Belia merupakan golongan yang sangat istimewa dalam
sesebuah struktur masyarakat yang besar. Statistik menunjukkan golongan belia
yang berumur di antara julat umur 15 hingga 40 tahun menyumbang lebih 40%
kepada masyarakat Malaysia hari ini. Belia dikatakan istimewa kerana golongan
ini lahir di antara dua kelemahan iaitu kelemahan zaman kanak-kanak dan zaman
tua. Kedua-duanya membutuhkan bimbingan dan pertolongan.
Dalam Surah Ar-Rum: 54, Allah S.W.T berfirman yang
bermaksud:
“Allah
yang menciptakan kamu bermula dari keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu
ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu, ia menjadikan kamu lemah pula serta tua
beruban. Ia menciptakan apa yang di kehendaki-Nya, dan Dialah jua yang Maha
Mengetahui, lagi Maha Kuasa.”
Ayat di atas menunjukkan kepada kita bahawa di antara
kedua-dua fasa lemah dalam kehidupan manusia itu terdapat satu fasa di mana
manusia mencapai kekuatan. Fasa inilah yang menempatkan golongan muda belia.
Umum mengetahui, golongan belia ini adalah golongan yang mempunyai kekuatan
dari segi fizikal, mental, idealisme, keinginan untuk mencapai sesuatu, aktif,
dinamik dan mahukan perubahan. Pendek kata, zaman belia adalah zaman yang penuh
dengan kegemilangan jika ciri-ciri itu dimanfaatkan dan disalurkan melalui
wadah yang betul.
Oleh kerana golongan belia ini sangat istimewa, pembinaan
dan pembangunan identiti serta jati diri seseorang individu belia menjadi
salah-satu agenda utama sesebuah Negara dan agama. Golongan belia merupakan
golongan yang akan mewarisi tampuk kepimpinan Negara di masa hadapan. Golongan
kepimpinan belia inilah yang mencorakkan hala tuju sesebuah Negara dan kemajuan
agama Islam itu sendiri di masa akan datang.
Menurut sejarah, golongan belia merupakan pendokong dan
aktor utama dalam pengembangan dan kegemilangan Islam yang menguasai 1/3
penduduk dunia. Tokoh-tokoh besar seperti Nabi Ibrahim A.S., Nabi Yusuf A.S.,
Ashab Al-Kahfi, Saidina Ali dan para Sahabat Rasulullah yang lain ialah antara
contoh-contoh golongan belia yang dikisahkan di dalam Al-Qur’an.
Islam menggesa golongan belia memainkan peranannya sebaik
mungkin kerana mereka menggalas tanggungjawab yang besar. Namun apa yang
membelenggu minda ramai golongan belia sekarang, mereka cenderung menggunakan
masa muda mereka dengan perkara-perkara yang sia-sia dan memenuhi agenda
kehidupan mereka dengan aktiviti-aktiviti yang berunsurkan hiburan yang
melampau-lampau (hedonisme).
Kalimat “muda hanya sekali” yang diwarisi secara
turun-temurun telah menjadi kata kunci untuk mereka menghalalkan
aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah (lagho)
hatta melanggar syariat agama. Mereka beranggapan masa muda adalah masa untuk
bergembira dan melakukan segala-galanya. Bila umur masuk 40-an, barulah mereka
akan fikir tentang akhirat, duduk di masjid dan beramal. Itupun bagi mereka
yang mempunyai kesedaran, kalau tidak mereka akan terus hanyut dengan kehidupan
muda mereka walau sudah lanjut usia. Bak kata pepatah, “rumah kata pergi, kubur
kata mari” Sebuah hadith menyatakan, “sebaik-baik
pemuda di antara kamu adalah yang mirip/ seperti orang dewasa di antara kamu,
dan sejelek-jelek orang tua di antara kamu adalah yang seperti pemuda di antara
kamu.” (HR. Bukhari)
Sesebuah bangsa meletakkan harapan yang tinggi kepada
golongan belia. Kepada merekalah gagasan-gagasan pembangunan dan kemajuan
bangsa dapat diteruskan mengikut acuannya yang tersendiri. Justeru itu,
golongan belia yang kuat jati dirinya, berwawasan dan punyai nilai integriti
yang tinggi amat didambakan. Golongan inilah yang akan membangkitkan kejayaan
kepada sesebuah bangsa.
As-Syahid Imam Hasan Al-Banna begitu mengambil berat akan
pembinaan golongan belia/pemuda dengan menekankan empat kriteria penting yang
tersemat dalam diri setiap belia. Beliau menyebut:
“Sesuatu gagasan akan berjaya jika wujud keyakinan yang
kuat dengan gagasan yang didokong, wujudnya keikhlasan dalam mendokongnya,
semangat yang sentiasa membara bersamanya serta sedia berkorban dan berusaha
untuk merealisasikannya. Keempat-empat asas ini iaitu keimanan, keikhlasan,
semangat dan usaha adalah sifat-sifat istimewa para pemuda. Sebabnya, asas
keimanan ialah hati yang bersih, asas keikhlasan ialah jiwa yang suci, asas
semangat ialah keinginan yang kuat, asas usaha ialah keazaman yang membara.
