Pages

Tuesday, 15 May 2018

PERJUANGAN PENDIDIKAN MALALA YOUSAFZAI BUAT GENERASI MUDA- Faridah Mohd Tap

Pengenalan

Lembah Swat merupakan sebuah wilayah di Pakistan yang memiliki segala keindahan alam. Ironinya, keindahan itu mula hilang apabila wilayah itu diambil alih oleh puak militan Taliban. Perlaksaan undang-undang dan peraturan yang ketat oleh pengganas Taliban merenggut rasa damai penduduk wilayah itu. Kehidupan yang aman mula dihimpit rasa ketakutan apabila ia menjadi medan pertempuran antara puak Taliban dengan pihak ketenteraan Pakistan. Jika dahulunya, kanak-kanak bebas dan riang ria ke sekolah, tetapi kehadiran Taliban merampas segala-galanya. Pergi ke sekolah untuk kanak-kanak perempuan khususnya diisytihar sebagai satu jenayah! 



Berdasarkan pembacaan penulis, sekitar 400 buah sekolah telah ditutup sepanjang pentadbiran Taliban di Lembah Swat. Pergi ke sekolah adalah suatu rutin yang hampir menjadi mustahil di sana. Dalam keadaan yang getir itu, bangkit seorang kanak-kanak perempuan menentang kepada tindakan pengharaman kanak-kanak perempuan ke sekolah. Beliau menulis catatan harian kepada BBC tentang keperitan yang dialaminya dan penduduk yang kampung apabila pertempuran berlangsung.



Beliau menggunakan nama pena sebagai ‘Gul Makai’ dan meluahkan kekecewaan kerana impiannya untuk menamatkan pelajaran dalam jurusan MBA mungkin tidak kesampaian. Justeru, beliau berikrar akan berjuang dalam apa jua cara untuk pastikan hak pendidikan kanak-kanak perempuan dan lainnya dibela.   Ketika memulakan advokasi itu, beliau hanya seorang kanak-kanak yang masih berumur 12 tahun. 



Sehubungan dengan itu, makalah ini akan menelusuri latar belakang perjuangan Malala Yousafzai sebagai pemudi hebat yang bangkit selepas ‘mati’ sementara memperjuangkan hak pendidikan bagi kanak-kanak seantero dunia yang tercetus daripada pengharaman sekolah bagi kanak-kanak perempuan di wilayahnya.Penulisan ini juga akan mengupas cabaran-cabaran yang dihadapinya serta nilai pengajaran yang boleh dijadikan inspirasi dan pedoman bagi anak muda di negara ini. Penulis berkeyakinan, untuk menyelamatkan masa depan kanak-kanak yang memperoleh hak pendidikan yang baik, perjuangan Malala perlu disambut. Kerana ia bukan tugas individu semata-mata, tetapi dunia mahukan lebih ramai sosok belia bersemangat seperti ikon yang diketengahkan dalam makalah ini.  



Kelahiran Malala Yousafzai -tokoh pemudi yang mengubah dunia. 


Malala dilahirkan pada tanggal 12 Julai 1997 merupakan anak perempuan kepada pasangan suami isteri Ziauddin  Yousafzai dan Toor Pekai. Lahir dalam negara yang begitu mengagungkan budaya patriarki- mengutamakan anak lelaki dalam semua aspek- menjadi cabaran kepada ibubapanya. Figura hebat bapanya yang merupakan seorang guru dan pengasas sekolah bernama ‘Kushal’ dilihat melawan arus budaya masyarakatnya. Malala diberikan peluang untuk belajar dan menimba ilmu dan dibesarkan dalam budaya ilmu seperti terdedah kepada buku-buku. Seringkali juga ayahnya membacakan sajak dan bercerita tentang tokoh-tokoh besar negaranya. 



Nama Malala diberikan bersempena dengan seorang srikandi Afghanistan iaitu Malalai yang bangkit meniup api perjuangan tentera Afghanistan ketika menentang British. Walaupun begitu, maksud namanya beerti kedukaan lantaran itu datuknya tidak menggemari namanya itu. ‘Malala akan bebas seperti unggas’ itulah janji ayahnya kepada Malala. Ibunya, Toor Pekai pula sentiasa mendorong Malala agar nasib anak perempuannya itu tidak berakhir sepertinya. Ibunya tidak bersekolah dan hanya mengetahui hal-ehwal rumahtangganya sahaja.Justeru, ibunya menjadi seorang yang pendiam kerana tidak berkeyakinan untuk berkomunikasi.Ibunya menjadi gambaran kepada ramai wanita di sana. Itulah yang cuba diubah oleh bapanya agar kanak-kanak perempuan juga mempunyai hak yang sama dalam kependidikan. Kombinasi genetik ibubapanya menjadikan Malala memiliki semangat bapa dan kesabaran ibunya. 



