Oleh:
Faridah binti
Mohd Tap
Pensyarah Kolej
UNITI,
71250 Port
Dickson, Negeri Sembilan.
No. Telefon: 013- 611 5468
Emel: faridah@uniti.edu.my
Kertas kerja ini telah dibentangkan di Akademi Kajian Ketamadunan Kajang bersempena Seminar Sains Ketamadunan;Pasca Ibn Khaldun pada 6-8 Mac 2015. |
Abstrak
|
Perkembangan
sosial sering dikaji dalam usaha mencapai tahap tertinggi kehidupan
kemasyarakatan yang harmoni. Pelbagai faktor mempengaruhi paten kehidupan
sosial khususnya politik dan ekonomi. Konflik dan krisis sering berlaku dalam
kehidupan bermasyarakat kerana ia adalah hukum alam yang tidak dapat dielakkan.
Bagi menangani konflik tersebut, maka pelbagai cara dan instrumen digunakan
untuk mengurus dan mengatur kehidupan sosial untuk mencapai matlamat kehidupan
kemasyarakatan iaitu keharmonian dan keadilan. Justeru, makalah ini ditulis
untuk melihat perspektif Karl Marx dan Shah Waliullah Dehlawi mengenai
perkembangan sosial yang terangkum dalam magnum
opus masing-masing iaitu Manifesto Komunis dan teori Al-Irtifaqat dan cadangan-cadangan kedua-dua figura ulung ini bagi
mencapat matlamat kehidupan bermasyarakat.
Kata kunci:
Perkembangan Sosial; Karl Marx, Shah Waliullah, Manifesto Komunis, Al-Irtifaqat
1.0 Muqaddimah
Perkembangan
sosial telah dibincangkan oleh ramai tokoh ilmuan daripada pelbagai perspektif.
Hampir keseluruhan perbincangan tentang perkembangan sosial cuba untuk menjawab
bagaimana masyarakat dibentuk dan kemudian secara berperingkat membentuk sebuah
negara. Justeru, artikel ini cuba membuat analisa ringkas teori-teori
perkembangan kemasyarakatan menurut ideologi Karl Marx dan falsafah Shah
Wali-u-Allah.
Analisa
akan dimulakan dengan membuat tinjauan ringkas ke atas ‘magnum opus’ Karl Marx
iaitu Manifesto Komunis (Communist
Manifesto). Penulis akan mengkhususkan tinjauan ke atas pandangan Marx tentang
sejarah pembentukan masyarakat. Diskusi seterusnya akan membincangkan Teori Irtifaqat Shah Wali-U-Allah dan di akhir
kertas kerja ini, penulis akan membuat sedikit perbandingan di antara keduanya
mengenai perkembangan masyarakat/ sosial.
Analisa
ini juga akan menarik perhatian peserta seminar kerana perbincangan adalah
melibatkan dua figura berpengaruh di dunia yang berbeza dari pelbagai aspek;
latar-belakang, budaya, agama dan pandangsarwa (worldview).
Justeru,
kertas kerja ini dibentangkan untuk mencapai beberapa objektif yang khusus
iaitu:-
a) Untuk
menjelaskan Manifesto Karl Marx dan Teori Irtifaqat
Shah Wali-u-Allah kepada peserta, dan
b) Untuk
mengenal pasti persamaan dan perbezaan teori Karl Marx dan Shah Wali-u-Allah
mengenai perkembagan sosial.
2.0 Manifesto Komunis Karl Marx: Satu
Tinjauan Ringkas
Manifesto
Parti Komunis adalah sebuah karya Karl Marx dan Friedrich Engels. Ia terdiri
kepada empat bahagian iaitu; 1) Bourgeois
dan Proletarians (Pemodal dan Buruh),
2) Proletarians dan Communists (Buruh dan Komunis), 3)
Rujukan ilmiah kumpulan sosialis dan komunis dan, 4) kedudukan kumpulan komunis
dan hubungannya dengan parti pembangkang (yang telah wujud ketika itu).
Marx
telah memulakan Manifestonya di bahagian pertama dengan kenyataan yang menarik
perhatian pembacanya. “The history of all hitherto existing
societies is the history of class struggles” (Kewujudan masyarakat
adalah disebabkan sejarah perjuangan antara kelas)[i].
