AWAS! ANCAMAN
ORIENTALIS TERHADAP KITA oleh Mohd Fikri Che Hussain. Shah Alam: Karya
Bestari, Grup Buku Karangkraf, 2011. Halaman 367. ISBN: 978-967-86-0382-9.
Penulis memulakan penulisan buku ini dengan menjelaskan
tujuan beliau menulis karya ini yang merupakan kesinambungan daripada buku
pertama dalam kajian orientalis beliau bertajuk Biografi Tokoh Orientalis Menurut Kitab al-A’lam al Zarikli.
Individu yang menguatkan penulisan beliau kali ini ialah Dr. Ahmad Zahid Salleh
seorang ahli akademik IPTA di pantai timur dengan alasan ketiadaan bahan bacaan
berkaitan topik orientalisme ini di pasaran terbuka. Pengulas bersetuju kerana
agak sukar untuk mendapatkan bahan ini dalam
bahasa Melayu di pasaran terbuka. Pengulas telah didedahkan dengan karya Edward
D. Said berjudul Orientalism ketika di bangku universiti lagi mungkin didorong
oleh bidang pengajian pengulas iaitu sains politik.
Penulis berharap karya ini dapat membantu umat Islam untuk
mempertahankan akidah umat Islam dengan respons lebih ilmiah daripada
penyelewengan intelektual barat terhadap ajaran Islam sebenar. Umat Islam hari
ini telah diserang dengan pelbagai ‘isme’
(ideologi) yang meragukan dan menyesatkan. Para orientalis hingga kini telah
menyerang agama Islam dengan menimbulkan pelbagai syak wasangka terutama dalam
aspek ketuhanan, kenabian serta dakwah islamiyyah. Malahan, sirah nabawi dan
sejarah Islam juga dipesongkan dengan banyak sekali dan ironinya telah tersebar
dikalangan umat Islam sendiri. Penulis
membuktikan segala pemesongan yang dibuat oleh para orientalis dengan
mendatangkan fakta-fakta kukuh untuk menjelaskan riwayat dengan lebih adil dari
kaca mata Islam yang sebenar.
Buku ini terdiri daripada 12 bab yang menyentuh pelbagai
aspek orientalisme . Penulis menulis karya ini atas dorongan murni iaitu ingin
menangani lambakan karya-karya berunsurkan kajian ketimuran atau orientalisme
yang meracuni pemikiran umat Islam khususnya dan pengkaji Islam lainnya. Bagi
pembaca yang tiada maklumat tentang agenda orientalisme
mungkin tidak berminat dengan bacaan ‘agak berat’ ini tetapi pengulas yakin,
bacaan ini mampu membuka mata kita tentang banyak pemesongan yang menggugat
akidah umat Islam. Disebabkan itu, judul yang diberikan diolah dengan nada
tegas iaitu ‘AWAS! Ancaman Orientalisme Terhadap Kita: Jangan Biarkan Dunia Islam
Ditakluki.’
Bab satu karya ini memulakan perbincangan dengan mengenalkan
pembaca tentang konsep orientalisme daripada
pelbagai sumber dan perspektif. Walaupun kata akar bagi istilah orientalism –orient iaitu kajian hal-hal
ketimuran, didapati kajian yang dilakukan oleh barat tentang timur lebih menjurus
kepada hal ehwal Islam. Antara pengkaji barat yang terawal mengkaji ketimuran
ini ialah A.J Arberry (1638), Anthony Wood (1691), Samuel Clarke (1675-1729),
Lord Byron (1788-1729) dan Maxim Rodinson (1799).
