Pages

Wednesday 28 December 2016

ISU & CABARAN: REALITI PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK HARI INI-Nur Akmar Binti Mohd Arif

"Melentur Buluh Biarlah dari Rebungnya".

Pepatah di atas merujuk kepada pendidikan hari ini yang perlu dititikberatkan seawal usia dalam melahirkan modal insan yang berkualiti dan seimbang merangkumi semua aspek perkembangan. Pendidikan perlu dilihat sebagai satu proses yang berterusan dan berkembang seiring dengan perkembangan individu seseorang kanak-kanak yang mempelajari apa sahaja yang ada di persekitaran untuk diaplikasikannya dalam kehidupan sehariannya atau di masa akan datang.


Hakikatnya, pendidikan awal kanak-kanak pada hari ini adalah sangat penting sebagai persediaan sebelum anak kecil ke sekolah rendah dalam usaha membangunkan modal insan yang seimbang dan holistik merangkumi aspek JERIS iaitu jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.


Menurut Kostelnik dan rakan-rakan (1993),‘awal kanak-kanak’ merujuk kanak-kanak sejak daripada lahir sehingga berumur 8 tahun iaitu kanak-kanak di taman asuhan atau taman didikan, prasekolah dan sekolah rendah. Dengan adanya satu sistem pendidikan atau program khusus yang ditawarkan oleh pemilik pusat pendidikan hari ini, ia secara tidak langsung membantu meningkatkan kesedaran ibu bapa mengenai kepentingan pendidikan awal kanak-kanak. Menyedari akan kepentingan pendidikan awal kanak-kanak ini, kewujudan pusat pendidikan awal kanak-kanak atau Taska pada hari ini tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan dan boleh dikatakan, pasti ada pihak yang mengusahakannya di setiap satu kawasan perumahan.


Potensi perniagaan dalam industri Taska yang semakin berkembang pesat akhir-akhir ini dilihat telah menarik lebih ramai usahawan muda termasuklah graduan yang bukan sahaja terdiri daripada golongan wanita tetapi juga lelaki. Secara umumnya, perniagaan dalam pusat pendidikan awal kanak-kanak masih luas untuk diterokai oleh usahawan tempatan memandangkan ia menjadi keperluan kepada ibu bapa bagi memastikan kesediaan anak-anak mereka sebelum ke alam persekolahan.


Oleh itu, usahawan muda yang berminat untuk menerokai bidang ini bukan sahaja perlu mempunyai kepakaran dan kemahiran dalam pengurusan pusat asuhan kanak-kanak tetapi hakikatnya perlu mempunyai pengetahuan dalam memahami keperluan dan kehendak kanak-kanak seiring dengan perkembangan usia mereka.


Realiti hari ini, industri pendidikan awal kanak-kanak sentiasa berkembang dan tidak mempunyai kesan serius sekiranya berdepan dengan cabaran ekonomi kerana ia merupakan keperluan dalam bidang pendidikan. Hakikatnya Taska pada hari ini merupakan salah satu keperluan orang ramai di mana sahaja, selagi wujudnya komuniti masyarakat. Taska kini bukan sahaja satu perniagaan yang dijalankan untuk menjaga dan mendidik kanak-kanak tetapi juga turut mampu menjana pendapatan sendiri.


Namun, yang menjadi isu ialah mengenai kelayakan pendidik di Taska! Selain mempunyai minat dan penyayang terhadap kanak-kanak, pendidik Taska juga perlu memiliki kelayakan akademik dalam bidang ini bagi menambah nilai dalam diri mereka kerana cabarannya adalah mereka akan berdepan dengan kanak-kanak yang perlu mendapatkan bimbingan yang betul. Ini memberi peluang pekerjaan kepada graduan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak untuk menceburi perniagaan Taska, malah mereka perlu mengambil peluang untuk mengikuti Kursus Asuhan Dan Didikan Awal Kanak-Kanak Permata (KAP) iaitu kursus yang diiktiraf oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia dalam menjalankan pengasuhan dan didikan kanak-kanak di Taska.


