Pages

Showing posts with label Helping Boys Nurturing Gilrs. Show all posts
Showing posts with label Helping Boys Nurturing Gilrs. Show all posts

Thursday, 28 December 2017

TAHUKAH ANDA? Penduduk Lelaki lebih ramai daripada penduduk wanita di Malaysia.

Tahukah kalian bahawa jumlah penduduk lelaki masih lagi mendahului penduduk wanita di Malaysia? Menurut statistik bancian penduduk Malaysia 2010, 51.5 peratus adalah penduduk lelaki berbanding 48.5 peratus penduduk wanita. Penduduk lelaki dijangka berterusan mendahului penduduk perempuan hingga tahun 2040 dengan sedikit penurunan peratus kepada 50.8.

Persoalannya, sejauhmana para lelaki ini dibina potensi diri mereka seperti yang dimaksudkan didalam Al-Qur’an dimana Allah berfirman maksudnya, “kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu, maka wanita yang soleh ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, kerana Allah telah memelihara mereka. (Surah An-Nisa’: ayat 34).

Justeru, kita perlu memandang serius kepada gejala keciciran lelaki dalam pendidikan dengan mengenal pasti dan membina potensi secara tepat dan efektif bersesuaian dengan fitrah sebenar mereka sebagai ‘pemimpin’. Ini ternyata benar apabila merujuk kepada kalamullah tentang perbezaan cara pendidikan kanak-kanak lelaki dan perempuan yang bermaksud “maka tatkala isteri ‘Imran melahirkan anaknya, dia pun berkata, “ya Tuhanku, sesungguhnya aku melahirkan seorang anak perempuan; dan Allah lebih mengetahui apa yang dilahirkannya itu; dan anak lelaki tidaklah seperti anak perempuan…” (Surah Al-‘Imran: ayat 36).

Menurut Michael Gurian bersama Kathy Stevens (2011) dalam buku berjudul ‘Boys and girls learn differently: a guide for teachers and parents’, kanak-kanak lelaki perlu dibantu menjadi lelaki sebenar apabila dewasa dengan membantu mereka mencari anugerah semulajadi dan memanfaatkan anugerah berharga tersebut kepada masyarakat. Ia merupakan usaha murni bagi membantu memperkasa potensi ‘heroic’ lelaki seawal mereka kanak-kanak untuk tujuan yang lebih besar iaitu menjadi pemimpin kepada masyarakat dalam semua lapangan.

Pendedahan Tujuan

Untuk itu, kanak-kanak lelaki perlu diberikan pendedahan tentang tujuan mereka dicipta sebagai lelaki yang digariskan dalam Al-Qur’an iaitu sebagai pemimpin. Kesan daripada kehilangan tujuan dalam diri mereka akan menyebabkan tahap kematangan yang lambat, keciciran dalam pelajaran, tidak dapat membina perasaan yang jelas tentang kepentingan peranan mereka dalam pendidikan dan sosial, serta terlibat dalam keganasan.

Keterlibatan lelaki dalam aktiviti-aktiviti keganasan adalah manifestasi sifat kelakian mereka yang sukakan kepada aktiviti lasak, agresif,‘thrill’ dan mendominasi tetapi ia tersasar jauh daripada yang sepatutnya iaitu menjaga keluarga dan survival masyarakat daripada ancaman bahaya. Ini terjadi apabila mereka hilang tujuan kenapa mereka dijadikan sebagai lelaki di dunia ini.

Oleh itu, bagaimana mahu membangunkan kanak-kanak lelaki yang ada tujuan?  Menurut Gurian (2011), ibubapa dan guru perlu memandu biologi kanak-kanak lelaki untuk mengetahui dan memahami tujuan kejadian mereka, membantu mereka membina empati, dan mengurus kekuasaan secara sihat atau istilah lainnya ‘aggression nurturance’. Sebagai contoh, kanak-kanak lelaki sering terlibat dengan pergelutan fizikal untuk menunjukkan kekuasaan dan kekuatan fizikal.

Kanak-kanak lelaki perlu dididik supaya menguruskan kekuasaan tersebut secara sihat seperti mengadakan pertandingan yang boleh menguji sifat ‘heroic’ mereka sebagai lelaki. Bagi yang kalah dalam pertandingan, ia juga sebenarnya boleh membantu kanak-kanak lelaki untuk membina kekentalan jiwa, kekuatan fizikal, mental dan emosi yang akan menjadi asas kepada masa depan yang berjaya, kecemerlangan prestasi, tujuan dan keterlibatan dalam kehidupan bermasyarakat.   

