Pages

Monday 22 October 2018

KENAPA 5 TAHUN PERTAMA ADALAH PENTING DALAM PERKEMBANGAN OTAK SI CILIK? - Cik Nur Akmar Binti Mohd Arif

Setiap anak mempunyai hak untuk mendapatkan pendidikan dan asuhan terbaik yang perlu diberikan terutama pada usia lima tahun pertama. Ia merupakan umur yang paling kritikal dalam perkembangan kanak-kanak yang akan memberikan kesan sehingga dewasa. Jadi, anak-anak perlu didedahkan dalam persekitaran pembelajaran yang baik untuk ditiru dan diterokai baik di rumah mahupun di taska/tadika. 

Kajian-kajian dalam bidang neurosains (brains research) mendapati otak kanak-kanak berkembang dengan cara tertentu daripada pengalaman dan  rangsangan yang diterima melalui deria-derianya. Contohnya, bayi baru lahir belajar mengenali ibu bapa, pendidik atau pengasuhnya secara menghidu, melihat, mendengar, mengecam suara dan merasa kelembutan sentuhan mereka. 


Pengalaman melalui lima deria ini disimpan dalam bentuk hubungan sinaps dalam otaknya. Ini menunjukkan bahawa pengalaman awal kanak-kanak mempunyai impak yang besar kepada senibina otak kanak-kanak sehingga mereka dewasa kelak.


Kanak-kanak adalah insan yang fitrahnya sentiasa ingin bermain, meneroka dan belajar. Semenjak di dalam kandungan lagi, insan ini telah mulai belajar melalui  perasaan ibunya dan boleh merasai kesan-kesan daripada setiap  tindakan ibunya.  


Selepas dilahirkan, kanak-kanak ini akan belajar dengan lebih cepat daripada orang lain seperti pendidik di taska/tadika serta dunia persekitarannya.  Pembelajaran atau pengalaman awal ini akan membentuk sahsiah dan  personalitinya kelak. 


Oleh itu, menjadi tanggungjawab ibu  bapa serta pendidik taska/tadika untuk menyediakan persekitaran dan pengalaman pembelajaran  dengan  penuh  kasih sayang baik di rumah mahupun di taska/tadika.
  
Penyelidikan telah membuktikan bahawa pembelajaran awal membantu kejayaan kanak-kanak di sekolah dan kehidupan masa hadapan mereka. Pembelajaran awal adalah penting dalam membantu anak-anak ini mencapai perkembangan yang menyeluruh dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial. 


Hakikatnya, proses pembelajaran peringkat awal mampu memberi kesan positif kepada tumbesaran kanak-kanak kerana pada usia ini. Otak mereka diibaratkan seperti span yang mampu menyerap apa sahaja dengan cepat daripada persekitarannya...Hati-hati semua pendidik…kerana anda semua diperhati dan didengari! ‘Children see, children do!’


Kajian perkembangan kanak-kanak menunjukkan bahawa 90 peratus daripada perkembangan otak secara optimum berlaku sebelum kanak-kanak mencapai umur lima tahun kerana sejak kelahiran hingga berumur dua tahun, kanak-kanak itu mengalami perkembangan kognitif yang pesat. Oleh itu, cara terbaik untuk membentuk hubungan otak kanak-kanak kecil adalah dengan memberikan persekitaran yang selamat dan menarik untuk diterokai baik di rumah mahupun di taska/tadika serta dikelilingi oleh orang yang boleh memberikan respons kepada keperluan emosi dan intelek mereka. 


Ingat…anak-anak perlu dilayani dengan penuh kesabaran, bukan kekerasan! 


Menurut Bredekamp & Copple (1997), dalam tiga (3) tahun pertama, kanak-kanak belajar atau gagal belajar cara untuk bergaul, cara melerai konflik, cara berinteraksi, cara memujuk dan cara meneroka dunia persekitarannya. 


Jadi, pendidik di tadika/ taska serta ibu bapa perlu membimbing anak-anak untuk berinteraksi secara sihat bersama rakan sebaya serta memberi galakan dan pujian bagi setiap tindakan positif mereka! 


