Pages

Sunday, 15 March 2015

ANALISA RINGKAS MANIFESTO KOMUNIS KARL MARX DAN TEORI IRTIFAQAT SHAH WALI-U-LLAH DEHLAWI


 Oleh:
Faridah binti Mohd Tap
Pensyarah Kolej UNITI,
71250 Port Dickson, Negeri Sembilan.

                     No. Telefon: 013- 611 5468
Emel: faridah@uniti.edu.my


Kertas kerja ini telah dibentangkan di Akademi Kajian Ketamadunan Kajang bersempena Seminar Sains Ketamadunan;Pasca Ibn Khaldun pada 6-8 Mac 2015.



Abstrak


Perkembangan sosial sering dikaji dalam usaha mencapai tahap tertinggi kehidupan kemasyarakatan yang harmoni. Pelbagai faktor mempengaruhi paten kehidupan sosial khususnya politik dan ekonomi. Konflik dan krisis sering berlaku dalam kehidupan bermasyarakat kerana ia adalah hukum alam yang tidak dapat dielakkan. Bagi menangani konflik tersebut, maka pelbagai cara dan instrumen digunakan untuk mengurus dan mengatur kehidupan sosial untuk mencapai matlamat kehidupan kemasyarakatan iaitu keharmonian dan keadilan. Justeru, makalah ini ditulis untuk melihat perspektif Karl Marx dan Shah Waliullah Dehlawi mengenai perkembangan sosial yang terangkum dalam magnum opus masing-masing iaitu Manifesto Komunis dan teori Al-Irtifaqat dan cadangan-cadangan kedua-dua figura ulung ini bagi mencapat matlamat kehidupan bermasyarakat. 


Kata kunci: Perkembangan Sosial; Karl Marx, Shah Waliullah, Manifesto Komunis, Al-Irtifaqat           




1.0  Muqaddimah


Perkembangan sosial telah dibincangkan oleh ramai tokoh ilmuan daripada pelbagai perspektif. Hampir keseluruhan perbincangan tentang perkembangan sosial cuba untuk menjawab bagaimana masyarakat dibentuk dan kemudian secara berperingkat membentuk sebuah negara. Justeru, artikel ini cuba membuat analisa ringkas teori-teori perkembangan kemasyarakatan menurut ideologi Karl Marx dan falsafah Shah Wali-u-Allah.

Analisa akan dimulakan dengan membuat tinjauan ringkas ke atas ‘magnum opus’ Karl Marx iaitu Manifesto Komunis (Communist Manifesto). Penulis akan mengkhususkan tinjauan ke atas pandangan Marx tentang sejarah pembentukan masyarakat. Diskusi seterusnya akan membincangkan Teori Irtifaqat Shah Wali-U-Allah dan di akhir kertas kerja ini, penulis akan membuat sedikit perbandingan di antara keduanya mengenai perkembangan masyarakat/ sosial.

Analisa ini juga akan menarik perhatian peserta seminar kerana perbincangan adalah melibatkan dua figura berpengaruh di dunia yang berbeza dari pelbagai aspek; latar-belakang, budaya, agama dan pandangsarwa (worldview).

Justeru, kertas kerja ini dibentangkan untuk mencapai beberapa objektif yang khusus iaitu:-

a)     Untuk menjelaskan Manifesto Karl Marx dan Teori Irtifaqat Shah Wali-u-Allah kepada peserta, dan

b)     Untuk mengenal pasti persamaan dan perbezaan teori Karl Marx dan Shah Wali-u-Allah mengenai perkembagan sosial.

2.0  Manifesto Komunis Karl Marx: Satu Tinjauan Ringkas


Manifesto Parti Komunis adalah sebuah karya Karl Marx dan Friedrich Engels. Ia terdiri kepada empat bahagian iaitu; 1) Bourgeois dan Proletarians (Pemodal dan Buruh), 2) Proletarians dan Communists (Buruh dan Komunis), 3) Rujukan ilmiah kumpulan sosialis dan komunis dan, 4) kedudukan kumpulan komunis dan hubungannya dengan parti pembangkang (yang telah wujud ketika itu).