Malala membesar dalam keadaan politik negaranya tidak stabil. Peralihan kuasa, kemiskinan, bencana alam dan paling kritikal ialah ancaman keganasan. Lembah SWAT yang dikenali juga sebagai “Switzerland Asia’ digambarkan sebagai syurga dunia dengan pohon-pohon yang segar menghijau, gunung-ganang yang memukau, air tasik yang sejernih kristal menjadikan sesiapa yang melihatnya pasti terpana. Militan Taliban mula memasuki Lembah Swat pada tahun 2004. Mereka melobi sokongan penduduk dengan mengatakan mereka akan menjadi mahkamah keadilan kedua yang akan menggantikan mahkamah rasmi sedia ada. Sistem kehakiman di Pakistan tidak mampu membawa keadilan kepada rakyat kerana banyak kes yang tertunggak dan tidak diselesaikan walaupun mangsa yang teraniaya telah mati. 



Militan Taliban mengatakan  perjuangan mereka bersendikan perjuangan agama, demi Allah S.W.T dan Rasulullah s.a.w dan berjaya mendapat peluang dan sokongan penduduk. Namun, pada tahun 2007, militant Taliban bertukar wajah. Mereka mula melancarkan keganasan sebenarnya.. Lebih 400 buah sekolah diletupkan. Setiap malam, dua ke tiga orang akan menjadi mangsa pembunuhan. Wanita dilarang sama sekali pergi ke pasar apatah lagi ke sekolah. Percampuran jantina di sekolah, dianggap melakukan maksiat. Untuk itu, kanak-kanak perempuan harus dipinggirkan daripada sistem pendidikan. 



Dalam keadaan sedemikian, kanak-kanak perempuan di Lembah Swat mula kecewa dan memutuskan untuk menggunakan segala ruang media yang ada agar mereka juga mendapatkan hak pendidikan. Tidak terkecuali yang paling lantang,ialah Malala Yousafzai seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun menulis jurnal harian di British  Broad Casting (BBC) sebanyak 7 episod (bermula 3 Januari hingga 15 Januari 2004) sebagai Gul Makai menceritakan apa yang berlaku di tempatnya. Tujuannya hanya untuk melihat keamanan untuk penduduk Lembah Swat dan paling utama ialah beliau dan kanak-kanak perempuan lain ditempatnya mendapatkan hak pendidikan.



Kelantangan Malala dalam memperjuangkan pendidikan anak-anak perempuan menjadikan dia target utama militant Taliban selama bertahun-tahun. Namun, Malala tidak sedikitpun menyangka bahawa dia akan mejadi sasaran bunuh. 9 Oktober 2012 ketika beliau 14 tahun,  menjadi detik hitam buat Malala apabila diserang oleh dua lelaki bersenjata Taliban dan ditembak dari jarak dekat oleh salah seorang daripadanya ketika beliau di dalam bas pulang dari sekolah bersama teman-temannya. 



‘Siapa Malala?’


Itulah perkataan terakhir yang didengar Malalla sebelum ditembak di dahi, dan seterusnya terbenam dilehernya. Kecederaan beliau amat kritikal dan dikejarkan ke Saido Sharif di Swat. Beliau koma selama 10 hari dan dihantar pula ke Peshawar dan Rawalpindi untuk rawatan kecemasan. Beliau kemudiannya diterbangkan ke Hospital Queen Elizabeth, United Kingdom untuk dirawat rapi dan pada hari ke-11, Malala akhirnya sedar dari koma. 



Berpantang ajal sebelum maut. Malala Yousafzai bangkit dari keadaan yang amat kritikal dan sembuh sepenuhnya selepas beberapa bulan. Beliau mendapatkan kehidupan baru di United Kingdom dan menyambung semula persekolahannya yang terhenti disana. Namun, jauh disudut hatinya, Lembah Swat terlalu dirindui. Beliau tekad untuk terus memperjuangkan pendidikan untuk kanak-kanak perempuan namun kali ini advokasi dan aktivisme beliau berskala global. 


Kini, beliau baru sahaja mendaftar (Oktober 2017) sebagai pelajar jurusan falsafah, politik dan ekonomi di Universiti Oxford yang terkemuka. Beliau membahagikan masa antara belajar dan tugas-tugas sosial dan advokasi berkaitan pendidikan kanak-kanak di seluruh dunia. Ketahuilah, bahawa beliau tidak bergerak secara bersendirian kerana perjuangan beliau telah mula disambut oleh banyak pihak seluruh dunia.



