Artikel ini pernah diterbitkan di Majalah I. |
Antara sifat mulia yang diberikan darjat tinggi dalam
Islam adalah beristiqomah. Ya, alam remaja penuh dengan 1001 pesona menggoda
dan onak duri yang memakan diri bila sekali terlalai. Dengan istiqomah, remaja
muslim mampu menepis segala dugaan yang menguji keimanan supaya tetap di atas
manhaj yang lurus menuju kehidupan yang diredhai Ilahi. InsyaAllah.
Istiqomah adalah satu ciri penting kearah membina jati
diri remaja muslim berwawasan. Remaja berwawasan mempunyai tanggapan dan
pandangan yang jauh dan mendalam tentang perkembangan masa depannya atau dengan
lain perkataan, remaja berwawasan adalah remaja yang tahu ke mana hala tuju
kehidupannya.
Bagi remaja muslim, wawasan kehidupannya tidaklah terhad
kepada duniawi semata-mata tetapi untuk alam yang lebih abadi iaitu alam
akhirat. Disitulah penghidupan sebenarnya, sementalahan dunia ini diibaratkan
sebagai ladang untuk kita menanam sebanyak-banyaknya benih amal supaya hasilnya
dapat dikutip sebagai bekalan bertemu-Nya, Allah Rabbul ‘Izzati. InsyaAllah.
Namunpun begitu, kehidupan di dunia ini tidak semudah yang
di jangka. Pelbagai pesona yang menggoda syahwat menyebabkan ramai remaja muslim
terjerumus ke dalam lembah kehancuran
dan kehinaan. Justeru itu, sedari awal Islam mementingkan untuk kita istiqomah
di atas jalan-Nya. Untuk itu, Rasulullah sebagai pembawa risalah dari Allah S.A.W
telah bersabda, bermaksud,
“Dari Abu Amr, -ada juga yang mengatakan- Abu ‘Amrah,
Suufyan bin Abdillah Ats Tsaqofi radhiallahuanhu dia berkata, saya berkata : “
Wahai Rasulullah shollallohu ‘alaihi wa sallam, katakan kepada saya tentang
Islam sebuah perkataan yang tidak saya tanyakan kepada seorangpun
selainmu. Baginda bersabda: Katakanlah: saya beriman kepada Allah, kemudian
berpegang teguhlah (istiqomahlah).(Riwayat
Muslim).
LANGKAH-LANGKAH MEMUPUK SIFAT ISTIQOMAH
Istiqomah senang dilafaz, tetapi sukar sekali
dilaksanakan. Oleh itu penulis akan berkongsi beberapa hal utama yang boleh
membantu kita untuk istiqomah seperti yang dipetik daripada Syarah Hadith
Istiqomah oleh Syaikh Prof. Dr. Abdul Rozzaq Al-Badr di RadioRodja.com (sumber:
us.kajian.net).
Pertamanya ialah doa. Doa
sebagai kunci segala kebaikan adalah senjata untuk kita memohon kepada Allah
agar sentiasa istiqomah dengan akidah yang benar hingga ke akhir hayat dunia.
Firman Allah Ta’ala dalam surah Al-‘Imran, ayat 8 yang bermaksud: “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati
kami cenderung kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan
kurniakanlah kami rahmat daripada sisi-Mu kerana sesungguhnya Engkaulah Maha
Pemberi.”.
Keduanya ialah mujahadah iaitu
berjuang bersungguh-sungguh untuk mengamalkan perintah Allah Ta’ala dan
menjauhi segala larangan-Nya. Remaja harus tabah dan istiqomah untuk membawa imej
muslim sebenar walau di mana jua mereka berada. Dengan pelbagai ancaman ideologi
yang cuba memesong akidah dan amalan mengikut syariah, remaja harus bulatkan
tekad, tingkatkan iltizam beristiqomah dengan ajaran Islam yang syumul sebagai
identiti diri.
Ketiga ialah solat. Menurut Syaikh
Prof. Dr. Abdul Rozzaq Al-Badr, solat adalah wasilah atau jalan supaya tetap
teguh (thabat) di atas jalan Allah.
