Sebuah program Bual Bicara Interaktif bersama Tuan
Hasanuddin Mohd Yusof, Presiden Pertubuhan Pencinta Tamadun Islam Nusantara diadakan
pada 9 September lalu telah dianjurkan oleh Jabatan Pengajian Umum, Fakulti
Pendidikan dan Pembangunan Manusia Kolej UNITI dengan kerjasama Grup Penjejak
Tamadun Dunia bersempena dengan sambutan Hari Ulangtahun Kemerdekaan Negara
ke-58.
Perkongsian selama dua jam itu telah disertai beberapa akademia Kolej UNITI
dan 40 orang pelajar pelbagai program. Bual bicara selama lebih 2 jam membuka
mata para hadirin. Siapa sangka, sejarah yang dipelajari di sekolah-sekolah
banyak pincangnya kerana ditulis dari kaca mata penjajah British. Ini diakui
sendiri oleh pakar-pakar sejarah namun kekangan kehendak politik (political will) menghalang untuk penulisan
semula sejarah negara dari neraca yang adil dan benar.
Penulis sendiri tersentuh kerana setelah hampir 30 tahun,
baru disedarkan betapa sejarah negara yang diajarkan di sekolah-sekolah rupanya
banyak menggelapkan ‘hero-hero’ bangsa dan peristiwa sebenar dalam
menyemarakkan semangat perjuangan dalam peristiwa menuntut kemerdekaan di awal
kebangkitannya. Justeru, artikel kali ini, JPU suka untuk berkongsi sosok pejuang
alam Melayu yang tercicir dalam catatan mana-mana buku sejarah arus perdana tetapi
peranannya sungguh agung dalam penceritaan sejarah sebenar negara ini. Sosok
wira tersebut adalah seorang ulama’ watan iaitu Sheikh Ahmad Al-Fatani yang
diikitiraf oleh seluruh dunia Islam ketika pentadbiran Khilafah Uthmaniyyah
dipimpin oleh Khalifah Sultan Abdul Hamid II. Ironisnya, namanya sepi dari
pengetahuan bangsa sendiri.
Sheikh Ahmad
Al-Fatani dan Peranannya dalam
Kebangkitan Kemerdekaan Alam Melayu dan Asia Tenggara.
Sheikh Ahmad al-Fathani atau nama sebenarnya ialah Sheikh
Wan Ahmad bin Muhammad Zainal Abidin bin Datu Panglima Kaya Sheikh Haji Wan
Mushthafa bin Wan Muhammad bin Wan Muhammad Zainal Abidin (faqih Wan Musa
al-Jambui as-Sanawi al-Fathani) bin Wan Muhammad Shalih al-Laqihi bin Ali
al-Masyhur al-Laqihi telah dilahirkan pada malam Jumaat, bulan Syaaban tahun
1272 bersamaan dengan 10 April 1856
Tokoh Intelek Melayu Sepanjang Zaman, Syeikh Ahmad Al-Fathani |
Beliau bukan sahaja dikenali sebagai ulama tradisional semata-mata,
tetapi juga merupakan ulama dan pemikir Melayu yang ulung di alam nusantara dan
menguasai 47 disiplin ilmu dan boleh menjawab pelbagai persoalan termasuklah
disiplin politik. Salah seorang anak muridnya Tok Kenali menguasi separuh
disiplin ilmu tersebut daripadanya. Muridnya yang lain adalah seperti Raja Ali
Haji (Kerabat Diraja Kepulauan Riau) dan Raja Haji Uthmans.
Sheikh Ahmad
Al-Fathani telah mengasaskan dan menjadi ketua kepada Persatuan Cendikiawan
Melayu di Mekah dikenali sebagai Jam’iyah al-Fathaniyyah yang dianggotai oleh
seluruh ulama alam Melayu. Menurut catatan sejarah, pertubuhan itu merupakan organisasi
politik Melayu pertama yang diasaskan pada tahun 1290H. 1837M.
Persatuan Al-Fathaniyyah ini bukan sahaja mencetak
kitab-kitab Melayu dan menyebarkannya ke seluruh pelosok nusantara, tetapi juga
bertujuan untuk memberi kesedaran kepada para putera dunia Melayu agar berusaha
membebaskan diri dan wilayah nusantara daripada cengkaman pihak penjajah Siam,
Inggeris dan Belanda ketika itu.