Marx telah memulakan Manifestonya di bahagian pertama dengan kenyataan yang menarik perhatian pembacanya. “The history of all hitherto existing societies is the history of class struggles” (Kewujudan masyarakat adalah disebabkan sejarah perjuangan antara kelas)[i]. Menurut Marx, masyarakat berkembang adalah disebabkan satu-satunya faktor iaitu perjuangan di antara kelas yang wujud dalam masyarakat. Kelas yang dimaksudkan dalam Manifesto ialah kelas pemodal (borgeiois) dan kelas buruh (proletarian). Pecahan dua kelas ini adalah peringkat seterusnya selepas perjuangan antara kelas ketika zaman feudal.


Marx menyebut mengenai sejarah perkembangan masyarakat dan ciri-ciri kelas pemodal dan kelas buruh di bahagian pertama Manifestonya. Istilah borgeois di dalam Manifesto adalah sinonim dengan peristiwa-peristiwa revolusi.[ii] Perubahan drastik yang diakibatkan oleh revolusi telah memberi kesan kepada keseluruhan sistem produksi (penghasilan produk) dan masyarakat. Ia dinyatakan di dalam Manifesto sebagai, “The bourgeoisie cannot exist without constantly revolutionizing the instruments of production, and thereby the relations of production, and with the whole relations of society.”[iii]


Para bourgoise melakukan pelbagai cara bagi memastikan kepentingan peribadi mereka terpelihara. Untuk itu mereka menggunakan cara yang kejam dan menindas kaum pekerja ataupun kelas buruh (proletarian) tanpa mengira jantina mahupun kanak-kanak. Teras konflik antara kedua-dua kelas adalah wang upah/ gaji.  Pada kaca mata kelas bourgoise, buruh hanyalah mesin bukan sebagai manusia. Tenaga kelas buruh dikerah semahunya oleh kelas bourgeoise yang jumlah mereka sangat kecil untuk mengaut keuntungan yang banyak selepas masuk ke pasaran. Ketika itu, tenaga manusia adalah sumber utama kepada penghasilan produk.


Upah yang diberikan kepada kaum buruh pula tidak sepadan dengan kerahan tenaga oleh kelas bourgeoise. Digambarkan upah yang mereka perolehi tidak cukup untuk membeli keperluan asas seperti makanan. Disebabkan situasi yang terdesak itu, kelas buruh membentuk kesatuan kerja dan akhirnya secara beransur-ansur bergerak sebagai parti politik untuk mendesak kelas bourgeoise menaikkan upah mereka. Natijahnya, terjadilah konflik antara kedua kelas tersebut; kelas bourgeoise dan kelas buruh.


Di bahagian kedua Manifesto, Marx kemudiannya menyebut komunis dan kelas buruh sebagai mempunyai objektif yang sama iaitu kepentingan dan matlamat gerakan yang ingin mewujudkan kelas dalam masyarakat dan menghapuskan kedaulatan kelas bourgeoise (Communists and proletarians mutually in line in terms of interests and movement’s aim which were formation of the proletariat into a class, overthrowing of the bourgeois’ supremacy, conquest political power by the proletariat. Bagaimanapun, Marx membezakan komunis daripada proletarian iaitu komunis mahu menghapuskan pemilikan hak harta benda kelas pemodal. Marx kemudiannya menyimpulkan ia sebagai penghapusan pemilikan harta peribadi atau harta perseorangan.


Di bahagian kedua Manifesto ini juga, Marx mencadangkan idea komunis dan menganggapnya sebagai rasional dan keperluan universal. Komunis Marx mahu membebaskan masyarakat manusia daripada sebarang keterikatan dengan kelas, sosial, negara, jua moral dan agama. Dengan kata yang lain, ajaran komunis mendesak kesamarataan masyarakat dalam aspek ekonomi dan politik. Pada Marx, tiada seorang pun boleh melebihi seorang yang lain dan tiada sesiapa pun dibenarkan memiliki sebarang harta dengan hak perseorangan. Ini kerana, semua harta adalah hak milik masyarakat secara keseluruhannya.