Menurut Marx, masyarakat berkembang adalah disebabkan satu-satunya faktor iaitu
perjuangan di antara kelas yang wujud dalam masyarakat. Kelas yang dimaksudkan
dalam Manifesto ialah kelas pemodal (borgeiois)
dan kelas buruh (proletarian).
Pecahan dua kelas ini adalah peringkat seterusnya selepas perjuangan antara
kelas ketika zaman feudal.
Marx
menyebut mengenai sejarah perkembangan masyarakat dan ciri-ciri kelas pemodal
dan kelas buruh di bahagian pertama Manifestonya. Istilah borgeois di dalam Manifesto adalah sinonim dengan peristiwa-peristiwa
revolusi.[ii]
Perubahan drastik yang diakibatkan oleh revolusi telah memberi kesan kepada
keseluruhan sistem produksi (penghasilan produk) dan masyarakat. Ia dinyatakan
di dalam Manifesto sebagai, “The
bourgeoisie cannot exist without constantly revolutionizing the instruments of
production, and thereby the relations of production, and with the whole
relations of society.”[iii]
Para
bourgoise melakukan pelbagai cara
bagi memastikan kepentingan peribadi mereka terpelihara. Untuk itu mereka
menggunakan cara yang kejam dan menindas kaum pekerja ataupun kelas buruh (proletarian) tanpa mengira jantina
mahupun kanak-kanak. Teras konflik antara kedua-dua kelas adalah wang upah/
gaji. Pada kaca mata kelas bourgoise, buruh hanyalah mesin bukan
sebagai manusia. Tenaga kelas buruh dikerah semahunya oleh kelas bourgeoise yang jumlah mereka sangat
kecil untuk mengaut keuntungan yang banyak selepas masuk ke pasaran. Ketika
itu, tenaga manusia adalah sumber utama kepada penghasilan produk.
Upah
yang diberikan kepada kaum buruh pula tidak sepadan dengan kerahan tenaga oleh
kelas bourgeoise. Digambarkan upah
yang mereka perolehi tidak cukup untuk membeli keperluan asas seperti makanan.
Disebabkan situasi yang terdesak itu, kelas buruh membentuk kesatuan kerja dan
akhirnya secara beransur-ansur bergerak sebagai parti politik untuk mendesak
kelas bourgeoise menaikkan upah
mereka. Natijahnya, terjadilah konflik antara kedua kelas tersebut; kelas bourgeoise dan kelas buruh.
Di
bahagian kedua Manifesto, Marx kemudiannya menyebut komunis dan kelas buruh sebagai
mempunyai objektif yang sama iaitu kepentingan dan matlamat gerakan yang ingin mewujudkan
kelas dalam masyarakat dan menghapuskan kedaulatan kelas bourgeoise (Communists and proletarians mutually in line in terms of interests
and movement’s aim which were formation of the proletariat into a class,
overthrowing of the bourgeois’ supremacy, conquest political power by the
proletariat. Bagaimanapun, Marx membezakan komunis daripada proletarian iaitu komunis mahu menghapuskan
pemilikan hak harta benda kelas pemodal. Marx kemudiannya menyimpulkan ia
sebagai penghapusan pemilikan harta peribadi atau harta perseorangan.
Di
bahagian kedua Manifesto ini juga, Marx mencadangkan idea komunis dan
menganggapnya sebagai rasional dan keperluan universal. Komunis Marx mahu
membebaskan masyarakat manusia daripada sebarang keterikatan dengan kelas,
sosial, negara, jua moral dan agama. Dengan kata yang lain, ajaran komunis
mendesak kesamarataan masyarakat dalam aspek ekonomi dan politik. Pada Marx,
tiada seorang pun boleh melebihi seorang yang lain dan tiada sesiapa pun
dibenarkan memiliki sebarang harta dengan hak perseorangan. Ini kerana, semua
harta adalah hak milik masyarakat secara keseluruhannya.
Di
bahagian ketiga Manifesto, Marx membincangkan karya-karya tentang sosialis dan
komunis. Beliau membahagikannya kepada tiga seksyen perbincangan iaitu, a) Reactionary Socialism, b) Conservative Socialism dan c) Critical Utopian Socialism and Communism.
