“Aduhh! pening kepala mama tengok adik
kakak ni asyik bergaduh je. Sekejap berbaik,
tidak sampai setengah jam dengar lagi jeritan dan tangisan” keluh
seorang ibu.
Ihsan imej: http://www.wajibbaca.com |
Saya yakin, semua ibu diluar sana
pernah mengalami situasi sebegini.
Tahukah ibu-ibu sekalian?
Tingkah laku seperti menangis,
merajuk, marah, sedih dan juga gembira pada dasarnya adalah baik kerana mereka
mula menunjukkan respons terhadap emosi.
Walaubagaimanapun, dalam keadaan yang
keterlaluan tindakan menangis hingga membawa kepada pergaduhan dan sedih yang
berpanjangan boleh membawa kepada kegagalan pengawalan emosi. Sekiranya
berlebihan ianya boleh membawa kepada tekanan terhadap perkembangan emosi
kanak-kanak.
Justeru, terdapat empat tip bagi
mengurangkan perebutan mainan antara anak-anak :
1.
Beri
perhatian :
Perhatian yang bagaimana?
Hakikat dunia hari ini, separuh atau lebih lagi masa anak- anak banyak
dihabiskan ketika di sekolah dan bersama pengasuh. Oleh itu, ibubapa harus
bijak mencari masa dan menggunakan masa berkualiti dengan membuat aktiviti
bersama anak-anak. Perhatian dan ucapan-ucapan penghargaan terhadap perlakuan anak yang menyenangkan akan
membangkitkan ‘mood’ anak supaya mereka merasa tenang dan baik.
Contoh ayat, “macam nilah anak mama, pandai kakak main
dengan adik. Kongsi barang sama-sama ya”.
2.
Wujudkan
situasi main bersama-sama dengan harmoni dan kasih sayang :
Ibubapa harus bijak
mengawal suasana. Cari peluang dan wujudkan situasi persekitaran yang positif.
Banyakan luahan emosi melalui sentuhan dan pelukan, Sentuhan emosi si anak boleh
juga dibuat.
Misalnya, “pandailah adik kongsi mainan dengan kakak. Macam
nilah anak solehah mama. Mama sayanglah adik kakak”.
3.
Bertindak
adil dan tegas :
Ibubapa harus bersikap adil
dalam setiap perkara. Adil bermaksud tidak hanya berpihak pada anak tertentu
sahaja sebaliknya bertindak untuk lebih telus dan tidak bersikap pilih kasih.
Contoh situasi, si anak
sedang berebut mainan dan menangis, ibu bapa tidak perlu memihak kepada
mana-mana anak atau meminta salah seorang untuk mengalah. Sebaliknya dalam
keadaan anak sukar dikawal, cukup berikan amaran seperti mengatakan, “kalau nak berebut atau bergaduh lagi, mama ambil mainan itu”. Jika tiada
perubahan; si anak masih berebut, ibu bapa boleh bertindak mengambil dan
simpan. Biarkan mereka menangis hingga anak tenang, kemudian terangkan kepada
anak akibat tingkah laku berebut dan bergaduh tidak baik dan hanya merugikan
diri sendiri.
4.
Terangkan
akibat dan rasional :
Ibubapa harus bijak dalam
mengawal emosi anak dan bukannya anak yang berjaya mengarah ibu bapa. Tegas
terhadap perkara-perkara yang perlu dan bukannya dalam semua perkara. Dalam kes
anak suka berebut, ibu bapa perlu bertindak tegas untuk meleraikan situasi
tersebut seperti terus mengambil mainan dalam tip 3.
Pada masa yang sama,
sekiranya ibu yang bertindak mengambil mainan, si ayah pula boleh mengambil
peranan membawa anak kepada situasi tenang melalui pujukan. Segera pujuk, ajak
anak duduk bersama, bertanya kenapa bertingkah laku begitu. Terangkan juga sebab
dan akibat perbuatannya. Si ayah perlu bertindak rasional dan berusaha untuk
mewujudkan situasi yang harmoni.
Disinilah kerjasama ibubapa
sangat penting dalam membantu perkembangan emosi anak yang lebih positif dan
terkawal. Jangan biarkan anak menangis terlalu lama. Perlu wujudkan ketegasan
dan perlu ada pihak yang menenangkan suasana.
Akhirnya, semoga tip ini dapat
membantu ibubapa yang berhadapan dengan karenah anak yang kerap bergaduh kerana
berebutkan mainan. Ibubapa perlu lebih banyak bersabar dan berusaha untuk
mengawal kemarahan anak dan bukannya terus bertindak memarahi anak secara
terus-menerus. Kawal emosi ibubapa dahulu dan anak-anak akan menerima aura
positif daripada ibu bapa secara tidak langsung.
Selamat mencuba.
Disediakan oleh:
Hidayah
Binti Tokiman,
Dekan,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson, NSDK.