Pages

Thursday 31 January 2013

KEPELBAGAIAN PARTI POLITIK DI MALAYSIA: MEMECAH @ MENYATUKAN RAKYAT?



Sebuah kajian telah dijalankan oleh Pusat Merdeka (Merdeka Center) mengenai nilai-nilai Politik rakyat Malaysia bermula Januari hingga April 2010. Kajian tersebut memberi fokus kepada perpaduan negara.  Daripada sepuluh pendapat yang tertinggi, 13 peratus daripada 3141 atau 408.3 responden  berpendapat ketidakstabilan politik iaitu pertelingkahan antara ahli politik dan parti-parti politik yang menyebabkan perpecahan antara rakyat dalam sesebuah negara.


           Oleh kerana Malaysia dianggap dunia sebagai unik kerana berjaya hidup  bersama dalam kepelbagaian budaya, agama dan bangsa lebih dari 50 tahun selepas mencapai kemerdekaan, tetapi ia bukanlah satu tugas yang mudah. Beberapa insiden berdarah melibatkan pertelingkahan antara kaum pernah mewarnai sejarah Negara kita. Semua masyarakat tanpa mengenal perbezaan perlu mengambil iktibar dan perhatian daripada kejadian-kejadian sebegini supaya peristiwa pergolakan kaum tidak berulang lagi.


          Paling traumatik adalah peristiwa 13 Mei 1969. Rentetan dari kejadian itu, Kerajaan telah melaksanakan usaha-usaha intensif demi pengukuhan perpaduan masyarakat berbilang kaum seperti perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), menubuhkan Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang bertanggungjawab memperkenalkan Rukun Negara dan Jabatan Perpaduan. Mageran ini telah dibubarkan pada tahun 1971 dan ditubuhkan pula Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada tahun yang sama. Kini, MKN bertanggungjawab memastikan keselamatan Negara dari pelbagai ancaman luar pada masa kini dan mendatang seperti ancaman hak asasi manusia, pemanasan global, ancaman ekonomi dan jenayah rentas sempadan. Usaha ini dibuat sebagai salah-satu usaha memperkemas wawasan wewujudkan Negara bangsa Malaysia.


          Selain itu, pucuk pemerintahan Kerajaan Perikatan di bawah kepimpinan Tun Abdul Razak, Perdana Menteri kedua negara selepas insiden 13 Mei telah memperkasa kerjasama politik di kalangan kepelbagaian kaum yang ada dengan menubuhkan Barisan Nasional (BN). Antara parti komponennya adalah  Pertubuhan  Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Malaysian Chinese Association (MCA), Malayan Indian Congress (MIC), Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Progresif Rakyat (PPP), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Pesaka Bumiputera dan United Sabah National Organization (USNO). BN merupakan inisiatif YAB Tun Abdul Razak bagi mengurangkan permainan politik dan politik perkauman agar segala usaha dan tenaga digembeling ke arah perpaduan dan pembangunan nasional. (Fadilah Zaini & Kassim Tukiman, 2009: 136). Kerjasama ini merupakan langkah bijak kepimpinan dahulu untuk meperkukuhkan perpaduan Negara-bangsa.


          Dalam masa yang sama, kita tidak menafikan kewujudan parti-parti pembangkang sebagai penting dalam sesebuah negara berdemokrasi. Mutakhir ini, Pakatan Rakyat (PR) secara rasmi telah ditubuhkan pada 1 April 2008 yang diterajui oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Tindakan Rakyat (DAP) bagi memainkan peranan menyemak dan menyeimbang (check and balance) kepada Kerajaan sedia ada. Peranan lain adalah untuk menjadi parti alternatif kepada rakyat untuk menyatakan kehendak mereka jika kerajaan sedia ada tidak dapat memenuhi suara hati rakyat terutama dalam aspek kebajikan.


Kepelbagaian parti politik dengan masing-masing mempunyai aspirasi perjuangan tersendiri sering mengundang pertelingkahan sehingga menggugat keharmonian dan perpaduan antara rakyat. Sikap terlalu taksub kepada satu-satu parti politik menyebabkan politik Malaysia sering diwarnai dengan insiden-insiden tidak matang. Politik lucah, politik tuduh-menuduh, fitnah-menfitnah, sabotaj dan pelbagai lagi acap kali menghiasi dada-dada media massa dan elektronik. Rakyat di hujani dengan politik perkauman melampau yang lama-kelamaan menghancur-leburkan solidariti bangsa Malaysia.


 Kepelbagaian ini dapat disatukan jika semua menjunjung tassawur politik berkonsepkan demokrasi yang telah dipersetujui. Kefahaman mendalam tentang wawasan Negara oleh semua parti-parti politik merupakan teras kepada kewujudan lanskap politik yang bersatu-padu di tengah-tengah kemajmukan penduduknya. Malah yang terpenting sekali adalah kefahaman setiap pemimpin parti politik dan penyokongnya kepada kedaulatan Perlembagaan yang merupakan panduan hidup bernegara.  Dasawarsa ini, kerap kedengaran sesetengah pemimpin parti politik begitu lantang mempersoalkan peruntukan-peruntukan khas dan asas dalam Perlembagaan terutama yang melibatkan agama Islam, bahasa kebangsaan dan peruntukan khas orang Melayu masing-masing tercatat dalam Artikel 3, 152 dan 153.


Penyokong sesebuah parti disogok untuk membenci secara keterlaluan perbezaan ideologi politik sehingga pernah berlaku perkahwinan terhalang, perkahwinan bercerai-berai hanya disebabkan perbezaan parti politik. Apatah lagi bila kita berbicara tentang masyarakat. Boleh jadi masyarakat berpecah-belah kerana sikap ultra-taksub kepartian yang ada pada diri setiap individu. Kata-kata kesat keterlaluan dihambur bagi menyatakan kebencian kepada pemimpin dan penyokong parti-parti lain sehingga menggadai nilai sopan dan santun masyarakat timur.


