Pages

Monday, 5 June 2017

Lima Hikmah Pelukan Ibu Bapa Terhadap Si Manja Yang Perlu Anda Ketahui!- Nur Akmar Mohd Arif

Sumber: Imej google
Memeluk anak merupakan salah satu ekspresi rasa sayang yang sangat perlu ditunjukkan oleh ibu bapa kepada anak. Galakan, pujian dan penghargaan yang diterima seiring dengan pelukan akan meningkatkan rasa kasih sayang dan  keyakinan diri si anak. Berikut merupakan lima hikmah daripada kuasa pelukan ibu bapa terhadap si manja yang perlu diketahui!

1. Mengawal emosi anak meragam

Pelukan penting untuk membina kapasiti otak dan memberi ketenangan kepada si manja. Apabila si manja sedang sedih atau mengamuk,peluklah dengan penuh kasih sayang untuk meredakan kesedihan atau kemarahannya. Ucapan yang dilafazkan juga perlulah seiring dengan gaya bahasa sambil menenangkannya dengan pelukan. Contohnya ungkapan ‘’Kenapa sayang mama ni menangis? Anak mama kan kuat macam mama, macam Ultraman..tak boleh nangis..Sini sayang, mama peluk”. Hikmahnya, pelukan ibubapa dapat meningkatkan keseimbangan dan kepercayaan anak terhadap ibu selain ketenangan dan menghilangkan kebosanan kepada si manja.


2. Meningkatkan kecerdasan anak

Pelukan dapat merangsang perkembangan sel otak anak. Otak seorang kanak-kanak membesar melalui tindak balas yang diterima dari persekitaran. Ia menghubungkan sendi wayarnya dengan organ pemikiran dan emosi berdasarkan pengalamannya. Kajian menunjukkan bahawa anak yang sering dipeluk akan menjadikannya lebih kreatif dan cerdas mindanya. Contohnya ungkapan seperti, “Cantiknya anak mama lukis, gambar mama ya...pandainya anak mama”. Hikmahnya, ucapan positif dan diiringi dengan pelukan dapat merangsang si anak untuk lebih berimaginasi dalam sokongan persekitaran yang selamat dan meyakinkan.


3. Meningkatkan harga diri anak 

Sentuhan dan dakapan merupakan ekspresi rasa sayang yang sangat perlu   ditunjukkan agar anak rasa kehadirannya dihargai. Ini akan memberi kesan positif    kepada kestabilan emosi, pembentukan peribadi yang baik serta meningkatkan kepercayaan diri. Hikmahnya, Jalinan emosi yang positif ini secara tidak langsung mendidik anak-anak untuk menyayangi, menghargai dan sentiasa berbuat baik dengan orang sekeliling seperti guru, rakan sebaya dan jiran tetangga.


4-   Membentuk ikatan emosi yang positif

Pelukan daripada ibu bapa mampu mengurangkan tekanan pada si anak. Kajian otak mengatakan bahawa kanak-kanak dan ibu bapanya secara biologi terikat untuk membentuk satu ikatan emosi. Contohnya, bayi yang diletakkan pada dada ibunya dapat merasakan degupan jantung si ibu dan merasakan belaian hangat kasih ibunya hingga wujud jalinan ikatan emosional serta kelekatan yang kuat di antara keduanya. Hikmahnya,  pelukan merangsang perkembangan emosi positif anak.


5. Keselamatan dan perlindungan

Dalam keadaan berbahaya, pelukan sangat diperlukan oleh seorang anak supaya anak tersebut merasakan ketenangan dan menghilangkan ketakutan. Menurut Harlow & Zimmerman, kanak-kanak memerlukan sentuhan dan perdampingan orang dewasa untuk dia terus membesar dalam persekitaran yang sihat, selamat dan meyakinkan.


Anak yang sedang membesar juga perlu diberi petunjuk mengenai tingkahlaku yang selamat untuk ditiru dan tempat yang selamat untuk dituju. Perbuatan yang “tidak dibenarkan” perlulah seiring dengan kuasa pelukan ibu bapa yang dapat meningkatkan keyakinan si anak terhadap ibu bapanya.

Contohnya seperti ungkapan “Sayang…Tempat itu berbahaya.. Kamu tidak boleh pergi ke sana” dengan nada suara si ibu yang lemah lembut sambil mengusap belakang anak pada masa yang sama. Penggunaan bahasa yang lemah lembut seiring dengan pelukan mesra kepada anak akan membuatkan si anak memahami penerangan dan tujuan kita yang sangat mengambil berat serta mahu melindunginya.

Kesimpulannya, ibu bapa perlulah merasakan ada hikmah besar di sebalik kuasa pelukan terhadap anak. Ini memberi ketenangan jiwa kepada anak dalam aktiviti seharian yang dilaluinya. Hikmah sentuhan dan pelukan itu sendiri boleh meningkatkan rasa kepercayaan dan keseimbangan anak terhadap ibu bapa dan seterusnya merangsang perkembangan menyeluruh si anak.



SEKADAR RENUNGAN

Dikisahkan bahwa Abu Hurairah berjalan keluar bersama Rasulullah SAW Selama di perjalanan, Rasululullah SAW tidak berbicara dengan Abu Hurairah, begitu pun sebaliknya. Ketika sampai di pasar Bani Qainuqa, Rasulullah duduk di pekarangan rumah Fatimah lalu berkata, “Apakah terdapat anak-anak di sana?” Tidak lama kemudian, datanglah seorang anak kecil menghampiri Rasulullah. Rasulpun memeluk dan menciumnya sambil berdoa, “Ya Allah …! sayangilah dia dan sayangi pula orang yang menyayanginya.” (H.R. Bukhari).

Pada suatu hari, datang seorang kepala suku mengunjungi nabi dan melihat beliau sedang mencium cucunya. Dia (kepala suku) mengatakan kepada Nabi SAW., “Saya mempunyai sepuluh orang anak, seorang di antara mereka tidak pernah saya cium.” Kemudian Rasulullah Saw. menjawab, “Kalau Allah tidak memberikanmu perasaan kasih sayang, apa yang dapat diperbuat-Nya untuk kamu? Barangsiapa yang tidak mempunyai kasih sayang pada orang lain, dia tidak akan mendapatkan kasih sayang dari Allah SWT.” (H.R. Bukhari)


Sumber: Imej google







Disediakan oleh,

Nur Akmar Binti Mohd Arif
Pensyarah,
Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia (FPPM),
Kolej UNITI Port Dickson


0 comments:

Post a Comment