Pages

Wednesday 28 December 2016

ISU & CABARAN: REALITI PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK HARI INI-Nur Akmar Binti Mohd Arif

"Melentur Buluh Biarlah dari Rebungnya".

Pepatah di atas merujuk kepada pendidikan hari ini yang perlu dititikberatkan seawal usia dalam melahirkan modal insan yang berkualiti dan seimbang merangkumi semua aspek perkembangan. Pendidikan perlu dilihat sebagai satu proses yang berterusan dan berkembang seiring dengan perkembangan individu seseorang kanak-kanak yang mempelajari apa sahaja yang ada di persekitaran untuk diaplikasikannya dalam kehidupan sehariannya atau di masa akan datang.


Hakikatnya, pendidikan awal kanak-kanak pada hari ini adalah sangat penting sebagai persediaan sebelum anak kecil ke sekolah rendah dalam usaha membangunkan modal insan yang seimbang dan holistik merangkumi aspek JERIS iaitu jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.


Menurut Kostelnik dan rakan-rakan (1993),‘awal kanak-kanak’ merujuk kanak-kanak sejak daripada lahir sehingga berumur 8 tahun iaitu kanak-kanak di taman asuhan atau taman didikan, prasekolah dan sekolah rendah. Dengan adanya satu sistem pendidikan atau program khusus yang ditawarkan oleh pemilik pusat pendidikan hari ini, ia secara tidak langsung membantu meningkatkan kesedaran ibu bapa mengenai kepentingan pendidikan awal kanak-kanak. Menyedari akan kepentingan pendidikan awal kanak-kanak ini, kewujudan pusat pendidikan awal kanak-kanak atau Taska pada hari ini tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan dan boleh dikatakan, pasti ada pihak yang mengusahakannya di setiap satu kawasan perumahan.


Potensi perniagaan dalam industri Taska yang semakin berkembang pesat akhir-akhir ini dilihat telah menarik lebih ramai usahawan muda termasuklah graduan yang bukan sahaja terdiri daripada golongan wanita tetapi juga lelaki. Secara umumnya, perniagaan dalam pusat pendidikan awal kanak-kanak masih luas untuk diterokai oleh usahawan tempatan memandangkan ia menjadi keperluan kepada ibu bapa bagi memastikan kesediaan anak-anak mereka sebelum ke alam persekolahan.


Oleh itu, usahawan muda yang berminat untuk menerokai bidang ini bukan sahaja perlu mempunyai kepakaran dan kemahiran dalam pengurusan pusat asuhan kanak-kanak tetapi hakikatnya perlu mempunyai pengetahuan dalam memahami keperluan dan kehendak kanak-kanak seiring dengan perkembangan usia mereka.


Realiti hari ini, industri pendidikan awal kanak-kanak sentiasa berkembang dan tidak mempunyai kesan serius sekiranya berdepan dengan cabaran ekonomi kerana ia merupakan keperluan dalam bidang pendidikan. Hakikatnya Taska pada hari ini merupakan salah satu keperluan orang ramai di mana sahaja, selagi wujudnya komuniti masyarakat. Taska kini bukan sahaja satu perniagaan yang dijalankan untuk menjaga dan mendidik kanak-kanak tetapi juga turut mampu menjana pendapatan sendiri.


Namun, yang menjadi isu ialah mengenai kelayakan pendidik di Taska! Selain mempunyai minat dan penyayang terhadap kanak-kanak, pendidik Taska juga perlu memiliki kelayakan akademik dalam bidang ini bagi menambah nilai dalam diri mereka kerana cabarannya adalah mereka akan berdepan dengan kanak-kanak yang perlu mendapatkan bimbingan yang betul. Ini memberi peluang pekerjaan kepada graduan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak untuk menceburi perniagaan Taska, malah mereka perlu mengambil peluang untuk mengikuti Kursus Asuhan Dan Didikan Awal Kanak-Kanak Permata (KAP) iaitu kursus yang diiktiraf oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia dalam menjalankan pengasuhan dan didikan kanak-kanak di Taska.