          Semua individu bergelar rakyat Malaysia wajib menjaga dan mengekalkan perpaduan yang dikecapi. Kita tidak boleh meletakkan beban menjaga perpaduan ini di atas bahu sesuatu pihak sahaja. Semua individu berkepentingan dalam memberikan sepenuh komitmen untuk menjaga dan mengekalkan perpaduan nasional. Ia juga tidak bersifat musim-musiman iaitu hanya mempromosikan perpaduan bilamana ada perayaan dan keraian. Perpaduan adalah tanggungjawab bersama warganegara Malaysia.


Kemerdekaan adalah suatu nikmat setelah 446 tahun dijajah oleh beberapa kuasa kolonial dunia. Kita berjaya mendirikan sebuah Negara berdaulat dengan aman, namun penubuhan sebuah Negara-bangsa Malaysia memerlukan kefahaman tuntas dari semua rakyat pelbagai lapisan umur dan kaum. Nikmat yang teragung adalah mengekalkan ketahanan, keharmonian dan perpaduan nasional di kalangan masyarakat majmuknya. Justeru, nilai toleransi, kerjasama, hormat-menghormati dan sayang-menyayangi penting dalam memudahkan proses menjayakan penubuhan Negara-bangsa Malaysia dengan identitinya tersendiri.


Perbezaan idelogi politik kepartian tidak harus menjadi racun yang membunuh solidariti rakyat yang telahpun wujud selama ini. Justeru, parti politik mempunyai pilihan sama ada mahu menjadi pemecah atau pemersatu rakyat dalam merealisasikan impian menubuhkan sebuah Negara-bangsa Malaysia yang unggul di mata dunia. Sungguhlah malang jika ada parti politik memilih mengorbankan kesejahteraan rakyat hanya kerana mahukan sokongan politik.



Oleh,

FARIDAH BINTI MOHD TAP
Pensyarah Pengajian Umum
Kolej UNITI, Port Dickson,
Negeri Sembilan.



(Diterbitkan di MileniaMuslim Edisi Julai 2012 dan akhbar Berita Harian ruangan Forum)

CABARAN MENCAPAI TADBIR URUS YANG BAIK


(Jauhi Korupsi!!!!)

Laporan Transparency International (IT) Malaysia telah mengeluarkan sebuah laporan baru mengenai Indeks Persepsi Rasuah (IPR) bagi tahun 2011. IT- M merupakan sebuah badan bukan kerajaan bebas, institusi non-partisan yang komited menentang rasuah atau korupsi sama ada dalam sektor perkhidmatan awam, sektor swasta, dan juga institusi sivil melalui advokasi, kajian, serta pendidikan. Badan ini telah berdaftar dengan badan pendaftar, Registrar of Societies Malaysia (ROS) dan telah mencapai standard antarabangsa.


Laporan menunjukkan skor IPR bagi negara ini telah jatuh daripada 4.4 kepada 4.3 pada tahun 2011 yang meletakkan Malaysia di tangga ke-60 daripada 178 negara yang dipantau berbanding tangga ke-56 dua tahun berturut-turut sebelumnya.

Tahun
Kedudukan negara
Skor IPR
Jumlah negara-negara yang dipantau
2001
36
5.0
91
2002
33
4.9
102
2003
37
5.2
133
2004
39
5.0
146
2005
39
5.1
159
2006
44
5.0
163
2007
43
5.1
179
2008
47
5.1
180
2009
56
4.5
180
2010
56
4.4
178
2011
60
4.3
178

(Sumber: www.malaysiakini.com, Dis 5, 2011)

Laporan statistik juga menyaksikan kepada kita bahawa gejala rasuah di negara ini tidak menunjukkan sebarang penurunan walau pelbagai usaha pencegahan dan membendung rasuah telah dilakukan. Malah, dapatan ini mencerminkan kelemahan tadbir urus yang sedang membarah dalam pentadbiran negara.


Takrif Tadbir Urus Baik.


Cabaran besar ke arah mencapai tadbir urus yang baik (good governance) adalah membanteras rasuah daripada menjadi lingkaran syaitan (vicious circle) yang tidak berkesudahan. Apa yang dimaksudkan dengan ‘good governance? Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD)  telah mentakrifkan ‘good governance’ sebagai ‘ the management of government in a manner that is essentially free of abuse and corruption, and with due regard for the rule of law. Terdapat beberapa ciri penting kepada tadbir urus yang baik sepertimana digariskan oleh OECD yang diambil dari portal rasmi unesco.org, iaitu keterlibatan (participation), ketelusan (transparency), akauntabiliti (accountability), kedaulatan undang-undang (rule of law), efektif (effective), kesaksamaan (equity), membuat keputusan secara bersama (consensus decision) dan responsif (responsiveness).


          Untuk mencapai tadbir urus yang baik, antara perkara pertama yang perlu diselesaikan adalah soal ketelusan (transparency) dalam pentabiran sepertimana yang ditulis oleh Saladin al-Jurf (1999) dalam makalahnya ‘Good Governance and Transparency: Their Impact on Development’. Menurutnya, mana-mana kerajaan tidak boleh terlibat dalam tadbir urus yang baik seperti pengurusan negara yang bagus tanpa menggalak dan mempromosikan ketelusan. Justeru, kepimpinan politik negara terutama Tun Hussien Onn , Tun Mahathir dan Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) begitu giat membanteras korupsi sebagai matlamat perjuangan dalam memimpin dan mentadbir Negara. Malah tidak ketinggalan, Perdana Menteri kita hari ini, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak juga menyuntik semangat WAWASAN 2020 dalam Pelan Transformasi Kerajaan yang bertujuan untuk memperkasa tadbir urus yang baik.


