Apakah imunisasi?
Imunisasi merujuk tindakan merangsang sistem
daya lawan jangkitan (imun) untuk menghasilkan antibodi melalui pemberian
vaksin. Ianya juga merupakan satu kaedah pembentukan daya lawan (imuniti) jangkitan
penyakit cegahan vaksin secara aktif. Vaksin mengandungi antigen yang
diperolehi dari sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria yang
telah dimatikan atau dilemahkan. Antigen dalam vaksin berfungsi untuk
merangsang sistem daya lawan jangkitan (sistem imuniti) tubuh membentuk imuniti
terhadap jangkitan penyakit khusus.
Imunisasi dipelukan bagi melindungi
diri, keluarga dan masyarakat daripada dijangkiti pelbagai penyakit cegahan
vaksin yang serius yang boleh mengakibatkan kecacatan dan kematian. Selain itu,
imunisasi bertujuan melindungi mereka yang berisiko tinggi untuk mendapat
jangkitan dan tidak sesuai menerima imunisasi seperti kanak-kanak yang
menghidap kanser. Ini juga dapat mengelak berlakunya kejadian wabak penyakit
cegahan vaksin.
Siapakah
yang perlu mendapatkan imunisasi?
Imunisasi adalah hak kanak-kanak
seperti yang termaktub dalam Konvensyen Hak Kanak-kanak. Ibu bapa yang tidak
memenuhi keperluan anak ini boleh dikatakan telah mencabul hak asasi anak. Anak
berhak mendapatkan imunisasi supaya dapat merangsang tumbesaran dalam
persekitaran yang selamat. Pemberian imunisasi ini adalah penting dalam
memastikan kelangsungan dan kesejahteraan hidup anak.
Semua bayi, kanak-kanak dan murid
sekolah dan perlu mengikut Jadual Imunisasi Kementerian Kesihatan Malaysia. Imunisasi
orang dewasa juga disarankan bagi golongan seperti pengendali makanan, anggota
kesihatan, jemaah haji dan umrah serta pengembara. Kebanyakan ibu bapa
berpendapat daya lawan jangkitan yang diperoleh secara semulajadi lebih baik
dari imunisasi. Adakah perkara ini benar?
Daya lawan jangkitan yang diperolehi
secara semulajadi tidak mencukupi bagi sesetengah penyakit dan amat berbahaya
seperti Polio dan Measles. Jangkitan semulajadi ini memberi risiko kepada
kanak-kanak untuk mendapatkan kompilasi termasuk kecacatan kekal dan kematian. Vaksin
memberi perlindungan setaraf dengan imuniti yang terhasil daripada jangkitan
semulajadi, tanpa perlu melalui risiko kompilasi jangkitan.
Fatwa
mengenai imunisasi.
Adakah imunisasi ini selamat?. Sebelum
vaksin dipasarkan secara komersial, ia diuji dengan rapi pada ribuan orang
menerusi kajian klinikal berskala besar. Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan
bahawa imunisasi adalah satu-satunya cara pencegahan yang dapat dilakukan bagi mengelakkan
penyakit cegahan vaksin. Maka program tersebut adalah harus, kerana sesuatu
kerosakan akan cepat berkembang dan bahayanya adalah lebih besar. Oleh hal yang
demikian, penggunaan vaksin dalam imunisasi itu adalah harus dari segi syarak
dan bagi kemaslahatan umum.
Kesan
sampingan imunisasi
Kesan sampingan lazimnya termasuk
kesan merah pada kawasan suntikan dan demam. Namun, kebanyakan kesan ini adalah
ringan dan sembuh dengan segera. Kesan sampingan serius jarang berlaku seperti
loya dan sawan.Sekiranya terdapat kesan sampingan yang serius bawa anak ke
klinik atau hospital dengan kadar yang segera.
Kesimpulannya, pengetahuan mengenai
imunisasi adalah penting dalam kalangan ibu bapa. ibu bapa perlu memastikan
anak-anak mendapatkan imunisasi bagi memastikan anak-anak dapat membesar dalam
keadaan yang sihat dan selamat. Imunisasi adalah hak anak yang perlu dipenuhi
demi kelangsungan dan kesejahteraan hidup.
Disediakan oleh,
Fatimah Binti Kamaruddin,
Pensyarah Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson
0 comments:
Post a Comment