Semua karya adalah respons kepada penindasan ke atas kelas buruh oleh kelas
pemodal. Walaupun begitu, di bawah
gerakan Reactionary socialism
terdapat feudal socialism terdiri
daripada kelas aristokrat Perancis yang telah dimanipulasi oleh kelas buruh dan
juga Petty-Bourgeois Socialism iaitu
kelas pemodal yang gagal dalam persaingan perindustrian sesama mereka. Gerakan
ini telah dipelopori oleh Sismond dan idea beliau tersebar ke Perancis dan
England. Akhir sekali di bawah Reactionary
Socialism ialah German/ True
Socialism yang mempunyai persamaan
dengan gerakan di Perancis, tetapi mereka menjadikan fitrah semulajadi manusia
sebagai asas perjuangan sosialis.
Perbincangan
karya socialism diteruskan dengan Bourgeois Socialism. Idea ini diteraju oleh
kelas bourgeois sendiri. Mereka cuba
mempromosikan idea mereka ke atas kelas pekerja untuk menjaga kepentingan diri
kelas bourgeois. Mereka menanam dalam fikiran pekerja dengan mengatakan
keuntungan mereka adalah keuntungan bersama kelas pekerja. Akhir sekali,
gerakan Critical Utopian Socialism and
Communism pula bermatlamat untuk meningkatkan taraf kelas pekerja ketika
revolusi industri berlangsung. Antara figura yang mengupas gerakan ini adalah
Saint Simon, Fourier dan Owen. Namun begitu, yang membezakan Karl Marx dengan
gerakan Utopian Socialism ini adalah
penekanan dan kritikan yang lebih terperinci ke atas kelas bourgeoise. Marx juga menekankan kesatuan di kalangan kelas pekerja
sebagai sebuah entiti tunggal yang kuat.
Di
akhir Manifesto, Marx membincangkan tentang gerakan komunis dengan golongan
kiri yang lain. Di bahagian ini, beliau memberikan beberapa contoh yang
menunjukkan adanya kerjasama antara komunis dan gerakan kiri lain. Di Perancis,
komunis telah bergabung dengan Parti Demokrat Sosial menentang kelas pemodal
radikal. Marx mengakhiri Manifestonya dengan ayat, SEMUA PEKERJA DI SELURUH
NEGARA, BERSATU! (WORKING MEN OF ALL
COUNTRIES, UNITE!). Beliau sangat percaya, perjuangan kelas buruh hanya
boleh mencapai matlamatnya jika mereka menyusun strategi dan membentuk kesatuan
yang kuat untuk menumpaskan ketuanan kelas bourgeoise.
Ringkasnya, Marx menekankan kuasa penyatuan sebagai satu cara untuk
menghapuskan perjuangan antara kelas dan mewujudkan masyarakat tanpa kelas atau
bahagian iaitu communist.
3.0 “Sejarah Masyarakat adalah Sejarah
Perjuangan Antara Kelas”: Satu Tinjauan.
Idea
utama yang memulakan Manifesto Komunis adalah, “The history of all hitherto existing societies is the history of class
stuggles.” Sebelum penulis membincangkan idea tersebut dengan lebih lanjut,
perlu ditekankan bahawasanya, Marx melihat sejarah dari perspektif
materialistik yang popularnya dikenali sebagai historical materialism. Tambahan lagi, beliau membesar ketika
revolusi industri sedang rancak berkembang di Eropah. Ini mempengaruhi
pandangsarwa beliau mengenai perkembangan masyarakat. Penulis dapat mengesan
Marx banyak sekali menyebut istilah berkaitan industri seperti modal, upah,
tenaga buruh, dan lain-lain istilah ekonomi. Dengan ayat lain, beliau
mencadangkan idea bahawa situasi ekonomi pada masa yang khusus telah membentuk
paten sesebuah masyarakat itu.
Marx
hidup ketika kelas pemodal sangat kuat. Mereka menguasai dan mengawal sumber
ekonomi dan bahan mentah. Lambakan bahan mentah mengilhamkan kelas bourgeoise untuk menghasilkan produk
yang telah diproses. Untuk itu, tenaga pekerja sangat diperlukan tambahan pula
permintaan kepada produk sangat tinggi. Kecanggihan teknologi tidak dapat di
halang, tetapi tenaga pekerja masih jauh ketinggalan. Kelas pekerja masih lagi
menggunakan cara tradisional sedangkan kerja-kerja mereka boleh di ambil oleh
mesin-mesin dengan pemprosesan yang lebih cepat dan banyak.