          Ironinya, persepsi umum kian merosot kerana statistik rasuah negara saban tahun meningkat. Rakyat mula mempertikai keberkesanan program untuk membasmi gejala tidak sihat ini daripada terus membarah. Usaha untuk membentuk dan menghidup suburkan tadbir urus yang baik akan terencat jikalau gejala rasuah ini tidak ditangani dengan bersungguh-sungguh oleh semua pihak samaada kerajaan ataupun swasta, samaada pemimpin mahupun rakyat jelata.


Implikasi Rasuah: Cabaran ke Arah Tadbir Urus yang Baik.


          Gejala rasuah meninggalkan impak yang besar sehinggakan sesebuah tamadun, empayar dan bangsa boleh runtuh dalam sekelip mata. Sebagai memetik sebahagian ucapan YB Dato’ Sri Najib (sekarang Datuk Seri) di Seminar Muafakat Memerangi Rasuah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada tahun 1997, beliau mengatakan, “ Empayar Rom, Empayar Uthmaniah, Dinasti Ming, yang tidak terurus pentadbirannya menyebabkan tentera dan kakitangan awamnya terpaksa mengamalkan rasuah sehingga akhimva hancur. Demikian juga dengan kisah kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka akibat berlakunya amalan rasuah di kalangan raja dan pembesamya. Kerajaan Nasionalis China Kai Shek di China, Richard Nixon di Amerika, Marcos di Filipina dan akhimya Presiden Mobuto di Zaire tumbang kerana gejala yang sama.” Sedari itu, YAB Datuk Seri Najib menggalas amanah yang maha berat bagi memastikan keberlangsungan negara bebas rasuah. Ia memerlukan sepenuh kesungguhan dalam membanteras gejala ini sebelum Malaysia mengalami nasib yang serupa seperti dalam ucapan beliau.  


          Semua masyarakat beragama dan bermoral menolak rasuah sebagai satu jenayah moral yang keji. Kesan rasuah bukan sahaja melibatkan segelintir individu pengamal rasuah tetapi ia melangkaui lebih daripada itu. Ia melibatkan segenap aspek negara dari segi keadilan sosialnya, kestabilan politiknya, kemakmuran ekonominya, juga nilai dan etika rakyatnya. Nah, sudah terang lagi bersuluh, inilah cabaran yang harus ditempuhi sebelum mencapai tadbir urus negara yang unggul.


          Keadilan sosial tidak mungkin tercapai jika si kaya terus menjadi kaya-raya, manakala rakyat terus miskin terhimpit sehingga keperluan asas manusia yang seharusnya dijaga sukar diperolehi lalu menyebabkan kemunculan jenayah lainnya seperti merompak, samun, rasuah dan pelbagai lagi di kalangan rakyat. Keselamatan masyarakat tergugat oleh manusia yang terhimpit dek desakan hidup. Rakyat mula marah, maka mengancam kestabilan politik.


Para penguasa korup mula kerut dahi mengenang kebangkitan rakyat yang akan mengancam kekuasaan politiknya. Akibat daripada keadaan politik negara yang kucar-kacir, para pelabur asing mula takut untuk melabur. Maka, kemakmuran ekonomi terjejas kerana pelaburan asing amat perlu bagi menjana pendapatan dan membangun ekonomi masyarakat seterusnya negara.  Kos-kos tambahan yang wujud dari amalan rasuah ini pula ditanggung oleh pihak lain dan rakyat. Lingkaran (vicious circle) ini akan berterusan tanpa kesudahan jika tiada komitmen bersungguh oleh semua bagi menghentikan budaya korupsi hingga ke akar umbi.


          Sehingga artikel ini ditulis, media baru sahaja melaporkan hukuman penjara selama setahun kepada bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohd Khir Toyo oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam atas tuduhan rasuah melibatkan pembelian dua lot tanah dan sebuah rumah di Seksyen 7, Shah Alam pada 29 Mei 2007 yang melibat jutaan ringgit. Mahkamah juga telah melucutkan hak pemilikan hartanah tersebut kepada kerajaan Malaysia. Terbaru, sedang berlangsung kes National Feedlot Corporation (NFC) yang melibatkan seorang lagi pemimpin politik serta keluarganya. Bagaimana kesudahannya? Kita sama-sama menunggu laporan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia setelah selesai siasatan keatasnya.


Penyalahgunaan Kuasa dan Amalan Korupsi


          Penyalahgunaan kuasa oleh barisan kepimpinan Negara hanya memudaratkan keberlangsungan hidup rakyat jelata yang terpaksa bekerja-keras untuk mencari secupak rezeki untuk diri dan keluarga. Lord Acton menyatakan, “power tends to corrupt, absolute power corrupts absolutely.” Hanya iman dan moral kemanusiaan yang tinggi mampu menyelamatkan diri sang penguasa dari terjebak ke lembah hina rasuah. Pemimpin harus sedar tanggungjawabnya kepada rakyat jelata yang membayar cukai dalam memastikan sesebuah kerajaan berfungsi. Kerajaan pula haruslah berfungsi sebagai sebuah entiti yang mengamalkan governans yang baik demi kesejahteraan rakyat.  