Menurut Puan Rosmaria Mohd Sahat, Pengarah Urusan Rehal Solutions Sdn Bhd yang merupakan salah satu agensi yang diiktiraf oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM) bagi menganjurkan Kursus Asuhan Dan Didikan Awal Kanak-Kanak Permata (KAP), industri ini semakin menjadi tarikan usahawan muda sebagai salah satu perniagaan yang berpotensi dalam menjana pendapatan dan  menguntungkan. Perkembangan pesat industri ini dapat dilihat dengan kehadiran lebih ramai peserta untuk menyertai kursus wajib KAP termasuk para pensyarah bagi menerokai dunia keusahawanan dan pendidikan awal kanak-kanak.


Memetik petikan daripada Dialog Bersama Menteri bertajuk 'Wawasan Baharu Ke Arah Pembangunan Masyarakat' di Institut Sosial Malaysia yang diadakan pada Bulan Oktober 2016 yang lepas, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Dato’ Seri Rohani Abdul Karim menitikberatkan kualiti pengasuh yang perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam mendidik anak-anak di Taska. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meletakkan syarat bahawa pengasuh bagi Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) perlu memiliki sekurang-kurangnya diploma dalam pengurusan pendidikan awal kanak-kanak.


Dalam ucapan perasmian, Dato’ Seri Rohani menegaskan bahawa keperluan bagi memastikan pendidik atau pengasuh Taska memiliki diploma merupakan usaha kerajaan untuk mendapatkan acuan terbaik dalam mendidik kanak-kanak. Maka, cabarannnya, pendidik hari ini perlu mempunyai pengetahuan dan mencapai kualiti untuk mengasuh dan mendidik kanak-kanak di bawah umur tiga tahun seiring dengan pembangunan pendidikan kanak-kanak di negara maju yang lain. Realitinya, pengasuh kanak-kanak di Negara maju memang dilatih secara profesional dan tahap pendidikan minimum mereka mestilah diploma.


Seiring dengan hasrat dan seruan kerajaan, gaduan yang memiliki diploma dalam pendidikan awal kanak-kanak mempunyai kelebihan untuk terlibat dalam pendidikan dan pengasuhan kanak-kanak di Taska. Justeru itu, pendidik anak-anak kecil pada hari ini sebenarnya bukan sahaja perlu menguasai teori semata-mata tetapi mempunyai kemahiran dan pengalaman dalam mendidik anak-anak syurga ini. Sikap mengambil mudah mengenai didikan awal anak kerana menganggap si kecil itu tidak mungkin dapat memahami pelajaran perlu ditolak dalam skema pemikiran pendidik pada hari ini.


Pendidik perlu lebih kreatif dalam melihat sejauh mana perkembangan yang dapat dicapai oleh kanak-kanak selain membentuk sahsiah diri serta menerapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Hakikatnya, untuk mengajar anak-anak kecil, kaedah formal tidak diperlukan malah hakikatnya lebih mirip kepada bermain. Oleh itu, menerusi cara bermain dan melakukan pelbagai aktiviti menyeronokkan di Taska merupakan terapi yang dapat membantu dalam merangsang perkembangan dan pertumbuhan kanak-kanak. Inilah yang perlu dikuasai oleh pendidik atau pengasuh hari ini!


Justeru itu, ilmu dan pengetahuan graduan dalam pendidikan awal kanak-kanak pada hari ini perlu dimanfaatkan pada landasan yang betul untuk pembangunan modal insan yang berkualiti. Sumbangan dan kepakaran mereka ini yang diperlukan dalam membangunkan industri pendidikan awal kanak-kanak pada hari ini dan seterusnya melahirkan generasi pewaris Negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang! Sekiranya seorang kanak-kanak mendapat pendidikan asas yang berkualiti, maka diyakini bahawa kanak-kanak tersebut akan terus berjaya dalam pendidikan yang akan dilalui pada peringkat yang lebih tinggi!



Disediakan Oleh,

Cik Nur Akmar Binti Mohd Arif,
Pensyarah,
Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia,
Kolej Uniti Port Dickson




TIPS MEMBANTU KANAK-KANAK LELAKI LEBIH KREATIF-Fatimah bt Kamaruddin

Setiap individu mempunyai kreativiti yang dianugerahkan secara semulajadi. Dengan bimbangan ia dapat dihasilkan dalam bentuk karya yang lebih menarik. Kalau dilihat secara rawak kanak-kanak mempunyai sifat semulajadi yang sememangnya kreatif. Namun mentaliti masyarakat kita pada hari ini hanya melihat kanak-kanak perempuan sahaja yang kreatif. Maka apa yang dilakukan oleh kanak-kanak lelaki dianggap sebagai sia-sia sahaja dan dianggap tidak kreatif. Pernahkah kita terfikir kanak-kanak lelaki lebih memerlukan perhatian khusus berbanding kanak-kanak perempuan? Maka wajarlah sekiranya kita meneliti perkara-perkara yang boleh membantu kanak-kanak lelaki untuk lebih kreatif.


