Pages

Friday 18 September 2015

SYEIKH AHMAD AL-FATHANI: PATRIOT KEBANGKITAN KEMERDEKAAN YANG DILUPAKAN


Sebuah program Bual Bicara Interaktif bersama Tuan Hasanuddin Mohd Yusof, Presiden Pertubuhan Pencinta Tamadun Islam Nusantara diadakan pada 9 September lalu telah dianjurkan oleh Jabatan Pengajian Umum, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Kolej UNITI dengan kerjasama Grup Penjejak Tamadun Dunia bersempena dengan sambutan Hari Ulangtahun Kemerdekaan Negara ke-58. 




        Perkongsian selama dua jam itu  telah disertai beberapa akademia Kolej UNITI dan 40 orang pelajar pelbagai program. Bual bicara selama lebih 2 jam membuka mata para hadirin. Siapa sangka, sejarah yang dipelajari di sekolah-sekolah banyak pincangnya kerana ditulis dari kaca mata penjajah British. Ini diakui sendiri oleh pakar-pakar sejarah namun kekangan kehendak politik (political will) menghalang untuk penulisan semula sejarah negara dari neraca yang adil dan benar.


        Penulis sendiri tersentuh kerana setelah hampir 30 tahun, baru disedarkan betapa sejarah negara yang diajarkan di sekolah-sekolah rupanya banyak menggelapkan ‘hero-hero’ bangsa dan peristiwa sebenar dalam menyemarakkan semangat perjuangan dalam peristiwa menuntut kemerdekaan di awal kebangkitannya. Justeru, artikel kali ini, JPU suka untuk berkongsi sosok pejuang alam Melayu yang tercicir dalam catatan mana-mana buku sejarah arus perdana tetapi peranannya sungguh agung dalam penceritaan sejarah sebenar negara ini. Sosok wira tersebut adalah seorang ulama’ watan iaitu Sheikh Ahmad Al-Fatani yang diikitiraf oleh seluruh dunia Islam ketika pentadbiran Khilafah Uthmaniyyah dipimpin oleh Khalifah Sultan Abdul Hamid II. Ironisnya, namanya sepi dari pengetahuan bangsa sendiri.  



Tuan Hasanuddin Mohd Yusof (kiri) merupakan panel Bual Bicara Interaktif: Peranan Ulama dalam Kebangkitan Kemerdekaan Kesultanan Melayu Melaka dimoderatorkan oleh Cikgu Badrul Hisham Ithnin (kanan) selaku pensyarah kanan Jabatan Pengajian Umum, FPPM, Kolej UNITI.


 Sheikh Ahmad Al-Fatani  dan Peranannya dalam Kebangkitan Kemerdekaan Alam Melayu dan Asia Tenggara.

          Sheikh Ahmad al-Fathani atau nama sebenarnya ialah Sheikh Wan Ahmad bin Muhammad Zainal Abidin bin Datu Panglima Kaya Sheikh Haji Wan Mushthafa bin Wan Muhammad bin Wan Muhammad Zainal Abidin (faqih Wan Musa al-Jambui as-Sanawi al-Fathani) bin Wan Muhammad Shalih al-Laqihi bin Ali al-Masyhur al-Laqihi telah dilahirkan pada malam Jumaat, bulan Syaaban tahun 1272 bersamaan dengan 10 April 1856

Tokoh Intelek Melayu Sepanjang Zaman, Syeikh Ahmad Al-Fathani

          Beliau bukan sahaja dikenali sebagai ulama tradisional semata-mata, tetapi juga merupakan ulama dan pemikir Melayu yang ulung di alam nusantara dan menguasai 47 disiplin ilmu dan boleh menjawab pelbagai persoalan termasuklah disiplin politik. Salah seorang anak muridnya Tok Kenali menguasi separuh disiplin ilmu tersebut daripadanya. Muridnya yang lain adalah seperti Raja Ali Haji (Kerabat Diraja Kepulauan Riau) dan Raja Haji Uthmans.


        Sheikh Ahmad Al-Fathani telah mengasaskan dan menjadi ketua kepada Persatuan Cendikiawan Melayu di Mekah dikenali sebagai Jam’iyah al-Fathaniyyah yang dianggotai oleh seluruh ulama alam Melayu. Menurut catatan sejarah, pertubuhan itu merupakan organisasi politik Melayu pertama yang diasaskan pada tahun 1290H. 1837M.