Ingat…kanak-kanak perlu diberikan pengalaman pembelajaran dan rangsangan positif yang banyak dan kerap sejak lahir supaya hubungan sinaps yang terbentuk dalam otak menjadi kekal.


Kajian otak telah menyatakan bahawa kanak-kanak kecil memerlukan kasih sayang, pendorong dalam kehidupan mereka yang akan menyanyikan lagu untuk mereka, memeluk mereka, berbual dengan mereka, membacakan buku untuk mereka dan berada di samping mereka.


Kesannya, kanak-kanak yang membesar dengan persekitaran yang kaya dengan bahasa biasanya akan fasih berbahasa pada usia tiga (3) tahun.  Seiring dengan pandangan Harlow & Zimmerman (1959), kanak- kanak memerlukan sentuhan dan perdampingan orang dewasa. Ini menunjukkan betapa pentingnya keprihatinan dan kasih sayang daripada ibu bapa serta pendidik  untuk kelangsungan tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak baik di rumah mahupun di taska/tadika.


Menurut pakar psikologi, personaliti kanak-kanak sudah terbentuk  sebelum usia mereka mencapai lima (5) tahun. Pengalaman awal dan persekitaran di mana kanak-kanak dibesarkan baik di rumah mahupun pembelajaran di taska/tadika adalah faktor utama yang mencorakkan personaliti mereka yang boleh berkekalan sehingga  dewasa. 


Oleh itu, jika ibu bapa inginkan anak-anak mereka mempunyai personaliti yang baik dan positif dalam perhubungan dan pengurusan diri, bijak berkomunikasi serta pandai menyesuaikan diri dalam apa sahaja keadaan, maka berikanlah mereka pendidikan dan pengalaman awal yang berkualiti. 


Kesimpulannya, pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti pada hari ini adalah penting untuk pembangunan potensi insan yang seimbang dan optimum merangkumi semua aspek jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial dalam persekitaran yang selamat, sihat dan menyeronokkan. 


Hakikatnya, peringkat kanak-kanak merupakan peringkat utama yang paling kritikal dan pesat perkembangan mereka berbanding dengan peringkat-peringkat atau tahap umur yang lebih dewasa dalam kehidupan seseorang.Setiap kanak-kanak mempunyai potensi yang perlu dibangunkan dan dikembangkan kerana mereka adalah modal insan dan generasi masa hadapan negara.



“Jika kamu menyentuh saya dengan lembut dan halus,
Jika kamu melihat ke arah saya dan tersenyum,
Jika kamu berbual dengan saya dan mendengar,
Saya akan terus membesar dan membesar!”

-Jackie Silberg-


Disediakan Oleh:

Cik Nur Akmar Binti Mohd Arif
Pensyarah,
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia,
Kolej Uniti Port Dickson.



Wednesday 17 October 2018

Kempen SToP bantu pertahankan kesucian institusi kekeluargaan dan sosial- Puan Faridah Mohd Tap

Siswa FPPM Kolej UNITI Port Dickson tidak melepaskan peluang mengikuti kempen STOP.
Ancaman dan bahana pornografi di Malaysia telah banyak kali didedahkan oleh pelbagai jaringan media cetak dan elektronik seperti Berita Harian, MStar, Metro, Sinar Harian, Free Malaysia Today, Astro Awani termasuklah media-media alternatif seperti asklegal.my, amanz.my disamping kajian-kajian akademik di peringkat universiti-universiti.


Pornografi secara tidak langsung telah menjadi musuh utama negara kerana ia juga merupakan sejenis dadah baru yang memusnahkan teras kenegaraan iaitu masyarakat. 

Usaha- usaha bagi memerangi bahana pornografi yang membawa kepada kehancuran sistem kekeluargaan dan sosial perlu dibuat secara berterusan agar institusi ini terus utuh dan terpelihara. 

Memetik ucapan Prof. Madya Dr. Zulkifli Hasan, Yang Di Pertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dalam sebuah seminar Sekeluarga Tolak Pornografi (SToP) baru- baru ini di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi Negeri Sembilan, beliau menyatakan dunia Islam termasuklah Malaysia masih memiliki dan memelihara institusi kekeluargaan.