Situasi
itu telah mencipta konflik dan krisis di antara kelas bourgeoise dan kelas buruh. Segelintir kelas bourgeoise cenderung kepada keuntungan yang banyak dan mereka
menindas para pekerja untuk memenuhi keperluan mereka. Tenaga para pekerja
dikerah sehabisnya tetapi mendapat upah yang tidak sepadan. Akibat penindasan
itu, kelas buruh ini berjuang bagi mendapatkan keadilan. Di bawah ketuanan para
pemodal, masyarakat yang kaya terus mengayakan diri, manakala yang miskin terus
dimiskinkan. Kelas buruh perlu disedarkan supaya membebaskan diri daripada
cengkaman pemodal kapitalis. Pengakhiran kepada perjuangan kelas buruh yang
mewakili majoriti masyarakat akan mencipta sebuah sistem sosial-ekonomi tanpa
kelas iaitu negara komunis.
Karl
Marx percaya bahawa perkembangan masyarakat sangat berkaitan dengan revolusi.
Beliau memberi diskripsi bagaimana perkembangan masyarakat telah melalui
beberapa fasa secara revolusi iaitu daripada masyarakat agrarian kepada masyarakat feudal dan sekarang kapitalis. Beliau
juga optimis bahawa di akhir sejarah perjuangan masyarakat sebuah negara
komunis akan mengakhiri sejarah itu. Di bawah negara komunis, tiada istilah
harta perseorangan tetapi yang ada hanyalah hak negara secara keseluruhannya.
Marx dan Engel menyebut,
“We
communists have been reproached with the desire of abolishing the right of
personally acquiring property as the fruit of a man’s own labor, which property
is alleged to be the groundwork of all personal freedom, activity and
independence.”[iv]
4.0 Shah Waliullah Dehlawi dan Teori
Irtifaqat: Suatu Tinjauan Umum
Shah
Waliullah Dehlawi atau nama sebenarnya Qutb al-Din ibn ‘Abd al-Rahim
(1114-1176/ 1703-1762) ialah figura terkemuka dalam dunia Islam. Beliau pakar
dalam pelbagai bidang khususnya disiplin ilmu dan sains kemanusiaan seperti
sosiologi dan ekonomi. Bagaimanapun beliau lebih dikenali dalam bidang sufi.
Pemikirannya lebih kepada membersihkan ajaran Islam sebagai agama yang suci
daripada sebarang pengaruh anasir-anasir yang merosakkan kefahaman penganutnya
yang perlu disandarkan semula kepada Al-Qu’ran dan As-Sunnah. Di bahagian ini,
penulis akan membincangkan pemikirannya dari aspek sosial-ekonomi iaitu teori irtifaqat.
Perkataan
irtifaqat bererti tindakan kolektif
secara kerjasama. Menurut Profesor Jamil Farooqi, terma irtifaq sesuai dirujuk untuk menerangkan perkembangan masyarakat
secara evolusi iaitu perkembangan secara semula jadi.[v]
Selain itu, dalam pembacaan lain, irtifaq
jua merujuk kepada mengadaptasi jalan yang sesuai, menolong kepada
pencapaian keputusan, penggunan alat-alat yang bermanfaat, teknologi yang
berguna, dan etika yang bagus dalam diri seseorang individu itu.[vi]
Menurut
Shah Waliullah, masyarakat berkembang melalui empat fasa iaitu a) undang-undang
fitrah (al-madhab al-tabi’i), b)
oganisasi keluarga, c) institusi politik dan d) peringkat tertinggi irtifaq iaitu masyarakat dalam negara
bangsa bekerjasama untuk bebas daripada konflik dan permusuhan antara negara. Tinjauan
untuk setiap fasa irtifaqat akan dibincangkan di bawah:-
4.1 Undang-undang Fitrah (Al-Madhab al- Tabi’i)
Fasa
pertama dalam teori irtifaqat, Shah
Waliullah tidak bercanggah dengan pendapat tokoh lain di mana beliau gelarkan
sebagai al-ra’y al-kulliy (tujuan yang
universal) iaitu manusia atau haiwan menggunakan nalurinya untuk memenuhi
keperluan fizikal seperti makan, minum dan sebagainya. Beliau memberi contoh
bagaimana lebah meggunakan nalurinya (dengan ilham dari Tuhan) menghisap bunga
sebagai keperluan lebah sebelum mereka bekerjasama menghasilkan madu. Bezanya,
manusia menggunakan inteleknya untuk memenuhi keperluan asas tersebut dengan cara
yang lebih baik. Ini juga telah dikupas oleh Jamil Farooqi dengan mengatakan
manusia bukan sahaja menggunakan akal inteleknya untuk memuaskan keperluan
fizikalnya, tetapi juga sangat menitikberatkan keberkesanan dan kesesuaian
sesuatu teknik yang digunakan.
