Pages

Friday 27 October 2017

PANDUAN PEMILIHAN PERMAINAN UNTUK KANAK-KANAK- Syazwani bt. Abd Jalani

Bermain ialah kerja kanak-kanak. Pendekatan ‘Belajar Melalui Bermain’ merupakan kaedah yang paling berkesan untuk menggalakkan pembelajaran kanak-kanak. ‘Bermain’ boleh didefinisikan sebagai cara kanak-kanak belajar tanpa diajari oleh orang dewasa melalui pengembaraan dan pengalaman yang melibatkan komponen fizikal, kognitif dan sosial secara spontan (Nurulhuda Mohammad 2017).


Dalam Kurikulum PERMATA, bermain merupakan fitrah kanak-kanak yang melibatkan pengalaman langsung mengendali dan memanipulasi alat mainan dan bahan dalam persekitaran. Melalui bermain, kanak-kanak dapat meluahkan perasaan, berinteraksi dan bersosial, melibatkan diri secara langsung dalam aktiviti, belajar menyelesaikan masalah, membina sahsiah diri yang positif dan keyakinan diri serta keinginan untuk meneroka bagi memenuhi perasaan ingin tahu (Kurikulum PERMATA 2013).


Pada masa kini dapat dilihat di pasaran wujud pelbagai permainan yang dihasilkan untuk kanak-kanak. Sebagai ibu bapa, pendidik atau pengasuh di tadika dan di taska perlulah mengetahui jenis-jenis permainan yang sesuai mengikut tahap umur kanak-kanak. Ini perlu dalam memastikan permainan yang dibeli atau digunakan dari sudut bahan dan kefungsiannya sesuai dengan tahap perkembangan kanak-kanak.


Menurut Mildred’s Parten (1932), permainan boleh dikategorikan kepada lima jenis mengikut tahap umur kanak-kanak. Pertama adalah  jenis permainan solitary atau individu. Jenis permainan ini merujuk kepada kanak-kanak yang bermain secara sendiri (Nurulhuda Mohammad 2017). Kanak-kanak ini tidak mempedulikan orang lain yang berada di sekelilingnya serta tidak berinteraksi dengan rakan sebaya (Kurikulum PERMATA 2013). Kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan sifar hingga dua tahun terlibat dalam jenis permainan ini.

Selain itu, ‘permainan spectator’  pula merujuk kepada situasi di mana kanak-kanak menonton atau melihat kanak-kanak lain bermain. Permainan jenis ini selalunya melibatkan kanak-kanak dalam lingkungan usia dua tahun hingga dua tahun setengah (Nurulhuda Mohammad 2017).


Jenis permainan yang ketiga adalah ‘permainan parallel atau selari’ yang melibatkan usia kanak-kanak dua tahun setengah hingga tiga tahun. Kanak-kanak pada usia ini selalunya akan bermain bersebelahan atau dalam kumpulan yang sama dengan kanak-kanak lain dengan menggunakan permainan yang sama, namun masih tidak berinteraksi antara satu sama lain.


‘Permainan Asosiatif atau perkongsian’ pula melibatkan kanak-kanak dalam usia tiga hingga empat tahun. Kanak-kanak dalam lingkungan umur ini mula bermain bersama rakan-rakan dan seterusnya mengembangkan kemahiran berinteraksi semasa bermain (Nurulhuda Mohammad 2017). Contohnya dalam permainan blok-blok untuk membina rumah.


Akhir sekali adalah ‘permainan kooperatif atau kerjasama’. ‘Permainan kooperatif’ merujuk kepada situasi di mana kanak-kanak berinteraksi, mengambil bahagian dalam permainan, berkongsi, bekerjasama, berunding dan membuat keputusan dalam pemilihan permainan ini. Permainan jenis ini amat sesuai bagi kanak-kanak dalam lingkungan usia empat hingga enam tahun (Nurulhuda Mohammad 2017). Contohnya situasi membina model lengkap istana pasir secara berkumpulan.


Secara kesimpulannya, pemilihan permainan untuk kanak-kanak perlulah selaras dengan perkembangan mereka mengikut umur agar potensi dalam diri kanak-kanak dapat dibangunkan. Bukan nilaian harga sahaja yang menjadi ukuran kepada pembelian sesuatu produk permainan. Dapat dilihat juga, melalui ‘permainan kooperatif atau kerjasama’, ‘Sistem Pembelajaran Mainan Artera’ boleh diperkenalkan dan diketengahkan kepada kanak-kanak dalam usia empat hingga 6 tahun ketika berada di tadika.


Rujukan. 

Nurulhuda Mohammad. 2017. Permainan mengikut tahap perkembangan kanak-kanak. www.myhealth.gov.my [13 Ogos 2017].

Bahagian PERMATA, Jabatan Perdana Menteri. 2013. Modul pendidik/pengasuh: Kursus asuhan dan didikan awal kanak-kanak PERMATA. Selangor: Penerbit Universiti Putra Malaysia.



Disediakan Oleh,

Syazwani bt. Abd Jalani
Pensyarah
Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson

0 comments:

Post a Comment