Hal ini berbeza dengan dunia Barat. Walaupun Barat mendahului serba serbi dalam pelbagai aspek ekonomi, teknologi dan sebagainya tetapi sistem negara yang paling asas iaitu institusi keluarga telah musnah sama sekali. 

Beliau menegaskan, tiada jalan lain untuk mengembalikan kekuatan dan kegemilangan dunia Islam melainkan terus gigih mempertahankan sistem asas kekeluargaan yang menjadi teras kebangkitan sesebuah tamadun masyarakat. Namun, yang menjadi kekhuatiran banyak pihak adalah ancaman pornografi yang tidak pernah surut malah semakin meruncing.

Sebagai peserta kepada Seminar Keibubapaan Sekeluarga Tolak Pornografi (SToP) baru- baru ini, secara peribadi saya melihat ia merupakan sebuah seminar keibubapaan yang membuka mata bagaimana ibubapa di era digital wajar lebih peka dengan perubahan zaman anak-anak di era digital kini yang yang berhadapan dengan pelbagai ancaman khususnya rangsangan seksual di alam siber. Ia mampu menjadi benteng untuk pertahankan kesucian institusi kekeluargaan dan sosial jika kempen ini disambut oleh seluruh pihak samaada di peringkat negeri dan persekutuan.

Kempen SToP berbentuk seminar keibubapaan anjuran ABIM, WADAH Negeri Sembilan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Bahagian Pendidikan ABIM Negeri Sembilan yang menampilkan gabungan tiga panel berwibawa iaitu Prof. Madya Dr. Nur Idzura Udzir, seorang pakar keselamatan maklumat, Puan Norazla Abdul Wahab, pensyarah di Jabatan Syariah dan Undang- undang serta Tuan Haji Norazman Amat, Ketua Kaunselor MAINS berjaya mendedahkan kepada audiens betapa besarnya bahana pornografi kepada masyarakat.

Bukan setakat itu, panel juga berkongsi langkah- langkah praktikal yang boleh dibuat oleh para ibubapa, remaja dan para pendidik yang menyertai seminar itu untuk menangani pornografi ini daripada menyerang seseorang individu dari peringkat kanak- kanak lagi.

Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tuan Eddin Syazlee bin Shith merasmikan seminar SToP yang menegaskan kementerian akan lakukan apa sahaja untuk membanteras bahan- bahan berunsurkan pornografi.

Ayuh, sama- sama kita Sekeluarga Tolak Pornografi (SToP) demi pertahankan kemurniaan institusi kekeluargaan kita.


Yang benar,

Puan Faridah Mohd Tap,
Peserta Seminar SToP,
juga Pensyarah Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia (FPPM)
Kolej UNITI Port Dickson, NSDK.


Tuesday 16 October 2018

PELAJAR DPISR KOLEJ UNITI PORT DICKSON JALANI BENGKEL PRAKTIKUM- Ustazah Nursara Ya'acob.

Penghujung 2018 merupakan semester terakhir bagi pelajar Diploma Pendidikan Islam Sekolah Rendah (DPISR) kemasukan pertama.  Insha Allah pada awal tahun 2019 akan mula berpraktikum selama empat bulan.
Pelajar- pelajar DPISR ini disiap siagakan agar cukup bersedia menempuh alam perguruan melalui latihan praktikum. Maka, satu bengkel praktikum telah dijalankan di Dewan Za’aba Kolej UNITI, Port Dickson khusus untuk pelajar DPISR, semester 5.

Bengkel praktikum mendedahkan hal- hal yang berkaitan dengan latihan praktikum daripada pencarian tempat sehingga kepada penyediaan laporan daripada penyelaras praktikum Fakulti, iaitu Cik Syazawani Abd Jailani.

Pelbagai reaksi dapat dilihat daripada riak wajah para pelajar bila mendengar amanat dan tanggungjawab yang perlu digalas ketika berpraktikum nanti. Ada yang cemas, ada yang mengeluh, ada yang senyum, tetapi Insha Allah semua akan berjalan dengan lancar.

