Bulan Februari begitu sinonim sebagai
bulan sambutan kasih-sayang antara pasangan kekasih. Tanggal 14 Februari setiap
tahun telah diangkat sebagai tarikh manifestasi kasih-sayang itu.
Namunpun begitu, bagi umat Islam Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa Malaysia Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali
ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 telah membincangkan hukum
umat Islam menyambut Hari Valentine sebagai haram.
Walaupun pengharaman sambutan Hari
Valentine telah diuar-uarkan, umat Islam khususnya muda-mudi tidak segan
melanggarnya atas nama membuktikan cinta. Atas alasan itulah, Jabatan Agama dan
gerakan-gerakan Islam juga selalu merancang ‘ops maksiat’ setiap kali menjelang
14 Februari dengan bantuan sukarelawan sosial Islam. Hasil serbuan juga menyaksikan
jumlah tangkapan yang dibuat kerana percubaan zina di kalangan anak muda Melayu
Islam selalu tinggi.
Apa
punca anak muda Melayu Islam jadi begini walaupun pendidikan Islam diajarkan
lebih 10 tahun semenjak di bangku sekolah rendah?
Menurut Ahmad Mohamad Said dalam
bukunya Lintasan Sejarah Bangsa: Jati Diri dan Psikik Melayu (2009), terdapat
kolerasi ataupun kaitan antara kelemahan dan kegagalan pelajar dalam subjek
Pendidikan Islam dengan permasalahan sosial yang membelenggu golongan muda hari
ini.
Menurut beliau lagi, jati diri bangsa
Melayu yang Islamik telah terhakis dengan teruknya atas pelbagai faktor seperti
sistem feudal Melayu dan penjajahan telah melahirkan psikik golongan Melayu
yang lemah dan rapuh. Keadaan semakin meruncing dengan pengaruh persekitaran
yang negatif iaitu ‘anti-agama’ dan ‘anti-ketuhanan’ dasawarsa ini menyebabkan
keadaan golongan Melayu semakin bertambah teruk.
Pemerkasaan Watak Bangsa
Melayu Islamik.
Ironisnya, sindrom ‘islamphobia’ membelenggu kebanyakkan anak
Melayu yang seakan ketakutan dilabel sebagai islamik apatah lagi dipanggil
ustaz/ah khususnya golongan muda. Keadaan akan menjadi lebih kritikal apabila
bermula 2013 yang lalu, subjek Pendidikan Islam dan Moral untuk pelajar IPTS
tidak lagi dijadikan sebagai subjek wajib KPT-MQA.
Implikasinya, pelajar yang terdiri
daripada anak muda akan semakin menjauh daripada agama dan moral. Ini menjadi suatu
cabaran yang besar dalam usaha pemerkasaan pembentukan watak bangsa Melayu yang
Islamik melalui institusi pendidikan formal.
Ramai juga yang tersalah anggar bahawa
dengan suburnya fenomena berhijab di Malaysia ini bermakna subur jugalah
kefahaman Islam yang benar. Tetapi sebenarnya jika diteliti fenomena hijab
lebih didorong atas nama fesyen bukan lahir atas kefahaman agama Islam dan
tasawwurnya yang tuntas.
Ini boleh dijelaskan dengan insiden
K-Pop dan gadis bertudung baru-baru ini yang menjadi viral di laman sosial dan pelbagai lagi video dan foto yang tidak
cocok seterusnya mencemarkan imej perempuan
bertudung.
Maka usaha untuk membina watak bangsa
Melayu yang Islamik perlu diperkasakan dalam semua aspek sosio-politik dan
ekonomi samaada secara formal mahupun tidak formal. Ia juga perlu dilakukan dengan
istiqomah dan berterusan bukan hanya ‘hangat-hangat tahi ayam’. Harapannya, apa
jua fenomena yang tidak selari dengan syariat Islam boleh ditepis bukan diserap
oleh golongan anak muda Melayu termasuklah sambutan Hari Valentine.
‘Sejahterakan
Malaysia dengan dakwah’.
FARIDAH
MOHD TAP
Pensyarah Jabatan
Pengajian Umum,
Fakulti Pendidikan dan
Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI, Port Dickson,
Negeri Sembilan.
0 comments:
Post a Comment