Kesimpulannya, kajian menunjukkan kanak-kanak lelaki banyak belajar melalui bermain. Pembelajaran melalui aktiviti bermain akan menjadi pengalaman kepada mereka dalam membangunkan sifat-sifat kepimpinan, menjadikan mereka lebih empati dan mempunyai tujuan dalam hidup. Oleh itu, ibu bapa dan institusi pendidikan khususnya perlu celik tentang keperluan kanak-kanak dan pelajar lelaki supaya potensi ‘heroic’ dalam diri mereka dapat dibangunkan untuk manfaat agama, masyarakat dan negara dan isu keciciran pelajar lelaki dalam pelajaran dapat diatasi.

Disediakan oleh,

PUAN FARIDAH BINTI MOHD TAP
Ketua Jabatan Pengajian Umum,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Kolej UNITI, Port Dickson.


Monday, 20 June 2016

BELAJAR SAMBIL BERMAIN DI TASKA CAHAYA TASNEEM KOLEJ UNITI, PORT DICKSON- Nur Akmar Mohd Arif

TASKA merujuk kepada Taman Asuhan Kanak-kanak yang diperuntukkan sebagai premis untuk penjagaan kanak-kanak di bawah umur 4 tahun. Akta TASKA 1984 (Akta 308) di bawah Seksyen 2 mendefinisikan TASKA sebagai ‘Mana-mana premis di mana empat orang atau lebih kanak-kanak di bawah umur empat tahun dari lebih daripada satu isi rumah diterima masuk untuk dijaga dengan upah’.


TASKA Cahaya Tasneem Kolej UNITI (TCT KU) telah ditubuhkan pada tahun 2016 dimana telah beroperasi secara rasmi pada 1 April 2016. TASKA ini dikendalikan di bawah pengurusan Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia, Kolej UNITI Port Dickson, di bawah pimpinan Dekan Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia (FPPM), Puan Siti Zaleha Binti Ahmad. FPPM dipertanggungjawabkan untuk menerajui pengurusan TASKA Cahaya Tasneem Kolej UNITI (TCT KU), dari semua aspek, sebelum penubuhan sehinggalah tertubuhnya TASKA pada hari ini dengan sokongan padu daripada pihak pengurusan atasan Kolej UNITI Port Dickson. Penubuhan TASKA ini telah dirasmikan oleh Ketua Pegawai Operasi Kolej UNITI Port Dickson, En Hamdan Bin Ikram dalam satu ‘Majlis Perasmian dan Doa selamat TASKA Cahaya Tasneem Kolej UNITI’ yang telah diadakan pada 31 Mac 2016 bagi meraikan penubuhan TASKA ini selain mendoakan kesejahteraan serta kelangsungan TASKA ini.



OBJEKTIF PENUBUHAN TASKA


TASKA Cahaya Tasneem Kolej UNITI (TCT KU)  ini telah ditubuhkan untuk menyediakan satu pusat penjagaan, pengasuhan dan pembelajaran yang berkualiti khusus untuk anak-anak staf Kolej UNITI Port Dickson yang berumur di bawah 4 tahun. Penubuhan TASKA ini juga adalah atas inisiatif pihak pengurusan atasan Kolej UNITI Port Dickson untuk memberi perkhidmatan kebajikan dalam penjagaan anak-anak staf Kolej UNITI Port Dickson pada kadar yang rendah. Selain itu, penubuhan TASKA ini juga adalah bertujuan untuk menyahut seruan kerajaan dalam mewujudkan TASKA di Tempat Kerja yang berkualiti. Kewujudan TASKA ini secara tidak langsung memberi kelebihan kepada staf Kolej UNITI Port Dickson yang mempunyai anak, seiring dengan keyakinan mereka kepada pihak Kolej UNITI Port Dickson untuk memberi perkhidmatan kebajikan yang berkualiti dalam penjagaan anak-anak staf. Ini bertujuan untuk memenuhi keperluan si kecil yang semakin membesar dalam meransang perkembangan yang sempurna dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial.  


Sehingga 1 Julai 2016, seramai 3 orang anak staf Kolej UNITI yang telah didaftarkan di TASKA Cahaya Tasneem Kolej UNITI (TCT KU).  Pada peringkat awal penubuhan TASKA ini, Ahli Jawatankuasa TASKA Cahaya Tasneem Kolej UNITI yang terdiri daripada para pensyarah Diploma Pendidikan Prasekolah (DPS) dari FPPM telah dipertanggungjawabkan untuk menjalankan pengasuhan serta sesi pengajaran dan pembelajaran kepada anak-anak di TASKA ini. Tanggungjawab ini telah dilaksanakan dengan cemerlang dalam memastikan anak-anak staf yang dihantar ke TASKA ini berasa selesa, seronok dan selamat sepanjang berada di TASKA ini. Para pensyarah DPS yang terlibat juga telah memiliki Sijil Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak (kini disebut sebagai Kursus PERMATA) yang diiktiraf oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM) dalam menjalankan tanggungjawab pengasuhan ini.