Menurut E. Paul Torrance (1991), pelajar yang kreatif belajar melalui pemerhatian, penerokaaan serta persoalan. Setiap individu mempunyai kreativiti yang dianugerahkan secara semulajadi. Dengan adanya bimbingan ia dapat dilakukan dalam bentuk karya yang lebih menarik.


Seni memainkan peranan yang penting dalam pendidikan kanak-kanak. Hal ini kerana gabung jalin seni dalam pembelajaran akan membuatkan mereka berasa lebih gembira dan seronok untuk belajar. Terapi seni juga berupaya meningkatkan tahap keyakinan dan optimistik dalam diri kanak-kanak.
Pendekatan dan penglibatan kanak-kanak dalam pelbagai jenis pengalaman adalah sangat penting terutama bagi kanak-kanak lelaki yang berada dalam lingkungan umur 4 – 9 tahun. Dimana dalam hal ini kanak-kanak belajar melalui pembelajaran sendiri yang mana memberi lebih kepuasan serta pengalam yang tersendiri. Proses ini meningkatkan perasaan estetika dan daya kreativiti kanak-kanak.


Sebagai ibu bapa atau penjaga, kita merupakan guru pertama bagi anak-anak. Kita pasti mengimpikan mereka menjadi seorang yang pintar. Dalam perkara sebegini kita seharusnya membiarkan mereka berkarya dengan bebas, berimaginasi dan memcuba apa yang ada disekeliling mereka. Setiap yang dihasilkan adalah luahan jiwa dan pengamatan mereka terhadap persekitaran mereka. Maka kita perlu berbangga dengan usaha yang telah dilakukan oleh mereka.


Perkara yang terakhir adalah mencari peluang untuk menggalakkan kanak-kanak lelaki mengembangkan komponen-komponen dasar semulajadi dalam diri meraka seperti seni visual, tingkah laku motor kasar dan motor halus, seni verbal, hubungan sosial, logik matematik dan kinestetik. Sekiranmya kesemua perkara ini berjalan dengan lancar maka masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak lelaki akan berkurangan dan kanak-kanak lelaki akan menjadi lebih kreatif dan inovatif.


Catatan Penting: 

  • Perkara pertama adalah mencari peluang untuk menggalakkan kanak-kanak lelaki.
  • Perkara kedua adalah berbangga dengan usaha yang dilakukan.
  • Perkara ketiga amalkan sikap optimistik. 
  • Perkara keempat memberi pendedahan dengan pendekatan, kaedah dan teknik yang sempurna. Kanak-kanak akan berupaya mengembangkan pemikiran kritis mereka.
  • Perkara kelima adalah terima segala persoalan, pemerhatian, percubaan serta penerokaan yang   mereka lakukan kerana melalui perkara sebegini sebenarnya kanak-kanak akan menjadi lebih   kreatif.



Disediakan oleh,


Fatimah bt Kamaruddin,
Pensyarah,
Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson,
Negeri Sembilan.



GAJET DAN KANAK-KANAK- Syazwan Bin Sha’ari

Penggunaan gajet dalam kehidupan seharian bukan asing lagi bagi masyarakat kita. Ramai yang mengakui, lebih mudah jika anak-anak digula-gulakan dengan Ipad bagi mengawal tingkah laku anak jika berada di rumah kawan sebagai contoh, ataupun di kedai makan. Tetapi, ramai yang tidak sedar, kesan yang boleh memudaratkan anak-anak kecil ini. Adakah anda tahu, bahawa rangsangan yang berlebihan dari penggunaan gajet ini boleh mengecutkan otak anak anda, terutamanya kanak-kanak yang berumur bawah 3 tahun? Gajet yang dimaksudkan ini juga termasuklah penggunaan televisyen, dan apa sahaja yang di tonton dan terhad dalam sebuah kotak.