Fasa
ini juga adalah pemula kepada pembentukan masyarakat yang lebih kompleks. Pada fasa
awal ini, secara fitrahnya manusia cenderung untuk memenuhi keperluan
semulajadinya iaitu makanan, pakaian, tempat tinggal dan keperluan seksual.
Untuk itu, manusia telah mencipta bahasa yang difahami oleh individu lain
sebagai medium perantaraan. Bahasa sangat penting untuk menyampaikan mesej
secara lisan ataupun bukan lisan dan difahami serta diterima secara meluas
dalam masyarakat. Perut yang lapar
dipuaskan dengan makanan yang akhirnya mencetuskan idea aktiviti-aktiviti
perladangan seperti penanaman, penternakan haiwan, penggalian perigi untuk
keperluan air dan banyak lagi. Aktiviti ini menghasilkan makanan dan sumber
minuman untuk keperluan mereka.
Oleh
kerana manusia mempunyai rasa malu, mereka mencari sesuatu yang sesuai untuk
dijadikan pakaian bagi menutup anggota badan. Manusia menggunakan bahasa juga
untuk menyampaikan mesej pertolongan sesama individu lain. Mereka berinteraksi
dan bekerjasama memenuhi keperluan asas seperti berburu, bercucuk-tanam dan
sebagainya. Sebagai tambahan, ketarikan sesama jantina telah dilunaskan melalui
perkahwinan sesama individu lelaki dan wanita. Dengan perkahwinan, masyarakat
semakin berkembang dengan jumlah individu semakin bertambah. Secara fitrahnya
juga, akan berlaku persaingan yang menyebabkan konflik dalam masyarakat. Maka,
Shah Waliullah menjelaskan tentang keperluan konsep keadilan (‘adalah) dalam mengurus kehidupan
masyarakat yang lebih harmoni.
Pada
Shah Waliullah, keadilan ekonomi adalah keperluan asas yang paling utama dalam
perlaksanaan objektif keadilan di kalangan kumpulan manusia (masyarakat). Ia
juga diperlukan dalam perkembangan masyarakat yang seimbang dan sihat. Melalui
kesedaran spiritual dan ketuhanan yang tinggi sahaja manusia boleh mencapai
keadilan sosio-ekonomi tersebut.
Bagi
mengurus masyarakat daripada sebarang konflik yang berterusan, masyarakat secara
semulajadi juga telah melakukan kontrak dengan melantik seorang ketua bagi
menjaga kebajikan anggota masyarakat dan mencapai kesepakatan. Menurut Shah
Waliullah, individu manusia yang sempurna adalah individu yang mempunyai
kualiti tertinggi dalam hati (qalb), tabiat dan akal jiwa.[vii]
Ciri-ciri inilah yang diprihatinkan oleh Shah Waliullah dalam pemilihan
seseorang ketua bagi memimpin masyarakat. Muhammad Al-Ghazali juga bersetuju
dengan Shah Waliullah berkaitan dengan ciri-ciri ketua masyarakat iaitu
individu yang mempunyai kemampuan intelek luar biasa dengan kebolehan-kebolehan
kepimpinan seperti penyelesai konflik, pembuat keputusan, dan peneraju
perubahan masyarakat.
4.2 Organisasi Keluarga
Menurut
Shah Waliullah, terma masyarakat merujuk kepada satu fasa dalam perkembangan
manusia. Tambah beliau lagi, kehidupan masyarakat lebih bermakna melalui
petunjuk daripada Tuhan. Ini penting untuk difahami bahawa Shah Waliullah
memandang manusia dari perspektif teosentrik (ketuhanan).
Di
fasa kedua ini, masyarakat digambarkan menuju ke kehidupan yang lebih kompleks.