Selaku orang yang diamanahkan untuk menjaga pelajar DPISR ini, saya sempat menyampaikan beberapa nasihat dan peringatan agar anak- anak didik FPPM ini terus bersedia dan bersemangat  dalam menghadapi pelbagai cabaran dan ujian nanti.

“Ikhlaslah dalam menyampaikan ilmu, tabahlah dalam mendidik dan sabarlah dalam menjalankan dakwah. Semoga Allah S.W.T sentiasa melindungi dan merahmati kalian. Semoga segala ilmu yang bakal dicurahkan memberi manfaat yang besar kepada anak-anak didik kalian dan menjadi bekalan di akhirat kelak. amin.” Pesanku selaku Ketua Program DPSIR Kolej UNITI, Port Dickson.

Disediakan oleh,

Ustazah Nursara Ya’acob,

Ketua Program,
Diploma Pendidikan Islam Sekolah Rendah,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI, Port Dickson.

Sunday 14 October 2018

TIGA (3) sebab ini menjadi penyebab utama keperluan kewujudan TASKA di tempat kerja- Puan Hidayah Tokiman


“Semua agensi dan jabatan kerajaan perlu mewujudkan Taman Asuhan Kanak-Kanak (taska) di tempat kerja masing-masing mulai Januari 2019, khasnya membabitkan kerja secara syif”
(Petikan kenyataan dari Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail).


Apakah kepentingan keperluan kewujudan taska di tempat kerja?

Taska Cahaya Tasneem Kolej UNITI merupakan inisiatif pihak kolej untuk membolehkan staff berkhidmat dengan lebih produktif tanpa perlu risau kepada keselamatan anak- anak. 


Sudah tentu kepentingannya adalah untuk memberi manfaat kepada syarikat, pekerja dan anak-anak itu sendiri.

Bagaimana kewujudan taska di tempat kerja dapat membantu meringankan beban ibu bapa yang bekerja? 

Berikut dinyatakan TIGA (3) kepentingan kewujudan taska di tempat kerja secara umum :


1.     Membantu pekerja mengatasi masalah penjagaan anak ketika bekerja

2.     Sistem sokongan kepada ibu bapa bekerja khususnya bagi ibu yang menyusukan anak. Secara tidak langsung syarikat telah memudahkan proses penyusuan dan hubungan antara ibu dengan anak tanpa memberi tekanan kepada ibu. Seterusnya ini akan meningkatkan produktiviti pekerja wanita tersebut. Masa akan lebih terurus dan ibu dapat mencari waktu berkualiti untuk anak, pada masa yang sama mereka akan lebih fokus pada kerja

3.     Membantu mencegah daripada berlakunya kejadian buruk juga dapat mengurangkan sebarang risiko. Ibu bapa tidak perlu risau mengenai keselamatan anak-anak yang diletakkan di taska tempat kerja. Ibu bapa tidak perlu bimbang mengenai isu keselamatan anak-anak kerana mereka boleh memantau keadaan taska berkenaan dengan mudah disebabkan lokasinya yang dekat atau berada di kawasan tempat kerja  ibu bapa.

Mengapakah ibu bapa berasa lebih selamat dan keadaan anak-anak lebih terjamin?

Taska di tempat kerja terikat dengan peruntukkan undang-undang yang termaktub di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 yang mewajibkan pusat-pusat asuhan mematuhi syarat-syarat asas operasinya.

Walaubagaimanapun, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak boleh memaksa majikan untuk mewujudkan taska, ianya bergantung sepenuhnya pada inisiatif pihak majikan. 

Mengikut rekod JKM, terdapat 205 taska tempat kerja sektor awam dan 52 taska tempat kerja sektor swasta yang sedang beroperasi. Ini merupakan inisiatif yang wajar dipuji.

Pelbagai inisiatif akan ditawarkan kepada mana-mana sektor yang dapat membina taska tempat kerja kerana hakikat manfaatnya lebih banyak dan tenaga pekerja wanita juga lelaki dapat digunakan secara maksimumnya tanpa ada halangan dan kegagalan. 

