Pages

Sunday, 10 April 2016

PELAJAR FPPM TABUR BAKTI BANTU IBU TUNGGAL

PORT DICKSON- Seorang ibu tunggal sebak dalam senyum apabila rumah usang yang didiaminya telah dibaik pulih oleh kira-kira 40 orang pelajar Kolej UNITI di bawah Program Sumbangan Ihsan Masyarakat Miskin baru-baru ini.



Dekan Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Siti Zaleha Ahmad berkata, pelajar-pelajar dari fakulti itu telah bergabung tenaga untuk membaiki rumah ibu tunggal, Maryamah binti Sulong, 67, yang terletak di Kampung Sungai Raya.


 ‘’Kami mendapat maklumat tentang kesusahan ibu tunggal itu daripada ketua kampung dan pihak BaitulMal Daerah Port Dickson. ‘’ Ujar Siti Zaleha.


Maryamah Sulong ialah seorang ibu tunggal kematian suami yang mempunyai seorang anak Orang Kurang Upaya (OKU), Junaidi bin Mohd Taufiq, 46, berpendapatan rendah dan mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat setiap bulan.


“Program ini turut memberi pendedahan kepada pelajar untuk melihat keadaan masyarakat setempat terutamanya di luar bandar yang serba kekurangan dan menggalakkan mereka untuk melipatgandakan usaha membantu golongan yang memerlukan.”


“Usaha murni ini dilakukan atas rasa tanggungjawab yang dilakukan dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan atau habuan. Antara aktiviti yang dilakukan adalah membersihkan kawasan luar rumah, mengecat dan menukar tikar getah rumah ibu tunggal tersebut.” Kata Siti Zaleha lagi.


Sehubungan itu, beliau mahu pelajar yang terlibat sentiasa menanam azam dan semangat untuk belajar sambil berbakti kepada masyarakat.


Aktiviti khidmat sosial yang dilakukan ini merupakan satu usaha yang murni dan dapat memberi sinar baru kepada kehidupan orang lain lebih-lebih lagi golongan yang kurang berkemampuan seperti keluarga ini.



“Harapan saya agar semua pelajar dapat menamatkan pembelajaran dengan cemerlang di Kolej UNITI dan seterusnya dapat meningkatkan taraf hidup yang lebih baik di masa hadapan.” Akhiri Dekan Fakulti itu. 



Galeri foto:










0 comments:

Post a Comment