Justeru, ia menuntut kepada mekanisma
baru dan segera untuk melancarkan kehidupannya. Shah Waliullah kemudiannya
menyebut lima ilmu kebijaksanaan yang telah diterangkan oleh Muhammad
Al-Ghazali sebagai berikut:
a) Al-hikmah al-ma’ashiyyah
atau kebijaksanaan untuk hidup,
b) Al-hikmah al- iktisabiyyah atau
kebijaksanaan untuk mendapat sesuatu perkara,
c) Al- hikmah al-manziliyyah atau
kebijaksanaan isi rumah,
d) Al-hikmah al-ta’muliyyah
atau kebijaksanaan urusniaga dan
Malangnya,
dalam artikel ini penulis tidak akan membincangkan kelima-lima kebijaksanaan di
atas.
4.3 Institusi Politik
Fasa
ketiga adalah permulaan kepada penubuhan organisasi politik. Pada fasa pertama dan
kedua, masyarakat melalui kehidupan yang mudah kepada lebih kompleks. Unit-unit
keluarga semakin bertambah besar tetapi mereka mendapati masih belum lagi
sempurna dan tersusun. Mereka secara fitrahnya memerlukan pemimpin untuk
mengatur kehidupan mereka yang lebih rumit.
Menurut
Shah Waliullah, pemimpin yang mendapat mandat dan kontrak kepimpinan adalah
individu yang mempunyai ciri-ciri yang ulung di kalangan anggota masyarakatnya
iaitu manusia yang dikurnia kebolehan intelek luar biasa (wise man) yang boleh membawa masyarakatnya mencapai kesepakatan,
dan individu yang mempunyai kebolehan dan ilmu untuk mencapai kesempurnaan
dalam pengurusan kehidupan seharian. Keperluan mendesak kepada kepimpinan telah
membawa masyarakat menuju kepada fasa ketiga dalam irtifaq masyarakat iaitu penubuhan institusi politik.
Shah
Waliullah sangat mementingkan kriteria seorang pemimpin masyarakat sebagai
seorang yang mempunyai sifat sunan
salihah (alim). Ini penting kerana perwatakan dan perawakan pemimpin akan
menjadi contoh kepada anggota masyarakat seterusnya mengubah paten perilaku dan
moral rakyatnya.
Shah
Waliullah menjelaskan keperluan kepada institusi politik ini sebagai sebuah
ikatan sosial di antara pelbagai kumpulan masyarakat seperti pekebun, pedagang,
tukang kayu dan sebagainya. Ketika ini, masyarakat melaksanakan pelbagai
transaksi antara satu sama lain, dan wujudnya pengkhususan kerja lalu
berlakunya keperluan bagi mendapat pertolongan anggota masyarakat lain.
Hasilnya, pelbagai pertukaran barang dan kerjasama (muamalah) wujud. Di dalam kepelbagaian kumpulan dalam masyarakat
ini dengan keterikatan antara satu sama lain, maka terbentuklah sebuah negara. [ix]
Tambahan
lagi, kewujudan negara yang diketuai oleh pemimpin berhikmah dapat menangani
sifat-sifat negatif dalam diri seseorang individu dan masyarakat seperti tamak
haloba, cemburu, dan penafian hak orang lain serta lain-lain. Pemimpin ini juga
akan menyelesaikan konflik sosial, menguruskan kehidupan masyarakat dengan
lebih efisien berdasarkan konsep keadilan dan kesaksamaan. Bagi menjalankan
objektif kenegaraan tersebut, maka cukai dikutip di kalangan masyarakat yang
mempunyai kelebihan harta.
4.4 Pengantarabangsaan Masyarakat dari
sistem negara kepada sistem Khalifah.
Pada
fasa akhir dalam irtifaq yang
dicadangkan oleh Shah Waliullah ialah mercu kepada perkembangan sesebuah
masyarakat iaitu penubuhan Khilafah-
sistem politik yang paling tinggi (supreme
authority). Fasa ini menurut Shah Waliullah adalah respons kepada konfik
atas ketidakadilan yang berlaku di kalangan negara-negara yang bersaing sesama
sendiri.
Fasa
ini merujuk kepada pengantarabangsaan kerjasama antara negara yang
bermatlmatkan keamanan dan keharmonian yang lebih universal di antara mereka.
Shah Waliullah berpendapat penubuhan negara sebagai institusi politik masih
belum sempurna kerana negara-negara cenderung untuk bersaing dan menyebabkan
perbalahan dalam masyarakat dalam konteks yang lebih besar. Justeru, kepimpinan
yang lebih tinggi dan kuat perlu untuk mengawal konfik antara negara-negara.
