Air tangan ibu adalah yang paling dirindui sampai bila-bila. Sejak kecil, penulis dibesarkan dengan masakan ibu dan jarang sekali makan di luar. Seingat penulis, tidak pernah sepanjang zaman persekolahan dan tinggal bersama kerana makanan kami sekeluarga telah disediakan oleh emak sedangkan emak keluar bekerja seawal jam 6 pagi dan pulang menjelang asar. Walaupun makanan yang dihidangkan hanyalah sekadar nasi berlaukkan telur mata dan kicap. Kelazatannya terasa hingga kini. Sesekali emak tidak sihat dan kepenatan, namun makanan untuk anak-anaknya tidak pernah putus. Menjelang perayaan pula, emaklah yang paling sibuk menyediakan pelbagai juadah. Hingga kini, setiap kali balik ke kampung halaman, penulis ternanti-nanti masakannya. Setiap kali itu juga, emak akan membekalkan dengan makanan kegemaran untukku sekeluarga apabila kami berangkat pulang.
Dari perhatian penulis, masakan hasil dari air tangan emak menjadikan hubungan kekeluargaan kami rapat walaupun secara fizikalnya anak-anak telah duduk berjauhan. Untuk melukakan hati emak jauh sekali, malah berusaha menggembirakannya dengan kejayaan untuk dikongsi bersama. Tautan hati yang terjalin adalah berkat dari air tangan emak yang ikhlas menyediakan juadah untuk keluarga. Penulis berasa kagum dengan kesungguhan para isteri/ibu terdahulu khususnya dalam menyediakan makanan kerana ia sangat memberi kesan kepada keteguhan ikatan perkahwinan suami isteri dan pembentukan peribadi anak-anak.
Dewasa ini, para isteri/ibu terpaksa keluar bekerja bagi meringankan bebanan ekonomi rumahtangga yang semakin mencengkam kehidupan. Namun, dari sisi negatifnya, kebanyakan isteri/ibu bekerjaya kehilangan masa untuk menyediakan juadah untuk keluarga melainkan cuti hujung minggu. Bagi yang berkemampuan, mereka mengambil pembantu rumah untuk urus segala termasuk menyediakan juadah untuk keluarga. Sebaliknya, ada juga yang membungkus makanan atau memberi wang kepada anak-anak untuk membeli makanan di mana-mana kedai makan sendirian.
Hakikatnya, air tangan seorang isteri/ ibu sangat besar maknanya kepada seorang insan bergelar suami dan anak-anak. Ia bukan sekadar makanan untuk mengenyangkan perut yang kelaparan tetapi lebih daripada itu. Air tangan yang dimaksudkan ialah tentang kesungguhan, kecintaan, keceriaan dan ketulusan hati seorang isteri/ ibu kepada suami dan anak-anak. Sentuhan dari hati diiringi dengan ucapan basmallah, doa-doa ringkas yang baik dan zikir itulah yang menjadikan makanan yang dimasak oleh isteri/ ibu terasa sangat enak dan dirindui tidak terbandingkan dengan hotel mewah sekalipun.
Acapkali, isteri/ ibu bekerjaya terasa penat seharian di tempat kerja dan apabila pulang terpaksa pula bertungkus lumus di dapur. Maka membeli sahaja makanan menjadi alternatif selain menjimatkan masa. Sedangkan puteri Rasulullah s.a.w Fatimah Az-Zahra pun mengeluh dan menangis kepenatan menggiling tepung dan kerja rumah lainnya inikan pula kita manusia biasa. Maka Rasulullah s.a.w memujuk dengan menyampai pesanan kepada puterinya itu agar terus bersabar. Pesanan dan nasihat Rasulullah s.a.w sebenarnya menjadi inspirasi dan motivasi untuk kita supaya lelah yang dirasa dalam mengurus hal ehwal rumahtangga merupakan salah satu jalan menuju ke syurga.
Rasulullah s.a.w memujuk puterinya dengan berpesan,
• Wahai Fatimah!, seorang perempuan manapun yang menggilingkan tepung untuk suami dan anak-anaknya, maka Allah S.W.T akan menuliskan suatu kebaikan dan menaikkan darjatnya dari setiap biji gandum yang digilingnya.
• Wahai Fatimah!, seorang perempuan yang menggilingkan gandum hingga ia berkeringat, maka Allah S.W.T akan menjauhkan dirinya dari neraka tujuh buah parit.
