Pages

Thursday 31 January 2013

KEPELBAGAIAN PARTI POLITIK DI MALAYSIA: MEMECAH @ MENYATUKAN RAKYAT?



Sebuah kajian telah dijalankan oleh Pusat Merdeka (Merdeka Center) mengenai nilai-nilai Politik rakyat Malaysia bermula Januari hingga April 2010. Kajian tersebut memberi fokus kepada perpaduan negara.  Daripada sepuluh pendapat yang tertinggi, 13 peratus daripada 3141 atau 408.3 responden  berpendapat ketidakstabilan politik iaitu pertelingkahan antara ahli politik dan parti-parti politik yang menyebabkan perpecahan antara rakyat dalam sesebuah negara.


           Oleh kerana Malaysia dianggap dunia sebagai unik kerana berjaya hidup  bersama dalam kepelbagaian budaya, agama dan bangsa lebih dari 50 tahun selepas mencapai kemerdekaan, tetapi ia bukanlah satu tugas yang mudah. Beberapa insiden berdarah melibatkan pertelingkahan antara kaum pernah mewarnai sejarah Negara kita. Semua masyarakat tanpa mengenal perbezaan perlu mengambil iktibar dan perhatian daripada kejadian-kejadian sebegini supaya peristiwa pergolakan kaum tidak berulang lagi.


          Paling traumatik adalah peristiwa 13 Mei 1969. Rentetan dari kejadian itu, Kerajaan telah melaksanakan usaha-usaha intensif demi pengukuhan perpaduan masyarakat berbilang kaum seperti perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), menubuhkan Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang bertanggungjawab memperkenalkan Rukun Negara dan Jabatan Perpaduan. Mageran ini telah dibubarkan pada tahun 1971 dan ditubuhkan pula Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada tahun yang sama. Kini, MKN bertanggungjawab memastikan keselamatan Negara dari pelbagai ancaman luar pada masa kini dan mendatang seperti ancaman hak asasi manusia, pemanasan global, ancaman ekonomi dan jenayah rentas sempadan. Usaha ini dibuat sebagai salah-satu usaha memperkemas wawasan wewujudkan Negara bangsa Malaysia.


          Selain itu, pucuk pemerintahan Kerajaan Perikatan di bawah kepimpinan Tun Abdul Razak, Perdana Menteri kedua negara selepas insiden 13 Mei telah memperkasa kerjasama politik di kalangan kepelbagaian kaum yang ada dengan menubuhkan Barisan Nasional (BN). Antara parti komponennya adalah  Pertubuhan  Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Malaysian Chinese Association (MCA), Malayan Indian Congress (MIC), Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Progresif Rakyat (PPP), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Pesaka Bumiputera dan United Sabah National Organization (USNO). BN merupakan inisiatif YAB Tun Abdul Razak bagi mengurangkan permainan politik dan politik perkauman agar segala usaha dan tenaga digembeling ke arah perpaduan dan pembangunan nasional. (Fadilah Zaini & Kassim Tukiman, 2009: 136). Kerjasama ini merupakan langkah bijak kepimpinan dahulu untuk meperkukuhkan perpaduan Negara-bangsa.


          Dalam masa yang sama, kita tidak menafikan kewujudan parti-parti pembangkang sebagai penting dalam sesebuah negara berdemokrasi. Mutakhir ini, Pakatan Rakyat (PR) secara rasmi telah ditubuhkan pada 1 April 2008 yang diterajui oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Tindakan Rakyat (DAP) bagi memainkan peranan menyemak dan menyeimbang (check and balance) kepada Kerajaan sedia ada. Peranan lain adalah untuk menjadi parti alternatif kepada rakyat untuk menyatakan kehendak mereka jika kerajaan sedia ada tidak dapat memenuhi suara hati rakyat terutama dalam aspek kebajikan.