Pada 12 April 2016, Cik Siti Junainah Binti Bahari telah dilantik sebagai guru di TASKA Cahaya Tasneem Kolej UNIT I(TCT KU). Beliau merupakan bekas pelajar Kolej UNITI yang mengambil jurusan dalam bidang Diploma Pendidikan Prasekolah. Kewujudan TASKA ini juga adalah relevan dengan produk Diploma Pendidikan Prasekolah (DPS) dan Diploma Pendidikan Dan Asuhan Awal Kanak-Kanak (DPAKK) yang ditawarkan di bawah Fakulti FPPM. TASKA ini juga akan berfungsi sebagai makmal kajian perkembangan kanak-kanak, khusus untuk pelajar DPS dan DPAKK dalam memahami perkembangan dan keperluan dan kanak-kanak di bawah umur 4 tahun. Selain itu, kajian ‘Helping Boys And Nurturing Girls’ juga dapat diperkukuhkan dengan kewujudan TASKA ini dimana aktiviti yang dijalankan adalah berdasarkan fitrah anak lelaki sebagai pemimpin dan anak perempuan yang sentiasa ingin dibelai.


KONSEP BELAJAR SAMBIL BERMAIN


Konsep belajar sambil bermain diterapkan dalam pembelajaran di sini seiring dengan minat kanak-kanak dan memenuhi naluri mereka yang sentiasa ingin meneroka dan bermain. Memetik kata pepatah daripada Imam Al Ghazali, ‘If you don’t allow them to play. You will kill their soul’. Hakikatnya, fitrah anak kecil itu memang dilahirkan dengan naluri ingin bermain. Jadi, minat kanak-kanak untuk bermain itu perlu dimanipulasikan dalam pengajaran dan pembelajaran yang menggembirakan dan bermakna baik di rumah mahupun di TASKA.Ini secara tidak langsung dapat menarik minat dan mencungkil bakat dalam diri kanak-kanak comel ini. Antara aktiviti yang dijalankan adalah Aktiviti sahsiah, sosioemosi dan kerohanian, Aktiviti Awal Matematik Dan Pemikiran Logik, Aktiviti Perkembangan Deria Dan Pemahaman Dunia Persekitaran, Aktiviti Bahasa, Komunikasi Dan Awal Literasi, Aktiviti Estetika Dan Kreativiti,  Aktiviti Fizikal, ‘Nature Walk’, Membaca dan Main Luar. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan ini dapat meransang perkembangan kanak-kanak seiring dengan perkembangan umur mereka. Kemahiran motor halus dan motor kasar kanak juga diasah melalui aktiviti-aktiviti yang menggembirakan dan bermakna di dalam dan di luar TASKA, sesuai dengan keupayaan dan kebolehan kanak-kanak ini serta minat kanak-kanak ini yang sentiasa ingin meneroka dan bermain.



INTEGRASI STEM DAN KURIKULUM PERMATA


Sesi pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak di TASKA Cahaya Tasneem Kolej UNITI (TCT KU) adalah berdasarkan kurikulum PERMATA. Kaedah STEM (Science, Technology, Engineering & Mathematics) akan diaplikasikan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran yang diintegrasikan dalam Kurikulum PERMATA Negara. Melalui pendidikan STEM, kanak-kanak akan diberi galakan oleh pendidik untuk bertanya soalan, berkomunikasi dengan pendidik dan rakan-rakan secara aktif. Mereka juga digalakkan untuk bekerja dalam satu pasukan selain bersama menghargai alam semulajadi dan mencintai alam sekitar melalui aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan di TASKA ini seperti ‘Nature Walk’ dan aktiviti berkebun.


Model Pembelajaran Inkuiri Berasaskan Projek (PIP) paling sesuai dilaksanakan untuk kanak-kanak yang berumur di bawah empat tahun ini, mengikut sukatan pelajaran dan tahap kebolehan kanak –kanak ini. Ini bagi meningkatkan perasaan ingin tahu, seiring dengan minat kanak-kanak yang ingin meneroka dan mencuba perkara baru dalam kehidupan mereka. Terdapat empat fasa dalam ‘Pembelajaran Inkuiri Berasaskan Projek’ ini iaitu dimulai dengan Fasa 1: Inkuiri, Fasa 2: Penerokaan, Fasa 3: Reka cipta dan Fasa 4: Refleksi. Model PIP ini paling sesuai dan bersesuaian dengan perkembangan kanak-kanak untuk belajar STEM. Pengajaran dan pembelajaran yang menggembirakan dan bermakna ini dapat meningkatkan minat kanak-kanak dalam melakukan penerokaan, bereksperimen dan seterusnya memberi pengalaman pembelajaran yang bermakna di TASKA Cahaya Tasneem Kolej UNITI (TCT KU).