Di bahagian ketiga Manifesto, Marx membincangkan karya-karya tentang sosialis dan komunis. Beliau membahagikannya kepada tiga seksyen perbincangan iaitu, a) Reactionary Socialism, b) Conservative Socialism dan c) Critical Utopian Socialism and Communism. Semua karya adalah respons kepada penindasan ke atas kelas buruh oleh kelas pemodal.  Walaupun begitu, di bawah gerakan Reactionary socialism terdapat feudal socialism terdiri daripada kelas aristokrat Perancis yang telah dimanipulasi oleh kelas buruh dan juga Petty-Bourgeois Socialism iaitu kelas pemodal yang gagal dalam persaingan perindustrian sesama mereka. Gerakan ini telah dipelopori oleh Sismond dan idea beliau tersebar ke Perancis dan England. Akhir sekali di bawah Reactionary Socialism ialah German/ True Socialism yang mempunyai persamaan dengan gerakan di Perancis, tetapi mereka menjadikan fitrah semulajadi manusia sebagai asas perjuangan sosialis.


Perbincangan karya socialism diteruskan dengan Bourgeois Socialism. Idea ini diteraju oleh kelas bourgeois sendiri. Mereka cuba mempromosikan idea mereka ke atas kelas pekerja untuk menjaga kepentingan diri kelas bourgeois. Mereka menanam dalam fikiran pekerja dengan mengatakan keuntungan mereka adalah keuntungan bersama kelas pekerja. Akhir sekali, gerakan Critical Utopian Socialism and Communism pula bermatlamat untuk meningkatkan taraf kelas pekerja ketika revolusi industri berlangsung. Antara figura yang mengupas gerakan ini adalah Saint Simon, Fourier dan Owen. Namun begitu, yang membezakan Karl Marx dengan gerakan Utopian Socialism ini adalah penekanan dan kritikan yang lebih terperinci ke atas kelas bourgeoise. Marx juga menekankan kesatuan di kalangan kelas pekerja sebagai sebuah entiti tunggal yang kuat.


Di akhir Manifesto, Marx membincangkan tentang gerakan komunis dengan golongan kiri yang lain. Di bahagian ini, beliau memberikan beberapa contoh yang menunjukkan adanya kerjasama antara komunis dan gerakan kiri lain. Di Perancis, komunis telah bergabung dengan Parti Demokrat Sosial menentang kelas pemodal radikal. Marx mengakhiri Manifestonya dengan ayat, SEMUA PEKERJA DI SELURUH NEGARA, BERSATU! (WORKING MEN OF ALL COUNTRIES, UNITE!). Beliau sangat percaya, perjuangan kelas buruh hanya boleh mencapai matlamatnya jika mereka menyusun strategi dan membentuk kesatuan yang kuat untuk menumpaskan ketuanan kelas bourgeoise. Ringkasnya, Marx menekankan kuasa penyatuan sebagai satu cara untuk menghapuskan perjuangan antara kelas dan mewujudkan masyarakat tanpa kelas atau bahagian iaitu communist.


3.0  “Sejarah Masyarakat adalah Sejarah Perjuangan Antara Kelas”: Satu Tinjauan.


Idea utama yang memulakan Manifesto Komunis adalah, “The history of all hitherto existing societies is the history of class stuggles.” Sebelum penulis membincangkan idea tersebut dengan lebih lanjut, perlu ditekankan bahawasanya, Marx melihat sejarah dari perspektif materialistik yang popularnya dikenali sebagai historical materialism. Tambahan lagi, beliau membesar ketika revolusi industri sedang rancak berkembang di Eropah. Ini mempengaruhi pandangsarwa beliau mengenai perkembangan masyarakat. Penulis dapat mengesan Marx banyak sekali menyebut istilah berkaitan industri seperti modal, upah, tenaga buruh, dan lain-lain istilah ekonomi. Dengan ayat lain, beliau mencadangkan idea bahawa situasi ekonomi pada masa yang khusus telah membentuk paten sesebuah masyarakat itu.


Marx hidup ketika kelas pemodal sangat kuat. Mereka menguasai dan mengawal sumber ekonomi dan bahan mentah. Lambakan bahan mentah mengilhamkan kelas bourgeoise untuk menghasilkan produk yang telah diproses. Untuk itu, tenaga pekerja sangat diperlukan tambahan pula permintaan kepada produk sangat tinggi. Kecanggihan teknologi tidak dapat di halang, tetapi tenaga pekerja masih jauh ketinggalan. Kelas pekerja masih lagi menggunakan cara tradisional sedangkan kerja-kerja mereka boleh di ambil oleh mesin-mesin dengan pemprosesan yang lebih cepat dan banyak.