        Persatuan Al-Fathaniyyah ini bukan sahaja mencetak kitab-kitab Melayu dan menyebarkannya ke seluruh pelosok nusantara, tetapi juga bertujuan untuk memberi kesedaran kepada para putera dunia Melayu agar berusaha membebaskan diri dan wilayah nusantara daripada cengkaman pihak penjajah Siam, Inggeris dan Belanda ketika itu.


        Sheikh Ahmad Al-Fathani telah menulis surat-surat politik kepada para Sultan (ketika itu, alam nusantara mengamalkan sistem monarki-kesultanan) di alam Melayu seperti Sultan Zainal Abidin III di Terengganu  Sultan Manshur di Kelantan (Sheikh berkhidmat sebagai penasihat Sultan ketika ini) dan juga menerima surat daripada Raja Muda Jambu memohon nasihat menghadapi serangan tentera Siam.


        Antara karya politik Sheikh Ahmad Al-Fathani adalah Hadiqah Al-Azhar, Faridah Faraid, Jumanah At-Tauhid Al- Fatawa Al- Fathaniyah.



Sheikh Ahmad Al-Fathani Penghubung Alam Melayu dan Kerajaan Uthmaniyyah/ Turki.


       Ramai juga tidak tahu tentang hubungan erat Kerajaan Uthmaniyyah dengan Alam Melayu khususnya apabila Kesultanan Melayu Melaka di serang Portugis. Ketika itu, Kerajaan Uthmaniyyah merupakan penaung kepada semua negara umat Islam tidak terkecuali Alam Melayu. Sheikh Al-Fathani telah dilantik sebagai wakil politik oleh Sultan Abdul Hamid II di bahagian timur.



        Syeikh Ahmad Al-Fathani bergerak aktif bersama-sama menjayakan misi kebangkitan menentang penjajah. Beliau menggesa umat Melayu di Nusantara untuk menuntut ilmu dan menguasai teknologi dalam ikhtiar mendepani kekuatan penjajah. Beliau juga secara langsung mendidik Raja Ali Kelana  dengan pendidikan Islam dan diberikan latihan khusus yang utuh sebagai mempersiapkan Raja Ali sebagai Yam Tuan Muda Riau.  Para wanita juga digesa untuk menuntut ilmu supaya dapat berjuang bersama-sama mempertahankan kedaulatan bangsa.



       Sebenarnya terlalu banyak untuk dinukilkan tentang patriot yang tidak didendang ini. Namun, dalam apa jua pertimbangan, beliau mempunyai peranan yang sangat besar dalam sejarah pemikiran Melayu. Pengaruh beliau meliputi pelbagai bidang penulisan kitab fiqah dan usuluddin, falak dan matematik, perubatan dan kimia, kemasyarakatan dan kesusasteraan, politik dan hubungan antarabangsa, diplomat dan sebagai wakil peribadi khalifah, penerbitan dan pentashihan, pemikiran dan kebangkitan umat, reformasi dan ketradisian, pembinaan jiwa dan jati diri, kesatuan umat dan penentangan imperialime. Sumbangan ini melayakkan beliau untuk dikenali sebagai tokoh intelek Melayu teragung sepanjang zaman. (Mat Rofa Ismail, 2015).  



Karya travelog Prof. Madya Dr. Mat Rofa Ismail Cetakan 1 2015 mengisahkan perjalanan beliau mengenai hubungan erat Alam Melayu dengan Turki. Didalamnya terkandung peranan khusus Syeikh Ahmad Al-Fathani sebagai wakil peribadi Sultan Abdul Hamid II di bahagian timur.

        Sebagai penutup, ambillah masa mencari dan mengerti perjuangan kemerdekaan yang ditulis daripada neraca yang adil. Tidak dinafikan, penulisan buku-buku teks sejarah telah ditulis dari kaca mata para orientalis yang terbukti berniat jahat terhadap Alam Melayu di bawah kepimpinan Islam. Maka, nama Sheikh Ahmad Al-Fathani dengan sengaja digelapkan supaya kita lupa sosok inilah yang berusaha mempertahankan tanah air dengan melahirkan kader-kader pejuang yang akan mempertahankan negara dari disiat penjajah khususnya aqidah Islamiyyah umat Melayu dan mengabadikannya dalam karya-karya yang ditinggalkan. Justeru, tidak hairan, kenapa setelah 446 tahun dijajah Portugis, Belanda dan British alam Melayu masih kekal dengan aqidah Islamiyyah kecuali kepulauan Manila yang bertukar wajah.


Barisan Pensyarah Jabatan Pengajian Umum bergambar bersama panel dan rakan sinergi Grup Penjejak Tamadun Dunia.