Perjuangan Malala perlu disambut oleh generasi muda Malaysia.


Peristiwa berdarah ditembak Taliban itu menjadikan beliau memenangi Hadiah Nobel Keamanan 2014 oleh Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu. Uniknya, ketika itu beliau berusia 16 tahun dan seterusnya penerima anugerah paling muda dalam sejarah PBB. Dalam ucapannya, beliau mendedikasikan penganugerahan itu kepada seluruh kanak-kanak yang mahukan pendidikan, keamanan dan perubahan. Tanggal 12 Julai setiap tahun seterusnya dideklarasikan sebagai ‘Hari Malala’ seluruh dunia dan disambut secara oleh lebih 50 buah negara termasuklah Pakistan dengan pelbagai program yang memperjuangkan pembangunan pendidikan untuk kanak-kanak. 



Malala dalam ucapan kemenangan itu juga menegaskan, 


“Saya di sini adalah untuk mempertahankan hak kanak-kanak, untuk menjadi jurubicara mereka…Ini bukannya masa untuk sekadar bersimpati kepada mereka, saya ulang, ini bukan masanya untuk mengasihani mereka. Ini adalah waktunya untuk kita mengambil tindakan justeru ia akan menjadi yang terakhir, yang terakhir, yang terakhir menyaksikan kanak-kanak dipinggirkan dalam mendapatkan pendidikan.”

‘Pendidikan ialah suatu rahmat kehidupan, dan salah satu keperluan paling asasi buat manusia.’

‘Kami terlalu dahagakan pendidikan, masa depan kami lebih baik dengan pendidikan di dalam kelas itu..’

‘Apabila pendidikan menjadi satu jenayah, anak-anak perempuan dilarang ke sekolah, dan apabila dunia saya tiba-tiba berubah, maka keutamaan saya juga berubah.

Saya ada dua pilihan; iaitu pertama seorang yang mendiamkan diri dan menunggu waktu untuk dibunuh atau, pilihan kedua ialah bercakap dan dibunuh.

Saya pilih yang kedua, saya akan bercakap mempertahankan pendidikan untuk kanak-kanak perempuan.’


Dalam sesebuah wawancara The Daily Show with Jon Stewart-Extended Interview with Malala Yousafzai, pengacara progam bual bicara yang membicarakan buku terbaru , ‘I am Malala’ bertanyakan tentang motivasi yang mendorong kecintaan Malala terhadap pendidikan. Beliau mengatakan secara bersahaja, 

“Kita manusia, ia sebahagian daripada fitrah semulajadi manusia. Kita hanya akan belajar tentang bernilainya sesuatu itu apabila ia dirampas daripada kita. Di Pakistan apabila kami dilarang ke sekolah, baru kami sedar bahawa pendidikan adalah sesuatu yang sangat penting. Pendidikan merupakan kuasa kepada seorang perempuan; dan pengganas takut kepada pendidikan sebab itu mereka tidak mahu perempuan ke sekolah, pendidikan akan menjadikan perempuan lebih berkuasa.”



Malala juga menegaskan bahawa dia tidak bergerak seorang diri. Dia adalah suara seluruh anak-anak gadis yang tertinggal dalam kepesatan dunia dan kepantasan waktu. Dia ialah suara anak gadis yang mahukan kehidupan yang lebih baik; tidak dipaksa berkahwin ketika masih kanak-kanak, tidak dihalang ke sekolah untuk mencapai impian dan cita-cita, atau tidak dipaksa bekerja kerana hambatan kemiskinan. Hak asasi setiap kanak-kanak ialah hak untuk mendapatkan pendidikan.  



Perjuangan beliau tidak akan berhenti selagi masih ada kanak-kanak yang dilarang ke sekolah. Untuk itu, beliau dan ayahnya menubuhkan Yayasan Malala untuk membantu mencapai impiannya itu. Melalui Yayasan itu, Malala menggerakkan aktivisme dan program advokasi beliau dengan lebih terancang. Pada ulangtahun kelahiran ke-17, iaitu 12 Julai 2014 beliau telah ke Nigeria mendesak agar kanak-kanak sekolah perempuan yang diculik oleh ekstrimis Boko Haram dipulangkan ke pangkuan keluarga dengan selamat. Pada ulangtahun kelahiran ke-18 pula, bersamaan 12 Julai 2015, beliau membuka sekolah menengah untuk kanak-kanak perempuan yang menjadi pelarian di Lembah Bekaa, Lubnan. Pada 12 Julai 2016, Malala menyambut hari kelahirannya yang ke-19 di gadis pelarian yang berlindung di Dadaab dan Kakuma, Kenya serta perlindungan Mahama di Rwanda. 