Situasi itu telah mencipta konflik dan krisis di antara kelas bourgeoise dan kelas buruh. Segelintir kelas bourgeoise cenderung kepada keuntungan yang banyak dan mereka menindas para pekerja untuk memenuhi keperluan mereka. Tenaga para pekerja dikerah sehabisnya tetapi mendapat upah yang tidak sepadan. Akibat penindasan itu, kelas buruh ini berjuang bagi mendapatkan keadilan. Di bawah ketuanan para pemodal, masyarakat yang kaya terus mengayakan diri, manakala yang miskin terus dimiskinkan. Kelas buruh perlu disedarkan supaya membebaskan diri daripada cengkaman pemodal kapitalis. Pengakhiran kepada perjuangan kelas buruh yang mewakili majoriti masyarakat akan mencipta sebuah sistem sosial-ekonomi tanpa kelas iaitu negara komunis.


Karl Marx percaya bahawa perkembangan masyarakat sangat berkaitan dengan revolusi. Beliau memberi diskripsi bagaimana perkembangan masyarakat telah melalui beberapa fasa secara revolusi iaitu daripada masyarakat agrarian kepada masyarakat feudal dan sekarang kapitalis. Beliau juga optimis bahawa di akhir sejarah perjuangan masyarakat sebuah negara komunis akan mengakhiri sejarah itu. Di bawah negara komunis, tiada istilah harta perseorangan tetapi yang ada hanyalah hak negara secara keseluruhannya. Marx dan Engel menyebut,

“We communists have been reproached with the desire of abolishing the right of personally acquiring property as the fruit of a man’s own labor, which property is alleged to be the groundwork of all personal freedom, activity and independence.”[iv]

                                                   
4.0  Shah Waliullah Dehlawi dan Teori Irtifaqat: Suatu Tinjauan Umum


Shah Waliullah Dehlawi atau nama sebenarnya Qutb al-Din ibn ‘Abd al-Rahim (1114-1176/ 1703-1762) ialah figura terkemuka dalam dunia Islam. Beliau pakar dalam pelbagai bidang khususnya disiplin ilmu dan sains kemanusiaan seperti sosiologi dan ekonomi. Bagaimanapun beliau lebih dikenali dalam bidang sufi. Pemikirannya lebih kepada membersihkan ajaran Islam sebagai agama yang suci daripada sebarang pengaruh anasir-anasir yang merosakkan kefahaman penganutnya yang perlu disandarkan semula kepada Al-Qu’ran dan As-Sunnah. Di bahagian ini, penulis akan membincangkan pemikirannya dari aspek sosial-ekonomi iaitu teori irtifaqat.

Perkataan irtifaqat bererti tindakan kolektif secara kerjasama. Menurut Profesor Jamil Farooqi, terma irtifaq sesuai dirujuk untuk menerangkan perkembangan masyarakat secara evolusi iaitu perkembangan secara semula jadi.[v] Selain itu, dalam pembacaan lain, irtifaq jua merujuk kepada mengadaptasi jalan yang sesuai, menolong kepada pencapaian keputusan, penggunan alat-alat yang bermanfaat, teknologi yang berguna, dan etika yang bagus dalam diri seseorang individu itu.[vi]


Menurut Shah Waliullah, masyarakat berkembang melalui empat fasa iaitu a) undang-undang fitrah (al-madhab al-tabi’i), b) oganisasi keluarga, c) institusi politik dan d) peringkat tertinggi irtifaq iaitu masyarakat dalam negara bangsa bekerjasama untuk bebas daripada konflik dan permusuhan antara negara. Tinjauan untuk setiap fasa irtifaqat akan dibincangkan di bawah:-


4.1  Undang-undang Fitrah (Al-Madhab al- Tabi’i)


Fasa pertama dalam teori irtifaqat, Shah Waliullah tidak bercanggah dengan pendapat tokoh lain di mana beliau gelarkan sebagai al-ra’y al-kulliy (tujuan yang universal) iaitu manusia atau haiwan menggunakan nalurinya untuk memenuhi keperluan fizikal seperti makan, minum dan sebagainya. Beliau memberi contoh bagaimana lebah meggunakan nalurinya (dengan ilham dari Tuhan) menghisap bunga sebagai keperluan lebah sebelum mereka bekerjasama menghasilkan madu. Bezanya, manusia menggunakan inteleknya untuk memenuhi keperluan asas tersebut dengan cara yang lebih baik. Ini juga telah dikupas oleh Jamil Farooqi dengan mengatakan manusia bukan sahaja menggunakan akal inteleknya untuk memuaskan keperluan fizikalnya, tetapi juga sangat menitikberatkan keberkesanan dan kesesuaian sesuatu teknik yang digunakan.


