Sebagai pendidik, sudah tentu kita
mahukan yang terbaik untuk pelajar-pelajar kita. Bukan sahaja terbaik dalam
bidang akademik, tetapi turut juga cemerlang akhlak diri.
Mengajar kanak-kanak menuntut
kesabaran yang diselangi senyum kebahagiaan. Mengajar dan mendidik remaja yang
baru menginjak ke alam dewasa pula menuntut kesabaran tidak berbelah bahagi
yang diselangi duka dan air mata. Namun itulah tugas dan cabaran sebagai insan bergelar
pendidik kepada generasi muda yang semakin terhakis adab.
Setiap cabaran perlu ditempuh dengan
semangat dan ketabahan. Remaja hari ini pula penuh dengan karenah yang perlu
dihadapi dengan hikmah. Ibarat batu dan air. Batu yang keras sekalipun boleh
berubah bentuk dengan titisan-titisan air yang menitis tenang ke atas permukaan
batu.
Begitulah remaja. Sekeras manapun hati
mereka, setinggi manapun ego diri, akhirnya tetap tunduk dengan pendekatan pendidikan
yang penuh hikmah. Seperti yang berlaku kepada Saidina Umar Al-Khattab sebelum
keIslamannya.
Walaupun terkenal dengan ketegasan,
kebengisan, serta kebenciannya kepada Islam, namun akhirnya lunak jua kepada
keteguhan dan keberanian adiknya, Fatimah demi menyatakan kebenaran dengan
hikmah kalamullah. Sungguh besar hikmah pendidikan Qur’ani sehingga sebengis
manusia yang digeruni para syaitan boleh lunak dengan Kalam Allah.
PENDIDIKAN
AL-HIKMAH
Mungkin ada segelintir kita pertama
kali dengar pendidikan al-hikmah ini. Secara umum, pendidikan al-hikmah merupakan
lontaran idea penjenamaan pendidikan alternatif keislaman oleh Yang Berbahagia,
Dato’ Dr. Siddiq Fadzil iaitu mantan presiden Angkatan Belia Islam Malaysia
(Abim) yang ke-empat. Berbicara tentang al-hikmah, teringat penulis kepada sebuah
hadith, dimana Rasulullah telah bersabda mafhumnya, “hikmah adalah barang yang hilang dari orang mukmin, maka dimana sahaja
ia didapati, dia adalah orang yang berhak terhadapnya.” (Riwayat At-
Tirmidzi)
Dan lagi, bila disebut tentang hikmah,
tidak boleh tidak kita pasti mengaitkannya dengan seorang sosok individu yang
Allah telah muliakan dengan hikmah kebijaksanaan iaitu Luqmanul Hakim.
Kebijaksanaan Luqman diabadikan dalam Al-Kitab (surah Luqman).
Terdapat beberapa mesej sarat dengan
makna dan nilai didikan sepertimana yang dipesan Luqman kepada anaknya seperti
tercatat dalam surah Luqman, ayat 12 hingga 19, mafhumnya;
12) Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmah
kepada Luqman, iaitu:
"Bersyukurlah kepada Allah.
Dan barangsiapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya ia
bersyukur untuk dirinya sendiri; dan
barangsiapa yang tidak
bersyukur, maka sesungguhnya Allah
Maha Kaya lagi Maha Terpuji."
13)
Dan
(ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran
kepadanya: "Hai anakku, janganlah
kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah)
adalah benar-benar kezaliman yang besar".
14) Dan
Kami perintahkan kepada
manusia (berbuat baik) kepada dua
orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan
lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku
dan kepada dua orang ibu-bapamu,
hanya kepada-Kulah kembalimu.
15) Dan
jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak
ada pengetahuanmu tentang itu, maka
janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya
kepada-Kulah kembalimu, maka Kuberitakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.
16)
(Luqman berkata): "Hai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan)
seberat biji sawi, dan berada dalam batu, atau di langit, atau di dalam
bumi, nescaya Allah
akan mendatangkannya (membalasnya). Sesungguhnya Allah
Maha Halus lagi Maha Mengetahui.