Kajian menunjukkan anak-anak di bawah umur 2 tahun yang di biarkan menonton rancangan di TV terlalu lama akan mengalami efek negatif yang pada perkembangan bahasa, skil membaca dan ingatan memori jangka pendek. Kesan menonton TV pada 2 tahun pertama juga akan mengganggu tidur dan tumpuan anak-anak apabila mereka meningkat dewasa.


Namun begitu, memberi anak menggunakan gajet sekejap-sekejap bukanlah satu kesalahan. Teknologi sememangnya memberi banyak manafaat kepada kita. Berikut ialah panduan penggunaan gajet:


1. Had masa

Tidak lebih 15-20 minit bagi satu-satu sesi penggunaan gajet bagi anak di bawah 2 tahun,  'tolak-tambah' 2 jam dalam sehari bagi anak 2 tahun ke atas mengikut kesesuaian umur.


2. Jangan benarkan anak makan sambil menonton tv

Makan sambil menonton tv/skrin akan samada membuat anak hilang fokus untuk menghabiskan makanannya atau membuat anak makan dengan lebih banyak kerana asyik menonton boleh ganggu kebolehan anak merespon pada isyarat kenyang. Ini adalah salah satu punca obesiti.


3. Iklan


Pilihlah program tanpa iklan kerana iklan akan menganggu anak untuk faham jalan cerita yang ditonton. Ini kerana bahagian otak yang kekalkan info masa singkat anak belum sepenuhnya berkembang. Gangguan iklan akan membuat anak lupa jalan cerita sebelumnya lalu mendapat rumusan jalan cerita akhir yang salah. Ini amat tidak membantu usaha untuk melatih anak memanjangkan tempoh tumpuannya.


4. Pilih program

Memilih program-program yang menarik dan menghiburkan. Program yang banyak pengulangan ayat, perkataan dan nilai yang ingin dipupuk. Rentak program yang tidak terlalu laju hingga menyukarkan anak kecil untuk mengikutinya. Program yang menarik dari segi kandungan dan bahan paparannya supaya dapat menjadi contoh pembelajaran kepada kanak-kanak. Memilih program yang memberi peluang kepada kanak-kanak untuk melibatkan diri dan belajar bersama.


5. Menggunakan gajet bersama anak

Menggunakan gajet bersama bukan sekadar merapatkan hubungan tetapi ia mewujudkan komunikasi dua hala sebenar walau skrin/TV sedang digunakan.


Pendek kata,bukan alat atau teknologi yang harus dimusuhi, tetapi sikap melampau manusia atau ketidakbijaksanaan manusia dalam mengurus penggunaan bahan teknologi ini. Teknologi akan memberi banyak manafaat jika kita pandai memenafaatkan kelebihan itu.



Disediakan Oleh,


En Syazwan Bin Sha’ari
Pensyarah,
Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia,
Kolej Uniti Port Dickson


PENDERAAN FIZIKAL KANAK-KANAK-Nurul Hidayah Bte Sahrom

Ibu mana yang tidak hancur luluh perasaannya apabila melihat anak kecilnya seawal lima tahun patah tulang belakang, rusuk, paha selain dipenuhi kesan parut pada anggota badan akibat penderaan? Sebagai seorang insan yang dikurniakan hati dan perasaan kita sememangnya akan kecewa dan marah apabila hal ini berlaku kepada mereka yang kita sayangi. Apatah lagi jika ianya bakal menyebabkan kecacatan kekal akibat kecederaan patah 13 tulang di seluruh badan. Namun, inilah nasib adik Nur Zuliana Zaara Zulkifli, lima tahun yang telah didera oleh ibu tirinya pada Jun 2015. Ini adalah antara kes penderaan fizikal yang dilaporkan oleh media massa. Bagaimana pula nasib kanak-kanak yang didera namun tiada siapa yang mendengar rintihan mereka? Siapa yang membela nasib mereka?


Penderaan fizikal kanak-kanak boleh didefinisikan sebagai kecederaan tidak sengaja atau dipukul/dera. Keadaan ini berlaku apabila kanak-kanak mendapat kecederaan fizikal dari perlakuan (atau pengabaian) ibu bapa, penjaga atau mereka yang diberi tanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak (Dr. Irene Cheah, 2012). Penderaan bukan sahaja terjadi akibat kekerasan yang dilakukan dengan anggota badan pendera, malah ianya boleh dilakukan dengan pengunaan agen-agen penderaan. Agen-agen penderaan ini biasanya digunakan untuk menyakitkan dan mencederakan mangsa. Antara agen-agen penderaan yang biasa digunakan untuk tujuan ini adalah seterika panas, air panas, tali pinggang, getah paip, rotan, penyangkut baju dan puntung rokok.