          Pemimpin kerajaan serta organisasi sosial lainnya yang korup seperti bidalan Melayu, ‘bagai telur di hujung tanduk.’ Banyak contoh telah menyaksikan kita bagaimana satu-persatu pengamal rasuah di kalangan pemimpin jatuh tersungkur, rebah di bumi apabila rakyat mula menunjukkan kemarahannya lantaran sekian lama rintihan dan derita tidak didengari. Begitulah yang terjadi kepada Kesultanan Melayu Melaka yang akhirnya tumbang sekelip mata apabila rasuah menjadi budaya raja dan pembesarnya. Fikir-fikirkanlah nasib untung rakyat yang baru separuh abad mengecap kemerdekaan setelah ratusan tahun dijajah oleh para kolonial barat dan Jepun (Asia) suatu ketika dahulu akibat dari amalan rasuah ini.


Oleh:

CIK FARIDAH MOHD TAP
Pensyarah Jabatan Pengajian Umum,
Kolej UNITI, N9




(Pernah diterbitkan di Majalah Dewan Masyarakat (Februari 2012) dan MilineaMuslim (Julai 2012 dan Berita Harian ruangan Forum).


Wednesday 30 January 2013

KEMBALI LAGI DAN PASTI GEMPAK!!!!

JANGAN LUPA 'BOOK' TARIKH INI DALAM KALENDAR ANDA!!!

Tuesday 29 January 2013

ERA BELIA BUKAN UNTUK BERSERONOK




Belia merupakan golongan yang sangat istimewa dalam sesebuah struktur masyarakat yang besar. Statistik menunjukkan golongan belia yang berumur di antara julat umur 15 hingga 40 tahun menyumbang lebih 40% kepada masyarakat Malaysia hari ini. Belia dikatakan istimewa kerana golongan ini lahir di antara dua kelemahan iaitu kelemahan zaman kanak-kanak dan zaman tua. Kedua-duanya membutuhkan bimbingan dan pertolongan.



Dalam Surah Ar-Rum: 54, Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
“Allah yang menciptakan kamu bermula dari keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu, ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Ia menciptakan apa yang di kehendaki-Nya, dan Dialah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.”



Ayat di atas menunjukkan kepada kita bahawa di antara kedua-dua fasa lemah dalam kehidupan manusia itu terdapat satu fasa di mana manusia mencapai kekuatan. Fasa inilah yang menempatkan golongan muda belia. Umum mengetahui, golongan belia ini adalah golongan yang mempunyai kekuatan dari segi fizikal, mental, idealisme, keinginan untuk mencapai sesuatu, aktif, dinamik dan mahukan perubahan. Pendek kata, zaman belia adalah zaman yang penuh dengan kegemilangan jika ciri-ciri itu dimanfaatkan dan disalurkan melalui wadah yang betul.



Oleh kerana golongan belia ini sangat istimewa, pembinaan dan pembangunan identiti serta jati diri seseorang individu belia menjadi salah-satu agenda utama sesebuah Negara dan agama. Golongan belia merupakan golongan yang akan mewarisi tampuk kepimpinan Negara di masa hadapan. Golongan kepimpinan belia inilah yang mencorakkan hala tuju sesebuah Negara dan kemajuan agama Islam itu sendiri di masa akan datang.



Menurut sejarah, golongan belia merupakan pendokong dan aktor utama dalam pengembangan dan kegemilangan Islam yang menguasai 1/3 penduduk dunia. Tokoh-tokoh besar seperti Nabi Ibrahim A.S., Nabi Yusuf A.S., Ashab Al-Kahfi, Saidina Ali dan para Sahabat Rasulullah yang lain ialah antara contoh-contoh golongan belia yang dikisahkan di dalam Al-Qur’an.



Islam menggesa golongan belia memainkan peranannya sebaik mungkin kerana mereka menggalas tanggungjawab yang besar. Namun apa yang membelenggu minda ramai golongan belia sekarang, mereka cenderung menggunakan masa muda mereka dengan perkara-perkara yang sia-sia dan memenuhi agenda kehidupan mereka dengan aktiviti-aktiviti yang berunsurkan hiburan yang melampau-lampau (hedonisme).



Kalimat “muda hanya sekali” yang diwarisi secara turun-temurun telah menjadi kata kunci untuk mereka menghalalkan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah (lagho) hatta melanggar syariat agama. Mereka beranggapan masa muda adalah masa untuk bergembira dan melakukan segala-galanya. Bila umur masuk 40-an, barulah mereka akan fikir tentang akhirat, duduk di masjid dan beramal. Itupun bagi mereka yang mempunyai kesedaran, kalau tidak mereka akan terus hanyut dengan kehidupan muda mereka walau sudah lanjut usia. Bak kata pepatah, “rumah kata pergi, kubur kata mari” Sebuah hadith menyatakan, “sebaik-baik pemuda di antara kamu adalah yang mirip/ seperti orang dewasa di antara kamu, dan sejelek-jelek orang tua di antara kamu adalah yang seperti pemuda di antara kamu.” (HR. Bukhari)



Sesebuah bangsa meletakkan harapan yang tinggi kepada golongan belia. Kepada merekalah gagasan-gagasan pembangunan dan kemajuan bangsa dapat diteruskan mengikut acuannya yang tersendiri. Justeru itu, golongan belia yang kuat jati dirinya, berwawasan dan punyai nilai integriti yang tinggi amat didambakan. Golongan inilah yang akan membangkitkan kejayaan kepada sesebuah bangsa.



As-Syahid Imam Hasan Al-Banna begitu mengambil berat akan pembinaan golongan belia/pemuda dengan menekankan empat kriteria penting yang tersemat dalam diri setiap belia. Beliau menyebut:

“Sesuatu gagasan akan berjaya jika wujud keyakinan yang kuat dengan gagasan yang didokong, wujudnya keikhlasan dalam mendokongnya, semangat yang sentiasa membara bersamanya serta sedia berkorban dan berusaha untuk merealisasikannya. Keempat-empat asas ini iaitu keimanan, keikhlasan, semangat dan usaha adalah sifat-sifat istimewa para pemuda. Sebabnya, asas keimanan ialah hati yang bersih, asas keikhlasan ialah jiwa yang suci, asas semangat ialah keinginan yang kuat, asas usaha ialah keazaman yang membara. Semua sifat ini hanya ada pada pemuda. Atas dasar ini dalam mana-mana bangsa, para pemuda menjadi tonggak kebangkitan mereka. Setiap kebangkitan ada rahsia kekuatannya yang tersendiri. Setiap gagasan ada pendokong panjinya.



Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud,

“Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. (Al-Kahfi:13)”


Ciri-ciri ideal belia Islam


1-Ketahanan iman dan akidah.

Seseorang belia Muslim perlu mempunyai ketahanan iman dan akidah yang ampuh bagi menghadapi segala cabaran dalam kehidupan. Kalimah La ilaha ilallah hendaklah menjadi zikir harian yang akhirnya melahirkan jiwa-jiwa yang berani dan kental serta komited dalam mengharungi perjuangan hidup. Mereka tidak pula senang mengaku kalah bila diuji di waktu susah dan senang. Allah S.W.T. berfirman dalam surah Ali-‘Imran : ayat 139 mafhumnya, “Janganlah kamu merasa lemah dan berdukacita. Kamu adalah lebih tinggi (darjatnya) sekiranya kamu beriman.” Untuk membina ketahanan iman dan akidah yang sejahtera, seseorang perlu sentiasa memahami dan mendalami agamanya melalui guru-guru yang mursyid dan pembacaan, sentiasa bertaqarrub (mendampingi) Allah, bertaubat dan melakukan segala syariat agama dan menjauhi larangan-Nya.


2. Taat kepada Allah dan ibadah yang betul

Manusia itu diciptakan oleh Allah Taala adalah semata-semata untuk kita semua menyembahNya. Allah berfirman dalam surah Al-Zariyat: ayat 56 yang bermaksud, “Dan tidaklah aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu.” Taat kepada Allah bermaksud menunaikan segala syariat-Nya dan menjauh larangan-larangan-Nya. Manakala ibadah yang betul adalah refleksi daripada akidah yang sejahtera lagi benar. Setiap orang Islam di tuntut menunaikan ibadah wajib seperti yang terungkap di dalam rukun Islam yang lima. Selain menunaikan ibadah wajib, kita juga perlu menunaikan ibadah sunat seperti berzikir, sentiasa bersuci, qiyamullail dan sebagainya bagi sentiasa merasa dekat kepada Allah S.W.T, Tuhan yang Maha Esa. Taat dan beribadah kepada Allah merupakan manifestasi tanda kesyukuran kita kepada-Nya atas segala nikmat yang dikurniakan kepada kita.


3. Berilmu dan berpengetahuan luas.

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “menuntut ilmu adalah suatu kewajipan bagi setiap orang Muslim.” Malah, pepatah Arab pernah mengatakan, “tuntutlah ilmu semenjak dari buaian hingga ke liang lahad”. Hadith dan pepatah di atas menggesa setiap orang Islam supaya menimba ilmu bagi menambah pengetahuan kedua-dua ilmu fardhu ‘ain dan ilmu fardu kifayah. Proses menimba ilmu pula tidak akan pernah terhenti selagi mana nyawa di kandung badan. Ilmu yang sahih yang berpaksikan kepada falsafah tawhid akan menjadi guru terbaik dalam memandu diri kearah kebaikan dan kebenaran. Ilmu itu juga digunakan untuk membangunkan bangsa, agama dan tamadun Islam.


4. Akhlak dan sahsiah diri yang mantap

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud, “sesungguhnya aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.” Baginda Rasulullah merupakan qudwah hasanah bagi setiap individu Muslim kerana akhlak baginda diumpamakan seperti Al-Qur’an. Umum mengetahui Islam itu tidak akan lengkap sekiranya elemen akhlak ini di ketepikan. Sirah pernah menceritakan bahawasanya pada suatu hari khalifah Harun Ar-Rasyid telah bertanya Imam Abi Yusuf yang menjadi mufti di kala itu tentang akhlak serta peribadi gurunya Imam Abu Hanifah. Beliau yang menjawab: “sesungguhnya beliau adalah seorang yang bersungguh-sungguh mempertahankan hukum-hukum Allah, beliau menjaga dirinya dari mendekati orang-orang yang cinta dunia, banyak berdiam tetapi akalnya sentiasa berfikir, beliau tidak banyak bercakap tetapi bila saja ditanya apa juga masalah sudah pasti beliau akan dapat menjawabnya. Beliau terlalu menjaga diri dan agamanya dan tidak suka mengambil tahu keburukan orang lain, tidak akan menyebut nama seseorang melainkan beliau menceritakan kebaikan orang itu. Khalifah pun berkata: “inilah akhlak orang yang soleh!”


5. Sihat tubuh badan.

Menjaga kesihatan tubuh badan amat dituntut dalam Islam. Apabila anggota tubuh badan sihat, segala urusan agama dapat dilaksanakan dengan sempurna. Kita dilarang melakukan sesuatu yang boleh memberi mudarat kepada diri. Disebabkan itu, gejala ketagihan dadah, arak, zina, rempit dan seumpamanya wajib dijauhi. Sumber dan bahan makanan juga perlu diberikan perhatian kerana setiap makanan yang masuk ke dalam perut kita akan mempengaruhi kesihatan tubuh badan serta akhlak kita.