Disediakan oleh,

Puan Faridah binti Mohd Tap
Pensyarah Jabatan Pengajian Umum,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI, Port Dickson.


Thursday 17 September 2015

PEMENTASAN 'BIG BOOK' KESELAMATAN BERSAMA KANAK-KANAK TABIKA KEMAS BISTARI KOLEJ UNITI PORT DICKSON

Kolej UNITI, Port Dickson- Pelajar semester enam Diploma Pendidikan Pra Sekolah Kolej UNITI Port Dickson menjayakan acara pementasan drama muzikal dan 'big book' untuk menyampaikan mesej keselamatan dan perlindungannya bersama guru dan kanak-kanak Tabika Kemas Bistari Kolej UNITI yang berlangsung pada 7 dan 8 September lalu di Kampus UNITI Village.

Antara judul 'Big Book' yang dihasilkan para pelajar DPS ini ialah; ‘Awasi Si Penculik’, ‘Keselamatan Di Jalan Raya’, ‘Aduh Sakitnya!’, ‘Kecil Kawan Besar Lawan’, dan ‘Renjatan Elektrik’.

Pendekatan ini merupakan salah satu medium interaktif dalam menyampaikan mesej keselamatan kepada kanak-kanak dengan cara yang menghiburkan. Kanak-kanak Tabika Kemas Bistari sebagai tetamu undangan menzahirkan rasa gembira mereka apabila pelajar-pelajar mula mementaskan drama muzikal mereka mengenai keselamatan dan perlindungannya.

Kolej UNITI Port Dickson sentiasa berikhtiar untuk memastikan produk DPS yang dihasilkan menepati piawaian pasaran semasa dalam mendepani generasi z dan alpha yang kian mencabar. Pendekatan tradisional seperti ceramah kurang sesuai untuk diaplikasi dalam era kini. Justeru, para pelajar DPS Kolej UNITI Port Dickson sentiasa disiap siagakan dengan pelbagai kebolehan seperti menghasilkan 'big book' yang menarik, teater dan lain-lain strategi interaktif sebelum keluar ke realiti perguruan pra sekolah.



Galeri foto:















SIMULASI MENARIK PELAJAR KOLEJ UNITI PORT DICKSON UNTUK MENINGKATKAN KEFAHAMAN KESELAMATAN KANAK-KANAK DAN PERLINDUNGANNYA

Kolej UNITI Port Dickson- Seramai 44 orang pelajar Diploma Pendidikan Pra Sekolah semester enam telah melakukan aktiviti simulasi berkaitan isu keselamatan kanak-kanak pada 17, 18, 24 dan 25 Ogos yang lalu bertempat di kampus Uniti Village.

Tujuan simulasi itu merupakan sebahagian tuntutan tugasan bagi subjek DPP3243- Keselamatan Kanak-kanak dan Perlindungannya. Selain itu, ia adalah medium latihan untuk menggilap kreativiti bakal guru pra sekolah yang dikeluarkan oleh Kolej UNITI Port Dickson supaya relevan dan berdaya saing kepada pasaran industri pra-sekolah di Malaysia.



Nur Akmar Md Ariff
Penyelaras DPP3243
Kolej UNITI
"Program ini bertujuan murni iaitu untuk mencungkil kreativiti bakal-bakal guru parasekolah kami dalam mengendalikan program keselamatan kanak-kanak melalui pengajaran dan pembelaran yang menggembirakan dan bermakna untuk kanak-kanak serta simulasi pertolongan cemas untuk guru, penghasilan alat bantu mengajar yang menarik daripada bahan-bahan terbuang serta pencetusan idea-idea baru, nilai dan pengajaran mengenai isu-isu keselamatan kanak-kanak yang semakin membimbangkan melalui aktiviti debat, forum dan drama yang menarik dan kreatif." Jelas Nur Akmar Md Ariff selaku penyelaras subjek ketika di Istiadat Konvokesyen Kolej UNITI Port Dickson ke-14 baru-baru ini. 

Antara program yang telah dijalankan ialah ‘Peranan Guru Dalam Program keselamatan: Latihan Kebakaran Di Tadika', ‘Drama: Penderaan dan Pengabaian Kanak-Kanak’,  ‘Debat: Anak – Anak Dirotan Untuk Didisiplinkan’, ‘Debat: Pengabaian Anak Kerap Berlaku Dalam Kalangan Ibu Bapa Yang Bekerjaya’, ‘Forum:  Tersedak Susu. Salah Siapa?’ dan ‘Simulasi Pertolongan Cemas : CPR dan Balutan’. 




Galeri Foto:-