Menurut Puan Rosmaria Mohd Sahat, Pengarah Urusan Rehal Solutions Sdn Bhd yang merupakan salah satu agensi yang diiktiraf oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM) bagi menganjurkan Kursus Asuhan Dan Didikan Awal Kanak-Kanak Permata (KAP), industri ini semakin menjadi tarikan usahawan muda sebagai salah satu perniagaan yang berpotensi dalam menjana pendapatan dan  menguntungkan. Perkembangan pesat industri ini dapat dilihat dengan kehadiran lebih ramai peserta untuk menyertai kursus wajib KAP termasuk para pensyarah bagi menerokai dunia keusahawanan dan pendidikan awal kanak-kanak.


Memetik petikan daripada Dialog Bersama Menteri bertajuk 'Wawasan Baharu Ke Arah Pembangunan Masyarakat' di Institut Sosial Malaysia yang diadakan pada Bulan Oktober 2016 yang lepas, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Dato’ Seri Rohani Abdul Karim menitikberatkan kualiti pengasuh yang perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam mendidik anak-anak di Taska. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meletakkan syarat bahawa pengasuh bagi Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) perlu memiliki sekurang-kurangnya diploma dalam pengurusan pendidikan awal kanak-kanak.


Dalam ucapan perasmian, Dato’ Seri Rohani menegaskan bahawa keperluan bagi memastikan pendidik atau pengasuh Taska memiliki diploma merupakan usaha kerajaan untuk mendapatkan acuan terbaik dalam mendidik kanak-kanak. Maka, cabarannnya, pendidik hari ini perlu mempunyai pengetahuan dan mencapai kualiti untuk mengasuh dan mendidik kanak-kanak di bawah umur tiga tahun seiring dengan pembangunan pendidikan kanak-kanak di negara maju yang lain. Realitinya, pengasuh kanak-kanak di Negara maju memang dilatih secara profesional dan tahap pendidikan minimum mereka mestilah diploma.


Seiring dengan hasrat dan seruan kerajaan, gaduan yang memiliki diploma dalam pendidikan awal kanak-kanak mempunyai kelebihan untuk terlibat dalam pendidikan dan pengasuhan kanak-kanak di Taska. Justeru itu, pendidik anak-anak kecil pada hari ini sebenarnya bukan sahaja perlu menguasai teori semata-mata tetapi mempunyai kemahiran dan pengalaman dalam mendidik anak-anak syurga ini. Sikap mengambil mudah mengenai didikan awal anak kerana menganggap si kecil itu tidak mungkin dapat memahami pelajaran perlu ditolak dalam skema pemikiran pendidik pada hari ini.


Pendidik perlu lebih kreatif dalam melihat sejauh mana perkembangan yang dapat dicapai oleh kanak-kanak selain membentuk sahsiah diri serta menerapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Hakikatnya, untuk mengajar anak-anak kecil, kaedah formal tidak diperlukan malah hakikatnya lebih mirip kepada bermain. Oleh itu, menerusi cara bermain dan melakukan pelbagai aktiviti menyeronokkan di Taska merupakan terapi yang dapat membantu dalam merangsang perkembangan dan pertumbuhan kanak-kanak. Inilah yang perlu dikuasai oleh pendidik atau pengasuh hari ini!


Justeru itu, ilmu dan pengetahuan graduan dalam pendidikan awal kanak-kanak pada hari ini perlu dimanfaatkan pada landasan yang betul untuk pembangunan modal insan yang berkualiti. Sumbangan dan kepakaran mereka ini yang diperlukan dalam membangunkan industri pendidikan awal kanak-kanak pada hari ini dan seterusnya melahirkan generasi pewaris Negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang! Sekiranya seorang kanak-kanak mendapat pendidikan asas yang berkualiti, maka diyakini bahawa kanak-kanak tersebut akan terus berjaya dalam pendidikan yang akan dilalui pada peringkat yang lebih tinggi!



Disediakan Oleh,

Cik Nur Akmar Binti Mohd Arif,
Pensyarah,
Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia,
Kolej Uniti Port Dickson




0 comments:

Post a Comment