Fasa ini juga adalah pemula kepada pembentukan masyarakat yang lebih kompleks. Pada fasa awal ini, secara fitrahnya manusia cenderung untuk memenuhi keperluan semulajadinya iaitu makanan, pakaian, tempat tinggal dan keperluan seksual. Untuk itu, manusia telah mencipta bahasa yang difahami oleh individu lain sebagai medium perantaraan. Bahasa sangat penting untuk menyampaikan mesej secara lisan ataupun bukan lisan dan difahami serta diterima secara meluas dalam masyarakat.  Perut yang lapar dipuaskan dengan makanan yang akhirnya mencetuskan idea aktiviti-aktiviti perladangan seperti penanaman, penternakan haiwan, penggalian perigi untuk keperluan air dan banyak lagi. Aktiviti ini menghasilkan makanan dan sumber minuman untuk keperluan mereka.


Oleh kerana manusia mempunyai rasa malu, mereka mencari sesuatu yang sesuai untuk dijadikan pakaian bagi menutup anggota badan. Manusia menggunakan bahasa juga untuk menyampaikan mesej pertolongan sesama individu lain. Mereka berinteraksi dan bekerjasama memenuhi keperluan asas seperti berburu, bercucuk-tanam dan sebagainya. Sebagai tambahan, ketarikan sesama jantina telah dilunaskan melalui perkahwinan sesama individu lelaki dan wanita. Dengan perkahwinan, masyarakat semakin berkembang dengan jumlah individu semakin bertambah. Secara fitrahnya juga, akan berlaku persaingan yang menyebabkan konflik dalam masyarakat. Maka, Shah Waliullah menjelaskan tentang keperluan konsep keadilan (‘adalah) dalam mengurus kehidupan masyarakat yang lebih harmoni.


Pada Shah Waliullah, keadilan ekonomi adalah keperluan asas yang paling utama dalam perlaksanaan objektif keadilan di kalangan kumpulan manusia (masyarakat). Ia juga diperlukan dalam perkembangan masyarakat yang seimbang dan sihat. Melalui kesedaran spiritual dan ketuhanan yang tinggi sahaja manusia boleh mencapai keadilan sosio-ekonomi tersebut.


Bagi mengurus masyarakat daripada sebarang konflik yang berterusan, masyarakat secara semulajadi juga telah melakukan kontrak dengan melantik seorang ketua bagi menjaga kebajikan anggota masyarakat dan mencapai kesepakatan. Menurut Shah Waliullah, individu manusia yang sempurna adalah individu yang mempunyai kualiti tertinggi dalam hati (qalb), tabiat dan akal jiwa.[vii] Ciri-ciri inilah yang diprihatinkan oleh Shah Waliullah dalam pemilihan seseorang ketua bagi memimpin masyarakat. Muhammad Al-Ghazali juga bersetuju dengan Shah Waliullah berkaitan dengan ciri-ciri ketua masyarakat iaitu individu yang mempunyai kemampuan intelek luar biasa dengan kebolehan-kebolehan kepimpinan seperti penyelesai konflik, pembuat keputusan, dan peneraju perubahan masyarakat.


4.2  Organisasi Keluarga

Menurut Shah Waliullah, terma masyarakat merujuk kepada satu fasa dalam perkembangan manusia. Tambah beliau lagi, kehidupan masyarakat lebih bermakna melalui petunjuk daripada Tuhan. Ini penting untuk difahami bahawa Shah Waliullah memandang manusia dari perspektif teosentrik (ketuhanan). 

