Pages

Monday 25 April 2016

ELAKKAN SI KECIL MAUT DIHEMPAP TELEVISYEN- Nur Akmar Binti Mohd Arif

Gambar adalah sekadar hiasan.
Malaysia pernah dikejutkan dengan beberapa kes melibatkan kematian kanak-kanak akibat dihempap oleh televisyen. Kemalangan ke atas kanak-kanak seperti dihempap televisyen boleh berlaku di mana-mana sahaja, tidak kira tempat dan masa. Menurut Fiedler (2004), bahaya tidak dapat dielakkan kerana bahaya terdapat di setiap tempat, setiap keputusan yang dilakukan dan pada setiap tindakan yang diambil. Maka, ibu bapa berperanan penting dalam memastikan keselamatan kanak-kanak terjamin sepanjang dalam pengawasan mereka. 


         Anak-anak merupakan insan kecil yang tidak mengerti tentang bahaya di sekeliling. Jadi, ibu bapa berperanan besar untuk memantau segala aktiviti anak seiring dengan perkembangan umur mereka yang ingin mencuba dan melakukan penerokaan. Menurut Erik Erikson, pada peringkat umur prasekolah, kanak-kanak mempunyai sifat ingin tahu yang sangat tinggi tanpa mengetahui bahaya di sekeliling mereka. Jadi, ibu bapa perlu peka bukan sahaja terhadap  setiap aktiviti anak tetapi terhadap persekitaran bagi menjamin keselamatan kanak-kanak. 

Laporan berita di dada-dada akhbar mengenai kes kematian kanak-kanak akibat dihempap televisyen adalah bukti bahawa kes ini pernah berlaku di Malaysia baik di rumah mahupun di Taman Asuhan semasa dalam jagaan pengasuh. Secara umumnya, adalah di luar jangkaan dan pemikiran kita untuk memikirkan kemalangan boleh berlaku di ruang tamu yang cantik dan selesa tetapi inilah yang telah terjadi seperti kes kematian kanak-kanak perempuan, Siti Noraian Maisarah, berusia dua tahun yang berlaku pada tahun 2014 akibat dihempap televisyen seberat 33 kg. 

Kes yang berlaku di Teluk Intan adalah disebabkan kanak-kanak itu tidur berhampiran rak televisyen yang tidak kukuh yang diletakkan di ruang tamu. Mengikut kes yang dilaporkan pada Disember 2014 ini, kabinet untuk meletak televisyen yang jatuh itu sudah reput di bahagian bawah selain turut dilapik dengan kayu pada kakinya kerana lantai rumah tidak rata. Hasil bedah siasat mendapati mangsa yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sehingga menyebabkan kematian.


Hasil dapatan kajian penulis, sepanjang tahun 2010-2014 telah berlaku beberapa kes seumpama kanak-kanak malang, Siti Noraian. Pada 19 Januari 2010, seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun telah dilaporkan maut di rumahnya di Kulai, Johor akibat dihempap televisyen bersaiz 24 inchi. Diikuti dengan  berita yang dilaporkan pada 14 Oktober 2012 dimana seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun juga telah maut dihempap televisyen di rumahnya di Ampang Saujana, Ampang. Selain itu, laporan pada tahun 2013 juga menyaksikan kematian kanak-kanak lelaki yang berusia dua tahun yang maut dihempap televisyen bersaiz 29 inchi dimana kejadian ini berlaku rumahnya di Alor Setar.


Kemalangan dihempap televisyen ini juga pernah berlaku di Taman Asuhan. Pada September 2013, seorang bayi yang baru berusia setahun lapan bulan dilaporkan telah maut dihempap televisyen di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Rawang akibat kecuaian pengasuh. Pada Januari 2014, seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, Chew Hii Zhen juga dilaporkan telah maut selepas dihempap televisyen bersaiz 29 inci di rumahnya di Butterworth. Pada November 2014, satu lagi kes kematian seorang kanak-kanak lelaki yang berusia empat tahun akibat mengalami pendarahan serius di bahagian kepala setelah dihempap televisyen. Kes ini dilaporkan berlaku apabila mangsa dikatakan memegang televisyen untuk menonton rancangan kartun di kediamannya di Teluk Intan sebelum televisyen berkenaan dikatakan telah jatuh dan menghempap mangsa. Kes-kes yang dilaporkan ini adalah sebagai bukti kejadian kanak-kanak maut dihempap televisyen pernah berlaku di Malaysia.


