Secara umumnya, fungsi masjid di
negara kita, samada di kampung, taman dan kota adalah sebagai tempat menunaikan
solat secara berjamaah dan tempat
rasmi bacaan yasin dan tahlil pada setiap malam Jumaat. Ini adalah bentuk
ibadat dan sebahagiannya menjadi adat turun temurun masyarakat kita di masjid.
|
Sumber: Ihsan google imej |
Di sepanjang kewujudannya, dari sudut
kerohanian, masjid menjadi tempat sujud kepada semua ahli kariah sebagai tanda menjadi
hamba yang patuh dan taat kepada Allah. Ini dinyatakan oleh Nabi sendiri dalam
sebuah hadith riwayat Muslim “Saat-saat seseorang hamba paling dekat dengan
Rabbnya adalah ketika dia sujud”.
Di masjid ini jugalah jugalah
kuliah-kuliah agama disampaikan. Dahulu hanya ada kuliah maghrib dan kuliah
suboh sahaja. Kini kuliah agama diadakan atas berbagai landasan dan tema.
Selain kuliah dhuha, dan ceramah
khusus bersempena dengan hari kebesaran Islam seperti Mawlid ar Rasul dan Maal
Hijrah, jadual aktiviti masjid – dengan sokongan dana kariah – dipenuhkan
dengan ceramah tokoh atau forum khas untuk mencelik dan mencerahkan minda ahli kariah
mengenai isu-isu semasa yang menimpa umat.
Sebahagian daripada perubahan cara
hidup dan kefahaman tentang Islam sebagai ad
deen dalam kalangan masyarakat Islam tentunya berpunca daripada
program-program masjid ini. Acara-acara ini telah berjaya mendekatkan lagi
masyarakat dengan agamanya.
Tulisan ringkas ini walaubagaimanapun
ingin melihat sisi-sisi lain yang boleh digerakkan untuk mengoptimumkan fungsi
masjid sebagai pusat percambahan ilmu dalam erti kata yang lebih luas dalam
masyarakat.
Pandangan ini didorong oleh kenyataan
bahawa ruang masjid hanya digunakan untuk kegiatan rutin ceramah atau kuliah
yang berligar kepada ilmu dan isu sekitar aqidah, feqah dan ruhiyyah yang
semuanya berwajah agama. Kita mungkin tidak sedar atau perasan bahawa ilmu
Islam yang luas telah tersekat dalam bingkai dan set minda orang masjid.
Ada pendapat yang kelihatan ‘kasar’ bunyinya
mendakwa masjid juga menjadi sekular kerana menyempit dan membataskan makna
agama yang asalnya luas, inklusif dan holistik.
Oleh itu agama dalam pengertian dan
konteks ad deen wajar disampaikan
dengan maknanya yang holistik dan mendalam agar keindahan dan keluasan makna Islam
itu sampai kepada masyarakat.
Justeru tulisan ini mencadangkan agar
ruang ceramah atau kuliah diberikan juga kepada para ilmuan atau profesional
dalam bidang bukan agama yang mempunyai fikrah dan jiwa Islam.
Golongan ini tentunya pakar dan
mempunyai banyak pengetahuan dan pengalaman di lapangan yang boleh memberikan
sudut pandang baharu atau kritis dan segar terhadap realiti dalam masyarakat
mengikut bidang dan profesionalisme masing-masing.
Kesempatan antara waktu maghrib-isyak
atau waktu lain yang lebih sesuai boleh dikongsi dengan pengisian yang bukan
tema agama tetapi penting yang diperlukan masyarakat oleh mereka yang telah
dinyatakan tadi. Fikrah dan jiwa Islam mereka tentunya akan membawa roh agama
dalam perkongsian yang mereka berikan.
Pendekatan ini akan mewarnakan dan
meluaskan lagi tema dan horizon pemikiran masyarakat setempat. Ini kerana
golongan ini dapat membawa isu semasa di luar masjid dan mengupasnya lebih-lebih
lagi dengan pendekatan yang lebih kritis dan segar.
Memang telah ada peluang ini
diberikan kepada ilmuan bukan dari disiplin agama tetapi kadarnya masih secara
relatifnya agak kecil dan bersifat setempat. Mungkin di Bandar Baru Bangi yang
berhampiran dengan UKM, atau bandar Johor Bahru yang ada kampus UTM dapat
melakukannya.