Ini kerana setiap kali solat, kita akan membaca surah Al-Fatihah sebagai
salah-satu rukun solat. Dalam bacaan Al-Fatihah, kita sebenarnya sedang berdoa
untuk sentiasa istiqomah di jalan-Nya yang lurus. Remaja hari ini harus kembali
menghidupkan ruh solat dalam jiwa dan raga kerana solat adalah perisai diri
dari segala kejahatan dan kemaksiatan.
Berikutnya ialah membaca Al-Qur’an. Al-Qur’an mestilah dijadikan wirid harian
sebagai pengubat jiwa dan rohani yang ketandusan. Ia bukan sekadar dibaca,
tetapi perlu diiringi dengan kefahaman terhadap intipati yang ingin disampaikan
(tadabbur) melalui orang-orang soleh
dan buku-buku agama yang benar. Remaja Muslim harus mendekatkan diri dengan
Al-Qur’an kerana ia adalah petunjuk jalan yang benar. Zikr Al-Ma’thurat juga
yang dibaca waktu pagi dan petang juga penting sebagai pelindung sehari-hari
kita dalam menjalani kehidupan dunia.
Selain itu, hal lain yang boleh
memperkukuh diri untuk beristiqomah ialah dengan menjauhi segala sumber fitnah iaitu tempat tersebarnya segala
syahwat seperti pusat hiburan, pusat judi dan sebagainya. Islam melarang kita
menjerumuskan diri ke tempat-tempat sedemikian kerana ia akan merosakkan kepercayaan
(thiqah) diri kerana kita gagal
istiqomah untuk kekal di atas manhaj Islam. Walaupun begitu, Allah memberi
peluang untuk kita kembali kepada-Nya melalui pintu taubat kepada yang terlanjur
derhaka kerana manusia itu sifatnya lupa dan lalai.
Seterusnya ialah memilih sahabat-sahabat yang baik lagi soleh. Pada peringkat umur
remaja, rakan sebaya adalah agen sosialisasi terpenting selepas keluarga.
Justeru, pemilihan rakan yang soleh membantu seseorang remaja untuk kekal
istiqomah sebagai muslim yang taat dan berwawasan. Sahabat yang baik
diibaratkan sebagai penjual minyak wangi dimana kita akan mendapat tempias
wangiannya, dan sahabat yang jahat diibaratkan sebagai pembuat besi dimana kita
mendapat tempias bau tengik besi tersebut.
Menjaga diri dari tipu-daya syaitan
juga antara hal yang perlu dititik-beratkan untuk setiap remaja istiqomah
dengan wawasan dan jati diri muslim. Segala kesukaan syaitan seperti lalai
mendirikan solat, malas, berhibur, berangan-angan, bermewah-mewah dan leka dengan
pelbagai alatan teknologi merupakan antara ruang dan peluang untuk syaitan
laknatullah menipu daya manusia ke jalan yang dimurkai Tuhan. Justeru itu,
menjadi tanggungjawab setiap remaja muslim menutup segala pintu-pintu yang
menggoyahkan identiti sebagai remaja muslim yang berwawasan dengan bersederhana
(wasatiyyah) dalam semua perkara.
Akhirnya ialah mengingati hari akhirat
sebagai motivasi untuk remaja muslim sentiasa beristiqomah. Tiada yang lebih
indah bagi seseorang Muslim apabila di akhir hayat dunianya dikurniakan husnul
khatimah dan berbahagia di alam abadi. Pada umur muda remajalah, kita
digalakkan menggunakan segala kekuatan kurniaan Tuhan dari aspek intelek,
idealism, tenaga dan jiwa untuk membuat sebanyak-banyak amal kebajikan untuk
hari kemudian yang lebih abadi.
Kesimpulannya, remaja berwawasan
adalah remaja yang sentiasa istiqomah dengan keimanan kepada Allah ‘Azza Wa
Jalla. Sifat istiqomah ini perlu dibajai dengan doa, usaha, ikhtiar dan tawakal
(D.U.I.T) supaya kekal subur di dalam diri dan menaikkan thiqah (kepercayaan) remaja muslim tatkala ramai yang kecundang.
Semoga adik-adik remaja muslimku di luar sana menjadi remaja mu’min yang
sentiasa berwawasan selari dengan ajaran Islam. Amin Ya Rabb. Wallahu’alam.
Oleh,
FARIDAH BINTI MOHD TAP
Pensyarah Jabatan Pengajian Umum,
FPPM, Kolej UNITI, PD.
0 comments:
Post a Comment