Bab dua pula membincangkan tentang sejarah kemunculan orientalisme. Dr. Sasi Salim Al-Haj,
seorang sarjana Islam telah menulis buku sebanyak dua jilid tentang berjudul ‘Kemunculan
Orientalisme’ pada tahun 1990-an. Antara yang menarik perhatian pembaca ialah
tentang bagaimana kajian orientalisme
ini digunakan dalam dasar imperialism
untuk menguasai dunia timur. Para orientalis adalah ‘tulang belakang’ kejayaan
proses penjajahan barat di dunia timur. Para orientalis diberi jawatan-jawatan
penting misalnya ketua turus angkatan tentera, pegawai tentera dan tentera
angkatan pertahanan. Kini, mereka diposisikan di bahagian pentadbiran luar
negara untuk merancang taktik bagi menguasai politik semasa di timur dan
peranan mereka cukup besar dalam serangan di Afghanistan dan membenarkan
kewujudan Israel secara haram pada tahun 1948. Orientalisme Yahudi pula menyebarkan tentang kuil purba Yahudi
iaitu Haikal Sulaiman di bawah tapak Masjid Al-Aqsa yang jelas merupakan
penipuan dan penyelewengan hingga kini (hlm.40).
Penulis membincangkan matlamat orientalisme ini dalam bab tiga buku ini. Pelbagai tujuan diketengahkan
sebagai matlamat para orientalis iaitu tujuan keagamaan, keilmuwan, ekonomi
perdagangan, politik penjajahan, kebudayaan, pengembangan kesusasteraan, tujuan
berkonsepkan Arab Islam yang dipengaruhi elemen orientalisme dan tujuan
berkonsepkan aliran pemikiran. Sebagai contoh, para orientalis Yahudi dan
Kristian melakukan pelbagai kajian menyeluruh tentang segenap aspek agama Islam;
bahasa, undang-undang, Al-Qur’an dan Sunnah, pendidikan dan lain-lain lalu
memesongkan segala fakta secara licik kerana Islam dirasakan sebagai saingan
kepada Yahudi dan Kristian hingga kini.
Seterusnya, dalam bab empat dan lima, penulis mendedahkan
metode yang digunakan para orientalis untuk meng’halal’kan agenda mereka dan
kaedah asas orientalisme. Metode-metode
yang digunakan para orientalis ialah dakwaan bahawa Islam adalah serpihan dan
agama Yahudi dan Kristian, mewujudkan keraguan terhadap kesahihan hadis nabi,
mengkaji perkara-perkara yang dhaif dan
syaz di dalam periwayatan,
mengutamakan kajian suku Arab minoriti, pertentangan yang wujud, sejarah zaman
jahiliyyah dan apa sahaja sebelum kedatangan Islam misalnya Kerajaan Himyar,
Ghassan, Palmjra dan Tademmur yang telah pupus, fokus kepada pertelagahan umat
Islam yang mendokong fahama politik rosak serta mengumpul kisah golongan
munafik sebagai pihak pembangkang yang berani. Selain itu, para orientalis juga
lebih suka menggunakan metode menurut hawa nafsu daripada fakta ilmiah,
menggunakan huraian yang tiada kaitan misalnya dakwaan perlantikan Saidina Abu
Bakar As-Siddiq untuk jawatan khalifah melalui penipuan, mewujudkan keraguan
pada aspek sejarah dan Sunnah, menimbulkan penyelewengan dan pemalsuan dan
menggunakan sumber yang ditolak dan tidak boleh dipercayaai seperti merujuk
karya Al-Asfahani berjudul Al-Aghani.
Perkembangan orientalisme
dibincangan dalam bab enam buku ini . Menurut penulis, permulaan perkembangan
gerakan orientalisme ini tidak dapat
dikenalpasti, tetapi majoriti mengatakan perkembangan kajian orientalisme agak mendadak ketika
tercetusnya konflik antara Kristian dan Islam di Andalusia pada kurun ke-13. Ia
disokong oleh Dr. Mustafa Al-Siba’ii, Muhammad ‘Ali Jarisyah dan Muhammad
Syarifzaibaq (Hlm. 98). Perkembagan seterusnya selari dengan kebangkitan Eropah
apabila tercetusnya Revolusi Industri. Fakulti Pengajian Bahasa Arab dan Timur
tumbuh dengan pesat dan sebuah Kolej Pengajian Orientalis dibangunkan dan aktif
menganjurkan seminar berkaitan ketimuran setiap tahun. Mereka meluaskan pengaruh
orietalisme ini dengan menggunakan pelajar muslim yang menuntut di universiti dan
kajian akademik di negara mereka untuk mengelirukan umat Islam sendiri. Mereka
juga menerbitkan lambakan bahan-bahan kajian tentang Islam dari perspektif
berat sebelah Orientalis, mengadakan seminar, konvensyen dan perhimpunan,
membuat ulasan politik dan laporan media massa.
