Sumber: google imej |
Penulis
telah diundang sebagai panel di Forum Mahasiswa:
Dari Masyarakat kepada Masyarakat untuk acara Perkampungan Menara Gading’16
anjuran Persatuan Pelajar Islam Negeri Sembilan yang akan berlangsung pada
bulan lepas. Turut hadir sebagai panel adalah saudara Jufitri Johar yang
merupakan Tokoh Kebangsaan dan Tokoh Belia ASEAN tahun 2014 untuk bersama
bakal- bakal lepasan pelajar SPM, STPM, dan STAM di peringkat Negeri Sembilan
bagi memahami tanggungjawab sebagai mahasiswa. Perkongsian yang diberikan adalah
sekitar peranan mahasiswa sebagai anggota masyarakat membawa mesej Rahmatan Lil
‘Alamin.
Mahasiswa
merupakan golongan penting dan penentu masa depan citra masyarakat dan negara
yang berjaya. Pelbagai cabaran dan kesukaran yang ditempuhi sepanjang pengajian
menjadi asas kematangan seseorang individu sebelum melangkah ke dunia realiti
pekerjaan dan menjadi pelapis kepimpinan masyarakat dan negara. Penulis merasakan gelaran sebagai mahasiswa
universiti merupakan suatu keramat kerana sejarah gerakan mahasiswa yang
menggugat telah banyak melakar sejarah tersendiri dalam negara ini.
Sebagai
mahasiswa, pelajar harus mengambil ruang masa untuk menelaah buku berjudul “
Mahasiswa Menggugat” (1973) yang merupakan karya penting mengenai gerakan
mahasiswa oleh Profesor Muhammad Abu Bakar. Tidak dilupakan buku “Kalau Saya
Mahasiswa” karangan Datuk Saifuddin Abdullah ketika beliau menjawat jawatan
Timbalan Menteri di Kementerian Pengajian Tinggi. Dua buku ini akan memberikan
definisi mahasiswa kepada bakal-bakal siswa atau mereka yang sudahpun bergelar
mahasiswa IPT.
Istilah
‘jurubicara masyakarat’ agak sinonim dengan gelaran mahasiswa khususnya antara
tahun 1960 hingga 1974. Peranan mahasiswa yang bertindak dalam bentuk gerakan
aktif diukur dengan penganjuran dan
partisipasi golongan mahasiswa dalam seminar dan diskusi yang membincangkan
soal-soal politik, ekonomi dan sosial; mengeluarkan resolusi-resolusi bercorak
politik dibentang dan dikeluarkan untuk tatapan umum dan kerajaan; penerbitan
akhbar, majalah dan risalah atau kenyataan akhbar di mana mahasiswa menyuarakan
cita-cita politik mereka; demonstrasi di mana mahasiswa menyampaikan pandangan
dan ideal perjuangan mereka juga; sesetengah mahasiswa mengambil bahagian
dengan memegang jawatan dalam parti-parti politik, seperti Parti Rakyat ketika
zaman kegemilangan gerakan mahasiswa ini.
Kemudian,
suara mahasiswa kelam seketika sebelum kembali ke persada dan mempengaruhi
beberapa dasar-dasar penting negara melalui advokasi secara berterusan.
Antaranya sumbangan mahasiswa dalam mencadangkan penubuhan Dasar Belia Negara
(1985), penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar Universiti Malaya,
melontar idea penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), cadangan awal
penubuhan UIAM dan Bank Islam, Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dalam
pentadbiran, pindaan AUKU 2009 dan penentangan kepada Dasar PPSMI yang
menyalahi Perkara 152.
Manakala
istilah ‘Mahasiswa Lesu’ adalah kata sinikal yang penulis dengar sejak penulis
di alam mahasiswa universiti lagi. Perkataan ini mungkin ada benarnya apabila
kebanyakan mahasiswa cenderung menghabiskan masa hanya ke bilik kuliah,
kafeteria dan katil (sindrom 3’K) berbanding menambah kemahiran insaniah
melalui keterlibatan dalam persatuan, program-program kesukarelawan apatah lagi
untuk hadir ke majlis-majlis ilmu untuk diskusi ilmiah secara tekun. Mahasiswa
yang aktif sangat kecil jumlahnya dan ia merupakan perkara biasa dalam sesuatu
organisasi sekalipun. Zaman kegemilangan gerakan mahasiswa yang kuat satu
ketika dahulu tenggelam akibat tekanan AUKU sehingga lahir generasi siswa yang
seakan-akan ‘hilang punca’.
Justeru,
pesanan penulis kepada golongan mahasiswa, kembalilah cakna dan peduli kepada
masyarakat. Ambillah sedikit ruang dalam merancang perubahan diri untuk
merancang perubahan masyarakat kita juga yang semakin hari semakin tenat dek
kerana sikap individualistik yang semakin menebal dalam masyarakat hari ini.
Peranan anda sebagai mahasiswa selepas tamat pengajian adalah menyalurkan
idealisme, wawasan, ilmu, pengalaman, aktivisme, motivasi dan tenaga yang telah
sedia miliki kepada pembangunan negara dan masyarakat yang sejahtera.
Sehubungan
dengan itu, gunakanlah seoptimum mungkin masa sepanjang bergelar mahasiswa
untuk mencari butir-butir permata pengalaman untuk mempersiapkan diri untuk
kembali berbudi dan membangunkan masyarakat dan negara yang terbilang. Selamat
menempuh alam mahasiswa dengan jayanya.
Disediakan oleh,
Puan Faridah binti Mohd Tap
Pensyarah
Jabatan Pengajian Umum,
Fakulti
Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej
UNITI, Port Dickson.
0 comments:
Post a Comment