Dekan FPPM, Puan Siti Zaleha Binti Ahmad selaku Penasihat TASKA Cahaya Tasneem Kolej UNITI (TCT KU) telah hadir ke Persidangan Antarabangsa PERMATA 2016 bertema 'Children Beyond Tomorrow', selama tiga hari pada 31 Mei 2016 sehingga 2 Jun 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Persidangan ini dihadiri bagi meningkatkan pemahaman terhadap pembangunan pertumbuhan optimum kanak-kanak serta Integrasi Pedagogi STEM dan PERMATA Negara dalam Kurikulum Pendidikan Awal Kanak-kanak. Pengalaman yang diperoleh dalam Persidangan yang dianjurkan oleh Program PERMATA ini akan dimanfaatkan dalam memastikan kelangsungan dan kesejahteraan TASKA Cahaya Tasneem Kolej UNITI (TCT KU) serta memenuhi keperluan dan fitrah semulajadi  kanak-kanak seiring dengan objektif penubuhan TASKA ini seperti yang diusulkan oleh pihak pengurusan atasan Kolej UNITI Port Dickson.



Disediakan oleh,

Cik Nur Akmar Mohd Arif,
Pensyarah Jabatan Pendidikan, 
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI, Port Dickson.


Galeri Foto:


















Thursday, 19 May 2016

KERAMAT GELARAN MAHASISWA- Faridah Mohd Tap

Sumber: google imej

Penulis telah diundang  sebagai panel di Forum Mahasiswa: Dari Masyarakat kepada Masyarakat untuk acara Perkampungan Menara Gading’16 anjuran Persatuan Pelajar Islam Negeri Sembilan yang akan berlangsung pada bulan lepas. Turut hadir sebagai panel adalah saudara Jufitri Johar yang merupakan Tokoh Kebangsaan dan Tokoh Belia ASEAN tahun 2014 untuk bersama bakal- bakal lepasan pelajar SPM, STPM, dan STAM di peringkat Negeri Sembilan bagi memahami tanggungjawab sebagai mahasiswa. Perkongsian yang diberikan adalah sekitar peranan mahasiswa sebagai anggota masyarakat membawa mesej Rahmatan Lil ‘Alamin.


Mahasiswa merupakan golongan penting dan penentu masa depan citra masyarakat dan negara yang berjaya. Pelbagai cabaran dan kesukaran yang ditempuhi sepanjang pengajian menjadi asas kematangan seseorang individu sebelum melangkah ke dunia realiti pekerjaan dan menjadi pelapis kepimpinan masyarakat dan negara.  Penulis merasakan gelaran sebagai mahasiswa universiti merupakan suatu keramat kerana sejarah gerakan mahasiswa yang menggugat telah banyak melakar sejarah tersendiri dalam negara ini.

Sebagai mahasiswa, pelajar harus mengambil ruang masa untuk menelaah buku berjudul “ Mahasiswa Menggugat” (1973) yang merupakan karya penting mengenai gerakan mahasiswa oleh Profesor Muhammad Abu Bakar. Tidak dilupakan buku “Kalau Saya Mahasiswa” karangan Datuk Saifuddin Abdullah ketika beliau menjawat jawatan Timbalan Menteri di Kementerian Pengajian Tinggi. Dua buku ini akan memberikan definisi mahasiswa kepada bakal-bakal siswa atau mereka yang sudahpun bergelar mahasiswa IPT.

Istilah ‘jurubicara masyakarat’ agak sinonim dengan gelaran mahasiswa khususnya antara tahun 1960 hingga 1974. Peranan mahasiswa yang bertindak dalam bentuk gerakan aktif diukur  dengan penganjuran dan partisipasi golongan mahasiswa dalam seminar dan diskusi yang membincangkan soal-soal politik, ekonomi dan sosial; mengeluarkan resolusi-resolusi bercorak politik dibentang dan dikeluarkan untuk tatapan umum dan kerajaan; penerbitan akhbar, majalah dan risalah atau kenyataan akhbar di mana mahasiswa menyuarakan cita-cita politik mereka; demonstrasi di mana mahasiswa menyampaikan pandangan dan ideal perjuangan mereka juga; sesetengah mahasiswa mengambil bahagian dengan memegang jawatan dalam parti-parti politik, seperti Parti Rakyat ketika zaman kegemilangan gerakan mahasiswa ini.