Perjuangan dan advokasi beliau semakin bersifat global apabila sebuah dokumentari berjudul ‘He Named Me Malala’ memenangi Anugerah Akademi dipengarah oleh Davis Guggenheim, telah memasuki panggung teater dan membawakan kisah perjuangan beliau kepada 175 negara dengan 11 bahasa yang berlainan. Beliau juga mengadakan kempen #BooksNotBullets dan #YesAllGirls agar dunia bersama-sama dalam memperjuangkan pendidikan untuk anak-anak perempuan. 



Sebelum Malala Yousafzai memasuki universiti, beliau telah mengadakan pengembaraan program advokasi beliau iaitu ‘ Girl Power Trip’ bermula April hingga September 2017 ke Amerika Utara, Timur Tengah, Afrika dan Amerika Latin untuk bertemu secara bersemuka semua gadis dan mendengar rintihan mereka yang menghalang anak-anak perempuan ke sekolah. Dalam lawatan itu, beliau juga telah mengaturkan belasan pertemuan dengan pemimpin tertinggi dan perdana menteri untuk mendesak mereka menyokong usaha memastikan hak persekolahan kanak-kanak perempuan diberikan salah-satu keutamaan dalam negara mereka. Lawatan ke pelbagai negara dan negeri itu adalah untuk menyelami faktor utama peminggiran kanak-kanak perempuan dalam persekolahan agar program yang akan direncana lebih fokus kepada masalah yang dihadapi. 




Walaupun Malala telah mendaftar diri di Universiti Oxford, keprihatinan dan komitmen beliau tetap diteruskan. Perjuangannya untuk mendapatkan keadilan pendidikan kepada 130 juta kanak-kanak perempuan seluruhh dunia telah disambut oleh pelbagai pihak dan telah mempunyai rangkaian antarabangsa melalui wakil-wakilnya di setiap negara. Advokasi beliau juga lebih pelbagai seperti melalui medium pembikinan filem, buku dan komik. Justeru itu, Malala Yousafzai selayaknya menjadi ikon contoh yang hidup untuk anak muda negara ini untuk dijadikan inspirasi. Beliau merupakan pemudi yang berani, berstrategi, dedikasi, komitd dan berwawasan jauh yang merupakan satu set sifat kepimpinan yang perlu ada pada setiap anak muda untuk keluarkan segala potensi diri sebagai agen pengubah dunia yang lebih baik. 


Kesimpulan

Di akhir ucapan Malala di Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu, beliau menggesa semua pihak termasuk semua individu untuk menyumbang bakti, usaha, tenaga, masa dan material kerana ia merupakan tanggungjawab bersama untuk melihat keamanan dunia melalui pendidikan. Beliau mendesak agar semua anak muda yang mahukan kehidupan yang baik memainkan peranan dengan menjadi generasi pertama dan akhir yang menghentikan segala bentuk penindasan akibat kemiskinan, peperangan, keganasan yang membawa kepada keciciran kanak-kanak dalam pendidikan. 



Malala Yosafzai meyakini hanya pendidikan yang boleh menyelesaikan semua masalah yang ada. Peperangan dan senjata tidak akan memberikan apa-apa makna melainkan kesengsaraan kepada generasi manusia kemudiannya. Perjuangan ini mestilah melalui keamanan, dan untuk mencipta dunia yang lebih bermakna buat kanak-kanak ialah melalui dialog dan pendidikan. 


“One child, one teacher, one book and one pen can change the world. Education is the only solution. Education first.” 


Perjuangan Malala ini perlu disahut oleh anak muda Malaysia. Keterlibatan golongan remaja belia dalam perlakuan devian, aktiviti keganasan dan gejala sosial hanya merugikan masa depan negara. Perlu diingatkan bahawa waktu muda adalah waktu untuk bersusah-payah mengenal pasti dan membina segala potensi diri untuk kebaikan keluarga, masyarakat, agama, negara dan dunia. Benarlah kata pepatah, ‘pemudi tiang negara, pemuda harapan bangsa. Jika rosak pemuda negara, tunggulah kerosakan yang lebih dasyat lagi kepada masyarakat, agama dan negara. 



Jadi anak muda, jadilah yang berjasa! Pilih perjuangan anda, laksanakan hingga dunia turut terasa. Ayuh anak muda, hidup biar berjasa sepertimana Malala memberikan kita makna apa itu pemudi dan pemuda harapan dunia. 


Akhir sekali, FPPM ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan SELAMAT HARI BELIA MALAYSIA dan SELAMAT HARI GURU kepada semua.