Di fasa kedua ini, masyarakat digambarkan menuju ke kehidupan yang lebih kompleks.  Justeru, ia menuntut kepada mekanisma baru dan segera untuk melancarkan kehidupannya. Shah Waliullah kemudiannya menyebut lima ilmu kebijaksanaan yang telah diterangkan oleh Muhammad Al-Ghazali sebagai berikut:

a)     Al-hikmah al-ma’ashiyyah atau kebijaksanaan untuk hidup,
b)     Al-hikmah al- iktisabiyyah atau kebijaksanaan untuk mendapat sesuatu perkara,
c)     Al- hikmah al-manziliyyah atau kebijaksanaan isi rumah,
d)     Al-hikmah al-ta’muliyyah atau kebijaksanaan urusniaga dan
e)     Al-hikmah al- ta’wuniyyah atau kebijaksanaan kerjasama.[viii]

Malangnya, dalam artikel ini penulis tidak akan membincangkan kelima-lima kebijaksanaan di   atas.

4.3  Institusi Politik

Fasa ketiga adalah permulaan kepada penubuhan organisasi politik. Pada fasa pertama dan kedua, masyarakat melalui kehidupan yang mudah kepada lebih kompleks. Unit-unit keluarga semakin bertambah besar tetapi mereka mendapati masih belum lagi sempurna dan tersusun. Mereka secara fitrahnya memerlukan pemimpin untuk mengatur kehidupan mereka yang lebih rumit.


Menurut Shah Waliullah, pemimpin yang mendapat mandat dan kontrak kepimpinan adalah individu yang mempunyai ciri-ciri yang ulung di kalangan anggota masyarakatnya iaitu manusia yang dikurnia kebolehan intelek luar biasa (wise man) yang boleh membawa masyarakatnya mencapai kesepakatan, dan individu yang mempunyai kebolehan dan ilmu untuk mencapai kesempurnaan dalam pengurusan kehidupan seharian. Keperluan mendesak kepada kepimpinan telah membawa masyarakat menuju kepada fasa ketiga dalam irtifaq masyarakat iaitu penubuhan institusi politik.

Shah Waliullah sangat mementingkan kriteria seorang pemimpin masyarakat sebagai seorang yang mempunyai sifat sunan salihah (alim). Ini penting kerana perwatakan dan perawakan pemimpin akan menjadi contoh kepada anggota masyarakat seterusnya mengubah paten perilaku dan moral rakyatnya.


Shah Waliullah menjelaskan keperluan kepada institusi politik ini sebagai sebuah ikatan sosial di antara pelbagai kumpulan masyarakat seperti pekebun, pedagang, tukang kayu dan sebagainya. Ketika ini, masyarakat melaksanakan pelbagai transaksi antara satu sama lain, dan wujudnya pengkhususan kerja lalu berlakunya keperluan bagi mendapat pertolongan anggota masyarakat lain. Hasilnya, pelbagai pertukaran barang dan kerjasama (muamalah) wujud. Di dalam kepelbagaian kumpulan dalam masyarakat ini dengan keterikatan antara satu sama lain, maka terbentuklah sebuah negara. [ix]


Tambahan lagi, kewujudan negara yang diketuai oleh pemimpin berhikmah dapat menangani sifat-sifat negatif dalam diri seseorang individu dan masyarakat seperti tamak haloba, cemburu, dan penafian hak orang lain serta lain-lain. Pemimpin ini juga akan menyelesaikan konflik sosial, menguruskan kehidupan masyarakat dengan lebih efisien berdasarkan konsep keadilan dan kesaksamaan. Bagi menjalankan objektif kenegaraan tersebut, maka cukai dikutip di kalangan masyarakat yang mempunyai kelebihan harta.


4.4  Pengantarabangsaan Masyarakat dari sistem negara kepada sistem Khalifah.

Pada fasa akhir dalam irtifaq yang dicadangkan oleh Shah Waliullah ialah mercu kepada perkembangan sesebuah masyarakat iaitu penubuhan Khilafah- sistem politik yang paling tinggi (supreme authority). Fasa ini menurut Shah Waliullah adalah respons kepada konfik atas ketidakadilan yang berlaku di kalangan negara-negara yang bersaing sesama sendiri.

Fasa ini merujuk kepada pengantarabangsaan kerjasama antara negara yang bermatlmatkan keamanan dan keharmonian yang lebih universal di antara mereka. Shah Waliullah berpendapat penubuhan negara sebagai institusi politik masih belum sempurna kerana negara-negara cenderung untuk bersaing dan menyebabkan perbalahan dalam masyarakat dalam konteks yang lebih besar. Justeru, kepimpinan yang lebih tinggi dan kuat perlu untuk mengawal konfik antara negara-negara.