Kemudian, suara mahasiswa kelam seketika sebelum kembali ke persada dan mempengaruhi beberapa dasar-dasar penting negara melalui advokasi secara berterusan. Antaranya sumbangan mahasiswa dalam mencadangkan penubuhan Dasar Belia Negara (1985), penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar Universiti Malaya, melontar idea penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), cadangan awal penubuhan UIAM dan Bank Islam, Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dalam pentadbiran, pindaan AUKU 2009 dan penentangan kepada Dasar PPSMI yang menyalahi Perkara 152.

Manakala istilah ‘Mahasiswa Lesu’ adalah kata sinikal yang penulis dengar sejak penulis di alam mahasiswa universiti lagi. Perkataan ini mungkin ada benarnya apabila kebanyakan mahasiswa cenderung menghabiskan masa hanya ke bilik kuliah, kafeteria dan katil (sindrom 3’K) berbanding menambah kemahiran insaniah melalui keterlibatan dalam persatuan, program-program kesukarelawan apatah lagi untuk hadir ke majlis-majlis ilmu untuk diskusi ilmiah secara tekun. Mahasiswa yang aktif sangat kecil jumlahnya dan ia merupakan perkara biasa dalam sesuatu organisasi sekalipun. Zaman kegemilangan gerakan mahasiswa yang kuat satu ketika dahulu tenggelam akibat tekanan AUKU sehingga lahir generasi siswa yang seakan-akan ‘hilang punca’.

Justeru, pesanan penulis kepada golongan mahasiswa, kembalilah cakna dan peduli kepada masyarakat. Ambillah sedikit ruang dalam merancang perubahan diri untuk merancang perubahan masyarakat kita juga yang semakin hari semakin tenat dek kerana sikap individualistik yang semakin menebal dalam masyarakat hari ini. Peranan anda sebagai mahasiswa selepas tamat pengajian adalah menyalurkan idealisme, wawasan, ilmu, pengalaman, aktivisme, motivasi dan tenaga yang telah sedia miliki kepada pembangunan negara dan masyarakat yang sejahtera.


                   

Sehubungan dengan itu, gunakanlah seoptimum mungkin masa sepanjang bergelar mahasiswa untuk mencari butir-butir permata pengalaman untuk mempersiapkan diri untuk kembali berbudi dan membangunkan masyarakat dan negara yang terbilang. Selamat menempuh alam mahasiswa dengan jayanya.

Disediakan oleh,
Puan Faridah binti Mohd Tap
Pensyarah Jabatan Pengajian Umum,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,

Kolej UNITI, Port Dickson.

Thursday, 7 April 2016

SIMULASI ISU KESELAMATAN KANAK-KANAK DAN PERLINDUNGANNYA- Nur Akmar Mohd Arif


Kolej UNITI melalui program Diploma Pendidikan Pra Sekolah sentiasa komited untuk memastikan pelajar memahami subjek antaranya ialah subjek "Keselamatan Kanak-kanak dan Perlindungannya' dengan baik melalui pendekatan aktiviti bermodul seperti debat, forum dan drama. 

Objektif setiap modul simulasi isu keselamatan kanak-kanak adalah untuk mencungkil kemahiran dan kreativiti bakal-bakal guru pra sekolah dalam simulasi pertolongan cemas melalui aktiviti forum dan drama seperti ‘Tersedak susu.Salah Siapa?’ , ‘Malang Tidak Berbau’ dan ‘Katakan Tidak Pada Penderaan Kanak-kanak’.

Selain itu, cetusan idea-idea baru, nilai dan pengajaran mengenai isu-isu keselamatan kanak-kanak adalah juga didorong oleh peningkatan yang semakin membimbangkan terhadap keselamatan kanak-kanak dalam masyarakat. 


Pendekatan simulasi melalui aktiviti debat, forum dan drama yang menarik dan kreatif memudahkan penyampaian mesej kepada kanak-kanak tentang penjagaan keselamatan diri. 











Disediakan oleh,



Cik Nur Akmar Binti Mohd Arif
Pensyarah,
Jabatan Pendidikan, 
Fakulti Pendidikan dan Pra Sekolah.