• Wahai Fatimah!, seorang perempuan yang meminyakkan rambut anaknya kemudian menyisir rambut mereka dan mencuci pakaian, nescaya Allah S.W.T akan mencatatkan pahala baginya seperti orang yang memberi makan kepada seribu orang yang lapar dan memberi pakaian kepada seribu orang yang telanjang.
• Wahai Fatimah!, seorang perempuan yang yang menghalangi hajat jiran tetangganya, maka Allah SWT akan menghalangi meminum air telaga Kautsar pada hari kiamat.
• Wahai Fatimah!, ketahuilah yang paling utama adalah bahawa redha suami adalah redha Allah S.W.T dan kemarahan suami merupakan kemarahan Allah S.W.T.
• Wahai Fatimah!, seorang perempuan yang sedang hamil akan dicatatkan kebaikan-kebaikan dan dihapuskan kejahatan darinya serta para malaikat akan beristigfar untuknya.
• Wahai Fatimah!, seorang perempuan yang hendak melahirkan anaknya, Allah S.W.T akan mencatatnya sebagai pahala seperti orang yang berjihad di jalan Allah SWT.
• Wahai Fatimah!, seorang perempuan yang telah melahirkan anaknya, maka dia terbebas dari dosa-dosa seperti keadaan pada hari dilahirkan oleh ibunya. Dan jika meninggal ia tidak menanggung dosa sedikit pun hingga kuburnya menjadi taman syurga bagi dirinya.
• Wahai Fatimah!, seorang perempuan yang melayani suaminya sehari semalam dengan baik, lemah lembut dan ikhlas maka Allah S.W.T akan mengampuni dosa-dosanya dan kelak akan mengenakan pakaian berwarna hijau di syurga dan memberikan kebaikan setiap helai bulu dan rambut yang ada di tubuhnya.
• Wahai Fatimah!, seorang perempuan yang tersenyum manis dan lembut dihadapan suaminya akan dipandang Allah S.W.T dengan pandangan penuh rahmat.
• Wahai Fatimah!, seorang perempuan yang menyiapkan tempat istirahat bagi suaminya dan menata hias rumah dengan baik hati dan sabar, maka malaikat akan menyeru, ”Teruslah beramal, Allah S.W.T. akan mengampuni dosa-dosamu yang telah lalu dan akan datang.”
• Wahai Fatimah! seorang perempuan yang meminyakkan rambut dan janggut suaminya, memotong kumisnya, serta mengguntingkan kukunya, maka Allah S.W.T akan memberinya minuman dari sungai-sungai syurga dan Allah S.W.T memudahkan saat sakaratul mautnya kemudian menjumpai kuburnya bagaikan taman-taman syurga. Selain itu, Allah S.W.T akan menyelamatkan dirinya dari api neraka dan selamatlah ia dari titian shirat.
Pesan-pesan Rasulullah s.a.w mengandungi daya penggerak yang menggetarkan nurani wanita untuk terus tersenyum melakukan tugas-tugas lazim sebagai isteri dan ibu walaupun dalam kepenatan. Antara tugas lazim seorang isteri/ ibu ialah memasak. Justeru, jangan sesekali mengabaikannya kerana air tangan yang mengalir dalam masakan yang disediakan mengandungi hikmah dan manfaat tertentu antaranya mengukuh jalinan cinta suami isteri, mengekalkan kebahagiaan keluarga, mengakrabkan hubungan ibu dan anak-anak dan membentuk peribadi anak-anak agar mudah mendengar kata dan taat.
Semoga dengan usaha-usaha para isteri/ ibu seperti memasak untuk membahagiakan suami dan anak-anak menjadi bakti untuk meraih syurgaNya. Bersyukurlah para isteri/ ibu jika masih berpeluang memasak untuk suami dan anak-anak kerana itulah momen yang akan dirindui sampai bila-bila sedangkan ramai yang mungkin tidak mampu untuk berbuat demikian dengan pelbagai sebab. Ingatlah, antara hikmah terbesar air tangan seorang isteri/ ibu ialah dapat mengukuh ikatan kekeluargaan untuk dikenangi oleh suami dan anak-anak agar sentiasa dekat di hati. Insha Allah dengan izin Allah.