Demikian kewujudan taska tempat kerja sangat memberi manfaat dalam menjaga kebajikan sistem kekeluargaan para pekerja di sesebuah syarikat kerajaan mahupun swasta.


Disediakan oleh:

Puan Hidayah Binti Tokiman,
Dekan, 
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, 
Kolej UNITI, Port Dickson, NSDK.


Ikuti EMPAT (4) tip ini untuk bentuk keyakinan diri anak anda- Pn. Hidayah Tokiman.

Ihsan imej: istockphoto.com
Ibu bapa mana yang tidak risau bila memikirkan anak yang kurang atau tiada langsung keyakinan diri.

Semua permintaan ibu bapa ditolak bulat-bulat dengan jawapan “tak nak lah”, “tak reti”, “adik takut lah” walaupun ditemani oleh ibu bapa.

Mengapa ini terjadi ?

Di bahagian manakah kurangnya perhatian diberikan ?

Situasi lazim yang biasa saya perhatikan adalah ketika membuat pembayaran di kaunter pasar raya misalnya; ibu bapa menyerahkan duit dan meminta anak kecil yang membayar dan menjalankan akad urus niaga sambil diperhatikan oleh ibu bapa.

Urus niaga itu berjaya dilakukan tetapi mengapa anak saya tidak mampu melakukan sedemikian ?

Bagaimanakah cara untuk saya mendedahkan anak dengan situasi di atas ? 

Berikut adalah EMPAT (4) tip bagi membentuk keyakinan diri anak.

Pertama, permulaan latihan membentuk keyakinan diri anak adalah di rumah. Ibu bapa boleh memberi tugasan ringkas kepada anak. Misalnya anak berumur empat tahun dan mahukan susu. Minta anak sediakan botol atau cawan kegemarannya terlebih dahulu.  Disini ibu bapa sebenarnya memberikan anak tanggungjawab dalam masa yang sama anak akan bebas membuat pilihan.

Kedua, semakin hari tugasan menyediakan botol susu telah menjadi rutin, ibu bapa boleh tambahkan kepada tugasan mencabar misalnya padanan botol dengan susu, “ini botol adik, ni susu adik”, “ini botol kakak, ini susu kakak”. Perlu diingat tugasan tidak boleh keterlaluan.

Ketiga, beri kepercayaan kepada anak. Usah bimbang anak buat salah, segera tegurlah mereka. Itu tandanya mereka sedang belajar. Apabila anak berjaya menyelesaikan cabaran, hargai mereka.

Keempat, penghargaan yang diberikan boleh melalui pujian dengan ucapan “pandailah kakak tolong mama”, “bagus anak mama”, tepukan juga boleh usapan dengan penuh kasih sayang. Demikian, tidak mustahil apabila ia telah menjadi rutin, tanpa paksaan anak akan menawarkan diri dan seronok membuat tugasan tersebut.

Tuntasnya, keyakinan diri anak telah terbentuk seawal di dalam rumah lagi. Maka mudahlah bagi ibu bapa meneruskan konsep yang sama apabila berada di luar rumah dan apabila anak bergaul dengan rakan sebaya yang lain.

Ironinya, tanpa kita sedari kadangkala ibu bapalah sebenarnya punca kepada kekurangan tahap keyakinan diri anak kerana  sikap ibu bapa yang “tidak percayakan anak”.

 Maka bermula hari ini, ubahlah persepsi anak saya “tak pandai”, “tak boleh” kepada “cuba dulu”, “mesti boleh” dan gunakan seluruh potensi dan bakat terpendam dalam diri anak.

Maka keyakinan diri anak akan terserlah.

Cubalah !



Disediakan oleh:

Puan Hidayah Binti Tokiman,
Dekan,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson, NSDK.

Monday 1 October 2018

TUJUH Tip Keselamatan Semasa Aktiviti Main Air @ Berenang- Nur Akmar Mohd Arif

 Aktiviti main air atau berenang merupakan antara aktiviti yang menjadi kesukaan kanak-kanak di Tadika dan Taska.

