Pages

Monday, 29 August 2016

Cerpen: Kerana Aku Seorang Mahasiswa- Faridah Mohd Tap

“Ish, kamu ni Maryam, selalu sahaja sibuk. Jarang lekat kat bilik. Orang lain pun pelajar juga, tapi taklah macam kamu ni. Dah macam Perdana Menteri aku tengok. Silap-silap Perdana Menteri pun tak macam kamu tau.” Leter Salina tatkala melihat Maryam masuk ke bilik setelah hampir tiga hari tidak pulang.


Maryam hanya tersenyum mendengar luahan hati sahabat biliknya dari tahun pertama sehinggalah sudah menginjak ke tahun akhir semenjak mereka belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang tercinta ini. Sahabatnya itu seorang pelajar yang bijak. Selalu sahaja skor anugerah dekan saban semester. Siapa tidak kenal Salina Afifah Mohsen. Namanya tidak asing di kalangan para pensyarah dan pelajar sains politik lainnya.


“Salina, maafkanlah aku jarang di bilik. Aku ada komitmen luar akademik yang harus diijalankan sebaiknya.” Maryam mendekati Salina yang sedang duduk di compartment B bilik C.4.3 Mahalah Hafsa.


“Komitmen apanya Maryam sampai jarang-jarang kita dapat menghabiskan waktu bersama. Dapat jumpa pun dekat kelas, tapi itupun cepat-cepat kamu pergi sebab ada kelas subjek minor. Lepas tu kamu menghilang entah kemana perginya.” Luah Salina lagi.


Maryam senyum. Maryam kemudiannya duduk di hujung birai katil Salina sambil menghadapnya yang sedang menelaah pelajaran di meja studi.

“Salina, hujung minggu ni kamu lapang?” Tanya Maryam ringkas. Salina menoleh dan memandang Maryam dengan muka berkerut. Kenapa Maryam, nak bawa aku pergi jalan-jalan ke? Salina mengenyitkan mata kepada Maryam.


“Ya, tapi jalan-jalan yang ini lain sikit dan aku tak dapat pastikan samaada kamu suka atau tidak. Tapi aku akan pastikan kamu akan ada paradigma berbeza tentang apa itu gelaran mahasiswa. Lapang tak minggu ni? ” Tanya Maryam sekali lagi untuk tahu jawapan persetujuan kawan baiknya itu.



Salina mengerutkan dahi. Jari telunjuk menggaru-garu dagunya yang tidak gatal. “Hmm, macam menarik. Tidak pernah kamu ajak keluar bersama, tapi kali ini, buat pertama kalinya kamu mempelawa untuk aku ikut. Pelik bin ajaib ni. Aku akan ikut, tapi, untuk lakukan anjakan paradigma tu, we’ll wait and see.” Senyum Salina dengan anggukan tanda persetujuan.

***

Pagi Sabtu itu, Maryam dan Salina solat subuh berjemaah. Maryam menjadi imamah kepada Salina. Selepas wirid, Maryam membaca doa dengan suara sedikit perlahan, tetapi didengari jelas di cuping pendengaran Salina.


Kali ini, Maryam berdoa khusus untuk sahabatnya.

“ Bismillahir-rohman-ir-rahim…
Ya Allah, di pagi sabtu yang hening ini…
Kami memohon keampunan di atas kesalahan dan kelalaian kami samada kami sedar ataupun tidak. Ampunilah dosa kedua ibu bapa kami, keluarga kami, para pendidik kami, para sahabat kami dan seluruh kaum muslimin dan muslimat yang hidup mahupun yang telah mendahului kami menuju kepada-Mu.
Kami juga menyatakan rasa syukur Ya Allah kerana diberi peluang untuk menghirup udara sebagai nafas kami meneruskan kehidupan di bumi penuh pancaroba ini.
Ya Rabb,
Sesungguhnya, kami bersyukur kerana dihidupkan sebagai Muslim..
Peliharalah iman kami hingga akhir hayat kehidupan kami di dunia ini..
Golongkanlah kami dalam golongan yang diredhoi..
Ya Rabb,
Aku juga bersyukur dikurniakan sahabat seperti Salina,
Mengambil berat tentangku walau aku tidak punya masa untuknya,
Kau kasihilah dia, berkatilah perjalanan hidupnya,
Semoga suatu hari nanti, kawan baikku ini menjadi permata berharga kebanggan kami, yang berbakti untuk membangunkan umat.
Amin Ya Rabbal ‘Alamin.”

Doa Maryam dengan sendu yang halus.

Salina mengaminkan doa yang dibacakan oleh Maryam. Hatinya terharu, air matanya mengalir kerana Maryam mendoakannya.

Usai solat, mereka berpelukan.

“Terima kasih Salina, menjadi sahabat saya yang tidak jemu mengambil berat tentangku.” Bisik Maryam.

***

‘Wah, aku rasa tak sabar nak tahu kemana kamu nak bawa aku hari ini.” Laung Salina sambal bersiap-siap dalam bilik kecilnya.