Shah
Waliullah menyatakan kriteria seorang khilafah adalah seorang pemimpin yang
memperoleh prestij, popular dan dihormati di kalangan negara-negara dan
masyarakat sehingga tiada seorang pun boleh mencabar kedudukan juga kredibiliti
(kewibawaan) sang khalifah. [x]
5.0 Perkembangan Sosial Antara Karl
Marx dan Shah Waliullah Dehlawi: Suatu Perbandingan Ringkas
Selepas
kupasan secara berasingan antara teori Karl Marx dan Shah Waliullah Dehlawi
tentang perkembangan sosial, penulis menemui beberapa persamaan dan perbezaan
yang perlu diterangkan berdasarkan tema utama kertas kerja- iaitu- falsafah
perkembangan sosial.
Sebagai
seorang atheist, Karl Marx melihat masyarakat dari perspektif material. Marx
berhujah faktor materialistik adalah sebab utama kepada pembentukan dan
perkembangan sesebuah masyarakat. Ini telah dijelaskan pada bahagian awal
kertas kerja bagaimana perkembangan masyarakat adalah atas desakan material.
Disebabkan itu, berlakulah konflik di antara kelas. Menurut Marx, masyarakat
melalui empat fasa perkembangannya. Eleman fundamental dan fasa pertama adalah
desakan penghasilan produk. Lambakan sumber seperti bahan mentah, modal dan
sebahagian teknik adalah sumber pembuatan itu sendiri.
Seterusnya
ialah fasa pengurusan produk dan segala hubungan dengannya iaitu dikotomi;
pemilik dan pekerja. Dikotomi inilah yang membawa kepada kelas dalam struktur
masyarakat yang Karl Marx panggilnya sebagai bourgeoise dan buruh. Fasa
terakhir pembinaan masyarakat ini memindahkan daripada dikotomi kelas kepada superstructure- merujuk kepada sesuatu
yang boleh mempengaruhi masyarakat seperti polisi, undang-undang, ideologi,
moral dan lain-lain. Walaupun begitu, Marx berhujah bahawa superstructure tersebut hanya digunakan oleh kelas bourgeoise untuk mengawal harta dan
kekayaan mereka. Dengan menggunakan semua itu, masyarakat tiada pilihan tetapi
menerimanya dalam keterpaksaan.
Seperti
juga Karl Marx, Shah Waliullah menjelaskan perkembangan sosial melalui empat
fasa yang dikenali sebagai teori irtifaqat.
Walaupun begitu, Shah Waliullah memandang masyarakat dari perspektif ketuhanan
bukan sebagai material. Seperti dibincangkan pada bahagian awal, pembinaan masyarakat
adalah keperluan fitrah seseorang manusia. Manusia pada umumnya tidak boleh
hidup bersendirian tetapi mempunyai atribut (sikap) kebergantungan kepada
individu lain untuk memastikan kelestarian kehidupan. Penciptaan Adam dan
pasangannya Hawa jelas menunjukkan kepada keperluan hidup secara berpasangan
dan bermasyarakat. Teori irtifaqat
mencadangkan perkembangan sosial adalah secara fitrah dan evolusi berbanding
Karl Marx yang mengatakan masyarakat berkembang melalui cara revolusi.
Sudah
tentu, Karl Marx menolak sebarang unsur ketuhanan dan keagamaan. Beliau begitu
bersungguh ingin membebaskan individu dan masyarakat dari sebarang ikatan
sosial apatah lagi moral serta agama. Beliau menekankan aspek kesamaan dan
masyarakat tanpa kelas. Jika dalam Islam perkahwinan dianggap sebagai perkara
penting dalam perkembangan masyarakat kepada yang lebih kompleks, tetapi bagi
Marx, perkahwinan hanyalah suatu pelacuran yang mendapat mandate undang-undang
(legalized prostitution). Beliau mahu
wanita dibebaskan daripada sebarang ikatan perkahwinan. Beliau berhujah, pada
perspektif bourgeoise, isteri
hanyalah instrumen/alat produksi yang terbuka kepada pelbagai bentuk penindasan
dan penganiyaan.