Showing posts with label Wanita. Show all posts
Showing posts with label Wanita. Show all posts
Monday, 30 January 2017
Tuesday, 23 July 2013
ROGOL: PEMBUNUH KEGADISAN.
|
Banyak pula berita-berita mengenai rogol yang melibatkan pelajar ipt dan remaja perempuan. Ini saya kongsikan tips mengelak dari kejadian rogol. BERHATI-HATI YA!!!
Cara-cara mengelak dari kejadian rogol:
· Mengawasi ahli keluarga yang kurang siuman atau
kebodohan supaya tidak terbiar dan terdedah kepada bahaya rogol.
· Memberi pendidikan kepada kanak-kanak mengenai
kepentingan menjaga tubuh badan mereka daripada dicerobohi.
· Memberi pendidikan agama dan moral tentang dan
kemudaratan perbuatan persetubuhan haram.
· Mengawasi dan memantau pergaulan anak-anak dan
memastikan mereka tidak melebihi batas.
· Jangan mempercayai janji-janji oleh bomoh atau
singseh. Telah terbukti persetubuhan bukan satu cara untuk berubat tetapi
satu penipuan.
· Tidak mudah mempercayai janji untuk berkahwin
dengan menyerah kehormatan diri.
· Tidak mudah menurut pelawaan orang-orang yang
tidak atau baru dikenali untuk makan, minum, bersiar-siar atau pergi ke
bilik/rumah mereka.
· Terlebih dahulu minta dan semak kad kuasa orang
yang mengaku sebagai penjawat awam seperti polis atau pegawai pencegah
maksiat sebelum mengikut arahan mereka.
· Elakkan dari berjalan bersendirian di
tempat-tempat gelap, sunyi atau terpencil. Jika perlu pergi juga, pastikan
anda berteman.
· Membawa alat penggera peribadi amat disyorkan.
· Sentiasa berwaspada dengan makanan dan minuman
yang diberikan oleh orang yang tidak atau baru dikenali. Mungkin ia
mengandungi dadah, bahan pelali atau perangsang nafsu.
· Berwaspada apabila melihat orang yang
mencurigakan di sekitar kawasan kemudahan awam seperti tandas, stesen bas,
lif dan sebagainya.
· Ketika hendak gunakan kenderaan awam, pastikan
ada penumpang wanita lain bersama.
Mengatasi Ancaman Rogol:
· Undang-undang membenarkan hak untuk
mempertahankan diri daripada dirogol dengan menggunakan kekerasan ke atas
penyerang (perogol) sehingga boleh menyebabkan luka parah atau kematian ke
atasnya.
· Bertenang dan jangan kelam kabut jika diugut atau
diserang.
· Jangan lakukan tindakan yang terburu-buru.
· Sekiranya anda membuat keputusan untuk melawan,
pastikan anda benar-benar menguasai keadaan. Anda boleh gunakan tangan atau
kaki atau sebarang benda yang ada pada anda seperti beg tangan, payung, kunci
dan sebagainya untuk melawan.
· Camkan muka dan tanda-tanda yang ada pada
penjenayah itu serta pakaiannya dan juga nombor kenderaan yang digunakan.
· Untuk membantu penyiasatan polis, anda
dinasihatkan supaya tidak membasuh badan dan pakaian yang dipakai sewaktu
kejadian sebelum membuat laporan polis.
|
Oleh,
Jabatan Pengajian Umum, FPPM, Kolej UNITI.
Monday, 10 June 2013
KERANA CINTA, KELUARGA DISISIHKAN
Merujuk kepada statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengurusan Cawangan Hal Ehwal Awam PDRM, daripada 25,243 orang dilaporkan hilang lima tahun lalu, seramai 3,957 atau hampir 16 peratus membabitkan kes mengikut kekasih. (Kosmo Online, 21 November 2010).
“Biarlah dia
pilih jalan hidup sendiri. Kami dah penat!”, itulah luahan seorang ahli
keluarga kepada seorang remaja wanita yang lari mengikut teman lelakinya.
Tiada ibu bapa
didunia ini yang mahukan anak-anaknya menjalani kehidupan yang susah. Semua
ibubapa mengharapkan anak-anaknya menikmati kehidupan yang bermakna, bahagia
dan seiring redhoNya. Lantaran itu, ibubapa akan kerap menasihati, memberi
bimbingan supaya anak-anak tidak tersilap pilih jalan.