Semua sifat ini hanya ada pada pemuda. Atas dasar ini dalam mana-mana bangsa,
para pemuda menjadi tonggak kebangkitan mereka. Setiap kebangkitan ada rahsia
kekuatannya yang tersendiri. Setiap gagasan ada pendokong panjinya.
Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud,
“Sesungguhnya
mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi
mereka dengan hidayah petunjuk. (Al-Kahfi:13)”
Ciri-ciri
ideal belia Islam
1-Ketahanan
iman dan akidah.
Seseorang belia Muslim perlu mempunyai ketahanan iman dan
akidah yang ampuh bagi menghadapi segala cabaran dalam kehidupan. Kalimah La
ilaha ilallah hendaklah menjadi zikir harian yang akhirnya melahirkan jiwa-jiwa
yang berani dan kental serta komited dalam mengharungi perjuangan hidup. Mereka
tidak pula senang mengaku kalah bila diuji di waktu susah dan senang. Allah
S.W.T. berfirman dalam surah Ali-‘Imran : ayat 139 mafhumnya, “Janganlah kamu merasa lemah dan berdukacita.
Kamu adalah lebih tinggi (darjatnya) sekiranya kamu beriman.” Untuk membina
ketahanan iman dan akidah yang sejahtera, seseorang perlu sentiasa memahami dan
mendalami agamanya melalui guru-guru yang mursyid dan pembacaan, sentiasa
bertaqarrub (mendampingi) Allah, bertaubat dan melakukan segala syariat agama
dan menjauhi larangan-Nya.
2.
Taat kepada Allah dan ibadah yang betul
Manusia itu diciptakan oleh Allah Taala adalah
semata-semata untuk kita semua menyembahNya. Allah berfirman dalam surah
Al-Zariyat: ayat 56 yang bermaksud, “Dan
tidaklah aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu.”
Taat kepada Allah bermaksud menunaikan segala syariat-Nya dan menjauh
larangan-larangan-Nya. Manakala ibadah yang betul adalah refleksi daripada
akidah yang sejahtera lagi benar. Setiap orang Islam di tuntut menunaikan
ibadah wajib seperti yang terungkap di dalam rukun Islam yang lima. Selain
menunaikan ibadah wajib, kita juga perlu menunaikan ibadah sunat seperti
berzikir, sentiasa bersuci, qiyamullail dan sebagainya bagi sentiasa merasa
dekat kepada Allah S.W.T, Tuhan yang Maha Esa. Taat dan beribadah kepada Allah
merupakan manifestasi tanda kesyukuran kita kepada-Nya atas segala nikmat yang
dikurniakan kepada kita.
3.
Berilmu dan berpengetahuan luas.
Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “menuntut ilmu adalah suatu kewajipan bagi
setiap orang Muslim.” Malah, pepatah Arab pernah mengatakan, “tuntutlah
ilmu semenjak dari buaian hingga ke liang lahad”. Hadith dan pepatah di atas
menggesa setiap orang Islam supaya menimba ilmu bagi menambah pengetahuan
kedua-dua ilmu fardhu ‘ain dan ilmu fardu kifayah. Proses menimba ilmu pula
tidak akan pernah terhenti selagi mana nyawa di kandung badan. Ilmu yang sahih
yang berpaksikan kepada falsafah tawhid akan menjadi guru terbaik dalam memandu
diri kearah kebaikan dan kebenaran. Ilmu itu juga digunakan untuk membangunkan
bangsa, agama dan tamadun Islam.
4.
Akhlak dan sahsiah diri yang mantap
Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud, “sesungguhnya aku diutuskan adalah untuk
menyempurnakan kemuliaan akhlak.” Baginda Rasulullah merupakan qudwah
hasanah bagi setiap individu Muslim kerana akhlak baginda diumpamakan seperti
Al-Qur’an. Umum mengetahui Islam itu tidak akan lengkap sekiranya elemen akhlak
ini di ketepikan. Sirah pernah menceritakan bahawasanya pada suatu hari
khalifah Harun Ar-Rasyid telah bertanya Imam Abi Yusuf yang menjadi mufti di
kala itu tentang akhlak serta peribadi gurunya Imam Abu Hanifah. Beliau yang menjawab:
“sesungguhnya beliau adalah seorang yang bersungguh-sungguh mempertahankan
hukum-hukum Allah, beliau menjaga dirinya dari mendekati orang-orang yang cinta
dunia, banyak berdiam tetapi akalnya sentiasa berfikir, beliau tidak banyak
bercakap tetapi bila saja ditanya apa juga masalah sudah pasti beliau akan
dapat menjawabnya. Beliau terlalu menjaga diri dan agamanya dan tidak suka
mengambil tahu keburukan orang lain, tidak akan menyebut nama seseorang
melainkan beliau menceritakan kebaikan orang itu. Khalifah pun berkata: “inilah
akhlak orang yang soleh!”
5.
Sihat tubuh badan.
Menjaga kesihatan tubuh badan amat dituntut dalam Islam.