Shah
Waliullah juga menjelaskan bagaimana pengurusan harta perlu dilakukan demi
menjamin keadilan dalam masyarakat. Beliau menekankan baitulmal sebagai
institusi yang membela kaum Muslim yang miskin. Beliau menegaskan tentang aspek
keadilan ekonomi tanpa menghalang kepada pemilikan harta perseorangan. Padanya,
sumber yang Allah kurniakan adalah cukup untuk semua orang, tetapi pembahagian
sumber itu yang selalu menyumbang kepada ketidakcukupan sehingga berlaku
penindasan.
Justeru,
istilah sadaqah tidak asing dalam
Islam bagi menyeimbangkan masyarakat supaya tiada individu muslim yang miskin. Kesedaran kepada tanggungjawab itulah kod
moral tertinggi yang Shah Waliullah tekankan dalam falsafah irtifaqatnya.
Walaupun begitu, perbincangan tentang zakat diasingkan oleh Shah Waliullah
tanpa sebab yang jelas. Bagi Komunis Marx pula, beliau menolak kepada pemilikan
harta persendirian. Setiap upah yang diterima oleh setiap orang adalah milik
masyarakat dan negara sepenuhnya.
Dalam
Manifesto Komunis, Marx menegaskan fasa perkembangan masyarakat memerlukan
memerlukan perubahan dengan cara radikal iaitu revolusi untuk menghentikan
ketuanan kelas bourgeiose. Kelas buruh memainkan peranan penting untuk
menjayakan revolusi itu. Penghapusan ketuanan bourgeoise sebagai kelas dalam
masyarakat akan terbentuklah negara komunis seperti yang diangan-angankan oleh
Karl Marx. Negara Komunis ini adalah peringkat terakhir dan tertinggi dalam
sejarah perkembangan masyarakat.
Bagi
Shah Waliullah pula, perkembangan masyarakat memerlukan kerjasama yang harmoni
di kalangan anggotanya. Perkataan
irtifaqat sendiri adalah refleksi konsep kerjasama tersebut. Individu
manusia dilihat sebagai salah satu dalam kitaran organism bagi melestarikan
kehidupan. Setakat pembacaan kepada ulasan-ulasan idea beliau, tiada seorang
pun yang menyebut tentang revolusi dalam perkembangan masyarakat melainkan ia
adalah evolusi-iaitu satu perubahan semulajadi secara linear. Ini menunjukkan
anggota masyarakat saling berhubung dan berkerjasama bagi mencapai matlamat
yang sama iaitu keadilan sosial. Untuk itu, peranan negara dan khilafah sebagai
puncak perkembangan masyarakat sangat penting untuk menguruskan konflik yang
wujud dengan cara yang berhikmah.
Sebagai
kesimpulan, kedua-dua figura ulung ini berbeza pendekatan dalam menanggapi
perkembangan sosial. Namunpun begitu, kedua-dua Marx dan Shah Waliullah
mementingkan ekonomi kemasyarakatan/ sosio-ekonomi sebagai teras kepada
kehidupan masyarakat yang harmoni. Sebagai tambahan, Shah Waliullah dalam teori
irtifaqatnya menegaskan kepuasan keperluan ekonomi sesebuah masyarakat adalah sebagai
alat untuk seseorang individu mencapai kejayaan (al-falah) di dunia dan terpenting sekali untuk akhirat.
Rujukan
[i]
Marx, Karl & Engels, Friededrich, (2005). The Project Guternberg EBook of The Communist Manifesto, m/s. 2
[ii]
Ibid. m/s 3
[iii]
Ibid. m/s 4
[iv]
Ibid. m/s 11
[v]
Jamil Farooqi (2003). Socio-Political
Thought of Shah Wali Allah. Kertas kerja ini telah dibentangkan di Seminar
Satu Hari Shah Wali Allah Al-Dihlawi (1703-1762) pada 25 Februari 2003, m/s 15.
[vi]
Abdul Aziz aislahi (1989). Stages of
Socio-Economic Development: Shah Wali Allah’s Concept of Al-Irtifaqat.
India. Dimuatnaik di http://mpra.ub.uni-muechen.de/29628/
[vii]
Muhammad Al-Ghazali (2000). The
Socio-Political Thought of Shah Wali Allah (Versi PDF). Islamabad.
Dimuatnaik di www. Islamibayanaat.com, m/s 47.
[viii]
Ibid m/s 53-54.
[ix]
Muhammad Al-Ghazali (2004). The
Socio-Political Thought of Shah Wali Allah. New Delhi, Adam Publishers
Distributors.
[x]
Op.cit, m/s 74-75.