Sheikh Ahmad Al-Fathani telah menulis surat-surat politik
kepada para Sultan (ketika itu, alam nusantara mengamalkan sistem
monarki-kesultanan) di alam Melayu seperti Sultan Zainal Abidin III di Terengganu
Sultan Manshur di Kelantan (Sheikh
berkhidmat sebagai penasihat Sultan ketika ini) dan juga menerima surat
daripada Raja Muda Jambu memohon nasihat menghadapi serangan tentera Siam.
Antara karya politik Sheikh Ahmad Al-Fathani adalah Hadiqah
Al-Azhar, Faridah Faraid, Jumanah At-Tauhid Al- Fatawa Al- Fathaniyah.
Sheikh Ahmad Al-Fathani Penghubung Alam Melayu dan Kerajaan
Uthmaniyyah/ Turki.
Ramai juga tidak tahu tentang hubungan erat Kerajaan
Uthmaniyyah dengan Alam Melayu khususnya apabila Kesultanan Melayu Melaka di
serang Portugis. Ketika itu, Kerajaan Uthmaniyyah merupakan penaung kepada
semua negara umat Islam tidak terkecuali Alam Melayu. Sheikh Al-Fathani telah
dilantik sebagai wakil politik oleh Sultan Abdul Hamid II di bahagian timur.
Syeikh Ahmad Al-Fathani bergerak aktif bersama-sama
menjayakan misi kebangkitan menentang penjajah. Beliau menggesa umat Melayu di
Nusantara untuk menuntut ilmu dan menguasai teknologi dalam ikhtiar mendepani
kekuatan penjajah. Beliau juga secara langsung mendidik Raja Ali Kelana dengan pendidikan Islam dan diberikan latihan
khusus yang utuh sebagai mempersiapkan Raja Ali sebagai Yam Tuan Muda Riau. Para wanita juga digesa untuk menuntut ilmu
supaya dapat berjuang bersama-sama mempertahankan kedaulatan bangsa.
Sebenarnya terlalu banyak untuk dinukilkan tentang patriot
yang tidak didendang ini. Namun, dalam apa jua pertimbangan, beliau mempunyai
peranan yang sangat besar dalam sejarah pemikiran Melayu. Pengaruh beliau
meliputi pelbagai bidang penulisan kitab fiqah dan usuluddin, falak dan
matematik, perubatan dan kimia, kemasyarakatan dan kesusasteraan, politik dan
hubungan antarabangsa, diplomat dan sebagai wakil peribadi khalifah, penerbitan
dan pentashihan, pemikiran dan kebangkitan umat, reformasi dan ketradisian,
pembinaan jiwa dan jati diri, kesatuan umat dan penentangan imperialime.
Sumbangan ini melayakkan beliau untuk dikenali sebagai tokoh intelek Melayu
teragung sepanjang zaman. (Mat Rofa Ismail, 2015).
Sebagai penutup, ambillah masa mencari dan mengerti
perjuangan kemerdekaan yang ditulis daripada neraca yang adil. Tidak dinafikan,
penulisan buku-buku teks sejarah telah ditulis dari kaca mata para orientalis
yang terbukti berniat jahat terhadap Alam Melayu di bawah kepimpinan Islam.
Maka, nama Sheikh Ahmad Al-Fathani dengan sengaja digelapkan supaya kita lupa
sosok inilah yang berusaha mempertahankan tanah air dengan melahirkan
kader-kader pejuang yang akan mempertahankan negara dari disiat penjajah
khususnya aqidah Islamiyyah umat Melayu dan mengabadikannya dalam karya-karya
yang ditinggalkan. Justeru, tidak hairan, kenapa setelah 446 tahun dijajah
Portugis, Belanda dan British alam Melayu masih kekal dengan aqidah Islamiyyah
kecuali kepulauan Manila yang bertukar wajah.
Barisan Pensyarah Jabatan Pengajian Umum bergambar bersama panel dan rakan sinergi Grup Penjejak Tamadun Dunia. |
Disediakan oleh,
Puan Faridah binti Mohd Tap
Pensyarah Jabatan Pengajian Umum,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI, Port Dickson.