Apabila anggota tubuh badan sihat, segala urusan agama dapat dilaksanakan
dengan sempurna. Kita dilarang melakukan sesuatu yang boleh memberi mudarat
kepada diri. Disebabkan itu, gejala ketagihan dadah, arak, zina, rempit dan
seumpamanya wajib dijauhi. Sumber dan bahan makanan juga perlu diberikan
perhatian kerana setiap makanan yang masuk ke dalam perut kita akan mempengaruhi
kesihatan tubuh badan serta akhlak kita.
6.
Bermanfaat kepada orang lain.
Sebuah hadith pernah menyatakan, “sebaik-baik manusia adalah seseorang yang memberi manfaat kepada orang
lain.” Berguna kepada orang lain boleh difahami sebagai menunaikan tanggungjawab
kebajikan dan sosial. Tanggungjawab itu boleh disalurkan melalui pelbagai
kaedah antaranya melaksanakan hak-hak saudara seakidah dan sesama manusia
seperti kasih sayang, hormat-menghormati dan tolong-menolong. Kita juga boleh
memberikan sumbangan kepada pembangunan ekonomi Islam melalui sistem
keusahawanan Islam. Berpersatuan atau melakukan kerja-kerja sukarelawan juga
salah satu kaedah untuk kita memberi khidmat dan tanggungjwab sosial kita
kepada masyarakat. Motto “Hidup Biar Berjasa” boleh memberikan kita motivasi
untuk sentiasa menyumbang sebanyak-banyaknya dan bukannya menerima
sebanyak-banyaknya.
7.
Peka kepada perubahan sosio-politik-ekonomi lokal dan global
Seseorang individu belia harus peka kepada setiap
perubahan sosio-politik-ekonomi setempat dan juga pada peringkat global. Ini
perlu bagi merangka teknik dan strategi bagi menghadapi segala kemungkinan.
Belia yang celik terhadap isu-isu yang melanda Negara dan dunia khususnya dunia
Islam sedikit sebanyak dapat menyumbang idea-idea bernas bagi kemajuan bersama.
Kepekaan belia kepada setiap perubahan yang berlaku dapat mematangkan fikiran,
meluaskan pengalaman dan bijak dalam mengatur strategi demi menghadapi hari
muka.
Kesimpulan
Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud, “gunakanlah lima kesempatan sebelum
datangnya lima kesempitan: sihatmu sebelum datang sakit, lapangmu sebelum
datang kesibukan, mudamu sebelum datang hari tua, kayamu sebelum datang
kemiskinan dan kesempatan masa hidupmu sebelum datang kematian.” Hadith di
atas memberikan kita peringatan supaya memanfaatkan masa muda belia kita dengan
sebaik mungkin.
Sebahagian nasihat baginda Rasulullah kepada umatnya
ialah:
“Adalah
dikira sebagai tanda berpalingnya Allah Taala daripada seseoranng hamba apabila
ia selalu mengerjakan perkara yang tidak berfaedah. Dan seandainya ada satu
saat daripada umurnya yang telah digunakannya pada barang yang bukan merupakan
tujuan hidupnya (iaitu beribadat kepada Allah) maka layaklah bahawa akan
panjang penyesalannya (pada hari kiamat nanti) dan siapa yang umurnya lebih
daripada empat puluh tahun sedangkan kebaikannya masih belum dapat melebihi
kejahatnnya maka layaklah ia mempersiapkan dirinya untuk memasuki api neraka.”
Akhir bicara, kepada kaum Muslimin khususnya kepada
golongan belia, ayuhlah kita semua melakukan perubahan dari segala sudut
terutamanya sudut peribadi dengan menyemai dan menyuburkan peribadi dengan
nilai-nilai Islami dan rabbaniy demi mengorak langkah menjulang kebangkitan
ummah lalu membina semula tamadun Islam yang telah terlepas daripada tangan
kita. Allah berfirman dalam surah Al-Ra’ad: 11 yang bermaksud, “sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang
ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka
sendiri.”
Oleh kerana zaman belia adalah zaman yang paling gemilang
dalam kehidupan manusia maka kitalah yang bertanggungjawab melaksanakan misi
agung itu. Harapan kepada belia-belia Islam boleh diungkapkan melalui ucapan
As-Syahid Imam Hassan al-Banna dalam ‘Dakwah Kita di Era Baru’ ,“kita mahukan
jiwa yang hidup, kuat dan bertenaga. Kita mahukan hati baru yang menyala. Kita
mahukan perasaan yang bergelojak membara. Kita mahukan roh yang bercita-cita
tinggi. Kita mahukan jiwa yang dapat membayangkan betapa tingginya impian dan
matlamat ini supaya ia dapat mengejar dan mencapainya.” Hidup biar berjasa.
Wallahu’alam.
Oleh,
FARIDAH
BINTI MOHD TAP
PENSYARAH PENGAJIAN UMUM
KOLEJ UNITI PORT DICKSON
(Diterbitkan di Majalah MileniaMuslim Edisi Ogos 2009,
dan Berita Harian ruangan Agama)
0 comments:
Post a Comment