan lagi gagasan ‘Helping Boys Nurturing Girls.’


Disediakan oleh
Monalisa Haron Chong
Penasihat aktiviti dan pengurus Tadika BondaMama.

FPPM KOLEJ UNITI PORT DICKSON MENAWARKAN MAYS PELAJAR TERPILIH

Dekan FPPM, Encik Zakri sedang memberi ucapan alu-aluan kepada peserta MAYs.




KOLEJ UNITI, Port Dickson 23 Feb 2013- Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia (FPPM)  telah menganjurkan sebuah program  “Masih ada Yang Sayang” (MAYs)  khusus untuk para pelajar Diploma Pendidikan Pra-Sekolah yang  terpilih.

MAYs merupakan satu usaha  inisiatif FPPM Kolej UNITI Port Dickson bagi membantu para pelajar meningkatkan keupayaan pencapaian akademik kepada yang lebih baik. Berdasarkan kajian  yang dibuat oleh para ahli akademik dan motivator, prestasi  akademik yang tinggi dikalangan pelajar didorong oleh beberapa faktor.

Antara faktor-faktor tersebut ialah kemampuan  dalam menentukan matlamat,  merancang jadual  akademik,  keyakinan diri, strategi belajar yang efektif, kemahiran dalam mengurus masa, adab dan taat kepada guru, ibubapa serta memelihara dan menunaikan kewajipan solat fardu lima waktu.

Hasil kajian juga telah menunjukkan hanya sekitar 40% pelajar sahaja di institusi pengajian tinggi yang membina matlamat dan membuat perancangan bagi mencapainya  sepanjang berada di institusi. Selebihnya, pelajar sekadar mengikuti kuliah dan menamatkan program diploma seadanya.

SOLAT KUNCI KEJAYAAN

Selain itu, faktor penting yang mempengaruhi kejayaan pelajar adalah kemampuan pelajar mendirikan solat sejurus selepas kedengaran laungan azan tanpa melengahkan waktu. Hubungan solat dan kejayaan secara mudahnya ia dapat difahami daripada seruan azan yang mengandungi lafaz Hayya ya a’las solah (marilah menunaikan solat) dan diikuti lafaz Hayya ya a’lal Falah (marilah menuju kejayaan).

Seruan ini sudah cukup membawa erti bahawa setiap individu yang memelihara dan mendirikan solat pasti diiringi dengan kejayaan bukan sahaja didunia tetapi jug akhirat, alam yang lebih abadi. Solat merupakan ‘sillah’ atau talian yang menghubungkan individu muslim kepada Penciptanya, Allah ‘Azza Wajalla. Melalui solat yang sempurna terhimpun pelbagai bentuk  pendidikan yang bermakna kepada diri.

Solat juga senjata yang cukup ampuh sebagai perisai  diri dari terjebak ke dalam perkara mungkar yang memesongkan fokus individu tersebut dalam mencapai matlamat untuk cemerlang di dunia dan akhirat.

Justeru itu FPPM, Kolej UNITI Port Dickson melalui Unit Pembangunan Pelajar telah menganjurkan program ini secara berkala sepanjang semester. Antara modul-modul yang telah dibangunkan secara konprehansif adalah Menggapai Impian, Bisa Sukses, Motivasi Solat, Pembelajaran Aktif, masa Efektif dan Role 3S. Justeru, para pelajar tersebut perlu mengikuti modul-modul ini sepanjang semester yang mengambil masa sekitar 14 jam. 

Paling penting, para pelajar yang terpilih perlu merasakan program ini sangat berharga dan sepatutnya tidak melepaskan peluang untuk mengikutinya demi menjamin kejayaan mereka di kolej bertuah ini.

Disediakan oleh
Encik Zakri b Md Zain
Dekan FPPM, Kolej UNITI Port Dickson