Pages

Thursday, 23 October 2014

MAAL HIJRAH 1436: IBRAH HIJRAH RASULULLAH S.A.W

(Sumber foto: Imej Google)


“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manfaat ummat manusia. Kamu menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran serta kamu beriman dengan Allah (dengan sebenar-benar iman).”

Begitulah firman Allah Ta’ala dalam surah Al-‘Imran: ayat 110 yang seharusnya menjadi motivasi untuk kita sedar  diri tentang peranan umat Islam yang sangat besar kepada kesejahteraan alam manusia. 

Dalam segala kekusutan dan kekalutan yang membelenggu umat Islam di zaman fitnah hari ini, sebuah penghijrahan besar-besaran perlu dilaksanakan segera bagi membina semula maruah umat menjadi umat Islam yang terbaik sepertimana dinyatakan di dalam Al-Qur’an dalam diri sendiri.  

Bersempena dengan kedatangan bulan Muharram dan permulaan tahun baru dalam kalendar umat Islam;  kita perlu menghayati  semangat hijrah yang merupakan peristiwa hijrah Rasulullah S.A.W dari kota Mekah ke Madinah (walaupun hijrah Rasulullah BUKAN pada bulan Muharram).

Rasulullah S.A.W melaksanakan hijrah bersama Abu Bakar As-Siddiq setelah mendapat keizinan daripada Allah Ta’ala melalui wahyuNya. Baginda Rasulullah S.A.W telah menyusun strategi sebelum  penghijrahan lagi. Baginda cukup berahsia dengan segala urusan hijrah supaya pihak musuh tidak dapat mengetahui seterusnya menggagalkan hijrah tersebut.

Saidina Abu Bakar telah meminta bantuan anak-anak Abdullah, Asma’ dan khadamnya, Amir Fuhayrah untuk mengintip dan mengambil berita tentang kafir Quraisy mengenai rancangan membunuh baginda Rasulullah, menyiap dan menghantar makanan dan minuman serta menghapuskan kesan-kesan perjalanan mereka.

Pelbagai cabaran juga terpaksa dihadapi sepanjang perjalanan hijrah tersebut. Tetapi dengan segala persediaan dan pertolongan Allah, hijrah Rasulullah dan sahabat setianya Saidina Abu Bakar berjaya dan membuka lembaran baru sejarah umat Islam di dunia ini.

Banyak pengajaran yang umat Islam hari ini perlu ambil dan hayati. Antaranya, umat Islam perlu mempersiapkan diri dengan segala kemampuan untuk menjayakan hijrah.  “ Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan.” (Surah Al-Anfal: 60).

Umat Islam perlu mempersiapkan diri dengan ilmu dan iman yang teguh dan meletakkannya di tempat yang tinggi kerana dengan ilmu dan iman jualah umat Islam berjaya membina sebuah tamadun  dan empayar yang disegani dan dicemburui.

Selain itu, antara inti pati penting yang boleh kita ambil dari peristiwa hijrah tersebut adalah tawakal yang tinggi. Ini diperkukuh dengan firman Allah S.W.T dalam Al-Qur’an yang bermaksud, “ketika mana Rasulullah S.A.W berkata kepada  sahabatnya, ketika mereka berdua di dalam gua, jangan kamu risau, sesungguhnya Allah ada bersama kita.”

Setelah segala perancangan dilakukan, serahkan segala urusan kepada Allah Ta’ala dengan sepenuh pengharapan dan keredhoan. Usah sesekali terlintas di hati bahawa segala keberjayaan yang dikecapi adalah usaha sendiri sehingga meminggirkan kewujudan Allah Ta’ala dalam usaha tersebut.

Peranan teman yang soleh juga menjadi penentu kejayaan hijrah. Ingatlah sabda Rasulullah akan hal ini yang mafhumnya, “syaitan bersama seorang dan dia lebih jauh dari yang berdua.” Kita boleh saksikan bagaimana Saidina Abu Bakar dan Saidina ‘Ali bin Abi Talib memainkan peranan yang cukup mengharukan dalam peristiwa hijrah Rasulullah S.A.W. Tidak dikesampingkan peranan Abdullah bin Abu Bakar, Asma binti Abu Bakar dan Amir Fuhayrah dalam misi agung tersebut.  

Seterusnya, contohilah juga keperibadian Rasulullah S.A.W yang tidak pernah sekelumit pun memikirkan jalan untuk melepaskan diri dari golongan musyrikin malah baginda menganggapnya sebagai hadiah, pemberian, nikmat, ganjaran dan pahala yang tidak terkira.

Maka, ibrahnya kita juga harus memikirkan strategi dalam mendepani kepelbagaian masyarakat  hari ini. Usah kita mencipta bibit-bibit kebencian tetapi menjalinkan silaturrahim sesama manusia khususnya umat Islam seperti mana berpadunya cinta agung dalam sejarah manusia iaitu persaudaraan antara kaum Ansar dan Muhajirin.

Akhirnya, penghayatan peristiwa Hijrah ini perlu diperluaskan selain dianggap sebagai sebuah sambutan saban tahun. Tanpa idea hijrah, nur agama Islam mungkin tidak seterang umpama cahaya matahari yang menjadikan bumi ini siang dan umpama bulan purnama yang menerangi malam yang gelap gelita.

Salam Maal Hijrah 1436 kepada semua umat Islam di seluruh Malaysia juga dunia.




Puan Faridah Mohd Tap

Pensyarah di Jabatan Pengajian Umum, 
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia (FPPM)
Kolej UNITI, Port Dickson.


0 comments:

Post a Comment