Hal ini demikian kerana masyarakat di
bandar ini juga menjadi kediaman para ilmuan dan profesional berjiwa Islam.
Justeru, pentas ceramah atau ruang utama kuliah di masjid boleh dikongsi sama
oleh golongan tadi dengan lebih mudah dan perancangan yang lebih tersusun.
Guru-guru juga boleh meluaskan
khalayak pelajarnya dari bilik darjah ke ruang utama masjid bersama para jamaah
masjid. Mereka adalah golongan yang ahli dalam bidang akademik masing-masing
yang berupaya memahamkan masyarakat isu-isu pendidikan nasional termasuk
membawa realiti yang terjadi di sekolah ke pengetahuan ibu bapa yang menjadi
ahli kariah masjid.
Pendekatan kreatif guru-guru berjiwa
Islam ini barangkali mampu ‘reaching out’ ke khalayak yang lebih luas
terutamanya golongan muda termasuk pelajar-pelajar sekolahnya sendiri.
Kesempatan ini boleh membawa isu
pendidikan di sekolah langsung ke pengetahuan masyarakat melalui wasilah masjid
tanpa perlu menunggu mesyuarat rasmi PIBG sekolah. Melalui kerjasama ini
hubungan terjalin antara sekolah dan pihak masjid dan memudahkan penyebaran
maklumat berkaitan pendidikan.
Inisiatif ‘menaik taraf’ fungsi
masjid ini bukanlah suatu bidaah atau pun sebagai satu percubaan untuk merampas
atau mengubah fungsi tradisi masjid. Ia sebenarnya adalah usaha untuk
mengembalikan masjid kepada fungsinya yang sebenar terutamanya dalam
persekitaran moden hari ini yang penuh fitnah dan kecelaruan fikrah dalam
kalangan umat.
Menurut Profesor Yusuf al Qaradhawiy dalam
bukunya bertajuk ‘Masjid Parlimen Umat’ masjid mempunyai peranan yang jauh
lebih besar daripada tempat menunaikan solat dan program kuliah ilmu. Masjid
sebenarnya adalah parlimen umat.
Ulama tersohor ini menegaskan selain
fungsi yang disenaraikan di atas, berdasarkan seerah Nabi masjid adalah tempat
pertemuan dan mesyuarah antara nabi dan sahabatnya untuk mengatur rencanakan
kehidupan sosial, politik dan ekonomi umat. Bahkan dalam mengatur strategi
perang melawan musuh Islam pun masjid digunakan dan ia berubah menjadi pusat
operasi perang.
Oleh itu, sewajarlah masjid menjadi
milik umat bukan sahaja untuk beriktikaf, bersolat, bertaubat, memahami tauhid,
feqah dan syariat, muamalat dan jinayat, serta tasawuf.
Namun ia juga boleh menjadi pusat
percambahan ilmu Islam yang luas makna dan cakupannya. Ilmu Islam juga meliputi
sains dan teknologi, matematik, biologi, fizik, kimia, sejarah, psikologi,
geografi, perubatan, teknologi maklumat, pengurusan, perakauanan, pemasaran dan
tentunya banyak lagi.
Majlis ilmu ini juga adalah majlis
zikir dan fikir umat yang berkesan asalkan pemikiran masyarakat dipertajam dan
diperhalusi melalui pendekatan penceramah yang menyajikan perbahasan ilmu
secara kritis dan membina.
Fitnah dan berteraburnya mesej-mesej
yang ‘tidak patuh syariah’ dalam media sosial yang kini ibarat wabak yang mudah
berjangkit dan mempengaruhi pemikiran masyarakat boleh juga ditangani
sebahagiannya melalui majlis ilmu ini.
Agenda dan risalah Nabi melalui
masjid sebagai pusat perkembangan ilmu Islam yang holistik tidak akan dapat
direalisasikan jika pihak berkuasa masjid terus selesa dengan kegiatan rutin
mingguan, bulanan dan tahunan dalam bentuk dan format tradisinya.
Latar belakang penulis
BADRUL
HISHAM BIN ITHNIN, Pensyarah Kanan,
Jabatan Pengajian Umum, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Kolej UNITI
PD.