Pages

Thursday, 18 April 2013

SALAM JUMAAT: WAKTU DAN KEHIDUPAN.






Kuperhatikan jam didinding. Lama mataku terpaku ke arah jam itu. Berbentuk bulat sederhana, berwarna hitam, putih dan kelabu. Warna yang melambangkan professionalisme. Terdapat 12 nombor berwarna putih tersusun mengikut turutan membulat 1,2, 3, 4 dan seterusnya hingga 12 berlatarbelakangkan warna hitam.


Terdapat tiga jarum yang berbeza saiz yang berpusat ditengah-tengah bulatan jam. Jarum-jarum itulah yang menentukan masa. Jarum yang sedikit panjang, halus dan bergerak dengan kadar yang pantas ditugaskan untuk menentukan saat. Manakala, jarum panjang yang bergerak dengan kadar yang perlahan ditugaskan untuk menentukan minit. Jarum ketiga diciptakan pendek, sedikit besar dan bergerak dengan sangat-sangat perlahan. Ia ditugaskan untuk menentukan masa dalam ‘jam’.


Bateri digunakan untuk membolehkan jam serta komponen-komponennya berfungsi dengan baik. Jika ketiadaan bateri sebagai sumber kuasa, sebuah jam tidak memberikan apa-apa makna kepada si pemiliknya. Kerana pemilik jam tidak dapat mengetahui masa.


Jam atau masa yang paling penting?


Sudah tentu masa yang terpenting. Jam hanya berfungsi sebagai teknologi untuk menunjukkan masa. Ramai yang bersetuju mengatakan masa adalah yang paling signifikan. Namun berapa ramai yang tidak ambil peduli tentang kepentingan masa.


Kepentingan masa diperakui dalam Islam sepertimana firman-Nya dalam surah Al-‘Asr, ayat 1 hingga 3 yang bermaksud,

“Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.”




Tatkala kurenung jam itu, masa seolah-olah berlalu begitu perlahan. Setiap saat dirasakan lama sekali. Namun hakikatnya masa berlari meninggalkan kita dengan begitu pantas. Buktinya, jika semalam kita adalah bayi kecil yang lemah, namun sekarang kita sudah dewasa, berumahtangga dan mengendong anak kecil pula. Ya, bila dikenang-kenang, setiap saat berlalu dengan sangat pantas. Amat singkat masa kehidupan kita didunia.


Justeru itu, Allah bersumpah dan mengingatkan kita tentang masa. Sudahlah masa itu singkat, namun masih lagi mengisinya dengan perbuatan-perbuatan ‘lagho’ (sia-sia) dan inilah sebabnya manusia itu sentiasa didalam kerugian. Kerugian kerana tidak banyak amalan baik yang dapat dilakukan semasa hayat dunia yang menjadi bekalan di alam akhirat yang abadi. Namun, Allah juga bertegas menyatakan orang yang menghargai masa dengan beramal soleh dan menyampaikan kebenaran dan kesabaran adalah golongan yang dikurnai Allah keberuntungan di dunia dan akhirat. 


Berbicara mengenai masa, kuteringat sebuah kisah di antara Hujjatul Islam, Imam Al-Ghazali dengan murid-muridnya. Dikisahkan suatu hari Imam Al-Ghazali  bertanya kepada murid-muridnya mengenai perkara/benda yang paling jauh dari diri kita didunia ini. Ada di antara murid-muridnya menjawab Negara China, bulan, matahari dan bintang-bintang. Imam Al-Ghazali membenarkan semua jawapan-jawapan tersebut, NAMUN beliau menegaskan jawapan yang paling benar adalah MASA LALU. Bagaimana hebat dan sofistikated sekalipun kenderaan kita, mana mungkin kita mampu kembali ke masa lalu.


Ibrahnya, kita haruslah memanfaatkan masa kehidupan kita dengan perkara-perkara yang selaras dengan syariat agama. Ini kerana, kelalaian kita terhadap masa kini mengakibatkan kerugian hatta kita tiada peluang untuk kembali ke masa lalu untuk kita memperbetulkan kesilapan. Justeru, kehidupan yang berbaki ini perlu diteruskan bagi memperoleh redho-Nya. Sekarang fikir-fikirkanlah bagaimana kita mahu menghargai waktu yang singkat ini untuk kebahagiaan kita di akhirat kelak.  Wallahu’alam.



Salam hormat,

Faridah Mohd Tap
Ketua Jabatan Pengajian Umum, 
FPPM, Kolej UNITI, PD.

0 comments:

Post a Comment