Kepelbagaian parti politik dengan masing-masing mempunyai aspirasi perjuangan tersendiri sering mengundang pertelingkahan sehingga menggugat keharmonian dan perpaduan antara rakyat. Sikap terlalu taksub kepada satu-satu parti politik menyebabkan politik Malaysia sering diwarnai dengan insiden-insiden tidak matang. Politik lucah, politik tuduh-menuduh, fitnah-menfitnah, sabotaj dan pelbagai lagi acap kali menghiasi dada-dada media massa dan elektronik. Rakyat di hujani dengan politik perkauman melampau yang lama-kelamaan menghancur-leburkan solidariti bangsa Malaysia.


 Kepelbagaian ini dapat disatukan jika semua menjunjung tassawur politik berkonsepkan demokrasi yang telah dipersetujui. Kefahaman mendalam tentang wawasan Negara oleh semua parti-parti politik merupakan teras kepada kewujudan lanskap politik yang bersatu-padu di tengah-tengah kemajmukan penduduknya. Malah yang terpenting sekali adalah kefahaman setiap pemimpin parti politik dan penyokongnya kepada kedaulatan Perlembagaan yang merupakan panduan hidup bernegara.  Dasawarsa ini, kerap kedengaran sesetengah pemimpin parti politik begitu lantang mempersoalkan peruntukan-peruntukan khas dan asas dalam Perlembagaan terutama yang melibatkan agama Islam, bahasa kebangsaan dan peruntukan khas orang Melayu masing-masing tercatat dalam Artikel 3, 152 dan 153.


Penyokong sesebuah parti disogok untuk membenci secara keterlaluan perbezaan ideologi politik sehingga pernah berlaku perkahwinan terhalang, perkahwinan bercerai-berai hanya disebabkan perbezaan parti politik. Apatah lagi bila kita berbicara tentang masyarakat. Boleh jadi masyarakat berpecah-belah kerana sikap ultra-taksub kepartian yang ada pada diri setiap individu. Kata-kata kesat keterlaluan dihambur bagi menyatakan kebencian kepada pemimpin dan penyokong parti-parti lain sehingga menggadai nilai sopan dan santun masyarakat timur.


          Semua individu bergelar rakyat Malaysia wajib menjaga dan mengekalkan perpaduan yang dikecapi. Kita tidak boleh meletakkan beban menjaga perpaduan ini di atas bahu sesuatu pihak sahaja. Semua individu berkepentingan dalam memberikan sepenuh komitmen untuk menjaga dan mengekalkan perpaduan nasional. Ia juga tidak bersifat musim-musiman iaitu hanya mempromosikan perpaduan bilamana ada perayaan dan keraian. Perpaduan adalah tanggungjawab bersama warganegara Malaysia.


Kemerdekaan adalah suatu nikmat setelah 446 tahun dijajah oleh beberapa kuasa kolonial dunia. Kita berjaya mendirikan sebuah Negara berdaulat dengan aman, namun penubuhan sebuah Negara-bangsa Malaysia memerlukan kefahaman tuntas dari semua rakyat pelbagai lapisan umur dan kaum. Nikmat yang teragung adalah mengekalkan ketahanan, keharmonian dan perpaduan nasional di kalangan masyarakat majmuknya. Justeru, nilai toleransi, kerjasama, hormat-menghormati dan sayang-menyayangi penting dalam memudahkan proses menjayakan penubuhan Negara-bangsa Malaysia dengan identitinya tersendiri.


Perbezaan idelogi politik kepartian tidak harus menjadi racun yang membunuh solidariti rakyat yang telahpun wujud selama ini. Justeru, parti politik mempunyai pilihan sama ada mahu menjadi pemecah atau pemersatu rakyat dalam merealisasikan impian menubuhkan sebuah Negara-bangsa Malaysia yang unggul di mata dunia. Sungguhlah malang jika ada parti politik memilih mengorbankan kesejahteraan rakyat hanya kerana mahukan sokongan politik.



Oleh,

FARIDAH BINTI MOHD TAP
Pensyarah Pengajian Umum
Kolej UNITI, Port Dickson,
Negeri Sembilan.



(Diterbitkan di MileniaMuslim Edisi Julai 2012 dan akhbar Berita Harian ruangan Forum)

0 comments:

Post a Comment