Pages

Monday 20 June 2016

BELAJAR SAMBIL BERMAIN DI TASKA CAHAYA TASNEEM KOLEJ UNITI, PORT DICKSON- Nur Akmar Mohd Arif

TASKA merujuk kepada Taman Asuhan Kanak-kanak yang diperuntukkan sebagai premis untuk penjagaan kanak-kanak di bawah umur 4 tahun. Akta TASKA 1984 (Akta 308) di bawah Seksyen 2 mendefinisikan TASKA sebagai ‘Mana-mana premis di mana empat orang atau lebih kanak-kanak di bawah umur empat tahun dari lebih daripada satu isi rumah diterima masuk untuk dijaga dengan upah’.


TASKA Cahaya Tasneem Kolej UNITI (TCT KU) telah ditubuhkan pada tahun 2016 dimana telah beroperasi secara rasmi pada 1 April 2016. TASKA ini dikendalikan di bawah pengurusan Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia, Kolej UNITI Port Dickson, di bawah pimpinan Dekan Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia (FPPM), Puan Siti Zaleha Binti Ahmad. FPPM dipertanggungjawabkan untuk menerajui pengurusan TASKA Cahaya Tasneem Kolej UNITI (TCT KU), dari semua aspek, sebelum penubuhan sehinggalah tertubuhnya TASKA pada hari ini dengan sokongan padu daripada pihak pengurusan atasan Kolej UNITI Port Dickson. Penubuhan TASKA ini telah dirasmikan oleh Ketua Pegawai Operasi Kolej UNITI Port Dickson, En Hamdan Bin Ikram dalam satu ‘Majlis Perasmian dan Doa selamat TASKA Cahaya Tasneem Kolej UNITI’ yang telah diadakan pada 31 Mac 2016 bagi meraikan penubuhan TASKA ini selain mendoakan kesejahteraan serta kelangsungan TASKA ini.



OBJEKTIF PENUBUHAN TASKA


TASKA Cahaya Tasneem Kolej UNITI (TCT KU)  ini telah ditubuhkan untuk menyediakan satu pusat penjagaan, pengasuhan dan pembelajaran yang berkualiti khusus untuk anak-anak staf Kolej UNITI Port Dickson yang berumur di bawah 4 tahun. Penubuhan TASKA ini juga adalah atas inisiatif pihak pengurusan atasan Kolej UNITI Port Dickson untuk memberi perkhidmatan kebajikan dalam penjagaan anak-anak staf Kolej UNITI Port Dickson pada kadar yang rendah. Selain itu, penubuhan TASKA ini juga adalah bertujuan untuk menyahut seruan kerajaan dalam mewujudkan TASKA di Tempat Kerja yang berkualiti. Kewujudan TASKA ini secara tidak langsung memberi kelebihan kepada staf Kolej UNITI Port Dickson yang mempunyai anak, seiring dengan keyakinan mereka kepada pihak Kolej UNITI Port Dickson untuk memberi perkhidmatan kebajikan yang berkualiti dalam penjagaan anak-anak staf. Ini bertujuan untuk memenuhi keperluan si kecil yang semakin membesar dalam meransang perkembangan yang sempurna dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial.  


Sehingga 1 Julai 2016, seramai 3 orang anak staf Kolej UNITI yang telah didaftarkan di TASKA Cahaya Tasneem Kolej UNITI (TCT KU).  Pada peringkat awal penubuhan TASKA ini, Ahli Jawatankuasa TASKA Cahaya Tasneem Kolej UNITI yang terdiri daripada para pensyarah Diploma Pendidikan Prasekolah (DPS) dari FPPM telah dipertanggungjawabkan untuk menjalankan pengasuhan serta sesi pengajaran dan pembelajaran kepada anak-anak di TASKA ini. Tanggungjawab ini telah dilaksanakan dengan cemerlang dalam memastikan anak-anak staf yang dihantar ke TASKA ini berasa selesa, seronok dan selamat sepanjang berada di TASKA ini. Para pensyarah DPS yang terlibat juga telah memiliki Sijil Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak (kini disebut sebagai Kursus PERMATA) yang diiktiraf oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM) dalam menjalankan tanggungjawab pengasuhan ini.


Pada 12 April 2016, Cik Siti Junainah Binti Bahari telah dilantik sebagai guru di TASKA Cahaya Tasneem Kolej UNIT I(TCT KU). Beliau merupakan bekas pelajar Kolej UNITI yang mengambil jurusan dalam bidang Diploma Pendidikan Prasekolah. Kewujudan TASKA ini juga adalah relevan dengan produk Diploma Pendidikan Prasekolah (DPS) dan Diploma Pendidikan Dan Asuhan Awal Kanak-Kanak (DPAKK) yang ditawarkan di bawah Fakulti FPPM. TASKA ini juga akan berfungsi sebagai makmal kajian perkembangan kanak-kanak, khusus untuk pelajar DPS dan DPAKK dalam memahami perkembangan dan keperluan dan kanak-kanak di bawah umur 4 tahun. Selain itu, kajian ‘Helping Boys And Nurturing Girls’ juga dapat diperkukuhkan dengan kewujudan TASKA ini dimana aktiviti yang dijalankan adalah berdasarkan fitrah anak lelaki sebagai pemimpin dan anak perempuan yang sentiasa ingin dibelai.