Anak-anak tidak boleh dibiarkan bermain bersendirian di ruang tamu yang menjadi tempat utama letaknya televisyen kerana mereka merupakan individu yang memerlukan sentuhan dan perdampingan orang dewasa untuk kelangsungan hidup yang sejahtera.. Seperti kata pepatah Inggeris, don’t’ leave a kid even a minute. Ibu bapa perlu bersama-sama bertanggungjawab terhadap keselamatan kanak-kanak yang memerlukan kawalan dan pemantauan orang dewasa bagi mengelak berlakunya kemalangan yang tidak diingini.


LANGKAH-LANGKAH KESELAMATAN DI RUMAH


Menurut Kournitis et.al (2001), kemalangan yang berlaku adalah disebabkan oleh kesilapan manusia. Kesilapan manusia Ini merujuk kepada kecuaian manusia yang mungkin disebabkan oleh kepenatan, kejahilan atau keadaan persekitaran. Bagi mengelak berlakunya kes kematian kanak-kanak disebabkan dihempap televisyen ini, ibu bapa perlu sentiasa memastikan televisyen berada dalam posisi yang selamat dan stabil serta dalam jangkaan ergonomik yang sesuai. 

Susun atur penyimpanan televisyen adalah perlu di tempat yang lebih stabil, kukuh dan jauh daripada kanak-kanak. Kreativiti ibu bapa dalam menempatkan susun atur kedudukan televisyen perlulah seiring dengan kepekaan pada aspek keselamatan untuk seisi rumah. Ibu bapa juga perlu lebih peka supaya tidak meletak barang atas televisyen yang boleh mendorong dan menarik minat kanak-kanak untuk memanjat dan mencapainya. Tali atau wayar yang berselirat berdekatan televisyen juga perlulah dikemaskan semula bagi mengelak risiko kanak-kanak bermain dengannya dan seterusnya boleh menyebabkan televisyen tersebut jatuh dan menghempap kanak-kanak.

Menurut Fye and Mumpower (2001), susun atur perabot yang selamat adalah penting bagi memudahkan pergerakan dan mengelak berlakunya kemalangan yang tidak diingini. Ibu bapa perlu sentiasa melakukan 'Senarai Semak Keselamatan Agar Barang Tidak Terjatuh' iaitu dalam tujuan memastikan televisyen sentiasa diletakkan dalam posisi yang betul di tempat yang stabil. Dalam memastikan televisyen tidak mudah terjatuh, perabot televisyen tersebut perlulah disandarkan ke dinding selain dipastikan berada di atas permukaan yang luas dan kukuh serta diletakkan jauh daripada ruang lingkup capaian kanak-kanak. Perabot yang rosak dan lusuh yang digunakan untuk penyimpanan televisyen atau televisyen yang lama, yang sudah rosak dan tidak berfungsi lagi juga perlu dikeluarkan atau diasingkan dalam rumah yang didiami oleh kanak-kanak bagi mengelak risiko tertumbang dan menghempap si kecil.

Ibu bapa perlu lebih bertanggungjawab terhadap keselamatan anak-anak mereka. Setiap pergerakan anak perlu dipantau demi menjamin keselamatan mereka. Prosedur keselamatan di rumah perlu diambil berat dan diamalkan oleh seisi rumah. Contohnya, ibu bapa perlu menerapkan disiplin dalam kalangan anak supaya tidak tidur atau bermain di kawasan berhampiran televisyen tanpa kawalan ibu bapa. Kita perlu lebih bersedia dalam menjangkakan risiko-risiko bahaya yang mungkin berlaku akibat kecuaian kita.

Persekitaran rumah yang tidak selamat seperti kabinet yang tidak kukuh dan hampir reput juga perlu dijauhkan daripada kanak-kanak demi keselamatan mereka. Ini bagi memberi peluang kepada anak untuk meneroka dan membesar dalam keadaan sejahtera dan selamat serta jauh daripada ancaman bahaya. Mencegah itu lebih baik daripada merawat. Mencegah daripada berlakunya kemalangan itu pun tidak mudah tetapi untuk merawat kemalangan yang berlaku itu adalah lagi mahal, mendatangkan kos dan tidak menguntungkan. Malah, akan meninggalkan kesan yang mendalam dan trauma berpanjangan jika kecuaian kita menyebabkan kematian anak yang dikasihi. 



Diolah oleh,

Cik Nur Akmar Mohd Arif,
Pensyarah Jabatan Pendidikan,
Diploma Pendidikan Pra Sekolah,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, 
Kolej UNITI, Port Dickson.

0 comments:

Post a Comment