Tindakan mencubit, menggigit, memukul, menyepak, menampar, menumbuk, memijak, menghantukkan kepala ke dinding merupakan antara contoh tindakan penderaan fizikal yang sudah tentu tidak wajar apatah lagi menggunakan agen-agen penderaan sebagai peralatan sokongan kepada penderaan. Mengapa penderaan ini terus berlaku? Adakah disebabkan pendera sudah hilang sifat belas kasihan kepada anak-anak kecil ini? Statistik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menunjukkan peningkatan kes penderaan kanak-kanak dari 2010 iaitu sebanyak 3,257 kes, 3,428 kes (2011), 3,831 kes (2012), dan 4,119 kes pada 2013, manakala dari Januari hingga April 2014 sahaja terdapat sebanyak 1,430 kes (Mastura Mohd Zain, 2015). Mengapa angka ini terus meningkat?


Menurut penulis, antara punca yang menyebabkan penderaan fizikal ini berlaku adalah disebabkan tekanan kehidupan dan kejahilan.  Tekanan kehidupan yang dimaksudkan oleh penulis adalah tekanan di tempat kerja, bebanan kerja, masalah kewangan dan  masalah rumah tangga. Manakala kejahilan ini boleh dilihat daripada ketidakprihatinan si pendera terhadap isu berkaitan kanak-kanak. Atas faktor-faktor ini si pendera yang jahil akan melepaskan tekanan dan kemarahan kepada insan yang tidak mampu melawan mereka iaitu anak kecil.


Adakalanya si pendera menganggap tindakan memukul adalah salah satu cara mendisplinkan kanak-kanak. Sebenarnya tindakan sedemikian langsung tidak berkesan untuk mendisplinkan kanak-kanak bahkan ianya membekaskan ketakutan mangsa kepada orang dewasa. Selain kesan fizikal lebam, luka, terpulas, terkoyak kulit, patah tulang dan pendarahan, penderaan fizikal juga boleh memberikan kesan secara  langsung terhadap personaliti kanak-kanak. Kanak-kanak yang didera biasanya cenderung menyimpan dendam dan mampu bertindak agresif terhadap rakan sebaya. Hal ini kerana mereka meniru aksi si pendera dan mahu melepaskan kemarahan akibat penderaan yang dialami.


Masyarakat harus sedar bahawa penderaan fizikal adalah sesuatu yang serius. Kerajaan Malaysia dalam Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) memperuntukkan bahawa sekiranya mana-mana orang yang mempunyai tugas pemeliharaan seorang kanak-kanak yang menyebabkan kecederaan fizikal telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 31 Akta 611 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM 20,000.00 atau penjara tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.


        Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh kerajaan demi membela nasib kanak-kanak negara ini. Cawangan perlindungan kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM) giat menyelaras dan memantau kes-kes berkaitan dengan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak kepada situasi merbahaya mengikut Akta Kanak-kanak 2001 (Jabatan Kebajikan Masyarakat, 2016).  


       Justeru masyarakat perlu lebih prihatin menyalurkan maklumat tentang sebarang bentuk penganiayaan kanak-kanak kepada pihak berkuasa. Segala usaha murni kerajaan ini harus disokong oleh semua pihak secara holistik. Media massa mampu memberi impak besar dalam menyampaikan mesej anti penderaan kepada masyarakat. Media massa perlu kerap menyampaikan mesej pendidikan penderaan kepada penonton supaya Malaysia dapat mengurangkan statistik penderaan kanak-kanak seterusnya melahirkan peneraju negara yang berjiwa besar dan penyayang.