Shah Waliullah menyatakan kriteria seorang khilafah adalah seorang pemimpin yang memperoleh prestij, popular dan dihormati di kalangan negara-negara dan masyarakat sehingga tiada seorang pun boleh mencabar kedudukan juga kredibiliti (kewibawaan) sang khalifah. [x]



5.0  Perkembangan Sosial Antara Karl Marx dan Shah Waliullah Dehlawi: Suatu Perbandingan Ringkas


Selepas kupasan secara berasingan antara teori Karl Marx dan Shah Waliullah Dehlawi tentang perkembangan sosial, penulis menemui beberapa persamaan dan perbezaan yang perlu diterangkan berdasarkan tema utama kertas kerja- iaitu- falsafah perkembangan sosial.

Sebagai seorang atheist, Karl Marx melihat masyarakat dari perspektif material. Marx berhujah faktor materialistik adalah sebab utama kepada pembentukan dan perkembangan sesebuah masyarakat. Ini telah dijelaskan pada bahagian awal kertas kerja bagaimana perkembangan masyarakat adalah atas desakan material. Disebabkan itu, berlakulah konflik di antara kelas. Menurut Marx, masyarakat melalui empat fasa perkembangannya. Eleman fundamental dan fasa pertama adalah desakan penghasilan produk. Lambakan sumber seperti bahan mentah, modal dan sebahagian teknik adalah sumber pembuatan itu sendiri.


Seterusnya ialah fasa pengurusan produk dan segala hubungan dengannya iaitu dikotomi; pemilik dan pekerja. Dikotomi inilah yang membawa kepada kelas dalam struktur masyarakat yang Karl Marx panggilnya sebagai bourgeoise dan buruh.  Fasa terakhir pembinaan masyarakat ini memindahkan daripada dikotomi kelas kepada superstructure- merujuk kepada sesuatu yang boleh mempengaruhi masyarakat seperti polisi, undang-undang, ideologi, moral dan lain-lain. Walaupun begitu, Marx berhujah bahawa superstructure tersebut hanya digunakan oleh kelas bourgeoise untuk mengawal harta dan kekayaan mereka. Dengan menggunakan semua itu, masyarakat tiada pilihan tetapi menerimanya dalam keterpaksaan.


Seperti juga Karl Marx, Shah Waliullah menjelaskan perkembangan sosial melalui empat fasa yang dikenali sebagai teori irtifaqat. Walaupun begitu, Shah Waliullah memandang masyarakat dari perspektif ketuhanan bukan sebagai material. Seperti dibincangkan pada bahagian awal, pembinaan masyarakat adalah keperluan fitrah seseorang manusia. Manusia pada umumnya tidak boleh hidup bersendirian tetapi mempunyai atribut (sikap) kebergantungan kepada individu lain untuk memastikan kelestarian kehidupan. Penciptaan Adam dan pasangannya Hawa jelas menunjukkan kepada keperluan hidup secara berpasangan dan bermasyarakat. Teori irtifaqat mencadangkan perkembangan sosial adalah secara fitrah dan evolusi berbanding Karl Marx yang mengatakan masyarakat berkembang melalui cara revolusi.
Sudah tentu, Karl Marx menolak sebarang unsur ketuhanan dan keagamaan. Beliau begitu bersungguh ingin membebaskan individu dan masyarakat dari sebarang ikatan sosial apatah lagi moral serta agama. Beliau menekankan aspek kesamaan dan masyarakat tanpa kelas. Jika dalam Islam perkahwinan dianggap sebagai perkara penting dalam perkembangan masyarakat kepada yang lebih kompleks, tetapi bagi Marx, perkahwinan hanyalah suatu pelacuran yang mendapat mandate undang-undang (legalized prostitution). Beliau mahu wanita dibebaskan daripada sebarang ikatan perkahwinan. Beliau berhujah, pada perspektif bourgeoise, isteri hanyalah instrumen/alat produksi yang terbuka kepada pelbagai bentuk penindasan dan penganiyaan.