Galeri Foto:












Wednesday, 3 February 2016

PROGRAM "CEPAT BACA" DAN "I CAN READ" BANTU MENANGANI BUTA HURUF DI KALANGAN KANAK-KANAK

Malaysia pernah dikejutkan dengan pendedahan kadar buta huruf yang tinggi di negara ini. Pada 2012, laporan berita menyatakan lapan peratus daripada 6, 667 pelatih PLKN adalah mereka yang tidak boleh membaca. Justeru, ia mencetuskan polemik apatah lagi negara ini merupakan negara yang sedang membangun.


Di peringkat antarabangsa, pada tahun 2006, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menyatakan terdapat 800 juta penduduk berusia 15 tahun ke atas gagal untuk membaca mahupun menulis nama mereka sendiri. Namun begitu, kadar literasi di Malaysia semakin baik kerana statistik juga menunjukkan penurunan saban tahun.



Sebagai ibu bapa adalah menjadi harapan yang besar supaya anak-anak mereka boleh membaca seawal usianya. Oleh itu, ibu bapa berusaha memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan awal  terbaik agar  berkebolehan membaca lebih awal. Sehubungan dengan itu, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia (FPPM) dengan kerjasama Institute Helping Boys and Nurturing Girls (IHBNG) Kolej UNITI telah menganjurkan Program “Cepat Baca dan I Can Read” sebagai keprihatinan kepada keperluan itu.



Program yang dijalankan secara bersiri telah dilangsungkan dengan jayanya melibatkan 75 orang pelajar semester enam Diploma Pendidikan Pra Sekolah (DPS) Kolej UNITI. Program yang memakan masa satu hari itu telah dibantu oleh tenaga pensyarah yang menjadi fasilitator supaya dapat membimbing pelajar mencapai objektif program.





Menurut Siti Zaleha Ahmad selaku dekan fakulti berkata, program ini 
bertujuan memberikan pendedahan kepada para pelajar semester enam DPS  kemahiran ‘Cepat Baca’ dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dengan menggunakan kaedah fonemik. 



Tambahan lagi, menurut beliau, penganjuran program tersebut adalah bagi meningkatkan kemahiran pengajaran 'Cepat Baca' dan 'I Can Read' di kalangan pelajar sebagai persediaan menjalani latihan mengajar atau praktikum pada bulan Mei 2016 ini.

Seorang siswa DPS sedang mengaplikasi kaedah  'Cepat Baca' dalam program 'Cepat Baca dan I Can Read'

Manakala, Zakri Mohd Zain merangkap Pengurus Institut HBNG berkata, inisiatif ini adalah bagi mendedahkan kepada pelajar contoh-contoh permainan dan aktiviti pengayaan perbendaharaan kata lalu meningkatkan kemahiran membaca dengan teknik pengajaran dan pembelajaran yang menggembirakan di tadika.




Keseluruhannya, program siri pertama yang dijalankan di Dewan Za’aba, Uniti Village telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelajar. Mereka juga telah memberi kerjasama bagi menjayakan segala aktiviti ‘Cepat Baca’  mengikut panduan modul dan dibantu oleh fasilitator terlatih. Penganjuran program ini adalah sebagai inisiatif FPPM  bagi memastikan graduan DPS Kolej UNITI mempunyai kualiti yang diperlukan industri pendidikan awal kanak-kanak iaitu berkebolehan mendidik dan membantu proses cepat baca di tadika-tadika dengan strategi P&P yang efektif. 









Monday, 10 November 2014

ISU: Disinilah peri-pentingnya ‘Helping Boys Nurturing Girls’

Negara sekali lagi dikejutkan dengan pengiktirafan Mahkamah Rayuan Putrajaya kepada golongan kecelaruan jantina atau GID (Gender Identity Disorder) menerusi pembatalan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 sebagai bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.



Kes bermula apabila tiga lelaki telah didakwa kerana berpakaian wanita di khalayak umum oleh penguasa agama. Ia telah difailkan oleh Muhamad Juzaili Mohamad Khamis, 26, Syukor Jani,  28, dan Wan Fairol Wan Ismail, 30, pada 2 Februari 2012, untuk mencabar kesahan peruntukan terbabit keatas kerajaan negeri Negeri Sembilan, pengarah jabatan agama Islam negeri, pengarah penguatkuasa syariah dan ketua pendakwaan sebagai responden.

Keputusan Mahkamah Rayuan tersebut yang mengikitiraf golongan transgender ini bukan sahaja membatalkan undang-undang syariah tersebut di seluruh negara dari aspek perundangan, tetapi juga membawa implikasi lain iaitu mencemar, menghina dan menjatuhkan institusi agama seperti Mahkamah Syariah, jabatan agama negeri, dan institusi fatwa.