KONSEP BELAJAR SAMBIL BERMAIN


Konsep belajar sambil bermain diterapkan dalam pembelajaran di sini seiring dengan minat kanak-kanak dan memenuhi naluri mereka yang sentiasa ingin meneroka dan bermain. Memetik kata pepatah daripada Imam Al Ghazali, ‘If you don’t allow them to play. You will kill their soul’. Hakikatnya, fitrah anak kecil itu memang dilahirkan dengan naluri ingin bermain. Jadi, minat kanak-kanak untuk bermain itu perlu dimanipulasikan dalam pengajaran dan pembelajaran yang menggembirakan dan bermakna baik di rumah mahupun di TASKA.Ini secara tidak langsung dapat menarik minat dan mencungkil bakat dalam diri kanak-kanak comel ini. Antara aktiviti yang dijalankan adalah Aktiviti sahsiah, sosioemosi dan kerohanian, Aktiviti Awal Matematik Dan Pemikiran Logik, Aktiviti Perkembangan Deria Dan Pemahaman Dunia Persekitaran, Aktiviti Bahasa, Komunikasi Dan Awal Literasi, Aktiviti Estetika Dan Kreativiti,  Aktiviti Fizikal, ‘Nature Walk’, Membaca dan Main Luar. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan ini dapat meransang perkembangan kanak-kanak seiring dengan perkembangan umur mereka. Kemahiran motor halus dan motor kasar kanak juga diasah melalui aktiviti-aktiviti yang menggembirakan dan bermakna di dalam dan di luar TASKA, sesuai dengan keupayaan dan kebolehan kanak-kanak ini serta minat kanak-kanak ini yang sentiasa ingin meneroka dan bermain.



INTEGRASI STEM DAN KURIKULUM PERMATA


Sesi pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak di TASKA Cahaya Tasneem Kolej UNITI (TCT KU) adalah berdasarkan kurikulum PERMATA. Kaedah STEM (Science, Technology, Engineering & Mathematics) akan diaplikasikan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran yang diintegrasikan dalam Kurikulum PERMATA Negara. Melalui pendidikan STEM, kanak-kanak akan diberi galakan oleh pendidik untuk bertanya soalan, berkomunikasi dengan pendidik dan rakan-rakan secara aktif. Mereka juga digalakkan untuk bekerja dalam satu pasukan selain bersama menghargai alam semulajadi dan mencintai alam sekitar melalui aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan di TASKA ini seperti ‘Nature Walk’ dan aktiviti berkebun.


Model Pembelajaran Inkuiri Berasaskan Projek (PIP) paling sesuai dilaksanakan untuk kanak-kanak yang berumur di bawah empat tahun ini, mengikut sukatan pelajaran dan tahap kebolehan kanak –kanak ini. Ini bagi meningkatkan perasaan ingin tahu, seiring dengan minat kanak-kanak yang ingin meneroka dan mencuba perkara baru dalam kehidupan mereka. Terdapat empat fasa dalam ‘Pembelajaran Inkuiri Berasaskan Projek’ ini iaitu dimulai dengan Fasa 1: Inkuiri, Fasa 2: Penerokaan, Fasa 3: Reka cipta dan Fasa 4: Refleksi. Model PIP ini paling sesuai dan bersesuaian dengan perkembangan kanak-kanak untuk belajar STEM. Pengajaran dan pembelajaran yang menggembirakan dan bermakna ini dapat meningkatkan minat kanak-kanak dalam melakukan penerokaan, bereksperimen dan seterusnya memberi pengalaman pembelajaran yang bermakna di TASKA Cahaya Tasneem Kolej UNITI (TCT KU).



Dekan FPPM, Puan Siti Zaleha Binti Ahmad selaku Penasihat TASKA Cahaya Tasneem Kolej UNITI (TCT KU) telah hadir ke Persidangan Antarabangsa PERMATA 2016 bertema 'Children Beyond Tomorrow', selama tiga hari pada 31 Mei 2016 sehingga 2 Jun 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Persidangan ini dihadiri bagi meningkatkan pemahaman terhadap pembangunan pertumbuhan optimum kanak-kanak serta Integrasi Pedagogi STEM dan PERMATA Negara dalam Kurikulum Pendidikan Awal Kanak-kanak. Pengalaman yang diperoleh dalam Persidangan yang dianjurkan oleh Program PERMATA ini akan dimanfaatkan dalam memastikan kelangsungan dan kesejahteraan TASKA Cahaya Tasneem Kolej UNITI (TCT KU) serta memenuhi keperluan dan fitrah semulajadi  kanak-kanak seiring dengan objektif penubuhan TASKA ini seperti yang diusulkan oleh pihak pengurusan atasan Kolej UNITI Port Dickson.



Disediakan oleh,

Cik Nur Akmar Mohd Arif,
Pensyarah Jabatan Pendidikan, 
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI, Port Dickson.


Galeri Foto:


















0 comments:

Post a Comment