Penganjur Jabatan Pengajian Umum Kolej UNITI bersama panel jemputan. |
Semua manusia ada sifat kreatif. Coplay (2001) mengetengahkan konsep kreativiti kepada 2 tahap iaitu, kreativiti sehari-sehari atau kreativiti biasa dan kreativiti mengagumkan.
Justeru, tiada manusia sifar kreatif tetapi yang membezakan kreativiti seseorang individu adalah darjah kreativitinya sama ada rendah atau tinggi. Kreativiti biasa dimiliki oleh semua manusia manakala kreativiti mengagumkan adalah kreativiti yang mendapat pengiktirafan masyarakat.
Secara umumnya, kreativiti merujuk kepada satu pemikiran yang berkebolehan untuk menjana idea baru, menghasilkan produk dan mampu menyelesaikan masalah dan membuat keputusan yang baik. Perkataan inovasi dan reka cipta selalu dikaitkan dengan bukti kreativiti seseorang individu dari sudut kuantitaf yang boleh dinilai daripada mata kasar.
Dari aspek pendidikan, sistem pendidikan negara ini menjadikan latihan kemahiran berfikir kreatif sebagai keutamaan bukan sahaja di peringkat sekolah tetapi juga sebagai sebuah subjek wajib dipelajari di hampir semua institusi pendidikan tinggi. Ia sebagai tanda komitmen sistem pendidikan untuk menyediakan pelapis modal insan berdaya fikir kritis dan kreatif.
Komitmen tersebut diperkukuhkan lagi dengan perlaksanaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) di sekolah-sekolah.
Walaupun begitu, tidak semua individu mempunyai darjah kreativiti yang sama. Penulis berhadapan dengan pelajar yang berbeza latar belakangnya. Bagi program tertentu yang syarat kemasukannya ke peringkat diploma lebih tinggi, pelajar mempunyai daya kreativiti yang tidak memerlukan bimbingan yang banyak.
Tidak pula bagi pelajar yang lemah dan syarat kemasukan untuk mengikuti satu-satu program hanya memerlukan kelayakan minima, daya kreativiti pelajar ini pada tahap rendah. Justeru, ia menuntut dedikasi yang tinggi supaya mereka berkemahiran fikir secara kreatif yang menjadi keperluan asas pada abad ke-21 ini.
Bual bicara interaktif tentang kreativiti
Atas keprihatinan kreativiti sebagai salah satu kemahiran hidup abad kini, subjek kemahiran berfikir kritis dan kreatif digubal untuk pelajar di bawah naungan Jabatan Pengajian Umum, Kolej Uniti.
Jabatan juga menganjurkan sebuah program bual bicara bersama individu kreatif di Malaysia iaitu Muhammad Akmal Mohamad Dahlan (usahawan dan jutawan muda yang mengasaskan Ladang Alam Warisan) dan Ibrahim Anon atau Ujang (kartunis yang menjadi fenomena pada awal 80 dan 90-an dan kartunis tunggal diberi pengiktirafan melukis kartun di atas piring emas).
Kedua-dua panel berkongsi usaha-usaha menjadi kreatif untuk berjaya dalam hidup walaupun menempuh pelbagai halangan. Kedua-dua panel bersetuju usaha tanpa henti untuk membangunkan kreativiti dalam diri dan jangan sesekali putus asa. Pemikir kreatif juga perlu bijak mengambil peluang yang terbentang luas dan paling penting berilmu.
Daripada perspektif ekonomi dan sosiobudaya pula, industri kreatif penting kerana menjana pulangan yang lumayan kepada kemajuan ekonomi negara seperti yang dicatatkan dalam laporan Kementerian Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2008 dengan keuntungan sebanyak RM9.6 bilion.
Atas kepentingan ini, Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) digubal sebagai dasar induk untuk menetapkan prinsip-prinsip asas pembangunan industri kreatif. Dasar ini akan menjurus dan memacu segala kegiatan kreatif secara lebih produktif dan ekonomik melalui sinergi sektor awam dan swasta.
Industri kreatif yang dimaksudkan adalah melibatkan beberapa skop iaitu, industri kreatif multimedia, industri kreatif seni budaya dan industri kreatif warisan budaya yang bukan sahaja mempunyai nilaian dari sudut wang ringgit tetapi paling penting ia berwawasan untuk memartabatkan bangsa Malaysia.
Sebagai kesimpulan, tidak dinafikan kreativiti merupakan keperluan yang sangat penting abad ini.
Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk membangunkan daya kreativiti dengan cara memahami kreativiti itu terlebih dahulu. Inisiatif dan insentif dalam membangunkan modal insan dengan daya kreativiti mengagumkan akan mengeluarkan bangsa ini daripada bangsa pengguna kepada pengeluar.
Hasilnya, negara dipandang tinggi dan martabat bangsa Malaysia dapat dijulang ke persada dunia. – 18 Februari, 2016.
ana/article/kreativiti-sebagai-kemahiran-hidup-abad-ke-21-faridah-mohd-tap#sthash.L4lZG8we.dpuf
0 comments:
Post a Comment