6. Bermanfaat kepada orang lain.

Sebuah hadith pernah menyatakan, “sebaik-baik manusia adalah seseorang yang memberi manfaat kepada orang lain.” Berguna kepada orang lain boleh difahami sebagai menunaikan tanggungjawab kebajikan dan sosial. Tanggungjawab itu boleh disalurkan melalui pelbagai kaedah antaranya melaksanakan hak-hak saudara seakidah dan sesama manusia seperti kasih sayang, hormat-menghormati dan tolong-menolong. Kita juga boleh memberikan sumbangan kepada pembangunan ekonomi Islam melalui sistem keusahawanan Islam. Berpersatuan atau melakukan kerja-kerja sukarelawan juga salah satu kaedah untuk kita memberi khidmat dan tanggungjwab sosial kita kepada masyarakat. Motto “Hidup Biar Berjasa” boleh memberikan kita motivasi untuk sentiasa menyumbang sebanyak-banyaknya dan bukannya menerima sebanyak-banyaknya.


7. Peka kepada perubahan sosio-politik-ekonomi lokal dan global

Seseorang individu belia harus peka kepada setiap perubahan sosio-politik-ekonomi setempat dan juga pada peringkat global. Ini perlu bagi merangka teknik dan strategi bagi menghadapi segala kemungkinan. Belia yang celik terhadap isu-isu yang melanda Negara dan dunia khususnya dunia Islam sedikit sebanyak dapat menyumbang idea-idea bernas bagi kemajuan bersama. Kepekaan belia kepada setiap perubahan yang berlaku dapat mematangkan fikiran, meluaskan pengalaman dan bijak dalam mengatur strategi demi menghadapi hari muka.


Kesimpulan


Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud, “gunakanlah lima kesempatan sebelum datangnya lima kesempitan: sihatmu sebelum datang sakit, lapangmu sebelum datang kesibukan, mudamu sebelum datang hari tua, kayamu sebelum datang kemiskinan dan kesempatan masa hidupmu sebelum datang kematian.” Hadith di atas memberikan kita peringatan supaya memanfaatkan masa muda belia kita dengan sebaik mungkin.



Sebahagian nasihat baginda Rasulullah kepada umatnya ialah:

“Adalah dikira sebagai tanda berpalingnya Allah Taala daripada seseoranng hamba apabila ia selalu mengerjakan perkara yang tidak berfaedah. Dan seandainya ada satu saat daripada umurnya yang telah digunakannya pada barang yang bukan merupakan tujuan hidupnya (iaitu beribadat kepada Allah) maka layaklah bahawa akan panjang penyesalannya (pada hari kiamat nanti) dan siapa yang umurnya lebih daripada empat puluh tahun sedangkan kebaikannya masih belum dapat melebihi kejahatnnya maka layaklah ia mempersiapkan dirinya untuk memasuki api neraka.”



Akhir bicara, kepada kaum Muslimin khususnya kepada golongan belia, ayuhlah kita semua melakukan perubahan dari segala sudut terutamanya sudut peribadi dengan menyemai dan menyuburkan peribadi dengan nilai-nilai Islami dan rabbaniy demi mengorak langkah menjulang kebangkitan ummah lalu membina semula tamadun Islam yang telah terlepas daripada tangan kita. Allah berfirman dalam surah Al-Ra’ad: 11 yang bermaksud, “sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”



Oleh kerana zaman belia adalah zaman yang paling gemilang dalam kehidupan manusia maka kitalah yang bertanggungjawab melaksanakan misi agung itu. Harapan kepada belia-belia Islam boleh diungkapkan melalui ucapan As-Syahid Imam Hassan al-Banna dalam ‘Dakwah Kita di Era Baru’ ,“kita mahukan jiwa yang hidup, kuat dan bertenaga. Kita mahukan hati baru yang menyala. Kita mahukan perasaan yang bergelojak membara. Kita mahukan roh yang bercita-cita tinggi. Kita mahukan jiwa yang dapat membayangkan betapa tingginya impian dan matlamat ini supaya ia dapat mengejar dan mencapainya.” Hidup biar berjasa. Wallahu’alam.



Oleh,

FARIDAH BINTI MOHD TAP
PENSYARAH PENGAJIAN UMUM
KOLEJ UNITI PORT DICKSON




(Diterbitkan di Majalah MileniaMuslim Edisi Ogos 2009, dan Berita Harian ruangan Agama)

MEMBANTU KANAK-KANAK LELAKI DAN MENDIDIK KANAK-KANAK PEREMPUAN: SUATU LONTARAN AWAL. “HELPING BOYS AND NURTURING GIRLS”




Suatu fakta yang diketahui umum dan perlukan perhatian pihak institusi pendidikan ialah nisbah mahasiswa dan mahasiswi di Institusi Pengajian Tinggi adalah dengan jurang ketara iaitu 35: 65 yang bermula pada awal era 1990-an hingga kini. Kemasukan pelajar lelaki dan perempuan ke IPTA untuk pelbagai peringkat, diploma, sarjana muda, diploma lanjutan lepasan ijazah, sarjana dan Doktor Falsafah pada sesi 2009/2010 juga menunjukkan peratusan kemasukan yang sama.


Bagi kemasukan ke IPTA pada tahun 2009 dan 2010, nisbah peratusan keseluruhan kemasukan pelajar lelaki kepada perempuan untuk pelbagai peringkat adalah 39:61. Pada tahun 2009, daripada 153, 470, hanya 59, 706 adalah lelaki. Manakala, pada tahun berikutnya, jurang peratusan masih kekal walaupun terdapat peningkatan jumlah kemasukan iaitu 65, 204 daripada 167, 159 pelajar adalah lelaki dan selebihnya adalah pelajar perempuan.


Berikut adalah statistik kemasukan pelajar ke IPTA mengikut gender bagi peringkat Ijazah Sarjana Muda dari tahun 2006 hingga 2011 yang menunjukkan nisbah pelajar lelaki kepada perempuan sebanyak 37:63.

