Pages

Monday 31 October 2016

G6PD- Nurulhuda Binti Musa

Apakah itu G6PD?

Glucose-6-phosphate dehydrogenase atau dikenali sebagai G6PD ialah sejenis enzim di dalam sel darah merah. Ia berfungsi untuk melindungi sel darah merah daripada pecah (hemolisis) dengan lebih awal apabila terdedah kepada ubat-ubatan tertentu, makanan dan jangkitan. Kekurangan enzim G6PD merupakan penyakit bawaan genetik tetapi ia bukan penyakit berjangkit.

Apakah yang dimaksudkan dengan kekurangan enzim G6PD?

Apabila paras enzim G6PD rendah, sel darah merah tidak mampu menahan keadaan stress seperti jangkitan teruk atau apabila bahan kimia atau ubat-ubatan tertentu diambil, sekaligus menyebabkan sel darah merah pecah. Hemolisis berlaku dengan cepat dan membawa kepada hemolitik anemia. Ibu bapa tidak perlu risau kerana pada dasarnya penyakit ini tidak merbahaya. Komplikasi hanya akan terjadi jika mereka terdedah kepada bahan-bahan yang boleh menghasilkan proses homolisis di dalam darah.

Bagi bayi yang baru dilahirkan, doktor akan mengambil sedikit darah dari tali pusat dan dihantar untuk pemeriksaan. Sekiranya didapati bayi kekurangan G6PD maka pemantauan diperlukan kerana bayi berisiko untuk mendapat penyakit kuning yang teruk. Bayi dan ibu yang menyusui bayi tersebut juga perlu terhindar daripada bahan-bahan yang boleh menyebabkan kemusnahan darah merah. Seandainya termakan bahan-bahan tersebut maka sel darah merah bayi akan musnah dengan cepat.

Bahan-bahan yang patut dielakkan

                                               Image result for G6PD

Terdapat pelbagai jenis makanan yang perlu dielakkan oleh ibu yang boleh menyebabkan kemusnahan darah merah. Antaranya adalah kacang parang, makanan yang mengandungi pewarna tiruan methylene dan toluidine blue, makanan yang mengandungi sulfida kacang soya dan semua produk kacang. Makanan ini bahaya untuk bayi dalam kandungan si ibu.

Segala bahan beracun termasuk ubat-ubatan yang boleh membahayakan ibu dan anak dalam kandungan juga perlu dijauhi seperti ubat untuk merawat Malaria, ubat penahan sakit seperti Acetylsalicylic Acid (Aspirin), Phenacetin (Acetophenetidin) dan Aminopyrine (Amidopyrine). Selain itu, ubat antibiotik seperti Chloramphenicol, Furazolidine, Nitrofurantoin, Nitrofurazone dan Para-Aminosalicy Acid juga boleh mengancam keselamatan bayi. Ubat nyamuk dan ubat gegat juga perlu dijauhkan kerana ia boleh menjadi racun yang akan memudaratkan ibu dan bayi dalam kandungan.

Kesimpulannya, ibu bapa perlu peka dengan keadaan persekitaran yang boleh memudaratkan kesihatan ibu dan bayi. Pengetahuan mengenai G6PD dalam kalangan ibu bapa adalah penting bagi memastikan ibu bapa sentiasa bersedia dan peka dengan setiap tindakan yang dipilih demi kesejahteraan anak.




Disediakan oleh,

Nurulhuda Binti Musa
Pensyarah Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson

0 comments:

Post a Comment