Namun, semua
impian hancur bila anak gadis mula mengenali dunia cinta. Kekadang semua
pesanan dan nasihat ibubapa dilupakan begitu sahaja. Kerana mengejar cinta
seorang lelaki yang terbukti tidak jujur, keluarga disisihkan, ibubapa
diabaikan, perasaan keduanya dilukai.
Habis puas dinasihati oleh ibubapa dan ahli keluarga, namun semuanya
ibarat mencurah air di daun keladi, masuk telinga kanan dan keluar telinga
kiri. Sudahnya, remaja wanita tersebut mengambil keputusan melarikan diri walau
diri telah didera, dilukai oleh lelaki yang kononya cinta sejatinya.
KERANA CINTA
ITU, MATA HATI BUTA.
Lantaran kuasa
cinta yang tidak berbelah bahagi kepada si lelaki, maruah diri diserahkan tanpa
segan silu walau tiada sebarang ikatan yang menghalalkan persetubuhan. Daripada
penzinaan tersebut, terhasil seorang janin yang sedang membesar di rahim si
remaja wanita tadi. Diri dipukul, dikurung, duit ditipu, tidak sekalipun
memberi keinsafan kepada remaja wanita tersebut. Cinta terhadap sang lelaki
tetap utuh disanubari. Kerana cinta itu, mata hatinya buta untuk menilai antara
kaca dan permata.
Ini merupakan
satu kejadian benar yang menceritakan kepada kita gejala gadis melarikan diri
kerana cinta. Mengikut sebuah laporan, setiap hari dua orang gadis lari ikut
kekasih. Merujuk kepada statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengurusan Cawangan Hal Ehwal Awam PDRM, daripada 25,243
orang dilaporkan hilang lima tahun lalu, seramai 3,957 atau hampir 16 peratus
membabitkan kes mengikut kekasih. (Kosmo Online, 21 November 2010).
Tambahan lagi, remaja
wanita Melayu lingkungan 14 hingga 17 tahun merupakan penyumbang terbesar
kepada satistik gadis hilang di Malaysia pada tahun 2000 hingga 2006. Gadis
hilang demi cinta merupakan faktor utama kehilangan di Negara ini sejak
kebelakangan ini. Ini sudah tentu merupakan perangkaan yang merisaukan kerana
gadis hilang kerana cinta tersebut mungkin terpedaya dengan tipu muslihat
kekasih hati yang ingin menjerat mereka ke lembah pelacuran, jenayah rogol,
bersekedudukan dan lain-lain.
KELEMAHAN JATI DIRI
SEBAGAI PUNCA UTAMA
Bukan sedikit
jumlah remaja wanita yang tertipu dengan pujukan manis sang lelaki yang tidak
bertanggungjawab. Dimana silapnya? Walau dibentang puluhan sebab-musabab
sekalipun, pokok pangkal kepada gejala ini adalah kelemahan jati diri sebagai Muslimah
khususnya.
Jati diri
sebagai Muslimah berdiri diatas asas yang rapuh. Iman senipis kulit bawang
terus-terusan dibiar sehingga mudah sekali dirobek dengan satu kali sentuhan.
Kewajipan dan tuntutan agama diabaikan. Putus asa, kecewa dan tidak yakin menghiasi
pembinaan karekter diri. Akibatnya, hidup dipandu dengan emosi dan nafsu yang
menghancurkan diri. Maka apabila dihujani dengan pujuk rayu cinta duniawi, diri
tersungkur menyembah bumi dan kerana diturutkan kata hati, badan binasa habis
dilukai.
Berbahagialah
menjadi muslimah sejati. Menutup aurat, tuntutan rukun iman dan Islam dilaksana
dengan penuh keikhlasan. Diri dihiasi adab sopan yang tinggi, yakin diri, rajin
menuntut ilmu barulah akan terlahir jati diri yang kuat. Walau ditiup angin
kencang dugaan dan pujuk rayu, semuanya mampu ditepis dengan keimanan yang
tidak berbelah bahagi kepada Rabbul ‘izzati. Hati tetap teguh, “AKU MAHUKAN
REDHO ALLAH DALAM KEHIDUPAN SINGKAT INI.” wallahu’alam.
Puan Faridah Mohd Tap
Ketua Jabatan Pengajian Umum,
FPPM, Kolej UNITI, PD.
(Boleh dihubungi di faridah@uniti.edu.my)