Shah Waliullah juga menjelaskan bagaimana pengurusan harta perlu dilakukan demi menjamin keadilan dalam masyarakat. Beliau menekankan baitulmal sebagai institusi yang membela kaum Muslim yang miskin. Beliau menegaskan tentang aspek keadilan ekonomi tanpa menghalang kepada pemilikan harta perseorangan. Padanya, sumber yang Allah kurniakan adalah cukup untuk semua orang, tetapi pembahagian sumber itu yang selalu menyumbang kepada ketidakcukupan sehingga berlaku penindasan.


Justeru, istilah sadaqah tidak asing dalam Islam bagi menyeimbangkan masyarakat supaya tiada individu muslim yang miskin.  Kesedaran kepada tanggungjawab itulah kod moral tertinggi yang Shah Waliullah tekankan dalam falsafah irtifaqatnya. Walaupun begitu, perbincangan tentang zakat diasingkan oleh Shah Waliullah tanpa sebab yang jelas. Bagi Komunis Marx pula, beliau menolak kepada pemilikan harta persendirian. Setiap upah yang diterima oleh setiap orang adalah milik masyarakat dan negara sepenuhnya.


Dalam Manifesto Komunis, Marx menegaskan fasa perkembangan masyarakat memerlukan memerlukan perubahan dengan cara radikal iaitu revolusi untuk menghentikan ketuanan kelas bourgeiose. Kelas buruh memainkan peranan penting untuk menjayakan revolusi itu. Penghapusan ketuanan bourgeoise sebagai kelas dalam masyarakat akan terbentuklah negara komunis seperti yang diangan-angankan oleh Karl Marx. Negara Komunis ini adalah peringkat terakhir dan tertinggi dalam sejarah perkembangan masyarakat.


Bagi Shah Waliullah pula, perkembangan masyarakat memerlukan kerjasama yang harmoni di kalangan anggotanya. Perkataan irtifaqat sendiri adalah refleksi konsep kerjasama tersebut. Individu manusia dilihat sebagai salah satu dalam kitaran organism bagi melestarikan kehidupan. Setakat pembacaan kepada ulasan-ulasan idea beliau, tiada seorang pun yang menyebut tentang revolusi dalam perkembangan masyarakat melainkan ia adalah evolusi-iaitu satu perubahan semulajadi secara linear. Ini menunjukkan anggota masyarakat saling berhubung dan berkerjasama bagi mencapai matlamat yang sama iaitu keadilan sosial. Untuk itu, peranan negara dan khilafah sebagai puncak perkembangan masyarakat sangat penting untuk menguruskan konflik yang wujud dengan cara yang berhikmah.


Sebagai kesimpulan, kedua-dua figura ulung ini berbeza pendekatan dalam menanggapi perkembangan sosial. Namunpun begitu, kedua-dua Marx dan Shah Waliullah mementingkan ekonomi kemasyarakatan/ sosio-ekonomi sebagai teras kepada kehidupan masyarakat yang harmoni. Sebagai tambahan, Shah Waliullah dalam teori irtifaqatnya menegaskan kepuasan keperluan ekonomi sesebuah masyarakat adalah sebagai alat untuk seseorang individu mencapai kejayaan (al-falah) di dunia dan terpenting sekali untuk akhirat.



Rujukan




[i] Marx, Karl & Engels, Friededrich, (2005). The Project Guternberg EBook of The Communist Manifesto, m/s. 2
[ii] Ibid. m/s 3
[iii] Ibid. m/s 4
[iv] Ibid. m/s 11
[v] Jamil Farooqi (2003). Socio-Political Thought of Shah Wali Allah. Kertas kerja ini telah dibentangkan di Seminar Satu Hari Shah Wali Allah Al-Dihlawi (1703-1762) pada 25 Februari 2003, m/s 15.
[vi] Abdul Aziz aislahi (1989). Stages of Socio-Economic Development: Shah Wali Allah’s Concept of Al-Irtifaqat. India. Dimuatnaik di http://mpra.ub.uni-muechen.de/29628/
[vii] Muhammad Al-Ghazali (2000). The Socio-Political Thought of Shah Wali Allah (Versi PDF). Islamabad. Dimuatnaik di www. Islamibayanaat.com, m/s 47.
[viii] Ibid m/s 53-54.
[ix] Muhammad Al-Ghazali (2004). The Socio-Political Thought of Shah Wali Allah. New Delhi, Adam Publishers Distributors.
[x] Op.cit, m/s 74-75.

0 comments:

Post a Comment