17) Hai
anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia)
mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar
dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian
itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).
18) Dan
janganlah kamu memalingkan mukamu dari
manusia ((kerana sombong) dan janganlah
kamu berjalan di muka
bumi dengan angkuh. Sesungguhnya
Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.
19)
Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan
lunakkanlah suaramu, sesungguhnya
seburuk-buruk suara adalah suara keldai.
Dari
mafhum Kalamullah di atas, dapat kita simpulkan pendidikan al-hikmah adalah
yang berteraskan kepada faham ketawhidan yang tuntas. Seorang pendidik haruslah
menyemai nilai-nilai murni insaniah sepertimana yang digarap dalam surah di
atas iaitu bersyukur, tidak berbuat syirik, berbuat baik kepada ibu bapa,
mendirikan solat, amar makruf dan nahi munkar, bersabar, rendah hati, besederhana
dan berlemah-lembut dalam bicara ke dalam diri setiap pelajar.
Ironisnya,
dilema pendidikan tinggi hari ini adalah terlalu mengejar nilai material
sehingga nilai spiritual terus-terusan dibiar kering-kontang. Maka, tidak
hairanlah jika kedengaran jenayah-jenayah kolar putih seperti rasuah yang melibatkan
golongan cerdik pandai. Yang ketinggalan dalam pelajaran pula terjerat dalam
kebejatan sosial. Yang bijak pandai memanipulasi kecerdikan untuk melakukan perkara
mungkar dalam diam, yang lemah akal pula tidak segan silu menyatakan kejahilan
dalam terang.
CEMERLANG INTELEK TAPI MISKIN ROHANI
Falsafah
Pendidikan Kebangsaan yang ingin melahirkan insan yang cemerlang jasmani,
emosi, rohani dan intelek (JERI) masih jauh dari realiti. Kejayaan pelajar hari
ini diukur dengan pencapaian cemerlang dalam akademik semata-mata.
Pelajar
dimomokkan dengan kecemerlangan akademik dengan kerjaya yang bagus-bagus dengan
gaji beribu-raban. Yang ketinggalan pula, dimomokkan sebagai tiada masa hadapan
dan hidup melarat. Justeru, kepincangan ini telah melahirkan generasi yang
taksub material serta miskin rohani yang memakan diri.
Natijah
akhirnya, institusi pendidikan akan gagal kerana hanya melahirkan manusia robot
yang tiada belas ihsan kepada insan lain. Sifat insaniah semakin terhakis.
Semakin tinggi ilmu semakin meninggi diri, semakin hilang hormat kepada yang
lebih tua, semakin hilang kasih kepada yang muda, semakin tinggi suara tatkala
berhujah, semakin mendabik dada, yang kaya dipuja, yang miskin dikeji, yang
salah dibenarkan dan yang benar disalahkan. Itulah signifikans pesanan Abuya
Luqmanul Hakim kepada anaknya untuk menjaga aspek kerohanian kerana ia sering
dipinggirkan.
Disebabkan
itu, pendidikan al-hikmah dengan mengambil intipati pesanan si
bijaksana-Luqmanul Hakim-perlu dihidup suburkan dalam misi mencerahkan semula
kewibawaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan supaya sistem pendidikan ini mampu
melahirkan generasi baru yang cemerlang akal dan budi yang merupakan teras
keberlangsungan tamadun insaniah.
Kesimpulannya,
generasi baru ini yang akan membawa kembali sinar tawhid dan sifat-sifat
insaniah di tengah-tengah ancaman sekularisasi yang darinya telah lahir
pelbagai –isme (pemikiran) yang membelakangkan fitrah manusiawi lalu hilang
pedoman. Wallahu’alam.
Oleh,
FARIDAH BINTI MOHD TAP
Jabatan
Pengajian Umum,
Kolej
UNITI, Port Dickson,
Negeri
Sembilan.
0 comments:
Post a Comment