“Jom! Kita pergi. Kita akan naik bas Metro 12 ke Chow Kit Road.” 
Ucap Maryam sambal tersenyum riang kerana dapat membawa Salina keluar dari biliknya untuk lakukan aktiviti yang berbeza selain hanya bergelumang dengan buku-buku dan nota pelajaran.


Mereka berdua menaiki bas tepat jam 10 pagi. Pagi sebegitu, seperti biasa bas dipenuhi dengan pelajar-pelajar UIA yang keluar hujung minggu mencari hiburan masing-masing. Setelah hampir 30 minit, mereka sampai ke destinasi yang dituju.

“Kita akan kemana ni Maryam?” Tanya Salina setelah turun dari bas di Jalan Chow Kit.

“Jom. Kita melintas. Tempat aku nak bawa ni depan sana tu.”Tunjuk Maryam sambil mereka berpimpinan melintas jalan yang mulai sesak.

***
Chow Kit adalah tempat yang sibuk kerana menjadi tumpuan warga kota di Bandaraya Kuala Lumpur. Ia menjadi tarikan kerana terdapat pasar basah harian terbesar di seluruh Wilayah Kuala Lumpur  selain pasar malamnya yang dikenali sebagai Bundle Chow Kit di sepanjang Lorong Haji Taib yang menjual pelbagai barangan dan aksesori. Ironinya, Chow Kit ini menjadi tumpuan warga Indonesia selain komuniti kecil warga Afrika.

***
“Inilah tempatnya.” Cetus Maryam di hadapan sebuah banggunan usang dua tingkat sebaris lot-lot kedai bersebelahannya.

“ Tempat apa ni Maryam” Takut pula aku sambil menggengam erat tangan Maryam.

“Janganlah takut, tempat ini adalah rumah perlindungan bagi kanak-kanak jalanan. Kasihan mereka.” Terang Maryam menenangkan Salina yang kelihatan sedikit gusar.


Maryam dan Salina bersalaman dengan pengurus rumah perlindungan tersebut, Puan Hidayah. Mereka beramah-mesra sebelum melakukan pelbagai aktiviti dengan sejumlah kanak-kanak malang yang ditempatkan di rumah tersebut.


Pada mulanya, Salina kelihatan kekok tetapi akhirnya beliau seronok melayan keletah anak-anak kecil berusia sekitar satu tahun hingga 12 tahun. Kanak-kanak juga ketawa riang dengan pelbagai aktiviti seperti bacaan buku cerita dan nyanyian.


“Itu Amin berusia setahun. Dialah penghuni paling muda di rumah ini. Dia ditemui bersama ayah dan abangnya yang baru lapan tahun setelah tinggal dibawah jambatan selama hampir sebulan. Dia dihantar kesini kerana ayahnya sedang menjalani pemulihan dari najis dadah. Ibunya pula sudah meninggal dunia. Ayah mereka membawa keluar dari kampung, dan sanak-keluarga tidak mempedulikan mereka kerana ayahnya adalah penagih tegar. Amin juga istimewa kerana dia tidak seperti kanak-kanak lain. Dia disahkan sebagai ‘sindrom down’. Kasihan anak syurga ini.” Terang Maryam kepada Salina dengan air mata bertakung menunggu masa untuk tumpah.


Salina juga kelihatan sedih dan memahami rasa yang dirasai oleh teman baiknya Maryam. Beliau memangku anak kecil malang itu lalu mencium dahinya.


“Tugas kita sebagai mahasiswa sebenarnya adalah sebuah amanah yang besar. Jika kita telusuri sejarah, mahasiswa adalah jurubicara masyarakat yang sangat disegani. Pada awal 1970-an, mahasiswa menjadi pendokong paling hadapan dalam membela masyarakat marhaen terdiri daripada petani, nelayan, penoreh getah dan lain-lain. Mahasiswa ketika itu sangat disegani kerana aura mahasiswa yang dibawanya.”  Maryam memulakan bicaranya tentang mahasiswa.


Salina mendengarnya dengan khusyuk sekali. Itulah kali pertama dia mendengar ayat ‘mahasiswa adalah jurubicara masyarakat. Beliau sangat tertarik untuk mendengar huraian Maryam lagi. Sesekali dia mencium pipi Amin yang terlena dipangkuannya selepas meminum susu botol. Kebetulan, itu adalah waktu rehat bagi anak-anak di rumah perlindungan tersebut.


“ Tetapi itu dulu. Mahasiswa hari ini dipandang sebagai tiada fungsi kepada masyarakat. Mahasiswa hari ini merasakan apabila sudah menjejakkan kaki ke menara gading, mereka perlu disanjung dan dipuja. Habiskan waktu ke kelas, kemudian balik hostel makan dan buat hal sendiri. Bila ada waktu terluang, pergi berjalan-jalan ‘window shopping’ atau apa sahaja aktiviti untuk kepuasan sendiri.” Sambung Maryam lagi.

