Pages

Wednesday 4 June 2014

FPPM, KOLEJ UNITI TERIMA LAWATAN HIMPAUDI DARI WILAYAH JAWA TIMUR

PORT DICKSON, 29 Mei                - Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia (FPPM), Kolej UNITI telah menerima kunjungan 40 wakil dari Himpunan Pendidik dan Tenaga Kependidikan Anak Usia Dini (HIMPAUDI) dari wilayah Jawa Timur.



Majlis lawatan itu bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim di antara Kolej UNITI dan rakan nusantara Indonesia dalam pendidikan pra sekolah. Selain itu, perkongsian antara dua pihak juga sekitar usaha-usaha pendidikan kanak-kanak pra sekolah yang bertujuan mencari ruang dan peluang kerjasama bagi memantapkan lagi bidang ini.


Perkongsian telah dimulakan oleh Dekan FPPM, Encik Zakri Mohd Zain yang memulakan perkongsian dengan menekankan kekuatan UNITI yang merupakan antara industri pendidikan terawal dalam menawarkan Diploma Pra Sekolah di Malaysia dengan 2500 pelajar telah bergraduat dengan Diploma Pendidikan Pra Sekolah (DPS) di UNITI.

Peluang kerjaya bagi graduan DPS UNITI terbentang luas sebagai guru di tadika kerajaan (KEMAS) dan tadika swasta. Malah graduan DPS juga boleh melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dengan beberapa universiti tempatan seperti UPSI, UM, UKM, UNIMAS, UPM dan UNITAR.

“FPPM sendiri giat mengenalpasti dan mengusahakan peluang-peluang dalam industri keusahawanan kepada pelajar-pelajar DPS seperti perkhidmatan fasilitator kanak-kanak di Legoland dan Kidzania, pusat spa bayi, penulis buku kanak-kanak dan usahawan tadika dan taska.” Terang Encik Zakri.


“Enrolmen pelajar dalam bidang pra sekolah ini secara puratanya adalah sekitar 450 ke 500 orang bagi satu-satu pengambilan kerana ia merupakan bidang yang semakin dituntut hari ini. Ini didorong oleh dasar kerajaan yang mensasarkan guru pra sekolah memiliki diploma dan 80 peratus akses pendidikan awal kanak-kanak di seluruh negara. Ini seterusnya merancakkan lagi persaingan dalam dunia pendidikan kanak-kanak.” Tambah Encik Zakri lagi.

Perkongsian daripada pihak FPPM juga menyentuh beberapa cabaran dalam menyediakan pendidikan berkualiti termasuklah keusahawanan dan Helping Boys Nurturing Girls bagi menghadapi persaingan yang semakin sengit dalam industri pendidikan pra sekolah di Malaysia.


Manakala, perkongsian dari HIMPAUDI telah dibentangkan oleh Dr. Siti Fatimah Soenaryo yang merupakan ketua HIMPAUDI Jatim, Pensyarah PGSO FKIP UMM. Di Indonesia pendidikan awal kanak-kanak dikenali sebagai Pendidikan Anak Usia Dini (PAUD) yang terbahagi kepada dua bahagian iaitu penyelengaraan PAUD Jatim Formal dan Non Formal.

Menurut Dr. Siti Fatimah, Indonesia sangat serius dalam PAUD kerana ia terkandung didalam undang-undang negara bangsa. Malah mereka serius dalam strategi meningkatkan pengembangan kecekapan dalam rangka pembinaan karier PTK PAU supaya menjadi professional dan bermanfaat. HIMPAUDI juga berinisiatif dana mandiri iaitu berswadaya dalam aspek kewangan.

Perkongsian antara dua pihak telah membuahkan hasil yang memberangsangkan untuk kerjasama di masa akan datang. Keseriusan ini telah dipaparkan dengan pelbagai persoalan dan jawapan antara pihak FPPM dan HIMPAUDI. Lawatan berakhir dengan sesi pertukaran cendermata, fotografi dan jamuan.








Dilaporkan oleh,

FARIDAH MOHD TAP

Pensyarah Jabatan Pengajian Umum, FPPM, Kolej UNITI.