Bibliografi

California Department Of Education. (2016, Januari 19). Child Abuse Prevention. Diperoleh pada September 2016, 2016, dari California Department Of Education: http://www.cde.ca.gov/ls/ss/ap/childabusereportingguide.asp


Dr. Irene Cheah. (2012, April 27). Penderaan Fizikal. Diperoleh pada September 26, 2016, dari MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia: http://www.myhealth.gov.my/penderaan-fizikal/


Jabatan Kebajikan Masyarakat. (2016, Januari 01). Fungsi Bahagian. Diperoleh pada September 26, 2016, dari Portal Rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat: http://www.jkm.gov.my/jkm/index.php?r=portal/left&id=WEFTZ2F0bHRmVGQxQWlCVmIrUzFkZz09


Mastura Mohd Zain. (2015, Julai 06). Rencana. Diperoleh pada September 26, 2016, dari Untusan Online: http://www.utusan.com.my/rencana/kekang-kes-penderaan-kanak-kanak-1.110952


Utusan . (2016, April 15). Jenayah. Diperoleh pada September 26, 2016, dari Utusan Online: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/penderaan-kanak-kanak-serius-1.260222




Disediakan Oleh,


Cik Nurul Hidayah Bte Sahrom,
Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia,
Kolej Uniti Port Dickson

Manfaat Belajar Sambil Bermain Kepada Kanak-Kanak- Nur Shafiqa Binti Mohtar

Pendekatan belajar sambil bermain di tadika atau taska semakin diterima oleh masyarakat di Malaysia. Pendekatan ini dilihat sangat berkesan dalam membantu kanak-kanak dalam pembelajaran dan perkembangan mereka berbanding pembelajaran secara formal.


Terdapat banyak kajian yang telah dijalankan oleh tokoh-tokoh terkenal terdahulu mengenai aktiviti bermain ini, antaranya ialah Vygotsky. Beliau menyatakan bahawa bermain membantu perkembangan bahasa  dan pemikiran kanak-kanak. Selain itu kaedah bermain juga dapat memberi kebebasan kepada kanak-kanak untuk meluahkan tekanan dalam menghadapi dunia sebenar.


Bermain terdiri daripada beberapa jenis antaranya solitary play (bermain sendirian), parallel play (bermain bersama-sama), associative play (main gabungan) dan cooperative play (bermain berkumpulan).


Bagi seseorang kanak-kanak, bermain adalah satu pekerjaan bagi mereka. Secara kasarnya, kebanyakan orang melihat belajar sambil bermain ini hanya main semata-mata dan tidak mendatangkan faedah, akan tetapi, melalui pendekatan ini sebenarnya dapat meningkatkan perkembangan menyeluruh kanak-kanak dari pelbagai aspek. Sebagai contoh subjek Matematik mengira nombor, kebiasaannya belajar menggunakan latihan buku dan papan tulis boleh ditukarkan dalam bentuk permainan seperti permainan “Bowling Nombor”, dimana kanak-kanak boleh belajar bermain bowling sambil belajar mengira nombor mengikut jumlah pin yang jatuh.


Pendekatan tersebut merupakan pendekatan secara “child-centered” dan banyak aktiviti “hands-on”, dimana kanak-kanak melakukan sendiri dan guru hanya membimbing dalam aktiviti. Apabila kanak-kanak sendiri yang melakukan dan menerokai sesuatu, pembelajaran tersebut lebih bermakna. Jadi sebagai guru, perlulah bijak merancang dan menyediakan bahan bantu mengajar yang bersesuaian dengan tema atau tajuk yang ingin diajar dan peringkat umur kanak-kanak supaya pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar dan objektif pembelajaran tercapai.


Selain itu, ibubapa juga telah semakin sedar tentang pendekatan bermain ini dapat membantu anak-anak mereka dan banyak hasil kerja tangan dan aktiviti yang dibuat sendiri seperti busyboard, busybook, kinetic sand dan sebagainya untuk anak-anak mereka main. Melalui aktiviti ini, perkembangan motor halus, motor kasar, daya tumpuan dan kemahiran menyelesaikan masalah dapat ditingkatkan.


Tambahan lagi, dengan bermain, kanak-kanak dapat berimaginasi, berkreativiti, berdikari, meningkatkan tatabahasa dan pertuturan antara guru dan rakan sebaya, mendengar arahan, bekerjasama dalam aktiviti berkumpulan.


Kesimpulannya, bermain adalah fitrah kanak-kanak. Apabila pengajaran dan pembelajaran yang ingin disampaikan selari dengan fitrah mereka, maka pembelajaran itu lebih bermakna, seronok dan menjadi lebih mudah.



Disediakan Oleh:

Puan Nur Shafiqa Binti Mohtar
Pensyarah,
Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia,
Kolej Uniti Port Dickson