Pages

Wednesday 27 February 2013

PROGRAM KERJASAMA FTK & JAB.PENGAJIAN UMUM, FPPM KOLEJ UNITI PORT DICKSON



Kolej UNITI, Port Dickson, 27 Feb, 2013- Alhamdulillah, hari ini adalah hari pertama aktiviti ini dijalankan. Ia merupakan sebuah program kerohanian yang bertujuan untuk melahirkan para pelajar yang berketrampilan intelek dan sahsiah diri.

Kerjasama pintar ini telah diinisiatifkan oleh FTK bersama Jabatan Pengajian Umum (JPU), dari FPPM Kolej UNITI Port Dickson. Ini kerana JPU merupakan jabatan yang merentas turut terlibat dalam urusan pengajaran dan pembelajaran pelajar di bawah FTK ini.

Seawal jam 12:30 tengahari, para pelajar telah bergerak menuju ke Surau Kolej UNITI Port Dickson, Pasir Panjang. Program dimulakan dengan ucapan aluan daripada En. Roslan bin Kamari- Dekan FTK. Antara intipati ucapan beliau selama 10 minit itu ialah penekanan objektif program Chicken Soup for The Soul khususnya kepada pelajar. " Kita mahu jadikan para pelajar sekalian pelajar yang mempunyai agenda, bukan hanya tahu atau terikat dengan pergi ke kelas, makan, dan tidur semata-mata. Kita mahukan pelajar yang ada wawasan iaitu hingga alam akhirat, " tegas Dekan FTK dalam ucapannya tadi.

Kemudian, program disusuli dengan pengisian rohani oleh pensyarah Kolej UNITI Port Dickson untuk Program Diploma Pendidikan Islam iaitu Ustaz Zainal Ariffin. Beliau cukup dikenali di Kolej ini memandangkan beliau antara 'orang lama' yang 'orang muda' dahagakan nasihat dan tazkirah.

Ustaz Zainal telah menekankan hubungan manusia dengan Tuhan sekalian alam, Allah 'Azza Wa Jalla. Beliau mengingatkan para pelajar supaya menjaga hubungan dengan Tuhan untuk kebahagiaan hari akhirat kerana itulah matlamat sebagai muslim/ ah sejati. Bagaimana? Sudah tentu dengan mematuhi segala yang dituntut dalam agama Islam dan menjauhi segala yang dilarang agama.

Beliau juga menambah, ' diri kita bukan milik kita, tetapi Allah, ' maka jagalah sebaik-baiknya diri ini kerana ia merupakan hak Allah Ta'ala, 'sudahi Ustaz Zainal dalam tazkirah ringkas sementara menunggu waktu zuhur.

Alhamdulillah, program hari ini diakhiri dengan solat berjemaah bersama pensyarah dan pelajar. Diharapkan usaha ini diberkati oleh Allah sebagai usaha mendidik pelajar yang merupakan anugerah yang sangat bernilai kepada kami.

Kejayaan program kerjasama ini diharapkan akan diadaptasi kepada Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Kolej UNITI Port Dickson memandangkan jumlah pelajarnya yang cukup meriah. InsyaAllah.


Laporan oleh:

Cik Faridah Mohd Tap
Ketua Jabatan Pengajian Umum,
FPPM Kolej UNITI, Port Dickson







0 comments:

Post a Comment