Kemuncak kepada kebimbangan keputusan itu ialah kecenderungan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) untuk menuntut perkara-perkara lain termasuklah yang paling ditakuti iaitu perkahwinan sesama jenis dengan memansuhkan Seksyen 377 Kanun Keseksaan.

Keputusan tersebut mengundang pelbagai reaksi dari pelbagai pihak. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) dan Badan-badan bukan Kerajaan (NGO) Islam menuntut supaya Mahkamah Syariah membuat rayuan bagi membatalkan keputusan tersebut.

Menurut Prof. Dr. Shamrahayu Aziz, "apabila kita bercakap mengenai peranan mahkamah untuk memelihara Perlembagaan, ini bukan bermaksud mahkamah hanya menjaga kebebasan asasi sahaja. Mahkamah memainkan peranan besar untuk menjaga keseluruhan prinsip dan pengisian Perlembagaan itu sendiri, termasuklah sistem dualisme perundangan yang juga menjadi prinsip asas Perlembagaan. dengan kata lain, prinsip asas Perlembagaan bukan semata-mata kebebasan asasi. Sekiranya mahkamah gagal menjaga kesemua prinsip dan asas Perlembagaan, dan mengimbangi antara kepentingan-kepentingan prinsip asas tersebut maka mahkamah akan gagal dalam melaksanakan tanggungjawab memelihara Perlembagaan"

Kesimpulannya, isu ini bukan tentang undang-undang semata-mata, tetapi yang lebih besar peranan setiap individu terutama institusi kekeluargaan dan pendidikan dalam membimbing golongan yang ‘claim’ mereka adalah wanita yang terperangkap dalam badan lelaki dan begitulah sebaliknya kepada fitrah asli mereka. Disinilah peranan penting Fakulti yang menjadikan  ‘Helping Boys Nurturing Girls’ sebagai fokus utama melalui Diploma Pendidikan Pra Sekolah.

Ayuh, mainkan peranan kita berhadapan dengan pelajar-pelajar yang mempunyai kecenderungan kecelaruan jantina/ Gender Disphoria kerana mereka memerlukan bimbingan bukan sahaja aspek perubatan, tetapi yang lebih penting bimbingan yang berterusan bagi meyakinkan mereka adalah lelaki dan wanita tulen. J

(Nota: boleh baca ulasan ringkas penghakiman bagi kes ini di tautan

https://www.academia.edu/9181570/COA_Brief_Judgement_on_transgender_Issue_-_Malaysia

Wednesday, 29 October 2014

ISU: PENDERAAN KANAK-KANAK DI MALAYSIA

Sedang memandu ke tempat kerja, terdengar sebuah berita di saluran radio mengenai kematian seorang kanak-kanak di Petaling Jaya yang diklasifikasikan sebagai kes bunuh selepas proses bedah siasat melaporkan terdapat kecederaan serius di kepala, kaki dan belakang badan kanak-kanak malang tersebut. Sebelum ini, kanak-kanak tersebut dipercayai meninggal dunia selepas terjatuh tangga


Setelah sampai di pejabat, seperti biasa penulis akan membaca sepintas lalu di beberapa saluran berita dan hati ini sangat sedih membaca berita mengenai kes penderaan kanak-kanak lelaki yang ditemui diikat tangan dan kaki di rumah pengasuh yang ditemui oleh ibunya sendiri setelah membuat pemeriksaan mengejut di rumah pengasuh anaknya di Kepala Batas. Di laman sosial pula kecoh mengenai video seorang kanak-kanak perempuan yang didera pengasuh ketika makan. Penulis tidak sampai hati menontonnya.



Ini bukan kes baru. Sebelum ini banyak kes yang melibatkan penderaan kanak-kanak yang bukan sahaja melibatkan pengasuh, tetapi lebih memilukan ia melibatkan ibu bapa kandung sendiri. Bukan sahaja kecederaan ringan, tetapi juga yang membawa kepada kematian. Hakikat yang perit untuk diakui, ia bukan sahaja di Malaysia, tetapi ia adalah isu global. Persoalannya, apa sudah jadi dengan manusia hari ini?




Apa itu penderaan kanak-kanak?


Merujuk kepada laman web rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia, MyHEALTH, penderaan kanak-kanak  merangkumi semua jenis penderaan fizikal dan/atau emosi, penderaan seksual, pengabaian atau kelalaian atau eksploitasi komersial atau lain-lain eksploitasi, yang boleh atau telah menyebabkan kerosakan, kepada kesihatan kanak-kanak, dari segi 'survival', perkembangan atau harga diri. Ini adalah dalam konteks di mana pendera ada perhubungan tanggungjawab, kuasa atas kanak-kanak berkenaan atau pendera ialah seseorang yang dipercayai oleh kanak-kanak - WHO Pasukan Pencegah dan Kecederaan Keganasan,1999.