Salina mengangguk tanda setuju dengan Maryam kerana itulah realiti kebanyakkan mahasiswa hari ini.

“Benar tu Maryam. Aku tak pernah terfikir tentang itu sebelum ini peranan mahasiswa kepada masyarakat. Pada aku, bila masuk sahaja universiti, maka aku harus belajar, belajar dan belajar untuk mencapai keputusan cemerlang. Akhirnya, dengan keputusan yang cemerlang itu, aku akan senang dapat kerja dan mencapai impian sendiri tanpa meletakkan kepentingan masyarakat dan umat dalam impian aku itu.” Terang Salina dengan sedikit kesal.

“Tak mengapa Salina, belum terlewat lagi untuk kamu lakukan anjakan paradigma tentang peranan sebagai mahasiswa. Aku bawa kamu ke sini dengan niat yang murni. Aku mahu tunjukkan kamu realiti masyarakat yang sangat memerlukan orang-orang bijak seperti kamu dalam memberikan jaminan kehidupan yang lebih baik. Sayang jika manusia sebijakmu tidak dimanfaatkan untuk umat. Aku sendiri mengagumimu kerana kecerdikanmu dalam pelajaran. Tapi, aku dan umat akan lebih berbangga, jika sahabat aku ini menjadi jurubicara masyarakat untuk menjadikan bangsa, agama dan negara yang lebih baik.” Bersungguh-sungguh Maryam meyakinkan Salina.


Salina tersenyum dalam rasa terharu sambil memandang wajah-wajah polos anak-anak kecil yang semuanya sedang lena tidur selepas penat beraktiviti.


Mereka menghabiskan masa lebih kurang enam jam di rumah perlindungan anak-anak jalanan sebelum singgah di Pasar Malam Chow Kit yang terkenal itu. Selepas itu, barulah mereka pulang ke Taman Ilmu dan Budi yang sinonim dengan UIAM.

***

Di Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ke-25, Salina Afifah binti Mohsen telah dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Pelajaran DiRaja dan telah dilantik untuk memberikan ucapan mewakili seluruh 3,300 mahasiwa pada Konvokesyen tahun itu.

“To all my fellow friends here in this convocation hall, I humbly ask you to be actively involving in nation building to bring triple IICE (Integration; Islamization; Internationalization; and Comprehensive Excellence) nationwide.

We’re IIUMans must aim to become a leading role player to bring Muslim Ummah at the greatest position…..


Sebelum menghabiskan ucapannya, Salina mengambil kesempatan mendedikasikan puisi tradisional Melayu ini kepada semua mahasiswa yang bergraduat.

***

 “Apa tanda si anak jantan?
Matinya di tengah gelanggang
Tidurnya di puncak gelombang
Makannya di tebing panjang
Langkahnya menghentam bumi
Lenggangnya mengipas semak
Tangisnya terbang ke langit
Esaknya di telan bumi
Yang tak kenal (kan) air mata
Yang tak kenal (kan) tunduk kulai…


Itulah bicara akhir penutup kata di hadapan para pensyarah, graduan dan ibu bapa yang berada di dalam dewan CAC.

Tepukan gemuruh menggamatkan suasana dewan selepas tamat ucapan dan Salina mengambil tempat duduknya semula.

Maryam Jameelah tersenyum bangga melihat Salina berada di atas pentas.
“Aku bangga denganmu sahabatku.” Bisiknya dalam hati.

***
(Selepas lima tahun)

Maryam sedang membaca berita secara online sebelum ke kelas bertemu pelajar-pelajarnya untuk subjek Pengenalan Sains Politik. Kini beliau menjawat jawatan pensyarah muda di Pusat Asasi UIAM dan sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Doktor Falsafah  Sains Politik Pengurusan Awam di Universiti Malaya.

Tiba-tiba, pandangannya tertarik kepada tajuk berita “MUJAHIDAH MALAYSIA DI GAZA”.

Maryam menekan pautan baca seterusnya untuk membaca laporan berita tersebut dengan lebih lanjut. Hatinya sungguh tertarik apabila melihat imej yang dipaparkan sangat dekat dengan hatinya.

“Salina Afifah Mohsen, 28  tahun merupakan rakyat kelahiran Malaysia yang mengambil keputusan untuk berkhidmat di Kem Perlindungan rakyat Gaza selepas perang meletus sejak beberapa tahun dahulu. Beliau yang merupakan Eksekutif sepenuh masa Mercy Malaysia merasakan tiba masanya untuk beliau kembali berbakti kepada umat…..”

“Wah, Salina Afifah. Saya bangga dengan kamu.” Bisik hatinya. Rupanya disini kamu setelah empat tahun lebih menghilang tanpa khabar berita.

Maryam terharu. Bergenang air matanya melihat wajah kawan baiknya di akhbar tersebut.

“Kamu pasti menjadi kebanggaan umat Islam dan rakyat Malaysia!” Bicara hati Maryam.

-Tamat-

(Cerpen ini telah disiarkan di dalam Portal Ilham Karangkraf)

0 comments:

Post a Comment