Aktiviti ini dapat memberi kegembiraan dan keseronokan kepada kanak-kanak kerana air bersifat terapuitik yang menjadi terapi menghilangkan tekanan serta kebosanan dalam kalangan kanak-kanak.

Walaubagaimanapun, kemalangan atau kecelakaan boleh berlaku di tempat main air jika aspek-aspek keselamatan tidak dititikberatkan sepanjang aktviti main air dijalankan.

Maka, setiap guru di Taska mahupun Tadika perlu membuat persediaan senarai semak keselamatan semasa aktiviti main air dijalankan bagi memastikan kanak-kanak seronok beraktiviti dalam persekitaran fizikal dan emosi yang selamat.

Jom ikuti TUJUH (7) tip keselamatan semasa aktiviti bermain air dijalankan di Taska/Tadika!

1. Air yang bersih dan selamat

Guru perlu memastikan air yang digunakan untuk aktiviti main air adalah bersih, tidak keruh dan dijauhi daripada najis binatang. Pastikan air sentiasa bertutup jika tidak digunakan bagi mengelak kehadiran jejentik yang boleh menjejaskan kesihatan kanak-kanak.

2. Peralatan main air yang selamat

Peralatan main air yang digunakan perlulah bersih, tahan lama, tidak berkarat, tidak tajam dan tidak mudah rosak seperti pelampung, google, gayung dan apa sahaja yang boleh digunakan, disesuaikan dan dimanfaatkan dalam aktiviti main air. Ini penting bagi memastikan kanak-kanak dapat meneroka segala bahan dan peralatan main air yang selamat dalam persekitaran yang selamat dan meyakinkan.

3. Kedalaman air yang cetek

Kedalaman air yang digunakan untuk aktiviti main air perlulah cetek dan bersesuaian dengan tahap umur kanak-kanak. Ingat! Membiarkan kanak-kanak mandi di kolam renang yang mempunyai kedalaman air yang tidak bersesuaian boleh mengundang risiko lemas. Air walaupun pada kadar 2.5sm boleh menyebabkan risiko lemas.

4. Suhu air yang bersesuaian

Guru bertanggungjawab memastikan air yang digunakan untuk aktiviti main air tidak teralu panas kerana dikhuatiri boleh melecur atau terlalu sejuk juga boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami hipotermia.

5. Pakaian yang sesuai

Guru perlu memastikan anak-anak memakai pakaian mandi yang sesuai, selesa dan selamat semasa aktiviti main air. Elakkan kanak-kanak memakai pakaian yang boleh menyekat pergerakan kanak-kanak semasa aktiviti main air bagi mengelak risiko kemalangan.


6. Pemantauan guru


Pastikan ruang aktiviti bermain air adalah dalam ruang lingkup yang boleh dipantau dan dalam kawalan guru. Guru bertanggungjawab untuk memantau aktiviti kanak-kanak sepanjang bermain air. Elakkan membiarkan kanak-kanak bersendirian atau membiarkan mereka bermain sesama rakan sebaya tanpa pemantauan guru.

7. Penerapan disiplin dan nilai murni 

Anak-anak perlu didedahkan tentang keselamatan melalui disipin dengan bantuan guru. Jelaskan pada kanak-kanak peraturan dan prosedur semasa bermain air dengan menggunakan arahan yang mudah difahami seperti mengingatkan mereka supaya beratur sebelum masuk ke kolam renang, tidak menolak kawan dan membaling pelampung bagi mengelak kemalangan yang tidak diingini. Terapkan nilai murni seperti kesabaran, tunggu giliran dan bekerjasama semasa aktiviti main air dijalankan.


Kesimpulannya, tip- tip keselamatan semasa bermain air perlu diambil berat oleh guru bagi memastikan kanak-kanak dapat meneroka aktiviti bermain air dalam persekitaran fizikal dan emosi yang selamat dan meyakinkan!


Disediakan Oleh,

Nur Akmar Binti Mohd Arif
Pensyarah,
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson.