Pages

Monday 22 October 2018

KENAPA 5 TAHUN PERTAMA ADALAH PENTING DALAM PERKEMBANGAN OTAK SI CILIK? - Cik Nur Akmar Binti Mohd Arif

Setiap anak mempunyai hak untuk mendapatkan pendidikan dan asuhan terbaik yang perlu diberikan terutama pada usia lima tahun pertama. Ia merupakan umur yang paling kritikal dalam perkembangan kanak-kanak yang akan memberikan kesan sehingga dewasa. Jadi, anak-anak perlu didedahkan dalam persekitaran pembelajaran yang baik untuk ditiru dan diterokai baik di rumah mahupun di taska/tadika. 

Kajian-kajian dalam bidang neurosains (brains research) mendapati otak kanak-kanak berkembang dengan cara tertentu daripada pengalaman dan  rangsangan yang diterima melalui deria-derianya. Contohnya, bayi baru lahir belajar mengenali ibu bapa, pendidik atau pengasuhnya secara menghidu, melihat, mendengar, mengecam suara dan merasa kelembutan sentuhan mereka. 


Pengalaman melalui lima deria ini disimpan dalam bentuk hubungan sinaps dalam otaknya. Ini menunjukkan bahawa pengalaman awal kanak-kanak mempunyai impak yang besar kepada senibina otak kanak-kanak sehingga mereka dewasa kelak.


Kanak-kanak adalah insan yang fitrahnya sentiasa ingin bermain, meneroka dan belajar. Semenjak di dalam kandungan lagi, insan ini telah mulai belajar melalui  perasaan ibunya dan boleh merasai kesan-kesan daripada setiap  tindakan ibunya.  


Selepas dilahirkan, kanak-kanak ini akan belajar dengan lebih cepat daripada orang lain seperti pendidik di taska/tadika serta dunia persekitarannya.  Pembelajaran atau pengalaman awal ini akan membentuk sahsiah dan  personalitinya kelak. 


Oleh itu, menjadi tanggungjawab ibu  bapa serta pendidik taska/tadika untuk menyediakan persekitaran dan pengalaman pembelajaran  dengan  penuh  kasih sayang baik di rumah mahupun di taska/tadika.
  
Penyelidikan telah membuktikan bahawa pembelajaran awal membantu kejayaan kanak-kanak di sekolah dan kehidupan masa hadapan mereka. Pembelajaran awal adalah penting dalam membantu anak-anak ini mencapai perkembangan yang menyeluruh dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial. 


Hakikatnya, proses pembelajaran peringkat awal mampu memberi kesan positif kepada tumbesaran kanak-kanak kerana pada usia ini. Otak mereka diibaratkan seperti span yang mampu menyerap apa sahaja dengan cepat daripada persekitarannya...Hati-hati semua pendidik…kerana anda semua diperhati dan didengari! ‘Children see, children do!’


Kajian perkembangan kanak-kanak menunjukkan bahawa 90 peratus daripada perkembangan otak secara optimum berlaku sebelum kanak-kanak mencapai umur lima tahun kerana sejak kelahiran hingga berumur dua tahun, kanak-kanak itu mengalami perkembangan kognitif yang pesat. Oleh itu, cara terbaik untuk membentuk hubungan otak kanak-kanak kecil adalah dengan memberikan persekitaran yang selamat dan menarik untuk diterokai baik di rumah mahupun di taska/tadika serta dikelilingi oleh orang yang boleh memberikan respons kepada keperluan emosi dan intelek mereka. 


Ingat…anak-anak perlu dilayani dengan penuh kesabaran, bukan kekerasan! 


Menurut Bredekamp & Copple (1997), dalam tiga (3) tahun pertama, kanak-kanak belajar atau gagal belajar cara untuk bergaul, cara melerai konflik, cara berinteraksi, cara memujuk dan cara meneroka dunia persekitarannya. 


Jadi, pendidik di tadika/ taska serta ibu bapa perlu membimbing anak-anak untuk berinteraksi secara sihat bersama rakan sebaya serta memberi galakan dan pujian bagi setiap tindakan positif mereka! 


Ingat…kanak-kanak perlu diberikan pengalaman pembelajaran dan rangsangan positif yang banyak dan kerap sejak lahir supaya hubungan sinaps yang terbentuk dalam otak menjadi kekal.


Kajian otak telah menyatakan bahawa kanak-kanak kecil memerlukan kasih sayang, pendorong dalam kehidupan mereka yang akan menyanyikan lagu untuk mereka, memeluk mereka, berbual dengan mereka, membacakan buku untuk mereka dan berada di samping mereka.


Kesannya, kanak-kanak yang membesar dengan persekitaran yang kaya dengan bahasa biasanya akan fasih berbahasa pada usia tiga (3) tahun.  Seiring dengan pandangan Harlow & Zimmerman (1959), kanak- kanak memerlukan sentuhan dan perdampingan orang dewasa. Ini menunjukkan betapa pentingnya keprihatinan dan kasih sayang daripada ibu bapa serta pendidik  untuk kelangsungan tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak baik di rumah mahupun di taska/tadika.


Menurut pakar psikologi, personaliti kanak-kanak sudah terbentuk  sebelum usia mereka mencapai lima (5) tahun. Pengalaman awal dan persekitaran di mana kanak-kanak dibesarkan baik di rumah mahupun pembelajaran di taska/tadika adalah faktor utama yang mencorakkan personaliti mereka yang boleh berkekalan sehingga  dewasa. 


Oleh itu, jika ibu bapa inginkan anak-anak mereka mempunyai personaliti yang baik dan positif dalam perhubungan dan pengurusan diri, bijak berkomunikasi serta pandai menyesuaikan diri dalam apa sahaja keadaan, maka berikanlah mereka pendidikan dan pengalaman awal yang berkualiti. 


Kesimpulannya, pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti pada hari ini adalah penting untuk pembangunan potensi insan yang seimbang dan optimum merangkumi semua aspek jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial dalam persekitaran yang selamat, sihat dan menyeronokkan. 


Hakikatnya, peringkat kanak-kanak merupakan peringkat utama yang paling kritikal dan pesat perkembangan mereka berbanding dengan peringkat-peringkat atau tahap umur yang lebih dewasa dalam kehidupan seseorang.Setiap kanak-kanak mempunyai potensi yang perlu dibangunkan dan dikembangkan kerana mereka adalah modal insan dan generasi masa hadapan negara.



“Jika kamu menyentuh saya dengan lembut dan halus,
Jika kamu melihat ke arah saya dan tersenyum,
Jika kamu berbual dengan saya dan mendengar,
Saya akan terus membesar dan membesar!”

-Jackie Silberg-


Disediakan Oleh:

Cik Nur Akmar Binti Mohd Arif
Pensyarah,
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia,
Kolej Uniti Port Dickson.



0 comments:

Post a Comment