Orientalisme melalui
fasa gawat apabila ia gagal muncul sebagai satu jurusan ilmu yang jelas
disamping perkembangan ilmu sains kemasyarakatan di Barat. Kebangkitan Islam
dan proses islamisasi juga mempengaruhi kegawatan ini. Antara tokoh yang giat
berinteraksi dengan orientalis secara positif ialah Dr. Ismail Raji Faruqi dan
isterinya, Lamiya, Al-Afghani, Muhammad Abduh, dan Ikhwanul Muslimin (Bab 8). ‘Ali
Harb dan Dr. Akram Dhiya ‘Al-Umai antara tokoh Islam yang mengatakan gerakan orientalisme semakin lemah dan tidak
mendapat sambutan di Barat. Selepas penganjuran Seminar Antarabangsa
Orientalisme pada tahun 1973 di Paris, mereka (yakni para orientalis sendiri)
telah bersetuju untuk menghapuskan istilah’orientalisme’.
Penulis juga membincangakan secara terperinci faktor-faktor kemerosotan gerakan orientaslime ini dalam Bab Lapan.
Bab Sembilan penulis memperkenalkan pembaca dengan
pusat-pusat pengajian orientalisme dan
para tokohnya di Eropah; Itali, Belanda, Sepanyol, Jerman, Russia, Amerika
Syarikat, England dan Perancis. Manakala, pandangan orientalisme terhadap ajaran Islam dibentangkan dalam bab 10 buku
ini. Aspek-aspek seperti Al-Qur’an, Sunnah, Fiqh, Sejarah Islam, Sirah
Nabawiyyah tidak terlepas dari kelicikan
agenda orientalisme. Mereka
memesongkan hingga Islam dipaparkan sebagai agama negatif bercanggah dengan
ajaran Islam yang diakui kebenarannya. Orientalisme berjaya memberi pengaruh
pada dunia Islam khususnya dalam aspek akidah, sosio-kemasyarakatan, politik
dan ekonomi Islam, kebudayaan dan pemikiran dan dibincangkan oleh penulis dalam
bab 11.
Bab akhir buku ini penulis mengetengahkan kata lawan orientalisme iaitu ‘oksidentalisme’- merupakan suatu kajian mengenai dunia Barat.
Penulis menggesa pengkaji muslim kontemporari untuk mengkaji dan menyelidik
ketamadunan barat yang diungguli oleh Eropah dan Amerika Syarikat sebagai membangunkan
revolusi keilmuwan di kalangan umat Islam. Beliau mengambil contoh bagaimana
Eropah bangkit dari zaman gelapnya apabila mereka mula mengkaji kekuatan dunia
timur ketika itu dengan penuh komited dan bersungguh. Beliau juga menegaskan
supaya kajian oksidentalisme ini
perlu rasional dan adil untuk memahami dunia barat. Malahan, kesan positif
kajian oksidentaslime ini amat
dipengaruhi oleh keperibadian oksidentalis itu sendiri. Menurut penulis,
oksidentalis yang baik tidak akan terpengaruh dengan kemajuan peradaban dan
ketamadunan Barat. Ironinya, penulis tidak memberikan perincian tentang oksidentalisme ini memandangkan tidak
ramai pelajar serta pengkaji di negara ini menumpukan penyelidikan mereka di
bidang orientalisme apatah lagi oksidentalisme. Pengulas bersetuju
kerana bidang kajian orientalisme dan
oksidentalisme sangat luas dan
memakan masa yang begitu panjang untuk mendapatkan kajian yang terperinci, adil
dan saksama.
Pengulas:
Puan Faridah Mohd Tap,
Pensyarah
Jabatan Pengajian Umum,
Fakulti
Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI,
Port Dickson.
0 comments:
Post a Comment