Tahun
Pelajar lelaki
Pelajar perempuan
Jumlah keseluruhan

2006

80, 231

143, 737

223, 968

2007

94, 337

153, 544

247, 881

2008

27, 803

47, 324

75, 127

2009

29, 051

50, 955

80,006

2010

43, 627

61, 750

105, 377

2011 (sesi pertama pengambilan)

14, 266

27,001

41, 267

Jumlah

289, 315

484, 311

773, 626


























(Sumber: Laman sesawang rasmi Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Berita Harian Online, dan MStar Online, dimuat turun pada 16 Mei 2012)


Fenomena golongan perempuan mendominasi IPTA ini bukanlah baru dibicarakan kerana ketidakseimbangan gender ke institusi pendidikan tertiari bermula seawal tahun 1990-an. Pada era sebelumnya, pelajar lelaki lebih medominasi IPT manakala ramai wanita tidak meneruskan pelajaran sehinggakan telah berlaku pemberdayaan potensi kaum wanita seluruh dunia di bawah UNICEF.



Penekanan kepada kebajikan dan pemerkasaan wanita boleh dilihat dengan tergubalnya Dasar Wanita Negara pada lewat 1980-an, penumpuan khusus terhadap wanita dalam Rancangan Malasyia ke-enam (1990-1995) dan paling utama tertubuhnya Kementerian khas untuk isu-isu berkaitan wanita iaitu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 2001 serta sebarang bentuk diskriminasi ke atas wanita adalah dikira suatu jenayah yang termaktub dalam pindaan Perlembagaan Malaysia pada Ogos 2001. (Memperkasa Wanita-wanita di Malaysia di http://www.unicef.org/malaysia)



Kesan positif dari pengupayaan wanita dalam pendidikan kita boleh lihat pada hari ini bilamana para wanita berpendidikan mula menceburi bidang professional dan turut serta sebagai tulang belakang pembangunan negara. Namunpun begitu, tidak tahu dimana puncanya, golongan lelaki seolah-olah terpinggir sehingga berlaku perkembangan pola yang tidak seimbang antara gender. Ini boleh dilihat apabila wanita menjuari carta kemasukan dalam Institusi Pendidikan Tertinggi untuk beberapa dekad sehingga hari ini.



Penulisan ini bukan mahu menyalahkan mana-mana pihak tetapi ketidakseimbangan ini perlukan perhatian rapi oleh semua terutama institusi pendidikan. Institusi pendidikan Negara dikatakan terlalu keperempuan yang memerlukan penumpuan, pembacaan dan penghafalan fakta sehingga ramai pelajar lelaki tewas sedari di bangku sekolah rendah lagi. Kesan lebih ketara apabila pelajar-pelajar lelaki ke sekolah menengah kerana disinilah ‘transit’ penting yang membolehkan mereka layak ke IPT ataupun tidak. Malangnya ramai yang ‘gagal’ oleh kerana sistem pendidikan ini melemahkan keperkasaan diri mereka.



IMPLIKASI SOSIAL AKIBAT KEPUPUSAN LELAKI DI MENARA GADING


Tiada kesan positif yang mampu dicoretkan kepada isu kepupusan lelaki di menara gading. Malah, bertalu-talu pula kesan negatifnya terutama jika dipandang dalam aspek pembangunan sosial negara-bangsa di masa hadapan.



Implikasi jangka panjang akan berlaku kepincangan dalam unit kecil sosial sendiri iaitu keruntuhan institusi keluarga. Ini akan  berlaku apabila keluarga bergantung kepada pendapatan si isteri kerana berjawatan besar berbanding si suami yang berkelulusan dan bergaji rendah. Natijahnya, si isteri akan mengambil peranan suami sebagai ketua keluarga yang memberi nafkah kepada anggota isi rumah. Malah, penumpuan si isteri di tempat kerja dengan jawatan berkelulusan tinggi hanya akan meyebabkan fokus kepada keluarga semakin kurang.Justeru itu apakah implikasinya kepada institusi keluarga?



Bukan itu sahaja, kesan negatif lain yang semakin jelas adalah ‘trend kahwin lewat’. Dr. Anjli Doshi Gandhi, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menyatakan kekhuatirannya apabila kajian menunjukkan 30 peratus wanita dalam lingkungan umur 25 dan 29 tahun masih lagi bujang manakala bagi lelaki 25 peratus dalam lingkungan umur 30 hingga 34 tahun. Alasan yang umumnya diterima daripada kemunculan trend kahwin lewat ini adalah tiada calon yang sesuai bagi wanita dan kewangan tidak stabil bagi lelaki. Bukankah trend ini jika dibiarkan hanya akan merugikan Negara? Apatah lagi Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah dalam satu perhimpunan UMNO, 1982 menyatakan satu dasar iaitu Dasar Kependudukan Negara ke arah  mencapai 70 juta rakyat Malaysia menjelang 2035. 



Malah kekurangan golongan lelaki di menara gading mengurangkan kualiti modal insan idaman negara yang bercita-cita menjadi negara industri dengan kebolehan kemandirian yang setanding peringkat global. Keciciran lelaki dalam pendidikan seolah-olah merupakan ‘dosa’ kerana gagal untuk mendapatkan kerjaya yang baik. Inilah fenomena sosial yang merunsingkan dan jika tidak ditangani segera akan berlaku pelanggaran sunnatullah yang lebih teruk.




KAEDAH P&P YANG TEPAT TANGANI KECICIRAN LELAKI DALAM PELAJARAN



Pelbagai cadangan dibentang oleh pelbagai ahli akademik sebagai usaha untuk memperbetulkan ketidakseimbangan gender ini terutama dalam aspek pendidikan. Daripada penelitian penulis, lelaki bukanlah tidak hebat, tetapi dilemahkan oleh sistem pendidikan yang lebih memihak kepada perempuan selain sesi pengajaran dan pembelajaran (pnp) yang tidak tepat untuk pelajar lelaki sehingga berlakunya keciciran terutama untuk kelulusan ijazah sarjana muda. Kekurangan penawaran jurusan yang menepati kelayakan lelaki juga menjadi faktor kemerosotan dan keberadaan mereka di IPTA khususnya yang lebih banyak menawarkan bidang sastera.