Penderaan Kanak-kanak secara umumnya dikategorikankan kepada empat (4) jenis penderaan termasuk :
1.     Penderaan fizikal
2.     Penderaan seksual
3.     Penderaan emosi
4.     Pengabaian


Bagi menangani kes-kes penderaan ini dari terus berleluasa, Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menghantar Draf Pindaan Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman lebih berat kepada ibu bapa cuai sudah diserahkan kepada Peguam Negara untuk penelitian. Menurut menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim; hukuman berbentuk pendidikan dan pengajaran turut dimasukkan di dalam pindaan tersebut. (Astro Awani)


Berikut adalah data yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat berkaitan penderaan kanak-kanak di Malaysia dari tahun 1997 hingga 2006 mengikut negera dan telah disemak pada tahun 2012.

Tahun
Negeri
1997
1998
1999
2000
2001
2002
2003
2004
2005
2006
Jum
lah
Perlis
10
29
17
16
26
21
16
26
30
44
235
Kedah
25
14
21
33
33
39
63
26
66
102
422
P.Pi
nang
106
130
125
75
85
130
131
154
131
184
1251
Perak
72
118
105
79
85
80
131
145
172
147
1134
Sela
ngor
212
201
300
349
327
412
368
474
446
498
3587
KL
353
343
191
112
127
269
153
287
415
435
2685
NS
118
80
46
24
39
40
55
67
124
147
740
Me
laka
57
41
35
51
36
24
65
64
26
31
430
Johor
109
111
119
116
126
115
156
126
115
91
1184
Pa
hang
17
23
17
5
25
27
8
38
56
91
307
T'ganu
23
17
21
17
24
20
17
33
16
41
229
Kelan
tan
46
54
20
24
24
11
31
51
14
8
283
Sara
wak
NA
NA
24
31
14
17
19
144
189
180
618
Sabah
NA
NA
63
NA
65
36
176
21
0
6
367
La
buan
1
0
3
2
0
1
1
0
0
0
8
Jum
lah
1149
1161
1107
804
1036
1242
1390
1656
1800
2005
13480

Tahun
2000
2001
2002
2003
Jenis Pen
deraan
L
P
J
L
P
J
L
P
J
L
P
J
Terbiar
50
21
71
35
35
70
53
68
121
50
48
98
Penga
baian
99
84
183
154
149
303
189
168
357
184
205
389
Fizikal
175
187
362
155
132
287
182
172
354
200
210
410
Seksual
24
234
258
26
225
251
22
302
324
28
402
430
Emosi
3
21
24
22
34
56
15
17
32
5
27
32
Lain-lain
12
24
36
36
33
69
31
23
54
13
18
31
Jumlah
363
571
804
428
608
1036
492
750
1242
480
910
1390
Nota : L = Lelaki P = Perempuan J = Jumlah
Semakan Akhir
:
27 April 2012
Penulis
:
Penyemak
:
Dr. Ranjini S. Sivanesom
 (Sumber: MyHEALTH.gov.my)
Sebagai sebuah Fakulti yang menawarkan Diploma Pendidikan Pra Sekolah dan Diploma Asuhan Kanak-kanak, isu penderaan kanak-kanak ini amat memilukan. Kami sentiasa komited melalui silibus pembelajaran pelajar-pelajar diploma kami bagi menerapkan eleman kasih-sayang, keseronokan dan harga diri yang seharusnya diterapkan kepada setiap kanak-kanak. Ini penting supaya kanak-kanak dapat membesar dan menjadi insan dewasa yang berjaya.


Usaha ini juga dimanifestasikan dalam gagasan besar Fakulti iaitu ‘Helping Boys, Nurturing Girls’ yang mementingkan kaedah pembelajaran dan pendidikan yang sesuai mengikut fitrah gender.


Akhir kata, kanak-kanak berhak untuk mempunyai sekurang-kurang seorang dewasa untuk menyayangi dan menyokong mereka untuk membesar menjadi manusia berguna di kemudia hari.

“Selamat Hari Kanak-Kanak kepada semua anak-anak seluruh Malaysia dan seluruh dunia”.



Sayangi Kanak-Kanak


(Nota: Hari Kanak-Kanak Sedunia disambut tiap-tiap tahun pada mana-mana hari Sabtu dalam bulan Oktober)





Puan Faridah Mohd Tap
Pensyarah di Jabatan Pengajian Umum, 
Fakulti Pendidikan dan Pra Sekolah, Kolej UNITI.