Ini boleh dilihat apabila penguasaan bidang-bidang aliran sastera seperti sejarah, bahasa, ekonomi dan pelbagai lagi menjadi pilihan pelajar perempuan untuk meneruskan pengajian ke IPTA/ S dan Politeknik. Ini kerana kebolehan pelajar perempuan untuk membaca, menghafal fakta dan penumpuan fokus yang lama berbanding lelaki. Pada tahun 2009, kemasukan pelajar perempuan ke IPTA untuk jurusan sastera adalah dengan nisbah 32: 68 iaitu 27, 481 pelajar lelaki dan 57, 981 pelajar perempuan. Pada tahun 2010, nisbah pelajar lelaki kepada perempuan adalah sebanyak 33: 67 dengan kemasukan sebanyak 30, 822 pelajar lelaki daripada keseluruhan 94, 462. (Indikator Pengajian Tinggi 2009-2010)



Manakala bagi pelajar lelaki, mereka lebih cenderung untuk memilih bidang sains tulen dan teknikal. Statistik yang dikeluarkan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan KPT menunjukkan jumlah pelajar lelaki yang seimbang dengan pelajar perempuan, malah di IPTS dan politeknik mereka lebih dominan kerana secocok dengan kecenderungan mereka sebagai lelaki. Di IPTA, jumlah pelajar lelaki dan perempuan hampir seimbang dengan nisbah 47: 53 pada 2009 dan 2010. Manakala di IPTS, lelaki melebihi majoriti dengan kemasukan pada 2009 seramai 38, 231 berbanding 36, 014 atau dengan nisbah 51:49. Pada 2010 pula, nisbah meningkat sedikit kepada 52: 48. Di politeknik juga menunjukkan pelajar lelaki lebih dominan iaitu dengan nisbah kepada perempuan sebanyak 58:42 (2009) dan 56:44 (2010).



Justeru itu, boleh kita simpulkan bahawa pengajaran dan pembelajaran untuk pelajar lelaki dan perempuan adalah berbeza mengikut kekuatan fitrah masing-masing. Lelaki lebih berjaya dalam bidang sains dan teknikal kerana itulah kekuatan mereka. Begitu juga perempuan yang cocok dengan bidang sains sosial. Keseimbangan pelajar lelaki di IPT boleh dikurangkan apabila pendidik mengenal pasti teknik p&p yang terbaik untuk pembangunan kedua-duanya.



Jika UKM dan UPM didominasi oleh golongan perempuan, begitulah juga UPNM, UTeM dan UTHM yang mesra lelaki kerana jurusan yang ditawarkan adalah menepati selera dan minat pelajar lelaki. Penaiktarafan politeknik dan vokasional sebagai IPT juga membantu golongan lelaki supaya keciciran dalam pelajaran peringkat tertiari dapat dikurangkan.



MEMBANTU KANAK-KANAK LELAKI DAN MENDIDIK KANAK-KANAK PEREMPUAN (HELPING BOYS, NURTURING GIRLS)

Bagi Kolej UNITI Port Dickson khususnya di bawah Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia memandang serius isu keciciran lelaki di IPT. Fakulti di bawah pimpinan Dekannya, Ahmad Shafiai Uda @ Pak Utih telah menggagaskan satu usaha yang diharapkan dapat membantu pengembalian pendidikan yang sesuai mengikut  fitrah lelaki dan perempuan yang sememangnya berbeza. (Kini Dekan Fakulti adalah Encik Zakri bin Md Zain).


Perbezaan cara pendidikan kanak-kanak lelaki dan perempuan telah Allah Ta’ala firmankan didalam KitabNya yang bermaksud, “maka tatkala isteri ‘Imran melahirkan anaknya, dia pun berkata, “ya Tuhanku, sesungguhnya aku melahirkan seorang anak perempuan; dan Allah lebih mengetahui apa yang dilahirkannya itu; dan anak lelaki tidaklah seperti anak perempuan…” (Surah Al-‘Imran: ayat 36).



Tambahan lagi, Allah berfirman maksudnya, “kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu, maka wanita yang soleh ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, kerana Allah telah memelihara mereka. (Surah An-Nisa’: ayat 34).



Sebagai kesimpulan, usaha membantu pelajar lelaki dan mendidik pelajar perempuan akan dimulai dengan memberi penekanan sedari pendidikan pra-sekolah dengan jenamanya “Helping Boys, Nurturing Girls”. Ini supaya kanak-kanak lelaki dapat dibangunkan keperkasaannya sebagai pemimpin dan kanak-kanak perempuan dapat dididik sebagai pemelihara dan taat yang sangat penting kepada kesejahteraan sosial dalam masyarakat dan seterusnya Negara. Kepercayaan kepada perbezaan fitrah ini mempunyai sangkut paut dengan sistem dan silibus pendidikan yang dirangka supaya ia berjaya mencapai misi dan visinya.Semoga usaha kearah pengembalian sosial kepada fitrah dan sunnatullah akan diberkati. Wallahu’alam.



Oleh:

Cik Faridah Mohd Tap
Pensyarah Jabatan Pengajian Umum
Kolej UNITI, Port Dickson.

(Juga pernah diterbitkan di Majalah MileniaMuslim Edisi Disember 2012)


(Diterbitkan di Majalah MileniaMuslim Edisi Disember 2012)